Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI KENDIRI

D20122062097

Hampir empat tahun usia diri ini berada di bumi Mualim yang melahirkan ribuan ilmuan dan
para pendidik demi mendidik diri menjadi seorang yang berilmu dan professional dalam
mendidik generasi alaf baru suatu ketika nanti dengan izin yang maha esa. Pelbagai suka duka
dan cabaran yang telah saya lalui sepanjang menuntut ilmu di Universiti Pendidikan Sultan Idris
selama tujuh semester dan satu semester menjalani latihan mengajar yang telah membuka
mata, hati dan minda saya. Selain itu, setiap persoalan yang bermain-main dibenak saya
selama ini turut terjawab berkenaan kewajaran setiap subjek, tugasan dan kepentingan
penglibatan dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan semasa di UPSI samada teori mahupun amali
semasa saya menjalani latihan mengajar yang mana saya berhadapan dengan dunia perguruan
dan pendidikan yang sebenar.
1. Tugasan kumpulan
Suatu ketika saya pernah mempersoalkan mengapa tugasan-tugasan di universiti ini
kebanyakkannya perlu dilakukan secara berkumpulan berbeza dengan cara
pembelajaran semasa saya belajar di politeknik dahulu. Hal ini kerana pada pandangan
saya lebih mudah kiranya setiap tugasan dilakukan sendirian yang mana saya boleh
lakukan tugasan tersebut pada bila-bila masa yang saya mahu tanpa perlu menunggu
rakan lain untuk membuat perbincangan, mencari bahan yang adakalanya terjadi wujud
pertelingkahan disebabkan percanggahan pendapatan atau kerana masing-masing
mempunyai komitmen tersendiri.
Namun, segalanya telah terjawab apabila saya masuk ke dunia perguruan
semasa menjalani latihan mengajar yang mana semasa berada disekolah dengan
jawatan sebagai seorang guru, setiap program yang diadakan disekolah guru perlu
memikul tanggungjawab sebagai salah seorang ahli jawatankuasa. Setiap tugasan
yang dilaksanakan tidak dibebankan dengan melakukan segalanya sendirian kerana
setiap jawatankuasa yang ada akan diwakili lebih dari dua orang bagi melakasanakan
sesuatu tugasan bagi memudahkan proses perlaksanaan program, mencari idea dan
bantu membantu antara satu sama lain bagi memastikan tugasan yang diamanahkan
dapat dilaksana dengan sempurna meskipun setiap guru mempunyai komitmen
tersendiri kerana rata-ratanya guru-guru telah berkeluarga.
Misalnya seperti program Anugerah Cemerlang, saya telah ditugaskan bersamasama lima orang guru senior yang lain sebagai jawatan kuasa tempat setelah program
berlangsung. Meskipun hampir semua guru-guru lain telah pulang, namun atas nama
tangungjawab dan tugas bersama kami meneruskan tugas bersama-sama melakukan
kerja-kerja mengemas tempat dengan bantuan pekerja sekolah yang lain dan para
pelajar. Hal ini dapat membuktikan bahawa kerja secara berkumpulan dan komunikasi
yang baik antara ahli kumpulan dengan orang-orang disekeliling amat penting bagi
memastikan segala kerja yang dilaksana dapat dilakukan dengan sempurna.
2. Pengajaran Mikro dan Makro
Pengajaran mikro dan makro semasa di semester 6? Perlukah kita belajar untuk
mengajar? Nanti masuk kelas mengajar sajalah. Ini adalah antara kata-kata yang
sering saya dengar dan turut merasuk minda saya suatu ketika dahulu tetapi saya sedar
ia penting semasa saya mula diberikan tugasan oleh pensyarah untuk mengajar yang
mana saya perlu membuat persediaan dari segi mental dan fizikal. Persediaan ini
merangkumi rancangan pengajaran, bahan bantu mengajar, pengetahuan meluas
tentang tajuk yang dipelajari dan isu semasa, cara mengawal emosi dan keberanian

KPR 3012 SEMINAR REFLEKSI LATIHAN MENGAJAR

REFLEKSI KENDIRI

D20122062097

berhadapan dengan individu bergelar pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang
dan karaktor. Kelas ini mengajar saya untuk menyiapkan diri menjadi guru dan
bertangungjawab ke atas pelajar-pelajar saya. Selain itu, bahan bantu mengajar yang
telah ditegaskan oleh para pensyarah untuk disediakan untuk memudahkan proses
pengajaran dan menjadikan pelajar lebih bersemangat dan tertarik turut saya sediakan
sebaik mungkin setiap kali kelas yang kebanyakkannya digunakan pula oleh guru-guru
di sekolah tersebut. Mereka kagum dengan usaha yang saya lakukan dan turut
memberikan cadangan penambahbaikkan ke atas bahan-bahan yang telah saya
sediakan tersebut. Setiap komen yang diberikan saya ambil dan hadamkan secara
positif demi memperbaiki kualiti bahan-bahan pengajaran yang saya sediakan untuk
para pelajar seperti saiz tulisan, warna dan sesuaian tempoh masa suapaya ia menjadi
lebih efisyen.
3. Kelab/permainan
Semasa di semester satu kami diwajibkan untuk terlibat di dalam kelab/permainan
olahraga. Penat dan mengeluh itu satu kewajipan dalam diari hidup saya pada setiap
hari Rabu menjelma hingga berdoa agar setiap Rabu hujan kerana tidak mahu ke kelas
olahraga di padang besar KSAJ . Perasaan paksa rela wujud untuk semasa
melakukan setiap aktivti olahraga ini pada permulaannya bertukar menjadi bersemangat
dan gembira apabila hampir semua aktiviti olahraga yang dipelajari dapat saya lakukan
dengan baik kerana saya faham tentang peraturan dan tahu kaedah sesuatu permainan
tersebut. Syukur kehadrat Ilahi saya belajar semua ini kerana tanpa diduga semasa
menjalani latihan mengajar saya ditugaskan untuk melatih para pelajar kelab/permainan
Olahraga. Saya dapat memberikan tunjuk ajar kepada para pelajar dengan baik
mengikut fasa-fasa dengan bantuan dari guru-guru pendidikan jasmani yang tidak lokek
ilmu.
Mengikuti kelas Kecergasan dan Kesejahteraan Hidup pada semester 4 pula
saya banyak mempelajari cara pemakanan yang terbaik dan senaman-senaman
seharian berdasarkan berat badan seseorang individu yang boleh dilakukan untuk
menjadikan diri kita cergas dan bersemangat setiap hari seperti zumba dan senam
robik. Hasil dari mengikuti kelas ini pada setiap minggu dengan pelbagai aktiviti yang
dirancang oleh pelajar sendiri saya dapat mengurangkan berat badan sebanyak 10kg
dalam masa empat bulan. Gembira yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Bermula dari situ saya teruskan hidup seharian dengan diet yang betul dan senaman
sekurang-kurangnya seminggu sekali. Impak positif ini turut saya war-warkan kepada
pelajar-pelajar saya semasa diberikan tugasan untuk menjadi instruktor semasa aktiviti
senaman pagi Program Perkhemahan Perdana pada 28 hingga 30 Mei lalu. Sebagai
seorang guru, kita menjadi role model kepada para pelajar. Berpegang kepada prinsip
itulah saya bertekad untuk mengubah diri saya menjadi seorang individu yang berdisiplin
dan tidak membenarkan nafsu mengawal minda saya dari segi pemakanan dan sifat
malas serta mencari alasan.
4. Ahli Jawatankuasa
Sepanjang berada di universiti saya amat gemar mengikut sebarang program yang
dianjurkan oleh mana-mana persatuan yang menganjurkannya.
Keseronokkan
menyertai aktiviti-aktiviti inilah telah mencetuskan semangat kepada saya untuk

KPR 3012 SEMINAR REFLEKSI LATIHAN MENGAJAR

REFLEKSI KENDIRI

D20122062097

mencuba menjadi salah seorang dari kalangan penganjur (ahli jawatankuasa). Bermula
dari situ saya mula bergiat aktif dalam Persatuan Kemahiran Hidup sebagai AJK
Kesenian dan Kebudayaan dan Timbalan Yang Dipertua HADARI selama dua sidang
berturut-turut. Banyak pengalaman suka duka perit jerih saya rasai dan lalui sepanjang
menggalas tangungjawab tersebut yang mana barulah saya tahu terlalu banyak
perbezaan peranan sebagai peserta dan penganjur.
Saya pernah menjadi pengarah program bagi dua program HADARI iaitu Hari
Interaksi dan Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra bersama TPM. Bukan mudah
menjadi pengarah program yang bertindak untuk merancang dan memastikan setiap
anak buah melaksanakan tugasan sebaik mungkin bagi memastikan perjalanan program
lancar dan menepati objektif yang disasarkan. Meskipun banyak kekurangan yang telah
dapat saya kenal pasti melalui peranan saya sebagai pengarah program hingga menitis
air mata namun ia bukan pengakhiran malah menjadi permulaan dan kekuatan saya
untuk terus maju masa akan datang. Pengalaman dan cabaran tersebut tidak mungkin
dapat saya peroleh dimana-mana jika tidak direbut sekarang. Jika berkesempatan
dikemudian hari untuk menjadi pengarah program, saya akan berusaha untuk membuat
perancangan program dan skop kerja ahli jawatankuasa dengan lebih teliti dan terperinci
serta arahan yang jelas supaya setiap mereka dapat melaksanakan tugas dengan lebih
mudah dan tidak terawang-awang. Sikap mesra dan professional tanpa menunjukkan
riak tidak senang atau terbawa-bawa dengan masalah lain perlu saya atasi bagi
memastikan setiap ahli jawatankuasa selesa bekerja. Hal ini mencerminkan nilai
professional seseorang individu dalam mengawal emosi terutamanya sebagai seorang
guru yang sentiasa perlu menunjukkan imej dan sikap tenang dihadapan anak didik
meskipun mempunyai masalah lain.
5. Sukarelawan Banjir
Bencana alam terburuk yang pernah melanda Negara pada penghujung tahun 2014
memberikan kesan yang mendalam pada hati saya. Kemusnahan tempat tinggal,
bangunan-bangunan seperti sekolah, klinik dan kedai dapat saya lihat sendiri apabila
saya telah mendaftarkan diri sebagai salah seorang daripada ahli sukarelawan banjir
2015 tersebut. Menitis air mata saya apabila dapat mendekati mangsa-mangsa banjir
ini dan mendengar luahan dan cerita mereka yang terperangkap dalam keadaan banjir
tersebut dengan bekalan makanan yang tidak mencukupi, bekalan air bersih yang
sangat teruk dan kemusnahan rumah yang menjadi tempat mereka berlindung.
Sepanjang berada di Kelantan saya membantu melakukan kerja pembersihan bangunan
Kolej Vokasional Kuala Krai bersama-sama anggota Jabatan Pertahanan Awam dari
negeri Kedah. Segala kerja dilakukan secara bekerjasama tanpa mengeluh. Melalui
aktiviti ini banyak pengisian yang dapat saya perolehi seperti sikap bersyukur, ihsan,
sedar akan kekuasaan Allah dan sentiasa bermotivasi supaya kita mampu memberi
kata-kata positif dan menenangkan mereka yang sedang berduka atau ditimpa masalah.
Berdasarkan pengalaman liku-liku kehidupan saya bergelar pelajar di universiti yang telah saya
coretkan ini sangat mendidik jiwa saya untuk menjadi guru professional pada masa akan
datang. Jika kita merasa diri kita serba kekurangan sebenarnya ada lagi insan yang lebih daif
dari kita. Allah menguji kita setara dengan kemampuan diri kita dan kita sebagai hambanya
perlu sabar dan redha dengan segala ketentuannya. Namun apa yang penting adalah bersikap
positif dan sentiasa membaiki diri menjadi lebih baik suapay dapat menjadi contoh terbaik buat
anak didik pada masa akan datang.

KPR 3012 SEMINAR REFLEKSI LATIHAN MENGAJAR

Anda mungkin juga menyukai