Anda di halaman 1dari 17

1

KONFLIK MINORITI MUSLIM ROHINGYA DI MYANMAR DAN


PENYELESAIANNYA

NURUL QOLBI BINTI MOHD NGALIM


Student MA Syariah. Fakulti Pengajian Islam, UKM.
ismialbi.stti2012@gmail.com

NAPISAH KARIMAH BINTI HAJI ISMAIL


Lecterur, Arabic Studies dan Islamic Civilization. Fakulti Pengajian Islam. UKM
nkarimah26@gmail.com

ABSTRAK

Isu pergolakan dan penindasan etnik Rohingya merupakan isu pasang surut yang tercetus sejak
mereka ditempatkan di bawah pemerintahan Myanmar selepas negara tersebut mencapai
kemerdekaan dari penjajah British pada tahun 1948. Rusuhan etnik yang tercetus pada 6 Jun 2012
menggemparkan dunia sehingga membawa kepada isu pelarian golongan minoriti ini secara besar-
besaran ke negara-negara jiran berhampiran. Makalah ini bertujuan mengenalpasti faktor utama
konflik yang berlaku antara etnik Rohingya dengan penduduk Rakhine beragama Buddha dan
kerajaan Myanmar dan cara penyelesaiannya. Konflik yang berlanjutan ini menyebabkan hak asasi
mereka diabaikan dan tidak diakui oleh kerajaan Myanmar sebagai rakyat. Kajian kualitatif dengan
pengumpulan data secara analisis dokumen dan temu bual ini mendapati bahawa golongan minoriti
Rohingya dahulunya adalah penduduk wilayah Arakan sebelum British datang menjajah pada tahun
1948. Namun wilayah tersebut terpaksa bergabung dengan negeri Burma dan menjadi sebuah
negara baru yang dikenali sebagai Myanmar. Rentetan daripada itu, pelbagai kontroversi dan konflik
terpaksa dihadapi etnik Rohingya yang berpunca daripada dasar diskriminasi agama dan faktor
genosid melalui kuat kuasa undang-undang Citizenship of Law pada tahun 1982 yang
mengakibatkan hak-hak kemanusiaan mereka dicabuli. Makalah ini mendedahkan konflik sebenar
yang berlaku antara muslim dengan non-muslim di Myanmar berpunca dari sentimen agama dan
rasis. Justeru, pentingnya mencari solusi ke arah perdamaian di samping menyedarkan peranan
masyarakat Islam bahawa isu Rohingya adalah isu umat Islam yang perlu digembleng bersama ke
arah mencapai khairun ummah.

Kata Kunci: Rohingya; Myanmar; Hak Kemanusiaan; genosid & citizenship of Law

PENDAHULUAN

Negara Burma merupakan sebuah negara Republik Sosialis (Dyadaungan Socialist Thammada
Myanma Nainnggnam). Secara rasminya, nama negara ini ditukar daripada Burma menjadi
Myanmar pada 18 Jun 1989 dan ibu kotanya daripada Rangoon kepada Yangon. Wilayah Arakan
dahulunya pernah ditadbir oleh sebuah kerajaan Islam iaitu Dinasti Maruak-U pada tahun 1430
sehinggalah dijajah oleh burma pada tahun 1785. Kemudiannya, kuasa British telah menjajah Burma
pada tahun 1826 sehingga tahun 1942 sebelum ia jatuh pula ke tangan jepun. Namun, British
berjaya mendapatkan semula Burma pada tahun 1946. Ketika burma mencapai kemerdekaan pada
tahun 1948, wilayah Arakan di mana kawasan penempatan etnik Rohingya telah disatukan dengan
Burma.
Sejarah wilayah Arakan ini telah dikaji oleh Abu Talib (2008), Monosin (2013) dan Monosin
(t.th) yang menjelaskan bahawa penggabungan wilayah ini tidak mendapat persetujuan muslim
Rohingya di Arakan yang majoritinya adalah penduduk di wilayah tersebut. Rentetan daripada itu,
berlakunya sistem pendaftaran kerakyatan yang kurang berkesan dalam kalangan masyarakat
muslim Rohingya seperti mana yang disyorkan oleh pihak kerajaan Burma pada tahun 1982. Bahkan
isu etnik ini dikuatkan lagi dengan beberapa fakta pakar sejarah mengenai negara tersebut yang
menafikan kewujudan etnik Rohingya sebagai peribui wilayah Arakan (Daerah Rakhine selepas
kemerdekaan Myanmar). Masalah tersebut menjadi semakin rumit apabila kegagalan pejabat
2

pendaftaran menyimpan rekod pendaftaran mereka dengan sempurna, ditambah pula pemerintahan
rejim yang bersifat sosialis.
Mengulas mengenai isu minoriti, antara pengkaji lepas yang membincangkan konflik etnik
Rohingya ialah Zarkowi Soejoeti (2005), Izziah Suryani Arshad (2002), Harun Yahya (t.th), Ahmad
Shafiqul Huque (1990), Azharudin Mohamed Dali & Azlinariah Abdullah (2012) mengatakan migrasi
etnik Rohingya ke negara jiran berhampiran setelah mana kewarganegaraan mereka tidak diiktiraf
oleh pihak kerajaan Myanmar pada masa itu.
Ditambah dengan pendirian etnik Rohingya dalam memelihara identiti dan memperjuangkan
peribumi Arakan menyebabkan mereka sering kali ditindas, dianiayai dan didiskriminasi oleh
pemerintah Myanmar. Konflik tercetus bukan sahaja dengan kerajaan bahkan juga dengan etnik
rakhine beragama Buddha. Impak daripada itu, berlakunya masalah pelarian, penghapusan etnik
dan sebagainya. Kajian lepas tidak menunjukkan satu kajian berbentuk solusi dan faktor sebenar
yang membawa kepada konflik yang terus-menerus melanda Rohingya.
Konflik yang berlaku secara berterusan ini membawa satu persoalan untuk mengkaji lebih
mendalam tentang masalah yang dihadapi oleh umat Islam di negara tersebut. Justeru, kajian
terperinci mengenai faktor utama yang mempengaruhi konflik muslim Rohingya dan cadangan solusi
akan ditekankan dalam makalah ini supaya setiap pihak yang terlibat dapat bergerak membantu
mengurangkan kesengsaraan etnik Rohingya sehingga digelarkan sebagai etnik paling teruk
tertindas di dunia.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan kaedah pengumpulan data secara analisis
dokumen dan temu bual. Kaedah analisis kandungan (Content Analysis) telah digunakan untuk
mendapatkan maklumat atau data yang berbentuk sekunder seperti konsep minoriti dan sejarah
perkembangan negara Myanmar. Di samping itu, kaedah ini juga digunakan bagi mengetahui secara
khusus sejarah kemunculan masyarakat Muslim Myanmar serta faktor yang menyumbang kepada
konflik etnik Rohingya. Analisis dokumen ini dilakukan melalui pembacaan buku, jurnal, makalah,
tesis, kertas kerja, majalah, akhbar tempatan dan berita online yang membincangkan isu mengenai
bidang yang dikaji.
Kajian ini tertumpu di Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL), Perpustakaan Alam dan
Tamadun Melayu (PATMA) dan bilik sumber Fakulti Pengajian Islam (FPI) yang mempunyai
maklumat yang berkaitan dengan kajian tersebut. Ia menjadi pilihan kerana menyediakan pelbagai
kemudahan dalam usaha untuk mendapatkan sumber maklumat. Antara bahan yang didapati di
perpustakaan ialah buku, jurnal, kertas kerja prosiding dan tesis. Bagi mendapatkan maklumat
tambahan, pencarian data melalui laman sesawang yang diiktiraf digunakan dan dapat dijadikan
hujah bagi melengkapkan kajian ini.
Isu-isu mengenai Muslim minoriti di Myanmar telah banyak dibincangkan oleh para pengkaji
sebelum ini. Walau bagaimanapun, agak sedikit yang membincangkan secara terperinci mengenai
Muslim etnik Rohingya terutama mengenai konflik berlanjutan yang dialami mereka. Justeru itu,
kajian ini turut menggunakan kaedah temu bual digunakan melalui email dan sesi pertemuan dengan
persatuan NGO di Malaysia seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Semalaysia (MAPIM) dan
Future Global Network (FGN) bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan objektif kajian.

OBJEKTIF KAJIAN

Antara objektif yang diharapkan daripada penyelidikan ini adalah seperti berikut:
1. Mengkaji latar belakang kewujudan minoriti muslim Rohingya di Myanmar
2. Mengenal pasti faktor utama kepada tercetusnya konflik-konflik dalam kalangan minoriti muslim
Rohingya di Myanmar
3. Mengesyorkan penyelesaian dan menelusuri usaha yang dilakukan oleh NGO-NGO kemanusiaan
di Malaysia dan peringkat antarabangsa terhadap pelarian etnik Rohingya.

DAPATAN KAJIAN

Definisi Minoriti Muslim

Kaum minoriti yang terserlah adalah disebabkan perbezaan agama. Di antara sifat kaum minoriti
ialah kebiasaannya, ia berada dalam posisi yang lemah di hadapan kaum majoriti. Umumnya jumlah
3

yang banyak menunjukkan kekuatan dan jumlah yang sedikit menunjukkan kelemahan (Haniff 2008).
Minoriti di sini membawa maksud sesuatu kelompok manusia di sebuah negara yang berbeza dari
kebanyakan penduduk negara itu. Perbezaan itu mungkin dari sudut agama, ikutan mazhab,
keturunan, bahasa dan lain-lain dari perkara-perkara asasi yang membezakan antara sekelompok
manusia dengan kelompok yang lain. Etnik Muslim Rohingya adalah golongan minoriti Muslim di
negara Myanmar.
Muslim Rohingya merupakan penduduk asal wilayah Arakan yang dipaksa menggabungkan
wilayah mereka dengan wilayah Burma dan kini ianya dikenali sebagai Myanmar. Bumi Arakan
terletak di bahagian barat Myanmar dan merupakan salah sebuah daripada 14 wilayah jajahan di
bawah takluk kerajaan Myanmar (Jamil 1993). Arakan, suatu ketika dahulu pernah diperintah oleh
kerajaan Islam yang pertama di Arakan pada tahun 1430. Zaman kegemilangannya berlaku semasa
pemerintahan sultan Zabuk Shah iaitu antara tahun 1531 sehingga 1553. Kerajaan Islam ini mulai
jatuh apabila raja Shah Shuja mangkat akibat dibunuh pada tahun 1660-an. Sejak peristiwa
pembunuhan tersebut, Arakan mengalami pergolakan politik sehingga telah membuka peluang
kepada raja Bodawphaya iaitu raja Burma menakluk Arakan pada tahun 1784 (Jamil 1993). Kini,
mereka menjadi golongan minoriti di tanah air sendiri atas sebab polisi, penindasan dan kezaliman
yang dilakukan oleh pihak Burma mahupun British.

Latar Belakang Etnik Rohingya Di Myanmar

Dari sudut sejarah kedatangan Islam ke Burma, agama Islam telah tiba di Burma khususnya wilayah
Arakan sejak abad pertama Hijrah melalui pedagang-pedagang Arab yang datang ke Akyab, ibu kota
Arakan melalui jalan laut untuk berniaga dan berdakwah (Izziah 2002). Setelah beberapa tahun,
Islam mula bertapak di hati penduduk tempatan dan bilangan serta kekuatan Islam semakin
bertambah. Raja Arakan yg pertama bernama Sulaiman Shah yang dibantu oleh Sultan Nasiruddin
Shah selaku gabenor di Bengal pada tahun 1403. Bermulanya pergolakan dalam pemerintahan
Arakan apabila Raja Sulaiman Shah yang menaiki takhta pada tahun 1404 diserang oleh tentera
Raja Burma lalu melarikan diri ke Gaur, India (Rohana 1997).
Sekiranya dilihat dari perspektif kelompok masyarakat Islam di Burma, penduduk Islam
Myanmar terdiri daripada pelbagai etnik atau keturunan seperti India, Burma, Cina, Rakhine dan
beberapa lagi kumpulan kecil termasuk orang Melayu. Pada tahun 1958, penduduk Islam
dianggarkan berjumlah lebih daripada 600 000 orang. Separuh daripada mereka adalah golongan
imigran yang datang dari India dan Pakistan. Pada tahun 1977, penduduk Islam Burma dipercayai
membentuk 10% daripada penduduk Burma. Bagaimanapun, bancian tahun 1983 menunjukkan
penduduk Islam Burma hanya membentuk 3.9% daripada 34 juta orang penduduk Burma (Izziah
2002; Saifullah & Samsu 2009).
Pada tahun 1931, secara umum ada empat kategori kaum Muslim berdasarkan keturunan
iaitu orang Islam berketurunan India (Kala Pathee) membentuk kira-kira 65% daripada penduduk
Islam diikuti orang Islam keturunan Burma-India (zerbadee) yang membentuk 30%, Muslim Cina
(Pashu atau Panthay), Burma Muslim Melayu dan etnik-etnik yang lain membentuk sebanyak 5%.
Pada 1992, kepelbagaian etnik Islam ini membentuk 45% daripada keseluruhan penduduk Islam
Burma. Kira-kira sejuta orang iaitu 18% tinggal di sekitar Yangon, 100 000 orang tinggal di sekitar
Mandalay dan 30 000 orang tinggal di Maymo. Jumlah yang selebihnya tinggal berselerak di seluruh
negara Burma (Izziah 2002; Saifullah & Samsu 2009).
Pertubuhan-pertubuhan Islam mendakwa nisbah masyarakat Islam mengikut keturunan
pada tahun 1995 adalah 50% penduduk Islam berketurunan Burma, 48% berketurunan India dan 1%
berketurunan Cina. Sementara pada tahun 1996 pula mencatatkan seramai 5.55 juta orang iaitu
kira-kira 12.4% daripada keseluruhan penduduk adalah beragama Islam. Masyarakat Islam Burma
hidup berasingan dalam kelompok masing-masing berdasarkan bangsa atau keturunan mereka.
Setiap daripadanya juga mempunyai kedudukan yang berbeza dalam masyarakat Burma (Izziah
2002).
Masyarakat Islam Arakan atau Rakhine yang bersempadan dengan Bangladesh dikenali
sebagai golongan Rohingya yang merupakan generasi yang lahir hasil perkahwinan campur
pedagang-pedagang Arab dan Parsi dengan wanita-wanita tempatan sejak abad ke-7 atau ke-9
Masihi. Di samping masyarakat Islam Rohingya, terdapat juga golongan Benggali yang berhijrah ke
situ semasa pendudukan British. Kumpulan etnik Rohingya merupakan minoriti muslim yang tinggal
bersama masyarakat Buddha di Arakan dan hidup terasing daripada kedua-dua golongan Islam
keturunan India dan Burma. Mereka merupakan golongan Islam yang paling miskin dan paling teruk
menerima penindasan daripada pihak pemerintahan Burma. Semasa zaman penjajahan, mereka
menikmati kehidupan yang baik di bawah pemerintahan British. Kesetiaan mereka terhadap British
ketika penaklukan Jepun menyebabkan berlakunya pergeseran antara etnik Rohingya dengan
4

masyarakat majoriti Buddha. Pergeseran ini merupakan titik permulaan gerakan pengusiran
kumpulan masyarakat Islam Rohingya ke Bangladesh (Izziah 2002).

Konflik Minoriti Muslim Rohingya Di Myanmar

Isu Kerakyatan (Citizenship Of Law 1982)

Pembentukan Myanmar yang wujud pada alaf ke-21 kini merupakan gabungan dua negara iaitu
Burma dan Arakan. Pada tahun 1430, negara Arakan pernah ditadbir oleh kerajaan Islam yang
masyhur iaitu dinasti Mrauk-U. Kerajaan Islam ini mula bertapak di sana bermula dengan
pengaruh yang dibawa oleh Sultan Sulaiman Shah sehinggalah berakhir pada zaman
Sultan Shah Shuja pada tahun 1660-an. Apabila Arakan mengalami masalah dan konflik politik
dalaman, Raja Bodawpaya yang merupakan pemerintah kerajaan Burma ketika itu telah
mengambil peluang tersebut untuk menjajah wilayah Islam Arakan. Arakan yang majoritinya dihuni
oleh penduduk Rohingya Islam terpaksa akur dan menerima penjajahan Burma ke atas
wilayah mereka pada tahun 1784.
Selain itu, Arakan juga pernah dijajah oleh British apabila kuasa kolonial ini berjaya
mengalahkan Burma dalam perang tahun 1822, 1824 dan diakhiri melalui perjanjian Yandabo
Burma-British 1826. Arakan sekali lagi turut menerima tempias yang sama hasil daripada
penjajahan tersebut yang mana British menyatukan wilayah Burma dengan Arakan tanpa
persetujuan penduduk Arakan pada tahun 1948 iaitu tahun kemerdekaan negara Burma. Burma
telah diperintah oleh parti AFPFL (Anti- Facisct People’s Freedom League) dan Perdana Menteri
Burma yang terpilih semasa pilihanraya umum yang diadakan oleh British adalah U Nu (Jamil
1993).
Sewaktu pemerintahan U Nu, penduduk Arakan termasuk etnik Rohingya dan etnik Rakhine
sama-sama menuntut kuasa autonomi Arakan dari kerajaan Burma. Ketika inilah wujudnya
pelbagai persatuan Islam Arakan untuk menuntut hak di wilayah tersebut. Undang-undang
Kerakyatan 1947 yang dilaksanakan U Nu member i sedikit ruang kepada etnik Rohingya untuk
bernafas bebas kerana etnik ini diiktiraf dan tergolong sebagai rakyat Naturalized. Sehinggalah
tahun 1960, janji hanya tinggal janji apabila kemenangan U Nu untuk pilihanraya negara untuk kali
kedua hanya memberikan kawasan khas di Mayu yang mewakili daerah Rathedaung, Buthidaung
dan Maungdaw sebagai tempat perkumpulan etnik Rohingya (Azharudin & Azlinariah 2012).
Apabila Burma dikejutkan dengan rampasan kuasa oleh pimpinan junta tentera pada tahun
1962 melalui parti BSPP, keadaan etnik Rohingya bertambah derita dan pelbagai birokrasi undang-
undang yang dilaksanakan oleh Ne Win jelas menunjukkan sikap berat sebelah terhadap etnik
tersebut. Jeneral Ne Win telah menjadikan kawasan Mayu sebagai tempat isolasi atau pengasingan
dari wilayah-wilayah Burma. Pemerintah junta tentera ini melarang rakyat Burma daripada
melakukan sebarang bentuk bantuan atau kerjasama dengan penduduk etnik Rohingya di kawasan
Mayu tersebut. Akibatnya, masyarakat etnik Rohingya terus terpinggir daripada pembangunan,
pendidikan dan perkhidmatan umum yang sepatutnya diterima sebagai seorang rakyat Burma pada
masa itu (Azharudin & Azlinariah 2012).
Tidak cukup dengan pengasingan wilayah tersebut, etnik Rohingya juga terus ditindas dengan
kewujudan undang-undang baru atau Citizenship Of Law pada tahun 1982 yang dilancarkan oleh
Jeneral Ne Win. Pengenalan undang-undang ini secara automatiknya menjadikan etnik
Rohingya tidak termasuk sebagai sebahagian penduduk Burma dan etnik mereka juga tidak
diiktiraf. Alasan yang diberikan kerajaan junta ini ialah etnik Rohingya tak pernah wujud dalam
sejarah Burma dan kehadiran mereka hanyalah selepas penjajahan British ke atas Burma tahun
1826 dari Chittagong, Bangladesh. Hakikatnya masyarakat Rohingya merupakan penduduk asal
yang mendominasi populasi negeri Arakan sebelum penjajahan Burma dan British ke atas wilayah
tersebut (Izziah 2002).
Semasa zaman kegemilangan Islam, etnik Rohingya merupakan orang penting dalam
pentadbiran negeri, bahkan memainkan peranan juga dalam hal ehwal ekonomi dan sosial
masyarakat Islam Arakan. Mereka menjadi minoriti apabila berlakunya banyak keluar masuk
penduduk Arakan ini dari Akyab ke Chittagong, kesan daripada penjajahan dan peperangan British-
Burma. Apabila mereka pulang semula ke tanah air mereka iaitu Arakan selepas keadaan kembali
reda dari peperangan, kebanyakan harta benda mereka dan rumah-rumah telah dimiliki oleh orang
Arakan Buddha. Orang Arakan Buddha ini juga dikenali sebagai puak Magh dan merupakan puak
minoriti di selatan Arakan. Asalnya mereka adalah etnik yang sama tetapi agama yang memisahkan
kedua-dua etnik ini. Kini puak Magh menggelarkan diri mereka sebagai etnik Rakhine. Etnik Rakhine
5

juga telah berkomplot dengan kerajaan dalam operasi pengosongan bumi Arakan daripada
masyarakat Islam.
Pengusiran golongan etnik Rohingya sedikit sebanyak berjaya dilakukan oleh junta tentera
apabila setiap operasi kejam yang dilakukan terhadap etnik tersebut seperti Naga Min tahun
1978, Phi Thaya tahun 1991 dan Na-Sa-Ka tahun 1992 sehingga kini telah menyebabkan
golongan ini meninggalkan halaman rumah dan mencari tempat yang lebih selamat. Justeru,
kerajaan junta mengambil kesempatan tersebut dengan memenuhi wilayah ini dengan penduduk
Rakhine dan Burma yang beragama Buddha. Jumlah etnik Rohingya semakin lama semakin
berkurangan dan akhirnya menjadi gologan minoriti di negeri sendiri.
Pilihanraya umum tahun 1990 menyaksikan pemerintah junta tentera iaitu Parti State Law
and Order Restoration Council (SLORC) merobek dasar demokrasi negara tersebut apabila suara
majoriti yang dimenangi parti Liga Arakan bagi Demokrasi (ALD), Parti Demokratik Kebangsaan Hak
Asasi Manusia (NDPHR) dari parti etnik Rohingya dan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) tidak
diakui oleh pihak pemerintah. Pentadbiran Burma kekal kepada parti State Law and Order
Restoration Council (SLORC), pimpinan Saw Maung sehinggalah parti Majlis Pembangunan dan
Keamanan Negara (SPDC) yang kini dipegang oleh Thein Sein. Thein Sein menang melalui
Pilihanraya Umum 2010 yang pertama kalinya dipilih oleh suara majoriti rakyat Myanmar tanpa
sebarang bentuk diskriminasi yang dilakukan sepertimana pemerintahan junta terdahulunya.
Namun, isu status etnik Rohingya masih kekal sebegitu tanpa ada tindakan segera dan efisyen
yang dilakukan pihak kerajaan. Bertitik tolak daripada konflik status kerakyatan etnik Rohingya ini,
kerajaan menjadikan ia sebagai medium penghapusan etnik ke atas etnik Rohingya dengan
mengenakan pelbagai operasi dan tindakan tanpa sebab-sebab yang kukuh. Hukuman yang
dikenakan pula agak berlebih-lebihan dan tidak berpatutan dengan tindakan yang dilakukan oleh
penduduk etnik Rohingya. Kerajaan baru Myanmar di bawah kepimpinan Perdana Menteri Thein
Sein menggalas amanah untuk mencari jalan menyelesaikan krisis itu dengan segera terutama bagi
melindungi keselamatan penduduk Rohingya.
Seperti mengharapkan Pegar, pegar makan padi. Kerajaan pro-demokrasi yang baru
dibentuk (pimpinan Thien Sien) dan Pemenang Anugerah Nobel, Aung San Su Kyi tetap tidak berani
mengecam tindakan pelampau penganut Buddhist. Mereka khuatir untuk memberi keadilan kepada
masyarakat Rohingya kerana secara realitinya mereka adalah pemimpin kepada rakyat Myanmar
yang majoriti beragama Buddhist. Mereka turut mengesahkan dasar-dasar yang diwujudkan oleh
pemerintah terdahulu atas kepentingan politik dan keselamatan nasional.

Isu Penghapusan Etnik (Genosid) Oleh Kerajaan Myanmar

Masalah pengklasifikasian etnik ini bermula secara seriusnya pada tahun 1953. Kemenangan parti
Union dari pimpinan AFPFL yang berfahaman liberal pada pilihanraya tahun 1960 memberikan satu
peluang yang baik untuk etnik Rohingya kerana pemerintahan ini memberikan kelonggaran untuk
etnik ini lebih bergerak bebas. kerajaan telah menubuhkan kawasan khas di Mayu sebagai tempat
khas orang Islam untuk menjalankan kehidupan mereka melalui dasar program ‘pengasingan
wilayah’. Apabila isu kewarganegaraan Muslim Rohingya gagal diselesaikan oleh pihak kerajaan
Myanmar selepas zaman kemerdekaan, maka kerajaan mencari alternatif lain apabila mereka telah
melancarkan kempen pembersihan etnik ke atas penduduk Islam khususnya orang Islam Rohingya
bertujuan untuk mengosongkan bumi Arakan daripada penduduk Islam dan mewujudkan wilayah
Buddha yang tidak dihuni oleh seorang pun orang Islam (Rohana 1998).
Rakyat Myanmar sememangnya tidak boleh menerima etnik Rohingya. Anggota
keselamatan turut memberikan tekanan dan bekerjasama dengan etnik Rakhine untuk membunuh
Muslim Arakan dengan mengulangi tindakan ‘Dragon King Operation’ tahun 1978. Sepanjang
operasi itu, lebih 1,700 orang etnik Rohingya dibunuh kerana gagal menunjukkan kad pengenalan,
manakala ribuan wanita dirogol dan 200,000 orang menjadi pelarian di Bangladesh. Sebaik sahaja
tiba di Bangladesh, lebih 10,000 orang meninggal dunia, akibat menjadi mangsa kebuluran dan
menghidap penyakit (Monosin 2013).
Pada bulan Julai 1991, kempen pembasmian etnik Rohingya dilancarkan dengan kod ‘Pyi
Thaya’. Kempen yang kononnya dilaksanakan atas dasar keselamatan ini menyaksikan sekali lagi
pembunuhan serta kezaliman ke atas kaum Muslimin Rohingya di bahagian utara Rakhine. Dalam
operasi ini, pihak tentera dan polis yang majoritinya adalah orang Burman telah ditempatkan di
kawasan yang diduduki orang Rohingya. Dalam kes di Rakhine ini, orang Burma seolah-olah bebas
melakukan sebarang tindakan ke atas orang Rohingya kerana mereka dilindungi oleh pasukan
keselamatan. Operasi yang dilaksanakan oleh kerajaan pada 1991 itu hakikatnya adalah
sebahagian daripada ‘program jangka panjang’ pihak kerajaan untuk menghapuskan etnik
6

Rohingya selepas Citizenship Law Of Burma dilancarkan pada tahun 1989 (Azharuddin & Azlinariah
2012).
Etnik Rohingya yang masih tinggal di Arakan dihapuskan sedikit demi sedikit dengan tujuan
mengelakkan lagi masalah lain yang timbul dan demi keselamatan Negara Myanmar. Menurut
laporan Human Right Watch 2012, terdapat sebuah pertubuhan di Rakhine berfungsi sebagai
penyebaran maklumat berbentuk bahan bercetak kepada orang ramai dengan tajuk ‘pengasingan
komuniti’ yang mana telah melarang penduduk Rakhine Buddha agar tidak melakukan sebarang
urusniaga atau menjalinkan hubungan dengan etnik Rohingya. Diayah yang digunakan mereka
mendakwa bahawa Muslim Rohingya yang tinggal dan hidup di Rakhine sedang berusaha untuk
memusnahkan orang-orang Rakhine (Monosin 2013).
Tidak cukup dengan diayah itu, kerajaan Myanmar telah meletakkan peraturan keluarga
dengan menghadkan dua orang anak sahaja dalam sebuah keluarga Rohingya di Rakhine.
Perlaksanaan peraturan itu mula dikuatkuasakan di daerah Buthidaung dan Maungdaw. Mereka
mengulas lagi bahawa jumlah kelahiran yang begitu tinggi menyebabkan kerajaan
menguatkuasakan peraturan baru itu untuk mengawal kadar kelahiran etnik Rohingya yang
semakin meningkat. Hal ini juga diibaratkan sebagai salah satu langkah pembersihan etnik (Anon
dlm. http://www.sinarharian.com.my. [8 Julai 2013]). Setakat tahun 1999, telah dilaporkan tidak
kurang daripada 20 operasi berskala besar telah dilancarkan terhadap Muslim Rohingya oleh
pemerintah junta (Azharuddin & Azlinariah 2012).

Isu Sentimen Agama

Jika diselusuri satu persatu penindasan dan penganiayaan terhadap etnik Rohingya, kita dapat
mengenalpasti punca sebenar berlakunya konflik etnik Rohingya di Myanmar. Sebagaimana yang
kita maklum, bahawa suatu ketika dahulu Arakan pernah masyhur dengan pemerintahan Islam yang
ditadbir oleh Sultan Sulaiman Shah di bawah dinasti Mrauk-U. Kemahiran dan kehebatan etnik
Rohingya dalam sistem pemerintahan, ekonomi dan sosial yang dipamerkan sepanjang pengaruh
dinasti Mrauk-U itu sehinggalah zaman penjajahan British telah melahirkan satu sifat kebimbangan
dan kerisauan penganut agama Buddha terhadap kewujudan etnik ini di bumi Myanmar selepas
kemerdekaan.
Hubungan antara orang Islam dan orang Burma Buddha khususnya tidak pernah mengalami
situasi harmoni terutama selepas kemerdekaan. Penindasan berbentuk paksaan rancak dilakukan
secara halus melalui dasar Burmanisasi. Dalam keadaan ini, wanita Islam dipaksa bernikah dengan
lelaki beragama Buddha, mereka dilarang memakai tudung dan dilarang menikah sesama Islam.
Pada tahun 1942, berlaku kekosongan dalam pentadbiran apabila British keluar dari Rakhine.
Kerajaan Myanmar mengambil kesempatan ini untuk mengapi-apikan penganut Buddha dan Islam di
Rakhine sehingga meletusnya rusuhan besar yang mengorbankan 100 000 orang Islam yang mati
dibunuh manakala ratusan ribu lagi melarikan diri ke Bengal Timur (Azharuddin & Azlinariah 2012;
Zaw Min Htut 2003).
Penganut Buddha di Myanmar berbeza dengan masyarakat penganut Buddha yang wujud di
negara-negara asia lain seperti Malaysia. Penganut agama Buddha di Malaysia mengamalkan
mazhab Mahayana, sedangkan penganut agama Buddha di Myanmar mengikut mazhab Teravada.
Perbezaan antara kedua mazhab ini secara umumnya ialah amalan mazhab Theravada membentuk
golongan penganut yang teguh terhadap tekstual agama, sebaliknya penganut Buddha bermazhab
Mahayana bersifat terbuka dengan keadaan semasa. Maka, pengamalan mazhab Theravada yang
kuat dalam jiwa penganut Buddha di Myanmar, menjadikan mereka bersungguh menyelamatkan dan
memastikan keamanan agama yang mereka anuti dari dipengaruhi dan dikuasai minoriti muslim
etnik Rohingya. Justeru, tidak hairanlah mengapa wujudnya sebuah gerakan militan yang diasaskan
oleh golongan sami-sami Buddha radikal sebagai faktor penyumbang terhadap isu sentimen agama
Islam.
Ia jelas terbukti apabila pada 1997, hampir 1,500 sami Buddha mencetus provokasi di
Mandalay, bandar ke-2 terbesar di Myanmar. Penduduk Buddha Myanmar telah menyerang orang
awam, merosak harta benda, serta membakar masjid, al-Quran, rumah kedai dan kenderaan. Di
Taungoo, puak sami Buddha telah menyebar risalah anti-Muslim dan mendesak pemusnahan Masjid
Hantha di kampung daerah tersebut. Seramai 20 jemaah yang sedang solat terbunuh. Keganasan
dua hari itu menyebabkan 200 orang Islam terbunuh, 11 masjid dan 400 rumah kediaman terbakar,
malah banyak kedai dan harta milik orang Islam musnah. Pertubuhan Islam di sana iaitu Kesatuan
Islam Se-Burma tidak terlepas dari dilabel organisasi pengganas. Pada Mac tahun 2012,
pertempuran antara penganut Buddha dan Islam telah berlaku di beberapa tempat ekoran pengaruh
Gerakan Buddhist 969 yang diketuai oleh seorang sami bernama U Wirathu (Mashitah dlm.
http://www.sinarharian.com.my. [8 Julai 2013]).
7

Penganiayaan terhadap orang Islam tidak berhenti setakat itu sahaja. Masyarakat Buddha
turut tidak digalakkan menjalankan urus niaga, berkahwin atau mengambil orang Islam sebagai
pekerja. Barang keluaran orang Islam diboikot. Seramai 166 Muslim terbunuh pada awal tahun 2012.
Laporan-laporan media yang tidak membantu, bahkan bersikap menyerang dan mengecam
masyarakat Rohingya telah mencetuskan lagi kemarahan yang sedia ada. Sewaktu Burma menuju
ke proses demokrasi, medium media massa tidak berfungsi sebagai agen penerang yang baik
kepada masyarakat umum tentang konflik yang melanda. Pengaruh media ini menambahkan
kekacauan dan kebencian yang dimainkan adalah bermotifkan pengusiran etnik Rohingya yang lebih
meluas (Monosin 2013: 87).
Antara dasar Burmanisme kerajaan junta untuk menjadikan penduduk Myanmar beragama
Buddha sepenuhnya dan diperintah oleh bangsa Burma sendiri ialah program melting pot. Bagi
menjayakannya, pelbagai usaha kezaliman dikenakan ke atas penduduk Islam terutamanya etnik
Rohingya agar keluar dari Myanmar. Kesannya, ramai umat Islam selain bangsa Rohingya murtad
dan memeluk agama Buddha. Namun, rancangan Burmanisme tersebut gagal di Arakan yang
majoriti penduduknya etnik Rohingya (Rohana 1998).
Semua kemudahan pendidikan Islam, masjid-masjid dan tempat yang serupanya telah ditutup.
Masjid-masjid telah ditukar menjadi pusat hiburan ataupun kuil Buddha. Aktiviti pelaksanaan haji,
korban di bulan Haji, solat berjemaah dan bentuk-bentuk ibadah lain telah diharamkan. Kesan
daripada tekanan-tekanan yang dilakukan di atas, sesetengah rakyat beragama Islam melarikan diri
meninggalkan negara itu. Walaupun berlakunya perpindahan atau penghijrahan, majoriti rakyat yang
tinggal di Arakan masih lagi beragama Islam. Oleh sebab itu, Jeneral Ne Win daripada pimpinan
SPDC, meningkatkan tekanan dan melakukan tangkapan-tangkapan secara tidak sah dan mendera
mereka. Bagi menyembunyikan kebuasan yang dilakukan, kerajaan junta Burma enggan
membenarkan kemasukan wartawan asing dan juga pelancong selama bertahun-tahun (Harun t.th).
Seperti yang didedahkan oleh media laman sesawang ‘Asiasentinel.com’ menyatakan mereka
masih belum memperoleh hasil dapatan laporan yang positif yang boleh menenangkan etnik
Rohingya. Meskipun demokrasi semakin diterima tahun 1990-an, rakyat Myanmar tetap tidak boleh
menerima Rohingya sebagai sebahagian daripada kepelbagaian etnik atas kebenciannya terhadap
Islam. Permusuhan etnik semakin kental sehingga berlaku kekejaman terancang untuk memastikan
lenyap dari bumi Myanmar (Monosin 2013).
Oleh sebab amalan demokrasi yang menyempitkan kebebasan beragama di Myanmar, rakyat
Myanmar tidak dapat menerima agama lain, walaupun agama tersebut sudah menjadi sebahagian
daripada kepelbagaian budaya dan cara hidup. Hanya etnik beragama Buddha sahaja dapat
diterima dan diberikan layanan sebagai warganegara oleh pemerintah Myanmar. Pendirian
sedemikian dianggap sebagai pelanjutan ‘dasar Apartheid’ yang sedang diperkuatkan oleh pemimpin
Myanmar sebagai proses pembersihan etnik sejak tahun 1982 (Monosin 2013).

Isu Rasis

Ajaran Buddha Theravada yang diamalkan dalam kalangan penganutnya, dengan menjadikan
mereka sami, setidak-tidaknya seorang sami dalam sebuah keluarga Buddha. Pengamalan dan
bentuk pengabdian mazhab Theravada ini melalui penghasilan sami-sami ini turut menjadi daya
penarikan kaum wanita mereka untuk turut serta menjadi sami. Penglibatan penganut Buddha
Myanmar ini menyebabkan mereka kurang perkembangan generasi dari kalangan mereka,
memandangkan ajaran mazhab ini tidak membenarkan golongan sami untuk berkahwin. Impaknya,
pertumbuhan generasi penganut Buddha berkurangan dan menimbulkan sikap kerisauan mereka
terhadap pertambahan golongan minoriti muslim sehinggakan pemerintahan Myanmar mengambil
peluang ini untuk meraih kepentingan parti demi memastikan survival pemerintahannya.
Kerisauan inilah yang akhirnya melahirkan sikap caunisim dan operasi genosid dengan
dikuatkan lagi pengaruh agama Buddha melalui sami-sami mereka. Pengaruh golongan sami
Buddha ini amat kuat dalam kalangan masyarakat Myanmar Buddha. Kita dapat lihat sewaktu
perArakan besar Buddha tahun 2012 berkaitan isu rusuhan Rakhine dan Rohingya yang mana
beribu sami berarak menyokong Perdana Menteri Thein Sein untuk menghalau etnik Rohingya yang
kononnya digelar sebagai pendatang asing dan pengganas negara. Kebarangkalian sokongan jitu
yang diterima parti politik SPDC adalah kerana pengaruh agama tersebut. Ini kerana kerajaan
melihat, isu Rohingya mampu meraih sokongan rakyat melalui pengaruh keagamaan dan
menyatupadukan rakyat Myanmar untuk menyokong agenda kerajaan Junta kerana kononnya
mereka menghadapi musuh yang sama. Maka, dengan sebab itu parti politik yang dipimpin oleh
SPDC tidak berbuat apa-apa terhadap undang-undang kewarganegaraan 1982 kerana ia adalah
warisan perlembagaan dan alat yang boleh dijadikan sebagai bahan politik.
Pemerintah Myanmar turut merahsiakan jumlah korban sebenar dan maklumat tentang
keadaan diskriminasi diputarbelitkan serta dikawal rapi oleh media pemerintah. Lazimnya,
8

pihak media dan kerajaan melaporkan bahawa masyarakat Rakhine ramai yang menjadi
mangsa dan melabel Rohingya sebagai pengganas yang melakukan provokasi. Walhal keadaan
sebenar adalah sebaliknya. Rusuhan yang bermula pada 3 Jun 2012 bukanlah kali pertama.
Sebelum itu berlaku beberapa rusuhan besar terhadap orang Islam iaitu pada tahun 1942,
1962, 1978, 1988, 1994, 2000 dan awal Jun 2012. Sejak 1942 hingga sekarang beratus-ribu
Rohingya telah dibunuh dengan kejam dan setiap rusuhan telah dirancang begitu sistematik.
Rusuhan yang menggadaikan banyak jiwa manusia ini, membawa kepada pelarian
beramai-ramai sebagai pilihan terakhir mereka untuk selamatkan diri. Kerosakan harta benda dan
institusi keagamaan juga turut musnah. Secara keseluruhannya, Rohingya adalah masyarakat paling
miskin dan daif bukan sahaja tidak berilmu malah disekat dari menjalankan aktiviti ekonomi.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa etnik Rohingya adalah
golongan minoriti yang paling teruk ditindas di dunia berbanding dengan kaum minoriti di negara-
negara lain.

PERBINCANGAN KAJIAN

Masalah pelarian etnik Rohingya yang semakin melarat dan meningkat di negara-negara jiran
seperti Bangladesh, India, Malaysia dan lain-lain menimbulkan kerisauan negara-negara tersebut.
Lantas beberapa langkah segera diambil antaranya melalui pertubuhan UNHCR di bawah PBB dan
usaha-usaha lain yang dilakukan oleh OIC, ASEAN, NGO Islam ASEAN dan NGO Malaysia serta
beberapa Negara Arab bagi menyelesaikan kemelut tersebut. Kesemua pelarian ini diberikan status
‘stateless’ oleh badan UNHCR dan mereka ditempatkan di kem-kem pelarian di negara jiran buat
sementara waktu. Negara Malaysia di antara negara asia yang prihatin dengan menyediakan
pelbagai perkhidmatan asas seperti pendidikan, keperluan hidup dan kesihatan terhadap mereka.
Walaupun proses penghantaran pulang dilaksanakan oleh UNHCR tetapi tidak semua
penduduk Islam Myanmar dapat kembali ke tanah air mereka. Sebaliknya, mereka yang kembali ke
tanah air terus sengsara ditindas dan diperlakukan sewenang- wenangnya oleh pemerintah
Myanmar. Penghantaran pulang pelarian Islam bukanlah penyelesaian kepada masalah yang
dihadapi oleh mereka kerana ia hanya bersifat sementara. Biarpun nasib etnik Rohingya mendapat
simpati dan bantuan daripada badan antarabangsa dan Asia, malah kerajaan Myanmar mendapat
kutukan masyarakat antarabangsa atas tindakan tidak berperikemanusiaan dan pencabulan hak
asasi manusia yang dilakukan, tetapi kedudukan dan hak minoriti muslim etnik Rohingya sebagai
warganegara tetap tidak berjaya diperbaiki.
Syarat etnik Rohingya untuk diiktiraf sebagai warganegara oleh kerajaan Myanmar ialah
mereka harus mengakui bahawa etnik mereka dari asal usul etnik benggali meskipun hakikatnya
masing-masing mengetahui masyarakat Rohingya merupakan penduduk asal wilayah Arakan (kini
Rakhine) sebelum pencatuman Burma dengan Arakan, kesan penjajahan dan kemerdekaan yang
diberi oleh British. Atas faktor sejarah melalui gaya pembawakan British terhadap negara-negara
jajahan dan faktor agama, etnik Rohingya dilihat masih tiada harapan untuk pulang ke negara
asalnya dalam jangkaan tempoh 10 tahun akan datang. Biarpun, negara Myanmar kini dipimpin oleh
Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).
Kehadiran pelarian etnik Rohingya ke negara-negara jiran, mendapat sambutan baik dan
juga hambar di negara-negara tertentu. Masyarakat Malaysia yang santun dengan sikap ‘rahman’
dan ‘rahim’ banyak menghulurkan bantuan dalam pelbagai aspek terhadap pelarian-pelarian
Rohingya yang datang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan dan agama. Organisasi bukan kerajaan
seperti MAPIM, Muslim Care dan FGN merupakan antara NGO sukarelawan yang beroperasi
membantu krisis pelarian etnik muslim Rohingya. Umpamanya seperti organisasi FGN, menawarkan
perkhidmatan pendidikan melalui Rohingya Academic Center dan ABIM telah menubuhkan Majlis
Ulama Rohingya (MUR). Begitu juga institusi atau organisasi agama lain seperti Buddha dan Kristian
di Malaysia juga turut memberikan penawaran kepada golongan ini melalui cara mereka tersendiri.
Usaha di peringkat global pula, negara Amerika Syarikat menawarkan pengiktirafan kerakyatan
kepada mana-mana golongan etnik Rohingya yang memohon untuk menetap di sana melalui United
Nations High Commissioner for Refugees (UNCHR).
Usaha di pihak kerajaan Myanmar pula, Parti NLP mestilah membenarkan pelarian
Rohingya untuk pulang ke tanah air mereka dan menerima kerakyatan Rohingya dan memberi
jaminan keselamatan terhadap mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa di Myanmar.
Jaminan keselamatan merupakan syarat utama bagi menangani isu pelarian Rohingya ini,
memandangkan kira-kira tiga juta penduduk Rohingya yang lari meninggalkan Myanmar dan memilih
menjadi orang pelarian adalah kerana mereka merasakan keselamatan mereka tidak dijamin oleh
kerajaan junta tentera sebelum ini. Kerajaan Myanmar juga perlu bersedia mengiktiraf pertubuhan-
9

pertubuhan yang mewakili penduduk Rohingya untuk mengadakan perbincangan mengenai nasib
dan masa depan penduduk Rohingya.
Seharusnya pertubuhan Islam bukan kerajaan dan bukan Islam di Malaysia hatta di luar
negara perlu bekerjasama seperti Mercy Malaysia, Persatuan Ulama Sedunia dan Persidangan
Persatuan Islam (OIC) dalam membincangkan pencabulan hak asasi manusia terhadap golongan
minoriti muslim Rohingya di Myanmar. Pendedahan ilmu tentang perbezaan dan konflik agama
melalui dialog terbuka amat disarankan dengan menampilkan para aktivis pendakwah antarabangsa,
tokoh-tokoh agamawan dan ilmuan tersohor, yang perlu merangkumi agama Islam dan Buddhist.
Pencerahan berterusan antara dua agama ini bertujuan untuk mendidik masyarakat Buddhist dan
Islam di Myanmar agar menyemaikan sikap hormat-menghormati dan bertoleransi dengan harapan
dapat menghentikan kezaliman yang dilakukan mereka itu adalah di luar logik pemikiran manusiawi.

PENUTUP

Isu utama yang perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan baru Myanmar ialah mengkaji semula
status penduduk Rohingya yang tidak diiktiraf sebagai rakyat Myanmar atau memansuhkan
Citizenship of Law 1982. Muslim Rohingya tidak akan selamat daripada penindasan dan kekejaman
selagi mana tuntutan mereka tidak diletakkan secara sah dalam Perlembagaan Negara dan
kontroversi mengenai taraf kewarganegaraan mereka tidak diselesaikan dengan segera.
Mengambil pandangan daripada Doktor Zakir Naik, seorang aktivis Islam terkenal
seharusnya dijadikan ukuran bahawa kemungkinan rusuhan yang berlaku di negara Myanmar
kerana faktor inginkan kekuasaan dan pengaruh yang kebanyakannya berpunca daripada ahli- ahli
politik yang di negara itu sendiri. Isu sentimen Rasis dan agama yang diperalatkan menjadi konflik
tegar antara muslim dan bukan muslim di Myanmar sepatutnya dielakkan demi memastikan
keberlangsungan pemerintahan Myanmar dengan dasar-dasar keadilan, kejujuran dan amanah
dengan memberi peluang kepada penduduk Rohingya untuk menjalani kehidupan biasa sama
seperti penduduk Myanmar yang lain.
Kesimpulannya, konflik antara penduduk Rakhine dan Rohingya di Myanmar berlanjutan
kerana punca sentimen agama dan rasis yang dijadikan alat utama pihak kerajaan Myanmar
mempergunakannya demi keberlangsungan pemerintahannya. Hasilnya, penindasan berterusan
yang berlaku terhadap etnik Rohingya terus tiada kesudahan kerana sikap pemimpin Myanmar
sendiri tidak amanah dan tidak bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya untuk
memastikan negara dalam keadaan stabil dan makmur dengan mengambil pendekatan meraikan
kepelbagaian agama dan budaya yang wujud di negara Myanmar.

RUJUKAN

Abu Talib Ahmad. 2000. Sejarah Myanmar. Kuala Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Zakaria Ghazali & Zulkanaian Abdul Rahman. 2008. Konflik Dunia Abad Ke-20. Dlm. Abu
Talib Ahmad (pnyt.). Rohingya dan Konflik Etnik di Arakan (Rakhine), hlm. 100-126.
Selangor: Dawama Sdn. Bhd.

Azharudin Mohamed Dali & Azlinariah Abdullah. 2012. Air Mata Kesengsaraan Rohingya: Identiti,
Penindasan dan Pelarian. Kuala Lumpur: Inteam Publishing Sdn. Bhd.

Dato’ Ahmad Tuan Azam bin Abdul Rahman. Pengerusi Future Global Network Foundation (FGN).
25 Mei 2016.

http://www.sinarharian.com.my/theme/Tag/Rohingya [8 Julai 2913].

https://en.wikipedia.org/wiki/2015_Rohingya_refugee_crisis

http://www.refugeesinternational.org/reports/2015/11/17/malaysia-Rohingya-refugees-hope-for-little
and-receive-less [24 Mac 2016]

http://www.futureglobalnetwork.com/

http://www.mapim2u.org/
10

Harun Yahya. T.th. Zaman Kegelapan Islam dan Ketibaan Era Kebangkitan Islam.
http://ms.harunyahya.com/ms/books/2759/ZAMAN_KEGELAPAN_ISLAM_DAN_KETIBAA
_ERA_KEBANGKITAN_ISLAM/chapter/1390 [10 Jun 2012].

http://www.sinarharian.com.my/mobile/kolumnis/dr-mashitah-ibrahim/iktibar daripada-nasib-Rohingya
1.168269 [8 Julai 2013].

Huque, Ahmad Shafiqul. 1990. Stranded Pakistanis and Burmese Muslims in Bangladesh: Historical
and Contemporary Dimensions. Journal of Muslim Minority Affair. Jil.6 (Julai): 273-294.

Mohd Azmi Bin Abdul Hamid. Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Semalaysia (MAPIM).
9 Julai 2013.

Mohd Jamil Mukmin. 1993. Islam Kebenaran dan Keadilan. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise.

Monosin Sobri. 2013. Rohingya di Myanmar: Menatap Wajah di Cermin Retak. Dakwah Januari
Februari (17): 84-89.

Muhammad Haniff Hassan. 2008. Fiqh Minoriti Muslim: Dari Perspektif Dua Ulama’ Kontemporari;
Yusuf Al-Qardhawi & Sulaiman Tubuliyak. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Saifullah Mohd Sawi & Samsu Adabi Mamat. 2009. Sejarah dan Tamadun Islam di Asia Tenggara.
Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

Wan Kamal Mujani. 2002. Minoriti Muslim: Cabaran dan Harapan Menjelang Abad ke-21. Dlm. Izziah
Suryani Arshad (pnyt.). Sejarah dan kedudukan Minoriti Muslim di Myanmar, hlm. 55-73.
Bangi: Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zarkowi Soejoeti. 2005. Minoritas Muslim Di Dunia Dewasa Ini. Jakarta: PT Raja Grafindo Persada.

Zarina Othman. 2004. Understanding Ethnic Conflict in Myanmar (Burma) From A Human Rights
Perspective. Journal Jebat (31) :179-202.

Zaw, Min Htut. 2003. Human Rights Abuses and Discrimination on Rohingyas.
http://www.scribd.com/doc/54215478/Human-Rights-Abuses-and-Discrimination-on-
Rohingyas-by-Zaw-Min-Htut [1 Julai 2013]

Anda mungkin juga menyukai