Anda di halaman 1dari 6

SEBAGAI negeri beradat perpatih, Negeri Sembilan kaya dengan warisan kebudayaan yang unik

seperti seni persembahan tradisional bongai, randai, dan tumbuk kalang. Walaupun kurang dikenali,
seni-seni persembahan ini masih berkumandang di sudut-sudut tertentu negeri ini walaupun gemanya
tidak selantang suatu ketika dahulu.
Bongai merupakan seni persembahan tradisional yang menggabungkan suara dan alunan muzik.
Dalam bahasa yang lebih mudah, persembahan bongai ialah acara berbalas pantun yang
disampaikan dalam bentuk lagu oleh para pemantun atau lebih dikenali sebagai pembongai.

Mohd. Shah bin Haji Abd. Rahman

Encik Mohd. Shah bin Haji Abd. Rahman, 73 tahun atau lebih dikenali sebagai Tuk Syah merupakan
salah seorang penggiat bongai asli di Negeri Sembilan. Menurut Tuk Syah yang tinggal di Batu Kikir,
Negeri Sembilan, seni persembahan ini dipercayai berasal dari Indonesia dan dibawa ke Negeri
Sembilan oleh mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu.
Keunikan bongai yang dipersembahkan dengan alunan muzik dan suara merdu para pembongai ini
tersebar ke banyak daerah di Negeri Sembilan terutamanya di kawasan kampung. Bongai menjadi
medium hiburan yang sangat digemari oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan sejak turun-
temurun.
Pada masa dahulu, Bongai dimainkan para petani untuk mengisi waktu lapang dan melepaskan lelah.
Menonton persembahan bongai merupakan salah satu cara untuk melegakan kerunsingan dan
masalah buat sementara waktu. Ada kalanya, para penonton akan turut serta berbongai dan
menghiburkan penonton yang lain.

Rata-rata ahli kumpulan bongai sudah lanjut usia

Selain itu, bongai juga dipersembahkan ketika majlis perkahwinan, malam berinai, majlis mencukur
jambul dan majlis berkhatan. Kelazimannya, ketika malam berinai, bongai akan dimainkan di tengah-
tengah rumah atau di bawah khemah bersama-sama ahli keluarga pengantin yang sedang sibuk
menyediakan kelengkapan majlis perkahwinan. Bongai dimainkan bermula pukul pada pukul 10:00
malam sehinggalah sebelum masuk waktu subuh.
Bongai dimainkan secara berkumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada pembongai dan kumpulan
pemuzik. Jumlah pembongai tidak tetap; boleh dinyanyikan secara solo, berduet atau berkumpulan
tiga atau empat orang. Walau bagaimanapun, hanya seorang pembongai sahaja yang bernyanyi atau
berpantun dalam satu-satu masa. Pembongai lain tidak boleh mencelah ketika bongai dilagukan.
Contohnya, pembongai kedua hanya boleh menyanyi selepas pembongai pertama selesai, dan begitu
juga untuk pembongai ketiga dan keempat. Pembongai boleh juga lelaki atau wanita.
Lirik bongai merupakan puisi Melayu lama seperti syair, gurindam, seloka, kiasan, ibarat dan
ungkapan peribahasa. Tema puisi yang sering menjadi pilihan para pembongai ialah tema usik-
mengusik, kasih sayang, rumahtangga serta kehidupan sekampung. Tema-tema sebegini selalunya
menjadi pilihan pembongai untuk menggambarkan perasaan, memberi nasihat, menyindir dan
berjenaka.
Dalam persembahan bongai, pelbagai irama didendangkan, antaranya Irama Anak Bocek, Irama
Petasih, Irama Budu Landai, Irama Cantik Manih dan Irama Cemperai.
Alat muzik asal dalam persembahan bongai terdiri daripada dua buah rebana, gong dan violin. Pada
masa kini, beberapa peralatan tambahan telah digunakan seperti gendang dan tamborin.

Tuk Shah akan berbongai selagi terdaya

Kini, persembahan bongai dimainkan pada majlis perkahwinan dan majlis-majlis keramaian yang lain
dengan cara yang berbeza. Jika dahulu, pembongai harus kreatif untuk mencipta sendiri tema dan
rangkap lirik bongai, kini pembongai hanya menyanyikan semula lirik yang sedia ada.
Seni persembahan bongai diancam kepupusan jika tiada usaha untuk terus
mengetengahkannya. Persaingan dengan muzik moden menyebabkan bilangan penggemar bongai
merosot. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kumpulan bongai yang masih aktif di Negeri
Sembilan, antaranya Kumpulan Bongai Seri Tengkek.
Encik Mohd. Shah yang sudah lanjut usia dan kerap uzur hampir kehabisan tenaga untuk terus
berbongai. Katanya, tiada siapa yang ingin mewarisi seni persembahan ini termasuk anak-anaknya
sendiri. Ahli kumpulannya juga terdiri daripada golongan yang seusia dengannya.
http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=2957
Pak Din Bongai

Bongai tidak asing lagi didalam mendefinasi muzik tradisional Negeri Sembilan, selain cak lempong dan
tumbuk kalang, Bongai mengikut asal usulnya adalah lagu- lagu yang dilantun ketika berlakunya kenduri
atau bahasanya ber'golek! Biasanya akan melibatkan dua individu lelaki atau wanita yang akan berbalas
lagu yang lebih berbentuk pantun, ada masanya lagu tersebut akan mengambil masa yang panjang dari
lepas magrib mulanya hingga ke awal subuh, semasa bongai ini dinyanyikan tidak boleh seorang pun
menggangu pelantunnya, begitulah penangan bongai.

Menurut Pak Din Bongai atau nama sebenarnya Udin bin Russin pejuang lagu-lagu bongai, bongai ini
berasal dari Negeri Sembilan sendiri, tidak ada maling dari negara seberang mahupun secara tradisinya
di bawa oleh orang minang ke sini. Ini lagu asal Negeri Sembilan! Tegas Pak Din, menurutnya Bongai
maksudnya dikenalpasti melalui dua frasa 'Bong - bermaksud abang ' ai - bermaksud kesayangan,
digabungkan adalah abang kesayangan. Atau lebih tepat lagi alahai abangku sayang. Menurutnya lagi
disebabkan pada masa dahulu lagu- lagu melalui lisan banyak didendangkan untuk menghibur tetamu
yang datang kenduri kahwin, dan tuan rumah akan mengundang penyanyi bongai yang sudah terkenal
ini bagi menyerikan lagi majlis.

Seperti genre muzik yang lain bongai juga mengalami asiminasi dengan unsur- unsur barat bongai di
tokok tambah dengan memasukan instrumen muzik, menurut Pak Din, bongai pertama kali dimainkan
dengan diringi instrumen viola sekitar 40 an dahulu. Kemudian instrumen ringgan seperti kerincing,
gendang, cak lempong, sualang dan kompang juga dimasukan sekali. Ini membuatkan lagu- lagu bongai
bertambah menarik. Lagu- lagu bongai juga tidak lagi dilantun secara duo, hanya memerlukan seorang
penyanyi sahaja. Bongai agak popular sekitar tahun 50 an, lagu terkenal seperti anak bocek dan hitam
manieh umpama lagu pisang panas yang menjadi permintaan ramai tetamu kenduri kendara.

Lagu anak bocek ini adalah antara lagi-lagu bongai yang selalu dimainkan oleh pembongai, lagu anak
bocek ini menceritakan anak katak ( Anak Bocek) yang agak keliru dengan kehidupanya di sungai
mahupun didarat apa pun kita hayati liriknya dibawah, lagi ini terdapat dalam 2 versi, satu versi saya
tidak pasti dari kumpulan bongai mana, lagunya lebih kepada pukulan gendang dan satu lagi adalah
kumpulan bongai Kg Seri Purun Kuala PIlah yang dipimpin oleh Pak Din Bongai yang lagunya lebih
kepada gesekan viola

Apa umpan anak bocek

Anak cacing golang-golang

Macamano saya nak manjat


Saya kocik bolum godang

Ikut anak si gading bocek

Sisir pisang omak bawakan

Pisang nangka keras benar

Pisang embun besar benar

Pisang kapas masak eh lembik

Pisang emas kecik benar

Pisang raja kulitnya tebal

Apo lak pisang hai bocek

Kemana bocek nak pergi

Kehilir airnya deras

Kehulu empangan batu

Ke darat empangan bangku

Main ketengah jala bermain

Main ketepi tangguk bermain

Mengendap tiruk bermain

Kemana jua bocek nak pegi

Kecipa nan terbau

Mengendap anak seluang

Bertukar ke panau

Kedepan dan kebelakang

Barulah bocek pulang

Inilah dia yang mak harapkan


Kepopularan bongai akhirnya reda sekitar tahun 70 an disebabkan kemasukan lagu- lagu yang lebih
moden yang banyak menambat hati orang melayu ketika itu. Irama pop yeh, rock n roll menegelamkan
lagu bongai, Lebih teruk lagi tiada inisiatif dimainkan oleh pihak yang berwajib didalam mempopularkan
kembali bongai ini. Mujur ada pejuang seperti Pak Din Bongai yang terus menerus memperjuangkan
irama bongai ini tanpa ada perasaan letih atau berputus asa. Berkat kegigihan beliau maka lagu bongai
kembali mendapat tempat didalam persembahan kebudayaan yang membabitkan kebudayaan Negeri
Sembilan. Muncul juga beberapa kumpulan bongai yang masih lagi bertahan memperjuangkan lagu
bongai seperti kumpulan anak Desa Seri Purun dan kumpulan bongai Sri Petaseh Kuala Kepis.

Pak Din Bongai mengharapkan ada pihak yang sudi menyediakan kelas pengajaran bagi memberi
pendedahan kepada anak muda tentang lagu- lagu bongai, lagu bongai ini juga perlu dijadikan
matapelajaran muzik disekolah-sekolah, beliau percaya hanya dengan cara tersebut bongai akan terus
bertahan sebagai hak milik mutlak masyarakat Negeri Sembilan. Beliau juga akan terus memberi dan
mengerahkan tenaga bagi mengelakkkan kecairan identiti masyarakat Negeri Sembilan dimata dunia.

*Pak Din bongai ketika ditemui penulis sekitar tahun 2008 masih sihat dan kuat mendendangkan lagu
bongai, beliau juga telah berjaya merakam album bongai ini melalui jabatan kesenian dan kebudayaan
Negeri Sembilan.

https://beritan9.blogspot.com/2013/01/bongai-tradisi-yang-semakin-dilupakan.html

Anda mungkin juga menyukai