Anda di halaman 1dari 12

1.

0 Pengenalan

Untuk membina insan guru yang mempunyai ketahanan fizikal dan mental serta cemerlang
dalam semua aspek, seseorang guru itu perlulah menjalani latihan dari segi mental dan fizikal
yang bersesuaian sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran profession perguruan
masa kini. Bertunjangkan kepada objektif pendidikan negara yang menginginkan insan guru
yang berakhlak mulia, berilmu, kreatif dan berdaya tahan, maka, bakal guru diwajibkan untuk
mengikuti Program Bina Insan Guru (BIG) bagi memenuhi syarat mendapat Ijazah Perguruan.

Maka pada tanggal 9 September 2019 hingga 13 September 2019, serama 96 orang
pelajar Semester 5 telah menjalani pogram BIG yang telah dijalankan di Taman Mini Malaysia
dan Redtma Recreational Sports Centre, Melaka selama lima hari empat malam. Program ini
di bawah jagaan Kem Komanden Encik Zulkifli Hussin. Dengan adanya program ini,
diharapkan semua peserta dapat membentuk peribadi seorang insan guru yang berwawasan,
berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia dan bertanggungjawab.

Di samping itu, diharapkan juga program ini dapat membentuk peserta menjadi modal
insan yang mantap dari aspek kerohanian dan nilai etika keguruan yang selaras dengan
norma-norma kehidupan serta dapat meningkatkan daya ketahanan dan membina keyakinan
diri dalam menghadapi cabaran semasa untuk mencapai cita-cita murni membentuk peribadi
seorang insan yang berwawasan seterusnya membantu merealisasikan Falsafah Pendidikan
Guru dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

2.0 Refleksi harian

2.1 Hari pertama (9 September 2019)

2.1.1 Pemasangan khemah

Kami diarahkan untuk berkumpul di dataran seawal jam lapan pagi bagi membuat persiapan
sebelum bergerak ke destinasi yang dituju. Sebelum bergerak, kami diberikan sedikit taklimat
oleh pengurus program iaitu Encik Mustafa Kamal. Beliau memberikan gambaran secara
menyeluruh tentang aktiviti yang akan dijalankan sepanjang lima hari empat malam ini.
Setelah semuanya selesai, kami bergerak ke Melaka pada jam sembilan pagi.

Setibanya kami di tapak perkhemahan, kami diagihkan mengikut kumpulan khemah


yang telah ditetapkan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan satu khemah. Kerjasama yang
baik antara ahli kumpulan untuk menaikkan khemah mempercepatkan proses pemasangan
khemah.

1
2.2 Hari kedua (10 September 2019)

2.2.1 Abseiling dan ikhtiar hidup

Aktiviti abseiling menyedarkan saya tentang kepentingan keselamatan diri serta sikap yang
positif terhadap perkara yang berlaku dalam kehidupan selain menikmati keseronokan aktiviti
lasak ini. Semasa memanjat tangga untuk ke puncak bagi aktiviti abseiling, saya berasa
sangat takut kerana ketinggian merupakan cabaran paling berat buat saya memandangkan
saya merupakan seorang yang takut akan ketinggian. Namun, saya tetap mengamalkan sikap
yang tabah untuk menjalankan aktiviti ini. Dengan sikap yang tabah, saya dapat melakukan
aktiviti ini dan menempuh apa-apa jua cabaran yang dihadapi. Hal ini amat penting sekali
dalam kehidupan saya bahawa saya perlu bersikap tabah, tenang dan berani semasa
menghadapi cabaran supaya dapat menemui jalan penyelesaian yang betul.

Dalam aktiviti ikhtiar hidup, kami dapat belajar cara saling membantu antara satu sama
lain. Hal ini demikian kerana perjalanan aktiviti kembara berada di kawasan cerun bukit.
Pergerakan kami menghadapi cabaran kerana melalui kawasan-kawasan cerun dan anak
sungai. Sepanjang perjalanan kami di dalam hutan, kami juga diperkenalkan dengan spesis
tumbuh-tumbuhan yang berguna dalam kehidupan seharian misalnya tongkat ali dan pelbagai
jenis cendawan. Kami juga diajar bagaimana untuk meminta pertolongan sekiranya tersesat
di dalam hutan menggunakan tumbuh-tumbuhan sekeliling.

Setibanya kami di suatu kawasan lapangan, kami dibekalkan dengan mi segera, telur
ayam, kentang dan tiga batang mancis. Kami dikehendaki untuk menyediakan hidangan
menggunakan bahan-bahan yang telah dibekalkan tadi. Aktiviti ini mampu membentuk
pemikiran yang kreatif dalam kalangan peserta dan mendidik kita menjadi seorang yang lebih
berdikari.

2.3 Hari ketiga

2.3.1 Aktiviti keyakinan air, berkayak dan berakit

Aktiviti ini mendatangkan manfaat kepada peserta, iaitu kemahiran membina rakit dan
membina kesedaran tentang cara menyelamatkan diri ketika berada dalam air. Dalam aktiviti
keyakinan air, jurulatih menekankan cara memakai buoyancy aid (BA) supaya keselamatan
kami terjamin walaupun kami tidak tahu cara berenang. Seterusnya, beliau mendedahkan
kami tentang cara mengapung dan berenang di permukaan air secara berbaring dan
bersandar. Hal ini membolehkan kami menyelamatkan diri walaupun berada dalam air.
Sehubungan dengan latihan secara ansur maju daripada pemakaian BA hingga cara

2
mengapung dan berenang, kami dapat memperoleh keyakinan diri ketika berada dalam air
serta membuat persediaan untuk aktiviti berkayak dan berakit. Sekiranya kami menghadapi
apa-apa jua masalah, kami dapat kekal tenang untuk berfikir cara penyelesaian masalah.

Aktiviti berkayak merupakan aktiviti yang menarik kerana setiap peserta dapat merasai
peluang berkayak. Pembahagian kumpulan satu dan dua yang membezakan ketinggian,
kebolehan berenang dan berat badan telah banyak membantu dalam melaksanakan aktiviti
ini. Semasa berkayak, saya tidak mempunyai masalah komunikasi dengan pasangan.
Komunikasi yang baik di antara kami jelas dapat mengawal pergerakan kayak dengan sebaik
yang mungkin. Arahan ‘kiri’, kanan, kiri, kanan’ daripada pasangan berkayak memudahkan
lagi pergerakan kami. Aktiviti ini mengajar kami supaya mendengar arahan dengan betul
supaya tidak terpesong ke arah lain. Sikap bantu-membantu dalam kalangan peserta juga
dapat diterapkan. Selain itu, kami diajar cara untuk menterbalikkan kayak sekiranya kami
terjatuh daripada kayak. Inilah pengalaman yang bernilai bagi setiap peserta kerana dapat
mengetahui selok-belok berkayak.

Seterusnya, aktiviti berakit membolehkan kami menunjukkan semangat kerjasama


dalam pasukan. Hal ini memainkan peranan penting dalam memastikan rakit yang kami bina
mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menampung berat enam orang ahli kumpulan dalam
air. Semasa mengikat tali pada batang paip PVC, kami saling menolong untuk memastikan
ikatannya kuat serta tiub berada di tempat yang sepatutnya supaya mencapai tahap apungan
yang tinggi. Selain itu, saya memanfaatkan pengetahuan diri tentang ikatan untuk
menyumbang tenaga dalam penghasilan rakit yang berkualiti. Semasa berada dalam air, kami
juga bekerjasama dalam mengayuh rakit secara serentak untuk memastikan rakit berlayar
dalam arah yang betul. Tegasnya, melalui aktiviti ini, kami dapat memaparkan semangat
kerjasama dalam pasukan serta kesudian untuk menyumbang tenaga dan idea.

2.4 Hari keempat

2.4.1 Khidmat komuniti dan interaksi profesional

Semasa menjalankan sesi interaksi profesional di Sekolah Kebangsaan Gangsa, Durian


Tunggal, Melaka, saya telah banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan semasa
mengendalikan aktiviti ini, antaranya, saya dapat belajar cara berkomunikasi dengan pihak
sekolah tentang pelaksanaan aktiviti di sekolah dari segi persiapan tempat dan peralatan,
perancangan aktiviti dan pembahagian tugas dalam kumpulan. Antara kekuatannya, ahli
kumpulan fasilitator menunjukkan sikap bekerjasama dan memberikan komitmen semasa
menjalankan bahagian masing-masing. Contohnya, dalam slot ceramah, Hariz dan Irfan telah

3
memainkan peranan dalam memperkenalkan jenis sekolah menengah dengan contoh-contoh
yang jelas. Melalui perkongsian daripada ahli kumpulan tentang persekitaran dan suasana
pembelajaran di sekolah berasrama penuh ataupun sekolah menengah agama, murid-murid
dapat memperoleh gambaran yang jelas secara berkesan.

Selain itu, murid-murid dapat memahami arahan yang diberikan oleh fasilitator semasa
aktiviti dijalankan. Hal ini menjamin keberkesanan pengendalian aktiviti yang dirancang serta
nilai yang diperoleh melalui aktiviti yang dilakukan untuk pembentukan budi pekerti mulia dan
minda kelas pertama. Sebagai contoh, melalui aktiviti membina menara, murid-murid dapat
menghayati kepentingan hasrat dan impian dalam kehidupan mereka. Di samping itu, mereka
juga perlu memahami peranan masing-masing dalam merealisasikan hasrat dan impian yang
mereka tetapkan. Dengan ini, mereka dapat mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka
yang penuh cabaran dan dugaan.

Semasa menjalankan aktiviti, kita menghadapi kekurangan dari segi pengendalian


aktiviti dalam kumpulan oleh fasilitator. Terdapat sesetengah fasilitator yang tidak dapat
memainkan peranan sepenuhnya dalam slot Latihan dalam Kumpulan (LDK). Hal ini
menyumbang kepada ketidakberkesanan pengendalian aktiviti. Contohnya, dalam slot aktiviti
bina menara, terdapat fasilitator yang menjalankan tugas tanpa menolong murid semasa
menampal pita pelekat pada bahagian menghubungkan kertas itu. Hal ini mendatangkan
kesulitan kepada murid serta menunjukkan ketidakmesraan antara fasilitator dengan murid.

3.0 Analisis SWOT

Selepas membuat penulisan tentang aktiviti yang dijalankan, saya ingin membuat penerangan
secara umum tentang program BIG dengan menggunakan kaedah analisis SWOT.

3.1 Strengths (Kekuatan)

Sepanjang program ini, antara kekuatannya ialah saya dapat melibatkan diri secara aktif
dalam persediaan perkhemahan. Hal ini memberikan pengalaman secara langsung kepada
saya, terutamanya dalam melaksanakan perkara yang tidak pernah dilakukan. Sebagai
contoh, saya bukan sahaja menolong rakan-rakan saya mendirikan khemah dan memotong
sayur untuk membantu rakan sekumpulan saya menyediakan makan malam tetapi juga
menjalankan tugas sebagai sentri untuk berjaga malam dan membantu rakan-rakan
membersihkan kawasan aktiviti setelah aktiviti siap dijalankan. Selain itu, saya berpeluang
untuk melibatkan diri secara aktif pada sesi malam kebudayaan. Tegasnya, penglibatan saya
secara aktif dalam program ini sememangnya mendatangkan manfaat kepada orang lain dan
juga diri sendiri.

4
Program ini seterusnya dapat mendisiplinkan kita dan menyediakan personaliti kita
sebagai seorang guru. Hal ini dapat dipaparkan melalui penglibatan kita dalam setiap aktiviti
yang dilaksanakan. Dalam program ini, kita telah melakukan pelbagai jenis aktiviti dan situasi
yang sama akan berlaku apabila kita melangkah ke alam sekolah nanti. Sebagai guru yang
berdedikasi, kita harus melibatkan diri dalam aktiviti mahupun aktiviti kokurikulum untuk
meningkatkan profesionaliti kita supaya menjadi teladan yang baik untuk membimbing anak-
anak murid kita.

3.2 Weakness (Kelemahan)

Namun, program ini mempunyai kelemahannya dari segi pengurusan masa. Dari segi
pengurusan masa, saya berpendapat bahawa kita kurang menepati masa yang ditetapkan
untuk setiap sesi. Dalam hal ini, kita seharusnya bersiap sedia lima hingga 10 minit sebelum
aktiviti yang seterusnya dilakukan. Hal ini menjejaskan keberkesanan pelaksanaan aktiviti
yang dirancang terhadap pembentukan insan guru dalam diri kita. Contohnya, semasa kita
berkumpul sebelum pergi ke tempat-tempat untuk melakukan aktiviti, kebanyakan peserta
lewat berkumpul di tempat berkumpul. Hal ini bukan sahaja menjejaskan pengendalian aktiviti
malahan menjejaskan kualiti program BIG.

Dari segi amalan pemakanan, kekurangan kita dipaparkan melalui pembaziran


makanan yang disediakan. Hal ini bukan sahaja menunjukkan amalan negatif dalam diri kita
tetapi juga menyumbang kepada rasa serba salah terhadap AJK Makanan yang bersusah
payah menyediakan makanan. Sekiranya amalan ini tidak diperbetul sehingga waktu kita
melangkah ke alam sekolah, hal ini akan turut meninggalkan kesan dalam mempengaruhi
pemikiran anak-anak murid di sekolah. Tegasnya, amalan pembaziran makanan merupakan
sikap yang mengetepikan rasa kesyukuran terhadap apa-apa yang dapat kita nikmati

3.3 Opportunities (Peluang)

Dengan pendedahan dalam program ini, saya dapat membina keyakinan diri semasa saya
berkhidmat di sekolah nanti. Semasa pihak sekolah mengadakan mesyuarat dengan guru-
guru, saya dapat menyumbang idea saya atau menyumbang tenaga saya dalam menjayakan
program yang ingin dilaksanakan. Sebagai contoh, sekiranya pihak sekolah mengadakan
program perkhemahan, saya dapat berkongsi pengalaman saya dengan guru-guru di sekolah
sebagai idea untuk membantu meningkatkan kualiti pengurusan perkhemahan. Tegasnya,
pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh dalam program BIG dapat saya aplikasikan
dalam aktiviti semasa saya melangkah ke alam sekolah nanti.

5
Di samping keyakinan diri, saya juga dapat mendisiplinkan diri semasa melaksanakan
tugas di sekolah nanti. Hal ini dapat membantu saya mengamalkan sikap profesional dalam
diri, terutamanya berhadapan dengan tugas di sekolah sama ada menjalankan pengajaran di
dalam bilik darjah, ataupun melaksanakan aktiviti kokurikulum. Justeru, saya dapat
memberikan komitmen dalam melaksanakan tugas di sekolah. Dengan ini, saya bukan sahaja
dapat membantu melahirkan modal insan yang berminda kelas pertama, tetapi juga menyahut
seruan kerajaan dalam mencapai aspirasi sistem pendidikan negara demi merealisasikan
transformasi negara arus terkini.

3.4 Threats (Ancaman)

Kekurangan komitmen dalam pengurusan masa akan menjejaskan profesionaliti diri kita
sebagai guru. Perbuatan tidak menepati masa menjejaskan proses pelaksanaan dan
pengendalian aktiviti. Contohnya, sekiranya kita selalu masuk ke kelas lewat, proses
Pembelajaran dan Pemudahcara (PdPc) turut tidak dapat berjalan lancar. Hal ini
menyebabkan anak murid kita tidak dapat menjalankan pembelajaran yang berkesan di
sekolah. Pelaksanaan program anjuran pihak sekolah turut menghadapi kesulitan dengan
amalan pengurusan masa yang kurang efektif. Sekiranya majlis yang dirancang tidak dapat
dijalankan dengan lancar, imej sekolah dan pihak pentadbir akan terjejas atas
ketidakefisienan pengurusan sekolah. Tegasnya, kita harus mengikis amalan buruk ini demi
menjamin keberkesanan aktiviti serta kreadibiliti dan akauntabiliti dalam melaksanakan
kewajipan profesion kita.

Selain kekurangan komitmen dalam pengurusan masa, amalan pembaziran juga


menyumbang kepada ancaman kepada diri dan orang lain pada masa hadapan. Hal ini
menyumbang kepada pembentukan modal insan yang kurang menyeluruh, terutamanya dari
segi penerapan nilai. Sekiranya kita sendiri tidak mampu memperbetul amalan buruk dalam
diri kita, maka anak-anak murid akan turut mencontohi amalan ini dan mengamalkan sikap
negatif dalam diri mereka. Maka, proses pembentukan modal insan yang berbudi pekerti dan
berakhlak mulia akan terbantut. Pendek kata, kita harus mengambil tindakan untuk mengikis
amalan negatif sebelum perkara yang tidak diingini berlaku pada diri dan orang lain,
terutamanya pada generasi muda kita.

3.5 Cadangan penambahbaikan

Sebagai cadangan penambahbaikan, pada pendapat saya, saya seharusnya memainkan


peranan dan tanggungjawab sebagai ketua untuk memaklumkan tugas setiap ahli kumpulan

6
dengan lebih jelas dan terperinci. Selain itu, saya perlu menekankan sikap bekerjasama
semasa menjalankan tugas mereka agar perancangan yang dilakukan dapat mencapai
objektif yang ditetapkan. Hal ini perlu dilakukan demi membina insan sebagai guru dalam diri
fasilitator. Dengan adanya insan guru yang berpekerti mulia, maka anak-anak murid dapat
memperoleh ilmu pengetahuan dan membentuk sahsiah terpuji melalui pembelajaran dan
pemudahcaraan dikendalikan oleh guru secara berkesan.

Selain itu, kita harus merancang aktiviti yang lebih sesuai dengan murid-murid. Hal ini
bukan sahaja dapat menarik minat murid dalam melakukan aktiviti ini malahan memudahkan
penerapan nilai dalam diri murid. Dengan ini, keberkesanan pengendalian aktiviti ini pasti
terjamin. Objektif yang ditetapkan bagi program bimbingan dan motivasi ini turut dapat dicapai
dan direalisasikan dalam kehidupan murid-murid.

Di samping itu, kita perlu mengamalkan sikap menepati masa dalam kehidupan kita,
terutamanya dalam melakukan tugas semasa kita berada di sekolah. Menurut aspirasi kedua
dalam konsep 1 Malaysia, budaya ketetapan di mana seseorang individu atau komuniti
haruslah mendidik sikap menepati masa dalam melaksanakan tugas dan mengutamakan
kecekapan serta ketepatan (Aizat, 2016). Sebagai guru, kita bukan sahaja perlu
mengutamakan profesion kita, malahan mendahulukan kebajikan anak-anak murid kita.
Dalam konteks program perkhemahan BIG, saya berpendapat bahawa bukan sahaja
penghulu dan penghulu wati harus memainkan peranan dalam mengumpulkan semua peserta
BIG sebelum aktiviti bermula, malahan peserta harus menyedarkan diri tentang kepentingan
menepati masa dan berada di tempat aktiviti dijalankan lima hingga 10 minit awal. Kita harus
meningkatkan profesionalisme kita secara berterusan dengan penghayatan amalan
mendisiplinkan diri demi menjamin keberkesanan perkhidmatan kita serta anak murid kita
dapat memperoleh pendidikan yang berkualiti.

Tidak ketinggalan juga, kita patut menjalankan sistem hukuman dan ganjaran
berdasarkan prestasi setiap kumpulan. Dengan cara peneguhan ini, kita akan dapat
mengetahui kesalahan yang kita lakukan melalui sudut dan pandangan orang lain. Sekiranya
amalan pembaziran makanan dilakukan, maka jurulatih boleh mengambil tindakan terhadap
ahli kumpulan tersebut contohnya, memberikan tugas mencuci dulang dan cawan atau
menyediakan makanan untuk semua peserta pada hari yang seterusnya. Dengan ini,
diharapkan, mereka dapat menyedari betapa pentingnya untuk menghabiskan makanan dan
menunjukkan kesyukuran terhadap apa-apa yang dinikmati. Menurut Haliza Hamzah (2014),
guru merupakan contoh teladan kepada muridnya. Sekiranya guru bersikap tidak
bertanggungjawab, kemungkinan besar murid akan menunjukkan sikap yang sama terhadap
guru tersebut. Oleh itu, kita harus membuat perubahan bermula daripada diri sendiri supaya

7
dapat menjadi cermin perbandingan kepada anak-anak murid supaya mewujudkan amalan
yang sihat di sekolah.

4.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, Program Bina Insan Guru ini telah memberikan banyak faedah dari
segi ilmu dan pengalaman kepada saya. Aktiviti seperti Latihan Dalam Kumpulan, Jati Diri,
aktiviti air dan darat, memberikan kami banyak pengalaman dan pengajaran yang baru
sebagai persediaan untuk menjadi guru yang bermotivasi tinggi dalam menghadapi era
globalisasi. Program ini juga dapat menyatupadukan kami dari berbilang kaum menjadi satu
pasukan yang mampu bekerjasama, toleransi serta mengambil berat antara satu sama lain.
Ini telah dapat dibuktikan dalam setiap aktiviti yang telah kami lalui di mana semangat
bekerjasama serta saling menyokong antara satu sama lain tak pernah hilang dari jiwa setiap
peserta. Keputusan supaya setiap peserta diberi tugasan untuk menyediakan makanan harian
memberikan peluang kepada kami untuk menunjukkan bakat dalam bidang masakan.
Malahan, ada juga beberapa peserta yang tidak pernah masuk ke dapur sudah dapat
membiasakan diri dengan tugasan sebegini. Secara kesimpulannya, program ini ternyata
telah dapat mencapai objektifnya.

5.0 Rujukan

Aizat bin Khairi. (2016). Konsep 1 Malaysia dan Cabaran Pelaksanaannya ke Arah

Pemantapan Perpaduan sebuah Negara-Bangsa. Sosiohumanika: Jurnal Pendidikan

Sains Sosial dan Kemanusiaan, 4(1), 129-140

Haliza, H, & Samuel, J. N. (2014). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Selangor:

Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Janice Heu Wai Yee. (2015, November 16). Laporan Reflektif BIG Fasa 6. Capaian 10

Oktober 2019 daripada https://www.scribd.com/doc/289895313/Laporan-Reflektif-Big-


Fasa-6

8
6.0 Lampiran

Gambar 1: Sesi taklimat oleh pengurus program

Gambar 2 dan 3: Suasana sewaktu aktiviti abseiling

9
Gambar 4 dan 5: Suasana sewaktu aktiviti ikhtiar hidup

10
Gambar 6, 7, 8, 9 dan 10: Situasi sewatu aktiviti keyakinan air, kayak dan rakit

Gambar 11, 12 dan 13: Situasi sewaktu aktiviti khidmat sosial dan interaksi profesional

11
Gambar 14 dan 15: Malam kebudayaan

Gambar 16 dan 17: Semua peserta BIG dan ahli kumpulan

12

Anda mungkin juga menyukai