Anda di halaman 1dari 6

Peranan ulama dalam silat

Koleksi artikel ALLAHYARHAM WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH


BARANGKALI perbicaraan yang menyentuh secara langsung tentang persilatan adalah
masih sangat langka. Keterlibatan penulis dalam membicarakan perkara persilatan ini
juga amat sedikit berbanding penulisan-penulisan selainnya.
Oleh itu, kelemahan-kelemahan dalam perbicaraan ini rasanya sangat banyak, apatah
lagi dunia persilatan hanyalah penulis kenali sewaktu masih kanak-kanak dan
ditinggalkan begitu lama, sejak tahun 1960-an.
Jenis-jenis silat memang banyak penulis ketahui, namun penulis bukanlah seorang
pelajar mengenai bidang itu secara tekun tetapi hanyalah sebagai pemerhati saja. Di
antara silat-silat yang penulis ketahui ialah Silat Pengian, Silat Kuntau, Silat Harimau,
Silat Buton Kalidupa, Silat Bugis Bone, Silat Sinding, Silat Pukul Tujuh, Silat
Minangkabau, Silat Cekak, Silat Gayung, Silat Gayung Patani, Silat Abjad dan Al-
Mu'azat.
Peranan ulama dalam silat hanya dapat penulis tonjolkan kepada pemikiran Sheikh
Daud bin Abdullah al-Fathani dan keterlibatan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani
dalam jihad fi sabilillah.
Kedua-dua ulama besar yang sangat terkenal itu dipercayai menggunakan 'senjata'
qalam untuk mengajar umat Melayu dna juga senjata pedang unutk perjuangan di
medan jihad fi sabilillah demi mempertahankan kesucian Islam dan watan daripada
penjajah.

Jika kita anggap ilmu silat adalah untuk mempertahankan diri peribadi, jihad pula
adalah mempertahankan Islam dan tanah air.

Jadi kedua-dua ulama kita itu adalah lebih agung, kerana banyak jenis silat yang
dikuasainya. Yang dimaksudkan di sini ialah:

*silat menggunakan qalam/pena,


*silat kalam/lidah,
*silat menggunakan siasah/politik, dan lain-lain termasuklah
*silat ketangkasan di medan juang yang sebahagiannya dijadikan sebagai satu cadang
seni atau budaya.
Pelajaran silat dalam Kerajaan Pontianak

Tidaklah janggal pada kesempatan ini penulis mulakan petikan mengenai silat yang
termaktub dalam sebuah manuskrip "Syair Kerajaan Pontianak".

Kerajaan Pontianak (Indonesia) memang bukan dalam Malaysia, tetapi adalah sebuah
kerajaan Melayu yang didirikan oleh Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri
yang direstui dan dirasmikan oleh pahlawan Melayu-Bugis, Raja Haji bin Upu Daeng
Celak.
Raja Haji pula adalah seorang pahlawan Melayu agung sesudah Hang Tuah, kerana
hampir keseluruhan negeri-negeri Melayu pernah dikunjunginya. Akhir riwayat Raja
Haji gugur sebagai syahid fi sabilillah di Teluk Ketapang, Melaka.
Syair Kerajaan Pontianak ditulis beberapa tahun setelah berdirinya Kerajaan Melayu-
Islam Pontianak, dalam petikan tersebut juga jelas mencerminkan minat dan
kesungguhan Sultan Syarif Abdur Rahman bin Habib Husein al-Qadri terhadap seni dan
budaya silat. Untuk lebih jelas dan merupakan dokumen sejarah persilatan Melayu,
Bab Silat dalam Syair Kerajaan Pontianak penulis sebutkan beberapa petikan awal
darinya, iaitu:

Setelah sudah berperi-peri,


Baginda berangkat lalu berdiri
Panggilkan Mat Raiyat suruh ke mari,
Serta dengan Wan Bakari.
Wan Ahmad, Wan Bakar datanglah sudah,

Kepada baginda tunduk menyembah


Dengan segeranya baginda bertitah,
Adalah sedikit hendak diperintah.
Baginda tersenyum seraya berkata,
Jikalau suka rasanya cita

Tuan-tuan yang muda ajarkan kita,


Diajarkan silat bermain senjata.
Tuan ajarkan padan-padan,
Boleh dilihat usulnya badan
Bagaimana di dalam contoh teladan,

Yang mana patut main di medan.


Tulisan Sheikh Daud Abdullah Al-Fathani mengenai jihad dalam Islam
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah ulama besar dunia Melayu yang terlibat
langsung bersama-sama Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam medan jihad
melawan pencerobohan Siam di bumi Patani Darus Salam.
Tulisan-tulisan beliau mengenai hukum jihad telah penulis perkenalkan dalam
penulisan-penulisan sebelum ini, di mana jelas menggambarkan bahawa Sheikh Daud
bin Abdullah al-Fathani adalah seorang ulama pejuang Islam sebenar dan sejati serta
bertanggungjawab terhadap ummah dan watan Melayu daripada segala macam
bentuk penjajahan kuffar.

Sebagai tambahan, di sini penulis petik pula pandangan Sheikh Daud bin Abdullah al-
Fathani tentang jihad yang beliau tulis dalam kitab Bughyat at-Thullab.
Transliterasi selengkapnya ialah: "Dan setengah daripadanya, perang sabil bagi kuffar,
yakni wajib bagi Imam itu pergi perang kepada negeri mereka itu, maka iaitu fardu
kifayah dengan ijmak. Atau Naib Imam pergi dengan tentera kerana perang bagi
mereka itu.

"Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka itu, serta
diteguhkan dia, dan ditaruhkan senjatanya, dan orang yang menunggu padanya
sekira-kira memadai melawan akan mereka itu. Maka hendaklah diperbuat akan salah
suatu daripada keduanya maka gugurlah fardu kifayahnya. Ini jika tiada mereka itu
datang kepada negeri kita.
"Maka jika datang ia kepada negeri Islam maka jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang
daripada negeri yang ia masuk itu, hingga perempuan dan sahaya orang ... " (Bughyat
at-Thullab, jilid 1, hlm. 95).
Ulasan dan pandangan, daripada kalimatnya "Maka jika datang ia kepada negeri Islam
... " dapat kita bandingkan peristiwa penjajahan bangsa Barat-Belanda dan Inggeris di
dunia Melayu pada zaman Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dengan peristiwa
Amerika, pengganas terbesar dunia, yang telah menjajah Afghanistan dan Iraq.
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Belanda dan Inggeris telah menjajah dunia
Melayu, perlu pula dinyatakan di sini bahawa Patani juga tidak terlepas daripada
dijajah, bukan oleh bangsa Barat tetapi oleh Siam. Semua penjajah yang tersebut
adalah bukan agama Islam kerana mereka telah menjajah negeri Islam.
Oleh itu, menurut Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani pada sambungan kalimat di
atas bahawa "jadilah fardu ain atas tiap-tiap seorang daripada negeri yang ia masuk
itu, hingga perempuan dan sahaya orang ..." berperang atau jihad terhadap mereka.
Bangsa-bangsa yang telah menjajah dunia Melayu, adalah bukan beragama Islam.

Oleh itu fenomena yang berlaku sekarang, tuduhan umat Islam sebagai pengganas
adalah tidak berasas sama sekali, kerana tidak terdapat dalam sejarah bahawa bangsa-
bangsa yang beragama Islam datang menjadi penjajah di dunia Melayu.
Sebenarnya bangsa-bangsa penjajah itulah yang layak dilabelkan sebagai pengganas
atau terrorist atau penzalim. Gelaran tersebut terdapat dua golongan yang sedang
bermusuhan, yang pertama ialah pengganas yang sedang berkuasa (pemerintah) dan
yang kedua ialah pengganas yang tidak berkuasa (rakyat).
Perjuangan jihad yang pernah dilakukan oleh ulama kita seperti Sheikh Abdus Shamad
al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan lain-lain tidak dapat disamakan
dengan kedua-dua golongan pengganas yang tersebut di atas, kerana jihad Islam
adalah cukup jelas berdasarkan perintah daripada Allah dan para Rasul-Nya. Siapa saja
yang berjihad menurut perintah Allah dan Rasul-Nya adalah benar, tidak terdapat
keraguan di dalamnya.

Oleh itu, wajib dipertahankan kebenaran dan kesuciannya daripada pentafsiran-


pentafsiran yang tidak betul disusun demikian rapi oleh pihak-pihak tertentu yang
telah merasa lazat makanan dan minuman segar tetapi beracun yang mereka peroleh
dari musuh-musuh Islam.
Mengenai membuat persiapan sebagai benteng pertahanan dapat kita ketahui dari
kalimat beliau, "Atau diperbaiki akan kota yang antaranya dan antara negeri mereka
itu, serta diteguhkan dia ...".
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyentuh pula tentang persiapan persenjataan
dengan sambungan kalimatnya "dan ditaruhkan senjatanya" maksudnya bahawa
dalam benteng pertahanan perlulah ada tersimpan persenjataan yang cukup dan siap
digunakan apabila diperlukan.
Patriotik bangsa adalah sangat diperlukan, yang beliau gambarkan pada sambungan
kalimatnya "dan orang yang menunggu padanya sekira-kira memadai melawan akan
mereka itu". Kalimat ini dapat dihubungkaitkan dengan "ilmu silat" kerana orang
Melayu yang sanggup melawan musuh pada zaman itu perlu mempunyai
ketangkasan.
Ketangkasan dalam bentuk fizik adalah mempelajari ilmu silat. Dan tidak dapat
dinafikan diperlukan "kekuatan dalaman" atau "mental" atau "rohani". Baik Sheikh
Abdus Shamad al-Falimbani mahu pun Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani juga
pernah mengijazahkan wirid-wirid pertahanan diri untuk menghadapi musuh dalam
peperangan.
Wirid pertahanan diri Sheikh Abdus Shamad Al-Falimbani

Untuk memantapkan keyakinan diri menghadapi jihad, dalam karyanya berjudul


Mulhik fi Bayanil Fawa'id an-Nafi'ah fil Jihadi fi Sabilillah atau judul terjemahan oleh
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani sendiri iaitu "Suatu Perhubungan Pada
Menyatakan Akan Beberapa Faedah Di Dalam Perang Sabilillah", beliau membahagi
dalam risalah tersebut kepada empat bahagian, iaitu:
Faedah Yang Pertama Pada Menyatakan Ayat Quran Yang Jadi 'Azimat Yang Manfaat
Di Dalam Perang Sabilillah, Dan Peliharaan Yang Menegahkan Daripada Kejahatan
Orang Kafir.
Faedah Yang Kedua Pada Menyatakan Doa Yang Manfaat Di Dalam Perang Sabilillah
Dan Lainnya.
Faedah Yang Ketiga Pada Menyatakan Doa Yang Membinasakan Bagi Segala Seteru,
Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Seteru.
Faedah Yang Keempat Pada Menyatakan Doa Membinasakan Seteru, Dan Segala Kafir,
Dan Bagi Sejahtera Daripada Kejahatan Mereka Itu.
Salah satu amalan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pernah diterima oleh pahlawan
Mat Kilau. Mengenai ini termaktub dalam Kitab Mat Kilau, cetakan Utusan Melayu
(Malaysia) Berhad, 1970, hlm. 23, iaitu "Ini doa diambil daripada Sheikh Abdus Shamad
Palembang, siapa yang mengamalkan doa ini nescaya tidak mengenai padanya
pedang, atau panah, atau segala rupa kejahatan dari seteru ... "Yang disebut dalam
Kitab Mat Kilau itu memang termaktub dalam karya Sheikh Abdus Shamad al-
Falimbani tersebut yang beliau tempatkan pada Faedah Yang Kedua.

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah menterjemahkan wirid untuk perang itu
daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu. Dalam empat buah karangan Sheikh Daud
bin Abdullah al-Fathani juga membicarakan wirid yang sama, di antaranya dalam kitab
Mun-yat al-Mushalli. Selengkapnya lihat Mun-yat al-Mushalli yang telah penulis
transliterasi (lihat terbitan Khazanah Fathaniyah, Kuala Lumpur, 1424 H/2003 M hlm.
96-98).
Walau bagaimanapun, tidak terdapat terjemahan wirid itu oleh Sheikh Daud bin
Abdullah al-Fathani seperti yang dilakukan oleh Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani.
Perlu juga penulis sentuh di sini bahawa dalam terjemahan wirid Sheikh Abdus
Shamad al-Falimbani tersebut ada hubungkait dengan persilatan. Bahawa ilmu silat
yang pernah penulis pelajari adalah melalui tiga jalan, iaitu:
*Belajar secara fizik di gelanggang.
*Belajar wirid-wirid yang boleh mendatang gerak dengan sendirinya.
*Mengabungkan pelajaran fizik dan wirid.
Pada Faedah Yang Keempat wirid Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani terdapat satu
doa yang sama dengan yang diamalkan dalam Silat Al-Mu'azat. Walaupun dalam Silat
Al-Mu'azat tidak mempelajari gerak fizik, tetapi apabila mengamalkan wirid, maka
gerak fizik akan datang dengan sendirinya.
Silat Al-Mu'azat pernah dikembangkan di Johor oleh Raja Haji Muhammad Yunus
Ahmad dalam tahun 1970-an. Wirid yang diamalkan oleh Sheikh Abdus Shamad al-
Falimbani, yang sama dengan amalan dalam Silat Al-Mu'azat itu, lebih lengkap ditulis
oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab Ward az-Zawahir (lihat hlm.
189).
Kesimpulan dan penutup
Dari semua yang telah dibicarakan di atas penulis berpendapat bahawa:
Seni dan budaya persilatan diajarkan dalam dua bentuk, iaitu dalam gerak fizik dan
kerohanian.
Ilmu persilatan yang menggunakan wirid, hizib, doa, dan yang sejenis dengannya
adalah berasal dari ajaran Islam yang benar. Sebaliknya tidak dapat dinafikan terdapat
juga yang menggunakan mantera, jampi, serapah, dan yang sejenis dengannya.
Mengenai ini sukar dijejaki sumber-sumber asal hingga ke atasnya. Oleh itu, ada yang
boleh diamal dan digunakan. Sebaliknya ada pula yang mengandungi unsur khurafat
yang menjerumuskan ke arah syirik yang bertentangan dengan akidah Islam.

Ulama-ulama Nusantara yang terlibat dalam jihad fi sabilillah mempunyai asas ilmu
menggunakan senjata. Mereka memiliki ilmu ketahanan diri yang bersambung dari
satu guru ke satu guru hingga sampai kepada pahlawan-pahlawan Islam terdahulu
bahkan sumber amalan ada yang berasal dari Rasulullah SAW sendiri.
Ulama-ulama Nusantara yang melakukan jihad fi sabilillah demi untuk
memperjuangkan Islam dan mempertahankan negeri-negeri Melayu dari dijajah oleh
bangsa yang bukan Islam adalah wajib diteruskan secara bersambung dari satu
generasi ke generasi yang berikutnya.
Sekianlah yang dapat disampaikan pada ruangan kali ini, mudah-mudah kita dapat
menghidupkan seni dan budaya yang dibenarkan syarak dan mengetepikan apa saja
seni dan budaya yang bertentangan dengan syarak.
Mudah-mudahan hanya pemikiran ulama yang betul saja yang menjadi ikutan dan
pemikiran yang tiada betul walau dari siapa pun datangnya supaya dihindari oleh-Nya.

Anda mungkin juga menyukai