Anda di halaman 1dari 19

1.

0 PENGENALAN
Menurut Zuber Usman (1963), dalam Kesusasteraan Lama Indonesia, Hikayat Raja Pasai

merupakan sebuah hikayat sastera sejarah kerana ia mengandungi unsur-unsur sejarah dan ditulis

dalam bentuk sastera. Seterusnya Ahmat Adam (2019), pula mengatakan hikayat ini tercatat

sebagai hikayat tertua yang melakarkan zaman permulaan kedatangan Islam di Sumatera dan

ditulis dalam bahasa Melayu klasik.

Tarikh asal kemunculan Hikayat Raja Pasai telah mewujudkan pelbagai andaian oleh ahli

sejarah seperti R.O. Winstedt yang berpendapat karya ini muncul pada tahun sebelum 1511 kerana

terdapat beberapa bahagian dalam teks Hikayat Raja Pasai telah diciplak masuk ke dalam naskah

asli Sejarah Melayu. Manakala A.H. Hill pula mengatakan tarikh asalnya pada akhir tahun 1383-

90 Masihi. Walaupun terdapat perbezaan pendapat, tetapi saya mendapati terdapat persamaan

antara kedua-dua orientalis Barat ini yang cuba menyatakan bahawa kemunculannya lebih awal

daripada kemunculan Sejarah Melayu.

Di samping itu, menurut Ali Ahmad dalam Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah, beliau

berpendapat Hikayat Raja Pasai dibentuk atas satu tema yang kuat dan fokusnya juga jelas iaitu

berfokuskan konsep Islam berbeza dengan teks-teks Melayu klasik yang lain seperti Sejarah

Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa. Manakala Mustafa Mohd.Isa (1999) pula, teks klasik

ini bertemakan “al-amr bi’l ma’ruf wa ‘Inahy ‘an il-munkar” (melakukan kebaikan dengan

meninggalkan kemungkaran).

Sebenarnya, Hikayat Raja Pasai ini bukan sahaja mendapat tempat dalam kalangan sarjana

tempatan untuk mengkajinya tetapi juga mendapat perhatian daripada orientalis Barat tetapi rata-

ratanya orientalis Barat ini mengecam teks klasik ini seolah-olah tiada manfaat langsung. Sebagai

contoh, J.C Bottoms yang menganggap sastera ini sebagai hiburan semata-mata dan Hooykaas

1
pula menyebut sebagai “… satu campuran cerita-cerita aneh”. Pada saya, hal ini agak keterlaluan

jika orientalis Barat ingin pukul rata sejarah tempatan dengan menilai dari kaca mata Barat tanpa

memahami apakah sebenarnya yang berlaku dalam budaya masyarakat alam Melayu. Hujah ini

diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Zahrah Ibrahim (1986), yang mengkritik pandangan

orientalis Barat itu dengan mengatakan orientalis Barat sebenarnya gagal memahami bahawa mitos

dan lagenda yang digunakan oleh pengarang Melayu mempunyai tujuan tertentu seperti

menjadikan mitos dan lagenda sebagai alat untuk menyampaikan kecaman secara halus, memberi

nasihat kepada masyarakat terutamanya golongan pemerintah supaya sentiasa berkelakuan baik

seperti elemen “wasiat” yang terdapat dalam Hikayat Raja Pasai itu sendiri.

Sehubungan dengan itu, Zahrah Ibrahim juga berpendapat penulisan sastera sejarah

khususnya Hikayat Raja Pasai ini merupakan usaha pengarang untuk meninggikan kedudukan

raja-raja dengan memasukkan unsur sakti seperti yang terdapat pada Tun Beraim Bapa bagi

menyampaikan nilai-nilai moral dan tatasusila dengan cara didaktik. Oleh itu, saya akan membuat

penilaian berdasarkan skop penceritaan dalam teks ini yang terdiri daripada tiga pembahagian.

Pertama, mengenai pembukaan dan pengislaman Samudera Pasai, kedua ialah tentang

pengembaraan dan kepahlawanan wira Pasai iaitu Tun Beraim Bapa. Terakhir ialah mengenai

kejatuhan kerajaan Pasai yang membawa kepada kejayaan penaklukan kerajaan Majapahit di

Pasai.

Oleh itu, tesis perbincangan dalam penulisan ini ialah saya bersetuju bahawa pengarang

Hikayat Raja Pasai telah memasukkan nilai baik dan nilai buruk melalui beberapa watak dan

peristiwa atas tujuan dan kepentingannya yang tertentu berdasarkan contoh peristiwa dalam teks.

2
2.0 NILAI-NILAI BAIK YANG TERDAPAT DALAM HIKAYAT RAJA PASAI

NILAI KASIH SAYANG ANTARA MANUSIA

Berdasarkan analisis, pada permulaan cerita lagi iaitu semasa peristiwa dua orang raja yang

ingin membuka negeri di Samarlanga, pengarang sudah memasukkan nilai kasih sayang untuk

menarik perhatian pembaca supaya saling menyayangi antara satu sama lain tanpa memilih kaum,

agama dan latar belakang. Saya akan memaparkan satu petikan teks dalam Hikayat Raja Pasai

yang akan menjadi tunjang kepada perbincangan isi nilai kasih sayang antara manusia:

“…maka hendak diparang oleh Raja Muhammad rebung itu, maka keluar seorang
kanak-kanak perempuan terlalu baik parasnya; maka dibuangkannyalah
gedubangnya, lalu segera diambilnya kanak-kanak itu, [di]dukungnya lalu
dibawanya pulang ke rumahnya. Serta dilihat oleh isteri baginda Raja Muhammad
mendukung kanak-kanak itu, maka segeralah didapatkan oleh isteri baginda lalu
disambutnya.”
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 1)
Berdasarkan petikan tersebut, dapat saya huraikan bahawa sifat kemanusiaan yang terdapat

dalam diri Raja Muhammad adalah sangat mengagumkan walaupun baginda seorang raja tetapi

baginda masih prihatin akan nasib seorang kanak-kanak perempuan iaitu Puteri Betung yang hanya

berasal daripada buluh. Bukan itu sahaja, Raja Ahmad yang juga mengambil seorang anak angkat

bernama Merah Gajah untuk mencurahkan kasih sayang. Di sini, saya berpendapat bahawa pengarang

cuba menunjukkan perbezaan taraf dan darjat tidak menjadi penghalang kepada kita untuk memberi

kasih sayang dan saling menjaga antara satu sama lain. Ingatkah kita pada peristiwa 13 Mei 1969

apabila kaum Melayu dan kaum Cina mula membuat rusuhan berdarah kerana lunturnya sifat kasih

sayang dan tebalnya semangat perkauman dalam diri yang telah membawa kepada kemusnahan harta

benda dan nyawa (Muhammad Yusof Hashim, 1988).

3
Oleh itu, saya berpandangan nilai kasih sayang antara manusia yang dipaparkan oleh

pengarang dalam Hikayat Raja Pasai harus diteliti semula untuk diterapkan dalam diri setiap

masyarakat Malaysia pada hari ini yang asasnya terdiri daripada pelbagai kaum untuk sentiasa

berkasih sayang.

NILAI KEAGAMAAN YANG DIAMALKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

Nilai baik yang seterusnya ialah kerajaan Pasai mengamalkan pentadbiran berasaskan

konsep Islam yang telah membuka lembaran baharu kepada pemerintahan yang adil dan saksama

khususnya pada zaman Sultan Malikul Saleh yang mengamalkan Islam secara total. Buktinya

menurut Ali Ahmad, Merah Silu yang dahulunya berada dalam zaman kegelapan tetapi telah

menemui zaman cerah melalui pengislamannya dan ditukar gelarannya menjadi Sultan Malikul

Saleh atau digelar juga sebagai zillu ‘llahi fil ‘alam (bayang Allah di alam ini). Pada hemat saya,

jelas menunjukkan bahawa pengarang cuba menyampaikan unsur dakwah dan kepentingan

“wasiat” iaitu tanggungjawab hamba untuk tidak menderhaka kepada raja, tanggungjawab raja

supaya tidak menganiayai hambanya dan juga tanggungjawab raja untuk mentaati suruhan Allah.

Bukan itu sahaja, pengarang juga ingin menyebarkan dakwah Islam kepada pembaca melalui

watak Sultan Malikul Saleh seperti yang terdapat dalam teks:

“...Hai Merah Silau, engkaulah Sultan Malikul Saleh namamu, sekarang


Islamlah engkau dengan mengucap dua kalimat syahadat itu, dan segala binatang
yang hidup lagi halal engkau sembelih maka kaumakan, dan yang tiada
[di]sembelih jangan engkau makan”…
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 14)
Tuntasnya, benarlah bahawa tujuan pengarang memasukkan nilai keagamaan ini adalah

untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang mempunyai asas pentadbiran yang kuat dan memberi

peringatan kepada pemerintah agar berpegang kepada ajaran Islam supaya dapat membangunkan

4
sebuah kerajaan yang gemilang dari segi politik, ekonomi dan sosial kerana adanya agama Islam

yang bersifat al-Deen (universal).

NILAI TANGGUNGJAWAB TERHADAP ADIK BERADIK

Pada hemat saya, nilai-nilai murni yang pengarang cuba sampaikan adalah banyak

ditonjolkan melalui watak Tun Beraim Bapa. Tun Beraim Bapa dikenali dengan sikap

kepahlawanan dan sebagai wira penyelamat kerana mempunyai tanggungjawab yang tinggi

terhadap saudara kandungnya. Hal ini demikian kerana berdasarkan peristiwa dalam teks, semasa

baginda ingin menyelamatkan dua orang adik perempuannya iaitu Tun Medam Peria dan Tun

Takiah Dara yang memiliki rupa paras yang sangat cantik daripada menjadi mangsa kerakusan

nafsu bapa kandungnya sendiri seperti yang diperkatakan oleh Russell Jones dalam bukunya

Hikayat Raja Pasai:

“Maka tatkala kedengaranlah khabar itu kepada Tun Beraim Bapa, maka ia pun
pergilah dengan segeranya ke Pasai lalu masuk ke dalam istana Sultan Ahmad.
Maka dirawannya oleh Tun Beraim Bapa kedua saudaranya lalu dibawa ke Tukas.
Maka Seri Sultan pun marah berdendamkan Tun Beraim Bapa, sebab membawa
kedua saudaranya ke Tukas itu”.
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 38)

Merujuk semula kepada peristiwa Sultan Ahmad Perumudal Perumal yang memberahi

anak kandungnya sendiri, maka rasa tanggungjawab Tun Beraim Bapa yang sedar akan perbuatan

tersebut yang bercanggah dengan ajaran Islam dan norma budaya masyarakat Melayu lalu

melarikan adik-adiknya demi mempertahankan maruah mereka. Beberapa persoalan yang ingin

saya utarakan ialah mengapakah pengarang memasukkan unsur-unsur sumbang mahram ini ke

dalam Hikayat Raja Pasai? Adakah ia bertujuan untuk menggalakkan aktiviti ini berlaku dalam

kalangan masyarakat? Bagi saya tidak. Sebenarnya, kita perlu bersifat kritis dalam mentafsir

5
maksud tersirat yang cuba disampaikan oleh pengarang kerana ia terdapat nilai murni iaitu

bertanggungjawab yang patut dicontohi dan diteladani demi kepentingan bersama.

NILAI TAAT SETIA KEPADA PEMERINTAH

Nilai taat setia kepada pemerintah pada bahagian ini seolah-olah tidak asing lagi dalam

dunia teks klasik Melayu seperti kata Ruslan Zainuddin dalam bukunya Sejarah Malaysia bahawa

konsep “daulat dan derhaka” ini merupakan satu alat politik bagi mengawal rakyat daripada

memberontak dengan menjunam-junamkan konsep ini ke dalam kepala rakyat seperti peristiwa

Sultan Ahmad dan Tun Beraim Bapa yang sanggup mati demi taat setia kepada pemerintah iaitu

bapanya sendiri. Petikan teks di bawah menjadi bukti sokongan kepada hujahan nilai tersebut:

“Jikalau kumakan makanan ini nescaya matilah aku, jikalau tiada


kumakan nescaya derhakalah aku, tetapi baiklah aku mati daripada nama
derhaka.”
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 56)
Berdasarkan penulisan R.O. Winstedt dalam A History of Classical Malay Literature, hal

ini serupa dengan Hikayat Hang Tuah menerusi watak Hang Tuah yang dikenali sebagai ‘pantang

Melayu derhaka kepada tuannya’ apabila nilai taat kepada pemerintah dilihat begitu taksub dan

membuta tuli. Berbalik semula kepada isi perbincangan, kepahlawanan Tun Beraim Bapa

sememangnya sengaja dibesar-besarkan oleh pengarang bagi menunjukkan kehebatan keturunan

raja Pasai seperti Tun Beraim Bapa digambarkan seorang wira Pasai yang gagah, berani,

mempunyai kuasa sakti dan paling penting ialah memiliki sifat taat setia yang tinggi terhadap raja

dan kenyataan ini adalah selari dengan hujah Muhammad Taib Osman.

Walaubagaimanapun, saya mendapati di sebalik watak hebat Tun Beraim Bapa yang

ditonjolkan penuh nilai taat setia kepada pemerintah, sebenarnya pengarang cuba menyampaikan

6
maksud tersirat bahawa setiap rakyat harus mentaati pemerintah dan kerajaan selagi ia tidak

melanggar syariat Islam agar dapat memacu kepada kesejahteraan rakyat.

NILAI MUAFAKAT DAN MUSYAWARAH DALAM MEMILIH PENGGANTI SULTAN

Peristiwa pertabalan Sultan Malikul Mansur sebagai Raja Samudera bagi mengganti tempat

datuknya Sultan Malikul Saleh menjadi bukti yang cukup nyata bahawa wujudnya nilai muafakat

dan musyawarah dalam kalangan golongan istana dan rakyat. Hujah ini diperkukuh dengan petikan

teks Hikayat Raja Pasai:

“Hai segala kamu sekalian menteri dan hulubalangku dan segala rakyat bala
tenteraku, bahawa aku hendak merajakan Sultan Malikul Mansur ini karna aku
hampirlah rasanya akan meninggalkan negeri yang fana ini kembali ke negeri
yang baka itu. Apa bicara kamu sekalian, sukakah atau tidakkah?”.
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 24)
Pada pendapat saya, kepentingan pengarang menerapkan nilai ini adalah kerana pengarang

ingin menunjukkan keputusan yang dicapai secara bersama adalah lebih baik berbanding

keputusan yang dibuat secara perseorangan. Sebenarnya, konsep ini sudah lama wujud pada awal

pemerintahan Nabi Muhammad di kota Madinah lagi iaitu melalui Majlis Syura yang berperanan

dalam mendapatkan sesuatu keputusan berdasarkan suara majoriti tanpa mengira perbezaan

agama, kaum dan bangsa. Contohnya, baginda menerima idea Salman al-Farisi dalam merancang

strategi perang Khandak walaupun pada ketika itu beliau bukanlah orang Islam tetapi dengan sifat

terbuka Nabi Muhammad menerima cadangan tersebut, ia telah membawa kepada kemenangan

besar umat Islam dalam medan perang (Mahayudin Hj. Yahaya, 1984).

7
Konklusinya, benarlah nilai muafakat dan musyawarah yang telah digariskan dalam Islam

dan diterap masukkan dalam Hikayat Raja Pasai sememangnya bertujuan untuk mengajar umat

manusia agar sentiasa bertoleransi, tidak mementingkan diri sendiri, mengamalkan nilai muaafakat

dan musyawarah dapat melahirkan sebuah negara yang harmoni tanpa sebarang persengketaan.

8
3.0 NILAI-NILAI BURUK YANG TERDAPAT DALAM HIKAYAT RAJA PASAI

SIKAP PEMERINTAH YANG SALING MEMBALAS DENDAM

Dalam isi perbincangan ini, sebenarnya ia adalah kesinambungan daripada isi pertama pada

nilai baik (kasih sayang antara manusia) yang telah dihuraikan sebelum ini. Pada bahagian ini,

saya akan memaparkan peristiwa dua orang keturunan raja iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad

yang pada awalnya baik akhlaknya, penyayang tetapi disebabkan berlakunya satu konflik, nilai

baik yang terdapat dalam diri masing-masing mula berubah iaitu mempunyai sifat suka membalas

dendam antara satu sama lain sehingga membawa kepada kematian kedua-dua raja tersebut.

Ringkasnya, peristiwa ini bermula apabila Puteri Betung (anak angkat Raja Muhammad)

mati akibat rambut emasnya dicabut oleh suaminya iaitu Merah Gajah (anak angkat Raja Ahmad)

sehingga keluar darah putih walaupun sudah diberi amaran oleh Puteri Betung supaya tidak

mencabut rambutnya. Kematian Puteri Betung ini telah menyebabkan Raja Muhammad sangat

marah lalu membunuh Merah Gajah. Kisah dendam ini dilihat bukan terhenti setakat ini sahaja

tetapi disemarakkan lagi oleh Raja Ahmad yang melancarkan serang balas terhadap Raja

Muhammad kerana kecewa akan kematian anaknya Merah Gajah. Suasana peperangan antara

adik-beradik digambarkan seperti yang tercatat dalam petikan:

“Maka tempik segala hulubalang dan segala rakyat juga yang kedengaran dan
gemerencang bunyi segala senjata dan pendahan segala pahlawan juga
kedengaran. Maka bahananya datang ke tengah rimba belantara. Maka daripada
kedua pihak lasykar itu banyaklah mati dan luka sebab beramuk-amukan sama
sendirinya dan berbunuh-bunuhan mereka itu hingga matilah kedua raja-raja itu”.
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 7)

9
Lanjutan daripada perbincangan di sebelah, bagaimanakah sifat dendam ini amat bahaya

dibiarkan bermaharajalela dalam diri manusia?. Pada hemat saya, jawapannya sudah semestinya

ia amat berbahaya dan sifat dendam itu akan membinasakan diri sendiri dan juga orang sekeliling.

Jika berfikir secara logik akal, tidak mungkin hanya kerana sehelai rambut emas tetapi mampu

membawa malapetaka yang amat dahsyat kepada seluruh kerajaan Raja Muhammad dan Raja

Ahmad. Tetapi, pada dunia realiti saya percaya bahawa jika sikap dendam yang dianggap oleh

sesetengah masyarakat mampu menegakkan keadilan dan mencapai kepuasan diri, maka ia akan

mencetuskan ketegangan kerana hilangnya sikap saling menghormati antara satu sama lain yang

akhirnya ia akan merugikan kedua-dua belah pihak. Oleh itu, jelaslah tujuan pengarang

memasukkan elemen negatif (dendam) agar setiap lapisan masyarakat khususnya pemerintah

mengambil tauladan daripada peristiwa ini supaya tidak membuat keputusan dalam keadaan

beremosi.

10
PENYALAHGUNAAN KUASA DALAM KALANGAN PEMERINTAH

Menurut Hussain Othman (2011), manusia dari perspektif Islam mempunyai sifat kelupaan

atau nisyan yang wujud dalam diri. Maksudnya di sini ialah raja atau sultan Melayu turut tertakluk

kepada sifat nisyan sehingga membuatkan mereka lupa akan janji dan tanggungjawabnya kepada

Allah, manusia dan dirinya sendiri. Hal ini jelas dipaparkan melalui sikap penyalahgunaan kuasa

pada watak Sultan Malikul Mahmud yang menganiayai adik kandungnya sendiri iaitu Sultan

Malikul Mansur dan juga membunuh menterinya sekaligus telah melanggar “wasiat” yang telah

diamanahkan oleh datuknya Sultan Malikul Saleh:

“Hai Semayamuddin, maukah engkau diam di sini bersama-sama dengan aku atau
tiadakah? Maka ia berdatang sembah, Ya tuanku Syah | Alam, jika patik
diceraikan dengan tuan patik baiklah Syah Alam ceriakan badan patik dengan
kepala patik. Maka disuruh Sultan penggallah lehernya, maka dipenggal oranglah
lehernya. Maka disuruh oleh Sultan kepalanya dibuangkan ke laut dan badannya
disuruh sulakan di Kuala Pasai”.
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 32)

Namun begitu, kemuncak penyalahgunaan kuasa Sultan Malikul Mahmud, baginda mula

sedar akan kesilapan dan keburukan dirinya lalu menyesal dan bertaubat meminta keampunan.

Pada hemat saya dari perspektif worldview Islam berkaitan asal usul manusia, pengarang

memasukkan nilai keburukan lalu memaparkan intisari taubat adalah kerana pengarang ingin

menyampaikan mesej bahawa walaupun sebesar manapun dosa dan kesilapan yang dilakukan oleh

seorang manusia, dia masih mempunyai kesempatan untuk kembali kepada fitrah asalnya menjadi

seorang yang baik. Buktinya dapat dilihat dalam petikan di bawah:

“Wah terlalu sekali ahmak budiku! Karna perempuan seorang, saudaraku


kuturunkan dari atas kerajaannya dan menterinya pun kubunuh. Maka baginda
pun menyesallah, lalu ia menangis.”
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 33)

11
Oleh itu, dengan kewujudan watak jahat Sultan Malikul Mahmud dalam Hikayat Raja

Pasai, pengarang cuba menimbal balik nilai buruk yang terdapat pada watak jahat tersebut dengan

memberi pengajaran dan dorongan kepada masyarakat khususnya pemerintah untuk menggunakan

kuasa dengan baik. Kesimpulannya, nilai buruk penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pemerintah

akan menyebabkan berlakunya keadaan huru-hara dan menindas individu-individu yang tidak

bersalah dan sekiranya seorang pemerintah sudah terlanjur dalam perbuatan penyalahgunaan

kuasa, masih tidak terlambat untuk bertaubat kerana taubat adalah satu kejayaan terbesar seorang

muslim tanpa mengira darjat untuk kembali kepada fitrahnya sebagaimana mesej pengarang pada

watak jahat Sultan Malikul Mahmud tetapi akhirnya telah bertaubat.

KEZALIMAN PEMERINTAH DALAM PENTADBIRAN KERAJAAN

Menurut Norazimah bt Zakaria dalam penulisannya Bayangan Inses dalam Hikayat Raja

Pasai, beliau berpendapat pengarang teks Hikayat Raja Pasai turut menggunakan pendekatan

Psikoanalisis Freud dalam menghasilkan watak Sultan Ahmad Perumudal Perumal yang dipaparkan

seorang yang memiliki nilai-nilai buruk yang bertentangan dengan Islam dan budaya masyarakat

Melayu adalah kerana ia mempunyai tujuan yang tertentu. Petikan teks di bawah menjadi bukti nilai

kezaliman seorang pemerintah yang tidak berprikemanusiaan:

“Tetapi akan Sultan itu terlalu ia berahi akan anaknya yang bernama Tun Medam
Peria dan Tun Takiah Dara itu; maka pada suatu hari, Sultan Ahmad | semayam
dihadap segala menteri dan segala hulubalangnya, maka baginda bersabda kepada
segala hulubalangnya demikian katanya, “Jika seorang bertanam tanaman, siapa
yang harus dahulu makan dia?” Maka Tun Perpatih Tulus Agung Tukang Sukara
pun berdatang sembah, “Ya Tuanku Syah Alam, jikalau kami yang diperhamba ini
bertanam tanaman, orang yang lain juga harus dahulu makan dia, lagi terlalu besar
pahalanya mendahulukan jamu itu…”
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 37)

12
Petikan tersebut jelas menunjukkan kezaliman Sultan Ahmad Perumudal Perumal yang

mempunyai nafsu berbentuk inses iaitu bahasa mudahnya sumbang mahram yang jelas ia

bertentangan dengan ajaran Islam sehingga sanggup menodai dan membunuh anak-anaknya

sendiri.

Namun begitu, apakah kepentingan pengarang memasukkan unsur sebegini?. Adakah ia

untuk menjadikan satu role model? Pada saya, sebenarnya pengarang cuba menyampaikan mesej

secara halus kepada pembaca bahawa aktiviti sumbang mahram ini sebenarnya akan mengundang

kemurkaan Allah dan membawa pelbagai malapetaka. Bukan itu sahaja, saya juga berpendapat

mesej ini turut ditujukan kepada pemerintah pada waktu dahulu, kini dan akan datang agar

mengawal nafsu dengan baik supaya tidak mencampuradukkan urusan peribadi dengan

tanggungjawab menjaga hak keadilan rakyat jelata supaya tidak menjadi seorang pemerintah yang

zalim seperti Sultan Ahmad Perumudal Perumal yang boleh disamakan dengan pepatah Melayu

iaitu “haruan makan anak”.

SIKAP LALAI DAN TAMAK SEORANG PEMERINTAH TERHADAP NIKMAT DUNIA

“…Hai cucuku kedua, ketahuilah oleh kamu, karna aku ini sakit sangat, rasanya
hampirlah hukum Allah taala akan daku berpindah daripada negeri yang fana
ke negeri yang baka itu: adapun peninggalku* ini baik-baik kamu kedua
memelihara pekerjaan [al-]amr bi’l ma’ruf wa [‘l]-nahy ‘an-munkar. Sebermula
| jangan kamu banyak tamak akan arta dunia, karna dunia ini tempat segala yang
maghrur dan jangan sangat kamu ingin akan segala yang tiada memberi manfaat
akan kamu di akhirat dan jangan kamu tiada muafakat dua bersaudara daripada
segala pekerjaan kamu; …”
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 25)
Berdasarkan petikan di atas, satu dakwah yang menjelaskan kepentingan ajaran Islam

melalui “wasiat” yang telah menjadikan watak Sultan Malikul Saleh seorang sultan yang baik

perilakunya. Namun begitu pada bahagian ini saya akan membincangkan adakah “wasiat” tersebut

13
masih diteruskan dengan baik oleh cicit Sultan Malikul Saleh iaitu anak kepada Sultan Malikul

Mahmud yang mula mengambil alih tampuk pemerintahan Pasai selepas kematian bapanya? Jika

tidak, apakah kesan-kesan yang menimpa nasib dirinya dan seluruh kerajaan Pasai?.

Sikap tamak dan lalai seorang pemerintah juga dapat dilihat menerusi watak Sultan Ahmad

Perumudal Perumal kerana terlibat dalam persitiwa cinta tiga segi antara Sultan Ahmad Perumudal

Perumal, Puteri Gemerencang dan Tun Abdul Jalil. Pada hemat saya, cinta tiga segi ini tidak akan

wujud sekiranya Sultan Ahmad Perumudal Perumal mempunyai pegangan agama yang teguh dan

mengikut “wasiat” yang telah diajar oleh datuknya. Lebih parah lagi, baginda bukan sahaja seorang

pemerintah, tetapj juga seorang bapa kepada Tun Abdul Jalil yang sanggup membunuh dan

merampas kebahagiaan anaknya seperti yang terdapat dalam petikan teks:

“Maka tatkala terdengarlah warta Angkatan Radin Galuh Gemerencang anak ratu
Majapahit datang dari Jawa itu hendak ke benua Pasai, daripada sebab berahi akan
Tun Abdul Jalil itu, setelah didengar Sultan Ahmad, maka Sultan pun tiadalah lagi
karar hatinya daripada hendak membicarakan daya upaya membunuh* Tun Abdul
Jalil itu jua pada siang dan malam”.
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 63)

Lanjutan daripada persoalan-persoalan yang diutarakan pada awal perbincangan isi, satu

jawapan yang didapati ialah sikap lalai dan tamak akan nikmat dunia yang sementara telah

menunjukkan bahawa Sultan Ahmad Perumudal Perumal tidak mematuhi “wasiat” yang telah

diamanahkan seperti sultan-sultan sebelum ini. Buktinya, baginda digambarkan sebagai watak

jahat oleh pengarang yang sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan hatinya dan terlalu

lalai dalam memerintah kerajaan Pasai sehingga berlakunya serangan dari Majapahit yang telah

membawa kepada keruntuhan kerajaan Pasai seperti yang terkandung dalam petikan teks:

14
“Maka tatkala sampailah perang itu kepada tiga hari tiga malam/rakyat Pasai pun
pecahlah perangnya, sekalian mereka itu lalu lari cerai-berai tiada berketahuan lagi
perginya. Maka sekalian lasykar Majapahit pun masuklah ia ke dalam kota Pasai
lalu ke dalam istananya Sultan Ahmad itu. Maka terlalulah banyak mereka itu
beroleh rampasan dan tawanan, tiada terkira-kira lagi banyaknya”.
(Hikayat Raja Pasai, 1987: 67)
Jelaslah bahawa sekiranya seorang pemerintah yang berkuasa dan memiliki segala kekayaan

dunia tetapi tidak pandai menguruskannya dengan panduan agama yang betul, maka wujudlah sikap

lalai dan tamak seorang pemerintah terhadap nikmat dunia yang akhirnya akan membinasakan diri

dan kerajaannya.

15
4.0 KESIMPULAN

Suka saya memaparkan hujah Mustafa Mohd. Isa (1999), sebagai menyimpul segala

perbincangan yang telah dikupaskan iaitu Hikayat Raja Pasai merupakan sebuah hikayat tertua

yang unik berbanding hikayat-hikayat lain kerana mendukung satu tema yang jelas di samping

menekankan konsep “melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan”. Saya juga amat

bersetuju dengan Tatiana A. Denisova dalam Refleksi Historiografi Alam Melayu yang

menjelaskan lagi bahawa setiap mesej yang disampaikan dalam Hikayat Raja Pasai adalah untuk

memberi amaran, nasihat dan peringatan seperti yang terdapat dalam petikan:

“Raja yang tidak adil akhirnya akan hilang kerajaannya, negara yang tidak adil
akhirnya mundur dan hilang kebebasannya; dan setiap perkara yang jahat pada
akhirnya akan menerima balasan daripada Allah SWT”.
(Refleksi Historiografi Alam Melayu, 1959: 165)
Secara keseluruhannya, setelah menganalisis secara kritis terhadap nilai baik dan nilai

buruk, saya mendapati sememangnya elemen-elemen ini sarat dalam teks Hikayat Raja Pasai yang

telah banyak memberi dorongan dan pengajaran kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam

khususnya. Namun begitu, walaupun elemen nilai sering dianggap satu elemen yang kecil tetapi

pada saya ia telah memberi impak yang sangat besar kepada keseluruhan teks sekaligus telah

membawa kepada perkembangan teks hikayat selepasnya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Merong

Mahawangsa dan lain-lain yang juga menekankan elemen nilai. Akhir kata, saya berharap agar

setiap lapisan masyarakat di Malaysia mengambil nilai baik untuk dicontohi dan nilai buruk untuk

dijadikan pengajaran dalam proses melahirkan modal insan yang bermoral tinggi selari dengan

pembangunan negara.

16
5.0 BIBLIOGRAFI

Ahmat Adam. 2019. Hikayat Raja Pasai. Petaling Jaya, Malaysia: Strategic Information and

Research Development Centre.

Ali Ahmad. 1987. Karya-Karya Sastera Bercorak Sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

Pustaka.

Denisova, Tatiana A. 2011. Refleksi Historiografi Alam Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit

Universiti Malaya.

Husaain Othman. 2011. Konsep Pensejarahan Melayu: Perspektif Kosmologi. Batu Pahat, Johor:

Penerbit UTHM.

Jones, Russell. 1987. Hikayat Raja Pasai. Petaling Jaya Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Mahayudin Hj. Yahaya. 1984. Tamadun Islam. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Muhammad Taib Osman & Abu Hassan Sham. 1983. Warisan Prosa Klasik. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Yusoff Hashim. 1988. Pensejarahan Melayu Nusantara: Kajian Mengenai Sumber,

Penghayatan, Masalah dan Tafsiran Naskhah-naskhah Terpilih Sejarah Melayu. Kuala

Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd.

Mustafa Mohd Isa. 1999. Kajian Teks Melayu Klasik Terpilih. Pulau Pinang: Pusat Pengajian

Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia.

Norazimah bt Zakaria. 2014. “Bayangan Inses dalam Hikayat Raja Pasai”. Pendeta: Jurnal

Bahasa, Pendidikan dan Sastera Melayu, 5, 57-70.

17
Nurazmi Kuntum. 1991. Teori dan Pemikiran Sastera Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Ruslan Zainuddin. 2003 (Edisi kedua). Sejarah Malaysia. Kuala Lumpur: Academe Art &

Printing Service Sdn. Bhd.

Winstedt, Richard Olof. 1969. A History of Classical Malay Literature. Oxford: Oxford

Universtiy Press.

Zahrah Ibrahim. 1986. Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.

Zuber Usman. 1963. Kesusasteraan Lama Indonesia. Jakarta: PT. Gunung Agung.

18
19

Anda mungkin juga menyukai