Anda di halaman 1dari 19

BIDADARI LEBARAN

HUJAN yang turun lebat lewat tengah hari tadi kini beransur reda. Di luar, kedengaran bunyi
mesin kelapa mengaum-ngaum tanda emak dan kak Ngah sedang sibuk menyediakan juadah
berbuka puasa. Aku celik mata melihat jam dinding. Ahh.. baru pukul 5.30 petang..masih awal
lagi…badan terasa lesu semacam , lantaran terlalu lama berada di Lab. Com tadi menyiapkan
report untuk Persatuan Bola Sepak SMD.
“Keon!! Keon!!” Suara yang amat sinonim di telingaku kedengaran dari luar. Seraya itu juga
langsir pintu berwarna biru tersingkap luas dan secepat kilat kurasa katilku bergegar.
“Keon!!! Bangunlah!! Aku ada bawak berita baik punya!!” Aku celik mata sedikit. Wajah bersih
Arie terpampang di depan mata. Topinya yang senget benget menambahkan lagi ketensionan
aku kerana tidurku terganggu.
“Woiii!! Kau dengar tak ni? Bangunlah!!” Desak Arie lagi sambil menarik bantal yang menutupi
mukaku.
“Aku penatlah Arie..” ujarku sambil menarik semula bantal dari tangannya.
“Tadi aku nampak Fatihah and the gang,” What? Secepat kilat aku bangun dari pembaringan.
Bantal tadi terpelanting ke ceruk dinding. Hilang segala rasa mengantuk dan lesu tadi sebaik
saja nama itu terbit dari mulut Arie.
“Kat mana kau nampak dia?” soalku tak sabar.
“Depan rumah cikgu Tipah...dia sedang dalam perjalanan balik ke rumahnya..” macam
karangan budak sekolah Arie menerangkan kepadaku. Tak tunggu lama aku bingkas bangun.
T shirt hitam di hujung katil kusambar. Sikat di atas almari ku capai dan sikat lebih kurang.
Arie cuma menggeleng kepala.
“Jom cepat! Nanti tak sempat pulak,” aku sengih sambil mengenyit mata. Kunci motor di atas
peti ais kucapai segera.
“Ha..nak kemana pulak tu?” Kak Ngah yang memang tak pernah senang hati dengan aku
menjeling tajam. Tangannya masih lincah mengacau kuah lemak sotong di dalam periuk.
“Dengki la tu,” aku mengejek.
“Orang bukan dengki..kan tadi ayah pesan suruh ambil ikan kat kebun…jangan nak merayau
ye..”
“Eleh, mak tak cakap apa pun..susah-susah..kak ngah aje la yang pegi ambik,”
“Aku nak pergi dengan apa? Jalan kaki?” kak ngah menjeling geram.
“Ayah dah suruh tu pergi ajelah…nanti bising pulak dia…” mak tiba-tiba menyampuk.
“Hemm…ye la..nanti Keon pergi,” Kataku mengalah. Dengan pantas aku melangkah keluar.
“Keon! Suruh ayah ambil daun kesum dengan bunga kantan sekali..mak nak masak tempoyak
ni..cepat sikit balik!!” teriak emak dari dalam.
“Okey…sebelum subuh keon sampai!” usikku membuatkan Arie tertawa kecil.

******

KEHENINGAN petang ke 8 ramadhan di Kampung Pamah Kulat tercemar dengan deruman


motor TZR merahku. Nun di hadapan sana kelihatan enam dara pingitan sedang terlenggang-
lengguk pulang dari tuisyen, tak ubah seperti itik serati nenek aku dulu. Dengan kelajuan 100
kmj aku memecut ala-ala Grand Prix. Seraya itu juga air lopak yang bertakung di tengah jalan
berombak hebat.
“Oiiiii!!!! Setan! Celaka!!” Aku dan Arie cuma bersorak puas sambil tertawa. Aku lihat keenam-
enamnya sudah seperti sekawan kerbau yang baru balik dari berkubang. Ada yang basah satu
badan..ada yang kena kat tudung…dan dari jauh aku dapat melihat reaksi gadis yang selama
ini mengganggu ketenangan jiwaku sejak satu ramadhan dahulu. Gerai Burger Rapie
kuhampiri. Kelihatan Rapie sedang sibuk menggoreng murtabak. Bulan-bulan puasa begini
business pun macam-macam. Rata-rata penduduk di sini mencuba rezeki dengan berniaga di
musim-musim begini. Ikutkan, emak juga teringin membuka gerai di depan rumah, tapi ayah
tak mengizinkan. Lebih baik kumpul pahala daripada kumpul harta, katanya.
“Ada orang kena hujan tengah jalan nampak?” Rapie mengusik tatkala enam dara malang itu
melewati gerainya. Aku cuma tersengih sambil menjeling ke arah Arie yang asyik melihat
gelagat Anny.
“Ish..ish…ish…kesian anny..habis basah satu badan!” usikan Arie itu membuatkan kami
tertawa kelucuan.
“Hei setan! Korang ni tak ada kerja lain ke? Hah? Perangai macam pelesit kampung…ada pulak
yang kena gulai ngan aku ni karang..” Huiiye…marah benar nampaknya cik laser kita..
“Entah! Hantu pun reti bahasa sekarang ni bulan puasa…dah lah perangai ala-ala jin
afrid..kalau muka tu handsome ke…tak pe la jugak.. ini muka macam kambing kena
panggang!” Phew..phew..agaknya kalau boleh nampak api kemarahan Pojiemah dah sah gerai
Burger Rapie dengan kami semua sekali rentung! Kembang kempis hidungnya menahan
marah!
“Wei..releks ma…korang nak marah sangat ni apa hal?” soalku.
“Lagi mau tanya! Engkau ingat engkau sorang je ke ada motor hah? Pelesit!…lain nak
marahnya aku!” Linda, si tinggi galah mengalahkan bini Popeye bersuara. Separuh kain
kurung kuning cairnya sudah bercampur lumpur likat.
“Wah..berani kau kata aku pelesit ye?”
“Memang kau tu pelesit! Pelesit tak bertuan…kau dengan kawan-kawan kau ni sekali..bodoh!!”
Miss, si ratu laser sudah hilang sabar.
“Apa laser? Bodoh?”
“Memang kau tu bodoh! Dah tahu ada lopak air kat situ yang kau pergi langgar sapa suruh?”
si Maya, awek yang terkenal dengan identiti penyanyi nasyid pula bersuara. Tak
sangka..selembut-lembut perempuan itu pun dah mula memuntahkan marah.
Wah..nampaknya semua dah marah!
“Yang korang jalan ketepi ke tengah macam itik mabuk tu sapa suruh? Takkan aku nak angkat
lopak air tu ketepi..gitu??” soalku balik. Bengang jugak bila diseranah begitu sekali. Jatuhlah
maruah aku sebagai lelaki paling hensem di kampung ini…
“Sudahlah! Jom kita balik! Lagi lama kat sini rasa macam duduk dengan ahli neraka!”
Pojiemah bersuara dan menonong ke depan. Miss menjeling tajam dan mengekori Pojiemah.
Si minah becok ni kalau tak menjatuhkan air muka aku tak sah! Dari kecil sampai sekarang
kami tak pernah aman kalau bersua.
“Eleh…ahli neraka konon..macamlah dia confirm masuk syurga…piiirah!!”
“Blah la! Bodoh..kacang hantu!!” Aku cuma tersengih apabila keenam-enam itik serati itu
menghadiahi jelingan maut untukku. Eleh, mereka pasti menyesal kerana telah mencetuskan
permusuhan dengan jejaka idaman malaya ini.
Aku tahu selama ini aku yang rajin cari pasal. Tapi semua itu bukan untuk Linda, Anny atau
Maya, jauh sekali si specky dan si ratu laser tu. Tapi semuanya kerana si Fatihah! Ya..Fatihah
Nur Ieman Idzuddin! Kalau diikutkan aku sebenarnya tak ingin nak mengganggu orang,
apatah lagi menghuru harakan hidup budak-budak itu. Lebih baik aku buat kerja sendiri.
Tetapi, siapa sangka gadis putih kuning itu begitu berani menjatuhkan air muka aku, lelaki
macho dan handsome semalaya ini! He he he…tak adalah, cuma dia patut sedar aku adalah
pelajar yang berpengaruh dan disegani di sekolah. Selama ini belum pernah lagi aku
dimalukan, apatah lagi oleh seorang pelajar baru yang belum pun tahu selok belok sekolah,
jauh sekali kalau ditanya di mana letaknya makmal 3 nun di hujung blok J. Tetapi siapa
sangka si Fatihah yang telah mencetus sejarah paling hitam dalam kamus hidup aku!
Semuanya berlaku tanpa kuduga. Startingnya cukup romantik, kalau dalam novel pasti sudah
melahirkan ikatan cinta antara hero dan heroinnya. Kalau dikenangkan memang tak tidur
malam. Hari yang bersejarah itu siapa sangka aku telah menyelamatkan seorang pelajar
perempuan daripada tergelincir dari tangga tingkat 4 yang curam? Terasa dadaku berdegup
kencang tatkala tanganku memeluk erat pinggang Fatihah. Semua yang menyaksikan
kejadian itu bersorak kagum, membuatkan aku terasa macam hero Leftenan Adnan. Tapi saat
indah itu cuma sementara bila tiba-tiba saja aku terasa pipi kiriku perit. Saat itu aku lihat
Fatihah merenungku dengan muka yang merah padam.
“Kenapa awak ni kurang ajar sangat? Macam ni ke student sekolah ni?” kata-kata yang lahir
dari mulut kecil Fatihah itu kurasa macam belati menghiris jantung. Sorakan kagum tadi
terhenti tiba-tiba membuatkan kesabaranku sebagai lelaki tercabar.
“Kalau saya tak bantu awak tadi, tentu awak dah terjatuh kat bawah sana,” aku menerangkan
niatku yang sebenar.
“Kalau jatuh pun saya, bukan awak! Cakap sajalah awak tu nak ambil kesempatan!”
Wah…..aku merenung wajah Fatihah lama. Ini dah kira satu tuduhan yang tak berasas!
Dahlah kita tolong tak ucap terima kasih!
“Awak belum kenal siapa saya kan?” soalku tenang. Wajah ayu Fatihah kurenung tepat.
“Kenapa? Awak anak raja kayangan mana sampai saya patut kenal?”sindir Fatihah cukup
membuatkan hatiku terbakar. Tanpa memperdulikanku dia terus mengutip buku-bukunya
yang bertaburan.
“Kalau awak nak tahu, sayalah Keon, selamat berkenalan!” dengan pantas buku-buku di
tangan Fatihah kurampas dan kulemparkan ke bawah.
“NO!!” Fatihah merenungku tidak percaya.
“Be careful my dear..see where the legs come from maa..jangan ingat awak cantik saya tak
boleh ajar awak cara terbaik menghormati orang lain…faham??” Fatihah merenungku lama.
Jangan ingat baru dua tiga hari di sekolah ini boleh berbuat sesuka hati. Mulut mau jaga
apa….
“Dah puas hati awak Iddin?” Alamak…aku menoleh ke belakang. Cikgu Zulia sedang berpeluk
tubuh sambil merenung wajahku yang cute ini. Ok oww…dan hari itu, pertama kali dalam
sejarah, aku menyambut satu ramadhan dengan birat di punggung kerana membuli si Fatihah.
Semuanya kerana gadis itu!!
“Keon, woi! Berangan apa..” Rapie menepuk bahuku, menyedarkan aku dari lamunan. Aku
cuma tersengih dan meninjau kelibat itik-itik pulang petang itu yang semakin menjauh.
Mataku asyik memerhatikan cara Rapie membuat murtabak. Ramai orang memuji kesedapan
murtabak Rapie. Malah aku pun mengakui murtabaknya memang sedap, sekali makan rasa
nak selalu! Tapi, bagi aku juadah paling membuka selera tak lain tak bukan, lepat pisang.
Kalau tidak tentu terasa kurang berselera bila berbuka nanti.
“Pie! Kasi murtabak satu,” Alamak..rasa macam pernah dengar saja suara ni…Rapie, Arie dan
Aizam sudah tersengih-sengih. Dah sah!
“Hai Keon!” Erina menyengih panjang memaksa aku mengukir senyuman paksa untuknya.
“Beli murtabak ke?” sapaku, sekadar berbahasa.
“Emmm..hari tu Erina dengar murtabak Rafie ni sedap..ni nak cuba ni..” balas Erina manja.
“Dari tadi lagi Keon sebut-sebut..ingatkan Erina tak sudi datang ke kampung kami ni..” saat
itu mahu saja aku sembelih leher Arie..sengaja nak buat dajal…memperasankan si Erina tu.
“Iye ke?” Erina merenung wajahku meminta kepastian. Terasa macam dipanah laser aje
mukaku ini bila direnung begitu.
“Tak adalah….dia orang ni memang tak sayang mulut…” balasku tersengih. Malu jugak beb..
“Keon…nanti Erina nak jumpa Keon la..nak discuss pasal latihan Fizik tu..Erina blank la..”
terasa suara Erina mendayu-dayu menusuk ke telinga.
“Keon pun bukan tau sangat…” aku sengaja memberi alasan. Bukan apa..aku kurang berkenan
sikit dengan si Erina ni. Selalu sangat nak jumpa aku, macamlah aku sorang saja yang boleh
tolong selesaikan problem Fizik dia.
“tapi tadi Marlina beritahu Keon yang tunjukkan jawapan,” aku terperangkap dengan alasan
Erina. Memang di sekolah tadi aku dah ajarkan budak ‘sihat dan kuat’ tu.
“So, tanyalah Marlina!”
“Erina nak Keon ajar dari awal sampai akhir…Nanti Erina senang faham..”pintanya. Aku
kematian idea. Apa aku nak buat?
“emmm..okey la..bila?” soalku akhirnya.
“Esok, kat Taman Bourgenivilla depan tadika KEMAS tu…pukul 3.00,”
“Agak-agak lama tak?”
“Kenapa? Tak boleh lama-lama ke?”
“Bukan…Keon nak main takraw dengan bebudak ni..” aku mengenyit mata ke arah Arie dan
Aizam. Mereka cuma tersengih. Erina tersenyum.
“Okey la..berapa Pie?” Erina mengambil bungkusan murtabaknya.
“RM1.20,” tanpa banyak soal Erina menghulurkan not RM2.00.
“Keep the change,” Erina tersenyum dan belalu ke mercedez biru gelap di tepi jalan.
“Keon…Arie pun nak study Fizik gak esok..boleh kita jumpa?” Arie mengejekku sambil
melentok-lentok ke bahuku.
“Hisshh..cam gay la kau ni!” aku melompat bangun membuatkan Arie, Rapie dan Aizam
ketawa kelucuan.
“Kau ni jual mahallah Keon…” komen Aizam sambil membalikkan murtabak yang digorengnya.
Beberapa orang budak kecil sedang menanti giliran di situ.
“jual mahal apa lak?” soalku hairan.
“Apasal kau tak ambil saja Erina tu jadi awek? Kan dia dah lama syok kat kau?” soal Rapie.
“Entah! Dahlah anak orang kaya, anak tunggal..cantik..untung kau kalau dapat Erina tu…kaya
raya hidup kau…” Sampuk Arie. Aku cuma tersengih. Tidak tahu apa jawapan yang harus
kuberikan. Memang aku menyedari tentang perasaan Erina terhadapku selama ini. Malah aku
sering menerima kad berbau harum dan kuntuman bunga di hari Valentine…hadiah pelbagai
jenama dan harga setiap kali hari jadi menjelang dan kunjungan mengejut ke rumah tatkala
aku kurang sihat hinggakan mak dan ayah menjeling hairan melihat sifat concern Erina yang
berlebih-lebih…Semua itu cukup untuk aku menyelami hati dan perasaan Erina. Tapi, aku
menganggapnya tak lebih daripada seorang kawan dan perasaan Erina itu kubiarkan begitu
sahaja. Atau pun mungkin kerana aku sudah jatuh hati pada seseorang? Aku senyum sendiri.
Jatuh hati? Biar betul…selama ini nak minat kat orang pun payah inikan pula jatuh hati?
Setakat mengacau tu biasalah! Tapi…kalau betul aku jatuh hati, dengan siapa? Dengan si
Laser? Hish! Selisih malaikat 44! Gilo apo dapat girlfriend laser nak mampus macam tu!
Bagaimana dengan si amoi tu? Tu lagi tak boleh…Pojiemah? Hem..ustazah specky tu…tak rela
aku…Bagaimana kalau dengan Fatihah? Aku senyum lagi..bertambah-tambah sweet muka aku
yang memang sweet ni..
“Dah..senyum sorang-sorang pulak…” Rapie tak habis-habis mengusik. Aku cuma tersenyum.
Gitar di atas meja kucapai. Dengan bersahaja aku memainkan lagu kesukaanku ‘Moment of
Glory’.
“Wah..macam ayah aku je tu…dari mana lak berlumpur-lumpur tu?” tegur Arie melihat
ayahnya menghampiri gerai Burger Rapie.
“Arie…kau pegi rumah Pak Ngah Debab tu kejap..ambik buah kundang sikit..”
“mana dapat kundang ayah?” soal Arie sambil menuju ke motornya.
“Ni kebun Keon ni…tadi ayah ambil ikan keli sekali..hantar ayah Keon ke rumah dulu..” cerita
orang tua itu sambil tersengih. Ikan keli? Aku mengerut kening. Macam ada sesuatu yang
berkaitan aje…Alamak!!
“Pak lang, ayah saya dah balik?” soalku gabra. Matilah kena leter dengan ayah kejap lagi..
“Dah lama pak lang hantar tadi..”
“Err…Pie..aku blah dululah!” Tak tunggu lama aku meletakkan gitar di atas meja. Motor
kupecut laju menghala ke rumah. Di muka pintu kelihatan Kak Ngah sedang menanti dengan
muka dengkinya.
“Mana ikannya?” soalnya, walaupun dia sudah tahu jawapannya. Aku cuma tersengih dan
menuju ke dapur. Kelihatan emak sedang menceduk gulai tempoyak dari belanga periuk
tanah.
“Ingatkan dah tak balik dah..” perli emak sambil menutup periuk.
“Sorry la mak..Keon lupa..ayah yang bawak balik ikan ni ye?” soalku sambil membawa
mangkuk gulai itu ke meja hidangan.
“Taklah..ikan tu berjalan sendiri tadi, berlari-lari masuk ke rumah ni,” sindir emak. Aku cuma
tersengih, bisa juga telinga disindir emak. Di atas meja pelbagai jenis lauk pauk tersedia.
Tapi, ada satu yang kurang!
“Mana lepat pisang mak? Tak buat ke?” soalku.
“Tadi kalau kau balik cepat, boleh mak suruh kau ambil pisang kat rumah pak tih sana…pisang
dah habis,” jawab mak sambil meletakkan kuih keria di depanku. Aku menarik muncung.
“Ayah mana?”
“Cari kuih puteri mandi kat pekan nu..mak segala kuih kau orang anak beranak tak sempat
buat..” aku cuma tersengih. Ayah kalau tanpa puteri mandi di bulan puasa begini tak sah.
Mana tak tumpah kepada anak lelaki tunggalnya ini?
“Pergilah cari kat gerai mana-mana..sempat lagi ni,” mak menghulurkan not RM2.00
kepadaku. Tak tunggu lama aku segera melarikan TZR ke rumah bercat kuning di hujung
padang bola. Gerai Mak Uda Siti yang sudah beransur lengang itu kuhampiri.
“Hai…dah dekat nak berbuka ni Keon..cari apa?” sapa orang tua itu ramah.
“Lepat pisang ada tak Mak Uda?” soalku sambil memaniskan muka. Begitu innocent sekali,
kalau Fatihah tengok kesantunan aku dengan orang-orang tua mesti tak percaya. Tapi itulah
hakikatnya, aku sememangnya pemuda hensem berbudi pekerti lagi..he..he..he…
“La..Mak uda tak jual lepat pisang hari ni..tapi tadi Fatihah ada buat sikit..biar mak Uda
tengok sekejap ye..” Orang tua itu cepat-cepat menuju ke rumahnya yang cuma 3 meter saja
dari gerai. Aku menanti sambil melihat-lihat bekas kuih yang sudah kosong. Kuih-muih Mak
Uda Siti jarang tak habis, boleh dikatakan dia ni memang expert dalam bidang kuih-muih ni!
“Ehem!!!” Aku angkat muka. Fatihah sudah tercegat di hadapan dengan seplastik bungkusan
lepat pisang. Tiba-tiba aku terasa jantungku berdegup macam keretapi. Tiba-tiba aku terasa
mulutku kelu untuk berkata-kata. Fatihah tunjuk muka kelat apabila direnung begitu.
Entahlah, sebelum ini bukan tak pernah membeli kuih di gerai neneknya. Malah saban hari
kalau mak tak sempat buat kuih puteri mandi untuk ayah. Ah..jejaka hansem macam aku tak
boleh tunjuk kelemahan depan gadisnya!
“Berapa?” soalku sambil menyeluk poket seluar. Fatihah keras tak bersuara.
“Nak jual ke tidak ni? Karang orang curik kang…” usikku membuatkannya menjeling marah.
Eleh..mesti kau menyesal kerana menyombong dengan jejaka rebutan ini. Aku tenung
matanya yang bersinar-sinar macam bintang kejora.
“Dah kelu ke mulut? Ada emas ke..atau tergamam tengok saya yang cute, macho, bergaya
dan hansome ni?” usikku sambil meletakkan tangan ke dagu, ala-ala posse maut model gitu.
Fatihah mencebik dan pantas masuk ke dalam tanpa rasa menyesal meninggalkan jejaka
idaman malaya ini keseorangan di sini.
“Tak payah bayarlah Keon..” mak Uda Siti muncul semula setelah Fatihah menyelinap masuk
ke dalam.
“Tak apalah, saya niat nak beli,” ujarku sambil menghulurkan not RM2.00 kepadanya.
“Fatihah kata sedekah aje..ala..ni buat untuk makan bukannya jual..ambiklah!” Aku
mengerling ke arah tingkap dapur. Kelihatan Fatihah sedang mengintai di balik langsir.
“Terima kasih mak Uda, kirim salam pada Fatihah,” Dengan segera enjin motor kuhidupkan.
Dan sepanjang perjalanan pulang sinar mata Fatihah mengiringiku hingga ke halaman
rumah…..

******

SOLAT terawih dan witir 11 rakaat selesai dan para jemaah mulai beransur pulang. Aku
menghampiri Rapie, Arie, Aiezam dan Herman yang sedang melepak di bawah pokok jati. Nun
di serambi masjid kelihatan ayah sedang berbual-bual dengan Tuk Imam, datuk Fatihah
diperhatikan oleh Abang Latip, jiran depan rumah. Tentu sebentar lagi ayah akan pulang ke
rumah.
“Eh Keon, kau sure ke yang Miss pegi terawih malam ni?” soal Rapie kerisauan.
“Mesti pegi ..last week aku rasa dia tak datang seminggu, malam ni mesti ada,” penuh yakin
aku berkata. Bukan apa, saja nak jaga hati kawan. Yang sebenarnya peduli apa aku dengan si
ratu laser tu? Tapi memikirkan Rapie yang sudah bertahun-tahun menaruh hati pada Miss aku
tak kisah untuk menyibukkan diri menyelidik tepi kain Miss. Kadang-kadang aku pelik juga
dengan taste si Rapie ni. Bukan tak ada gadis lain yang lebih sopan mulutnya daripada budak
laser tu tapi si laser tu jugalah yang digila-gilakannya. Bukannya dia tak tahu perangai Miss
tu, lebih-lebih lagi kami memang musuh tradisi sejak kecil. Tapi bagi Rapie…cintanya terhadap
Miss setia betul walaupun Miss tak pernah melayan. Just imagined, sejak dari form two lagi
Rapie menjadi peminat Miss sampailah sekarang ni, cintanya semakin kukuh untuk Miss. Aku?
Selama 17 tahun aku hidup di muka bumi Allah ini, belum pernah lagi aku tersangkut hati
pada mana-mana gadis. Bukan apa, bagiku cinta ini terlalu abstrak untuk ditafsirkan dan aku
tak mahu menjadi objek dalam sandiwara cinta. Cewahh…berfalsafah lagi aku..Tapi, entah
kenapa sejak Fatihah hadir di kampung Pamah Kulat ini, terasa ada sesuatu yang mula
mengganggu gugat hidup aku. Dalam hati geram memang ada, tapi bila tak menatap wajah
Fatihah barang sehari aku terasa macam kekurangan sesuatu. Tak lengkap rasanya tanpa
Fatihah. Kuat sangat ke penangan si Fatihah tu?
“Aku rasa dia dah blah la dengan member-member dia,” Arie mula bersuara.
“Aku pun rasa macam tu,” Balasku apabila melihat masjid sudah mulai lengang.
“Kau ni dah tahu minat kat minah tu kasilah surat, tak pun dah nak raya ni, kasilah kad raya!”
cadangku sambil menepuk bahunya.
“Entah! Aku ingat aku pun nak kasi kat Anny,” Arie tersengih sambil membetulkan cermin
mata berbingkai hitamnya.
“Aku ingat aku pun nak kasi kat bini popeye tu…” Aizam pula mencelah.
“Kau Herman, kau nak kasi kat siapa?” soalku kepada Herman yang tak banyak cakap.
“Aku ingat nak kasi kat Mayalah!” ucapnya malu-malu.
“Oh..selama ni kau minat kat Maya…” herman tersipu-sipu sambil tunduk tak berani angkat
muka. Mamat ni memang pemalu orangnya.
“Jom, blah! Lepak kat gerai Asyid lagi baik, makan bihun sup dia best gak..” Arie sudah
menyorong basikalnya. Malam-malam begini kami lebih selesa berbasikal ke masjid. Nak jaga
alam sekitar! Lagipun malam-malam begini orang nak berehat. Kenalah consider sikit.
Bukankah aku ni anak ketua kampung yang berwibawa? Kena jaga imej demi nama baik ayah!
He..he..he..tapi tidak dengan Fatihah dan rakan-rakannya!
Rapie mengayuh basikal perlahan-lahan. Angin malam berpuput sepoi-sepoi bahasa,
mendamaikan hati sesiapa. Cahaya bulan berserak penuh mewarnai kegelapan malam. Di kiri
dan kanan kami kelihatan beberapa orang mak cik sedang berjalan kaki pulang dari masjid.
Tanpa rasa terpaksa kami menegur ramah makcik-makcik tersebut, memenuhi tuntutan
budaya menghormati orang tua. Tiba-tiba aku terasa mataku terpandang sesuatu. Gadis-gadis
yang sedang melalui jambatan tak jauh di hadapan kuperhati lama. Eh, macam kenal!
“Pie, kau tengok budak-budak atas jambatan tu, bukan Miss ke?”
“Mana??” Rapie yang seakan baru tersedar dari lamunan meninggikan leher.
“Tu…sana tu!” Kayuhan ala-ala kura-kura tadi kini bertukar menjadi pecutan burung unta.
Mungkin terlalu excited sangat nak tatap wajah cik laser kot...eh..tak kuasa aku!
“Hai Miss!!” Basikal kami sudahpun menyekat perjalanan gadis-gadis itu.
“Hii..benci betul aku! Ke mana aku pergi ada je setan-setan datang mengacau!” Miss menarik
muka masam macam cuka. Aku cuma tersengih sambil mengintai mencari wajah Fatihah.
“Miss, kau marah aku ke?” soal Rapie bodoh. Apa la punya bodoh..dah tau si Miss tu melaser
lagi mau tanya?
“Tak baik marah selalu Miss, nanti kena jual!” Arie tak habis-habis dengan dialog
P.Ramleenya.
“Eh sibuk la kau! Lain nak marahnya aku dengan si Rabun ni..” jawab Anny geram.
“Korang ni kan…cuba cakap elok-elok sikit..kami ni nak mengeratkan silaturrahim…” ujar
Aiezam tenang.
“Silaturrahim kepala hotak kau…sapa nak bersahabat dengan jin afrid macam korang?”
Wahh…cabul sungguh mulut si Pojiemah..
“Entah..jin tali rapia ada..jin rabun ada..jin lurus bendul ada…jin tinggi macam pokok petai
ada…” mereka tergelak kecil apabila Maya berkata begitu. Wah..wah…aku, Arie,Aiezam,
Herman dan Rapie saling berpandangan.
“Hah kau bapak segala jin..apasal diam??” sergah Miss garang.
“Miss…” aku bersuara perlahan..buat pulak muka si katak Faizal dalam majalah Ujang.
“Hah..apa dia??” soalnya lagi.
“Mulut kau busuk!!” seraya itu kami ketawa berdekah-dekah.
“Celaka!!” teriak Miss marah. Aku lihat Fatihah, Linda, Amoi jual terung, Pojiemah dan Maya
kembang kempis mengontrol hidung menahan ketawa. Ye la kan..kang ketawa sama kecik
pulak hati si laser tu..
“Korang semua ni memang celaka! Bodoh!” Miss dan sahabat-sahabatnya mula angkat kaki.
Oh..kata aku dan kawan-kawan aku bodoh? Nanti korang..Segera aku mengeluarkan ular
getah plastik dari poket baju melayu dan dengan pantas aku membaling ke arah mereka.
“Ular!!!” ular getah itu jatuh tepat-tepat atas kepala Linda si bini popeye yang paling tinggi.
Linda terjerit kuat dan terlompat-lompat melarikan diri. Aku ketawa kelucuan bila melihat Miss
dan rakan-rakannya lari tak tentu arah. Tetapi tiba-tiba…BEDDEBURRR!! Alamak..tawaku mati
di situ. Aku segera menghampiri Miss, Pojiemah, Anny, Maya dan Linda yang sedang
berkumpul di tepi jambatan. Kelihatan dalam samar cahaya bulan Fatihah terkapai-kapai di
permukaan sungai mencari arah.
“Fatihah! Cepat woi..cepat tolong dia!!” pinta Miss panik.
“Hei Beruang! Cepat terjun selamatkan Fatihah!” Desak Miss lagi sambil menarik baju melayu
hijauku. Tolong? Hemm..nanti kata aku ni nak ambil kesempatan lagi. Aku buat muka
selamba.
“Keon..aku rayu pada kau…tolonglah selamatkan Fatihah..dia tak pandai berenang!” Miss
seakan merayu. Aku merenung Fatihah yang sudah kelemasan di dalam sungai. Tanpa berfikir
panjang aku terjun pantas ke dalam sungai. Keadaan di jambatan semakin gawat apabila
makcik-makcik tadi datang melihat apa yang berlaku. Aku segera menarik tangan Fatihah
yang sudah kepucatan. Dan untuk pertama kalinya aku melihat wajah Fatihah yang sebenar,
wajah tanpa tudung yang sudah terlucut. Ya tuhan..jelitanya Fatihah! Tanpa membuang masa
aku mengapungkan tubuh Fatihah agar mudah mengheretnya ke tepi. Pautan tangannya di
bahu terasa begitu erat sekali.
“Fatihah!!” Belum sempat aku mengangkat tubuh Fatihah Miss dan kawan-kawannya sudah
meluru kearah kami. Tubuh Fatihah yang lembik itu dipapah naik ke atas. Tinggallah aku
keseorangan dalam sungai, masih terpana dengan kejelitaan Fatihah. Beberapa orang mak cik
mengarahkan agar Fatihah dibawa pulang setelah dia tersedar. Dan aku cuma dapat
memandang mereka meninggalkan sungai itu tanpa memikirkan aku yang masih belum naik
ke tebing.
“Woi Keon! Kau nak bertapa apa?” Arie sudahpun menghulurkan tangan untuk membantu.
Huluran itu kusambut pantas dan aku melompat naik ke tebing. Tanpa lengah aku duduk di
belakang basikal Rapie dan kami bergerak pulang.
“Nasib baik tak mati cucu pak imam,” ujar Rapie agak gerun. Maunya meninggal si Fatihah tu,
separuh abadlah kami dalam penjara.
“Hai..kan ke ada hero..?” Arie menguntum senyum. Aku cuma tersengih sambil menahan
kesejukan.
“Aku rasa Keon pun patut tulis surat…” Rapie tiba-tiba bersuara.
“Merepeklah kau!” aku menggeleng kepala. Dalam hati berdebarnya tuhan saja yang tahu…
Fatihah..oh Fatihah..

******
KELAS kembali bising setelah cikgu Zatur Rawihah keluar dari kelas 5 Ikhlas. Arie menghilang
ke kelas sebelah. Entah apa yang ingin dibuatnya. Aku cuma menongkat dagu sambil
memikirkan betapa bosannya duduk di kelas ini untuk 2 jam subjek Geografi hari ini. Cikgu
Zulia kabarnya MC. Sejak bulan puasa ni selalu saja MC.
“Keon,” Alamak…Erina sudahpun melabuhkan punggungnya di sisiku. Aku angkat muka
perlahan-lahan. Wajah Erina yang putih gebu itu kutatap.
“Mengantuk?” soalnya sambil tersenyum manis. Aku cuma tersengih. Agaknya kalau aku
berterus terang yang sebenarnya aku ingini mengisi kekosongan masa ini dengan tidur tentu
dia kecil hati. Aduh…
“Malam tadi Erina telefon Keon, tapi Keon tak balik dari terawih lagi..ingat Keon telefon Erina
balik,” Erina menguis-kuis sampul mejaku yang sudah terkoyak.
“Kenapa telefon?” soalku.
“ingat nak ajak Keon berbuka di rumah malam ni,” Erina mengukir senyum yang paling manis.
Aku terpaku. Ajak aku berbuka pulak..sambil menggaru kepala yang tidak gatal aku merenung
Erina.
“Erina nak ucapkan terima kasih…latihan Fizik hari tu Erina dapat 98% tau..” ujarnya bangga.
Aku sengih lagi. Iye tak ye..aku punya berapa agaknya ye..
“Boleh tak Keon?” pinta Erina lagi. Aku tidak menjawab. Leceh nak berbuka di rumah orang ni.
Nanti mesti parents dia ingat aku ni ada apa-apa dengan Erina. Lepas tu nak jawab soalan-
soalan cepu emas dari emak lagi..kena perli dengan kakak aku yang bernama Asmawati tu
lagi…lepas tu kalau Fatihah tahu gerenti dia merajuk gila..iye la kan…mesti dia jealous aku
berbuka di rumah Erina…he he he…saja buat cerita bohong..nanti si Minah tu mesti meluat
habis…bukan apa..biar dia sakit hati bila tahu rekaan aku ni…
"Apasal senyum sorang-sorang ni?” soal Erina hairan.
“Ha? Tak ada apa-apa…” aku tersengih malu. Buku teks Geografi kuletakkan di atas meja.
Kalau aku tahu cikgu Zulia tak datang tak payah aku susah-susah menapak ke blok C
meminjam buku Kassim Bantut. Menyusahkan student aje…rungutku sendiri. Rungutan
student tak tahu diuntung!
“Keonn!!” Alamak…Erina separuh menjerit apabila aku angkat punggung. Aku tersengih
bersalah, dan kembali menghampirinya.
“Keon tak tahu lagilah..nantilah…petang ni confirm,” Aku memberi jawapan dan yang pasti
aku malas nak pergi. Dia tu anak orang kaya, siapalah kalau nak dibandingkan dengan aku
yang cuma anak ketua kampung sahaja. Cuma hansem je boleh harap! He..he..he..Langkah
kuatur pantas menuju ke blok C. Tiba di hadapan 4 Ikhlas aku memperlahankan langkah.
Kesempatan ini kuambil untuk mengintai Fatihah. Peristiwa malam tadi membuatkan aku rasa
bersalah. Pelik, selama ini aku tidak pernah dilanda perasaan begini kalau mengenakan orang.
Seronok lagi ada! Tapi dengan Fatihah, aku tak tahu kenapa, angin cinta kot?
“Apa kau buat kat sini?!” Opocott!!! Aku pantas berpaling ke belakang. Si Laser, Pojiemah,
Maya, si amoi Anny dan Bini Popeye sedang merenungku tajam, membuatkan aku rasa nak
bunuh semuanya kerana mengterkejutkan aku sampai terperanjat beruk. Kesian si Fatihah…
niat aku nak ajar si Laser tu..tapi dia pulak jadi mangsa. Tapi nak buat macammana kan?
Sapa suruh terkejut?
“Kau cari siapa? Fatihah?” Anny tersenyum menyindir, sebijik macam amoi jual terung kat
Pekan Rabu.
“Kalau kau nak tahu Fatihah tak datang hari ni..” Linda pula menyampuk.
“Kenapa dia tak datang?” pantas aku bertanya.
“Lagi mau tanya! Sendiri mau ingatlah! Hei lelaki beruk…dah lupa apa kau buat semalam?”
Pojiemah menjerkah garang. Cermin mata separuh bingkainya yang jatuh ke hujung hidung
ditolak ke atas.
“Yang mana satu yek? Masa aku pegang tangan dia ke..masa aku peluk dia?”
“Jangan nak menggatal! Hei, dengar sini..sebab kaulah Fatihah demam terkejut….tau!”
“Kau tau tak Mak uda siti dah tau segala-galanya…” Alamak..ugutan Pojiemah itu
membuatkan aku terasa seram.
“Alah..korang tu dengki sebenarnya…tak apa…malam ni aku tolong selamatkan korang
pulak..Tunggu kat jambatan tau…nanti aku datang..maklum la aku ni kan hero ala-ala
Leonardo de Caprio…kan..korang nak aku CPRkan korang pun boleh!” aku tersenyum selamba.
Padan muka korang!
Eh bodoh! Kurang ajar betul la kau ni..ingat kita orang ni apa? Dah, Blah!! Semak kelas aku
kau ada kat sini…” Kelima-lima mulut api itu berlalu ke kelas. Eleh, bukan bapak kau orang
punya sekolah ni! Tanpa memperdulikan mereka aku meneruskan destinasiku. Kelihatan
Kassim Bantut sedang sibuk menyimpan bukunya. Kassim ni memang terkenal dengan
kerajinan dan kegeniussannya. Baik pun baik, oleh kerana itulah aku lebih senang study group
dengannya bila ada kelapangan. Tapi, kenapa Erina tidak pergi kepadanya? Kasim pun genius
macam aku jugak!
“sim!” Kassim mengangkat muka. Senyumannya menyapa bila aku menghulurkan buku teks
Geografinya. Tanpa dipelawa aku melabuhkan punggung di sisinya. Kelasnya juga tiada guru
yang mengajar. Musim-musim puasa begini tidak ramai guru yang masuk ke kelas. Tambahan
pula selepas Hari Raya Puasa nanti kami pelajar form 5 diwajibkan menyertai kursus motivasi
dan persediaan SPM di Port Dickson. Jadi, pelbagai mesyuarat diadakan sempena kursus
tersebut. Dengar khabar kursus ini ditaja sepenuhnya oleh Dato’ Fahmi, bapa Erina selaku
Pengerusi PIBG. Hemm..jutawan, bolehlah nak sponsor ringgit ribu-ribu punya…Aku menarik
kertas latihan Add Maths Kassim yang terletak di atas meja. Masih ada dua soalan yang belum
berjawab.
“Eh Keon, betulkan kau selamatkan budak baru tu semalam? Siapa? Fatihah?” soal Kassim
tiba-tiba.
“Wah…mana kau dapat cerita ni?” soalku.
“Ala…kau tu..macam aku tak tau kes dia tempeleng kau ari tu…lagipun dia kan cantik..mesti
aku kenal…” kassim tertawa kecil. Terasa lucu pula mengenangkan peristiwa haru malam tadi.
Peristiwa yang mungkin tidak akan aku lupakan sampai bila-bila. Kejelitaan Fatihah,
genggaman eratnya, renungannya….
“Excuse me…” aku tersedar dari lamunan. Seorang pelajar lelaki sedang berdiri di sisiku. Muka
boleh tahan..ada la macam hero hindustan.
“Apasal ni?” soalku. Rasanya tak pernah jumpa budak ni. Berani pulak tu dia excuse ngan
aku…
“Err…Keon, lupa aku nak beritahu kau…ini Hafiz, baru masuk tadi,” Oo…aku mengangguk
faham lantas tersenyum padanya.
“Keon,” aku menghulur tangan tanda salam perkenalan. Hafiz tersenyum menyambut.
“Tengku Hafiz,” ler…kerabat rupanya…patutlah lain je gayanya…
“Keon ni budak kelas 5 Ikhlas, nu kat blok B sana,” Kasim memberitahu. Hafiz cuma
tersenyum.
“Tak silap macam pernah jumpa sebelum ni…pernah ke SUKMA ke?” soalnya.
“Err..tahun lepas,” aku memberitahu.
“Kalau kau nak tahu Keon, dia ni wakil Perak tahun lepas…takkan korang tak terjumpa kot..”
aku senyum. Orang ramailah bongok! Lagipun tak ada masa aku nak kenal sesiapa kat sana..
“Team you all ke yang lawan dengan Kelantan menang 3-1?” soalnya lagi. Aku pandang
Kassim semacam.
“Hemm..yelah..” jawabku berat.
“But, bila lawan dengan Perak you all kalah teruk kan?” aik…aku pandang Kassim di sebelah.
Kasim cuma angkat bahu.
“You la yang terseliuh minit pertama tu kan?” Hafiz tersenyum..aku tak pasti adakah
senyumannya itu ikhlas atau tidak.
“Dah ditakdirkan team awak nak menang…kami tak rasa apa-apa pun…” jawabku tenang.
RINGG!!!!! Loceng berbunyi nyaring tanda waktu persekolahan sudah tamat.
“Okey la Sim, Hafiz, aku chow dulu,”
“Okey..jangan lupa petang ni Keon…aku datang lepak kat gerai Rapie..”
*******

“KEON!!!! Bangun!” laungan emak kurasa sayup-sayup kedengaran. Jam di dinding kujeling.
Sudah pukul 6.35, tertidur rupanya aku..Tanpa lengah aku segera mengemas meja study.
Gambar rajah katak yang cikgu Rozalina arahkan supaya dilukis sudah kusiapkan. Begitu juga
karangan Bahasa Melayu yang dipinta oleh Cikgu Suriana dua hari lepas, sudah kulangsaikan.
Tanpa menanti emak memanggil buat kali keduanya aku segera melangkah ke dapur.
Kelihatan Kak Ngah sedang sibuk menyiapkan meja untuk berbuka puasa nanti.
“Pergi beli puteri mandi lepat pisang sekali, mak tak sempat nak buat hari ni,” emak memberi
arahan sambil menghulurkan not RM5.00.
“Beli popia goreng sekali, kak long kau pesan tadi, dia nak balik berbuka sama,”
“Kuih puding roti Mak Uda Siti sekali Keon, abang Hadi suka kuih tu!” Sampuk kak Ngah. Aku
cuma mengangguk dan menghidupkan enjin motor. Macam-macam selera orang mengandung
ni..nak itu, nak ini..kalau wife aku esok demand lebih-lebih cari sendiri! Tak kuasa aku nak
layan…cewahh..kononnya tu! Dulu sewaktu mengandungkan si Habil dan Hadzil tengah-
tengah malam dikerahnya aku pergi beli mee rebus Pak Mail di pekan Dong sana. Sudahlah
waktu tu cuma ada motor cabuk aje..terpaksa jugalah aku merempuh malam mencari
kehendak hati kak long. Tiba di gerai mak Uda Siti aku memperlahankan kelajuan. Kelihatan
gerai itu telahpun lengang tanpa pengunjung. Dan, aku terasa benar-benar bahagia apabila
melihat cuma Fatihah yang ada di situ sedang mengemas apa-apa yang patut..Peluang baik!
“Hai..” sapaku mesra. Fatihah cuma menjeling sekejap, kemudian kembali meneruskan
kerjanya. Eleh, sombong!
“tolong bungkuskan kuih puteri mandi ni..lepat pisang, puding roti..and popia..semua
seringgit,” Fatihah bangun dan menyediakan apa yang kupinta. Ketika itu sempat juga aku
menjeling ke arahnya, menyapu bersih wajah jelitanya yang sudah dua tiga malam hadir
dalam mimpiku. Tapi, seguris senyuman pun tidak terbit di bibir Fatihah, marah benar ke…
“Eh, mana lepat pisang?” soalku apabila huluran plastik itu kusambut.
“Dah habis!” jawabnya tegas. Langsung tidak menunjukkan respon yang dia suka kat aku.
“Habis itu ada lagi..” aku menunding ke arah empat bungkus lepat pisang dalam bekas plastik
biru.
“Itu orang punya,” jawabnya lagi.
“Habis tu takkan kambing punya kut..” Fatihah mencebik bila aku berkata begitu. He..he..he..
“Saya nak beli juga, tak kira..saya tau awak tinggalkan itu untuk saya kan?” Ceh, aku
memperasankan diri. Fatihah mendengus geram.
“Pergi beli kat tempat lainlah!” Dia segera mencapai bekas plastik berisi lepat pisang itu.
Amboi…sombong!
“Okeylah..tak nak jual tak apa..hai..apa nasib badan …orang nak beli dihalau pulak…” aku
pura-pura kecil hati tetapi Fatihah langsung tak angkat muka. Eleh, Sombong! Tak hingin aku
nak makan lepat kau! Macam best! Tanpa menanti aku segera menghidupkan enjin motor.
Namun tiba-tiba aku lihat sebuah Virago menghampiri gerai Fatihah. Eh, macam kenal je
mamat tu…Dan kala itu sempat aku melihat Fatihah menghulurkan lepat pisang tadi kepada
pemuda itu sambil tersenyum manis.

******

HABIL dan Hadzil leka menyusun jigsaw puzzle yang dibelikan oleh ayah mereka. Aku segera
menutup suis komputer dan mendapatkan anak-anak buahku itu dan menyertai mereka.
Sudah hampir sebulan kak long tidak pulang ke kampung, rindu juga pada anak buahku yang
comel itu.
“acu, acu kata nak ajar lukis love kat komputer tu..” Habil yang manja menuntut janji.
“Ala..acu lupalah…nanti Habil nak buat love nak kasi kat siapa?” soalku sambil mengatur
bebarapa kepingan kertas itu ke petaknya.
“kat mamalah!” jawabnya.
“Ada pulak kasi kat mama..kasilah kat awek..” jawabku sambil tertawa.
“Ha..iyelah tu..kecik-kecik dah ajar awek-awek..” sampuk emak yang sedang menonton tv.
“Hai mak ni, takkan tak tahu orang tu sekarang ni tengah miang mencari girlfriend!” eh, aku
menjeling kak ngah yang suka mengapi-api.
“Anak ayah..mesti kena ada mak we sekarang ni..kalau tak buat apa jadi lelaki!” Yes! Aku
tersengih kemenangan bila ayah berkata begitu.
“Lagipun, kan anak ayah ni hero…suka tolong orang…cucu pak imam pulak tu yang
ditolongnya..”Alamak..aku tersengih sendiri. Macammana ayah boleh tahu ni?
“Tolong orang boleh..jangan nak lebih-lebih pulak…jaga nama baik mak dan ayah keon..ingat
tu!”
“Betul kata mak tu Keon..kau tu lelaki..teruna harapan dalam rumah ni…buruk baik mak dan
ayah jugak yang kena nanti..” Ala..aku ikhlas apa… aku pun tahu nak jaga hati mak dan
ayah…
“Tapi kan..yang peliknya kenapa kau tak cerita pun pada mak?” alamak…lapan pasang mata
itu terfokus tepat ke mukaku. Aku telan air liur bertubi-tubi.
“Entah! Selalunya kalau bab jadi hero kaulah manusia paling bongkak di alam maya ni, apa?
Jejaka Idaman Malaya?” hiee..kalau ikutkan hati mahu saja aku cilikan mulut kak ngah yang
lancang tu. Aku keras tak menjawab.
“Ayah tak marah kalau Keon nak bermak we..tapi, kena tahu batas-batas pergaulan..jangan
buat benda tak senonoh..” ayah memandang wajah emak yang putih bersih itu.
“Mana ada Keon buat tak senonoh ayah, usik-usik tu adalah!” aku membela diri. Memang
selama ini aku tak pernah sentuh perempuan. Setakat menyakat tu biasalah, kan ke aku ni
nakal sikit…
“Ayah dengar kau selalu kacau budak-budak tu..” Alamak..dadaku berdegup kencang. Ayah
syak ke aku ada hati dengan Fatihah?
“Ma..mana ada ayah!”
“Eleh..jangan nak tipu..macam kami tak tahu..” kak ngah dah tersenyum-senyum kambing.
Kak long yang sedang mengunyah kacang turut tersengih.
“Entah, kami tahu kau ada hati kat…” dada ku macam nak meletup. Muka aku yang putih
kemerah-merahan bertukar macam muka mayat. Ayah dan emak cuma berpandangan.
“Apa?” suaraku pecah di kerongkong.
“Kami tahu kau ada hati kat…”
“Kat sapa kalau tahu sangat?” soalku tak sabar. Mampus! Aku rasa tak dapat bernafas kali ini.

“Ala..dekat Misliza anak Pak Amad Apam balik tu!”


“Wargh!!Kah!!Kah!!” terhambur tawaku bila kak ngah berkata dengan penuh confident. Ada
ke aku ada hati dengan budak tak cukup budi bahasa tu..buang karan!
“Silap besar beb! Not my taste!” Aku segera masuk ke bilik. Sebelum mereka membuat
pelbagai spekulasi bodoh baik aku cabut. Tiba di kamar aku merebahkan badan di atas katil.
Kad raya yang kubeli di pekan tadi ku belek lama. Hai, tak pernah-pernah beli kad raya tahun
ini aku pecah rekod beli kad raya. Kad raya yang peminat-peminat aku bagi pun aku tak
balas. Kali terkhir aku beli kad raya masa darjah dua dulu. Itu pun cuma dua keping. Satu
untuk girlfriend aku. Jasmin Delilah Fazri namanya. Anak campuran cina-melayu yang paling
aku minat waktu itu. Matanya tidak sesepet mata si Janariah, tapi matanya coklat warna
hazel. Suka bertocang dua dan memakai beg sekolah jenama KIKILALA. Tapi tak sampai
setahun Jasmin berpindah ke Seattle kerana bapanya mendapat tawaran belajar ke sana.
Tinggallah aku keseorangan di kampung ini. Hingga kini aku masih mengingatinya. First
girlfriend beb! Kad raya yang satu lagi untuk cikgu Bahasa Inggeris aku. Cikgu Zulia Jais
namanya. Cikgu ni memang baik dengan aku. Jangan tak tahu kerana sayangkan cikgu ni aku
selalu belajar bersungguh-sungguh dan aku selalu score 100 dalam peperiksaan. English
excellent lagi…Tetapi, sewaktu aku berada di darjah lima, cikgu Zulia berpindah sekolah. Saat
ini, sewaktu aku di tingkatan lima, aku bertemu juga dengan cikgu yang bernama Zulia. Tapi
dia tidak sebaik cikgu Zulia waktu aku darjah dua dulu. Cikgu yang sorang ini garang nak
mampos!
Berbalik pada kad raya tadi, aku sengih sendiri. Berani ke aku nak poskan untuk Fatihah ni?
Tadi puas aku pujuk si Wati anak kak Shiela tolong belikan setem. Budak tu memang liat sikit,
tapi dah aku upah dengan ais krim baru nak tolong. Nak ais krim pulak yang mahal-mahal
saja. Lain kali tak ingin aku nak mintak tolong lagi. Aku capai pen dan mula ke meja tulis. Apa
aku nak tulis ni ye..manalah tau kalau-kalau si Fatihah tu tak sudi kat aku..iyelah..aku ni
walaupun handsome…tapi bukan anak orang kaya…perempuan sekarang ni manalah tahu…
Kalau dipadan-padankan..okey jugak aku dengan si Fatihah tu. Setahu aku dia aktif dalam
kesenian. Johan tilawah al Quran masa di sekolah…wakil pantun..Eleh..aku pun tau jugak
berpantun setakat pantun dua tiga kucing berlari tu..kalau dia johan tilawah..ni dia johan azan
peringkat daerah….wahhh…tak cukup dengan tu aku pernah jugak wakil sekolah dalam bola
sepak..takraw..so apa lagi yang kurang? Cakap! Cakap! Kalau dia nak bandingkan
rupa..tengok muka mak dan ayah dah boleh bayangkan wajah aku ni macammana. Ramai
orang kata rupa aku ni cute, mata aku yang coklat hazel ala-ala mata Jasmine membuatkan
ramai yang tertawan. Arwah nenek aku dulu selalu kata muka aku ni orang mudah sayang,
hati yang panas boleh jadi sejuk bila tatap muka aku…muka baik kut..Whateverlah! Yang
penting aku akan luahkan isi hati aku yang suci murni ni. Lelaki sejati mesti berani terima
risiko. Dulu ayah selalu kata anak lelaki kena berani. So inilah anak ayah! Aku senyum dan
mula mencoret. “Salam cinta abadi buat Fatihah yang Iddin sayangi…”

******

“KEON!!! Sini la!” Aku tidak jadi berpatah balik ke library, tertingal nota Kimia yang baru ku
photostat tadi. Erina tersenyum panjang dan berlari mendapatkan aku. Erina senyum semakin
lebar bila senyumannya kubalas.
“Dari mana ni?” soalku.
“Dari computer lab..Mrs. Azue minta Erina tolong buatkan analisis untuk subject LK,” dia
seolah mengadu. Aku cuma tersenyum. Aku peduli apa?
“Sebenarnya Erina nak mintak tolong Keon ni,” Erina mula mengeluarkan kertas dari failnya.
Alamak…
“Ini latihan Add Maths yang cikgu Asfaliza bagi…tapi biasalah , bila Erina tak dapat buat Keon
la tempat Erina minta tolong,” Aku dah agak dah!
“Err..”
“Pleasee…” Erina merengek manja. Alamak..leceh! Aku cuma tersengih sambil menggaru
kepala yang tidak gatal. Apa a ku nak buat ni?
“Err..Keon sebenarnya nak pegi library ni…ada kerja sikit..” Jawapan yang kuberi membuatkan
muka Erina mencuka. Takkan marah kut!
“Sorry la ye..” aku terus melangkah ke library. Bukan apa, aku sudah berazam untuk tidak
menjalinkan hubungan dengan orang lain lagi. Dalam erti kata lain aku tak mahu terikat
dengan apa-apa gossip selepas ini. Aku amat pasti kad raya untuk Fatihah yang kusuruh si
Wati poskan sudah dalam perjalanan ke destinasinya. Tiba di depan library aku segera
menuntut notaku yang tertinggal tadi. Tetapi tiba-tiba…Fatihah tertawa kecil sambil
menghulurkan beg kepada Hafiz. Serta merta terasa darahku tersirap ke muka. Amboi…
mesranya…mengalahkan hero dan heroin filem hindustan! Siap tolong ambilkan beg si Hafiz tu
lagi….. Cis! Berani si hafiz tu potong line aku! Aku cuba menahan gelora saat mereka
melawatiku. Jangan tunjuk sangat kebakaran yang melanda jiwa..lelaki sejati kena cool man..
“Hi Keon!” Fatihah menyapaku disulami senyuman Hafiz di sisinya. Aku tidak menjawab.
Bangga la tu! Tak pernah-pernah sudi menegur aku hari ni pulak sengaja nak menduga hati
aku la tu! Tak tunggu lama aku segera meninggalkan library. Kedua merpati gatal itu kulihat
membelok ke Lab Com. Hemm..masuk lab pulak…aku segera mengekori mereka. Kelihatan
Erina sedang tekun merenung skrin komputer. Si uda dan dara miang tu pulak duduk selang
sebuah komputer dari Erina. Sengaja nak menunjuk la tu! Nanti kau Fatihah! Aku melangkah
mara menuju ke arah Erina.
“Hi Erina!” Erina tersintak. Aku tersenyum sambil melabuhkan punggung, rapat di sisinya.
“Keon..kata tadi-“
“Kata tadi tak tau macammana nak buat dalam Excel..mari Keon ajarkan..okey sayang?” Erina
hairan namun masih mampu tersenyum bangga. Sementara itu aku dapat menangkap
jelingan tajam Fatihah…

******

ALUNAN lagu If You Only Knew nyanyian Gill menusuk ke dalam lubang telinga. Ah…benci
betul mengenangkan peristiwa tadi. Tak kusangka Fatihah begitu mudah jatuh ke tangan
Hafiz. Apa kurangnya aku ni? Kalau aku tahu mati hidup balik aku tak kasi surat tu. Inilah
yang dikatakan perasan! Sayangnya, sebaik saja balik dari sekolah tadi aku terus
mendapatkan Wati. Tapi katanya kad itu sudah diposkan dua hari lepas. Mati aku! Tentu si
Fatihah sudah tahu perasaanku padanya lalu sengaja menunjukkan kemesraan dengan Hafiz
di sekolah tadi. Iyalah..aku mana setanding dengan boyfriend dia..aku cuma anak kampung.
Si Hafiz tu pula anak kerabat..mewah segala-galanya..mana nak lawan dek non ooii!
“Ha Keon..kenapa tak dimakan lepat pisang tu…selalunya kalau tak ada masam!” sapa emak
bila melihat lepat pisang di dalam piring masih belum luak. Aku cuma memandang lepat itu
tak bernafsu.
“Penat je kak Ngah pegi beli kat Mak Uda Siti tadi..” hemm..lagi la tak berselera aku bila tahu
dari mana datangnya lepat pisang itu.
“Kau ni sakit apa tak boleh bercakap ni?” soal emak bosan bila aku cuma membisu seribu
bahasa.
“Ha ah kan, mak? Tadi berbuka pun nasi tak habis..ni, lepat pisang ni yang paling confuse..tak
lalu makan mak!” Kak Ngah berceloteh macam murai tercabut ekor. Aku menjelingnya..bising
je! Tau la orang nak makan ke tidak!
“Keon..kenapa ni? Demam ke?” soal emak bimbang. Aku cuma menggeleng kepala. Kunci
motor atas meja kucapai. Satu hari ini aku mogok tak keluar rumah. Puas si Arie telefon ajak
lepak di gerai burger Rapie tapi macam-macam alasan aku bagi. Kalaulah dia orang tahu aku
frust dengan Fatihah mesti dia orang gelakkan aku. Lebih maut kalau dia orang tahu selama
ini aku meminati Fatihah dalam diam!
Angin malam bertiup lembut menyegarkan tubuh. Aku menunggang seperlahan yang
mungkin. Malam ini pertama kali aku ponteng terawih. Aku tahu kalau aku pergi mesti Fatihah
ada sama. Tentu rahsia aku akan terbongkar kerana aku amat pasti dia telah menerima kad
raya aku. Menyesal pulak rasanya taruk nama penuh. Nama penuh? Aku tersenyum sendiri.
Tentu Fatihah terkejut dengan kehadiran kad raya itu. Yang penting mesti dia tercari-cari
siapa jejaka idaman malaya bernama ‘Fahmi Zikrul Iddin bin Hanafi’ yang meminatinya dalam
diam..memang tak ramai yang tahu nama penuh aku ni kerana aku lebih dikenali sebagai
Keon. Aku pun tak sangka gelaran semasa kecil itu kekal hingga ke hari ini. Dulu ayah kata
aku suka sangat mendengar bunyi burung kuang. Jangan tak tahu semasa aku berusia 1
tahun ayah pernah bawa aku masuk hutan! Entah kenapa aku tertarik sangat bunyi burung
itu. Setiap kali burung itu berbunyi aku akan mengajuknya dalam versi terbalik. Bila burung
itu berbunyi ‘kuang!!’ aku akan ajuk ‘keong’, maka akan kedengaranlah bunyi ‘kuang! Keong!
Kuang! Keong!’……Dan sejak hari itu aku digelar Keon.
“Keon!!” aku hampir-hampir tidak dapat mengawal motor bila disergah begitu. Tak perasan
rupanya aku dah terlajak ke depan.
“kau ni berangan ke?” Arie menggeleng kepala. Aku cuma tersenyum dan parking motor di sisi
motor Arie. Rapie, mahat, Asyid, Herman, Aiezam dan Azman Jan cuma tersengih
memandang. Sup ekor milik Arie kusambar pantas.
“Kau ni suka sangat semangkuk, sesudu dengan aku..apa kau nak sehidup semati dengan aku
ke?” soal Arie sambil meminta Asyid menyediakan semangkuk sup lagi. Aku cuma tertawa
kecil.
“Eh, macam Fatihah and the gang!” What? Kalau aku sperman sekarang juga aku cabut lari,
tak sanggup rasanya berdepan dengan si Fatihah! Tapi, kerana aku lelaki sejati dan kerana
aku tahu mukaku tetap cute walaupun akan dimalukan, aku buat selamba. Fatihah semakin
menghampiri dan berhenti di sisi meja tempat aku dan kawan-kawanku duduk.
“Hai Miss…nak makan sup ke?” Rapie menegur ramah walaupun bukan dia tuan punya gerai.
Aku semakin tunduk menghirup sup ekor Asyid.
“Kau yang gatal-gatal bagi kad raya kat aku ye?” soal si laser garang. Rapie tersengih malu.
“Takkan marah kut..orang kasi kad nak mintak maaf..raya dah dekat ni..” balas Rapie
selamba.
“Ni si rabun ni…pun sama gatal dengan tali rapia ni..sapa suruh kau kasi kad ‘Istimewa Buat
Kekasihku” hah?? Kalau bapak aku tahu apa aku nak jawab? Aku bukan girlfriend kau, reti!” Si
amoi pulak mencari sasaran.
“Anny marah? Nanti kena jual…” Arie menyakat. Kami tergelak kecil.
“Korang ni memang mengada-ngada…Eh Asyid, kalau setakat muka hansem..tapi berkawan
dengan jin afrid-jin afrid ni..sorry!” Pojiemah merenung Asyid yang cuma tersengih tak
terkata. Masing-masing cuma berpandangan sambil tertawa kecil bila di’ambush’ oleh ratu-
ratu celupar ini.
“Kau ni kasi kad raya kat sapa pulak, jin?!” jerkahan daripada si laser membuatkan aku
hampir-hampir tertelan ketulan daging yang masih panas. Kurang asam betul si laser ni..
“Eh, apa kelless kasi kat kau dan kengkawan kau ni…Lainlah kalau Erina…baru ngam!”
jawapanku itu membuatkan Fatihah merenungku sebelum tunduk membisu. Eh..apasal lak?
“Bukan boleh percaya kau tu..dah la! Benci aku duduk kat sini! Jom kita balik!” si laser mula
melangkah pergi. Seorang demi seorang temannya mengekori, tetapi Fatihah masih terpaku
tidak bergerak.
“Fatihah!! Cepatlah!” Miss melaung, dan sebelum berlalu Fatihah sempat menoleh kearahku.
Cukup membuatkan kawan-kawanku tertanya-tanya. Alahai..muka kesianlah tu!
“Kenapa si Fatihah tu Keon? Dia pandang kau semacam je..” soal Arie pelik.
“Manalah aku tau..cuba kau tanya dia..” jawabku selamba. Aku kembali menghirup sup yang
lazat itu. Namun sinar mata Fatihah masih melekat di hatiku..Adakah itu tandanya…..??

*****

HARI ke 25 ramadhan cukup melesukan. Aku cuma menghabiskan masa dengan melepak di
kelas 5 Rajin. Untuk ke kelas Kassim Bantut pun aku tak ingin. Meluat tengok si boipren
Fatihah yang dah pandai berlagak sekarang. Sejak datang ke sini seorang demi seorang
dibelinya dengan wang ringgit untuk menguatkan pengaruh..termasuklah Fatihah! Tak sangka
aku si Fatihah materialistik rupanya..Ah, tak guna aku berebut perempuan..lebih baik aku
concentrate pada exam tak lama lagi. Sekurang-kurangnya, walaupun aku tak sekaya Hafiz,
tapi aku lebih bijak, genius, teror, macho, hansem, cute, dan sewaktu dengannya daripada
Hafiz. Lebih-lebih lagi tak lama lagi MSSM..aku mesti berusaha agar terus kekal dalam team
Pahang untuk merebut kejuaraan. Tak dapat Fatihah pun bukan mati. Tapi luka tetap ada
apa…..
Hari terakhir persekolahan ini memang seronok. Cikgu pun tak ada yang masuk. Kesempatan
ini kuhabiskan dengan merayau-rayau di sekitar sekolah. Puas melepak di kelas 5 Rajin aku
berhijrah pula ke kelas 5 Cergas, kelas Rapie, Asyid dan Herman yang sentiasa macam pasar
borong.
“Hoi Keon!!” Perbualan kami terhenti. Segera aku berpaling untuk melihat siapa yang
memanggilku dengan cara yang paling kurang ajar itu. Hafiz sedang berdiri di muka pintu
kelas 5 Cergas dengan sombongnya.
“Keluar kau, aku ada hal sikit,” Aku cuma mengangkat bahu.
“Fine, apa dia?”
“Aku panggil kau ke sini!” Wah…ini sudah lebih..
“Aku nak jumpa kau ke …kau nak jumpa aku?” soalku balik. Belum sampai sebulan di sini dah
pandai nak tunjuk belang. Dia ingat aku ni apa? Ni dia Naib Presiden Silat Gayung SMD!
“Kalau takut tu cakap ajelah!” sindirnya sambil tersengih. Aku rasa darahku sudah menyirap
kemuka..tapi sabar..sabar…
“Aku tak ganggu kau okey? Sebelum aku patahkan gigi kau, baik kau blah,” ujarku tenang.
“Eh, kau siapa nak halau aku ni? Aku kalau setakat kau dengan kawan-kawan kau tu..macam
ni tahu?” Hafiz memetik jari, kemudian menunding ke arah kasutnya.
“Eh, kalau kau rasa kau bagus, tunjuklah kehebatan kau tu!” cabarku geram. Pelajar-pelajar
lain mula memberi tumpuan kepada kami.
“Hafiz! Kenapa ni?” tiba-tiba Fatihah muncul di situ, tambah membuatkan hatiku membara.
“Tak ada apa-apa Fatihah, cuma kita bila orang menghulur, baik kita menerima daripada jadi
bacul!” Hafiz menjawab, seolah-olah aku yang memulakan segalanya.
“Eh, kau jangan nak cabar aku tahu…aku puasa ni..” Arie menepuk bahuku agar bersabar.
“Keon, awak ni kenapa? Awak kalau setakat jahat kat kampung sudahlah..jangan nak tunjuk
belang awak kat sini pulak…awak tak malu ke? Takkan dengan Hafiz pun awak nak
bergaduh?” kata-kata yang terlontar dari mulut Fatihah kurasakan bilahan pedang menghiris
jantung. Tambah sakit hati bila Hafiz tersenyum kemenangan.
“Eh Fatihah, kau jangan masuk campur okey? aku tak pernah cari gaduh dengan kekasih hati
kau ni…kau jagalah kekasih kau ni baik-baik..kira nasib baik aku tak bedal dia hari ni..sebab
aku tak suka mencari kesalahan orang lain..” aku menahan sabar dan berpaling untuk pergi.
Sakitnya hati aku tuhan saja yang tahu.
“Jantan apa kau nie berani dengan perempuan aje?..” Langkahku mati bila Hafiz berkata
begitu.
“Kau ni nak sangat ke?” Tanpa menunggu aku menerpa ke arah Hafiz. Pergelutan terjadi dan
aku menumbuk Hafiz bertubi-tubi. Keadaan semakin parah dan kami dikerumuni. Peduli apa,
pantang betul bila orang usik aku, nak pulak bila Fatihah gatal-gatal masuk campur.
“Keon! Hafiz! Sudahlah tu!” suara Fatihah tenggelam timbul di telingaku. Ah..ini semua pasal
kau!
“Iddin!! Iddin stop it!!” suara lantang itu membuatkan aku terhenti. Leher baju Hafiz
kulepaskan. Darah yang meleleh di bibir kukesat kasar.
“Apa nak jadi dengan awak ni?? Nak jadi samseng?” cikgu Zulia berteriak garang. Aku cuma
tunduk membisu. Biarlah orang tua ni nak membebel, aku peduli apa janji hati aku puas.
“Dua-dua ikut saya!” Arahan tegas cikgu Zulia membuatkan Fatihah tersintak. Tanpa
membuang masa aku mengatur langkah. Aku tak peduli lagi, yang aku tahu selepas ini pasti
hukuman daripada pengetua menanti.

******

HATIKU pedih, sakit dan perit seperit birat rotan di punggungku ini. Hadiah hari raya daripada
badan disiplin dan pengetua. Ah..semuanya kerana Fatihah!!! Tidak pernah aku jadi begini,
lebih-lebih lagi menerima hukuman disaksikan oleh seluruh warga SMD hanya kerana
perempuan! Ah nasib..nasib..Di luar kelihatan ayah sedang sibuk menyiapkan pelita
panjutnya. Memang menjadi kemestian setiap kali lebaran menjelma ayah tak pernah lupa
membuatkan pelita panjut keliling rumah dan sering menjadi mangsa leteran emak. Macam
budak-budak kata emak. Aku tersenyum lucu mengingatkan gelagat mak dan ayah tapi
adoiii…bibir yang pecah masih terasa sakit. Aku ingat lagi betapa bisingnya mulut emak bila
aku pulang dengan lebam-lebam di muka. Ah, usah dikenang benda dah jadi! Yang pastinya,
aku akan mnyambut lebaran dengan muka yang dah remuk ni! Kalau difikirkan menyesal
rasanya bertumbuk dengan bedebah tu..dah tak hensem aku ni..
“Keon!!!” suara emak melaung nyaring mematikan hayalan. Alahai..malasnya nak
bangun..aku menjeling ke arah jam dinding…dah pukul 7.00 petang..beberapa minit je lagi
nak berbuka puasa.
“Keon mari sini kejap!” laung emak lagi. Aku bergegas bangun dan keluar menuju ke dapur.
“Ada apa mak?” soalku boring.
“Pergi hantarkan bubur kacang ni ke rumah Mak Uda Siti kau..” Errkkk!! Aku rasa ada sesuatu
lekat di kerongkong. Tak mungkin…
“Ala..malas la mak..Keon penat ni..lagipun tak lama lagi nak berbuka…apa kata suruh kak
ngah?” Kak Ngah menjelir lidah. Hemm..dasar pemalas betul!
“Pergilah..tak lama lagi nak berbuka ni..kesian mak uda siti kempunan bubur kacang mak ni..”
pujuk mak. Aku mengeluh lemah..bukan apa, aku dah tak mahu menatap wajah Fatihah
lagi..mencium baunya pun aku tak mahu..nanti makin pedih hati aku ni..
“Pergi cepat!” gesa emak sambil menghulurkan tupperware biru kepadaku. Aku tak ada pilihan
lain dan mengangkat punggung..

******

RUMAH Pak imam yang bercat kuning itu kelihatan cukup meriah. Kereta berderet-deret di
halaman rumah. Maklumlah, Pak Imam ni ramai anak. Kata emak Mak Uda Siti ni isteri kedua
selepas isteri pertama Pak Imam meninggal ketika bersalin anak keempat. Sewaktu berkahwin
dengan Mak Uda Siti anak-anak isteri pertama semua sudah bersekolah menengah, sebab
itulah aku tidak tahu yang pak imam ada cucu bernama Fatihah!
“Keon! La…kenapa terpacak kat situ? Mari masuk!” Pelawa Mak Uda Siti di muka pintu dapur.
Nampaknya dia tidak berniaga hari ini..almaklum ler..esok nak raya..
“Tak apalah Mak Uda..ini bubur kacang mak kasi,” Tupperware biru itu kuhulurkan kepadanya.

“Terima kasih banyak la..eh, alang-alang nak berbuka mari berbuka kat sini Keon,” pelawa
mak Uda Siti ikhlas.
“Terima kasih banyaklah mak uda..” aku menolak sopan. Tak mahu aku berdepan dengan
Fatihah! Enjin motor segera kuhidupkan.
“Keon!” suara pak imam jelas kedengaran. Aku tak jadi menekan gear. Pak imam
menghampiriku sambil tersenyum.
“Dah tak sudi ke nak berbuka dengan tok guru?” soalnya sambil menepuk bahuku.
“Bukan macam tu pak imam..err..err..” aku tergagap-gagap mencari alasan.
“Dah, nak masuk waktu dah ni..mari kita masuk,” mak uda siti menggesa. Aku benar-benar
terjerat. Saat itu azan magrib telahpun bergema dan tanpa sedar lenganku sudah diheret
masuk…..

******

AKU rasa kedatanganku ke rumah pak imam satu kesilapan besar yang pernah aku buat.
Dugaan yang maha hebat! Sewaktu berbuka tadi aku dipinta membaca doa berbuka. Memang
selama ini aku tukang baca doa kat rumah, tapi tak pernah di rumah orang lain. Selepas itu
bila aku nak balik dihalang, disuruh berjemaah sama. Kira okey la tu. Tapi, macam nak
terkentut bila pak imam menyuruh aku jadi imam. Tuhan aje yang tahu betapa gabranya aku
saat itu. Tambahan pula aku mengimami seluruh ahli keluarga itu! Anak-anak pak imam
dengan isteri pertama tu bukan aku kenal sangat! Tapi syukurlah! Segala ajaran pak imam
semasa kecil dulu kupraktikkan sebaik mungkin. Mungkin inilah buah tanganku untuk guru
agamaku yang baik itu, yang banyak memberi didikan akhirat yang tak kulupa hingga kini.
Tapi aku rasa tak selesa bila bapa Fatihah asyik bertanyakan latar belakang aku. Apa,
macamlah aku ni boyfriend anak dia! Aku ni siapa, tak setanding dengan Fatihah. Dan hari ini
aku dapat merasakan jurang antara aku dan Fatihah makin jelas. Bapanya ADUN di Perak
beb! Lagi aku rasa macam langit dengan bumi, macam benua artatika dan antartika jauhnya.
Macam mercuri dengan zink bezanya…Tapi…Fatihah bijak kerana memilih Hafiz..semoga kau
bahagia Fatihah!
“Wah…berbuka dengan bakal mertua nampak….” Aku cuma tersengih bila emak mengusik
begitu. Tebiat apa..aku segera masuk ke dalam dan bersiap-siap dengan baju melayu hijauku.
Hari ini hari terakhir puasa dan aku tak mahu kerana Fatihah aku akan terlepas bertakbir
malam ini. Biarlah..aku sedar siapa diri aku..siapalah aku….cewah…nyanyi lagu Amy Mastura
pulak! Aku senyum walaupun bibir masih sakit…

******

BUNYI mercun dan meriam buluh buatan sendiri kedengaran di sana sini. Dia orang ni nak
kena agaknya! Tangkap dek polis baru tahu..Tapi aku pun join jugak, he he he…Tadi Arie
beriya-iya ajak main lepas sembahyang di masjid. Kalau kena sergah dek polis ni..Ah..aku nak
main puas-puas…kita lepas tension malam ini!! Sebaik saja selesai bertakbir aku, Arie, Rapie,
Asyid, Herman dan Aizam segera meninggalkan masjid, sasaran kami ke arah sungai tempat
kubu meriam buluh kami. Ha..ha..ha…
Arie segera membakar sabut untuk menghalau nyamuk sementara aku pula menyalin minyak
tanah yang kubeli tadi ke dalam botol. Beberapa paket karbait turut kubeli. Tak sabar rasanya
nak memulakan adegan pertempuran dengan geng kampung sebelah.
“Keon!” rasa macam suara laser. Aku menoleh. Memang betul! Apa
pulak budak ni buat kat sini?
“Apasal kau datang sini ni?” soalku.
“Eh, sukalah!” laser mejawab. Eleh..sombong..aku mercunkan kau nanti baru tahu.
“Habis tu nak cari pasal datang ke sini? Nak kena tangkap basah?”
“Hei beruang! Tolong sikit!” Teriak Miss geram membuatkan aku tertawa. Arie, Aizam, Rapie
dan Herman sibuk membetulkan kedudukan meriam buluh kami di tepi tebing, yang bakal
menggempaqkan kampung malam ini.
“Eh, kau ni, pegi la balik..sibuk je datang sini..kau tau tak setan dah lepas malam ni…kau tu
perempuan..aku ni lelaki…” aku menyakat Miss.
“Beranilah kau..aku cakap kat ayah aku..” jawabnya. Aku menggeleng kepala.
“tolong pegang torch light ni,” pintaku. Miss tanpa banyak soal menyambut huluranku.
Hemm..baik pulak budak sekor ni..kalau tak jangan haraplah..
“Kalau aku cakap sikit boleh?” soalnya.
“Hemm..kau tu..bukan reti cakap sikit..ngape? kau nak cakap kau jatuh cinta kat aku ke?”
usikku lagi.
“Hei bodoh! Tak kuasa aku..”
“Apa? Aku pantang betul orang panggil aku bodoh..”
“Ah, kau tu yang bodoh! Tak ada kerja aku nak jatuh cinta dengan kau!” balasnya. Eh budak
ni! Dalam samar cahaya lampu aku sempat menjeling ke wajah Miss yang bulat sihat itu.
Parut di atas kening kirinya kelihatan agak jelas. Aku masih ingat lagi bagaimana parut itu
boleh terukir indah di atas kening Miss. Waktu tu kami sama-sama belajar mengaji di surau
dengan pak Imam. Kebiasaannya budak perempuan mengaji dulu baru budak lelaki. Sebaik
saja habis mengaji apa lagi..berdoyon-doyon budak-budak perempuan menuju ke arah pokok
jambu air yang sentiasa berbuah lebat. Aku memang tak pernah senang hati bila tengok Miss,
entahlah..kami memang tak pernah baik sejak dari kecil lagi. Bila melihat Miss sudah berada
tinggi di atas pokok waktu itulah aku melontar bangkai ular hijau yang kubunuh ke atas
pokok. Apa lagi, menjerit-jeritlah si Miss dan yang paling sadis dia jatuh tergolek di atas tanah
kerana kainnya tersangkut pada ranting pokok. Aku dan kawan-kawan tertawa gelihati
melihat Miss meraung kuat dengan dua batang gigi yang terbang serta luka di dahi. Tapi, saat
manis itu cuma seketika bila petang itu pula aku bermain kejar-kejar dengan emak keliling
rumah bila si Pojiemah mengadu pada mak tentang peristiwa itu. Tapi itu bukan salah aku si
Miss jatuh. Sapa suruh dia terkejut?
“Eh, yang kau tersengih-sengih ni apasal ha?” soal Miss bila perasan aku sedang
merenungnya.
“Kau ni Miss..kau tau tak..malam-malam macam ni tak elok tau kau bersama-sama lelaki
macho macam aku ni..karang kalau jadi apa-apa kang jangan salahkan aku…setan dah
sebulan kena rantai tau!” aku mengusiknya lagi.
“Kau..aku ketuk kepala kau dengan lampu ni kang…buatlah lagi…” ugutnya.
“Itulah, orang suruh balik..tak nak balik...sebelum aku ngap kau yang sihat dan kuat
tu…”usikku lagi.
“Apa kau ni? Bodoh!” Kelepukkk! Adoiii!!! Aku meraba kepalaku yang terasa sakit.
“Padan muka! Nak lagi?” soalnya selamba. Kurang asam betul laser ni..Sungutku sambil
menggosok tempat yang kena ketuk tadi.
“Sebenarnya..Fatihah nak jumpa kau,” bisik Miss perlahan, bimbang didengari oleh sahabat-
sahabatku.
“Buat apa dia nak jumpa aku? Aku tak ada kena mengena dengan dia!” jawabku geram. Tak
kuasa aku nak tatap wajah Fatihah lagi. Apa hal lagi dia nak jumpa aku? Adillah bagi dia
kerana cuma aku yang kena rotan hari tu..si Hafiz tu tak kena langsung sebab Fatihah beri
keterangan kononnya aku yang serang Hafiz dulu.
“Cuba la kau dengar apa dia nak cakap dulu keon..” pujuk Miss.
“Aku ni mana layak nak cakap dengan dia..dah la..aku tak nak dengar apa-apa lagi pasal dia
ke..pasal mak dia ke..”
“Tak ada ke peluang untuk Fatihah bercakap dengan Keon?” satu suara halus menyapa.
Sekujur tubuh lampai berdiri di depanku. Aku terdiam sambil memandang Miss. Miss cuma
tersenyum dan menepuk bahuku sebelum beredar.
“Boleh Fatihah duduk di sini?” soalnya lembut, ala-ala PMT la tu konon!! Bodoh ke apa..tak
nampak ke pasir tu basah?
“Duduklah kalau tak malu!” jawabku selamba sambil mengemaskan plastik-plastik yang
bertaburan tadi.
“Keon, Fatihah tahu Keon marah..tapi dengarlah dulu penjelasan Fatihah ni..” Fatihah
menatap wajahku lama.
“Fatihah tahu Fatihah tersilap..Fatihah tak sangka Hafiz sanggup buat macam tu…Fatihah rasa
bersalah sangat pada Keon. Fatihah tak sangka yang Keon selama ini mempunyai perasaan
terhadap Fatihah..”
“Sudahlah!” Aku memintas. Fatihah merenungku terkejut.
“Saya tak mengharapkan apa-apa lagi dari awak Fatihah. Apa yang terjadi tu lupakanlah…
entahlah..saya tak tahu pulak yang saya ni terlalu jahat bagi awak..mungkin ada hikmah di
sebalik kejadian ini..”
“Tapi Keon, antara Fatihah dan Hafiz-“
“Sudahlah Fatihah…sejahat-jahat saya..saya tak akan merampas hak orang. Hafiz terlebih
dahulu hadir sebelum saya…”
“Tapi Hafiz tak macam Keon! Memang mulanya Fatihah benci Keon..tapi bila Keon datang ke
rumah..berbuka..berjemaah bersama..Fatihah baru faham kenapa ramai orang suka pada
Keon..Keon lelaki baik sedangkan Hafiz-“
“Fatihah, dulu memang saya tergila-gilakan awak, tapi saya memilih masa yang sesuai untuk
melafazkannya. Saya menyukai awak melalui mata saya sendiri, bukan daripada pandangan
orang lain. Tapi sekarang, baru saya tahu, saya bernilai pada awak setelah awak melihat saya
dengan mata orang lain..sudahlah Fatihah..baliklah..lupakanlah saya..”
“Maksud Keon?” Fatihah merenungku dengan mata yang berkaca. Wajah ayunya kelihatan
muram di sebalik tudung krimnya.
“Kita bina haluan kita sendiri. Antara kita masih tidak terjalin apa-apa..Tak manis awak di sini
bersama saya…nanti apa kata orang…saya tak perlu maafkan awak kerana awak tak pernah
bersalah pada saya…” aku tersenyum pahit.
“Tapi Keon..” Wajah Fatihah sudah basah dengan air mata.
“Berbahagialah dengan Hafiz…andai dia terkurang awak perbetulkan, bukan meninggalkan dia
dan pergi kepada yang lebih baik dari dia..sebaliknya awak bimbinglah dia agar dia memenuhi
ciri-ciri lelaki idaman awak…andai saya ini selalu menyakitkan hati awak..saya minta maaf..”
Aku segera meninggalkannya. Bukan apa, aku tak tahan tengok dia menangis.
“Keon, kenapa tu?” soal Arie pelik melihat kehadiran Fatihah.
“Tak ada apalah..dia nak pinjam nota..ala..cepatlah start! Apa lagi?” gesaku. Arie segera
mengisi karbait dalam lubang. Tak sabar rasanya mendengar letupan meriam kami yang
berprestij ini. Dalam pada itu sempat aku menjeling melihat Fatihah meninggalkan tempat itu
dengan sedu di matanya…maafkan aku Fatihah!

******

“KEONN!! Telefon!” suara nyaring kak ngah kedengaran. Aku segera meninggalkan pinggan
nasi. Hai, sapa pulak telefon aku malam-malam ni. Aku sempat menjeling jam dinding
sebelum mengangkat gagang. Wah..sudah pukul 2.05 pagi..
“Kalau tak menyusahkan orang tak boleh agaknya..” sungut kak ngah. Tensionlah tu kuih raya
tak siap-siap lagi.. Aku tersengih.
“Dah handsome kan nak buat macammana.. peminat ramai..” sengaja aku mengusiknya.
“Eii.. tak kuasa!!” Kak Ngah berlalu pantas setelah gagang telefon bertukar tangan.
“Hello,”
“Hello Keon..tengah buat apa?” ai..salam tidak apa tidak terus tanya buat apa?
“Tak ada apa..baru balik ni..siapa ni?” soalku. Heran jugak awek mana yang telefon aku ni.
Suara slang-slang jawa lak tu..kekekeke..
“Ala..takkan tak kenal suara I yang glamor ni..” Alahai…sapa pulak ber ‘I’-‘I’ dengan aku ni..
“Siapa ni? Maaflah ye…saya tak kenallah..” sungguh sopan aku berbahasa. Manalah tahu cikgu
Zulia ke telefon nak minta maaf di pagi raya ni..maklumlah dia kan banyak dosa dengan aku…
he..he..he..
“Takkan tak kenal?” suara yang halus macam suara kucing kedengaran lagi.
“Oh…cik langsuir! Apa kabar cik Langsuir? Malam ni tak gi bertenggek ke?”
“Woiii! Kau ni mulut macam apa!” aku tertawa kecil. Padan muka, orang tanya sapa tak nak
cakap…
“Kau nak apa ni laser? Aku tengah makan nasi ni…” soalku dengan tawa yang masih bersisa.
“Tak boleh ke telefon kau malam-malam ni?” soalnya balik.
“Kenapa? Kau rindukan aku ke?”
“Kau ni kan..kalau tak main-main tak sah ke?” soalnya geram membuatkan aku tertawa.
“Kenapa telefon? Nak mintak maaf..yelah…abang maafkan kesilapan Miss dari hujung lidah
sampai ke anak tekak..sebab Miss banyak mengata abang kan?”
“Ya Allahh…tak kuasa aku! Betul-betullah keon!” aku ketawa gelihati.
“kau cakap apa dengan Fatihah tadi?” mak aaii..suara laser ke selembut sutera ni? First time
dia cakap elok-elok dengan aku.
“Cakap bahasa melayulah..takkan cakap jerman kot..”
“Keon..cuba serius sikit..kau tau tak Fatihah menangis teruk tadi..aku nak tahulah apa kau
cakap dengan dia..”
“Ala..itu pun nak nangis…kenapa? Dia nak report kat Hafiz..reportlah!” jawabku bengang.
“Eh, apa kena mengena pulak dengan Hafiz tu?” soal Miss hairan.
“Kan ke Hafiz tu buah hati kesayangan dia?” soalku balik.
“buah hati? Bila pulak dia orang bercinta? Kau ni pandai aje..”
“Ah sudahlah..kalau kau nak cakap pasal dia baik jangan telefon!”
“Hai, kau ni macam jealous je..ke..kau ni..”
“Hoi laser..kau jangan nak buat spekulasi okey…” Miss tertawa kecil.
“Aku dah tahu perkara sebenarnya keon…” What!! Aku rasa mukaku pucat tak berdarah.
Habislah! Radio malaya dah dapat cerita!! Sah habis satu Asia dihebahkannya nanti!
“Sebenarnya Fatihah pun sukakan kau…cuma dia keliru hubungan kau dengan Erina. Lebih
teruk lagi bila Erina pernah warning dia jangan rampas kau dari dia..so bila Fatihah dapat kad
raya tu, dia ingat kau main-mainkan dia..sebab tu la dia sengaja melayan Hafiz tu depan
kau..kira nak balas balik la..Tapi tak sangka pulak kau jealous sampai tibai Hafiz tu gila-
gila..hebat jugak kau ni ye…” Miss tergelak kecil. Cis!
“Eh, tolong sikit..aku bedal dia sebab dia kurang ajar dengan aku..” jawabku pantas.
“Ala Keon..aku kenal kau sejak kecil lagi tau….panau kurap kau pun aku tahu kat mana..”
“Woii..tolong sikit..aku tak pernah ada panau kurap tau..” Miss tergelak lagi. Aneh ye…boleh
pulak kami berdamai kali ini.
“Aku tahu kau sebenarnya ikhlas kat Fatihah..walaupun kau tu nakal macam setan…tapi aku
tahu dalam perkara ni kau ikhlas dengan dia…” wah..si Missliza..kan main lagi kau ye..?
“Kalau kau nak tahu sebenarnya Arie, Rapie, dan semua kawan-kawan kau tu tahu tentang
perasaan kau terhadap Fatihah, tapi mereka saja buat tak tahu. Ala..kami faham sangat kau
tu..pantang heboh sebelum dapat kan?” Apa..aduii..malunya aku…cammana boleh kantoi ni.
“Okey la Keon..aku rasa tanggungjawab aku sebagai kawan dah selesai, lepas ni terpulanglah
pada kau..sama ada nak atau tidak memiliki Fatihah..Err..esok datang la rumah aku..”
pelawanya.
“Okey..sebelum subuh aku datang..” aku masih sempat bergurau. Miss cuma tergelak.
“Okey la..aku nak pasang langsir ni..pegila sambung makan..”
“Err..Miss..”
“Apa?” soal Miss.
“Thanks! Nanti aku belanja lemang 10 batang kat rumah kau!”
“Pandailah kau..okey, bye..selamat hari raya..”
“Okey selamat hari raya..” Talian terputus. Aku sengih sendiri tanpa terpaksa. Perut yang
berkeroncong tadi terasa kenyang sekenyang-kenyangnya. Benarkah Fatihah berperasaan
yang sama? Ahh.. takkanlah.. tapi mustahil Si Laser berbohong. Bersungguh-sungguh benar
tadi dia menerangkan apa yang sebenarnya. Kalau face to face sah basah muka aku kena
tempias air liur dia yang bersembur-sembur tu. Tapi..
“Keon!! Apa kata tolong Kak Ngah kejap..” Allah.. perempuan lembik nie ada jer.. Dengan
malas dia melangkah menuju ke dapur.
“Tolonglah kak Ngah tabur choclate rice atas kuih nie..” pintanya.
“Apa?” Aku terbeliak. Dia ingat aku nie suka tenyeh-tenyeh kuih raya malam-malam buta nie
ke?
“Ala kau nie kalau orang minta tolong banyak songeh! Tolonglah cepat!” “Kak Ngah ni untung
tau dapat adik cam Keon nie..” Aku menarik kerusi
dan mencapai coklat urai dan menabur ke atas kuih-kuih yang sedia dicetak.
“Apasal pulak untung..?”
“Iyelah..cuba kak ngah tengok.. Keon nie baik, handsome pulak tu.. ramai peminat.. kak Ngah
kan selalu jadi posmen peminat-peminat Keon..” Kak Ngah menjeling tajam.
“Ha ah.. betul.. memang untung aku dapat adik macam kau.. “ perli Kak Ngah. Aku Cuma
tertawa.
“Kak Ngah nie cuba la rasional sikit.. itu la orang suruh sekolah malas… dah dapat SPM
pangkat 2 je.. tak lama lagi sah kena kawin tu..”
“Mulut tu jaga sikit…” Kak Ngah memberi amaran. Aku tergelak besar melihat muka kelat Kak
Ngah.
“Kau tu perangai lagi tak senonoh… mana la si Fatihah tu tak suka kat kau..” Erkkk!!! Tawaku
mati.
“Hah.. apasal berhenti ketawa? Ketawalah lagi macam hantu raya!” sindir kak Ngah.
“Kak Ngah cakap baik sikit sebut-sebut anak dara orang tu..” mampus aku kali nie..
“Kak Ngah tak kisah kalau si Fatihah tu jadi girlfriend kau.. tapi kau tu kena la betul-betul
sikit..” kak Ngah menjeling.
“Apa pulak?? Malas tolong buat nie kang..” ugutku. Tiba-tiba saja degup jantungku seakan
nak tercabut berdenyut.
“Kau tak payah soroklah… Kak Ngah tahu ni pun dari mulut Fatihah sendiri, “ Apa? Kak Ngah
senyum melihat aku termangu-mangu.
“Kak Ngah rasa dia tak main-main?” soalku bodoh membuatkan kak ngah tertawa kecil.
“Tak percaya kau pergilah telefon dia..” Aku pandang kak ngah, mencari kepastian. Kak Ngah
senyum, yang sangat ikhlas kukira. Tanpa lengah nombor telefon rumah pak imam kudail.
“Hello..”
“Hello, Fatihah ada?” soalku berdebar-debar.
“Fatihah di sini,”
“Hai Fatihah, Keon ni..”
“Keon?” soalnya terkejut.
“Janganlah terkejut sangat..saya tahulah saya ni jejaka idaman malaya.. Tak tidur lagi?”
“Ha? Tak..tengah bakar ketupat, Ehh! Rebus ketupat…” aku menggeleng kepala. Takkan gabra
sampai tersasul kot..
“Errr..Fatihah..tentang tadi tu..Keon..Keon minta maaf kerana tak mendengar penjelasan
Fatihah,” Fatihah cuma membisu.
“Miss dah ceritakan segalanya…” sambungku lagi.
“It’s okey..tak pa..” perlahan saja Fatihah menjawab.
“Fatihah…maafkan Keon okey?”
“Fatihah pun..Fatihah tahu Fatihah silap..”
“Okeylah..kita bina hidup baru okey?” pintaku.
“Maksud Keon?”
“Kita mulakan apa yang patut kita mulakan,” Fatihah diam seribu bahasa.
“Hello… dah pengsan ke kat sana tu?” usikku. Fatihah cuma tertawa kecil.
“Fatihah..boleh saya tanya sesuatu?” soalku
“Apa dia?”
“Awak sayang saya tak?”
“Errr..Fatihah nak tengok ketupatlah Keon…bye!” klik! Gagang diletakkan. Aku tersenyum
simpul. Hatiku terasa berbunga-bunga. Tak sia-sia aku bertumbuk dengan si Hafiz tu. Fatihah
akhirnya menjadi milikku. Aku tersenyum lagi sambil melangkah ke bilik. Warna-warna
aidilfitri kutatap indah. Betapa nyamannya kurasakan. Malam syawal kali ini amat bermakna
buatku. Malam ini aku ingin bermimpi indah seindah-indahnya…ditemani serakan cahaya
bulan dan bintang. Malam ini bidadari lebaranku akan hadir membawa cahaya cinta untuk
mewarnai hidup jejaka idaman malaya ini. Aku cinta padamu Fatihah!! Yess!! Anak ayah
memang macho!

Anda mungkin juga menyukai