Anda di halaman 1dari 1

Karangan Contoh

Dalam era globalisasi, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan
perhatian utama. Hal ini dikatakan demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan bahawa ilmu
atau pengetahuan akan menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu,
semua orang hendaklah berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk
kesejahteraan hidup seperti kata-kata hikmat, “Ilmu pelita hidup”. Jadi, semua orang khususnya para
remaja perlu menggunakan masa ketika muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin.
Dengan adanya ilmu, sudah tentu seseorang itu akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya
dalam era globalisasi ini.

Dengan menguasai ilmu, seseorang itu boleh mencipta peralatan baharu atau membuat inovasi dalam
pelbagai bidang. Alat atau ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada
kehidupan seharian manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi baharu yang dicipta pada masa ini,
contohnya telefon bimbit, komputer riba, drone, dan alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu
memerlukan ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam teknologi. Jadi, pada masa akan datang sudah pasti
budaya yang mementingkan ilmu dalam pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan
bercorak global dewasa ini. Perkara ini dikatakan demikian kerana dalam era globalisasi, k-ekonomi
merupakan trend baharu dalam perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah
menguasai dunia perniagaan pada masa ini. Jadi, setiap orang harus mengikut arus kemajuan k-
ekonomi tersebut untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan zaman jika tidak mahu menjadi seperti
katak di bawah tempurung. Dengan menyesuaikan diri mengikut perubahan zaman, seseorang peniaga
itu dapat memajukan diri dalam bidang perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang pemimpin menguasai ilmu sudah pastilah individu tersebut dapat memajukan diri dan
negaranya sendiri. Hal ini dikatakan demikian kerana negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu
pengetahuan tinggi selaras dengan era globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu
akan membawa perubahan yang positif untuk kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat
menguasai ilmu, sudah pastilah negara kita akan tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain.
Jadi, seperti kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, para pemimpin juga perlu
menguasai pelbagai ilmu terutamanya ilmu teknologi maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang
bersifat proaktif dalam semua hal. Perkara itu bermakna masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir
secara positif atau optimis tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula
berputus asa. Sebagai contohnya, seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan
masalah itu sebagai cabaran dan bukannya halangan untuk mencapai objektifnya. Oleh itu, kita
hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran
sepanjang hayat atau “life long learning” sebagai amalan dalam kehidupan.

Anda mungkin juga menyukai