Anda di halaman 1dari 4

LAPORAN REFLEKTIF PROGRAM BINA INSAN GURU DI TAMAN PERTANIAN NEGERI

SEKAYU, HULU TERENGGANU, TERENGGANU


1.0 Pengalaman
Pada 22 September 2019 hingga 26 September 2019 iaitu bersamaan hari Ahad sehingga
Khamis, Seramai 60 orang guru pelatih bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP)
daripada opsyen Sains 2, TESL 2 dan Pendidikan Agama Islam (PAI) telah mengikuti Program
Bina Insan Guru (BIG) Siri 1 peringkat Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail
bertempat di Taman Pertanian Negeri Sekayu, Hulu Terengganu, Terengganu. Program ini
merupakan program yang wajib diikuti oleh setiap guru pelatih yang telah menginjak PISMP
Semester 5.
Program ini telah berlangsung selama lima hari empat malam. Terdapat pelbagai pengalaman
yang diperolehi saya sepanjang mengikuti program ini dimana setiap tugasan yang diberikan
kepada kami dari segi pengurusan mahupun pelaksanaan segalanya dengan usaha sendiri
sambil dipantau dan diperbetulkan oleh pensyarah-pensyarah. Antara aktiviti yang saya ikuti
sepanjang berada di sana adalah Malaysia Cergas, Kewarganegaraan dan Etiket Sosial,
Pemakanan Sihat, Flying Fox, Rakit, Water Confident, Ikhtiar Hidup/ Kembara, Khidmat
Komuniti dan Interaksi Professional.
2.0 Analisis SWOT
Sepanjang melaksanakan program berlangsung, terdapat pelbagai kekuatan, kelemahan,
peluang dan ancaman yang dihadapi oleh saya sebagai peserta. Kesemua pengalaman ini
membantu saya dalam membentuk jati diri yang unggul sebagai bakal guru kelak. Analisis pada
kali ini menceritakan kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dihadapi oleh diri saya
sendiri sepanjang lima hari melalui program BIG ini.
2.1 Kekuatan
Antara kekuatan yang dapat ditunjukkan oleh saya adalah kemahiran menguruskan pertolongan
cemas kepada guru pelatih yang menghadapi kecelakaan. Saya selaku Jawatan Kuasa
Pertolongan Cemas memastikan diri saya bersedia untuk merawat guru-guru pelatih yang
mengalami kecederaan. Contohnya, terdapat guru pelatih yang luka, terseliuh, dan cirit-birit.
Saya memberikan pertolongan awal terhadap mereka sama ada dari segi ubatan dan balutan.
Malah, antara kekuatan lain yang dapat dijelmakan adalah kerjasama antara saya dengan guru
pelatih lain dimana saya sanggup menolong dan menerima apa jua tugasan walaupun diluar
bidang tugas saya. Hal ini kerana saya merasakan setiap tugasan adalah tanggungjawab kita
semua di dalam sebuah komuniti apatah lagi kita sebagai bakal guru yang akan menjadi role
model bagi anak murid kita kelak. Contohnya, saya membantu mencuci alatan, kemas alatan,
memasang kemah.
Antara kekuatan lain yang dapat dijelmakan oleh saya sewaktu Khidmat Komuniti. Saya telah
diamanatkan untuk melakukan Kertas Kerja berkaitan Khidmat Komuniti iaitu gotong royong di
Masjid berdekatan Kem Sekayu. Bagi program ini, kesemua guru pelatih telah diamanahkan
alatan masing-masing seperti kain lap, penyapu sesawang, penyedut hampagas dan baldi.
Sepanjang pengawasan saya sewaktu aktiviti ini, kesemua tugas yang diberikan dilaksanakan
sebaik mungkin. Saya juga telah memastikan persekitaran masjid adalah bersih dan selesa
untuk jemaah yang hadir.
2.2 Kelemahan
Selain itu, terdapat beberapa kelemahan yang dapat saya perhatikan yang berpunca daripada
diri saya sendiri. Pertama sekali adalah dari segi pengurusan masa. Pada hari kedua iaitu
sewaktu aktiviti Malaysia Cergas, hampir kesemua guru pelatih hadir lambat. Saya diantara
yang terawal walaupun pada masa itu waktu aktiviti telahpun lima minit lewat. Saya dan
kesemua guru pelatih didenda dengan lompat bintang dan berlari keliling padang. Disebabkan
hal ini, saya dan rakan-rakan lebih menepati masa dan bertanggungjawab kerana jika orang
lain yang lambat, semua akan terkena tempiasnya.
Antara kelemahan lain yang dihadapi oleh saya adalah dari segi perlaksanaan aktiviti dimana
saya masih tidak dapat mengurus sendiri kerana tiada kemahiran. Contohnya, dari segi
pemasangan khemah, flying fox, rakit dan ikhtiar hidup jelas menunjukkan tahap kefahaman
saya adalah masih lemah dan perlukan bimbingan. Saya bersyukur kerana sepanjang program
BIG ini para pensyarah tidak lokek dalam memberi tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan.
Malah, banyak pengalaman tambahan yang saya perolehi seperti jenis-jenis herba, kaedah
ikatan dan ubatan tradisional yang tidak diajar sewaktu kuliah di dalam kelas.
Kelemahan lain yang dihadapi saya adalah dari segi penyediaan kelengkapan mencuci karpet
sewaktu program Khidmat Komuniti. Sewaktu kerja pembersihan dilakukan, penyedut
hampagas yang disediakan oleh pihak masjid hanya satu unit sahaja. Kami terpaksa bergilir
antara guru pelatih lelaki dan perempuan untuk membersihkan sudut solat masing-masing.
Akibatnya, kami memakan masa yang agak lama untuk menunggu giliran sehingga ditegur oleh
pensyarah penyelia kami dan saya terpaksa mengambil langkah drastik dengan membersihkan
karpet pada skala biasa sahaja. Hal ini kerana saya kesuntukan masa dimana saya dan rakan-
rakan perlu pulang ke sungat untuk aktiviti rakit.
2.3 Peluang
Di antara peluang yang diperolehi saya sewaktu program BIG ini termasuklah mampu
mengeratkan hubungan sosial saya dengan guru pelatih dari opsyen lain. Hal ini dapat dilihat
pada kerjasama saya dan rakan-rakan dalam menjayakan setiap slot aktiviti yang disediakan di
dalam program BIG. Contohnya, sewaktu aktiviti rakit dan kembara ikhtiar hidup, saya
ditempatkan dengan beberapa orang guru pelatih dari opsyen PAI dan TESL 2 dimana saya
yang mengetuai mereka sepanjang aktiviti ini. Kerjasama yang bagus ditunjukkan dimana saya
dan rakan-rakan Berjaya meraih kedudukan ketiga dalam kedua-dua aktiviti tersebut.
malah, antara peluang lain yang diperolehi oleh saya termasuklah saya dapat mempamerkan
kepimpinan saya. Contohnya, saya mengetuai aktiviti ‘night walk’ pada malam ketiga program
dimana saya perlu menunjukkan arah kepada ahli kumpulan saya supaya tiada yang tersesat.
Aktiviti itu melatih saya dalam memimpin ahli pasukan dan bertanggungjawab dalam setiap
keputusan yang saya letakkan terhadap pasukan saya termasuklah dari segi risiko dan
keselamatan ahli pasukan saya sendiri.
Di samping itu, saya juga diberikan peluang dalam mengurus diri dan ikhtiar diri apabila
menghadapi kesulitan. Sepanjang saya menjalani aktiviti kembara dan ikhtiar hidup. Saya diajar
kaedah survival apabila berapa di hutan seperti kaedah menyalakan unggun api, memasang
khemah, sentri dan memasak secara tradisional iaitu dengan menggunakan kayu api. Aktiviti ini
memberi peluang kepada saya merasai pengalaman guru-guru yang mengajar di pedalaman
disamping mempersiapkan diri saya sendiri andai ditempatkan di Kawasan pedalaman kelak.
2.4 Ancaman
Seterusnya, saya juga menerima beberapa ancaman sepanjang program berlangsung.
Ancaman pertama yang dihadapi saya adalah kelengkapan urus diri saya iaitu tuala mandi saya
hilang. Hal ini kerana ramai yang menyidai tuala di tempat yang sama dan tuala saya juga
berwarna putih dan sama dengan warna tuala rakan-rakan saya. Jadi, risiko untuk tertukar itu
tinggi. Setelah dicari, saya menjumpai tuala saya di dalam gumpalan kain tuala putih kawan
saya yang lain.
Antara ancaman lain yang dihadapi saya adalah dari segi cuaca dimana hujan sentiasa turun
menyebabkan beberapa aktiviti sedikit terganggu. Contohnya, sewaktu kembara, awan yang
mendung menggesa kami mendirikan khemah secepat mungkin. Malah, sewaktu di kem juga,
kami terpaksa berhenti beraktiviti seketikan dan berlari ke ampaian untuk mengangkat kain
kerana hujan turun secara tiba-tiba.
Ancaman lain yang dihadapi saya sebagai Jawatan Kuasa Pertolongan Cemas adalah dari segi
penyediaan kelengkapan ubatan yang tidak cukup. saya menghadapi masalah pada malam
terakhir ekoran ramai sakit perut dan cirit-birit akibat makan nasi mentah. pada waktu itu ubat
cirit-birit tidak mencukupi. Jadi, saya mengambil langkah inisiatif secara tradisional dengan
membuat teh kelat dan saya amat bersyukur sakit perut mereka berkurangan.
3.0 Rumusan/Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dihadapi
oleh saya sepanjang program BIG di Kem Pertanian Sekayu ini. Namun, itu semua merupakan
pengorak langkah bagi saya untuk terus maju ke hadapan sebagai pendidik yang berwibawa
serta mampu menempuh ranjau kepayahan demi mendidik generasi baru yang bakal
menggegar arena globalisasi serta mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
negara-negara lain. Saya juga berharap segala pengalaman ini dapat digunakan oleh saya dan
rakan-rakan saya sebaik mungkin apabila menempuh alam pendidikan kelak. Ribuan
penghargaan diucapkan kepada semua Pensyarah Unit Kokurikulum (GERKO) atas bimbingan
dan tunjuk ajar yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan sepanjang menjalankan program
ini. Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh,

………………………………….
(MOHAMAD SARIHI BIN MAT DERIS)
Siswa Guru Pelatih PISMP Sains 2 Semester 5,
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.
4.0 Lampiran

Anda mungkin juga menyukai