Anda di halaman 1dari 4

REFLEKSI UMUM BIG Program Bina Insan Guru merupakan satu program yang memberi banyak pengalaman dan

ilmu yang berguna kepada saya. Saya berasa sangat bersyukur dan gembira kerana berpeluang mengikuti progam ini selama 4 hari 3 malam di PULAKO IPG Kampus Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Segala pengalaman yang saya peroleh ini sangat berguna dalam kehidupan seharian saya terutama semasa bergelar seorang guru kelak. Program ini mendedahkan saya kepada alam perkhemahan. Hal ini demikian kerana dalam program ini kami sendiri yang mengatur dan merancangkan segala persiapan perkhemahan. Bermula daripada pemilihan ahli jawatankuasa sehingga kepada hal-hal yang lebih rumit lagi, semuanya diatur oleh para pelatih sendiri. Ini sangat penting sebagai latihan untuk saya sekiranya ingin membawa pelajar-pelajar saya untuk mengadakan perkhemahan kelak. Saya juga mendapat ilmu untuk mendirikan khemah di tapak perkhemahan yang sesuai supaya khemah dapat berdiri kukuh. Tanpa pengalaman seperti ini, kita pasti akan kelam kabut untuk menguruskan perkhemahan semasa di sekolah nanti. Perkhemahan BIG ini mengajar saya cara menguruskan diri supaya bergerak dengan lebih pantas dan efisien. Dengan keadaan cuaca yang sering hujan, aktiviti sukar untuk dilaksanakan. Pada hari ketiga, khemah untuk kami tidur juga turut dibanjiri air. Kami langsung tidak dapat tidur di dalam khemah sendiri. Terdapat khemah kumpulan lain yang terbalik dan dimasuki air. Jadi, saya berusaha untuk menolong rakan-rakan saya yang lain untuk menyelamatkan barang-barang yang terdapat di dalam khemah bagi mengelakkan daripada terkena air. Kami telah mengambil ikhtiar untuk meminta kebenaran daripada pihak pengurusan untuk tidur di dewan terbuka. Akhirnya kami dibenarkan untuk tidur di sana. Dalam keadaan terbuka, pengurusan diri semasa tidur adalah sangat penting. Dengan pengurusan masa yang agak terhad, saya belajar bagaimana menguruskan diri saya sendiri. Contohnya, menguruskan masa untuk membersihkan diri (mandi) sendiri tanpa memberi bebanan atau gangguan kepada orang lain. Maksudnya, tidak

mementingkan diri sendiri dengan membiarkan orang lain sahaja menguruskan tugasan kumpulan sedangkan saya bersenang lenang mandi.

Melalui program ini juga, saya telah belajar untuk menepati masa. Setiap aktiviti yang dijalankan memerlukan kami untuk bersiap sedia 10 minit lebih awal. Menepati masa adalah sangat penting bagi memastikan setiap aktiviti yang dilaksanakan berlangsung dengan lancar. Saya belajar untuk menguruskan masa dengan baik. Saya belajar untuk melaksanakan sesuatu tugasan seperti yang telah ditetapkan dalam jadual. Selama ini, saya selalu membuat jadual namun tidak mengikutinya. Semasa BIG ini, saya dapati sebenarnya tidak sukar untuk melakukan sesuatu dalam masa yang telah ditetapkan. Apa yang saya tahu, yang paling penting adalah azam dan pembahagian tugas. Misalnya, kami telah diberi masa dari pukul 0600-0800 untuk berehat, membersihkan diri, memasak dan makan. Jika kita tidak berazam untuk melakukan semuanya dalam masa 2 jam yang diberikan, kita tidak akan ada cukup masa. Namun sekiranya kita tidak dapat membahagikan tugas-tugas antara ahli kumpulan dengan baik, kita juga tidak mungkin dapat

menyelaesaikan tugasan tadi dalam masa 2 jam tersebut. Selain itu, saya belajar cara untuk bekerjasama dalam satu kumpulan. Segala cabaran, halangan atau kenangan manis dan pahit yang dikongsi bersama mengajar pelbagai nilai yang amat berguna. Nilai yang paling ketara ialah semangat setiakawan dan kerjasama. Nilai ini dapat saya hayati semasa pembahagian alatan di maktab lagi. Semua ahli kumpulan bekerjasama untuk mendapatkan alatan yang mencukupi. Kemudian semasa memunggah barangan dari bas ke dalam kem,

semuanya berjaya dilakukan kerana kerjasama yang kukuh antara pelatih. Selain itu, saya dapat melihat nilai toleransi dan persefakatan berlaku dalam kumpulan kecil mahupun besar. Secara tidak langsung, apabila berada dalam lingkungan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai sedemikian, kita juga akan belajar untuk mengamalkan nilai yang sama. Dalam satu kumpulan, jika tiada kesefakatan dan toleransi, maka semua -tugas akan menjadi berat. Ini kerana semua orang bersikap mementingkan diri sahaja dan tidak mahu berkorban untuk melakukan sesuatu. Sikap inilah yang akan merosakkan sesuatu kumpulan itu. Dalam kehidupan sebagai seorang guru, kita haruslah bekerjasama, bertoleransi dan mempunyai persefakatan yang baik dengan semua orang di sekeliling kita supaya tugas kita mendidik pelajarpelajar kita menjadi mudah.

Semasa memasuki hutan saya belajar satu perkara yang cukup berguna. Saya melihat pelbagai jenis flora dan fauna yang terdapat dalam hutan tersebut sebagai sikap manusia yang bakal saya hadapi kelak. Saya melalui banyak jenis jalan seperti jalan rata, berduri, curam, berbatu-batu, berair-air dan sebagainya. Ini ibarat kehidupan seorang guru yang kadang-kadang gembira, sedih, mencabar, sukar, dipenuhi air mata dan sebagainya. Namun, ianya mesti ditempuhi juga demi anak bangsa. Begitu juga dengan seorang guru dan anak murid yang cukup nakal. Jika guru tersebut berterusan membimbing dan menasihati murid itu, lama kelamaan murid itu akan berubah seperti batu yang keras itu. Apabila mengajar kelak, sikap sebegini patutlah ada dalam diri seorang guru. Aktiviti memasak di dalam hutan memberi saya pengalaman yang bermakna. Tidak semestinya seseorang itu tahu dalam memasak, dia akan tahu untuk menghidupkan api menggunakan kayu. Jadi, kita mestilah bertanya tentang perkara yang kita tidak tahu dan berkongsi ilmu yang ada pada kita. Orang yang tidak mahu bertanya adalah orang yang rugi. Saya juga mempelajari nilai kepercayaan kepada ketua. Ketua dilantik untuk mengetuai ahlinya. Namun tanpa kepercayaan dan kesefahaman daripada ahli-ahli di bawahnya, ketua tersebut tidak akan berjaya melaksanakan tugasnya sebagi seorang ketua. Semasa kami berada di dalam hutan, kami telah tersesat kerana tersilap mengira darjah kompas. Namun begitu, kami tidak mempersalahkan ketua kami sebaliknya mempercayai kebolehannya. Sekiranya kami mula

mempersalahkannya dan tidak mempercayainya pada masa itu, saya rasa kumpulan kami akan tidak bersefahaman dan mengalami masalah yang lebih teruk lagi. Kepercayaan kami telah mengembalikankan semangatnya untuk memimpin kumpulan kami untuk mencari jalan untuk pulang semula ke kem. Kerjasama daripada semua ahli sangat penting. Tambahan lagi, saya belajar untuk yakin kepada kebolehan diri sendiri dan jangan mudah mengalah. Ini saya pelajari semasa kami mengikuti aktiviti water confidence dan berkayak. Pada mulanya, saya kurang yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk berenang di dalam air tetapi dengan semangat yang diberikan oleh pensyarah, saya dapat mengapungkan diri saya dengan tenang. Aktiviti kayak pula mengajar saya untuk berkomunikasi secara baik dengan rakan. Jika saya dan rakan saya tidak sehaluan, kami tidak dapat berkayak dengan baik. Air yang sedang pasang ketika itu menguji kesabaran kami agar tetap berkayak untuk menuju ke

destinasi yang ditetapkan. Barulah saya sedar bahawa keyakinan diri adalah sangat penting untuk mencapai sesuatu matlamat. Saya menganalogikan air yang pasang tersebut sebagai pelajar yang degil. Namun, dengan usaha yang gigih dan keyakinan pada kebolehan kita, maka kita tetap akan dapat mengatasi kedegilan mereka itu. Saya juga telah mempelajari sikap yang sentiasa ingin mencari ilmu sepanjang saya berada di kem BIG. Semua benda yang berada di sekeliling kita merupakan guru yang sentiasa memberi pelbagai ilmu kepada kita. Namun semua ilmu itu tidak akan datang dengan petikan jari sahaja. Jadi tanggungjawab kita

adalah mencari dan mengggali ilmu-ilmu tersebut. Ilmu sangat penting untuk menghadapi apa jua rintangan yang tidak dapat kita duga. Manusia tanpa ilmu merupakan manusia yang paling malang dan miskin dalam dunia ini. Dalam kehidupan seorang guru, ilmu didada haruslah mencukupi. Ilmu yang harus ada pada seorang guru bukan sahaja dari segi intelek, malah dari semua segi kehidupan ini. Ini kerana guru dijadikan tempat rujukan dan mendapatkan apa jua maklumat. Maka, kita haruslah terus mencari ilmu-ilmu yang baru untuk memantapkan ilmu yang sudah kita dapat. Sesungguhnya, Program BIG ini banyak memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki dan menilai diri saya sendiri. Disebalik semua keseronokan dan kesedihan yang saya hadapi, saya dapat melakukan refleksi terhadap diri saya sendiri dan mengenalpasti kekurangan yang ada pada diri saya. Semua aktiviti yang dijalankan mengajar saya banyak nilai dan input yang berguna untuk memperbaiki kekurangan diri saya. Pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang melatih diri saya untuk menjadi seorang pendidik yang berjiwa kental, tidak mudah mengalah dan lasak. Secara keseluruhannya, program BIG ini berjalan dengan jayanya dan telah mencapai objektif yang dihasratkan. Program ini seharusnya diteruskan untuk generasi yang akan datang agar insan guru yang cemerlang dari semua aspek dapat dibentuk. Program ini juga dapat membina daya kepimpinan dan memupuk sikap bertanggungjawab, berfikiran kritis dan kreatif serta menghayati misi dan visi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Program Bina Insan Guru Insan ini dapat membina insan guru yang berakhlak mulia, bersemangat juang yang tinggi, mempunyai ketahanan fizikal mental , rohani dan bermanfaat kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara selaras dengan nilai-nilai keguruan.

Anda mungkin juga menyukai