Anda di halaman 1dari 6

LAPORAN REFLEKTIF

Program Bina Insan Guru (BIG) pada umumnya amat bermakna dan memanfaatkan. Sepanjang perlaksanaan program ini, banyak perkara yang telah saya lalui di mana saya telah memperkembangkan pengalaman sedia ada saya, memperolehi sesuatu yang baru, lalu menyedari tentang wahana pembangunan diri dan profesionalisme keguruan. Semasa dalam proses persediaan dan persiapan untuk BIG iaitu dua minggu sebelum tarikh berangkat, pemilihan jawatankuasa dan pengagihan kumpulan telahpun dilakukan atas arahan kem komandan, En. Mat Salleh. Persediaan awal ini secara tidak langsung telah menjadikan kami bertanggungjawab dan mewujudkan interaksi antara kelas di mana saya sendiri cenderung untuk berhubung, mengatur perjumpaan, menanya dan berbincang melalui facebook dengan kelas lain tentang pengagihan tugasan, pemilihan baju dan peralatan. Ini merupakan salah satu kelebihan program ini yang mengukuhkan hubungan sosial kami dan membuatkan kami terlibat secara aktif semasa dalam proses persediaan. Kami merancang segalanya dengan sendiri dan telah memilih penghulu, penghuluwati, dan ahli jawatankuasa yang berupaya memimpin dan membimbing kami tanpa sebarang bantuan pensyarah. Pemilihan tersebut dibuat secara adil dan saksama dengan melibatkan semua kelas tanpa berat sebelah. Dalam kes ini, saya telah belajar untuk mengendalikan sesuatu secara sistematik dan profesional. Jadi, jelas bahawa program ini membekalkan peluang kepada kami untuk memimpin dan

memperkembangkan pengalaman dan pengetahuan kami yang sedia ada dari awal lagi. Apabila kumpulan diagihkan pula, sepuluh kumpulan dibentuk dan saya disenaraikan dalam kumpulan ketujuh iaitu G. Malangnya, antara 13 orang ahli kumpulan G yang sama sekali saya tidak kenali, saya satu-satunya dari kelas Sains. Pada mulanya, saya berasa keseorangan tetapi saya telah bersedia untuk menerimanya sebagai satu cabaran. Dalam kes ini, program ini menyediakan peluang kepada pelajar guru untuk berinteraksi dan keluar menghadapi dunia luar tanpa hanya terikat dalam dunia tersendiri yang kecil.

Berikutan dengan itu, hari untuk berangkat ke pulau pendidikan di tasik banding telahpun tiba. Kami telah berkumpul tepat pada pukul 7.30 pagi di gelanggara. Kami sekumpulan telah memakai baju badge yang berwarna biru untuk memas tikan keseragam seperti yang diperintahkan oleh kem komandan. Sebanyak tiga bas telah disediakan untuk memuatkan 100 pelajar. Perjalanan bas telah mengambil masa di luar jangkaan kami iaitu kira-kira 4 jam. Kami tersilap tempat dua kali. Hal ini boleh dianggap sebagai satu kelemahan sebab tidak ada perancangan yang strategik di mana destinasi tidak ditentukan secara tepat terlebih dahulu. Nilai menepati masa turut tidak dipraktikkan. Jadi, saya mendapat satu kesedaran bahawa segala kelemahan ini tidak harus dipraktikkan oleh seorang guru. Selepas sampai ke destinasi, kami telah diberi taklimat oleh En.Mat Salleh selaku kem komanden. Beliau menerangkan pelaksanaan aktiviti dan peraturan kem satu demi satu. Sesudah itu, bilik asrama telah diberi berdasarkan kumpulan masingmasing di mana saya telah diberi asrama Tun Sri Kandi. Saya dan rakan-rakan sekelas saya agak kecewa dan tidak puas hati dengan pemberian asrama sebab pada awalnya kami telah merancang untuk menginap bersama-sama supaya boleh sembang. Malangnya, kami telah dipisahkan. Kami tidak diberi peluang dan kebebasan untuk memilih tempat penginapan dan kami terpaksa bertoleransi dengan orang yang kami tidak kenali. Apa lagi kalau katil yang diberi kepada saya penuh dengan semut memandangkan sarang semut hanya dua langkah jauhnya dari katil saya. Lagilah saya berasa tidak sedap hati. Isu semut ini sebenarnya merupakan satu ancaman kepada saya walaupun dipandang remeh. Saya harap pihak pengurusan akan memberi keutamaan lebih lagi terhadap keselamatan dan kesihatan pelajar guru pada masa akan datang. Sebenarnya, pengagihan bilik asrama berdasarkan kumpulan adalah untuk menyediakan peluang kepada kita untuk mengetahui budaya dan kebiasaan kaum lain di samping berinteraksi dengan pelajar kelas lain secara lebih rapat lagi untuk mengeratkan hubungan silaturahim. Memandangkan kelas saya terdiri daripada kaum India sahaja, hal ini telah menyediakan peluang kepada saya untuk keluar dari zon selesa saya dan bergaul bersama orang dengan latar belakang yang berbeza.

Dalam kes ini, saya sangat yakin bahawa apabila saya menjadi seorang guru kelak, saya boleh memahami agama, budaya, adat resam, dan amalan setiap anak murid saya dan tidak sesekali mendedahkan mereka kepada ajaran yang bertentangan dengan budaya mereka. Sebagai guru, saya akan sentiasa menghormati mereka dan bertolak-ansur. Saya tidak akan berat sebelah dan sentiasa bersikap adil dan saksama dalam kelas tanpa membezakan anak murid saya berdasarkan kaum. Berikutan dengan itu, kami diperuntukkan sedikit masa untuk minum petang. Latihan Dalam Kumpulan 1 (LDK 1) telahpun mula sejurus kemudian tanpa melengahkan masa. LDK tersebut berkenaan dengan cara membalut kain anduk pada bahagian-bahagian badan yang tercedera di mana sebanyak 6 stesen telah diperuntukkan dengan setiap satu stesen diketuai oleh seorang pensyarah yang arif dalam bidang tersebut. Saya membuat yang terbaik dalam stesen balutan anduh kepala, lengan, pergelangan tangan, dan tapak kaki iaitu stesen kedua, ketiga dan keempat masing-masing. Saya masih mengingati setiap satu balutan tersebut sebab saya telah cuba setiap satu balutan itu atas model saya, Latha Raj Rajandran tanpa hanya mendengar. Saya mendapatinya agak baru dan seronok kerana saya telah diberi peluang untuk memperkembangkan lagi pengetahuan saya yang sedia ada tentang balutan anduh. Stesen yang paling menyeronokkan ialah stesen kelima dan keenam iaitu stesen bantuan kecemasan mulut ke mulut iaitu resusitasi jantung paruparu (CPR) dan stesen usungan. En.Bachan selaku ketua stesen CPR telah

memperkenalkan satu istilah yang baru iaitu DR.ABCD. Saya mendapati istilah tersebut amat berkesan untuk mengingati urutan langkah yang perlu ditangani sekiranya saya menemui seseorang yang memerlukan bantuan kecemasan mulut ke mulut. LDK 2 dilaksanakan pada waktu petang iaitu kami dalam kumpulan telah diamanahkan untuk mencipta logo, slogan, visi, misi dan lagu kumpulan kami tersendiri. Uhhh!!! Sekali lagi? Bukankah kita selalu melakukannya? Bosanlah! Kenapa tidak kita cuba sesuatu yang baru? Beginilah persoalan -persoalan yang membangkit dan melayang dalam minda saya pada masa tersebut. Saya memang tidak bersetuju dengan pengendalian aktiviti sebegini yang tidak bersesuaian dengan pengedaran masa sekarang memandangkan generasi kami mengharapkan sesuatu yang lebih

mencabar dan baru. Saya menganggapnya sebagai satu kelemahan sebab tidak ada sebarang pembaharuan idea dalam pengendalian aktiviti di mana kita masih bergantung kepada aktiviti masa dahulu yang diturunkan secara turun-temurun. Walau apa sekali pun, demi untuk menjayakan objektif BIG kami telah membuat yang terbaik. Kami telah bekerjasama, menggabungkan idea, mengagihkan kerja antara satu sama lain dan akhirnya membuahkan satu hasil yang baik dalam masa yang begitu singkat. Hari kedua kami pula mula dengan senaman pagi yang diketuai oleh En.Bachan. Secara jujurnya, sudah lama saya tidak melibatkan diri saya dalam apa-apa aktiviti luar atau fizikal yang memberi kecergasan kepada badan dan otak. Semakin hari semakin banyaklah tugasan diberi lalu habislah segala masa keemasan saya di hadapan komputer riba sahaja. Sebelum memasuki Institut Pendidikan Guru (IPG), saya tidak pernah terfikir bahawa dalam proses untuk menjadi seorang guru, saya akan lalui atau merentasi banyak cabaran dan halangan. Walaubagaimanapun, ianya adalah kesalahan atau kelekaan saya sebab saya tidak bijak mengagihkan masa untuk pembelajaran dan jasmani untuk mencapai kecemerlangan diri. Selepas senaman pagi itu, saya mendapat satu kesedaran bahawa saya perlu mengikut amalan bersenaman sebegitu setiap pagi untuk kesihatan diri sendiri. Dalam kes ini, jelas bahawa kem ini telah menyediakan peluang kepada saya untuk menyedari kepentingan senaman. Apabila saya menjadi seorang guru, sudah tentu saya akan menekankan kepentingan senaman kepada anak murid saya juga. Saya akan menyumbangkan masyarakat yang sihat dan sejahtera yang bebas daripada penyakit pada masa akan datang. Seterusnya, kami sekumpulan telah terlibat dalam aktiviti air. Inilah baru aktiviti mencabar yang selama ini saya tertunggu-tunggu. Aktiviti keyakinan air bukannya sesuatu yang baru bagi saya, tetapi inilah pertama kali saya melakukannya di tasik yang agak merbahaya dengan kedalamannya kira-kira 30 m. Ini sebenarnya merupakan satu ancaman juga tetapi saya agak ghairah dan bersemangat tinggi untuk mencubanya. Saya mendapatinya agak pelik apabila rakan-rakan saya yang lain mengalami ketakutan bahkan sebelum turun ke dalam air meskipun mereka memakai buoyancy aid. Saya langsung tidak berasa takut. Saya terapung dengan baik

lalu dipuji pensyarah. Lebih-lebih lagi, apabila pertandingan berenang diadakan, saya membuat yang terbaik dan mendapat tempat pertama seperti yang dihasratkan. Dari dulu lagi, saya selalunya menyasarkan tempat pertama dalam apa jua perkara. Jadi, saya harus berterima kasih kepada kem ini kerana memberi peluang kepada saya untuk mengetahui kemampuan diri saya sendiri, menonjolkan kebolehan diri saya dan membuktikan bahawa saya boleh melakukan apa sahaja sekiranya berusaha dengan sepenuh hati. Aktiviti air ini juga merupakan kelebihan kepada kem ini memandangkan kem-kem lain selalunya tidak berani mencubanya sebab ia agak merbahaya. Apa yang lebih menghairankan ialah apabila pensyarah kami sendiri menjadi fasilitator kepada kami dan membimbing kami di dalam air. Melalui aktiviti ini, saya telah mengembangkan pengalaman sedia ada dan sekarang saya lebih yakin untuk menghadapi sesuatu. Sejurus selepas habisnya aktiviti tersebut, aktiviti menentukan arah

menggunakan kompas pula dijalankan. Memandangkan saya pernah melakukannya semasa di Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), menjadi mudah bagi saya untuk melaksanakan aktiviti tersebut walaupun beberapa penambahan telah dibuat oleh En.Yusuf selaku pembimbing aktiviti tersebut. Saya mendapat peluang untuk mengimbas kembali dan mengukuhkan pengetahuan sedia ada saya melalui pengulangan aktiviti ini. Saya menjadi pembimbing kepada kumpulan saya dan sekarang saya lebih mengingati penggunaan kompas berbanding dengan dulu. Di sini, saya mempelajari bahawa pengulangan akan mengukuhkan ingatan seseorang. Jadi, kaedah ini boleh digunakan oleh seorang guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk membantu murid-murid merebut sesuatu dengan cepat dan efektif. Pada lewat petang hari itu juga kami telah membentangkan hasil kerja kami berkenaan dengan logo, moto, visi dan misi. Pada hari ketiga, iaitu hari terakhir perkhemahan, aktiviti meredah hutan (jungle trekking) telah dirancang dan berjaya dilaksanakan dengan jayanya tanpa apa-apa kecelakaan. Aktiviti ini merupakan salah satu aktiviti yang paling saya minati sejak dari sekolah menengah lagi. Sayalah orang pertama yang selalunya memulakan dan menghabiskan perjalanan terlebih dahulu dengan penuh bersungguh-sungguh apabila peredahan hutan dilakukan. Saya begitu

meminatinya. Kali ini, saya memperhatikan bahawa perjalanan hutan di pulau pendidikan dan pulau bomba tidak begitu mencabar dan hanya setakat membawa kami untuk jalan-jalan tanpa memberi peluang untuk mendaki, menggelincir, menuruni curam dan sebagainya. Saya rasa ini merupakan antara kelemahan program ini sebab unsur kelangsungan hidup (survival) yang mencabar tidak diselitkan dan didedahkan dalam program ini walaupun program sebenarnya ini tidak ada kaitan dengan kem kelangsungan hidup (survival camp). Saya berpendapat bahawa kesukaran hidup yang dilalui seseorang itu akan menjadikannya lebih tabah dan berani. Oleh yang demikian, semakin sukar sesuatu aktiviti, semakin banyak pelajar guru akan mengingatinya dan menghayatinya pada masa depan. Selepas selesainya aktiviti terakhir itu iaitu peredahan hutan, habislah sudah program BIG dengan jayanya. Pada keseluruhannya, peluang dan kelebihan program ini ternyata lebih banyak daripada kelemahan dan ancaman. Maka, saya harap program ini akan terus dilaksanakan dengan beberapa pembaikan supaya generasi yang akan datang turut boleh menghayati segala kebaikan dan kelebihan program ini. Mereka turut akan mendapat peluang untuk memperkembangkan pengetahuan, mempertingkatkan kemahiran dan mengukuhkan nilai dalaman mereka supaya menjadi warga pendidik yang berakauntabiliti. Saya mencadangkan supaya aktiviti-aktiviti program BIG dirancang kembali secara sistematik dan seterusnya diubahsuai supaya berlaku suatu pembaharuan ataupun transformasi. Hal ini adalah untuk mendedahkan pelajar guru kepada sesuatu yang baru dan menyeronokkan. Pemilihan tempat dan pengagihan masa untuk aktiviti juga perlu diberi perhatian dan dirancang dengan teliti supaya ia tidak menghalang perlaksanaan aktiviti. Harap saya boleh menghayati lagi kebaikan program BIG ini pada semester hadapan.

(1800 patah perkataan)

(keseluruhannya 3000 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai