Anda di halaman 1dari 5

TAJUK: BUDAYA MEMBACA MEMBUKA CAKERAWALA

Hiew: Percubaan suara, percubaan suara, percubaan satu, dua dan tiga.
Pengerusi: Percubaan suara, percubaan suara, percubaan satu, dua dan tiga.
Mun: Percubaan suara, percubaan suara, percubaan satu, dua dan tiga.
Azri: Percubaan suara, percubaan suara, percubaan satu, dua dan tiga.
Pengerusi: Pentas Forum pelajar.
Serentak: Gelanggang wacana ilmu.

Pengerusi: Salam muhibah dan salam diskusi saya ucapkan kepada barisan panel hakim, dif-dif
kehormat, warga DBP, para pendidik, ahli-ahli panel serta pencinta ilmu sekalian. Selaku
peneraju forum kita pada hari ini saya Chien Mei Yee akan menemani anda menerusi sesi
perkongsian ilmu dalam arena forum pelajar 2011 dengan tajuk “Budaya Membaca Membuka
Cakerawala”. Hadirin sekalian, hari ini saya tidak keseorangan, saya bersama seorang serikandi
yang jelita dan dua orang arjuna yang segak dan tampan. Baiklah, saya perkenalkan di sebelah
kanan saya, bunga yang sedang mekar merupakan seorang pengawas sekolah yang tegas tapi
berhemah, saya perkenalkan saudari Hiew Koo Wee. Selamat datang saudari. (Hiew: Ya, terima
kasih). Seterusnya di sebelah kiri saya pula tampil segak dan bergaya, saya perkenalkan saudara
Chee Kok Mun. Apa khabar saudara? (Mun: Khabar baik, saudari). Jejaka yang mesra dengan
sapaan Mun ini merupakan ketua pustakawan sekolah. Baiklah, hadirin sekalian anda tentu tidak
sabar-sabar lagi untuk berkenalan dengan jejaka yang menanti di hujung sana, saya perkenalkan
saudara Azri bin Kahar. Saudara Azri ialah Pengerusi Kelab Koperasi Sekolah. Sihat hari ini
saudara Azri? (Azri: Ya, sihat walafiat). Ahli-ahli panel dan hadirin sekalian. Isu yang kita
bicarakan pada hari ini “Budaya Membaca Membuka Cakerawala”, menekankan bahawa
membaca adalah kunci bagi semua kejayaan. Bagi merintis perbincangan kita pada hari ini, saya
persilakan panel kita yang anggun jelita saudari Hiew, untuk mengupas tajuk forum kita. Silakan.

Hiew: Terima kasih saudari pengerusi, rakan-rakan panel dan hadirin sekalian. Tajuk forum kita
yang berbunyi “Budaya Membaca Membuka Cakerawala” terdiri daripada beberapa kosa kata
yang perlu kita fahami maksudnya. Menurut Kamus Dewan (edisi keempat), secara literal
budaya bermaksud tamadun atau peradaban, manakala membaca ialah memerhatikan isi sesuatu
yang tertulis dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya, sementara membuka pula
ialah menjadikan sesutu tidak tertutup, seterusnya cakerawala ialah langit atau lengkung langit.
Secara konseptualnya Saudari pengerusi, “Budaya Membaca Membuka cakerawala” dapat
difahami sebagai, amalan membaca yang dilakukan secara berterusan membolehkan kita
menjangkau sesuatu yang tidak bertepian, kita tidak hanya berada dalam kepompong kita sahaja
“katak dibawa tempurung”, sebaliknya kita akan menjelajah ke seantero dunia bahkan dapat
melangkauinya.

Pengerusi: Terima kasih saudari Hiew. Nampaknya amalan membaca merupakan jambatan
untuk kita sampai ke destinasi impian. Namun persoalan yang bermain dibenak saya saudara
Mun ialah mengapakah amalan membaca sangat penting dalam kehidupan kita? Saya kira
saudara Mun boleh menjelaskan perkara ini. Silakan.
Mun: Terima kasih saudari pengerusi, rakan-rakan panel serta warga dewan yang budiman. Pada
pandangan saya membaca adalah kunci segala ilmu. Malah, jika kita prihatin dengan kehidupan
beragama, Islam meletakkan amalan membaca pada darjat yang sangat tinggi. Hal ini terjadi
semasa Nabi Muhammad menerima wahyu yang pertama. Saudari pengerusi, izinkan saya
membacakan maksud surah al-‘Alaq ayat 1, “wahai Muhammad, bacalah dengan nama
TuhanMu, yang menciptakan sekalian makhluk”. Hadirin sekalian, sebagai pencinta ilmu kita
seharusnya akur bahawa membaca adalah asas bagi segala ilmu. Amalan membaca akan
mengeluarkan kita dari alam yang sempit dan terbatas lalu menuju ke alam yang lebih luas
cakerawalanya. Orang yang sedang membaca seolah-olah hidup merentasi zaman, sempadan,
dan tembok pemikiran. Hal inilah yang menjadikan amalan membaca sangat penting dalam
hidup kita.

Pengerusi: Terima kasih saudari Mun. Ahli-ahli panel dan hadirin sekalian. Sesuai dengan
penjelasan saudara Mun, Jim Rohn dalam bukunya “Membaca Membuka Cakerawala Dunia”
turut menjelaskan bahawa seseorang yang membaca sejam sehari secara berterusan, lima tahun
kelak orang itu akan menjadi pakar dalam bidang yang dibacanya. Demikianlan kekuatan aktiviti
membaca jika kita mengamalkannya. Tapi persoalannya saudara Azri, adakah amalan membaca
ini sudah membudaya di negara kita?

Azri: Terima kasih saudari pengerusi, rakan-rakan panel dan warga pencinta ilmu sekalian. Pada
pengamatan saya, amalan membaca di negara kita semakin meningkat walaupun tahapnya belum
lagi membudaya. Saya ingin memetik laporan akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk Orang
Malaysia Tidak Membaca Buku yang bertarikh 8 Februari 2007. Berdasarkan kajian profil
membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahun 1996,
secara purata rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku setahun. Perkara ini tidak
banyak berubah apabila perangkaan tahun 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam
pelbagai bidang didaftarkan, berbanding 180,000 di China, 116 000 di United Kingdom, 60 000
di Amerika Syarikat dan 45,000 di India. Laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu(UNDP) ini, menunjukkan amalan membaca rakyat kita masih jauh ketinggalan
berbanding negara-negara lain.

Pengerusi: Saudara Azri, Dr. Azizan Bahari mengkelaskan bahan-bahan bacaan kepada tiga
iaitu ringan, kreatif dan berat. Bahan manakah yang dibaca oleh masyarakat kita?

Azri: Purata dua naskhah buku yang dibaca oleh masyarakat kita ialah bahan bacaan ringan dan
santai seperti komik, majalah dan akhbar, sedangkan bahan bacaan kreatif dan berat masih
dipinggirkan.

Pengerusi: Terima kasih saudara Azri. Warga dewan sekalian. Satu lagi polemik yang
menghantui kita, “masyarakat membaca tetapi bahan yang dibaca ialah bahan picisan”. Saudara
Mun, Mengapakah bahan bacaan berat dipinggirkan sedangkan bahan bacaan inilah yang mampu
membina minda dan pemikiran kritis?
Mun: Saudari pengerusi, rakan-rakan panel dan hadirin sekalian. Suatu ketika, Dewan Bahasa
dan Pustaka (DBP) pernah mengehadkan cetakan buku mengikut tajuk kepada 1,000 hingga
3,000 naskhah sahaja berbanding 3,000 hingga 5,000 naskhah pada era 80-an. Hal ini demikian
kerana, bahan bacaan ilmiah kurang digemari. Saudari pengerusi, Ciri kurangnya daya tarikan
terhadap kandungan, susun atur dan corak penulisannya yang stereotaip menyebabkan bahan ini
kurang diminati. Pengarah Penerbit UTM Press, Profesor Hishamuddin Jamaluddin berkata,
bahan bacaan ilmiah membosankan kerana sasaran penerbitannya menjurus kepada pemprosesan
ilmu yang serius, padat dan saintifik. Bahan bacaan ringan pula lebih digemari kerana sifatnya
yang menarik, bersahaja, dan menghiburkan. Jadi, senario ini menunjukkan masyarakat kita
belum kenal “yang mana intan, yang mana kaca”. Sekadar itu saudara pengerusi.

Pengerusi: Terima kasih saudara Mun. Ahli-ahli panel dan hadirin sekalian. “Jangankan
membuka cakerawala, hendak keluar dari takuk yang lama pun pasti sukar jika pola pembacaan
masih demikian”. Justeru, apakah lagi perkara-perkara yang mengekang budaya memaca ini?
Saya persilakan mana-mana ahli panel yang ingin berkongsi pandangan.

Hiew: Saudari pengerusi, Saya ingin berkongsi pandangan dalam hal ini. (Pengerusi: Silakan).
Hadirin sekalian, pada pandangan saya, sikap masyarakat kita yang malas membaca buku
berpunca darpada bebarapa faktor. Antaranya ialah sikap individu itu sendiri. Ada yang
beranggapan bahawa membaca hanya membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit kerana
hasilnya bukan dalam bentuk kebendaan. Malah, dalam institusi pendidikan, ramai pelajar yang
membaca hanya untuk lulus peperiksaan sahaja. Kanotasinya, selepas mereka keluar dari
institusi tersebut, amalan membaca kian ditinggalkan kerana mereka tidak lagi terikat dengan
sistem peperiksaan yang menuntut mereka membaca.

Pengerusi: Bagaimana pula dengan pengaruh budaya membaca di rumah?

Hiew: Suasana keluarga di rumah yang tidak mengamalkan budaya membaca menyebabkan
masalah ini berterusan. Ibu bapa yang naïf dan dangkal tentang faedah membaca sememangnya
terpisah jauh dengan amalan murni ini. Jadi, kalau ibu bapa tidak gemar membaca dan tidak
mendorong anak-anaknya untuk membaca, sudah tentu anak-anak mereka dua kali lebih tidak
minat membaca bak kata orang”bapa borek anak rintik”.

Pengerusi: Terima kasih saudara Hiew. Hadirin sekalian, isu kemunculan teknologi moden
sedikit sebanyak mengubah trend pembacaan masyarakat kita. Saya kira saudara Azri boleh
menjelaskan perkara ini. Silakan

Azri: Saudari pengerusi, rakan-rakan panel dan hadirin sekalian. Pada peringkat awal,
kemunculan teknologi maklumat (IT), memang mengubah trend pembacaan masyarakat kita.
Saudari pengerusi, menurut Super Admin dalam artikel yang bertajuk: “Adakah Teknologi
Membunuh Budaya Membaca?”, kemunculan alat teknologi menyebabkan budaya membaca
dalam kalangan generasi muda semakin merudum. Kebanjiran teknologi moden seperti televisyen, video dan
internet, menyebabkan remaja di seluruh dunia termasuk Malaysia malas membaca. Mereka banyak
menghabiskan masa menonton televisyen dan bermain komputer. Mereka menolak bahan bacaan tradisional
iaitu buku dan memilih bahan konvesional yang bersifat audio dan visual seperti video, cakera
padat (CD) atau cakera video digital (DVD) untuk berhibur.
Hiew: Saudari pengerusi, saya amat tertarik dengan pandangan ahli panel ketiga sebentar tadi,
namun saya ingin berkongsi idea.

Pengerusi: Silakan

Hiew: Terima kasih saudari pengerusi. Hadirin sekalian, saya ingin melontarkan persoalan ini
kepada anda yang ada di dalam dewan yang indah ini. Adakah hadirin sekalian membuka dan
membaca Facebook, Twitter, e-mel setiap hari? Bukankah aktiviti ini juga merupakan amalan
membaca yang bersifat silang budaya? Saudari pengerusi, sekurang-kurangnya kita masih
mengerah kudrat untuk membaca dan memahami mesej sekaligus merancakkan lagi perkongsian
maklumat. Malah, kehadiran aplikasi e-book, laman web dan blog tidak menggugat industri
penerbitan bahan bacaan bercetak, bahkan merancakkan lagi budaya membaca serta tradisi ilmu
di negara kita. Jadi saudari pengerusi, jangan kerana kelemahan diri kita, teknologi dipersalahkan
seperti “marahkan nyamuk, kelambu dibakar”.

Pengerusi: Ya, terima kasih saudari Hiew. Bercakap tentang pembinaan kerangka budaya
membaca, saya kira budaya ini sewajarnya bermula dalam sebuah keluarga yang juga dianggap
sebagai unit sosial dalam masyarakat. Bagaimanakah pandangan saudara Mun dalam hal ini?

Mun: Terima kasih saudari pengerusi. Hadirin sekalian. Pada hemat saya, institusi keluarga yang
terdiri daripada datuk, nenek, bapa, ibu, abang, kakak, dan adik seharusnya sama-sama
bertanggungjawab untuk menyemai dan memupuk budaya membaca dalam keluarga. Perkara ini
penting untuk menongkah arus perkembangan teknologi moden yang memberi tamparan hebat
kepada perkembangan mental kanak-kanak. Ibu bapa selaku nakhoda dalam keluarga perlu bijak
membawa bahtera keluarga agar suka membaca. Antara langkah yang boleh mereka ambil ialah
peruntukkan masa membaca bersama keluarga, wujudkan sudut bacaan di rumah, jadikan buku
sebagai hadiah pada hari-hari istimewa dan jadilah model pembaca terbaik kepada anak-anak.

Pengerusi: Terima kasih saudara Mun. Ahli-ahli panel dan hadirin sekalian. Apakah pula
program yang boleh dilaksanakan di sekolah untuk menyuburkan budaya membaca ini?
Nampaknya saudara Azri mempunyai jawapan bagi persoalan ini. Silakan.

Azri: Terima kasih saudara pengerusi, rakan-rakan panel dan hadirin sekalian. Di sekolah, Salah
satu program untuk menyuburkan aktiviti membaca ialah Program Nadi Ilmu Amalan Membaca
atau ringkasnya (Nilam) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Menerusi
program ini, semua buku yang pelajar baca akan direkod sehingga mereka tamat persekolahan.
Langkah ini merangsang pelajar untuk membaca sekaligus menyangkal tuduhan pelbagai pihak
yang mengatakan bahawa sekolah hanya mendidik untuk peperiksaan sahaja. Selain itu, dalam
seminar “reading for all” yang dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan Asia Pasifik
menyepakati bahawa aktiviti membaca 10 minit sebelum belajar atau dikanali “morning study”
mampu menjadi titik permulaan yang efektif untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan
pelajar.

Pengerusi: Terima kasih saudara Azri. Pada ruang yang singkat ini, saya persilakan saudari
Hiew untuk memberikan petua-petua agar kita suka membaca. Silakan.
Hiew: Rakan-rakan panel dan warga dewan sekalian. Untuk berjinak-jinak dengan aktiviti
membaca mulakanlah membaca buku yang anda minati seperti komik, cerpen, dan novel yang
tipis-tipis, sentiasalah membawa buku untuk dibaca, jadilah ahli perpustakaan atau kelab
membaca, dan jika ingin membaca dalam tempoh yang lama carilah ruang yang selesa, bersih
dan nyaman, mainkanlah alunan muzik yang perlahan dan teguklah minuman yang menyegarkan
supaya aktiviti membaca anda damai dan menyeronokkan.

Pengerusi: Terima kasih saudari Hiew. Ahli-ahli panel dan hadirin sekalian. Menerusi
perbincangan kita itu tadi, saya merumuskan bahawa budaya membaca akan menjadikan kita
lebih berilmu. Hadirin sekalian, kadar literasi rakyat negara kita telah mencapai 93.2 peratus. Negara
kita Malaysia telah meningkat ke tangga 45 daripada 129 negara dalam Indeks Pembangunan Pendidikan
2009 berbanding kedudukan 56 pada tahun 2008. Ini menunjukkan bahawa kerajaan begitu serius menuju
ke arah negara maju dan menyokong kuat Agenda Pendidikan Untuk Semua (EFA) menjelang 2015 bagi
mencapai misi buta huruf sifar. Oleh itu, sepatutnya tidak ada lagi alasan dan justifikasi untuk kita tidak
memasyarakatkan budaya membaca. Hadirin sekalian “pendayung sudah di tangan, perahu sudah di air”
jom kita membaca, kerana dengan membaca kita boleh melakukan transformasi untuk kekal relevan
sepanjang zaman serta merentasi sempadan geografi dan sosiobudaya . Sebelum saya menutup tirai
perbincangan ini, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada ketiga-tiga ahli panel yang telah
memberi idea-idea yang kritis dan bernas, tidak lupa juga kepada hadirin yang sudi mengikuti
perbincangan kita dari awal hingga ke akhir perbincangan. Akhir kata daripada saya dari pentas wacana
forum pelajar, terkasar bahasa, tersilap kata mohon dimaafkan. Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai