Anda di halaman 1dari 3

REFLEKSI KEMBARA

Dalam aktiviti kembara ke Taman Negara Pulau Pinang kali ini, saya mendapat
banyak ilmu dan dapatan pengalaman tambahan. Dalam refleksi ini, saya akan membuat
analisis dari segi SWOT iaitu kekuatan (strength), kelemahan (weakness),peluang
(opportunity) dan ancaman (threat).

Dari segi kekuatan iaitu strength, perancangan dan perbincangan awal saya dengan
rakan-rakan saya dalam Jawatankuasa 3K (Keselamatan, Kecemasan, dan Kebersihan)
membolehkan kita menguruskan tugas seperti permohonan alatan peti kecemasan dan
beg plastik serta penghantaran surat pemberitahuan perlaksanaan aktiviti kembara
kepada pihak-pihak berkenaan secara berkesan. Selain itu, kami juga telah berbincang
sehari sebelum aktiviti tentang peranan yang dimainkan oleh setiap ajk dalam
Jawatankuasa 3K. Dengan ini saya telah bersedia dan memahami dengan jelas peranan
saya dan melakukan tanggungjawab saya seperti memastikan rakan-rakan tidak
membuang sampah merata dan menyediakan beg plastik kepada mereka selepas
mereka selesai makan tengahhari agar tidak berlaku pembuangan sampah merata-rata
di pantai. Persediaan dan perancangan awal dalam Jawatankuasa 3K membolehkan
setiap ahli jawatankuasa menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing
dengan baik dan berlaku pembahagian tugasan yang adil.

Secara keseluruhan, kekuatan aktiviti kali ini terletak pada kerjasama yang tinggi
antara jawatankuasa dalam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
Daripada perhubungan dengan pihak taman berkenaan, perlaksanaan aktiviti sehingga
pengurusan pengangkutan kembali ke ipg, tanpa kerjasama dan komitmen setiap
jawatankuasa, aktiviti kembara tidak dapat berlangsung dengan lancar dan sempurna.
Sepanjang perlaksanaan aktiviti pula, saya mendapati aktiviti mendaki bukit sebenarnya
sesuatu yang menarik dan menyeronokkan. Pada peringkat awal aktiviti, saya berasa
amat letih dan ragu-ragu terhadap jarak perjalanan kita. Atas dorongan dan motivasi
positif daripada rakan-rakan saya, saya meneruskan usaha untuk mendaki bukit dan
mula menghayati keindahan alam berbanding dengan keletihan yang bakal dialami
sepanjang kembara ini. Sikap saling bantu-membantu antara rakan juga merupakan
salah satu kekuatan dalam aktiviti ini. Dengan bantuan rakan-rakan lain, aktiviti kembara
menjadi lebih mudah dan saya tidak kebuntuan apabila menghadapi rintangan yang
sukar dilalui seorangan.

Dari segi kelemahan pula, kekurangan pengalaman mendaki bukit merupakan salah
satu kelemahan dalam aktiviti ini. Kekurangan pengalaman menyebabkan kita lambat
dalam pendakian kerana kebanyakan kita tidak tahu mengatur langkah dalam
persekitaran tanah yang basah dan licin. Malah, terdapat antara dalam kalangan ahli
yang mempunyai stamina yang rendah untuk aktiviti fizikal yang lasak seperti ini.
Ketidakupayaan ahli untuk menjalani aktiviti ini dengan baik dan keraguan langkah yang
perlu diambill semasa mendaki bukit membawa kepada pembaziran masa yang banyak.
Ketidaksesuaian keupayaan dan kekurangan pengalaman mendaki bukit menyebabkan
aktiviti tersebut menggunakan masa melebihi masa anggaran kita. Dengan ini, kita
terpaksa membuat perubahan mendadak dalam tentatif untuk memastikan kita dapat
pulang ke kampus tepat pada masa yang dijanjikan dengan pemandu bas.

Jika diteliti dari segi peluang, aktiviti kembara ini boleh disusun lebih banyak aktiviti
lagi. Contohnya kita boleh memasukkan aktiviti kayak atau menaiki bot ke kawasan
tarikan lain yang juga terletak dalam Taman Negara Pulau Pinang. Penambahan aktiviti
ini adalah bersesuaian dengan tujuan perlaksanaan aktiviti ini dan amat penting dalam
menambah pengalaman dan kemahiran kita dalam aktiviti kembara. Pelbagai
perkhidmatan perlancongan seperti skuba diving, lawatan melihat penyu bertelur di
pantai pada waktu malam, dan aktiviti memancing yang ditawarkan sekitar taman negara
Pulau Pinang pasti dapat menjadikan program kembara kita lebih menarik jika semua
aktiviti-aktiviti ini dirancang dan disusun dengan baik. Walau bagaimanapun, peluang ini
hanya boleh digunakan sebaik mungkin jika semua guru pelatih berkemampuan untuk
membayar perbelanjaan daripada aktiviti-aktiviti tersebut kerana penambahan aktiviti
memerlukan kos tambahan.
Dari segi ancaman pula, cuaca dan masa yang dipilih merupakan aspek ancaman
utama kepada program kembara ini. Atas aspek cuaca yang mendung dan hujan pada
hari tersebut, perancangan asal kami terpaksa diubah. Hujan pada awal pagi hari
tersebut menyebabkan tanah dan trek hutan lembab dan basah. Keadaan tersebut amat
bahaya kerana kerana takungan air merata-rata dan ahli-ahli terpaksa melangkah di atas
akar timbul pokok dan daun-daun bertimbunan untuk mengelak air. Fenomena ini agak
berisiko akan berlakunya kemalangan kerana kaki mungkin terseliuh ketika berjalan atas
akar pokok yang tidak rata. Juga berkemungkinan terdapatnya haiwan atau serangga
berbisa yang berselindung di bawah daun-daun bertimbunan tersebut dan ahli-ahli
mungkin tercedera atau diserang kerana terpijak kawasannya.

Selain itu, musim pada masa itu pula kurang sesuai untuk melakukan aktiviti air
seperti menaiki bot kerana musim angin monsun. Ombak bergelora kuat di laut
menyebabkan bot kurang sesuai untuk bergerak kerana pernah berlaku tragedi bot pecah
dipukul ombak dua minggu sebelum itu. Dengan itu, kami terpaksa membatalkan dua
aktiviti iaitu menaik bot ke Monkey beach dan Teluk Duyung atas kebahayaan untuk
menaiki bot di laut yang berombak besar pada musim angin monsun ini. Walau
bagaimanapun, kami tetap sempat melihat Tasik Meromiktik yang berubah bentuk
tasiknya mengikut masa. Tasik tersebut telah berubah dua bentuk dalam tempoh masa
dua jam setengah kami berhenti di pantai Keranchut untuk makan tengahari dan
persiapan kendiri. Melalui pengalaman ini, saya mempelajari bahawa masa pilihan untuk
melakukan aktiviti kembara juga amat penting untuk memastikan semua aktiviti yang
dirancang berjalan lancar.

Secara kesimpulannya, saya telah menimba banyak ilmu dan pengalaman


menerusi program kembara ke Taman Negara Pulau Pinang. Saya berasa amat gembira
dan berpuas hati dengan hasil pengalaman dan pembelajaran yang saya dapat untuk
aktiviti kembara kali ini. Berbekalkan hasil pembelajaran saya dalam aktiviti berkembara,
saya berasa lebih berkeyakinan untuk menjadi seorang guru yang lebih baik khususnya
dalam bidang kokurikulum pada masa depan.

Anda mungkin juga menyukai