Anda di halaman 1dari 3

FAKTOR KEJATUHAN BANI UMAYYAH

1. Kelemahan Pemimpin
2. Semangat Kesukuan dan Asabiyyah
3. Sistem Perwarisan yang Lemah & Rumit
4. Gerakan Pemberontakan
5. Pemusatan Bangsa Arab dan Kekecewaan Golongan Mawali
6. Rasuah & Penyelewengan
7. Daerah Kekuasaan terlalu luas dan Kekangan Geografikal

PENDAHULUAN
Bani Umayyah merupakan kerajaan yang tertubuh selepas kematian Saidina Ali Ibn Abi Talib pada
661 Masihi dan sumpah ikrar atau Bai’ah yang telah diangkat oleh Hasan Ibn Ali terhadap Mu’awiyah
Ibn Abu Sufyan. Mu’awiyah Ibn Abu Sufyan merupakan Khalifah pertama bagi kerajaan Bani
Umayyah. Nama Kerajaan ini diambil bersempena dengan nama keturunan Bani Umayyah iaitu
Umayyah Ibn Abdu Syams Ibn Abdu Manaf. Namun, kerajaan ini juga mengalami krisis serta
berakhir disebabkan kekangan yang berlaku dalam kerajaan Bani Umayyah. Ada beberapa faktor
yang menyebabkan dinasti Bani Umayyah lemah dan membawanya kepada kehancurannya.

ISI

1)Kelemahan Pemimpin
Faktor pertama ialah kelemahan pemimpin. Selepas Muawiyah, ramai Khalifah Umayyah yang suka
minum arak. Menurut catatan Aghani melaporkan antaranya Yazid yang meminum arak setiap hari.
Al-Walid meminum arak dua kali sehari manakala Hisyam pula minum arak selepas solat Jumaat.
Selain itu, catatan Al-Nawagi pula melaporkan bahawa Khalifah al-Walid suka berendam dalam
kolam arak dan kemudian akan minum arak tersebut. Al-Aghani juga meriwayatkan bahawa Khalifah
ini gemar berfoya-foya. Contohnya, Yazid II dengan dua wanita terkenal iaitu SalamahHabbebah
serta Khalifah al-Walid yang gemar berfoya-foya di istana padang pasirnya di daerah Qaryatin.
Khalifah juga dikuasai oleh wanita-wanita harem yang terkenal seperti Atiqah yang merupakan puteri
Muawiyah. Tambahan pula, Khalifah Umayyah selepas Muawiyyah sangat suka kepada hiburan dan
sastera. Umpamanya, Abid bin Syaryah dari Yaman telah dilantik untuk bersyair di dalam istana.

2)Semangat Kesukuan dan Assabiyyah


Kesatuan ummah yang diterapkan oleh Nabi Muhammad saw telah mula runtuh. Raja mulai bias
kepada sukunya berbanding dengan Khalifah Mukminin. Golongan Arab Utara yang datang ke Iraq
membangunkan Diyar Rabiah (markas suku Rabiah) di sepanjang Sungai Tigris dan Diyar Mudhar di
sepanjang Sungai Euphrates. Posisi tertinggi Bani Mudhar dipegang oleh keluarga Qays. Suku-suku
dari selatan Arab (Yaman) pula datang ke Iraq dan Kabilah terkenalnya ialah Bani Kalb. Suku Arab
utara dan selatan ini membentuk proksi politik di istana dan selalu berperang. Misalnya konflik di
Marja Rahit (684 Masihi). Selain itu, Muawiyyah pula sangat bergantung kepada sokongan dari
Yaman. Anaknya Yazid ialah dari isterinya yang berasal daripada suku Kalb iaitu Masyun. Di bawah
al-Malik II, suku Qays kembali bangkit. Penggantinya, iaitu Sulayman menyokong orang Yaman dan
Yazid II pula menyokong orang Qays.

3)Sistem perwarisan yang lemah dan rumit


Perlantikan putera mahkota secara warisan atau turun-temurun sebagai pemegang jawatan Khalifah
Bani Umayyah menimbulkan pelbagai masalah dan krisis dalam kerajaan Bani Umayyah.Walaupun
Muawiyah menjadikan anaknya Yazid sebagai pengganti, namun tiada satu sistem yang pasti bahawa
kuasa akan dipegang daripada bapa kepada anak. Daripada 14 Khalifah, hanya 4 orang sahaja iaitu
Muawiyah, Yazid I, Marwan I, dan Abdul Malek yang berjaya menjadikan anak mereka sebagai
pengganti dalam Dinasti Umayyah. Mulai Khalifah Marwan, beliau melantik anaknya iaitu Abdul
Malek sebagai pengganti dan seorang lagi anaknya iaitu Abdul Aziz sebagai pengganti turutan yang
berikutnya. Walaubagaimanapun, sewaktu Abdul Malik menjadi Khalifah, beliau melantik anaknya
iaitu al-Walid sebagai pengganti dan anaknya yang lain iaitu Sulayman dalam turutan sekaligus
mengenepikan Abdul Aziz.

4)Gerakan Pemberontakan (Syiah)


Penentangan puak Syiah terus berlaku. Majoritinya puak Syiah berpusat di Iraq bagi menentang
Khalifah di Syria. Syi’ah merupakan salah satu parti yang banyak memberikan kerajaan Umayyah
cabaran dalam mempertahankan kerajaan tersebut. Syi’ah merupakan penyokong keluarga Ali Ibn
Abi Talib dan mereka menganggap sesiapa yang memegang jawatan khalifah dan bukan berasal
daripada keturunan Ali adalah perampas kuasa. Pemberontakan Syi’ah adalah berpunca daripada
kematian Hussein Ibn Ali Ibn Abi Talib dan keluarganya dan hal ini menyebabkan bermulanya siri
pemberontakan yang melemahkan kuasa Umayyah. Pemberontakan pertama yang dibuat oleh Syi’ah
adalah selepas perang Karbala pada 61 Hijrah. Syi’ah menjadi sangat terkenal semasa pimpinan al-
Mukhtar al-Thaqafi sehingga dikenali sebagai Kaysaniyyah. Konsep Kaysaniyyah mempunyai konsep
yang berbeza dengan konsep Sunnah iaitu mereka sangat fanatik dan bercanggah dengan ajaran Islam.
Hal ini kerana mereka percaya bahawa Imam Mohamad Ibn al-Hanafiyya tidak meninggal dunia, dan
dia telah tinggal di bukit yang berdekatan Madinah dan akan datang kembali bagi mengetuai
penyokong-penyokongnya. Keluarga Abbas mula menyusun strategi untuk melancarkan revolusi
mereka menggunakan sokongan penyokong Ali dengan menekankan hak kekhalifahan keluarga Bani
Hashim. Gerakan ini berpusat di selatan Laut Mati, untuk menyebarkan propaganda.

(Khawarij)
Golongan Khawarij pula dikenali kumpulan yang telah berpecah daripada tentera Khalifah
Ali dalam perang Siffin, dan menarik balik pengiktirafan mereka terhadap Ali sebagai Khalifah dan
menafikan tuntutan Mu'awiyah. Khawarij menolak konsep Syi’ah berkaitan dengan perlantikan
khalifah dan menganggap sesiapa yang layak boleh dilantik menjadi Khalifah dan mereka juga
mencipta konsep mereka sendiri. Punca Khawarij juga menentang Umayyah adalah kerana sistem
perlantikan khalifah yang berdasarkan sistem warisan. Pemberontakan mereka telah bermula sejak
zaman Khalifah Mu’awiyah dan pemberontakan yang paling memberi impak yang besar adalah
semasa pemerintahan Khalifah Marwan II di Kufah. Seterusnya, satu parti baru diperkenalkan selepas
pemberontakan di Yemen yang dikenali sebagai Ibadiyyah. Mereka percaya pada konsep yang sama
dengan Khawarij berkenaan dengan perlantikan Khalifah sebagai ketua negara, tetapi mereka berbeza
dalam beberapa ajaran yang lain. Ibadiyyah juga menganggap mereka adalah berasingan daripada
Khawarij sedangkan pihak Khawarij menganggap yang sebaliknya. Siri pemberontakan yang
dilakukan Khawarij sedikit sebanyak melemahkan institusi Umayyah dalam memerintah kerajaan.

5)Pemusatan Bangsa Arab dan Kekecewaan Golongan Mawali


Selain itu, cara dan perlaksanaan pentadbiran yang berasaskan budaya Arab iaitu berpuak merupakan
salah satu faktor kepada permasalahan dalam pentadbiran. Budaya berpuak memainkan peranan yang
penting dalam kehidupan seharian orang Arab sehingga pemilihan bagi perkhidmatan tentera juga
dikehendaki melalui ujian kesukuan. Budaya berpuak berpaksi kuat dalam kehidupan orang Arab
kerana orang Arab juga pada masa tersebut didaftarkan di bawah satu suku yang dikenali sebagai
“Sistem Mawali”. Penyebaran agama Islam yang meluas menyebabkan ramai penduduk tempatan
yang memeluk Islam dan secara tidak langsung menyebabkan orang Arab menjadi minoriti dalam
kalangan komuniti. Pemerintahan Umayyah yang digelar sebagai negara Arab dan hanya untuk orang
Arab jelas kelihatan apabila jawatan pegawai tinggi dalam pentadbiran seperti Gabenor, Timbalan
Gabenor, ketua tentera semuanya dimonopoli oleh orang Arab sahaja terutamanya di wilayah timur.
Hal ini menyebabkan orang Islam yang bukan Arab tidak berpuas hati dan pergolakan berlaku kerana
mereka percaya bahawa Islam menawarkan hidup yang sama rata dan mereka merasakan hak mereka
dirampas. Golongan bukan Arab (Mawali) iaitu mantan hamba berasa tersisih. Misalnya, orang Parsi
yang telah memeluk Islam kerap kali dipaksa untuk membayar jizyah seperti orang bukan Islam.
Malah, mereka berasa bahawa tamadun mereka lebih tinggi dari orang Arab. Rentetan ini, mereka
bertekad menyokong dalam membantu mana-mana pembaharu yang ingin memperbetulkan keadaan.
Mereka kemudiannya dihasut oleh Bani Abbas dan Syiah sehinggakan pengaruh Syiah mula
berkembang luas di Parsi terutama di Khurasan.

6)Rasuah dan Penyelewengan


Masalah utama ialah korupsi & ketidakcekapan gabenor wilayah. Contohnya menurut Al-Tabari,
Gabenor Iraq iaitu Khalid Ibn Abdullah Al Qasri telah menggelapkan wang lebih 13 juta dirham
sebelum ditangkap pada 738 Masihi. Al-Qasri juga telah menerima rasuah daripada pegawainya.
Antaranya ialah pemungut cukai, Ziyad al-Ubaidallah yang merasuah al-Qasri untuk kekal dalam
jawatannya. Selain itu, Yazid bin Muhallab merasuah Ibn Al Ahtham untuk mempengaruhi Khalifah
Sulayman agar Yazid dilantik menjadi gabenor Khurasan.

7)Daerah Kekuasaan terlalu luas & Kekangan Geografikal


Dengan keberhasilan perluasan ke beberapa daerah, baik di timur mahupun barat, wilayah kekuasaan
Islam zaman Bani Umayyah ini adalah sangat luas. Daerah-daerah tersebut meliputi Sepanyol, Afrika
Utara, Syria, Palestin, Jazirah Arab, Irak, sebahagian Asia Kecil, Persia, Afganistan atau sekarang
disebut sebagai Pakistan, Turkmenistan, Uzbekistan, dan Kirgistan di Asia Tengah. Khalifah yang
lemah hanya berpusat di Damsyik dan tidak berupaya memantau pentadbiran dan keselamatan
wilayah-wilayah Umayyah yang luas. Misalnya, wilayah Parsi di Khurasan dan wilayah puak Syiah di
Kufah. Wilayah kekuasaan yang terlalu luas ini mengakibatkan sukar untuk mengendalikan dan
menguruskan pentadbiran dengan baik. Jumlah pemimpin yang berwibawa juga adalah kurang untuk
mengendalikan wilayah Umayyah yang luas tersebut.

8) Masalah Kewangan
Selain itu, kekangan dalam kewangan juga menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Umayyah.
Masalah kewangan yang berlaku di Umayyah adalah berpunca daripada peperangan yang berterusan,
kekurangan pendapatan dari segi harta rampasan(Ghana’im) dan Jizyah. Peperangan yang berterusan
telah menjejaskan ekonomi penduduk kerajaan Umayyah seperti pertanian dan juga saluran
pengairan. Justeru, kesan secara langsung adalah berlaku penurunan dalam pengeluaran produk
pertanian dan cukai yang jatuh secara mendadak. Selain itu, peperangan berterusan juga menyebabkan
kerajaan Umayyah banyak menghabiskan hasil pendapatan atau kewangan ke atas penyokong sebagai
bayaran tambahan dalam menyediakan keperluan seperti askar tambahan. Perkara ini jelas terbukti
dan boleh dilihat semasa pemerintahan Yazid I iaitu beliau telah membayar 100 Dinar sebagai
tambahan kepada a'ta setiap askar yang mengambil bahagian dalam kempen al-Hijaz. Penyebaran
agama Islam telah menyebabkan ramai penduduk yang memeluk Islam dan menyebabkan penurunan
kadar pembayaran Jizyah keranan kurangnya orang yang bukan Islam. Kebanyakan orang yang baru
memeluk Islam juga telah berpindah daripada kawasan luar bandar ke pusat bandar bagi menikmati
kehidupan mereka di bandar dan untuk mendaftarkan nama mereka untuk 'ata yang menyebabkan
penurunan dalam bilangan petani di kawasan luar bandar. Langkah drastik telah diambil oleh al-Hajjaj
bagi membendung masalah kewangan. Contohnya, al-Hajjaj memutuskan bahawa semua saudara baru
perlu membayar jizyah. Hal ini menyebabkan kepincangan dalam kerajaan Umayyah kerana umat
Islam, orang-orang Arab dan bukan Arab menentangnya kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.
Seterusnya, khalifah Umar II telah membuat perubahan dengan mengarahkan gabenor-gabenor supaya
menghentikan pengutipan cukai Jizyah daripada orang yang baru memeluk Islam dan melarang orang
Islam daripada membeli tanah kharaj. Namun, dasar ini tidak berjalan secara berterusan kerana
kematian Umar II.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, kejatuhan kerajaan Umayyah banyak dipengaruhi oleh faktor dalaman dan juga
luaran seperti masalah pentadbiran dan gerakan pemberontakan oleh golongan Syiah dan Khawarij.
Masalah pentadbiran yang tidak cekap dan berkesan menyebabkan institusi Umayyah sedikit goyah.
Siri penentangan yang dilakukan oleh pihak pemberontak juga menyebabkan kerajaan Umayyah
hampir lumpuh dan terkubur.

Anda mungkin juga menyukai