Anda di halaman 1dari 11

Masalah Etnik Di Rohingya

1.0 Penghargaan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Saya sangat bersyukur kerana dengan
berkat dan rahmat-Nya saya akhirnya dapat menyiapkan tugasan bagi subjek Cabaran Dan Isu Semasa
Dunia (GCI1022) ini dengan sempurna dan jayanya dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan bebanyak terima kasih yang tidak terhingga kepada
pensyarah kami iaitu Puan Shamsazila Binti Saaban. Beliau sentiasa memberikan nasihat dan tunjuk ajar
kepada saya dalam menyiapkan tugasan ini dengan jayanya. Ucapan terima kasih ini juga di atas
kesabaran dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau dalam mendorong dan memberikan panduan
kepada saya dan rakan sekelas yang lain dalam menyiapkan tugasan ini. Hanya Allah sahaja yang dapat
membalas segala pengorbanan dan jasanya dengan memberikan kesihatan dan kesejahteraan serta
dipanjangkan umur kepada beliau.

Ucapan penghargaan dan terima kasih juga saya tujukan kepada pensyarah-pensyarah dari
jabatan lain kerana sudi meluangkan masa untuk memberi sedikit sebanyak tunjuk ajar serta maklumat
dan panduan kepada saya dalam menyiapkan tugasan ini. Tanpa pengorbanan mereka sudah tentu saya
tidak dapat menyipkan tugasan ini dengan sempurna.

Tidak lupa juga kepada rakan-rakan dan abang-abang senior saya yang telah banyak membantu
dalam menyiapkan kerja kursus ini. Mereka telah banyak memberikan kerjasama kepada saya dengan
memberikan idea-idea yang bernas untuk membantu saya untuk menyelesaikan tugasan ini.
Sesungguhnya, tanpa bantuan dan kerjasama daripada semua pihak sudah tentu saya tidak akan mampu
untuk menyediakan tugasan sebegini.

2.0 Pengenalan

Etnik Rohingya merupakan satu kumpulan etnik yang menganuti agama Islam dan menetap di Negeri
Rakhine yang terletak di Barat Burma. Mengikut catatan sejarah lampau umat Islam di Rohingya
merupakan penduduk asal di Negeri Rakhine. Hal ini telah menyebabkan terbentuknya satu gugusan
besar Arakan yang terletak berdekatan dengan sempadan Bangladesh pada masa kini menerusi pelbagai
kajian sejarah dan bahan-bahan ilmiah yang dibuat. Menurut catatan sejarah lagi masyarakat Rohingya
ini dikatakan wujud sejak awal kurun ke-7 lagi di Negeri Arakan yang ketika itu dijadikan sebagai
penempatan pedagang-pedagang Arab yang beragama Islam. Namun begitu, bukti yang menyatakan
dan menjelaskan sejarah ini adalah terlalu sedikit sehingga menyebabkan masyarakat dunia diluar sana
berasa ragu-ragu dengan bukti sejarah tersebut. Secara majoritinya masyarakat Rohingya ini hanya
tertumpu kepada dua buah bandar utara Negeri Rakhine (dahulu dikenali sebagai Arakan) sahaja di
Myanmar ini.

Orang Rohingya ini sebenarnya memiliki persamaan samada dari segi bentuk fizikal, bahasa malah dari
segi budaya sendiri dengan orang di Asia Selatan, terutamanya orang Benggali itu sendiri. Selain itu
sesetengah orang Rohingya yang menetap di Arakan juga merupakan keturunan orang Arab, Parsi dan
orang Pashtun. Hal ini berlaku kerana, pada suatu ketika dahulu terdapat golongan pedagang-pedagang
yang berasal daripada Arab, Parsi dan Pashtun telah berhijrah ke Arakan semasa zaman pemerintahan
Empayar Munghal ketika itu. Berdasarkan catatan sejarah, Sultan Mahmood merupakan salah seorang
masyarakat Rohingya yang kaya serta berpengaruh dan beliau juga telah menyandang jawatan
setiausaha politik dalam kerajaan U Nu dan seterusnya dilantik sebagai Menteri Kesihatan disana.
Manakala masyarakat Islam Rohingya yang lain pula menjawat jawatan sebagai setiausaha parlimen
dalam kerajaan U Nu yang terdiri daripada Sultan Ahmed dan Abdul Gaffar. Abdul Bashar, Zohora
Begum, Abdul Khair, Abdus Sobhan, Rashid Ahmed dan Nasiruddin (UPho Khine) juga merupakan ahli-
ahli parlimen dalam cabinet U Nu di Myanmar ketika itu.

Sejak dari tahun 1983 lagi tragedi kemanusiaan yang membabitkan penghapusan etnik ini sudah dialami
sendiri oleh umat Islam di Rohingya. Pada ketika itu dilaporkan sebanyak 30,000 orang yang menganut
agama Islam telah di bunuh pada peristiwa 26 Julai 1983 di Myanmar. Tragedi yang sama turut berlaku
kepada umat Islam iaitu pada tahun 1942, 1968, 1992 dan 2002 yang melibatkan umat Islam itu sendiri.

Sejak akhir-akhir ini dunia seringkali digemparkan dan diuar-uarkan dengan isu-isu yang berkaitan
dengan penghapusan etnik. Isu ini telahpun wujud sejak dari dahulu lagi iaitu sebelum Zaman
Kesultanan Melayu Melaka lagi yang melibatkan masyarakat Melayu Champa dengan masyarakat Dai
Viet yang berasal dari selatan China (faktor yang melahirkan bangsa Vietnam). Selain itu kita juga pernah
digemparkan dengan berita yang berkaitan dengan konflik yang sama berlaku di Bosnia-Herzegovina
suatu ketika dahulu. Konflik yang berlaku di Serbia ini disebabkan oleh pemerintah Bosnia-Herzegovina
itu sendiri yang ingin menghapuskan umat-umat Islam di Bosnia-Herzegovina. Akibatnya, banyak
pertubuhan Islam seperti Printing House yang mencetak dan menerbitkan buku-buku berunsur Islam di
Yugoslavia ditutup pada tahun 1964 (Kaliammal Shumugam, 2006). Namun begitu, konflik ini juga turut
berlaku pada masa sekarang iaitu di Rakhine atau lebih tepat lagi di barat Myanmar. Mereka ini adalah
terdiri daripada masyarakat Islam yang terdiri daripada etnik Rohingya itu sendiri dan penindasan ini
disebabkan oleh pihak kerajaan Junta daripada Burma.

Masalah ini juga turut berlaku di negara-negara Timur Tengah seperti di Libya, Mesir dan Israel. Isu ini
juga bukan sahaja melibatkan perbalahan politik sahaja malah mereka juga mempunyai agenda yang
tersendiri dan tersembunyi untuk mencapai matlamat mereka. Secara kebiasaannya isu perbalahan ini
seringkali melibatkan antara dua agama iaitu agama Islam dengan agama-agama lain. Namun begitu
masalah paling serius yang berlaku kini adalah penghapusan etnik Rohingya di Myanmar selain masalah
yang berlaku di Palestin dan Israel iaitu antara orang Islam dan Orang Yahudi. Secara sedar atau tidak
sedar isu penghapusan etnik Rohingya di Myanmar ini telah berlaku sejak beberapa tahun dahulu dan
ramai dalam kalangan mereka telah menjadi mangsa ketidakperikemanusiaan di bumi Myanmar ini.
Masyarakat Rohingya ini telah ditindas, dibunuh, tidak diberikan hak kemanusiaan dan sebagainya. Di
samping itu bantuan-bantuan yang diberikan oleh masyarakat dunia kepada masyarakat Rohingya ini
sebahagian besarnya tidak sampai kepada orang-orang Rohingya itu sendiri.

Telah difahamkan bahawa setiap hari orang-orang Rohingya ini akan berhijrah untuk mencari tempat-
tempat yang lebih selamat sebagai tempat tinggal dan perlindungan mereka daripada orang-orang
Buddha di Myanmar yang memburu mereka setiap hari. Kerajaan Myanmar mendakwa pelarian
Rohingya merupakan pendatang haram oleh sebab mereka tidak mempunyai sebarang dokumen
kerakyatan yang sah (Abu Talib Ahmad, 2008). Masalah ini sentiasa tidak mendapat perhatian dan telah
diabaikan oleh masyarakat dunia sejak dari dahulu lagi. Lebih menyedihkan lagi wanita-wanita disana
turut dijadikan hamba seks oleh orang-orang Buddha di Myanmar termasuklah tentera-tentera Junta itu
sendiri. Walaupun sudah bertahun-tahun isu ini wujud namun tiada sebarang tindakan yang sistematik
untuk melindungi dan mempertahankan masyarakat Rohingya ini daripada mangsa penindasan tentera
Junta di Myanmar.

Sehinggakan ke hari ini isu ini semakin hari semakin hangat diperkatakan samada di media massa
mahupun di dada-dada akhbar itu sendiri. Mengikut perkiraan semasa seramai 1 juta umat Islam di
Rohingya ini yang menjadi mangsa kepada isu keganasan dan penghapusan etnik Rohingya ini telah
menjadi pelarian di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Manakala seramai 2 juta umat Islam di
Rohingya pula masih berada di Arakan untuk meneruskan hidup mereka dan memperjuangkan hak-hak
mereka di Myanmar.

2.1 Definisi etnik Rohingya

Orang Rohingya ini dikatakan wujud pada awal kurun ke-7 dan perkataan Rohingya ini berasal daripada
bahasa Burma itu sendiri. Orang Rohingya ini secara majoritinya adalah terdiri daripada kumpulan etnik
yang menganuti agama Islam. Jumlah penduduknya adalah beranggaran sebanyak 3 juta dan bahasa
yang digunakan mereka adalah bahasa Burma dan bahasa Rohingya.

Masyarakat Rohingya ini adalah masyarakat Islam yang tinggal di kawasan Arakan di barat Myanmar.
Semasa tahun 2012 penduduk Rohingya ini mencecah 800,000 yang tinggal di Myanmar.

Perkataan Rohingya ini adalah berasal daripada Bahasa Arab iaitu Rahma yang membawa maksud
“rahmat”. Menurut sejarah, selepas kapal Arab yang dibawa oleh pedagang-pedagang Arab ini telah
merosakkan berhampiran dengan Ramree Pulau, pedagang Arab tersebut telah diperintahkan supaya
disempurnakan oleh raja Arakanese. Seterusnya mereka telah besepakat untuk menjerit dalam bahasa
mereka iaitu “Rahma”. Melalui daripada peristiwa itu, orang-orang ini telah digelar sebagai “Rahma”
dan kemudiannya perkataan tersebut berubah sedikit demi sedikit daripada Raham kepada Rhohang
dan akhirnya menjadi Rohingya.
Dalam kalangan penduduk Islam di Myanmar, istilah 'Mrohaung' (Old Arakanese Kingdom) telah
diubahsuai untuk Rohang. Dan oleh itu penduduk rantau ini dipanggil Rohingya (Prof. Datuk Abdul Halim
Sidek, Dr. Yohan Kurniawan, Prof. Dr. Hishamuddin Bin Md, 2012)

3.0 Punca-Punca konflik etnik Rohingya di Myanmar

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penindasan dan keganasan etnik yang sedang berlaku di
Arakan, Myanmar ketika ini. Antaranya ialah etnik Rohingya sebenarnya merupakan satu bangsa yang
kewarganegaraan mereka tidak diakui oleh penduduk Myanmar sendiri. Selain itu sejarawan Burma juga
telah menafikan sendiri kewujudan etnik Rohingya di bumi Myanmar dengan menyangkal segala
pernyataan yang mengatakan etnik ini telah wujud sejak dari dahulu lagi. Kemudian. penindasan ini juga
melibatkan diskriminasi agama dalam kalangan penduduk Myanmar sendiri. Kewujudan undang-undang
“Citizenship Law (1982)” juga telah menjadi punca kepada penindasan dan penghapusan etnik Rohingya
di Myanmar serta sikap segelintir masyarakat dunia yang tidak mempedulikan kesengsaraan yang
dialami oleh etnik Rohingya itu sendiri.

Berdasarkan faktor di atas, faktor yang pertama tercetusnya penindasan dan penghapusan etnik
Rohingya di Myanmar ialah penduduk Myanmar itu sendiri yang tidak mengakui dan mengiktiraf
kedudukan etnik Rohingya di negara tersebut. Etnik Rohingya berasal daripada keturunan Bengali dan
memasuki Myanmar pada kurun ke-19 ketika pemerintahan Britain. Pada ketika itu etnik Rohingya yang
memasuki Myanmar telah diakui warganegaranya dan kerakyatannya. Namun begitu, menurut
Perlembagaan Myanmar, hanya keturunan Bengali dan anak mereka yang masuk dan tinggal di
Myanmar sebelum kemerdekaan yang diberikan oleh Britain pada 1948 sahaja dianggap sebagai
warganegara Myanmar. Oleh itu, warga Bengali yang tinggal di Myanmar selepas kemerdekaan dengan
secara rasminya dianggap sebagai pendatang asing dan mengancam keselamatan negara tersebut.

Faktor yang kedua ialah sejarawan Burma itu sendiri telah menafikan kewujudan etnik Rohingya dalam
sejarah Myanmar itu sendiri. Tindakan ini telah dilakukan oleh ahli-ahli sejarawan Burma itu sendiri
dengan menyatakan bahawa suku etnik Rohingya ini belum pernah dan tidak sama sekali wujud dalam
sejarah Burma. Perkara ini telah menyebabkan penduduk Myanmar yang lahir selepas merdeka berasa
tidak puas hati terhadap etnik Rohingya kerana mereka menganggap etnik Rohingya ini sebagai orang
asing yang membawa ancaman kepada mereka. Selain itu, ahli-ahli sejarawan Burma juga telah
berperanan memadamkan sejarah sebenar kedatangan etnik Rohingya di Myanmar pada kurun ke-19
dengan menyatakan bahawa etnik Rohingya ini hanya wujud di bumi Myanmar setelah tahun 1950 dan
belum pernah wujud sebelum ini. Oleh sebab itu, pemerintah Burma telah menolak kewarganegaraan
etnik Rohingya ini di negara Myanmar. State Law and Order Restoration Council (SLORC) telah bertindak
dengan menyisihkan orang-orang Rohingya kerana secara majoritinya orang-orang Rohingnya adalah
beragama Islam dan ketika itu pegangan agama Buddha di Burma sangat kuat. Hal ini telah
menyebabkan berlakunya diskriminasi terhadap orang-orang Islam di negara Burma.

Faktor seterusnya ialah ialah diskriminasi agama Islam oleh penganut agama Buddha itu sendiri dalam
kalangan penduduk di Myanmar. Perkara ini dapat dilihat apabila masjid-masjid di barat Myanmar tidak
pernah diambil perhatian dan tidak diperbaiki. Mereka tidak pernah ambil peduli tentang nasib
kelompok minoriti lain beragama Buddha mahupun Kristian yang ditekan kerajaan pusat yang sentiasa
didominasi kelompok Burman (Moshe Yegar, 1978). Kedudukan tempat beribadat bagi umat Islam di
sana sangatlah rendah sehinggakan masjid-masjid disana boleh sewenang-wenangnya digantikan
dengan pagoda Buddha. Segala aktiviti perkahwinan dan pergerakan umat Islam disana telah dihadkan.
Umat Islam disana juga dipaksa untuk keluar dari agama Islam dan menganut agama Buddha. Sangat
menyedihkan lagi ialah wanita-wanita Islam disana tidak dibenarkan sama sekali memakai hijab dan
ramai wanita-wanita Islam disana juga turut ditindas, didiskriminasi, dirogol dengan sesuka hati dan
sebagainya. Hal ini menunjukan bahawa hak asasi kaum wanita Islam disana tidak dijaga dan boleh
dilakukan dengan sesuka hati serta dianggap sebagai hamba. Umat Islam Rohingya merupakan 1/3
daripada jumlah penduduk wilayah Arakan, Myanmar dan selebihnya adalah penduduk yang menganut
agama Buddha. Negara Myanmar mempunyai kapasiti penduduk seramai 57 juta dan terdapat
sebanyak 173 etnik disana. Masyarakat Rohingya yang beragama Islam merupakan masyarakat kedua
terbesar di Myanmar selepas agama Buddha.

Faktor yang keempat pula ialah melalui pengenalan undang-undang “Citizenship Law” di Myanmar.
Melalui undang-undang ini ia telah membawa kepada penyisihan etnik terutamanya etnik Rohingya.
Semasa tahun 1982 pemerintah Junta ketika itu telah memperkenalkan undang-undang yang dikenali
sebagai “Citizenship Law (1982)”. Undang-undang ini berperanan besar dalam menafikan segala hak
asasi dan hak kewarganegaraan terhadap etnik Rohingya yang tinggal di Myanmar. Dalam undang-
undang ini ia telah menyatakan bahawa hanya sebanyak 135 etnik sahaja diiktiraf oleh kerajaan
Myanmar sebagai warganegara disana. Undang-undang ini telah dilaksanakan di Myanmar selama 50
tahun sejak dari tahun 1962 lagi khususnya di bawah pemerintahan Junta sendiri. Kesannya tentera
Rohingya telah disisihkan dan dipulaukan serta tidak dilayan dengan adil oleh kerajaan Myanmar itu
sendiri. Mereka juga sering dikenakan tindakan-tindakan yang langsung tidak berperikemanusiaan dan
tidak masuk akal oleh kerajaan Myanmar sendiri.

Faktor yang kelima ialah sikap segelintir masyarakat dunia yang tidak mempedulikan kesengsaraan dan
keperitan yang dialami oleh etnik Rohingya itu sendiri. Ini kerana keganasan memerlukan media sebagai
saluran maklumat yang mahu disampaikan pada khalayak sasaran (Dafrizal, Faridah Ibrahim, Chang Peng
Kee, Fauziah Ahmad , 2013). Negara jiran seperti Bangladesh bertindak menolak semula kemasukan
pelarian Rohingya dalam negara mereka. Tindakan yang dilakukan oleh Bangladesh ini tidak wajar
kerana sebahagian daripada penduduk etnik Rohingya ini merupakan bekas warganegara Bangladesh itu
sendiri suatu ketika dahulu sebelum mereka berhijrah ke Myanmar yang disebabkan oleh kepadatan
penduduk yang sangat tinggi di Bangladesh. Di samping itu, mereka juga tidak mengakui bahawa
penduduk Rohingya ini merupakan bangsa serumpun dengan mereka dan ini merupakan pemulauan
yang sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Dasar Bangladesh ini telah mendapat kecaman
daripada masyarakat antarabangsa terutamanya masyarakat Malaysia sendiri yang menganggap
penduduk Bangladesh ini sebagai mudah lupa daratan serta asal-usul mereka. Negara Bangladesh turut
bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap penduduk Rohingya dengan menghantar
semula pelarian Rohingya tersebut pulang ke Myanmar. Hal ini telah menyebabkan kesukaran kepada
pelarian-pelarian Rohingya itu sendiri kerana mereka akan terus ditindas semula oleh junta Burma di
Myanmar. Tindakan Bangladesh ini juga tidak disokong dan ditentang oleh Persatuan Bangsa-bangsa
Bersatu (PBB) kerana dianggap sebagai tidak berperikemanusian.

4.0 Kesan-kesan konflik etnik Rohingya di Myanmar

Isu keganasan dan penghapusan etnik Rohingya yang berlaku di Myanmar bukan sahaja memberikan
kesan kepada negara Myanmar malah Malaysia juga turut terkena segala kesan yang berlaku. Kesan ini
berlaku tidak kira samada melibatkan masyarakat mahupun negara kita sendiri. Walaupun isu ini tidak
berlaku di negara ini namun kesannya amat besar kepada masyarakat dan negara Malaysia. Kesan-
kesannya melibatkan bidang ekonomi, sosial, pendidikan dan politik di negara kita ini.

4.1 Terhadap politik

Kesan pertama yang berlaku melibatkan sistem politik di Malaysia ialah hubungan kerajaan Malaysia
dengan negara-negara ASEAN akan bertambah kukuh dan erat. Hal ini berlaku kerana semasa isu
keganasan dan penghapusan etnik Rohingya di Myanmar ini berlaku, kerajaan Malaysia akan kerap
menyertai persidangan antara negara-negara ASEAN untuk membahaskan segala cadangan-cadangan
untuk menangani dan seterusnya menghentikan isu daripada terus berlaku. Melalui persidangan-
persidangan yang disertai oleh menteri-menteri daripada kerajaan Malaysia dengan secara tidak
langsung ia dapat mengukuhkan lagi jalinan hubungan dengan menteri-menteri dari negara ASEAN yang
lain dan seterusnya akan membawa kepada kestabilan negara Malaysia.

Kesan yang kedua ialah sistem politik dan undang-undang yang dikenakan terhadap warga asing akan
berubah. Hal ini berlaku kerana di Malaysia telah berlakunya kebanjiran pelarian etnik Rohingya di
samping kebanjiran pendatang-pendatang asing daripada negara-negara lain seperti Indonesia,
Bangladesh dan lain-lain lagi. Golongan Rohingya telah berada di Malaysia melebihi 15 tahun sekiranya
mengambil kira akhir tahun 1980-an sebagai jangka waktu terawal bagi Rohingya tiba di Malaysia (Tan
Pok Suan, 2006). Masyarakat Rohingya mengaggap bahawa negara Malaysia merupakan lokasi yang
selamat bagi mereka untuk mencari perlindungan, tempat tinggal, sumber makanan dan keselamatan
untuk meneruskan kehidupan. Para pelarian ini akan menggunakan kad pelarian UNCHR untuk mereka
menjalani kehidupan di Malaysia ini. Dengan adanya kad pelarian UNCHR ini mereka dibenarkan untuk
bekerja di negara ini dan pihak majikan telah mengambil kesempatan ini untuk mengambil mereka
kerana kos pembayaran gaji bagi warga asing adalah lebih murah daripada warga tempatan. Namun
begitu terdapat juga laporan daripada media massa mengatakan bahawa kebanyakan pelarian-pelarian
Rohingya di Malaysia ini lebih cenderung untuk menjadi pengemis di jalanan berbanding bekerja dalam
sektor buruh.

Seterusnya, melalui isu ini juga akan wujudnya kekeruhan hubungan antara dua agama iaitu agama
Islam dan agama Buddha. Hal ini akan menjejaskan sistem politik di Malaysia ini kerana penduduk di
Malaysia ini secara majorotinya menganut agama Islam dan diikuti oleh agama Buddha. Kekejaman
penganut agama Buddha di Myanmar berkemungkinan besar akan memberikan tanggapan yang negatif
kepada umat Islam di Malaysia ini. Keganasan dan peperangan yang berlaku antara orang Islam
Rohingya dan penganut Buddha di Myanmar menyebabkan sebahagian besar orang Islam di Myanmar
kehilangan tempat tinggal mereka. Perkara ini akan mendatangkan tanggapan yang negatif kepada
penganut agama Buddha. Walaupun berbeza kaum, namun atas nama agama Islam, umat Islam telah
mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam penganut agama Buddha terhadap etnik Muslim. Melalui
tindakan ini ia juga akan mendatangkan kesan yang buruk kepada kaum Melayu yang majoritinya
beragama Islam dan kaum Cina yang majoritinya beragama Buddha. Tidak mustahil jika pergaduhan dan
perbalahan antara orang Melayu dengan orang Cina berlaku disebabkan atas dasar keagamaan.

4.2 Terhadap pendidikan

Kesan pertama ialah tidak mustahil jika suatu hari nanti tajuk yang berkaitan dengan isu keganasan dan
penghapusan etnik Rohingya ini akan wujud dalam sistem pendidikan di Malaysia terutamanya dalam
subjek sejarah. Tajuk ini mungkin akan diwujudkan kerana untuk memberikan pengajaran dan iktibar
kepada murid-murid tentang pentingnya persefahaman masyarakat yang berbeza agama dalam
sesebuah negara. Murid-murid juga akan didedahkan dengan kekejaman yang berlaku di sana dan
murid-murid pada ketika itu akan mengeluarkan pandangan dan persepsi masing-masing terhadap isu
yang berlaku tersebut. Guru-guru pula akan menerapkan perasaan bantu-membantu dalam diri murid-
murid.

Kesan yang kedua ialah para pelajar akan didedahkan dan dikaitkan dengan isu keganasan dan
penghapusan etnik dalam sistem pembelajaran mereka pada masa kini. Perkara ini boleh diwujudkan
dalam mana-mana subjek melalui sistem pembelajaran yang diamalkan kini. Hal ini juga dapat
menimbulkan rasa empti dalam diri murid itu sendiri serta nilai-nilai kemanusiaan yang dapat
mewujudkan perasaan kasih sayang. Hal ini ia akan menggalakkan mereka untuk menderma dan
memberi sunbangan kepada mangsa-mangsa di Rohingya tersebut.

5.0 Cadangan dan peranan Malaysia terhadap konflik etnik Rohingya di Myanmar

Isu di Rohingya ini sememangnya sangat serius dan Malaysia perlulah mengambil berat tentang masalah
yang dihadapi di Rohingya ini. Hal ini kerana Malaysia merupakan salah sebuah negara jiran yang tinggal
berdekatan dengan negara Myanmar. Selain itu negara Malaysia merupakan salah sebuah negara di Asia
Tenggara yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Oleh yang demikian, penduduk Malaysia
yang sebahagian besarnya menganuti agama Islam ini seharusnya membantu masyarakat Myanmar atas
dasar nama Islam tersebut. Jadi apa gunanya jika saudara seislam kita yang hidup disana dalam keadaan
sengsara sebaliknya kita di Malaysia ini yang hidup dalam keadaan aman dan damai tidak menghulurkan
bantuan kepada mereka disana. Terdapat beberapa cadangan dan peranan Malaysia sebagai negara
jiran untuk mengatasi isu penghapusan etnik di Rohingya ini.
Cadangan pertama yang boleh dilakukan oleh negara kita ini ialah kerajaan Malaysia haruslah
menyuarakan permasalahan yang serius ini di persidangan-persidangan antarabangsa dan Asia. Antara
persidangan yang boleh disertai oleh Malaysia ialah persidangan seperti OIC, PBB, WHO, ASEAN dan
sebagainya supaya permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat Rohingya ini dapat diselesaikan
dengan secepat mungkin. Dunia baru hari ini sedang bergelut dengan penghidupan baru, satu dunia
yang mana negara-negara mengenalpasti tanggungjawab bersama untuk memupuk kebebasan dan
keadilan seta negara yang kuat menghormati hak-hak negara yang lemah (Kassim B. Thukiman, Prof.
Madya Dr. Durrishah Bt. Idrus, 2004). Oleh itu pemimpin-pemimpin Malaysia yang menyertai
persidangan ini tidak sepatutnya berasa malu dan takut untuk menyuarakan serta membangkitkan terus
isu penghapusan etnik Rohingya di Myanmar semasa persidangan itu berlangsung. Seterusnya negara
Malaysia juga perlu mengambil beberapa inisiatif yang sistematk dan berterusan kepada masyarakat
Rohingya di Myanmar ini supaya dengan inisiatif yang berterusan ini dapat membantu sedikit sebanyak
masyarakat Rohingya ini untuk mendapatkan kewarganegaraan mereka sendiri kerana selama ini
mereka hanya menjalani kehidupan disana sebagai pelarian.

Cadangan yang seterusnya ialah negara Malaysia perlulah memberikan sedikit sebanyak
sumbangan kepada masyarakat Rohingya di Myanmar agar melalui sumbangan ini ia dapat
mengurangkan penyeksaan masyarakat Rohingya disana. Antara sumbangan yang boleh diberikan oleh
rakyat Malaysia kepada masyarakat Rohingya ialah samada dalam bentuk material mahupun dalam
bentuk semangat. Kutipan sumbangan ini boleh dilaksanakan oleh agensi-agensi yang telah mendapat
pengiktirafan oleh pihak kerajaan supaya tidak timbulnya isu penipuan semasa aktiviti kutipan ini
dijalankan. Agensi-agensi yang terlibat itu boleh menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan
sumbangan daripada pelbagai masyarakat di Malaysia ini. Antara kaedahnya ialah mereka boleh
mengutip sumbangan ini semasa sesuatu majlis yang dilakukan secara besar-besaran atau kecil-kecilan
samada seperti majlis makan malam, majlis penutupan atau pembukaan sesuatu program dan
sebagainya. Aktiviti kutipan sumbangan ini juga boleh dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti yang kita
anjurkan terutamanya melibatkan masyarakat luar itu sendiri. Antaranya ialah melalui konsert amal,
jualan baju amal, pameran tentang kehidupan masyarakat Rohingya dan lain-lain lagi. Kutipan derma ini
juga boleh dijalankan oleh pihak bank itu sendiri dengan mengemukakan nombor akaun yang ditetapkan
khusus hanya untuk aktiviti derma kemanusiaan Rohingya sahaja. Bank-bank swasta di seluruh Malaysia
juga boleh melaksanakannya selain dapat mempromosikan perkhidmatan sesebuah bank tersebut.

Cadangan dan peranan ketiga ialah negara Malaysia perlulah bersikap terbuka dengan membenarkan
pelarian-pelarian Rohingya ini untuk tinggal di Malaysia ini secara sementara sehingga krisis ini selesai.
Walaupun Malaysia ini secara amnya telah dibanjiri dengan warga-warga asing namun pihak kerajaan
boleh menetapkan kuota kepada pelarian-pelarian ini untuk tinggal di Malaysia ini. Selain itu Malaysia
juga boleh bersepakat dengan negara jiran yang lain dalam menetapkan jumlah pelarian-pelarian
Rohingya di negara masing-masing. Dengan kaedah ini secara tidak langsung dapat membantu
masyarakat Rohingya ini sedikit sebanyak.

Kemudian, masyarakat dunia termasuklah masyarakat Malaysia juga perlu menggesa kerajaan Junta di
Burma supaya menghentikan penindasan dan kekejaman terhadap masyarakat Rohingya ini. Perkara ini
perlu dilaksanakan dengan secepat mungkin supaya jumlah korban masyarakat Rohingya ini tidak
berterusan meningkat dari hari ke hari. Selain itu masyarakat di negara Malaysia perlulah
mencadangkan supaya aktiviti penyiasatan perlulah dilaksanakan secara menyeluruh bagi menentukan
kedudukan sebenar masyarakat Rohingya di Myanmar.

Cadangan dan peranan yang kelima ialah kerajaan Malaysia perlulah kerap menyertai Association of
South East Asian Nation (ASEAN) untuk bersuara dan meminta kerajaan Junta supaya menghentikan
penyeksaan masyarakat Rohingya di Myanmar. Hal ini kerana Myanmar juga merupakan salah sebuah
negara yang menganggotai ASEAN ini dan perlu diambil berat dan diberikan bantuan kepada mereka.
Selain itu kerajaan Junta juga perlulah menyiasat kembali undang-undang yang telah digubal khususnya
Citizenship Law (1982) dan dimansuhkannya supaya kesengsaraan yang dialami oleh masyarakat
Rohingya ini boleh berakhir. Dengan penggubalan dan pemansuhan undang-undang ini juga ia dapat
membantu masyarakat Rohingya untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan yang mereka inginkan
selama ini.

6.0 Rumusan

Kesimpulannya, masyarakat Rohingya merupakan salah satu etnik yang menjadi mangsa kepada
penindasan dan penghapusan etnik secara beramai-ramai di negara mereka sendiri. Hal ini berlaku
kerana masyarakat Buddha di Myanmar menganggap bahawa etnik Rohingya ini merupakan sebuah
etnik yang wujud dan akan memberikan ancaman yang besar kepada penduduk-penduduk Myanmar
yang lain. Namun pada hakikatnya masyarakat Rohingya ini bukanlan satu ancaman kepada penduduk-
penduduk Myanmar yang lain seperti yang disangkakan tetapi mereka ini hanyalah satu bangsa yang
ingin mencari tempat yang sesuai untuk mereka mendapatkan tempat tinggal dan perlindungan serta
hak-hak asasi mereka dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Isu penindasan ini semakin hari
semakin berlarutan kerana orang-orang Buddha di Myanmar sendiri tidak menerima orang-orang Islam
di sana. Hal ini berlaku kerana penduduk Myanmar merasakan bahawa diri mereka mungkin diancam
samada dari segi fizikal dan budaya yang menyebabkan mereka ini bertindak dengan kejam terhadap
masyarakat Rohingya di Myanmar ini demi menjaga keselamatan dan kepentigan masing-masing.

Masalah ini juga berlaku secara berlarutan sehingga kini kerana masyarakat dunia itu sendiri yang tidak
menganggap isu ini sebagai isu yang serius bagi mereka. Hal ini berlaku kerana wujudnya sikap
mementingkan diri sendiri dalam diri mereka serta sikap ketidakperihatinan terhadap masalah yang
berlaku di negara Myanmar tersebut. Selain itu mereka juga menganggap bahawa permasalahan ini juga
tidak membawakan apa-apa kesan kepada diri mereka kerana isu ini tidak melibatkan samada diri
mereka sendiri mahupun ahli keluarga mereka. Kemudian pertubuhan-pertubuhan di dunia seperti
ASEAN, OIC dan PBB tidak memainkan peranan mereka dalam membendung isu keganasan dan
penghapusan etnik yang berlaku di Myanmar sejak dari dahulu lagi. Namun begitu terdapat juga
golongan-golongan yang berpendapat bahawa pertubuhan-pertubuhan ini telahpun menjalankan
peranan mereka tetapi tidak berjaya kerana mendapat tentangan yang kuat terutamanya daripada
kerajaan Burma itu sendiri. Anggota-anggota ASEAN juga sepatutnya meneliti dengan lebih serius
terhadap setiap masalah yang dihadapi oleh anggota-anggota ASEAN itu sendiri bukan sahaja terhadap
memperkasakan ekonomi sahaja tetapi dari soal kemanusiaan juga.

Kesan daripada isu keganasan dan penghapusan etnik dari segi politik di Malaysia ialah hubungan antara
Malaysia dengan negara-negara ASEAN yang lain yang menjadi lebih kukuh. Hal ini berlaku kerana
negara Malaysia sering terlibat dalam persidangan dalam negara-negara di Asia Tenggara ini. Kemudian
sistem politik dan undang-undang yang dikenakan terhadap warga asing akan berubah. Hal ini berlaku
kerana di Malaysia terdapat lambakan warga asing termasuklah daripada negara-negara Asia Tenggara
yang lain. Kesan terhadap pendidikan pula ialah tidak mustahil pada suatu hari nanti jika tajuk yang
berkaitan dengan Rohingya ini akan dimasukkan ke dalam silibus matapelajaran sejarah.

Jika isu ini tidak diselesaikan dengan segera, tidak mustahil bahawa etnik di Rohingya ini akan lenyap
dari muka bumi ini serta ia juga turut menggugat kedudukan umat Islam di seluruh dunia. Oleh itu
semua pihak sepatutnya mengambil peranan dan menjelaskan isu penindasan dan penghapusan etnik
kepada dunia supaya semua masyarakat dunia kini mengetahui akan kekejaman yang dilakukan oleh
kerajaan Junta di Burma itu sendiri. Kerajaan Malaysia terutamanya perlu mengambil berat terhadap isu
ini kerana masyarat di Rohingya itu secara majoritinya adalah umat Islam sendiri. Jadi sebagai saudara
sesama Islam kita perlulah mengambil berat dan mengambil bahagian terhadap isu yang berlaku
terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar tersebut. Kemudian rakyat Malaysia juga perlu bersikap
pemurah dengan senantiasa menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada penduduk Rohingya.
Dengan secara tidak langsung melalui cara ini ia dapat menurangkan sedikit penderitaan yang dialami
oleh masyarakat Rohingya ketika ini. Kemudian kerajaan Malaysia juga perlu memberikan ruang dan
peluang kepada para pelarian Rohingya ini dengan memberikan tempat tinggal mereka dan tempat
perlindungan kepada mereka. Masyarakat di dunia juga perlulah menggesa kerajaan Junta agar
menghentikan segala penindasan yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya di Myanmar.

Secara keseluruhannya semua pihak di seluruh dunia ini perlu bersikap prihatin terhadap kesengsaraan
yang dialami oleh masyarakat Rohingya di Myanmar ini. Oleh itu, pelbagai inisiatif perlu dilakukan untuk
mengatasi segala isu keganasan dan penghapusan etnik di Myanmar itu sendiri.

7.0 Rujukan

Abu Talib Ahmad. (2008). Konflik Dunia Abad Ke-20. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Dafrizal, Faridah Ibrahim, Chang Peng Kee, Fauziah Ahmad . (2013). Latar Belakang. Trend Pemberitaan
Isu Keganasan Dalam Akhbar Perdana Malaysia Dan Indonesia, 3.

Kaliammal Shumugam. (2006). Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. "Bosnia: Pencabulan
Hak Asasi Manusia dan Politik Antarabangsa", Latihan Ilmiah, 25.

Kassim B. Thukiman, Prof. Madya Dr. Durrishah Bt. Idrus. (2004). Isu Keganasan Antarabangsa.
Keganasan Antarabangsa: Suatu Tinjauan Awal, 3.
Moshe Yegar. (1978). The Muslim Of Burma. Feer, 97.

Prof. Datuk Abdul Halim Sidek, Dr. Yohan Kurniawan, Prof. Dr. Hishamuddin Bin Md. (2012). Kaum
Rohingya. Penganiayaan Dan Pencabulan Hak Asasi Masyarakat Rohingya, 3.

Tan Pok Suan. (2006). Penemuan Kajian. Kehidupan Rohingya di Malaysia: Perjuangan Dalam
Ketidakpastian Hidup, 3-4.

Anda mungkin juga menyukai