Anda di halaman 1dari 18

UNIT 3

PENAKSIRAN PRESTASI DAN AUTENTIK


HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini anda akan dapat

1. Menerangkan bagaimana penaksiran prestasi berbeza dengan pentaksiran tradisional

2. Mengenalpasti bentuk-bentuk penaksiran prestasi

3. Mengenalpasti kekuatan dan kekurangan penaksiran prestasi

4. Menerangkan tatacara umum menjalankan penaksiran prestasi

5. Menyediakan perancangan pemerhatian, merekod dan penskoran tugasan penaksiran


prestasi

6. Menggunakan portfolio untuk mengumpul, mempersembahkan/memaparkan dan


menilai kerja-kerja pelajar

PENGENALAN
Penaksiran prestasi merupakan satu bentuk penaksiran yang berdasarkan kepada pemerhatian
dan penilaian terhadap sesuatu proses atau produk hasil daripada pelaksanaan sesuatu tugasan
(Stiggin, 1997, p.175). Oleh itu penaksiran prestasi meliputi kaedah pengujian yang begitu luas
yang memerlukan pelajar menunjukkan kecekapannya atau pengetahuannya dengan
memberikan jawapan yang tepat atau satu hasil produk yang baik. Menurut Linn dan Gronlund
(1995, p.238), penaksiran prestasi kadang-kadang disebut juga sebagai penaksiran authentik.
Penaksiran authentik lebih kepada penggunaan/amali terhadap sesuatu tugasan seperti yang
dilakukan di dalam keadaan sebenarnya. Pada umumnya, ujian yang authentik harus mempunyai
empat ciri:

a. Soalan yang dibina mestilah benar-benar mewakili prestasi yang berlaku dalam
keadaan sebenar
b. Penekanan yang khusus hendaklah diberikan kepada pengajaran dan
pembelajaran tentang kriteria yang harus digunakan
c. Penaksiran kendiri memainkan lebih peranan berbanding dengan ujian
konvensional
d. Pelajar dikehendaki membentangkan dan mempertahankan kerja-kerja secara
umum dan secara lisan untuk menentukan bahawa penguasaannya adalah
benar.

Penaksiran prestasi adalah satu bentuk penaksiran yang memerlukan guru membuat penilaian
terhadap pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri afektif pelajar. Di sini pelajar dikehendaki
melakukan satu tugasan dan prestasi mereka melakukan tugasan itu akan ditaksir. Ia melibatkan
penaksiran pelajar dalam konteks tugasan di bilik darjah di mana pelajar dikehendaki melakukan
sesuatu tugasan yang kompleks tetapi bererti, berdasarkan pengetahuan awal, pembelajaran
semasa dan kemahiran yang relevan untuk menyelesaikan masalah yang sebenar atau authentik.
Guru akan menentukan prestasi pelajar berdasarkan kepada kriteria yang telah ditetapkan dan
dipersetujui bersama.

Dalam pengajaran anda, sila senaraikan 3 contoh pentaksiran prestasi yang telah anda
jalankan.

1. _____________________________________________________
2.______________________________________________________
3.______________________________________________________

ISI KANDUNGAN
Mengapa Penaksiran Prestasi?
Terdapat dua trend pendidikan yang menjadikan penaksiran prestasi diberi penekanan semula
dalam aspek penilaian pelajar. Pertama, berkaitan dengan perubahan penekanan daripada
ujian rujukan norma kepada ujian rujukan kriteria dalam penilaian pelajar dan penilaian bilik
darjah yang memerlukan pengukuran yang lebih langsung tentang prestasi pelajar-pelajar.
Jadi, sekiranya kita hendak menjelaskan kecekapan pelajar dalam melakukan sesuatu aktiviti
atau kemahiran, maka penaksiran prestasi biasanya digunakan. Kedua, teori pembelajaran
moden menekankan kepada perlunya memberi tumpuan kepada hasil pembelajaran yang lebih
kompleks (misalnya, kemahiran menaakul dan berfikir), menggalakkan pelajar membuat projek
yang komprehensif berasaskan kepada masalah sebenar, dan menggalakan pelajar
melakukan aktiviti-aktiviti yang membolehkan mereka membina makna sendiri. Dengan
ertikata lain, teori pembelajaran moden menyarankan penggunaan penaksiran prestasi terbuka
sebagai asas kepada peningkatan pembelajaran.

Penaksiran prestasi menyediakan cara yang sistematik untuk menilai kemahiran berfikir dan
menaakul serta hasilnya yang tidak dapat diukur oleh ujian objektif dan esei yang biasa.
Walaupun ujian dapat menyediakan data yang menunjukkan pelajar tahu melakukan sesuatu
dalam keadaan-keadaan tertentu, penaksiran prestasi adalah perlu untuk menilai kemahiran-
kemahiran sebenar yang sedang dilakukan. Kemahiran-kemahiran ini adalah penting dalam
banyak mata pelajaran yang diajar di sekolah. Contohnya, dalam mata pelajaran Sains,
mementingkan kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran-kemahiran makmal;
matapelajaran Matematik menumpukan kepada pelbagai jenis kemahiran penyelesaian
masalah praktikal; mata pelajaran Bahasa pula menekankan kepada kemahiran
berkomunikasi; matapelajaran kajian sosial mementingkan kemahiran melukis dan membina
graf, peta dan sebagainya.

Apakah Ciri-ciri Penaksiran Prestasi?


Penaksiran prestasi ini mempunyai beberapa ciri seperti berikut:

 tugasan-tugasan yang berkait rapat dengan dunia sebenar


 tugasan-tugasan yang lebih kompleks dan kurang berstruktur yang menggalakkan
keaslian dan kemahiran berfikir serta mempunyai pelbagai cara penyelesaiannya
 masa yang lebih diperlukan untuk menilai – ini berkaitan dengan kesukaran
mereka bentuk tugasan, bentuk tugasan yang komprehensif dan masa yang lebih
diperlukan untuk menilai hasil-hasil tugasan
 lebih banyak menggunakan judgment dalam memeriksa tugasan pelajar – ini
disebabkan tugasan yang kompleks, keaslian tugasan yang dihasilkan, dan dalam
kes-kes tertentu terdapat pelbagai kemungkinan cara penyelesaian yang
dikemukakan

Dan, apakah pula bentuk-bentuk tugasan yang sering digunakan dalam penaksiran prestasi?

Biasanya bentuk-bentuk tugasan melibatkan:

i. Menyelesaikan masalah yang realistik (contoh: bagaimana mencegah penyalahgunaan


dadah di Malaysia)
ii. Kemahiran-kemahiran lisan dan psikomotor tanpa produk (contoh: memberi ucapan,
bertutur bahasa asing, menggunakan mikroskop, dan membaiki enjin)
iii. Kemahiran penulisan dan psikomotor dengan produk yang dihasilkan (contoh: menulis
laporan kajian, menulis cerita pendek, membina tempat letak buku)

Bagaimana pemahaman anda setakat ini tentang penaksiran prestasi? Sila tuliskan
satu ayat yang dapat menggambarkan pentaksiran prestasi sebagaimana yang anda
faham.

___________________________________________________________________________
_________________________________________________

Kategori Penaksiran Prestasi


Jenis tugasan penaksiran prestasi boleh dibahagikan kepada dua kategori berdasarkan
kepada objektif pengajaran yang dicakupinya. Bagi tugasan yang terhad dan mencakupi
objektif pengajaran yang spesifik, penilaian ini dipanggil sebagai penaksiran prestasi terhad.
Namun begitu terdapat juga tugasan yang komprehensif yang mencakupi beberapa objektif
pengajaran, penilaian ini dipanggil penaksiran prestasi terbuka (extended).

Penaksiran Prestasi Terhad

Penaksiran prestasi terhad adalah lebih berstruktur dan terhad skopnya. Dengan menghadkan
skop tugasan, memudahkan untuk dikaitkan dengan objektif-objektif tertentu, mentadbirkannya
dan menilainya.

Contohnya:

 Tulis satu muka surat laporan tentang lawatan ke muzium


 Bina graf daripada data-data yang diberi
 Tunjukkan bagaimana menyediakan alat makmal

Penaksiran Prestasi Terbuka

Penaksiran prestasi terbuka pula mempunyai skop tugasan yang lebih komprehensif dan tidak
begitu berstruktur. Ini bagi membolehkan pelajar mempersembahkan kebolehannya dalam
membuat tugasan atau menyelesaikan masalah yang berkait rapat dengan dunia sebenar.
Dengan kata lain, kita boleh mendapatkan maklumat tentang kebolehan pelajar dalam
mengenalpasti punca sebenar sesuatu masalah, mengumpul dan mengatur maklumat untuk
menyelesaikan masalah dan menyediakan kesimpulan yang asli dan mantap. Dalam aspek
kemahiran pula, penaksiran prestasi terbuka ini membolehkan kita menentukan bagaimana
pelajar boleh mensepadukan beberapa kemahiran-kemahiran spesifik bagi melakukan
pergerakan yang kompleks ataupun menghasilkan produk yang lebih baik dan canggih.
Sesetengah projek pentaksiran prestasi terbuka menggabungkan ketiga-tiga jenis kemahiran:
menyelesaikan masalah, komunikasi dan psikomotor bagi menghasilkan sesuatu produk.
Antara contoh-contoh tugasan adalah seperti berikut:

 Reka bentuk dan jalankan eksperimen ke atas topik-topik yang disediakan dan
persembahkan serta pertahankan dapatan kajian
 Baca sebuah novel dan tulis kritik ke atas novel tersebut
 Reka bentuk dan bina tempat letak buku dan tulis satu penilaian sama ada ia menepati
kriteria-kriteria yang diberi

Projek penaksiran prestasi terbuka akan memberikan pelajar lebih kebebasan dalam memilih
projek, bagaimana menjalankannya, membuat penilaian kendiri dan mempertahankan
kualitinya. Perbincangan hasil kajian pelajar dengan guru biasanya menumpukan kepada
kualiti projek serta penilaian kendiri yang dibuat oleh pelajar.

Langkah-langkah Melaksanakan Penaksiran Prestasi


Sekarang kita akan cuba melihat secara lebih terperinci bagaimana melaksanakan penaksiran
prestasi. Secara umumnya terdapat lima langkah untuk melaksanakan penaksiran prestasi.
Langkah-langkah tersebut adalah:

Langkah I: Menetapkan hasil prestasi


Langkah II: Memilih fokus penilaian (prosedur, produk atau kedua-duanya)
Langkah III: Memilih darjah realisme yang sesuai
Langkah IV: Memilih situasi tugasan
Langkah V: Memilih metod pemerhatian, merekod dan memeriksa

Langkah I: Menetapkan hasil prestasi atau hasil pembelajaran

Hasil prestasi yang hendak diukur perlu dikenal pasti dan didefinisikan. Hasil penaksiran
prestasi terhad biasanya menggunakan perkataan-perkataan seperti kenalpasti, membina,
menunjukkan dan lain-lain. Spesifikasi hasil prestasi termasuklah analisis tugasan bagi
mengenalpasti faktor-faktor spesifik yang kritikal bagi prestasi yang hendak diukur.
Pensampelan tugasan-tugasan yang sesuai adalah penting bagi menentukan pemerhatian dan
penilaian yang lebih tepat. Berikut adalah contoh-contoh bagi satu set tugasan-tugasan untuk
penaksiran prestasi terhad:

i. Kemahiran Dalam Membuat Laporan Secara Lisan:

1. Berdiri dengan cara yang natural


2. Mengekalkan eye contact dengan baik
3. Menggunakan ekspresi muka yang sesuai
4. Menggunakan gerakbadan secara berkesan
5. Bercakap dengan jelas dan nada yang terang
6. Bercakap pada kadar kelajuan yang sesuai
7. Mempersembahkan idea-idea dengan teratur
8. Menggunakan bahasa yang sesuai
9. Mengekalkan minat kumpulan

ii. Membaiki Injin Rosak

1. Kenalpasti tahap kerosakan


2. Kenalpasti sistem yang menyebabkan kerosakan
3. Pilih ujian-ujian yang akan dilakukan
4. Menjalankan ujian-ujian mengikut sekuen yang betul
5. Mengenalpasti komponen-komponen yang tidak berfungsi
6. Ganti atau baiki komponen
7. Ubah dan ganti alatganti dengan sekuen yang sesuai
8. Menggunakan alat-alat yang sesuai dengan cara yang betul
9. Mematuhi peraturan-peraturan keselamatan sepanjang kerja-kerja
membaiki

Dalam keadaan-keadaan tertentu, senarai tugasan-tugasan tidak perlu mengikut aturan-aturan


tertentu (seperti dalam contoh pertama) dalam keadaan yang lain pula, terdapat langkah-
langkah yang disusun mengikut sekuen supaya memudahkan dibuat pemerhatian dan
penilaian (seperti dalam contoh kedua)

Projek berbentuk penaksiran prestasi terbuka biasanya melibatkan pelbagai objektif


pengajaran dan hasil pembelajaran. Bagi satu projek penyelidikan, hasil pembelajaran
antaranya adalah seperti berikut:

 Memilih tugasan-tugasan kajian yang sesuai


 Menggunakan perpustakaan dengan berkesan
 Mengesan, menganalisis dan mensepadukan maklumat-maklumat yang relevan
 Mereka bentuk dan menjalankan eksperimen
 Menulis laporan kajian dengan tepat
 Menyatakan kesimpulan yang sah
 Menulis kritik tentang tatacara kajian dan dapatan kajian
 Mempersembahkan dan mempertahankan dapatan kajian dalam kelas

Hasil-hasil pembelajaran di atas perlu didefinisikan lagi dengan lebih spesifik. Menyatakan
objektif umum dahulu dan kemudian menyatakannya dengan lebih spesifik adalah merupakan
tatacara yang berkesan. Dalam mendefinisikan setiap hasil pembelajaran utama, mungkin
perlu dibahagikan kepada dua hasil pembelajaran (Misalnya: merekabentuk eksperimen,
menjalankan eksperimen). Dalam kes-kes yang lain, mungkin digabungkan, seperti „nyatakan
kesimpulan yang sah‟ boleh digabungkan sebagai sebahagian daripada „Menulis laporan
kajian dengan tepat‟. Yang pentingnya, senarai hasil pembelajaran utama perlu menyatakan
deskripsi tentang apa yang pelajar boleh buat untuk menunjukkan pencapaian hasil
pembelajaran.

Langkah II: Memilih Fokus Penaksiran

Penaksiran prestasi boleh menumpukan kepada prosedur, produk atau gabungan kedua-
duanya.

Menilai Prosedur

Bagi jenis-jenis tugasan yang tidak menghasilkan produk, memerlukan tugasan tersebut dinilai
semasa ianya dilakukan. Dalam banyak keadaan, kedua-dua prosedur dan produk merupakan
aspek penting dalam sesuatu tugasan. Selalunya prosedur ditekankan pada tahap awal
pembelajaran, dan kemudiannya produk, iaitu selepas prosedur telah dikuasai. Misalnya,
dalam membaiki set television, memerlukan prosedur yang sistematik diikuti, sebelum dapat
menghasilkan set television yang telah dibaiki. Perkara yang sama juga dijalankan dalam
tugasan memasak, kerja pertukangan, melukis dan lain-lain lagi. Penilaian prosedur ini juga
boleh digunakan di peringkat akhir pengajaran, dengan tujuan untuk mengesan kesilapan-
kesilapan yang berlaku dalam prosedur yang boleh memberi kesan kepada kualiti produk.

Secara amnya, fokus penaksiran prestasi ke atas prosedur bila:

i. Tiada produk atau penilaian produk tidak dapat dijalankan – sukar didapati atau pun
terlalu mahal
ii. Prosedur yang digunakan adalah teratur dan boleh dilihat dengan jelas
iii. Prosedur yang betul adalah penting untuk menentukan kejayaan dalam melakukan
sesuatu
iv. Analisis ke atas langkah-langkah dalam prosedur boleh memberi panduan dalam
meningkatkan produk

Menilai Produk

Penaksiran prestasi perlu memberi fokus kepada produk apabila:

i. Prosedur-prosedur yang berbeza boleh menghasilkan produk yang sama mutunya


ii. Prosedur tidak dapat dilihat dengan jelas (misalnya: kerja rumah, penaakulan dalam
menyelesaikan masalah matematik)
iii. Langkah-langkah dalam prosedur telah dikuasai
iv. Produk mempunyai kualiti yang boleh di kenal dan dinilai dengan jelas

Langkah III: Memilih Darjah Realisme Yang Sesuai

Autentik adalah merupakan satu darjah. Dalam konteks penaksiran prestasi, darjah
kehampiran kepada realiti dunia (apa yang sebenarnya berlaku) adalah merupakan tumpuan
utama perkara-perkara yang hendak diukur. Soalnya, setakat manakah realisme yang perlu
atau mampu diukur dalam penaksiran prestasi? Lebih hampir kepada realiti adalah lebih baik.

Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, penggunaan kaedah simulasi boleh


menunjukkan masalah yang dikemukakan itu mempunyai darjah realisme yang rendah atau
tinggi. Misalnya dalam Matematik, penggunaan kemahiran matematik dalam memahami
jumlah wang, boleh dilakukan dalam bentuk cerita (rendah darjah realisme) atau membeli
barang-barang dalam situasi gerai (tinggi darjah realisme).

Darjah realisme yang akan dipilih bagi satu-satu situasi bergantung kepada beberapa faktor.
Pertamanya, perlu dipertimbangkan objektif pengajaran. Sama ada objektif pengajaran yang
hendak dicapai itu merupakan objektif yang berbentuk memahami sesuatu fakta baru atau pun
untuk menguasai sesuatu kemahiran. Keduanya, sekuen pengajaran mungkin mengikuti
aturan yang memerlukan pengukuran dalam bentuk pensil dan kertas dahulu sebelum
pengukuran berbentuk amali (hands-on). Ketiganya, beberapa kekangan seperti masa, kos,
kemudahan peralatan, kesukaran untuk mentadbir dan memberi markah, mungkin akan
mengurangkan darjah realisme yang akan diperolehi. Keempat, tugasan yang hendak
dilakukan mungkin boleh mengurangkan darjah realisme dalam situasi ujian. Misalnya, dalam
menilai kemahiran-kemahiran pertolongan cemas, adalah sukar untuk menggunakan pesakit
sebenar yang mengalami kemalangan untuk menjadikan situasi penilaian itu lebih realistik.

Langkah IV: Memilih Situasi Tugasan

Penaksiran prestasi boleh diklasifikasikan mengikut jenis situasi atau latar (setting) yang
digunakan. Sistem klasifikasi berikut berdasarkan darjah realisme yang terdapat dalam satu-
satu situasi:

i. Tugasan Kertas dan Pensil

Tugasan kertas dan pensil berbeza daripada ujian kertas dan pensil tradisional yang
menekankan kepada aplikasi pengetahuan atau kemahiran dalam situasi yang telah
ditetapkan (simulated setting). Aplikasi kertas dan pensil ini mungkin menghasilkan
hasil pembelajaran yang diharapkan atau ia mungkin boleh dijadikan sebagai langkah ke
arah tugasan yang melibatkan darjah realism yang lebih tinggi (misalnya, penggunaan
alat yang sebenar). Dalam beberapa keadaan, tugasan kertas dan pensil boleh
menyediakan produk yang mempunyai signifikan dari segi pendidikan. Kursus dalam
pembinaan ujian, misalnya memerlukan pelajar melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti
berikut:

Bina satu set Jadual Penentuan Ujian bagi satu ujian pengajaran
Bina item-item ujian yang sesuai dengan Jadual Penentuan Ujian
Bina satu senarai semak untuk menilai ujian pencapaian

Perkataan „bina‟ selalu digunakan dalam ujian prestasi kertas dan pensil. Misalnya,
pelajar mungkin disuruh membina peta cuaca, graf, pelan lantai, mereka bentuk
pakaian, puisi, cerita pendek atau rancang satu percubaan. Dalam kes ini, produk
kertas dan pensil adalah hasil daripada kedua-dua pengetahuan dan kemahiran.

Dalam lain-lain kes, tugasan kertas dan pensil mungkin merupakan langkah pertama
kearah tugasan hands-on. Misalnya, sebelum menggunakan alat ukuran tertentu,
seperti mikrometer, mungkin sesuai sekiranya pelajar mempelajari pelbagai ukuran
daripada gambar-gambar. Walaupun kebolehan membaca skala tidak mencukupi
untuk pengukuran yang tepat, tetapi ia adalah sesuatu yang perlu. Dalam keadaan
yang lain pula, sekiranya prestasi tersebut agak kompleks dan peralatannya mahal,
menjalankan tugasan dalam situasi kertas dan pensil mungkin boleh mengelakkan
kemalangan ataupun kerosakan kepada peralatan tersebut.

ii Ujian Identifikasi

Ujian identifikasi terdapat dalam pelbagai situasi dan pelbagai darjah realisme. Dalam
setengah keadaan, pelajar mungkin diminta untuk mengenalpasti sejenis alat dan
jelaskan fungsinya. Dalam keadaan yang lebih kompleks, pelajar akan diberi tugasan
seperti mengenalpasti litar pintas dan meminta pelajar mengenal pasti alat dan
tatacara yang sesuai untuk membaikinya. Jenis ujian identifikasi yang lebih kompleks
lagi mungkin melibatkan mendengar kepada mesin yang tidak berfungsi dengan baik,
dan dari bunyinya, pelajar diminta mengenalpasti punca-punca yang menyebabkan
mesin tersebut tidak berfungsi dengan baik.

Walaupun ujian identifikasi luas digunakan dalam pendidikan industri, ia juga


digunakan dalam mata pelajaran-mata pelajaran lain. Guru biologi misalnya boleh
meminta pelajar mengenalpasti spesimen-spesimen yang diletakkan di beberapa
stesen di dalam bilik atau mengenalpasti peralatan dan prosedur yang diperlukan
untuk menjalankan percubaan. Guru bahasa juga misalnya boleh meminta pelajar
mengenal pasti sebutan yang betul, guru matematik pula boleh meminta pelajar
mengenal pasti prosedur menyelesai masalah yang betul. Mengenal pasti prosedur
yang betul juga penting dalam pendidikan seni, muzik, pendidikan jasmani dan bidang-
bidang vokasional seperti pertanian, perdagangan dan ekonomi rumah tangga.

iii. Ujian Prestasi Berstruktur

Ujian prestasi berstruktur ini dijalankan dalam keadaan yang terkawal dan pelajar
diminta melaksanakan sesuatu tugasan mengikut prosedur dan nilai tara yang setara.
Misalnya, memasang mikroskop, mematuhi prosedur keselamatan dalam
menghidupkan enjin, atau mengesan kerosakan pada alat elektronik.

Pembinaan ujian prestasi berstruktur lebih kurang sama seperti membina lain-lain
ujian pencapaian. Namun begitu, biasanya jarang sesuatu keadaan itu dapat dikawal
dan disetarakan sepenuhnya, di samping mengambil masa lebih untuk menyedia dan
mentadbirnya serta selalunya agak sukar untuk diperiksa. Untuk meningkatkan situasi
ujian yang terkawal dan setara untuk semua pelajar, arahan-arahan yang jelas perlu
diberikan terutama tentang situasi ujian dan tugasan yang akan dijalankan. Arahan-
arahan untuk mengesan peralatan elektronik yang rosak, misalnya, termasuk perkara-
perkara berikut:

i. Tujuan ujian
ii. Peralatan yang disediakan
iii. Prosedur ujian
a. Jenis dan keadaan peralatan
b. Deskripsi prestasi yang dikehendaki
c. Had masa serta lain-lain keadaan
iv. Metod dalam menilai prestasi

Bila menggunakan ujian prestasi, adalah perlu ditentukan nilai tara prestasi yang menunjukkan
tahap minima prestasi yang boleh diterima. Ini mungkin berkaitan dengan ketepatan (ch:
mengukur suhu kepada darjah dua persepuluh yang paling hampir), mengikut urutan langkah-
langkah yang betul (ch: ubah mikroskop mengikut urutan langkah-langkah yang betul),
mengikut prosedur sepenuhnya (ch: periksa semua safety guard sebelum menghidupkan
mesin), atau kelajuan prestasi (ch: kesan kerosakan peralatan elektronik dalam masa tiga
minit). Di antara nilai tara yang biasa digunakan untuk menilai prestasi adalah seperti berikut:

Jenis Contoh

Kadar Selesaikan sepuluh masalah campur dalam masa


dua minit
Taip 40 perkataan seminit

Kesilapan Tidak lebih daripada dua kesilapan bagi satu muka


surat yang ditaip
Kira sebanyak 20 dalam Bahasa Arab tanpa kesilapan

Masa Sediakan peralatan makmal dalam masa lima minit


Kesan kerosakan peralatan dalam masa tiga minit

Kepersisan (precision) Baca thermometer sehingga darjah dua persepuluh

Kuantiti Lengkapkan 20 percubaan makmal


Kesan 15 rujukan yang relevan

Kualiti Tulis surat perniagaan yang kemas


Persembahkan bentuk yang betul dalam penerjunan

iv. Persembahan berbentuk Simulasi

Bertujuan untuk memadankan persembahan dengan situasi sebenar sama ada secara
keseluruhan atau sebahagian

Contoh:

Pendidikan Jasmani: memukul bola, berenang, pukulan tenis

Sains sosial: simulasi perbicaraan, mesyuarat, latihan penerbangan

Kemahiran yang ditunjukkan dalam situasi berbentuk simulasi menandakan kesediaan


pelajar untuk melakukan tugasan sebenar

v. Sampelan Kerja/Tugasan
Memerlukan pelajar melakukan tugasan sebenar yang mewakili keseluruhan tugasan
yang diukur. Sampelan tugasan biasanya termasuk elemen yang paling penting
dalam keseluruahn tugasan dan dilakukan dalam keadaan yang terkawal

Contoh:

Menaip surat
Menggunakan komputer dalam menganalisis data
Membaiki alat

vi. Projek penyelidikan

Jenis penaksiran yang paling komprehensif. Melibatkan kombinasi beberapa


kemahiran dan proses berfikir dalam menyelesaikan masalah, menghasilkan produk
atau kedua-duanya sekali

Contoh:

Mengenalpasti masalah
Menjalankan kajian
Menulis laporan
Merekabentuk dan membina produk
Mempertahankan hasil kajian

Langkah V: Memilih Metod Pemerhatian, Merekod dan Menskor

Terdapat beberapa prosedur digunakan untuk menilai prosedur, produk atau kedua-dua
prosedur dan produk. Di antara prosedur yang sering digunakan:

i. Pemerhatian Bersistematik

Bagi tugasan yang kecil/mudah, pemerhatian secara informal mungkin boleh


dijalankan. Bagi tugasan yang lebih komprehensif, pemerhatian perlu lebih
bersistematik bagi meningkatkan keobjektifan dan kegunaannya kemudian.
Pemerhatian biasanya dibantu oleh senarai semak atau skala kadar

ii. Rekod Anekdot

Deskripsi ringkas tentang sesuatu peristiwa yang signifikan. Ia termasuk


tingkahlaku yang diperhatikan, latar di mana tingkahlaku berlaku dan
interpretasi tentang peristiwa. Rekod akan lebih bermakna apabila:

 Ia menumpukan kepada peristiwa/perkara yang bermakna


 Ia direkodkan sebaik sahaja insiden selesai
 Ia mengandungi maklumat yang mencukupi untuk mudah difahami
kemudian
 Perlakuan yang diperhatikan dan interpretasinya diasingkan

iii. Senarai Semak


Merupakan senarai dimensi prestasi atau produk yang boleh diukur dan
mempunyai ruang untuk merekod penilaian “ya” atau “tidak”. Sekiranya
senarai semak digunakan untuk menilai satu set prosedur, misalnya, langkah-
langkah yang diikuti mungkin diletakkan dalam urutan pangkatan dalam
borang; pemerhati akan menyemak sama ada setiap tindakan telah diambil
atau tidak. Senarai semak untuk menilai produk pula biasanya mengandungi
senarai ciri-ciri produk yang baik seperti saiz, warna, bentuk dan lain-lain serta
terdapat ruang untuk merekod sama ada setiap ciri yang dikehendaki ada atau
tidak.

iv. Skala kadar

Skala kadar adalah sama dengan senarai semak dan mempunyai tujuan yang
sama iaitu untuk menilai prosedur dan produk. Perbezaan yang utama adalah
skala kadar menyediakan peluang untuk menandakan darjah berdasarkan
skala tertentu. Skala untuk pengkadaran biasanya berasaskan kepada
kekerapan sesuatu tindakan itu dilaksanakan (contoh: selalu, kadang-kadang,
tidak pernah), kualiti sesuatu prestasi (contoh: cemerlang, kepujian,
sederhana, lemah) atau satu set frasa deskripotif yang menandakan darjah
penerimaan prestasi (contoh: menyelesaikan tugasan dengan cepat, lambat
dalam menyelesaikan tugasan, tidak dapat menyelesaikan tugasan tanpa
bantuan.

Anda mungkin telah pernah menjalankan penaksiran prestasi, cuba anda berikan
LIMA faedah yang boleh diperolehi melalui penaksiran prestasi:

i. __________________________________________________________________
ii. __________________________________________________________________
iii. __________________________________________________________________
iv. __________________________________________________________________
v. __________________________________________________________________

Penskoran dan Penggredan Penaksiran Prestasi

Pada asasnya terdapat dua pendekatan penskoran yang lazim digunakan dalam penaksiran
prestasi penskoran analitik dan penskoran holistik.

i. Penskoran Analitik

Penilaian ke atas setiap kriteria yang digunakan untuk mentaksir tugasan/produk

Contoh: Skala kadar

ii. Penskoran Holistik

Berasaskan pandangan keseluruhan sesuatu tugasan/produk daripada elemen-elemen


spesifik. Penskoran boleh berpandukan kepada rubrik yang menjelaskan tentang kualiti bagi
setiap tahap/kriteria yang digunakan
Untuk tujuan pengajaran, kedua-kedua bentuk penskoran adalah berguna. Sekiranya kedua-
duanya digunakan, penskoran secara holistik perlu dibuat dahulu supaya sesuatu elemen yang
spesifik tidak menjejaskan pandangan kepada keseluruhan produk.

Rubrik Penskoran

Rubrik merupakan satu panduan atau format untuk melakukan satu penaksiran bagi sesuatu
perkara. Rubrik kerap digunakan di dalam pentaksiran kerja kursus. Dalam sesuatu penggredan
yang menggunakan rubrik, ia menjelaskan tentang penskoran bagi sesuatu tahap pencapaian
atau jawapan yang pelajar kemukakan. Rubrik digunakan untuk mentaksir secara analitik atau
pun secara holistik.

 Rubrik analitik: Digunakan apabila penaksiran memerlukan maklumat terperinci yang


boleh menunjukkan kelemahan dan kekuatan pelajar. Ia biasanya digunakan apabila
prestasi yang ditaksir adalah “more than the sum of its parts” (contohnya prestasi
mengajar dan pengucapan awam). Rubrik analitik mempunyai kesahan dan
kebolehpercayaan yang lebih tinggi.
 Rubrik holistik: Digunakan apabila penaksiran hanya memerlukan gambaran
keseluruhan prestasi dengan komponen yang secukupnya sahaja bagi membolehkan
pengukuran yang konsisten dijalankan.
 Kedua-dua jenis rubrik boleh digunakan bersama-sama di mana rubrik analitik
dijadikan panduan untuk menilai secara holistik.

Contoh penskoran yang menggunakan rubrik adalah seperti berikut:

Gred Poin Maknanya


Cemerlang – Telah menguasai semua objektif utama dan minor. Dapat
A 5
memberikan hujah yang baik dan berkesan
Baik – Telah menguasai semua objektif utama dan kebanyakan objektif
B 4
minor. Dapat memberikan hujah dengan baik.
Memuaskan – Hampir menguasai semua objektif utama tetapi masih
C 3
memerlukan bantuan dalam objektif minor. Dapat memberikan hujah
dengan memuaskan.
Lemah – Memerlukan lebih bimbingan daripada guru. Perlu menguasai
D 2
separuh daripada objektif utama dan sedikit objektif minor. Hujah yang
diberikan masih belum cukup memuaskan.
Kurang Memuaskan – Belum lagi menguasai ssebarang objektif
E 1
utama yang telah ditetapkan. Jika terdapat item betul pun adalah
disebabkan bernasib baik, pelajar mungkin kurang faham kuliah yang
diberikan. Hujah yang diberikan adalah lemah.

Pada umumnya rubrik penskoran boleh dibahagikan kepada tiga jenis.

a. Holistik dan analitik


Pemilihan dibuat secara umum tentang sesuatu prestasi. Rubrik yang holistik mempunyai
label-label kecekapan yang berkaitan dengannya seperti: cekap, lemah, cemerlang dan
sebagainya. Manakala analitik pula merupakan rubrik yang lebih terperinci daripada
holistik. Kriteria yang disediakan adalah lebih kemas.

b. Perkembangan dan kuantitatif

Rubrik ini dibina untuk memanjangkan aras gred atau jarak kecekapan di atas satu
kontinuum. Kuantiti merujuk kepada penggunaan skala kadar (rating) yang telah
didefinisikan dalam angka dan digunakan secara holistik atau analitik.

c. Umum dan spesifik

Satu set kategori kriteria dibentuk untuk semua tugasan – kerap menggunakan rubrik
holistik. Manakala rubrik yang tertentu dibina untuk tugasan yang tertentu sahaja seperti
dalam soalan jawapan pendek atau soalan terbuka.

Portfolio
Kita akan cuba membincangkan satu contoh penaksiran prestasi yang banyak digunakan
dalam mentaksir pembelajaran pelajar iaitu portfolio. Portfolio telah didefinisikan dalam
pelbagai bentuk. Secara umumnya, portfolio…

“A portfolio is more than just a container full of stuff. It‟s a systematic and organized collection
of evidence used by the teacher and student to monitor growth of the student‟s knowledge,
skills, and attitudes in a specific subject area”

Vavrus, 1990, ms.48

Berdasarkan definisi di atas, bolehlah dikatakan bahawa portfolio merupakan proses


mendokumentasi pembelajaran merentas masa bagi menunjukkan progres pelajar dan
mengajar mereka melalui pentaksiran kendiri, penyuntingan, dan penambahbaikan tugasan.
Bahan-bahan yang biasanya terdapat di dalam sesebuah portfolio termasuklah penulisan
jurnal, penulisan reflektif, ulasan rakan sebaya, hasil kerja seni, gambar rajah, nota pelajar,
draf dan penulisan yang siap.

Bagi portfolio yang mempunyai ciri yang baik mestilah:

 Mengandungi bahan terpilih sahaja


 Menunjukkan progres pembelajaran
 Sistematik dan tersusun
 Menunjukkan bukti bimbingan yang diterima daripada ibu bapa, guru, dan rakan
sebaya
 Menunjukkan bukti kerja kolaboratif dan interaksi dengan rakan sebaya
 Menunjukkan bukti hasil pemikiran kritis dan kreatif

Membina portfolio

Secara umumnya, langkah-langkah membina portfolio adalah seperti berikut:

1. Kenalpasti bidang kemahiran dan pengetahuan yang pelajar perlu bina


2. Tentukan hasil pembelajaran yang perlu pelajar capai berdasarkan bidang ini
3. Kenalpasti indikator prestasi yang menunjukkan pelajar telah mencapai hasil
pembelajaran dan nyatakan bukti yang pelajar perlu kumpulkan
4. Kumpulkan bukti yang menunjukkan pelajar telah mencapai indikator prestasi tersebut
5. Susun bukti ini dalam satu portfolio supaya penilai mudah memahami bagaimana bukti
dikaitkan dengan setiap indikator prestasi

Mengurus dan mengguna portfolio

Pelajar adalah terlibat secara aktif dalam mengurus dan menjaga portfolio. Oleh kerana
portfolio adalah merupakan koleksi kerja pelajar, maka mereka perlu dibimbing tentang apa
yang perlu dimasukkan ke dalam portfolio, dalam memilih sampel kerja dan dalam menilai
perkembangan pembelajaran sebagaimana yang digambarkan dalam sampelan kerja tersebut.
Porfolio akan disemak secara berkala semasa konferen pelajar-guru yang memberi peluang
kepada pelajar dan guru membandingkan penilaian mereka serta membincangkan kekuatan
dan kelemahan pembelajaran serta aspek-aspek yang memerlukan penambahbaikkan.
Portfolio juga digunakan semasa konferen ibubapa-guru untuk mempersembahkan
perkembangan pembelajaran pelajar berdasarkan bukti-bukit hasil kerja yang konkrit.

RUMUSAN
1. Penaksiran prestasi mementingkan darjah realisme tugasan serta mengukur tugasan
yang lebih kompleks dibandingkan dengan ujian pensil dan kertas
2. Penaksiran prestasi terhad biasanya adalah lebih berstruktur dan terhad skopnya serta
merangkumi hasil pembelajaran yang spesifik yang hendak diukur. Sedangkan
penaksiran prestasi terbuka kurang berstruktur, lebih terbuka dan luas skopnya serta
boleh merangkumi beberapa hasil pembelajaran dalam satu-satu tugasan
3. Fokus penaksiran prestasi adalah kepada mentaksir produk, proses atau kedua-
duanya sekali
4. Terdapat pelbagai darjah realisme dalam penaksiran prestasi, dan matlamatnya
adalah untuk mendapatkan setinggi darjah realisme yang mungkin dalam kekangan
yang terdapat seperti kekangan masa, kos, kelengkapan, instrumen dan lain-lain
5. Langkah-langkah melaksanakan penaksiran prestasi bermula dengan mendefinisikan
hasil pembelajaran; diikuti dengan memilih fokus penaksiran (prosedur, produk atau
kedua-dua); seterusnya memilih darjah realisme tugasan yang sesuai; memilih situasi
tugasan; dan akhirnya memilih metod pemerhatian, merekod dan menskor.
6. Beberapa teknik pemerhatian yang biasa digunakan adalah seperti pemerhatian
berstruktur, rekod anekdot, senarai semai dan skala kadar.
7. Penskoran penaksiran prestasi boleh dilakukan secara analitik atau pun secara holistik
dengan menggunakan rubrik penskoran yang sesuai.
8. Portfolio merupakan satu contoh pentaksiran prestasi yang sering digunakan untuk
mentaksir progress pembelajaran pelajar dengan meneliti hasil kerja pelajar dalam
satu tempoh masa. Portfolio menekankan kekuatan pembelajaran pelajar,
pembentukan penilaian kendiri serta penglibatan aktif pelajar dalam proses pengajaran
dan pembelajaran.

Kuiz

Sila jawab soalan-soalan berikut:

1. Dalam mentaksir kebolehan pelajar mengesan kerosakan enjin kereta berdasarkan


kriteria yang telah ditetapkan, Cikgu Rama telah membawa pelajar-pelajarnya ke
sebuah bengkel yang berhampiran dengan sekolah. Dengan bantuan mekanik di
bengkel tersebut, Cikgu Rama telah meminta pelajar-pelajar nya mengesan jenis
kerosakan pada enjin kereta yang terdapat di bengkel tersebut Tindakan Cikgu Rama
ini menunjukkan yang beliau

A. ingin memberi peluang kepada pelajar-pelajarnya bekerja di bengkel kereta


B. mementingkan darjah realisme pentaksiran yang dilakukannya
C. cuba untuk mengelakkan pelajar-pelajar yang nakal membuat bising di kelas
D. ingin membezakan pentaksiran bilik darjah dan pentaksiran persembahan

2. Penaksiran prestasi dikatakan sebagai penaksiran alternatif atau penaksiran autentik


dan tergolong dalam bentuk-bentuk penaksiran yang sedang dikembangkan dalam
paradigma penaksiran pada masa ini. Kenyataan ini menggambarkan bahawa
penaksiran prestasi

I. mementingkan penaksiran ke atas kebolehan berfikir aras tinggi


II. bersesuaian dengan paradigma pembelajaran konstruktivisme
III. boleh menggantikan penaksiran tradisional yang menekankan pengukuran
saintifik
IV. adalah merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran

A. I & II sahaja
B. 111 & IV sahaja
C. I, II & III sahaja
D. I, II & IV sahaja

3. Salah satu objektif pengajaran Geografi yang hendak dicapai oleh Cikgu Lily adalah
seperti berikut:

"Membolehkan pelajar mengumpul maklumat, menganalisis maklumat dan membuat


laporan daripada lawatan yang diadakan ke kawasan perkampongan orang asli".
Untuk mengukur kemahiran-kemahiran tersebut, jenis penaksiran yang paling sesuai
digunakan oleh Cikgu Lily adalah

A. Penaksiran prestasi terbuka


B. Penaksiran prestasi terhad
C. Ujian Subjektif
D. Ujian Objektif

4. Penaksiran prestasi dilaksanakan dengan mengikut langkah-langkah yang sesuai bagi


mempastikan penaksiran tersebut dapat mengukur dengan tepat pengetahuan dan
kemahiran yang hendak diukur. Berikut adalah langkah-langkah yang biasa
digunakan dalam menjalankan penaksiran prestasi:

I. Memilih situasi tugasan


II. Memilih fokus penaksiran (prosedur, produk atau kedua-duanya)
III. Memilih metod pemerhatian, merekod dan memeriksa
IV. Menetapkan hasil tugasan
V. Memilih darjah realisme yang sesuai

Pada pandangan anda, susunan langkah-langkah yang manakah yang paling sesuai
untuk menjalankan penaksiran prestasi yang berkesan?

A. I, II, III, IV, V


B. II, III, I, IV, V
C. III, I, II,V, IV
D. IV,II,V,I,III

5. Dibandingkan dengan bentuk-bentuk penaksiran lain, portfolio sebagai metod


penaksiran merupakan satu cara yang terbaik untuk

A. merakamkan tingkahlaku autentik


B. menggantikan penaksiran berbentuk ujian pensel-kertas
C. berkomunikasi tentang apa yang pelajar sebenarnya tahu
D. mengesahkan skor-skor ujian yang diperolehi daripada bentuk-bentuk
penaksiran lain

6. Kekuatan portfolio sebagai metod penaksiran pelajar yang menjadi tarikan kepada
guru-guru menggunakannya adalah

A. kebolehpercayaan yang tinggi


B. keberkesanan tinggi dan menjimatkan masa
C. keseragaman tugasan untuk tujuan penggredan
D. kemudahan untuk guru mengintegrasikannya dengan pengajaran

7. Untuk tujuan pemberian gred, penilaian sesuatu portfolio paling baik dilakukan dengan
menggunakan

A. penilaian rakan sebaya


B. penilaian kendiri pelajar
C. kriteria pemarkahan holistik
D. kriteria pemarkahan analitik

8. Portfolio sangat berguna dalam konferen antara guru-ibubapa. Ia menyediakan


maklumat tentang perkembangan pembelajaran pelajar kepada ibubapa berserta
dengan

A. rekod kerja pelajar yang lengkap


B. skor yang boleh dipercayai dan mudah difahami
C. contoh-contoh konkrit tentang pencapaian pelajar
D. gred bagi setiap sampelan kerja yang dimasukkan dalam portfolio

9. Di antara ciri-ciri penting penaksiran autentik adalah

A. Penaksiran kendiri dibuat seiring dengan ujian konvensional


B. Penekanan kepada soalan yang memerlukan pelajar menghafal fakta
C. Soalan atau tugasan yang dibina menggambarkan apa yang berlaku dalam
keadaan sebenar
D. Pelajar dikehendaki membentangkan dan mempertahankan secara lisan untuk
menentukan bahawa penguasaan nya adalah benar

JAWAPAN:

1. B
2. D
3. A
4. D
5. C
6. D
7. C
8. C
9. C

KATA KUNCI
Penaksiran prestasi
Penaksiran autentik
Penaksiran alternatif
Penaksiran rujukan kriteria
Penaksiran proses
Darjah realisme
Kemahiran berfikir aras tinggi
Portfolio
PENILAIAN KENDIRI
1. Apakah perbezaan asas di antara penaksiran tradisional dan penaksiran prestasi?
2. Mengapakah penaksiran prestasi lebih merupakan penaksiran rujukan kriteria?
3. Dalam sistem penaksiran di sekolah didapati penaksiran prestasi kurang diberikan
tumpuan, mengapa?
4. Apakah ciri-ciri yang ada pada penaksiran portfolio yang sesuai dengan kriteria
penaksiran prestasi?

RUJUKAN
Airasian, P. W. (2001). Classroom assessment concepts and applications. 4th Edition. New
York: Mc-Graw Hill.
Gronlund, N.E., (1998). Assessment of Student Achievement, 6 th ed., Boston:Allyn & Bacon

Anda mungkin juga menyukai