Anda di halaman 1dari 9

Laporan Reflektif Program Bina Insan Guru (BIG) selama 5 hari 4 malam

Saya telah mengambil bahagian dalam program BIG selama 5 hari 4 malam
yang bertempat di Kem Sri Banai di IPG Kampus Darulaman dan Kem Teluk Nipah
di Sungai Petani, Kedah Darul Aman. Sepanjang program ini, saya telah banyak
memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang membina dan berguna. Dapatan
program ini membolehkan saya membina penampilan diri sebagai guru yang
profesional dan berinsan mulia untuk menghadapi cabaran profesion pada masa
hadapan.
1.0 Refleksi Aktiviti
1.1 Hari Pertama
Pada hari pertama, aktiviti yang telah dijalankan ialah Program Bimbingan dan
Motivasi bagi Murid Tahun 6 untuk sesi interaksi profesional di sekolah dan ceramah
yang bertemakan Pengucapan Awam.
1.1.1 Interaksi Profesional Pihak Sekolah
Semasa menjalankan sesi interaksi profesional di Sekolah Kebangsaan Bukit
Pinang (SKBP), saya telah banyak memperoleh pengalaman dan pengetahuan
semasa mengendalikan aktiviti ini. Antaranya, saya dapat belajar cara berkomunikasi
dengan pihak sekolah tentang pelaksanaan aktiviti di sekolah dari segi persiapan
tempat dan peralatan, perancangan aktiviti, pembahagian tugas dalam kumpulan.
Antara kekuatannya, ahli kumpulan fasilitator menunjukkan sikap bekerjasama
dan memberikan komitmen semasa menjalankan bahagian masing-masing.
Contohnya, dalam slot ceramah, Maizatul dan Sulhi telah memainkan peranan dalam
memperkenalkan jenis sekolah menengah dengan contoh-contoh yang jelas. Melalui
perkongsian daripada ahli kumpulan tentang persekitaran dan suasana
pembelajaran di sekolah berasrama penuh ataupun sekolah menengah agama,
murid-murid dapat memperoleh gambaran yang jelas secara berkesan.
Selain itu, murid-murid dapat memahami arahan yang diberikan oleh
fasilitator semasa aktiviti dijalankan. Hal ini menjamin keberkesanan
pengendalian aktiviti yang dirancang serta nilai yang diperoleh melalui aktiviti yang
dilakukan untuk pembentukan budi pekerti mulia dan minda kelas pertama. Sebagai
contohnya, melalui aktiviti membina menara, murid-murid dapat menghayati
kepentingan hasrat dan impian dalam kehidupan mereka. Di samping itu, mereka
juga perlu memahami peranan masing-masing dalam merealisasikan hasrat dan
impian yang mereka tetapkan. Dengan ini, mereka dapat mencapai kejayaan dalam
kehidupan mereka yang penuh cabaran dan dugaan.
Semasa menjalankan aktiviti, kita menghadapi kekurangan dari segi
pengendalian aktiviti dalam kumpulan oleh fasilitator. Terdapat sesetengah
fasilitator yang tidak dapat memainkan peranan sepenuhnya dalam slot
Latihan dalam Kumpulan (LDK). Hal ini menyumbang kepada ketidakberkesanan
pengendalian aktiviti. Contohnya, dalam slot aktiviti bina menara, terdapat fasilitator
yang menjalankan tugas tanpa menolong murid semasa menampal pita pelekat pada
bahagian menghubungkan kertas. Hal ini mendatangkan kesulitan kepada murid
serta menunjukkan ketidakmesraan antara fasilitator dengan murid.

1
Di samping itu, aktiviti “Bina Menara” kurang menarik bagi murid-murid.
Hal ini demikian kerana murid-murid tidak dapat menjana idea dalam menghasilkan
menara yang mereka impikan. Selain itu, murid-murid tidak faham tentang rasional
aktiviti ini dan nilai-nilai selepas melakukan aktiviti ini. Oleh itu, murid-murid sama
ada berasa bosan dan kurang berminat dalam menghasilkan aktiviti ini ataupun
hanya menfokuskan penghasilan menara yang tertinggi semata-mata tanpa
mengenal erti di
1.1.2 Ceramah Kewarganegaraan dan Perpaduan
Melalui ceramah ini, kita dapat memperoleh cara-cara pengucapan awam
dengan mengambil kira aspek-aspek, iaitu perucap, bahan ucapan, audiens
dan cara persembahan. Hal ini membolehkan kami membina keyakinan diri untuk
melakukan segala perkara, terutamanya semasa menyampaikan idea kepada
khalayak ramai. Sebagai contoh, dengan mengambil kira pendengar dari segi jantina,
lingkungan umur, latar belakang sosioekonomi dan sebagainya, kami dapat
membuat skrip ucapan yang sesuai dengan pendengar kami supaya ucapan kami
dipersembahkan dengan menarik dan mesej dapat disampaikan dengan berkesan.
Dengan ini, komunikasi yang berkesan dapat berlaku secara dua hala antara
perucap dengan pendengar. Selain itu, kami dapat mengaplikasikan perkara yang
dipelajari dalam ceramah. Penceramah memberikan peluang kepada kami untuk
mencuba kaedah yang diperkenalkan serta memperbetul kesalahan kami dengan
memberikan penekanan terhadap kaedah yang sepatutnya. Contohnya, dari segi
salutasi, beliau memperkenalkan pengetahuan asas tentang penggunaan sebutan
Yang Berbahagia, Yang Berusaha, Yang Diraikan dan sebagainya. Dengan ini, kami
dapat membina insan guru yang profesional dari segi interaksi dengan komuniti.
Tegasnya, kami dapat membina insan guru yang berketerampilan dan berkeyakinan.
Namun, aktiviti ini agak membosankan kerana aktiviti ini dijalankan
dalam bentuk ceramah. Hal ini telah menyebabkan keadaan pasif dalam
penerimaan kandungan penyampaian oleh peserta BIG. Kebanyakan peserta tidak
dapat memberi fokus dan berasa mengantuk semasa ceramah diberikan. Hal ini
menyebabkan ketidakberkesanan slot ceramah ini malahan telah menyebabkan
pembaziran masa. Sebagai cadangan penyelesaian, ceramah ini boleh dilaksanakan
dalam bentuk bengkel walaupun slot ceramah ini hanya dijalankan dalam masa 2
jam. Dengan penglibatan semua peserta secara berkumpulan, perbincangan dapat
dilaksanakan antara ahli kumpulan tentang kandungan penyampaian ceramah ini.
Hal ini bukan sahaja membolehkan semua peserta sedikit sebanyak memperoleh
ilmu pengucapan awam malahan dapat membolehkan peserta memperoleh
pengalaman langsung dengan mengaplikasikan kefahaman mereka melalui
pembentangan dapatan perbincangan kumpulan.
Melalui aktiviti bimbingan dan motivasi yang diambil alih oleh Puan Zetty,
saya dapat menghayati kepentingan orang di sekeliling kita, terutamanya
keluarga dan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana kita kadang-kala akan
mengabaikan ahli keluarga kita sama ada secara tidak sengaja ataupun tidak,
disebabkan kesibukan dalam kehidupan kita. Sekiranya kita dapat membuat
panggilan kepada ahli keluarga kita, maka mereka akan berasa lega dan hal ini
membawa maksud bahawa kita dapat mengurus kepentingan antara keluarga
dengan kesibukan kehidupan diri dengan efesien. Selain itu, rakan sebaya
memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Tanpa rakan sebaya, kita
mungkin tidak dapat mengesan kekurangan dan kelebihan diri demi membuat

2
penambahbaikan terhadap penampilan diri. Tegasnya, kita harus mengamalkan
sikap bersyukur terhadap orang di sekeliling kita, terutamanya keluarga dan rakan
sebaya demi membentuk sahsiah diri yang terpuji.

1.2 Hari Kedua


1.2.1 Abseiling/ Flying Fox
Aktiviti ini menyedarkan saya tentang kepentingan keselamatan diri serta
sikap yang positif terhadap perkara yang berlaku dalam kehidupan selain
menikmati keseronokan aktiviti lasak ini. Semasa memanjat ke puncak pohon pokok,
saya berasa diri umpama seekor semut berjalan di dahan pokok. Namun, saya tetap
mengamalkan sikap yang tabah untuk menjalankan aktiviti ini. Dengan sikap yang
tabah, saya dapat melakukan aktiviti ini dan menempuh apa-apa jua cabaran yang
dihadapi. Hal ini amat penting sekali dalam kehidupan saya bahawa saya perlu
bersikap tabah, tenang dan berani semasa menghadapi cabaran supaya dapat
menemui jalan penyelesaian yang betul.

1.3 Hari Ketiga


1.3.1 Aktiviti Keyakinan Air dan Berakit
Aktiviti ini mendatangkan manfaat kepada peserta, iaitu kemahiran membina
rakit dan membina kesedaran tentang cara menyelamatkan diri ketika berada
dalam air. Dalam aktiviti keyakinan air, jurulatih menekankan cara memakai
buoyancy aid (BA) supaya keselamatan kami terjamin walaupun kami tidak tahu cara
berenang. Seterusnya, beliau mendedahkan kami tentang cara mengapung dan
berenang di atas permukaan air secara berbaring dan bersandar. Hal ini
membolehkan kami menyelamatkan diri walaupun berada dalam air. Sehubungan
dengan latihan secara ansur maju daripada pemakaian BA hingga cara mengapung
dan berenang, kami dapat memperoleh keyakinan diri ketika berada dalam air serta
membuat persediaan untuk aktiviti berakit. Sekiranya kami menghadapi apa-apa jua
masalah, kami dapat kekal tenang untuk berfikir cara penyelesaian masalah.
Aktiviti berakit membolehkan kami menunjukkan semangat kerjasama
dalam pasukan. Hal ini memainkan peranan penting dalam memastikan rakit yang
kami bina mempunyai daya tahan yang tinggi untuk menampung berat 6 orang ahli
kumpulan dalam air. Semasa mengikat tali pada batang paip PVC, kami saling
menolong untuk memastikan ikatannya kuat serta tong berada di tempat yang
sepatutnya supaya mencapai tahap apungan yang tinggi. Selain itu, saya
memanfaatkan pengetahuan diri tentang ikatan untuk menyumbang tenaga dalam
penghasilan rakit yang berkualiti. Semasa berada dalam air, kami juga bekerjasama
dalam mengayuh rakit secara serentak untuk memastikan rakit berlayar dalam arah
yang betul. Tegasnya, melalui aktiviti ini, kami dapat memaparkan semangat
kerjasama dalam pasukan serta kesudian untuk menyumbang tenaga dan idea.

3
1.4 Hari Keempat
1.4.1 Aktiviti Kembara dan Ikhtiar Hidup
Dalam aktiviti ini, kami dapat belajar cara saling membantu antara satu
sama lain. Hal ini demikian kerana perjalanan aktiviti kembara berada di kawasan
cerun bukit. Pergerakan kami menghadapi cabaran, terutamanya bagi peserta yang
tubuhnya bersaiz besar yang hampir jatuh semasa berjalan di laluan hutan. Untuk
menjaga keselamatan diri dan orang lain, kami pun berhenti pada kawasan cerun
bukit yang agak susah untuk berjalan dan mencari laluan alternatif untuk
memudahkan pergerakan mereka dan mengelakkan mereka daripada memegang
duri berbisa pada batang pokok. Setelah berkembara di hutan, kami berjalan di
kawasan tepi pantai yang penuh dengan batu. Di kawasan ini, kami juga
menunjukkan laluan yang selamat bagi orang di belakang kita untuk mengelakkan
mereka daripada tercedera oleh batu-batu yang tajam.
Selepas aktiviti kembara, kami dapat mengimbas kemahiran balutan dan
bebatan menggunakan kain anduh. Apabila jurulatih bertanya tentang tujuan
membaut balutan, kami memberi alasan tentang bahagian yang cedera dan rasional
jenis balutan yang digunakan. Hal ini dapat menanamkan rasa tanggungjawab dalam
diri kami terhadap keselamatan diri dan orang lain dalam apa-apa jua keadaan. Hal
ini dapat membina insan guru penyayang dalam diri kami supaya kami dapat
menggunakan pengalaman ini untuk memberikan pertolongan cemas di alam
sekolah nanti berdasarkan situasi yang dihadapi.
1.4.2 Aktiviti Khidmat Komuniti
Dalam aktiviti ini, saya dapat menyumbang tenaga dalam menjaga
kebersihan persekitaran perkhemahan di tepi pantai. Semasa saya mengutip
sampah di tepi pantai, saya sedar akan keindahan alam sekitar di pantai tersebut
sekiranya tiada sampah dibuang sewenang-wenangnya oleh masyarakat setempat.
Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita harus memainkan peranan
penting dalam menjaga kebersihan alam sekitar supaya dapat mengekalkan
keseimbangan ekosistem.

4
1.5 Hari Kelima
1.5.1 Pentaksiran Amali dan Majlis Penutupan

Dalam sesi ini, saya dapat mengenal kepentingan membuat aktiviti


dengan menghayati makna dan rasional di sebalik aktiviti ini. Hal ini amat
penting sekali bagi saya kerana aktiviti yang telah saya lakukan membina kesedaran
dalam diri saya tentang potensi dan bakat diri saya yang belum habis diteroka.
Segala ilmu dan pengalaman perlu saya aplikasikan dalam kehidupan saya sebagai
guru supaya mendidik anak-anak murid saya dengan lebih berdedikasi. Sebagai
contoh, antara nilai murni yang dapat saya teroka, nilai bekerjasama, atau dikenal
sebagai pembelajaran secara koperatif (cooperative learning) harus diterapkan
dalam diri murid dalam membantu mereka berusaha dengan gigih dan berkesan
dalam pembelajaran mereka.

Selain itu, saya menghayati kepentingan komuniti pembelajaran


profesional (PLC) melalui sesi refleksi kendiri semasa pentaksiran amali
dijalankan. Perkongsian pada sesi ini bukan sahaja untuk menyedarkan diri tentang
sikap yang sepatutnya diamalkan sepanjang hayat kita, tetapi juga mendatangkan
manfaat kepada orang di sekeliling kita untuk pembelajaran sepanjang hidup
bersama-sama. Melalui perkongsian pengalaman dan dapatan program, saya dapat
mengimbas kekuatan dan kelemahan diri serta menerapkan cadangan daripada ahli
kumpulan yang lain untuk menambahbaikkan diri ke tahap yang lebih cemerlang.
Sebagai contoh, selepas saya bercerita tentang refleksi kendiri tentang kepentingan
mengenal punca kekurangan diri semasa sesi interaksi profesional di sekolah, rakan
sekumpulan Maizatul pun berkongsi tentang kepentingan memahami dan
memainkan peranan diri mengikut jawantankuasa masing-masing. Hal ini
menunjukkan kepentingan PLC terhadap diri dan orang lain.

5
2.0 Refleksi Umum
Selepas membuat penulisan tentang aktiviti yang dijalankan, saya ingin
membuat penerangan secara umum tentang program BIG dengan menggunakan
kaedah analisis SWOT.
2.1 Kekuatan
Sepanjang program ini, antara kekuatannya ialah saya dapat melibatkan diri
secara aktif dalam persediaan perkhemahan. Hal ini memberikan pengalaman
secara langsung kepada saya, terutamanya dalam melaksanakan perkara yang tidak
pernah dilakukan. Sebagai contoh, saya bukan sahaja menolong rakan-rakan saya
mendirikan khemah dan memotong sayur untuk membantu rakan sekumpulan saya
menyediakan makan malam tetapi juga menjalankan tugas sebagai sentri untuk
berjaga malam dan membantu rakan-rakan membasuh BA selepas aktiviti berakit.
Selain itu, saya berpeluang untuk membuat pergerakan pada sesi nyanyian lagu
patriotik untuk memimpin rakan-rakan meluahkan semangat patriotik terhadap
negara tercinta kita. Tegasnya, penglibatan saya secara aktif dalam program ini
sememangnya mendatangkan manfaat kepada orang lain dan juga diri sendiri.
Melalui program ini, program ini mendisiplinkan kita dan menyediakan
personaliti kita sebagai guru. Hal ini dapat dipaparkan melalui penglibatan kita
dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Dalam program ini, kita telah melakukan
pelbagai jenis aktiviti, dan situasi yang sama akan berlaku apabila kita melangkah ke
alam sekolah nanti. Sebagai guru yang berdedikasi, kita harus melibatkan diri dalam
aktiviti anjuran baik pihak sekolah mahupun aktiviti kokurikulum untuk meningkatkan
profesionaliti kita supaya menjadi teladan yang baik untuk membimbing anak-anak
murid kita.
2.2 Kelemahan
Namun, program ini mempunyai kelemahannya dari segi pengurusan masa.
Dari segi pengurusan masa, saya berpendapat bahawa kita kurang menepati masa
yang ditetapkan untuk setiap sesi. Dalam hal ini, kita seharusnya bersiap sedia 5
hingga 10 minit sebelum aktiviti yang seterusnya dilakukan. Hal ini menjejaskan
keberkesanan pelaksanaan aktiviti yang dirancang terhadap pembentukan insan
guru dalam diri kita. Contohnya, semasa kita berkumpul sebelum pergi ke sekolah
untuk membuat interaksi profesional di sekolah, kebanyakan peserta lewat
berkumpul di Dewan Sri Banai. Hal ini bukan sahaja menjejaskan pengendalian
aktiviti malahan menjejaskan kualiti program BIG.
Dari segi amalan pemakanan, kekurangan kita dipaparkan melalui
pembaziran makanan yang disediakan. Hal ini bukan sahaja menunjukkan amalan
negatif dalam diri kita tetapi juga menyumbang kepada rasa serba salah terhadap
AJK Makanan yang bersusah payah menyediakan makanan. Sekiranya amalan ini
tidak diperbetul sehingga waktu kita melangkah ke alam sekolah, hal ini akan turut
meninggalkan kesan dalam mempengaruhi pemikiran anak-anak murid di sekolah.
Tegasnya, amalan pembaziran makanan merupakan sikap yang mengetepikan rasa
kesyukuran terhadap apa-apa yang dapat kita nikmati.

6
2.3 Peluang
Dengan pendedahan dalam program ini, saya dapat membina keyakinan
diri semasa saya berkhidmat di sekolah nanti. Semasa pihak sekolah
mengadakan mesyuarat dengan guru-guru, saya dapat menyumbang idea saya atau
menyumbang tenaga saya dalam menjayakan program yang ingin dilaksanakan.
Sebagai contoh, sekiranya pihak sekolah mengadakan program perkhemahan, saya
dapat berkongsi pengalaman saya dengan guru-guru di sekolah sebagai idea untuk
membantu meningkatkan kualiti pengurusan perkhemahan. Tegasnya, pengalaman
dan pengetahuan yang saya peroleh dalam program BIG dapat saya aplikasikan
dalam aktiviti semasa saya melangkah ke alam sekolah nanti.
Di samping keyakinan diri, saya juga dapat mendisiplinkan diri semasa
melaksanakan tugas di sekolah nanti. Hal ini dapat membantu saya mengamalkan
sikap profesional dalam diri, terutamanya berhadapan dengan tugas di sekolah.
Sama ada menjalankan pengajaran di dalam bilik darjah, ataupun melaksanakan
aktiviti kokurikulum, saya dapat memberikan komitmen dalam melaksanakan tugas di
sekolah. Dengan ini, saya bukan sahaja dapat membantu melahirkan modal insan
yang berminda kelas pertama, tetapi juga menyahut seruan kerajaan dalam
mencapai aspirasi sistem pendidikan negara demi merealisasikan transformasi
negara arus terkini.
2.4 Ancaman
Kekurangan komitmen dalam pengurusan masa akan menjejaskan
profesionaliti diri kita sebagai guru. Perbuatan tidak menepati masa menjejaskan
proses pelaksanaan dan pengendalian aktiviti. Contohnya, sekiranya kita selalu
masuk ke kelas lewat, proses Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) turut tidak
dapat berjalan lancar. Hal ini menyebabkan anak murid kita tidak dapat menjalankan
pembelajaran yang berkesan di sekolah. Pelaksanaan program anjuran pihak
sekolah turut menghadapi kesulitan dengan amalan pengurusan masa yang kurang
efektif. Sekiranya majlis yang dirancang tidak dapat dijalankan dengan lancar, imej
sekolah dan pihak pentadbir akan terjejas atas ketidakefisienan pengurusan sekolah.
Tegasnya, kita harus mengikis amalan buruk ini demi menjamin keberkesanan
aktiviti serta kredibiliti dan akauntabiliti dalam melaksanakan kewajipan profesion kita.
Selain kekurangan komitmen dalam pengurusan masa, amalan pembaziran
juga menyumbang kepada ancaman kepada diri dan orang lain pada masa
hadapan. Hal ini menyumbang kepada pembentukan modal insan yang kurang
menyeluruh, terutamanya dari segi penerapan nilai. Sekiranya kita sendiri tidak
mampu memperbetul amalan buruk dalam diri kita, maka anak-anak murid akan turut
mencontohi amalan ini dan mengamalkan sikap negatif dalam diri mereka. Maka,
proses pembentukan modal insan yang berbudi pekerti dan berakhlak mulia akan
terbantut. Pendek kata, kita harus mengambil tindakan untuk mengikis amalan
negatif ini sebelum perkara yang tidak diingini berlaku pada diri dan orang lain,
terutamanya pada generasi muda kita.

7
2.5 Cadangan penambahbaikan
Sebagai cadangan penambahbaikan, pada pendapat saya, saya seharusnya
memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai ketua untuk memaklumkan
tugas setiap ahli kumpulan dengan lebih jelas dan terperinci. Selain itu, saya
perlu menekankan sikap mereka semasa menjalankan tugas mereka agar
perancangan yang dilakukan dapat mencapai objektif yang ditetapkan. Hal ini perlu
dilakukan demi membina insan sebagai guru dalam diri fasilitator. Dengan adanya
insan guru yang berpekerti mulia, maka anak-anak murid dapat memperoleh ilmu
pengetahuan dan membentuk sahsiah terpuji melalui pembelajaran dan
pemudahcaraan dikendalikan oleh guru secara berkesan.
Selain itu, kita harus merancang aktiviti yang lebih sesuai dengan murid-
murid. Hal ini bukan sahaja dapat menarik minat murid dalam melakukan atkiviti ini
malahan memudahkan penerapan nilai dalam diri murid. Dengan ini, keberkesanan
pengendalian aktiviti ini pasti terjamin. Objektif yang ditetapkan bagi program
bimbingan dan motivasi ini turut dapat dicapai dan direalisasikan dalam kehidupan
murid-murid.
Di samping itu, kita perlu mengamalkan sikap menepati masa dalam
kehidupan kita, terutamanya dalam melakukan tugas semasa kita berada di
sekolah. Menurut aspirasi kedua dalam konsep 1Malaysia, budaya ketetapan di
mana seseorang individu atau komuniti haruslah mendidik sikap menepati masa
dalam melaksanakan tugas dan mengutamakan kecekapan serta ketepatan. (Aizat,
2016). Sebagai guru, kita bukan sahaja perlu mengutamakan profesion kita, malahan
mendahulukan kebajikan anak-anak murid kita. Dalam konteks program
perkhemahan BIG, saya berpendapat bahawa bukan sahaja penghulu dan penghulu
wati harus memainkan peranan dalam mengumpulkan semua peserta BIG sebelum
aktiviti bermula, malahan peserta harus menyedarkan diri tentang kepentingan
menepati masa dan berada di tempat aktiviti dijalankan 5 hingga 10 minit awal. Kita
harus meningkatkan profesionalisme kita secara berterusan dengan pengahayatan
amalan mendisiplinkan diri demi menjamin keberkesanan perkhidmatan kita serta
anak murid kita dapat memperoleh pendidikan yang berkualiti.
Tidak ketinggalan juga, kita patut menjalankan sistem hukuman dan
ganjaran berdasarkan prestasi setiap kumpulan. Dengan cara peneguhan ini, kita
akan dapat mengetahui kesalahan yang kita lakukan melalui sudut dan pandangan
orang lain. Sekiranya amalan pembaziran makanan dilakukan, maka jurulatih boleh
mengambil tindakan terhadap ahli kumpulan tersebut, contohnya, memberikan tugas
mencuci dulang dan cawan atau menyediakan makanan untuk semua peserta pada
hari yang seterusnya. Dengan ini diharapkan, mereka dapat menyedari betapa
pentingnya untuk menghabiskan makanan dan menunjukkan kesyukuran terhadap
apa-apa yang dinikmati. Menurut Haliza Hamzah (2014), guru merupakan contoh
teladan kepada muridnya, sekiranya guru bersikap tidak bertanggungjawab,
kemungkinan besar murid akan menunjukkan sikap yang sama terhadap guru
tersebut. Oleh itu, kita harus membuat perubahan bermula daripada diri sendiri
supaya dapat menjadi cermin perbandingan kepada anak-anak murid supaya
mewujudkan amalan yang sihat di sekolah.

8
3.0 Rujukan
Aizat bin Khairi. (2016). Konsep 1Malaysia dan Cabaran Pelaksanaannya ke Arah
Pemantapan Perpaduan sebuah Negara-Bangsa. Sosiohumanika: Jurnal
Pendidikan Sains Sosial dan Kemanusiaan, 4(1), 129-140.
Haliza, H., & Samuel, J. N. (2014). Pengurusan bilik darjah dan tingkah
laku. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Janice Heu Wai Yee. (2015, November 16). Laporan Reflektif Big Fasa 6. Capaian
15 Oktober daripada https://www.scribd.com/doc/289895313/Laporan-
Reflektif-Big-Fasa-6.

Anda mungkin juga menyukai