Anda di halaman 1dari 4

LAPORAN REFLEKTIF PROGRAM BINA INSAN GURU DI TAMAN PERTANIAN NEGERI

SEKAYU, HULU TERENGGANU, TERENGGANU


1.0 Pengalaman
Pada 22 September 2019 hingga 26 September 2019 iaitu pada hari Ahad sehingga Khamis,
Seramai 60 orang guru pelatih bagi Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) daripada
opsyen Sains 2, TESL 2 dan Pendidikan Agama Islam (PAI) telah mengikuti Program Bina
Insan Guru (BIG) Siri 1 peringkat Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail
bertempat di Taman Pertanian Negeri Sekayu, Hulu Terengganu, Terengganu. Program ini
merupakan program yang wajib diikuti oleh setiap guru pelatih yang telah menginjak PISMP
Semester 5 bagi menyelesaikan subjek MPU 3112 (Bina Insan Guru).
Program ini telah berlangsung selama lima hari empat malam. Terdapat pelbagai pengalaman
yang diperolehi saya sepanjang mengikuti program ini dimana setiap tugasan yang diberikan
kepada kami dari segi pengurusan mahupun pelaksanaan segalanya dengan usaha sendiri
sambil dipantau dan diperbetulkan oleh pensyarah-pensyarah. Antara aktiviti yang saya ikuti
sepanjang berada di sana adalah Malaysia Cergas, Kewarganegaraan dan Etiket Sosial,
Pemakanan Sihat, Flying Fox, Rakit, Water Confident, Ikhtiar Hidup/ Kembara, Khidmat
Komuniti dan Interaksi Professional.

2.0 Analisis SWOT


Sepanjang proses perlaksanaan program ini, terdapat pelbagai kekuatan, kelemahan, peluang
dan ancaman yang dihadapi oleh saya sebagai peserta. Kesemua pengalaman ini telah
memberikan saya pengalaman dan banyaj membantu saya dalam membentuk jati diri yang
unggul sebagai bakal guru nanti. Analisis pada kali ini menceritakan kekuatan, kelemahan,
peluang dan ancaman yang dihadapi oleh diri saya sendiri sepanjang perkhemahan BIG ini
dijalankan.
2.1 Kekuatan
Antara kekuatan yang dapat saya kenalpasti adalah saya berpeluang untuk melibatkan diri dan
membantu rakan-rakan lain dalan menguruskan bidang tugas mereka. Oleh kerana saya tidak
diberi apa-apa tugas khusus, saya membantu rakan-rakan saya yang lain dan banyak diberi
tunjuk ajar dari mereka. Contohnya, terdapat guru pelatih yang terseliuh sewaktu bermain bola
sepak di padang serong. Saya membantu memberikan pertolongan awal terhadap dia dan saya
dapat tahu apa yang perlu dibuat melalui panduan pensyarah-pensyarah.
Malah, antara kekuatan lain yang dapat dijelmakan adalah kerjasama antara saya dengan guru
pelatih lain dimana saya sanggup menolong dan menerima apa jua tugasan walaupun diluar
bidang tugas saya. Hal ini kerana saya merasakan setiap tugasan adalah tanggungjawab kita
semua di dalam sebuah komuniti apatah lagi kita sebagai bakal guru yang akan menjadi suri
teladan bagi anak murid kita kelak. Contohnya, saya membantu mencuci alatan, kemas alatan,
memasang kemah.
2.2 Kelemahan
Selain itu, terdapat beberapa kelemahan yang dapat saya perhatikan yang berpunca daripada
diri saya sendiri. Pertama sekali adalah dari segi pengurusan masa. Pada hari kedua iaitu pada
waktu solat subuh, kebanyakan pelajar hadir lambat dan ada yang tidak sempat solat bersama
imam. Selain itu, sewaktu aktiviti Malaysia Cergas juga, hampir kesemua guru pelatih hadir
lambat. Saya di antara yang tiba awal ke program itu, tetapi saya jugak sudah lewat beberapa
minit. Sebagai tanda amaran, saya dan kesemua guru pelatih didenda dengan lompat bintang
dan berlari keliling padang sambal membawa batu. Disebabkan hal ini, saya dan rakan-rakan
lebih menepati masa dan bertanggungjawab kerana jika orang lain yang lambat, semua akan
terkena tempiasnya. Jadi kami sering mengikatkan dan memperingatkan kawan-kawan supaya
bersedia untuk aktiviti seterusnya tepat pada masanya.
Antara kelemahan lain yang dihadapi oleh saya adalah dari segi perlaksanaan aktiviti dimana
saya masih tidak dapat mengurus sendiri kerana tiada kemahiran. Contohnya, dari segi
pemasangan khemah, flying fox, rakit dan ikhtiar hidup jelas menunjukkan tahap kefahaman
saya adalah masih lemah dan perlukan bimbingan. Saya bersyukur kerana sepanjang program
BIG ini para pensyarah tidak lokek dalam memberi tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan.
Malah, banyak pengalaman tambahan yang saya perolehi seperti jenis-jenis herba, kaedah
ikatan dan ubatan tradisional yang tidak diajar sewaktu kuliah di dalam kelas.

2.3 Peluang
Di antara peluang yang diperolehi saya sewaktu program BIG ini termasuklah mampu
mengeratkan hubungan sosial saya dengan guru pelatih dari opsyen lain. Hal ini dapat dilihat
pada kerjasama saya dan rakan-rakan dalam menjayakan setiap slot aktiviti yang disediakan di
dalam program BIG. Contohnya, sewaktu aktiviti rakit dan kembara ikhtiar hidup, saya
ditempatkan dengan beberapa orang guru pelatih dari opsyen PAI dan SAINS 2 dimana saya
yang diketuai oleh pelajar sains 2. Kerjasama yang bagus ditunjukkan dimana saya dan rakan-
rakan Berjaya meraih kedudukan ketiga dalam kedua-dua aktiviti tersebut.
Selain itu, antara peluang lain yang diperolehi oleh saya termasuklah saya dapat belajar
mempercayai ketua saya. Contohnya, aktiviti ‘night walk’ pada malam ketiga program dimana
saya perlu menutup mata dan berjalan di dalam keadaan buta sambal mendengar arahan
daripada Encik Asri. Pada mulanya beliau memberikan arahan kawan kaki. Setelah menerima
beberapa arahan daripada beliau. Kami dikehendaki mencari kumpulan kami kembali dalam
keadaan buta tersebut. Di sinilah ketua kumpulan memainkan peranan dan menolong kami
untuk mencari ahli pasukan kami. Tetapi malangnya terdapat seorang daripada ahli kumpulan
saya yang sesat dan menyertai kumpulan lain sehingga habis program. Seterusnya kami perlu
berjalan mengelilingi kawasan tapak perkhemahan tanpa sebarang bantuan penglihatan.
Berbekalkan arahan daripada ketua kami, kami mendengar arahan dia dan berjaya
menyelesaikan aktiviti tersebut.
Di samping itu, saya juga diberikan peluang dalam mengurus diri dan ikhtiar diri apabila
menghadapi kesulitan. Sepanjang saya menjalani aktiviti kembara dan ikhtiar hidup. Saya diajar
kaedah ikhtiar hidupapabila berapa di hutan seperti kaedah menyalakan unggun api,
memasang khemah, sentri dan memasak secara tradisional iaitu dengan menggunakan kayu
api. Aktiviti ini memberi peluang kepada saya merasai pengalaman guru-guru yang mengajar di
pedalaman disamping mempersiapkan diri saya sendiri andai ditempatkan di Kawasan
pedalaman kelak.

2.4 Ancaman
Antara ancaman yang dihadapi saya adalah dari segi cuaca dimana hujan sentiasa turun
menyebabkan beberapa aktiviti sedikit terganggu. Contohnya, sewaktu kembara, awan yang
mendung menggesa kami mendirikan khemah secepat mungkin. Malah, sewaktu di kem juga,
kami terpaksa berhenti beraktiviti seketika dan berlari ke ampaian untuk mengangkat kain
kerana hujan turun secara tiba-tiba. Di samping itu, ketika kami perlu memasak selepas berakit,
hujan turun dengan lebatnya dan menyukarkan kami untuk memasak juadah tengah hari.
Hasilnya, terdapat beberapa kumpulan yang tidak berjaya memasak juadah yang diberikan
dengan jayanya

3.0 Rumusan/Kesimpulan
Kesimpulannya, terdapat pelbagai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dihadapi
oleh saya sepanjang program BIG di Kem Pertanian Sekayu ini. Namun, itu semua merupakan
pengorak langkah bagi saya untuk terus maju ke hadapan sebagai pendidik yang berwibawa
serta mampu menempuh ranjau kepayahan demi mendidik generasi baru yang bakal
menggegar arena globalisasi serta mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan
negara-negara lain. Saya juga berharap segala pengalaman ini dapat digunakan oleh saya dan
rakan-rakan saya sebaik mungkin apabila menempuh alam pendidikan kelak. Ribuan
penghargaan diucapkan kepada semua Pensyarah Unit Kokurikulum (GERKO) atas bimbingan
dan tunjuk ajar yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan sepanjang menjalankan program
ini. Sekian, terima kasih.

Disediakan oleh,

………………………………….
(MUHAMAD FARIS AFIQ BIN FOIZI)
Siswa Guru Pelatih PISMP Sains 2 Semester 5,
Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail.

Anda mungkin juga menyukai