Anda di halaman 1dari 11

Topik 3:

Pemilihan, Penghasilan dan Penilaian Media Pengajaran


Media pengajaran perlu dipilih, dihasil dan dinilai dengan saksama sebelum
penggunaannya dapat memberi impak yang ingin dicapai dalam sesuatu pengajaran dan
pembelajaran. Guru perlu memahami bahawa media pengajaran (bahan pendidikan), boleh
menimbulkan rangsangan dan keinginan kepada pelajar untuk mengetahui lebih mendalam
akan sesuatu aspek pengajaran di samping berupaya menjadikan pembelajaran yang lebih
menarik dan mencapai objektif dengan berkesan. Dalam pembelajaran di alaf 21, dunia
pendidikan adalah tanpa sempadan, di mana terdapat kepelbagaian dalam ciptaan,
penghasilan dan pemasaran sesuatu bahan pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini
telah menyebabkan timbulnya masalah dalam membuat pemilihan jenis bahan pengajaran
yang betul-betul berfaedah, berkesan, cekap (efisien) dari segi pengajaran dan
pembelajaran agar dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Guru dikatakan masih samar-samar tentang apa itu bahan pengajaran dan kurang
cekap serta tidak menghayati prinsip-prinsip pemilihan bahan pengajaran. Untuk
mengelakkan beberapa tindakan yang membazirkan wang, masa, tenaga, ruang dan salah
faham terhadap fungsi bahan, maka proses pemilihan yang teratur, rapi, sistematik dan
mengikut asas, prinsip dan teori pemilihan yang tertentu perlu diamalkan.

3.1 Pemilihan Media Pengajaran


Pemilihan media pengajaran seharusnya disandarkan kepada kepentingannya
sebagai bahan yang membantu dalam pendidikan dan menjadi bahan yang menyokong
pengajaran guru. Berikut adalah saranan dalam pemilihan sesuatu media pengajaran.

3.1.1 Bahan Pendidikan dan Bahan Pengajaran


Istilah bahan pendidikan atau media pendidikan dan media pengajaran sering
disamakan maksudnya, walaupun pada hakikatnya terdapat perbezaan di antara keduanya.
Bahan pendidikan adalah sesuatu yang telah dirancangan oleh guru seperti rekod
persediaan dan latihan yang penilian. Dalam bidang pendidikan media telah dihubung terus
dengan benda-benda, alat-alat, perkakas dan bahan-bahan pendidik dan pengajaran.
Traver (1970) berpendapat bahawa Istilah ‘media’ biasanya digunakan untuk mewakili satu
edaran komunikasi yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang menjadi penghubung dan
penyampai maklumat. Oleh itu apabila kita menyebut tentang media televisyen atau media
filem rel. Ia mungkin melepasi penggunaan televisyen dan filem rel disebabkan dalam
sistem pendidikan tanpa sempadan sekarang telesidang dan sidang video boleh menyampai
dan menghubungkan penyampai dan penerima yang dibataskan oleh ruang, masa dan
tempat.

Bahan pendidikan ialah media yang digunakan dalam usaha pendidikan berkesan.
Yang dimaksudkan dengan usaha pendidikan berkesan ini ialah pengajaran guru yang
dirancang dengan rapi dibantu oleh bahan pengajaran. Bahan pengajaran pula ialah media
yang digunakan dalam usaha pengajaran seorang guru. Pengajaran adalah langkah-
langkah yang disusun dengan teliti ke atas mencapai sesuatu objektif yang telah ditetapkan.
Kelebihan bahan pendidikan dan bahan pengajaran dibandingkan dengan bahan-bahan
pendidikan biasa ialah meliputi pelbagai komponen persekitaran pelajaran yang
menghasilkan rangsangan kepada pelajar, dengan itu pelajar akan dapat berkomunikasi
dengan media ini dengan kesan perubahan tingkahlaku. Dengan pengertian yang luas
begini, guru lazimnya merupakan satu punca utama rangsangan tersebut. Selain daripada
guru, ada pelbagai benda maupun alat seperti buku-buku dan media pengajaran yang
mempunyai fungsi-fungsi umum dalam memberi input mesej kepada para pelajar.

3.1.2 Objektif dan Fungsi Penggunaan Bahan Pengajaran


Dalam sistem pendidikan masa kini, penggunaan bahan dan media dalam
pengajaran dan pembelajaran sudah menjadi perkara mesti, yang mana ianya tidak boleh
tidak, wajib digunakan setiap kali berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran. Bahan
pengajaran ini merupakan alat bantu mengajar para guru untuk mencapai objektif
pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dalam pengajaran, pelajar-pelajar menerima
rangsangan daripada guru melalui pancainderanya. Oleh itu sesuatu yang dapat didengar
dan dilihat adalah lebih baik dan berkesan daripada setakat mendengar sahaja dan sesuatu
yang dapat dipegang, dilihat dan didengar adalah lebih berkesan daripada dilihat dan
didengar sahaja. Sistem pengajaran akan memberi impak yang maksimum jika seseorang
pelajar dapat melihat, mendengar dan melakukan sendiri sesuatu aktiviti dalam mencapai
objektif yang dirancangkan.

3.1.3 Pengkelasan Bahan Pengajaran


Bahan atau media pengajaran merupakan apa sahaja alat, benda atau perkakas
asalkan ia berfungsi sebagai pengantara di antara penghantar (sumber) dengan penerima
(pelajar) dalam edaran komunikasi. Pakar-pakar Sains Perpustakaan dan Teknologi
Pendidikan telah mengkelaskan media kepada dua kelas iaitu:

a. Media lama seperti buku, papan tulis, benda-benda maujud, gambar-gambar dan
sebagainya yang tidak bermesin atau berkuasa elektronik.
b. Media Baru pula adalah bahan-bahan bermesin atau berkuasa elektronik seperti
radio, perakam kaset, televisyen, mesin pengunjuran, komputer dan sebagainya.

3.1.4 Kon Pengalaman Dale


Pemilihan bahan pengajaran adalah berkait rapat dengan teori pengajaran dan
pembelajaran. Pada asasnya, teori-teori pembelajaran masa kini boleh diklasifikasikan
kepada empat mazhab yang utama, iaitu, behavioris, kognitif, sosial dan humanis
(Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011). Pengajaran seharusnya bermula dengan yang
konkrit kepada yang abstrak. Daripada yang mudah kepada yang lebih susah. Pengajaran
yang baik adalah pengajaran yang menggunakan bahan atau contoh yang hampir dengan
pengalaman pelajar (Noraini Idris, 2010) ke arah sesuatu yang abstrak.

Rajah 1: Kon Pengalaman Dale

Mengikut Kon Pengalaman Dale (Rajah 1), pendidik boleh membuat tafrsiran tentang
pemilihan media pengajaran melalui pengalaman sebenar (langsung), pengalaman tidak
langsung (tiruan) ataupun secara persimbolan (iconic). seperti penggunaan model tiga
dimensi, pengalaman drama, tunjuk cara, lawatan, pameran, televisyen, filem, audio, simbol-
simbol visual dan simbol verbal. Pengajaran akan memberi kesan impak yang lebih dalam
proses pembelajaran seorang pelajar jika sesi itu bermula dari yang konkrit kepada yang
abstrak. Proses pembelajaran secara penglihatan akan memberikan impak keberkesanan
yang paling tinggi dalam ingatan seorang pelajar. Ini dapat dicapai melalui pengalaman
sebenar seperti latih tubi, amali dan ujikaji. Penglibatan secara pengalaman tiruan pula
masih memberikan impak kefahaman yang konkrit tetapi kefahaman yang kekal dalam
ingatan adalah kurang daripada pengalaman sebenar. Pengalaman tiruan adalah seperti
simulasi atau main peranan berdasarkan keadaan yang dianggap hampir sama dengan
keadaan sebenarnya. Contohnya, seorang pelatih juruterbang yang dilatih dalam simulator
kapal terbang akan dapat merasakan pengalaman yang hampir sama dengan keadaan
sebenarnya jika dia sedang memandu kapal terbang tetapi risiko kemalangan tiada.
Pengajaran secara pemerhatian pula adalah seperti penggunaan tunjuk cara dan lawatan
sambil belajar maupun penghasilkan sesuatu bahan pameran bertopik dan model tiga
dimensi. Pemerhatian juga dapat dicapai melalui sesi pengalaman drama, gambar bergerak,
televisyen, filem, rakaman audio-video dan gambar kaku. Akhirnya, pengajaran yang
memberikan kesan impak yang paling rendah adalah melalui persimbolan secara visual dan
verbal.

3.2 Pengubahsuaian dan Penghasilan Media Pengajaran


Seseorang pendidik perlu peka kepada keperluan pengajaran dan pembelajarannya.
Pengubahsuaian maupun penghasilan media pengajaran perlu dilakukan berdasarkan
keutamaan teori dan konsep dalam pengajarannya. Kesedaran pendidik perlu mengambil
kira pemilihan media pengajaran secara objektif, mengambil kira kriteria pemilihan bahan
mata pelajarannya; maupun aspek-aspek pengubahsuaian bahan yang sudah ada
berdasarkan sukatan pelajaran yang diajar.

3.2.1 Teori, Konsep Dan Penemuan Dalam Aspek Pemilihan, Penyesuaian Dan
Penggunaan Bahan Pengajaran
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, penggunaan media yang sesuai serta
menarik amat penting agar pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan. Dalam
pengajaran mata pelajaran bahasa contohnya, alat bantu mengajar atau bahan bantu
mengajar yang memepati kemahiran berbahasa menjadi faktor penting untuk menjamin
keberkesanan dan kejayaan pengajaran. Media pengajaran seperti ini dapat memberi
rangsangan yang menimbulkan keinginan pelajar untuk mengetahui sesuatu konsep dan
istilah bahasa dengan mudah. Media audio dan video paling berkesan dalam hal ini.
Misalnya, kad suku kata, kad perkataan dan kad cantuman boleh digunakan dalam
pengajaran kemahiran asas berbahasa tetapi tunjukcara dan simulasi penggunaan bahasa
yang betul dan sesuai adalah lebih berkesan dalam pengajaran tahap tinggi.

Penting juga bagi guru untuk menggunakan alat ketika menyampaikan pelajaran
dengan bertujuan untuk menambahkan kelancaran pengajaran guru dan perhubungan
antara guru dengan pelajar. Penggunaan alat bantu mengajar dapat mempercepatkan
proses pemahaman pelajar dan membolehkan seseorang guru dan pelajarnya mengadakan
komunikasi yang baik dan menepati objektif pengajaran. Isi pengajaran merupakan mesej
yang hendak disampaikan yang dapat disalurkan melalui lisan, media, dan penulisan.

3.2.2 Prinsip-prinsip Pemilihan Bahan Pengajaran


Bahan-bahan yang hendak digunakan dalam pengajaran perlu menjalani proses
pemilihan yang rapi. Proses ini haruslah dilakukan dengan memberi perhatian terhadap
beberapa prinsip asas dalam pembelajaran mata pelajaran tersebut iaitu:

i. Kepentingan Dari Segi Objektif Pengajaran

Dalam sesuatu pengajaran terdapat dua objektif iaitu objektif am dan objektif khusus.
Objektif am merupakan matlamat yang hendak dicapai dalam jangka masa yang panjang
atau penilaian sumatif. Sementara objektif khusus ialah matlamat jangka pendek, maupun
matlamat selepas sesuatu pengajaran atau latihan formatif. Dalam pengajaran bagi Bahasa
Melayu, bahan pengajaran yang dipilih mestilah bersesuaian dengan objektif pelajaran.
Begitu jua jika seorang guru ingin mengajar mata pelajaran matematik; dia seharusnya perlu
melihat sama ada media pengajaranya tersebut akan dapat mencapai objektif mata
pelajaran matematik. Contohnya dalam topik pecahan, penggunaan media 3D dan relia
sangat berkesan. Seorang guru boleh menggunakan sebiji kek untuk memperkenalkan
konsep pecahan dengan mudah. Guru harus memikirkan jenis bahan yang akan digunakan
dalam pengajarannya berpandukan objektif am dan khusus. Bahan primer atau sekunder
sama-sama berperanan penting dalam mencapai sesuatu objektif pengajaran yang telah
ditetapkan. Keseluruhan impak dari pencapaian objektif ini perlu disusuli oleh seorang guru
sebelum merancang persediaannya.

ii. Kepentingan Terhadap Pelajar

Kepentingan kepada keperluan pelajar adalah keutamaan dalam pemilihan media


pengajaran. Contohnya dalam mata pelajaran Sastera Melayu; bahan sastera yang telah
dipilih perlu disesuaikan supaya menjadi lebih menarik, berkesan, dan bermakna dalam
pengajaran. Media seperti ini berperanan merangsang dan mencabar pemikiran pelajar
untuk bertindak dan mendorong mereka untuk terus maju dalam pelajaran tersebut.
Rangsangan dan dorongan penting kerana dapat mewujudkan tanggapan pelajar,
peningkatan dalam pemerolehan ilmu, penyimpanan ingatan, penaakulan, dalam kemahiran
generalisasi dan mempertingkatkan maklum balas pelajar. Hasilnya prestasi pelajar akan
dapat dipetingkatkan dengan berkesan.

Minat dan pengetahuan pelajar perlu diambil kira semasa pemilihan bahan
pengajaran. Perbezaan umur, kebolehan, perkembangan mental, fizikal, emosi, dan juga
latar belakang serta persekitaran pelajar juga perlu dipertimbangkan oleh guru semasa
membuat pemilihan dan penyesuaian bahan pengajaran. Kepelbagaian bahan amat
diperlukan untuk memperkukuhkan lagi pemahaman pelajar pintar serta membantu pelajar-
pelajar yang kurang cerdas dalam memahami sesuatu pelajaran.

Persekitaran juga merupakan salah satu faktor yang membentuk perangai dalam
mempengaruhi tingkah laku pelajar meliputi perkara dalam berbudi bahasa dan memiliki
sikap moral yang baik. Bahan-bahan yang telah dipilih bagi penagajaran matapelajaran
moral misalnya; hendaklah bersesuaian dengan keadaan semulajadi pelajar merangkumi
sifat suka bersaing, bermain, dan ingin tahu. Bahan-bahan pengajaran juga hendaklah
disesuaikan dengan minat, nilai dan kebolehan pelajar agar hasil pembelajaran mencapai
tahap objektif yang dikehendaki.

iii. Kepentingan Dari Segi Masa

Masa merupakan suatu aspek yang amat penting dalam proses pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Guru perlu merancang penggunaan masanya denga teliti dan
munasabah agar media pengajaran tersebut dapat memanfaatkan pelajar. Perancangan
guru hendaklah berbeza-beza mengikut perkara yang diajarkan atau dirancangkan.
Contohnya jika objektif yang hendak dicapai merangkumi pemahaman isu matematik dalam
ruang, maka media pengajaran yang digunakan perlu menepati keperluan dimensi yang
digunakan, cara pentadbiran, dan kebolehannya serta minat para pelajar.

3.2.3 Kriteria-kriteria Pemilihan Bahan


Guru-guru tidak semestinya menggunakan bahan seperti yang terdapat dalam buku
teks sahaja untuk pengajaran. Guru perlu berusaha memilih bahan daripada sumber lain
yang difikirkan sesuai untuk pelajarnya. Oleh hal yang demikian itu, untuk memastikan
bahan atau media pengajaran yang dipilih itu sesuai dan relevan dengan keadaan pelajar,
guru haruslah mempunyai prinsip tertentu, khususnya dalam pengajaran pendidikan bahasa.

3.2.4 Aspek-Aspek Penting Yang Mempengaruhi Pemilihan, Penyesuaian, Dan


Penggunaan Bahan Pengajaran
Sesuatu bahan dalam pengajaran, seseorang guru perlulah memikirkan tentang nilai
yang ada pada bahan itu dan tujuan penggunaannya. Pertimbangan juga harus diberikan
kepada kehendak, keperluan dan minat pelajar. Masalah komunikasi di antara pelajar
dengan guru; pelajar dengan pelajar hendaklah dipastikan. Guru juga harus membuat
pemilihan media yang baik untuk menghadapi sebarang masalah, di samping menentukan
media yang paling sesuai untuk digunakannya. Sungguhpun banyak perkara yang harus
dilakukan, perkara yang tersangat penting bagi guru membuat persediaan ialah meneliti
terlebih dahulu bahan itu sebelum digunakan dalam bilik darjah. Media pengajaran seperti
audio, LCD dan video memerlukan sesi pra-dengar, mendali-uji (test run) dan pra-tonton.

3.2.5 Prosedur Pemilihan Dan Penyesuaian Bahan Prosa Dalam Pengajaran


Bahasa Melayu
Pemilihan dan penggunaan bahan prosa dalam pengajaran Bahasa Melayu
merupakan satu aspek yang amat penting dan tidak dapat dipisahkan dalam konteks
pendidikan di sekolah. Bahan yang dipilih untuk digunakan dalam pengajaran Bahasa
Melayu itu hendaklah sesuai dan menepati keperluan-keperluan yang dikehendaki dan
sekaligus memberi kesan yang positif kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Pemilihan dan penggunaan bahan prosa yang sesuai dan baik sebagai media pengajaran
akan dapat dijadikan sebagai saluran untuk menyampaikan isi dan mesej pengajaran dan
merangsang semua pancaindera pelajar dalam memahami isi dan mesej pengajaran yang
ingin disampaikan itu, sekaligus objektif pengajaran lebih mudah dicapai dengan
berkesannya.

3.2.6 Pemilihan dan Penyesuaian Bahan Berdasarkan Sukatan Pelajaran/


Kurikulum
Semua program pendidikan yang dijalankan di sekolah rendah atau menengah
menggalakkkan penggunaan pelbagai kaedah mengajar. Dalam hal ini, guru boleh memilih
pendekatan dan kaedah pengajaran-pembelajaran yang paling sesuai dengan kebolehan
pelajar. Namun keberkesanan pengajaran adalah bergantung kepada pengolahan teknik
dan penggunaan bahan maupun media pengajaran oleh guru dalam proses persediaan
mengajarnya dalam bilik darjah. Oleh itu, guru perlu merancang persediaan mengajar
dengan meneliti bahan dan media pengajaran yang telah sedia ada, atau mengubah-
suainya agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan dapat menggunakannya sejajar
dengan kemahiran yang ingin diterapkan dalam kurikulum pelajaran. Kurikulum adalah
seuatu yang dipiawaikan oleh sesebuah kementerian pendidikan, tetapi kepelbagaian dan
pemilihan media pengajaran maupun kaedah tidak terbatas; yang secara keseluruhannya
terserah kepada kreativiti guru yang mengajar.

3.3 Penilaian Keberkesanan Media Pengajaran


Media pengajaran seharusnya dinilai dari kesesuaian dan keberkesanannya dalam
penggunaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran. Perkara-perkara dibawah boleh
diambil pertimbangan sebelum membeli, menghasil ataupun menggunakan media
pengajaran tersebut.
3.3.1 Menepati keperluan kurikulum yang diajar
Penilaian media pengajaran yang paling utama adalah ia seharusnya menepati
keperluan kurikulum yang diajar. Misalannya, jika media pengajaran yang ingin digunakan
untuk matapelajaran seni lukis, media yang sesuai mestilah memberikan kesan visual dan
keseimbangan warna, tekstur, tipografi dan ruang yang jelas. Keperluan ini perlu kerana
visual menjadi prinsip utama dalam sesuatu lukisan.

3.3.2 Menggalakkan pembelajaran kendiri


Penggunaan media pengajaran juga bersandarkan kepada kepelbagaian teknologi
dalam pengajaran dan pembelajaran yang dapat menggalakkan pembelajaran kendiri di
kalangan pelajar-pelajar. Guru harus bertanggungjawab dalam memilih media yang
bersesuaian dengan bidangnya agar dapat menggalakkan proses pembelajaran di kalangan
pelajar-pelajar. Guru yang mahir boleh merancang pengajarannya agar ia berbentuk
demonstrasi dan bertindak sebagai pemudahcara; pembelajaran yang sebanar akan
dilakukan oleh pelajar sendiri dengan proses inkuiri-penemuan dan ujikaji. Pembelajaran
kendiri sesuai dengan matapelajaran sains dan kemahiran hidup yang memperkembangkan
kemahiran inovatif dengan pembelajaran berbentuk kritis dan kreatif.

3.3.3 Pengalaman menarik dan konkrit


Teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran dapat membantu guru dalam
meninggkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran secara keseluruhannya agar
sesi kelas menjadi lebih menarik dan memberikan pengalaman yang menarik. Sebagai
contoh bahan-bahan visual berwarna yang menarik dan berbentuk konkrit ataupun maujud
bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu tajuk bahkan ianya
mampu meningkalkan kesan ingatan yang mendalam dalam jiwa pelajar.

3.3.4 Peluang belajar kepada semua


Teknologi boleh menyesuaikan penggunaan media dalam pengajaran dan
pembelajaran dari sistem dan proses pembelajaran yang konvensional dan terbatas;
kepada sistem yang lebih terbuka dan bebas. Melalui teknologi dalam pengajaran dan
pembelajaran pelajar dapat belajar secara jarak jauh dalam bilik darjah tanpa sempadan.
Dengan cara ini juga sistem pembelajaran dapat disesuaikan kepada ramai pelajar mengikut
kesesuaian mereka dan ini akan akan dapat memberikan peluang kepada ramai pelajar
khususnya kepada pelajar-pelajar dewasa untuk belajar secara separuh masa.

3.3.5 Sokongan guru dalam memperjelaskan mesej yang ingin disampaikan


Sesuatu media pengajaran juga patut dinilai dari segi mesej-mesej dalam bentuk
perkataan maupun maklumat yang lebih jelas sebagai bahan sokongan kepada guru yang
mengajar. Media ini boleh disertakan dengan gambar-gambar atau simbol yang lebih konkrit
maknanya dalam memperkukuhkan pengajaran guru dan memperkembangkan pemikiran
pelajarnya. Misalnya, jika seorang guru matematik yang ingin mengajar konsep besar dan
kecil boleh menunjukkan objek atau gambar yang bersaiz yang besar dan kecil. Dengan
penggunaan media pengajaran, segala simbol, verbal yang abstrak, dapat diperjelaskan dan
ini memudahkan pelajar memahami pelajaran. Dalam era teknologi komputer dan maklumat
ini, penjelasan dengan lebih berkesan dan menarik dapat dibuat dengan penggunaan
perisian computer yang menggunakan animasi, bunyi dan muzik.

3.3.6 Mengatasi batasan ruang, waktu dan deria pancaindera


Media pengajaran yang paling sesuai perlu mengatasi batasan ruang, waktu dan
melibatkan banyak deria pancaindera pelajar dalam satu masa pengajaran. Contoh-contoh
berikut menunjukkan bagaimana media pengajaran dapat mengatasi batasan ruang, waktu
dan pancaindera:

i. Objek yang terlalu besar atau kecil boleh digantikan dengan model, gambar,
transparensi, filem atau video.

ii. Gerak yang terlalu lambat atau terlalu cepat dapat dibantu dengan timelapse
atau high-speed photography.

iii. Kejadian yang berlaku pada masa lalu dapat ditampilkan dalam bentuk filem,
gambar foto mahupun secara lisan.

iv. Objek yang terlalu kompleks (misalnya mesin) dapat ditunjukkan dalam bentuk
model, gambar rajah atau carta.

v. Konsep yang terlalu luas atau abstrak dapat divisualkan.

3.3.7 Kesesuaian media pengajaran bersesuaian dengan bidang


Seorang guru perlu menilai media pengajaran yang menetapi objektif yang hendak
dicapai terlebih dahulu. Contohnya, kalau objektif guru adalah supaya pelajar mengetahui
tentang bunyi sebutan perkataan yang betul di dalam pembelajaran bahasa kedua, dan di
samping membetulkan bunyi sebutannya, maka pelajar perlu mendengarnya sendiri. Oleh
itu media yang betul ialah alat perakam audio. Media pengajaran yang paling sesuai adalah
alat perakam audio digabungkan dengan carta dan sebagainya jika difikirkan mustahak.
Sesuatu media pengajaran dianggap sesuai jika ia memenuhi syarat berikut;

i. memenuhi kehendak isi dan objektif pembelajaran pelajar,

ii. memudahkan kefahaman pelajar,


iii. memerlukan latihan yang minimum untuk mengguna atau
mengaplikasikannya,

iv. menimbulkan suasana pengajaran pembelajaran yang menyeronokkan


dan kondusif,

v. mudah diubahsuai dari segi penggunaan serta juga senang dipindahkan


dari satu tempat ke satu tempat yang lain dalam masa yang singkat,

vi. selamat digunakan oleh pelajar.

3.3.8 Peringkat penerimaan/ kefahaman pelajar


Guru yang progresif perlu menilai peringkat penerimaan atau kefahaman pelajar agar
ia sesuai dengan cara penyampaian media pengajaran tersebut. Mungkin isi kandungan
media yang dipilih itu sesuai, tetapi cara penyampaian atau peringkat penerimaan pelajar
adalah tidak setara dengan keupayaan mereka. Dengan lain perkataan media pengajaran
tersebut tidak setanding dengan keupayaan pelajar untuk menerima dan memahami isi
kandungan yang disampaikan oleh media tersebut. Ini berlaku kepada media yang telah
siap tersedia oleh pihak-pihak tertentu seperti syarikat pengeluar media tersebut. Untuk
mengelakkan perkara ini, media perlulah dihasilkan sendiri oleh guru yang mengajar. Media
yang dapat memudahkan pemahaman pelajar terhadap konsep-konsep yang hendak
disampaikan hendaklah dipilih.

3.3.9 Harga, perolehan dan mutu media yang berpatutan


Dalam menilai sesuatu media pengajaran yang hendak digunakan ianya mestilah
diperolehi dengan mudah dan murah. Media elektronik tidak dapat dinafikan mempunyai
keupayaan yang lebih baik walaupun harganya mahal. Sekiranya, harga itu tidak menjadi
masalah, pilihlah media yang dapat memberikan kesan ketahanan jangka panjang yang
lebih baik. Seharusnya, kos adalah munasabah dan tidak terlalu membebankan. Dalam hal
pemerolehan media pengajaran, guru perlu mengenal pasti pemerolehan sesuatu media itu
dengan teliti dengan beberapa persoalan. Adakah media tersebut sudah ada di pusat
sumber atau sekolah masing-masing? Bolehkah media tersebut disediakan dengan mudah
selah diperolehi atau ia memerlukan pengaturacaran seorang juruteknik? Sekiranya mudah
diperolehi, sudah tentulah ia akan mendorongkan guru-guru lain menggunakannya dengan
lebih kerap. Sekiranya faktor-faktor di atas sudah dipenuhi, apakah guru juga patut
mempertimbangkan mutu dan kualiti media tersebut Sesuatu objektif pembelajaran tidak
akan tercapai sekiranya mutu media yang digunakan itu tidak elok. Misalnya media unjuran
seperti LCD yang tidak bermutu akan menyayangkan kualiti warna yang tidak menarik dan
tulisan yang tidak jelas, ataupun pembesar suara yang tidak bermutu akan mengeluarkan
ton suara sukar didengar.
Rujukan
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2011). Standard Kurikulum Seni Bahasa dalam Kurikulum
Standard Sekolah Rendah. Putrajaya: Bahagian Perkembangan

Noraini Idris. (2010). Penyelidikan dalam Pendidikan. Kuala Lumpur: Mc Gram Hill
Education.

Anda mungkin juga menyukai