Anda di halaman 1dari 6

REFLEKSI BINA INSAN GURU (BIG) FASA VI : LAWATAN PENANDA ARAS GURU INOVATIf

Program Bina Insan Guru (BIG) adalah program yang dapat membantu guru-guru pelatih guru dalam pembentukkan diri yang lebih positif bukan sahaja daripada aspek rohani semata-mata, malah ianya juga turut menyumbang kepada pembentukkan mental dan fizikal yang lebih kental dan mantap dalam mengharugi pelbagai cabaran pada masa akan datang. Program yang bukan hanya membantu dalam pembentukkan insaniah individu guru, malah turut membantu dalam meningkatkan pengetahuan bakal guru dalam pengurusan-pengurusan di sekolah serta turut menyumbang dalam peningkatan kemahiran pengajaran. Oleh itu, satu lawatan penanda aras selama sehari telah dijalankan pada 11 Julai 2013 ke sebuah sekolah yang mempunyai seorang guru cemerlang bagi subjek major, iaitu Bahasa Melayu. Sekolah Kebangsaan Desa Murni yang terletak di Butterworth, Pulau Pinang telah menjadi pilihan kerana pihak sekolah telah memberikan kerjasama kepada pihak kami dan mengalu-alukan kedatangan kami, terutamanya Cikgu Nurhasmiza bt Md Nor, selaku guru cemerlang bahasa melayu di sekolah tersebut. Sekolah yang menjadi pilihan kumpulan Tahun 3 Pengajian Melayu bagi merealisasikan matlamat program BIG Fasa VI yang mana pelaksanaan lawatan selama 7 jam dalam masa sehari ini bertujuan untuk memberi peluang kepada guruguru pelatih melihat, mendengar, dan menyaksikan sendiri cara dan kaedah seorang guru cemerlang disamping berkongsi pengalaman yang dimiliki olehnya bagi menyuntikm semangat profesionalisme keguruan dalam diri setiap guru pelatih. Sepanjang interaksi dan perkongsian ilmu bersama cikgu Nurhasmiza bt Md Nor atau lebih senang dikenali dengan panggilan Kak Mieja, merupakan seorang guru yang komited terhadap tugas dan amanah yang didukung olehnya. Pemerhatian saya terhadap guru ini jelas memperlihatkan kesungguhan dan minatnya yang mendalam dalam profession keguruan itu sendiri. Kerjanya yang teratur dan persediaan dalam pelbagai perkara jelas kelihatan apabila cikgu Nurhasmiza ini menyusun semua dokumen yang penting di dalam sebuah

fail dari mula awal lagi sebagai bentuk persediaan dalam menghadapi sebarang kebarangkalian. Pengurusan diri yang baik juga turut membantu dirinya menjalankan tugas dengan lebih baik dan lancar. Melihat dirinya yang sangat aktif dan bersungguh-sungguh, serta sifat murni yang terdapat dalam dirinya yang sudi berkongsi ilmu dengan saya dan teman-teman menjadikan saya senang dan berasa kagum dengan dirinya. Bagi saya, dia merupakan contoh yang perlu diikuti oleg setiap pelatih guru yang baru mula hendak berjinak-jinak dengan profession guru ini. Sikap-sikap yang positif olehnya harus dicontohi oleh manamana guru kerana sikap tersebutlah yang menjadi penentu kejayaan generasi pada masa akan datang. Pengalaman BIG bersamanya juga berjaya membuatkan saya berfikir tentang diri saya selaku guru pada masa akan datang. Adakah saya mahu menjadi sepertinya? Atau adakah saya mahu menjadi seorang guru yang sederhana sahaja? Jika saya memilih untuk menjadi guru yang biasa, maka apa fungsinya program BIG ini jikalau begitu? Saya pasti program Bina Insan Guru ini tidak dijadikan satu program yang siasia. Bila menyebut perihal membuat refleksi diri, bermakna saya sedang muhasabah diri saya semula. Saya memikirkan diri saya sebagai guru, potensi diri saya yang boleh menyumbang kepada perkembangan murid-murid, personaliti saya dalam membantu peningkatan dalam kerjaya saya dan nilai-nilai diri saya selaku seorang guru. Saya sering merasakan saya bukanlah seorang guru yang baik dan terbaik untuk murid-murid saya. saya juga sering merasakan saya tiada apa-apa potensi atau bakat yang boleh disumbangkan kepada anak didik saya. Saya sentiasa merasakan diri saya tiada apa-apa. Jika dari aspek kerjaya pula, saya juga bukanlah seorang pekerja yang cekap. Kejayaan saya dalam menjalankan sesuatu tugasan pun kebanyakkan adalah hasil kerjasama dan bantuan daripada rakan-rakan. Tanpa mereka pasti semua kerja saya tidak dapat disiapkan dengan sempurna. Namun, apabila saya mula melihat mereka yang dikatakan lebih berpengalaman dalam bidang pendidikan itu sendiri, walaupun pada hakikatnya Cikgu Nurhasmiza ini dikatakan telah mula melatih diri dan bergiat aktif pada usia yang muda, namun saya

tidak seharusnya meletakkan keadaan tersebut sebagai satu bentuk alasan bahawa saya sudah terlambat dalam pelbagai perkara. Apabila saya menjadi seorang guru, saya bukan sahaja mengajar dan mendidik murid-murid, sebaliknya saya juga perlu sedar bahawa saya perlu belajar untuk mendidik diri saya menjadi lebih baik. Hal ini kerana apabila saya merasakan saya kurang dan tidak cukup ilmu dalam beberapa perkara seperti kemahiran dan ilmu pengetahuan, maka telah menjadi satu tanggungjawab saya untuk mencari ilmu tersebut dan belajar untuk memantapkan diri saya dalam ilmu berkenaan. Belakang parang lagi kalau diasah nescaya tajam merupakan peribahasa yang telah lama dipegang dalam kesusasteraan melayu, yakni merupakan peribahasa lama sejak zaman nenek moyang yang mendukung maksud bahawa usaha yang berterusan mampu menjadikan seseorang yang tidak berbakat menjadi lebih berbakat. Yakni konteksnya adalah ilmu, maka saya perlulah bekerja keras untuk meraih dan mencari ilmu bagi memantapkan kemahiran saya demi memenuhi keperluan dan kepentingan dalam kerjaya saya disamping membantu murid-murid untuk mengasah bakat sedia ada mereka. Terdapat hadith Menuntut ilmu juga merupakan satu kewajipan bagi setiap umat islam untuk menuntut ilmu. Allah swt dan Nabi Muhammad SAW menyuruh umatnya untuk menuntut ilmu, sebagaimana sabdi nabi Muhammad saw: mencari ilmu itu wajib atas setiap orang islam, laki-laki dan perempuan. Dalam ajaran islam, seorang dituntut untuk mencari ilmu sejak dalam buaian hingga masuk liang lahad. Seperti sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud tuntutlah ilmu sejak dalam buaian, hingga masuk liang lahad. Maka di sini adalah jelas bagi diri saya agar sentiasa berusaha mencari dan menuntut ilmu sepanjang hidup dan hanya dengan menuntut ilmu sahajalah saya boleh memajukan diri daripada ketinggalan dalam pelbagai perkara. Saya juga berasa kagum apabila Cikgu Hasmiza menyatakan rasa daripada hatinya bahawa kadang-kala dia sendiri juga pernah merasakan penat dan letih dengan kerja yang dilakukan, namun apabila mengenangkan tanggungjawab, cikgu tersebut terus bekerja dan meletakkan kerjanya sebagai satu bentuk ibadah. Saya faham akan apa yang dialami olehnya, terutama apabila dia sendiri mengatakan bahawa ketika

hendak memasak pun, cikgu tersebut masih sempat menyemak kertas jawapan muridmuridnya. Secara jujur saya perkatakan, menjadi guru bukanlah sesuatu yang mudah. Saya sendiri mengalami pengalaman menjadi guru praktikum, ibu dan bapa saya juga merupakan seorang guru. Mereka sentiasa kelihatan penat apabila pulang ke rumah dan kadang-kala mereka juga akan membawa kerja sekolah ke rumah untuk disiapkan. Saya perhatikan mereka, seolah-olah guru itu telah bekerja selama 24 jam! Saya sendiri sedar, guru sebenarnya mempunyai peranan yang besar dalam kehidupan setiap manusia. Ibu saya sentiasa mengingatkan saya bahawa, menjadi seorang guru mungkin sukar di dunia, namun ganjarannya di akhirat itulah yang sangat lumayan. Nasihat inilah yang saya sentiasa pegang dalam hidup saya. Apabila mendengar keluhan daripada cikgu Nurhasmiza, jelas dan lebih meyakinkan saya bahawa apabila saya meletakkan kerjaya menjadi guru dan mendidik anak bangsa ini sebagai satu ibadah, maka saya akan melihat segalanya kerana Dia, Allah SWT. Sumber kekuatan umat islam ialah Allah SWT. Jika kita melakukan sesuatu bagi mendapat redha Allah, maka dengan mengingatiNya sajalah segela kesusahan itu pasti dilihat dari aspek positif. Saya sedar, dan teguran dan nasihat daripada cikgu Nurhasmiza juga berjaya mengingatkan saya kepada peranan saya sebagai seorang pendidik dan

tanggungjawab yang dipikul ini merupakan satu amanah. Dalam islam itu sendiri juga sangat mewajibkan untuk umat islam agar sentiasa amanah dalam menjalankan tugas. Amanah bukan sesuatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Apabila saya menjadi seorang guru, ianya bermaksud masyarakat, ibu bapa dan pihak pentadbiran juga telah meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada saya untuk mendidik anak-anak atau murid-murid agar menjadi manusia yang lebih baik dan cemerlang dari pelbagai aspek. Maka ianya telah menjadi amanah bagi saya untuk sentiasa mendidik anak murid saya sehingga mereka berjaya tanpa rasa putus asa atau mengabaikan mereka. Realiti pendidikan pada masa kini memerlukan guru yang bukan sahaja berkualiti, tetapi termasuklah guru yang kreatif dan berkemahiran tinggi serta mempunyai bidang ilmu yang cukup luas. Pengalaman saya mendengar kata-kata daripada seorang guru besar sekolah berprestasi tinggi yang menyatakan bahawa dia

sangat memerlukan setiap daripada guru-gurunya melanjutkan pelajaran dan meningkatkan kemahiran dalam sesuatu bidang, menyedarkan saya bahawa saya perlu menyediakan diri saya sesuai dengan kehendak persekitaran. Dalam keadaan ini, guru perlu mempunyai pelbagai kemahiran dan bersikap fleksibel dalam menghadapi sebarang kemungkinan atas kehendak persekitaran. Sebagai contoh, jika pihak sekolah memerlukan seorang guru bahasa melatih murid-murid berpidato, maka guru perlu memberi tindak balas yang positif dalam menghadapi keadaan tersebut seperti menuntut atau mencari ilmu berpidato daripada pihak lain atau mencari menerusi kemudahan seperti yang terdapat dalam media massa, internet. Cabaran dalam bidang pendidikan sangat mengejutkan kerana beban tugas guru semakin bertambah. Murid-murid masa kini tidak sama dengan zaman persekolahan saya suatu ketika dahulu. Pelbagai cerita yang kurang enak didengar, terutamanya cabaran yang terpaksa dihadapi oleh guru dengan murid-murid dan beban tugas yang semakin memerlukan guru bekerja lebih daripada masa yang ditetapkan. Pengalaman cikgu Nurhasmiza juga turut memberikan gambaran yang jelas kepada saya bahawa menjadi guru pada masa kini bukanlah satu tugas yang mudah. Saya perlu belajar untuk menguatkan mental, emosi, rohani dan sosial bagi menghadapi cabaran-cabaran yang pasti akan datang. Secara kesimpulannya, program BIG kali ini banyak memberi input dan kesedaran kepada saya tentang kerjaya guru dan cabaran yang dihadapi pada masa kini. Hasil interaksi bersama guru cemerlang telah membuka mata saya bahawa guru harus mempunyai usaha dan komitmennya yang tinggi dalam meningkatkan kemahiran bahasa murid-murid yang daripada tahap rendah ke tahap yang lebih tinggi. hasil pengalaman yang dikongsi bersama-sama antara pelatih-pelatih guru dengan guru cemerlang tersebut telah berjaya membuatkan saya berfikir tentang nilai-nilai professionalisme keguruan yang perlu disematkan dalam diri. Akhir kata, saya berharap hasil lawatan dan tinjauan saya bersama dengan teman-teman Pengajian Melayu di sekolah berkenaan dapat membantu saya untuk mendapatkan idea dan cara menjadi guru yang lebih baik dan berkualiti untuk mendidik anak bangsa pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai