Anda di halaman 1dari 6

REFLEKSI

Nama : Muhammad Afham Bin Bidin Unit : Sains/Bi/Bm 1 No. Matrik : 123997

Pada tanggal 22 Mac 2011 hingga 25 Mac 2011 bermulalah satu pengembaran unit sains 1 dimana kami semua telah melalui program Bina Insan Guru yang diadakan di Pusat Rekreasi Sekayu,Kuala Berang, Terengganu. Program ini diadakan selama 4 hari 3 malam. Seramai 93 orang guru pelatih Institut Pendidikan Guru Kampus Dato` Razali Ismail telah berjaya menamatkan program tersebut. Program tersebut merupakan kredit yang terkumpul untuk program ijazah sarjana muda di institut ini. Program ini merupakan satu program yang memberi banyak pengalaman dan input yang berguna kepada saya. Saya berasa sangat bersyukur dan gembira kerana berpeluang mengikuti progam ini. Segala input yang saya dapat ini sangat berguna dalam kehidupan seharian saya terutama semasa bergelar seorang pendidik kelak. Pertama sekali, program ini mendedahkan saya kepada kehidupan bermasyarakat. Ini kerana dalam program ini kami sendiri yang mengatur dan merancangkan segala persiapan untuk menjalankan aktiviti gotong-royong . Daripada pemilihan ahli jawatankuasa sehingga kepada hal-hal yang lebih rumit lagi, semuanya diatur oleh kami sekelas. Ini sangat penting sebagai latihan untuk saya sekiranya ingin membawa pelajar-pelajar saya untuk mengadakan aktiviti bermasyarakat kelak. Tanpa pengalaman seperti ini, kita pasti akan kelam kabut untuk menguruskan bermacam-macam program semasa di sekolah nanti. Yang kedua, perkhemahan BIG ini mengajar saya cara menguruskan diri dalam keadaan suntuk dan tidak selesa. Dengan keadaan cuaca yang sering hujan, aktiviti sukar untuk dilaksanakan. Khemah memasak kumpulan saya dimasuki air. Namun, berkat kerjasama ahli kumpulan, kami berjaya mengatasi masalah tersebut. Kami menggali parit di sekeliling khemah memasak tersebut bagi membenarkan air

mengalir keluar dari khemah kami. Saya berasa gembira kerana dalam situasi genting seperti ini, kumpulan saya masih berusaha melakukan sesuatu untuk menguruskan masalah yang kami hadapi. Khemah untuk kami tidur juga turut dibanjiri air. Pada malam pertama dan kedua, kami langsung tidak dapat tidur di dalam khemah sendiri. Kami telah mengambil ikhtiar untuk meminta kebenaran daripada pihak pengurusan untuk idur di atas pentas Jungle Hall. Akhirnya kami dibenarkan untuk tidur di sana. Dalam keadaan terbuka, pengurusan diri semasa tidur adalah sangat penting. Dengan pengurusan masa yang agak terhad, saya belajar bagaimana menguruskan diri saya sendiri. Contohnya, menguruskan masa untuk membersihkan diri (mandi) sendiri tanpa memberi bebanan atau gangguan kepada orang lain. Maksudnya, tidak mementingkan diri sendiri dengan membiarkan orang lain sahaja menguruskan tugasan kumpulan sedangkan saya bersenang lenang mandi.

Yang ketiga, saya belajar untuk menguruskan masa dengan baik. Saya belajar untuk melaksanakan sesuatu tugasan seperti yang telah ditetapkan dalam jadual. Selama ini, saya selalu membuat jadual namun tidak mengikutinya. Semasa BIG ini, saya dapati sebenarnya tidak sukar untuk melakukan sesuatu dalam masa yang telah ditetapkan. Apa yang saya tahu, yang paling penting adalah azam dan pembahagian tugas. Misalnya, kami telah diberi masa dari pukul 0600-0800 untuk berehat, membersihkan diri, memasak dan makan. Jika kita tidak berazam untuk melakukan semuanya dalam masa 2 jam yang diberikan, kita tidak akan ada cukup masa. Namun sekiranya kita tidak dapat membahagikan tugas-tugas antara ahli kumpulan dengan baik, kita juga tidak mungkin dapat menyelaesaikan tugasan tadi dalam masa 2 jam tersebut.

Keempat, saya belajar bagaimana kehidupan dalam satu kumpulan. Segala cabaran, halangan atau kenangan manis dan pahit yang dikongsi bersama mengajar pelbagai nilai yang amat berguna. Nilai yang paling ketara ialah semangat setiakawan dan kerjasama. Nilai ini dapat saya hayati semasa pembahagian alatan di maktab lagi. Semua ahli kumpulan bekerjasama untuk mendapatkan alatan yang mencukupi. Kemudian semasa memunggah barangan dari bes ke dalam kem,

semuanya berjaya dilakukan kerana kerjasama yang kukuh antara pelatih. Selain itu, saya dapat melihat nilai toleransi dan persefakatan berlaku dalam kumpulan kecil mahupun besar. Secara tidak langsung, apabila berada dalam lingkungan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai sedemikian, kita juga akan belajar untuk mengamalkan nilai yang sama. Dalam satu kumpulan, jika tiada kesefakatan dan toleransi, maka semua -tugas akan menjadi berat. Ini kerana semua orang bersikap mementingkan diri sahaja dan tidak mahu berkorban untuk melakukan sesuatu. Sikap inilah yang akan merosakkan sesuatu kumpulan itu. Dalam kehidupan sebagai seorang guru, kita haruslah bekerjasama, bertoleransi dan mempunyai persefakatan yang baik dengan semua orang di sekeliling kita supaya tugas kita mendidik pelajarpelajar kita menjadi mudah.

Kelima, saya turut belajar sesuatu daripada Encik Roseli iaitu kita harus berbeza daripada orang lain. Berbeza maksudnya mempunyai identiti yang tidak ada pada orang lain. Sebagai seorang guru, kita harus melakukan kelainan semasa mengajar untuk meningkatkan kefahaman pelajar kita. Selain itu, ini dapat mengelakkan kebosanan. Jangan selalu bergantung kepada idea orang lain sahaja, tetapi mencuba sesuatu yang baharu. Untuk menjadi seorang guru yang disukai pelajarnya, sikap kreatif haruslah ada bagi mewujudkan kelainan.

Keenam, semasa memasuki hutan saya belajar satu analogi yang cukup berguna. Saya melambangkan pelbagai jenis flora dan fauna yang terdapat dalam hutan tersebut sebagai sikap manusia yang bakal saya hadapi kelak. Saya melalui banyak jenis jalan seperti jalan rata, berduri, curam, berbatu-batu, berair-air dan sebagainya. Ini ibarat kehidupan seorang guru yang kadang-kadang gembira, sedih, mencabar, sukar, dipenuhi air mata dan sebagainya. Namun, ianya mesti ditempuhi juga demi anak bangsa. Apabila tiba di satu air terjun, saya terlihat sebuah batu. Pada bahagian tengah batu itu terdapat satu lekukan, tempat air terjatuh. Saya mula berfikir betapa kerasnya batu tersebut namun akhirnya dapat dilekukkan oleh aliran air yang berterusan menimpanya. Begitu juga dengan seorang guru dan anak murid yang cukup nakal. Jika guru tersebut berterusan membimbing dan menasihati murid

itu, lama kelamaan murid itu akan berubah seperti batu yang keras itu. Apabila mengajar kelak, sikap sebegini patutlah ada dalam diri seorang guru. Saya juga belajar satu analogi lagi daripada batuan di air terjun yang kami jumpai. Batu-batuan tersebut sangat cantik jika dilihat dengan mata namun menjadi sangat berbahaya kerana ia licin. Dalam kehidupan ini, sesuatu yang cantik tidak semestinya baik. Kita haruslah berhati-hati dalam menilai dan membuat keputusan. Jangan menilai kecantikan luaran, tetapi nilailah juga kecantikan dalaman. Sebagai seorang guru, kita jangan menilai seseorang pelajar kita berdasarkan kecantikan, taraf hidup atau kepandaian mereka.

Ketujuh, saya mempelajari nilai kepercayaan kepada ketua. Ketua dilantik untuk mengetuai ahlinya. Namun tanpa kepercayaan dan kesefahaman daripada ahli-ahli di bawahnya, ketua tersebut tidak akan berjaya melaksanakan tugasnya sebagai seorang ketua. Semasa kami berada di dalam hutan, kami telah tersesat. Namun begitu, kami tidak mempersalahkan ketua kami sebaliknya mempercayai kebolehannya. Sekiranya kami mula mempersalahkannya dan tidak mempercayainya pada masa itu, saya rasa kumpulan kami akan tidak bersefahaman dan mengalami masalah yang lebih teruk lagi. Kepercayaan kami telah mengembalikankan semangatnya untuk memimpin kumpulan kami untuk mencari jalan keluar.

Kelapan,semasa kumpulan saya menyiapkan logo kumpulan kami, seorang fasilitator berkali-kali mengatakan bila lagi logo tersebut akan siap kerana kami belum lagi menulis atau melukis apa-apa pada kain putih yang diberikan, sedangkan masa dah lewat malam. Saya menganalogikan kain putih tersebut sebagai pelajar. Ahli kumpulan kami merupakan guru-guru yang bakal membentuk pelajar tersebut. Apa sahaja yang akan kami conteng pada kain tersebut, ibarat apa yang akan kami berikan kepada pelajar kami. Jika kami dapat menyiapkannya, maka berjayalah kami mencorakkan pelajar kami.

Kesembilan, saya belajar untuk yakin kepada kebolehan diri sendiri dan jangan mudah mengalah. Ini saya pelajari semasa kami mengikuti aktiviti berkayak. Pada mulanya, saya kurang yakin dengan kebolehan diri sendiri setelah melihat kayak rakan-rakan karam dipukul ombak. Namun, saya tidak mudah mengalah dan telah mencuba sebanyak 5 kali sebelum berjaya. Setelah berjaya, barulah saya sedar bahawa keyakinan diri adalah sangat penting untuk mencapai sesuatu matlamat. Saya menganalogikan ombak tersebut sebagai pelajar yang degil. Namun, dengan usaha yang gigih dan keyakinan pada kebolehan kita, maka kita tetap akan dapat mengatasi kedegilan mereka itu.

Kesepuluh,apa yang dapat saya pelajari melalui BIG ini adalah sikap yang sentiasa ingin mencari ilmu. Semua benda yang berada di sekeliling kita merupakan guru yang sentiasa memberi pelbagai ilmu kepada kita. Namun semua ilmu itu tidak akan datang dengan petikan jari sahaja. Jadi tanggungjawab kita adalah mencari dan mengggali ilmu-ilmu tersebut. Ilmu sangat penting untuk menghadapi apa jua rintangan yang tidak dapat kita duga. Manusia tanpa ilmu merupakan manusia yang paling malang dan miskin dalam dunia ini. Dalam kehidupan seorang guru, ilmu didada haruslah mencukupi. Ilmu yang harus ada pada seorang guru bukan sahaja dari segi intelek, malah dari semua segi kehidupan ini. Ini kerana guru dijadikan tempat rujukan dan mendapatkan apa jua maklumat. Maka, kita haruslah terus mencari ilmu-ilmu yang baru untuk memantapkan ilmu yang sudah kita dapat.

Sesungguhnya, Program BIG ini banyak memberi peluang kepada saya untuk memperbaiki dan menilai diri saya sendiri. Disebalik semua keseronokan dan kesedihan yang saya hadapi, saya dapat melakukan refleksi terhadap diri saya sendiri dan mengenalpasti kekurangan yang ada pada diri saya. Semua aktiviti yang dijalankan mengajar saya banyak nilai dan input yang berguna untuk memperbaiki kekurangan diri saya. Selain itu, pengalaman ini merupakan satu pengalaman yang melatih diri saya untuk menjadi seorang pendidik yang berjiwa kental, tidak mudah mengalah dan lasak.

Anda mungkin juga menyukai