Anda di halaman 1dari 1

Kepentingan Menguasai Ilmu dalam pelbagai Bidang

qihui@BM
Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang akan menentukan kejayaan seseorang itu.
Huraikan kepentingan menguasai ilmu dalam pelbagai bidang pada masa ini.

Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang memang penting dan perlu diberikan
perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan ilmu atau pengetahuan akan
menjamin kejayaan seseorang itu jika digunakan dengan bijaksana. Oleh itu, semua orang hendaklah
berusaha untuk mencari seberapa banyak ilmu yang mungkin untuk kesejahteraan hidup seperti kata-kata
hikmat, Ilmu pelita hidup. Jadi, semua orang khususnya para remaja hendaklah menggunakan masa ketika
muda ini untuk mencari ilmu sebanyak mana yang mungkin. Dengan adanya ilmu, sudah tentu seseorang itu
akan mendapat manfaat yang banyak terutamanya dalam era globalisasi ini.

Dengan adanya ilmu, seseorang itu boleh mencipta inovasi baru dalam pelbagai bidang kehidupan manusia
hari ini. Ciptaan baharu yang berupa inovasi itu akan memberikan kemudahan kepada kehidupan seharian
manusia. Sebagai buktinya, banyak inovasi baharu yang dicipta pada masa ini, contohnya telefon bimbit,
komputer riba dan pelbagai alat canggih yang lain. Hal ini sudah tentu memerlukan ilmu dan kemahiran yang
tinggi dalam teknologi. Jadi, pada masa akan datang sudah pasti budaya yang mementingkan ilmu dalam
pelbagai bidang akan menguasai budaya masyarakat.

Ilmu yang dimiliki juga membolehkan kita menguasai bidang perniagaan yang semakin kompleks dan
bercorak global. Perkara ini demikian kerana, dalam era globallisasi, k-ekonomi merupakan trend baru dalam
perniagaan. Jadi, ekonomi yang berasaskan pengetahuan sudah menguasai dunia perniagaan pada masa ini.
Oleh itu, jika seseorang tidak dapat mengikut arus k-ekonomi ini, sudah pasti orang itu akan ketinggalan
zaman iaitu, seperti katak di bawah tempurung dan pastinya akan gagal untuk memajukan diri dalam bidang
perniagaan pada masa ini.

Jika seseorang itu menguasai ilmu sudah pastilah dia akan dapat memajukan diri dan negaranya sendiri. Hal
ini demikian kerana, negara kita memerlukan pemimpin yang berilmu pengetahuan tinggi selaras dengan era
globalisasi pada masa ini. Seseorang pemimpin yang berilmu akan membawa perubahan yang positif untuk
kemajuan rakyat dan negara. Jika pemimpin tidak dapat menguasai ilmu, sudah pastilah negara kita akan
tertinggal di belakang negara-negara maju yang lain. Jadi, seperti kata pepatah, Hendak seribu daya, tak
hendak seribu dalih, para pemimpin juga perlu menguasai pelbagai ilmu terutamanya ilmu teknologi
maklumat dan komunikasi.

Sekiranya rakyat negara ini dapat menguasai ilmu, sudah pasti hal ini akan melahirkan masyarakat yang
proaktif. Perkara ini demikian kerana, masyarakat yang berilmu sentiasa berfikir secara positif atau optimis
tentang sesuatu masalah dan tidak berfikir secara pesimis dan mudah pula berputus asa. Sebagai contohnya,
seseorang yang berfikir secara positif sudah tentu akan menjadikan masalah itu sebagai cabaran dan
bukannya halangan untuk mencapai objekifnya. Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan budaya yang sentiasa
dahaga akan ilmu dan menjadikan budaya pembelajaran sepanjang hayat atau life long learning sebagai
amalan dalam kehidupan.
Kesimpulannya, ungkapan orang yang menguasai ilmu akan menguasai dunia perlulah diberikan perhatian oleh
semua orang. Dengan berdasarkan ungkapan itu, janganlah kita suka membuang masa kerana masa itu emas
dan masa tidak akan menunggu kita. Sekiranya kita lalai dan tidak menggunakan masa dengan bijaksana,
sudah tentu kita akan termasuk dalam golongan yang berada dalam kerugian. Jadi, gunakanlah masa yang ada
untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang teknologi maklumat yang sentiasa berubah
hampir setiap hari.

Anda mungkin juga menyukai