Anda di halaman 1dari 4

Perang Jamal

 
Pengenalan
Perang Jamal atau Perang Unta berlaku pada 11 Jamadilakhir 36H atau Disember 657M yang
mengambil masa tidak sampai sehari. Peperangan ini berpunca daripada salah faham di antara
pihak Khalifah Ali dan pihak Saiditina Aishah yang menyebabkan 10-13 ribu tentera terkorban
termasuk dua sahabat besar Rasulullah s.a.w, Talhah & Zubair al Awwam. Salah faham ini
ditimbulkan oleh pihak munafik pimpinan Abdullah bin Saba’ (Sabaiyyah) yang membuat huru-
hara selepas perbincangan perdamaian tercapai di anatara kedua-dua pihak. Peperangan ini
merupakan perang saudara pertama kaum muslimin yang berakhir dengan kemenangan dipihak
Khalifah Ali. Peperangan ini dinamakan peperangan Jamal (unta) kerana Aisyah menunggang
unta ketika berperang.
 
Rombongan Aisyah, Talhah dan Az-Zubair
Ketika pemberontakan ke atas Khalifah Uthman tercetus, Saiditina Aisyah pada masa itu
berumur 40 tahun berada di Mekah menunaikan haji. Aisyah telah mengumpul orang Islam dan
penduduk di Mekah untuk membantu Uthman menghadapi pemberontakan di Madinah. Ketika
dalam perjalanan menuju ke Madinah, diberitakan Uthman telah dibunuh. Ketika itu para
sahabat mempunyai beberapa cadangan kepada Aisyah, sama ada meneruskan perjalanan ke
Madinah atau, menuju ke Syam untuk meminta bantuan Muawiyah, namun akhirnya mereka
memilih jalan menuju ke Basrah.
 
Mereka berasakan Kota Madinah dalam keadaaan tidak tenteram setelah jatuh ke tangan
pemberontak yang masih ramai disitu. Sekiranya tetap meneruskan perjalanan ke
Madinah, Aisyah dan rombongannya akan berada pada situasi yang membahayakan kerana
mereka adalah dari kalangan orang yang menyokong Uthman.  Mereka menuju ke Basrah untuk
merancang strategi dan mengumpul kekuatan menangani pemberontak yang memecah belah
umat Islam, dan berazam memulih kembali perpaduan umat Islam. Walaupun Ali kemudiannya
telah dilantik sebagai Khalifah, mereka tidak berpuas hati kerana Ali dilihat gagal menghukum
pembunuh Uthman, seolah-olah Ali dalam keadaan terikat dan tertekan dikelilingi golongan
pemberontak.
 
Selepas Talhah dan Zubair membai'ah Saidina Ali sebagai Khalifah, mereka meminta izin untuk
melakukan umrah. Ketika dalam perjalanan, mereka bertemu dengan Aisyah, di dalam
pertemuan itu mereka bersepakat untuk meminta Khalifah Ali mempercepatkan qisas (hukuman)
keatas pembunuh Uthman.
 
Apabila melihat Aisyah dan pasukannya pergi ke Basrah, golongan munafik Sabaiyyah
menyalakan api fitnah dengan menyebar berita kononnya pemergian Aisyah tersebut adalah
mengumpul kekuatan dan menuju ke Madinah untuk memberontak kekhalifahan Ali.
 
Semangat Perdamaian
Apabila Ali mendengar khabar angin itu, beliau mengutuskan al-Qa’ qa’ untuk berjumpa Aisyah,
Talhah dan Zubair di Basrah.
 
Menurut Ibn Kathir menulis: “Sesungguhnya Ali telah mengutuskan al-Qa`qa` sebagai utusan
menemui Talhah dan Zubair untuk mengajak mereka kepada kesatuan dan jamaah dan
menyatakan kepada mereka berdua betapa bahayanya perpecahan dan perselisihan. Lalu al-
Qa`qa` menuju ke Basrah dan orang yang pertama ditemuinya ialah Aishah." 
 
Beliau berkata: “Wahai Ummu Mukminin, apakah yang mendorong ibu menjejakkan kaki di bumi
ini?”.
 
Aishah menjawab: “Wahai anakku, untuk mendamaikan antara manusia.”
 
Kemudian al-Qa`qa` meminta supaya Aishah memanggil Talhah dan al-Zubair, lalu mereka
berdua pun datang.
 
Al-Qa`qa` berkata kepada mereka “Saya telah bertanya kepada Ummu Mukminin sebab
mengapa beliau menjejakkan kaki ke sini dan beliau menjawab untuk mendamaikan antara
manusia.” 
 
Lalu mereka berdua menyatakan: “Kami pun dengan tujuan yang sama.” Talhah dan al-Zubair
juga mengatakan bahawa mereka datang hanya untuk mendamaikan antara manusia.
 
Mereka juga menjawab: “Kamu memang benar dan melakukan yang terbaik. Oleh itu, pulanglah,
jika Ali datang dan dia berpandangan seperti kamu, keadaan akan menjadi baik.”
 
Lalu al-Qa`qa` pulang menemui Ali dan mencerita apa yang berlaku dan Ali amat gembira. 
 
Aishah telah menulis surat kepada kepada Ali menyatakan beliau datang untuk tujuan
perdamaian. Kemudian Ali menulis kepada Talhah dan al-Zubair: “Jika pendirian kamu berdua
masih kekal seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kamu berdua, maka tunggulah sehingga kami
datang dan membincangkan perkara ini. Lalu mereka berdua menjawab: “Sesungguhnya kami
masih lagi berpendirian seperti ketika al-Qa`qa` meninggalkan kami iaitu untuk berdamai.
 
Khalifah Ali menghebah berita perdamaian ini kepada kaum muslimin, namun terdapat golongan
yang membenci situasi perdamaian ini terutamanya dari golongan Sabaiyyah. 
 
Pertemuan Ali dan Aisyah
Khalifah Ali bersama tentera-tenteranya (sebagai langkah berjaga-jaga) menuju ke Basrah untuk
tujuan perdamaian dengan Saiditina Aisyah. Malangnya kebanyakan tentera yang mengikut Ali
adalah dikalangan pemberontak (dari golongan munafik Sabaiyyah) yang menyelinap di dalam
tentera muslimin. Ramai sahabat tidak mahu serta dalam rombongan tersebut. Abu Musa dan
anaknya, Hassan bin Ali telah menasihati Ali supaya jangan keluar kerana tindakan itu lebih
membawa keburukan. Tetapi ijtihad Ali adalah untuk membawa keamanan.
 
Apabila kedua-dua pasukan saling berhadapan, Khalifah Ali berjumpa dengan Thalhah dan
Zubair. Beliau  mengimbas kembali akan saat manis ketika bersama Rasulullah s.a.w dan
berperang melawan orang musyrikin. Aisyah, Zubair dan Talhah meminta Ali mencari pembunuh
Uthman. Tetapi Ali dengan tegas menjelaskan dalam keadaan sekarang, permintaan itu adalah
mustahil tanpa sokongan dan perpaduan umat Islam khususnya dari kalangan para sahabat.
Malah bilangan pemberontak yang juga dari kalangan umat Islam sangat ramai di Madinah dan
amat sukar mengenapasti siapakah pembunuh Uthman yang sebenar. Aisyah menyedari
kesilapan mereka tidak berbai'ah kepada Ali dan memberitahu kepada rombongannya, mereka
tersilap dalam hal ini dan mereka akan bersatu bersama Khalifah Ali untuk menguatkan kembali
perpaduan umat Islam dan mencari pembunuh Uthman yang sebenar.
 
Menurut al-Imam Ibn Hazm rahimahullah (456H): “Dan adapun (pemergian) Ummul Mukminin
(Aisyah), al-Zubair dan Thalhah radhiallahu 'anhum berserta orang-orang yang bersama mereka
(ke Basrah), tidaklah mereka sedikit jua bertujuan membatalkan kekhalifahan Ali, mereka tidak
mencabar jawatan tersebut, mereka tidak menyebut apa-apa kecacatan yang merendahkan
beliau daripada jawatan tersebut, mereka tidak bertujuan mengangkat khalifah baru yang lain
dan mereka tidak memperbaharui bai‘ah kepada sesiapa yang lain. Ini adalah sesuatu yang
tidak dapat diingkari oleh sesiapa jua dengan apa cara jua.”
 
Golongan Sabaiyyah berasa terancam dengan perdamaian tersebut. Pada malamnya, mereka
merancang untuk melagakan kedua-dua pihak Ali dan Saiditina Aisyah. Jika umat Islam bersatu,
pasti akan memudahkan tindakan diambil ke atas para pembunuh Uthman. Sekiranya umat
Islam kekal berpecah, selagi itulah para pembunuh Uthman akan terselamat daripada apa-apa
tindakan. Jika mereka tidak bertindak cepat, lambat laun tembelang mereka akan pecah, dan
mereka pasti di qisaskan atau di hukum. Dianggarkan jumlah mereka menyelinap dalam tentera
Ali ketika itu dikatakan mencecah 1,000-2,000 orang. 
 
Mereka segera mengatur rancangan dan membuat keputusan bahawa satu kumpulan dari
mereka akan berada di pihak Aishah manakala satu lagi kumpulan kekal di dalam pasukan Ali.
Mereka akan bertindak secara senyap untuk mencetuskan kekacauan dengan saling menyerang
di antara satu sama lain menyebabkan berlaku kekeliruan kepada kedua-dua belah pihak.
 
Berlakunya Perang
Sebelum subuh, golongan Sabaiyah  menyerang pasukan Aisyah secara mengejut. Dalam
suasana terperanjat daripada tidur, pasukan Aisyah menyangka bahawa tentera Ali telah berlaku
khianat dan menyerang mereka. 
 
Golongan Sabaiyyah disebelah pasukan Aisyah berteriak bahawa tentera Ali telah menyerang
curi dan  menipu mereka. Sebagai tindakan mempertahankan diri sendiri, mereka menyerang
balas ke atas tentera Ali.
 
Golongan Sabaiyyah disebelah pasukan Ali pula berteriak bahawa rombongan Aisyah telah
menyerang. Lalu Pasukan Ali menyangka pasukan Aisyah telah berlaku khianat dan menyerang
mereka. Dengan itu mereka menyerang balas untuk mempertahankan diri. Tidak sesiapapun di
kalangan mereka yang menyedari perkara sebenar yang terjadi. Disitulah bermulalah Perang
Jamal sekali pun kedua-dua pihak pada asalnya tidak berniat untuk berperang. 
 
Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) meringkaskan detik-detik ini dalam satu
perenggan: “Mereka (para pembunuh Uthman) menyerang khemah Thalhah dan al-Zubair. Lalu
Thalhah dan al-Zubair menyangka bahawa Ali telah menyerang mereka, maka mereka
menyerang kembali untuk mempertahankan diri. Seterusnya Ali pula menyangka bahawa
mereka (Thalhah dan al-Zubair) menyerangnya, maka Ali menyerang kembali untuk
mempertahankan diri. Maka berlakulah fitnah (peperangan) tanpa ia menjadi pilihan mereka
(kedua-dua pihak). Manakala Aisyah radhiallahu 'anha hanya berada di atas pelana untanya,
beliau tidak menyerang dan tidak memerintahkan serangan. Demikianlah yang diterangkan oleh
tidak seorang daripada para ilmuan dalam bidang sejarah (Ahl al-Ma’rifat bi al-Akhbar).” [Minhaj
al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi‘ah wa al-Qadariyyah (diteliti oleh M. Rasyad
Salim; Muassasah Qurtubiyyah, 1986), jld. 4, ms. 317]
 
Al-Hafiz Ibn Katsir rahimahullah (774H) memperincikan detik-detik tercetusnya Perang
Jamal: “Orang-orangpun merasa tenang lagi lega …… pada waktu malamnya kedua-dua pihak
bermalam dalam keadaan yang sebaik-baiknya. Akan tetapi para pembunuh Uthman melalui
malam tersebut dalam keadaan yang seburuk-buruknya. Mereka berbincang dan bersepakat
untuk mengobarkan peperangan pada awal pagi esoknya. Mereka bangun sebelum terbit fajar,
jumlah mereka menghampiri seribu orang. Masing-masing kelompok bergabung dengan
pasukannya lalu menyerang mereka (pasukan Aisyah) dengan pedang." 
 
Tentera Ali berjaya menguasai peperangan tersebut kerana pada masa itu, pasukan Aishah
tidak mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Ini adalah kerana tujuan kedatangan mereka
adalah bukan untuk berperang tetapi untuk mencari jalan perdamaian.
 
Dalam peperangan ini, Aisyah tidak melibatkan diri dalam medan pertempuran tetapi unta yang
dinaiki Aisyah telah terbunuh tertusuk tombak. Lalu Aisyah terjatuh dari unta tersebut. 
 
Pembunuhan Talhah dan Az-Zubair
Sewaktu pertempuran berlaku, Khalifah Ali sempat bertemu Zubair dan Talhah, katanya; 
 
“Wahai Zubair, aku minta kau jawab kerana Allah!” 
 
“Tidakkah engkau ingat, sewaktu Rasulullah menghampiri kita yang sedang berkumpul bersama,
lalu beliau (Rasulullah) bersabda;
 
“Wahai Zubair, tidakkah engkau mengasihi Ali..” 
 
Kemudian engkau menjawab “Kenapa pula aku tidak mengasihi saudara sepupuku, anak
kepada ibu dan bapa saudaraku, serta se akidah denganku…” 
 
Rasulullah bersabda lagi “Hai Zubair demi Allah, bila engkau memeranginya (Ali), jelas engkau
telah berlaku zalim kepadanya…” 
 
Sewaktu itu Zubair tersedar akan kesilapannya “Ya, sekarang aku ingat, hampir aku terlupa
(sabda Rasulullah), demi Allah aku tidak akan memerangimu."
 
Talhah dan Zubair menarik diri dari perang saudara itu. Mereka mengundur diri setelah tahu
kedudukan sebenar peperangan itu, tambahan pula apabila mereka terlihat Ammar bin Yasir
berperang di pihak Ali. Mereka teringat sabda Rasulullah kepada Ammar “Yang akan
membunuhmu ialah golongan yang derhaka…”
 
Bagaimanapun, Zubair diekori oleh Amru bin Jurmuz, lalu dibunuh sewaktu Zubair sedang solat,
manakala Talhah dipanah/lembing oleh rakan sepasukan iaitu, Marwan bin Hakam, setelah
mendapati Talhah mengundur diri dari berperang. Ketika itu Talhah berusia 63 tahun.
 
Ketika Ali nampak jasad Talhah yang terkorban, beliau turun dari kuda mengangkat mayat
Talhah dan menangis sambil berkata “Semoga Allah merahmatimu Aba Muhammad,
sesungguhnya aku berasa amat sedih melihat engkau dibunuh di bawah bintang di langit.
Kalaulah aku mati dahulu tentu aku tak melihat peristiwa ini“.
 
Manakala Zubair menuju ke Wadi Suba’, tetapi di bunuh oleh Amir bin Jurmuz ketika solat. Si
pembunuh juga membawa pedang Zubair bin Awwam yang dibunuh  dengan gembira dan
menyatakan mereka berjaya membunuh Zubair. Lalu Ali berteriak si pembunuh itu akan dibalas
dengan api neraka. Ini adalah kerana Ali mendengar Rasulullah berkata dalam hadisnya yang
menyatakan, berikan neraka kepada pembunuh Zubair. Zubair ini adalah penolong nabi.
Rasulullah pernah berkata “Setiap nabi mempunyai seorang penolong, Zubair ini adalah
penolongku“. Ali telah menyembahyangkan semua mayat dari kedua-dua tentera.
 
Ketika Ali menatap pedang Zubair beliau berkata“Demi Allah pedang ini sudah banyak berjasa,
digunakan oleh pemiliknya (Zubair) untuk melindungi Rasulullah dari ancaman bahaya…”
 
Kesan Peperangan
Peperangan ini membawa kepada kesedihan dan penyesalan di antara kedua-dua pihak.
Mereka menyedari ditipu oleh golongan yang tidak menyokong perdamaian (golongan
Sabaiyyah).
 
Saidina Hassan Bin Ali r.a pernah berkata kepada ayahnya,“ Wahai Ayah, telah aku nasihati mu,
supaya engkau jangan menghantar tentera keluar.”
 
Aisyah juga dihantar pulang ke Madinah dengan dikawal oleh sepasukan wanita bersenjata
lengkap.  Khalifah Ali berpesan kepada tenteranya supaya tidak menjadikan peperangan ini
seperti peperangan lain (dengan tentera musyrikin) kerana perang ini berlaku sesama kaum
muslimin. Harta peperangan pihak Aishah tidak boleh dijadikan sebagai ghanimah. Mereka yang
lari tidak boleh dikejar dan yang terbunuh hendaklah disemadikan sebagai seorang Islam.
 
Akibat daripada peperangan itu, penentangan terhadap Khalifah Ali semakin memuncak
terutamanya dari Muawiyah bin Abu Sufiyan. Muawiyah berpendapat Ali sepatutnya mencari dan
menghukum pembunuh Uthman apabila mula memerintah. Walaupun telah dipecat oleh Ali
sebagai gabenor tetapi seluruh negara Syam masih lagi taat kepada Muawiyah. Beliau tidak
akan berbai’ah kepada Ali sehingga pembunuh Uthman dibunuh. Inilah yang menyebabkan
berlakunya peperangan Siffin

Anda mungkin juga menyukai