Anda di halaman 1dari 11

1. Menurut anda, apakah peranan penting seorang profesional helper?

Sila kaitkan
dengan profesion dalam bidang pendidikan yang anda ceburi. Nyatakan pendapat anda
sendiri mengapa anda merasakan peranan itu penting untuk digalas oleh profesional
helper tersebut?

Pada pendapat saya sebagai seorang pelajar dalam bidang kaunseling, peranan penting
seorang profesional helper adalah untuk membantu klien bagi memahami dirinya dalam
hubungannya dengan dunia sosial dan psikologi di tempat dia berada. Ini bermaksud kaunselor
perlu membantu klien agar klien mampu mengenali siapa dirinya yang sebenar serta dapat
membuat hubungan yang bermakna dengan dunia sekelilngnya dari sudut sosialisasi dan
psikologi di mana ia berada. Tugas kaunselor yang terpenting adalah membantu klien mencari
dan memahami sikap, minat, bakat serta kebolehan yang ada pada diri klien untuk berkembang
dengan baik serta peluang-peluang yang dimiliki oleh klien hasil daripada perbincangannya
dengan kaunselor untuk proses ke arah mencapai kesempurnaan kendiri serta hubungan
antara kesemua unsur yang telah dinyatakan semata-mata untuk mencari keseimbangan
kendiri sebagaimana yang diingini selaras dengan tuntutan agama dan masyarakat.

Seterusnya, peranan seorang profesional helper adalah membantu seseorang


merasionalkan kembali pemikiran mereka dan membantu seseorang untuk berfikir secara
positif. Peranan kaunselor membantu klien dalam merasionalkan kembali fikiran mereka adalah
penting kerana klien yang hadir untuk membuat sesi kaunseling adalah mereka yang tidak
dapat berfikiran secara rasional untuk menyelesaikan masalah. Oleh itu, peranan mereka
sebagai seorang profesional helper yang membantu orang lain dalam merasionalkan pemikiran
serta berfikiran positif adalah peranan penting sebagai seorang kaunselor.

Akhir sekali, peranan profesional helper adalah untuk membantu klien meningkatkan
keyakinan diri mereka. Hal ini demikian kerana, klien yang tidak mempunyai keyakinan diri
selalunya adalah klien yang merupakan mangsa buli ataupun seorang pelajar yang mempunyai
masalah berkaitan pencapaian akademik di sekolah. Oleh itu, klien yang mempunyai isu
dengan keyakinan diri ini perlulah dibantu oleh kaunselor. Kaunselor perlu membantu dengan
menggunakan teknik-teknik yang bersesuaian untuk meningkatkan keyakinan diri klien.
Peranan ini merupakan salah satu peranan yang penting untuk kaunselor. Hal ini demikian
kerana, isu berkaitan dengan keyakinan diri ini perlu dititikberatkan oleh kaunselor untuk
membolehkan klien mempunyai keyakinan diri apabila berada bersama dengan orang lain.

1
2. Apa faktor yang mendorong anda untuk mempertimbangkan bidang profesional yang
anda ceburi ini?

Faktor utama saya menceburi bidang ini iaitu kaunseling adalah kerana sifat saya yang
suka menolong orang lain. Pada awalnya, saya tidak sedar tentang keadaan ini sehingga timbul
rasa puas dalam diri saya apabila saya dapat menolong rakan saya yang dalam kesusahan
ketika itu. Saya akan berasa gembira apabila orang yang saya tolong itu tersenyum. Kita
menyedari hakikat bahawa, bidang kaunseling itu tidak lari dari kemahiran untuk menolong
masyarakat sekeliling kita. Oleh itu, saya memilih bidang ini supaya saya dapat belajar lebih lagi
kemahiran-kemahiran yang perlu saya ada untuk membantu komuniti yang memerlukan.
Jelaslah bahawa, sifat suka menolong orang lain yang ada dalam diri saya ini merupakan faktor
utama mengapa saya memilih bidang kaunseling untuk dipelajari.

Selain itu, faktor mengapa saya meceburi bidang ini adalah kerana kaunseling
membantu saya untuk mengenali dan memahami insan yang bernama manusia dengan lebih
mendalam lagi berdasarkan teori-teori kaunseling yang dipelajari. Apabila saya mengambil
bidang ini sekaligus saya akan mempelajari tentang psikologi. Psikolgi adalah satu bidang yang
mengkaji tentang tingkah laku dan minda manusia. Penyelidikan dalam bidang psikologi
bertujuan untuk memahami dan menerangkan tentang pemikiran, tindakan, perasaan manusia,
dan sebagainya. Oleh sebab itu, melalui bidang ini saya dapat mengetahui tentang diri manusia
secara kompleks iaitu tingkah laku mereka ataupun emosi mereka.

Akhir sekali, faktor mengapa saya mengambil bidang ini adalah kerana kaunseling
merupakan salah satu program yang terbaik untuk membantu saya membentuk sahsiah diri
yang unggul serta membentuk disiplin sekaligus meningkatkan keyakinan diri untuk berhadapan
dengan masyarakat dalam alam pekerjaan. Hal ini demikian kerana, untuk menjadi seorang
kaunselor kita mestilah mempunyai sahsiah yang baik serta disiplin diri yang tinggi. Kaunselor
harus menjadi teladan yang baik untuk klien. Seterusnya, kaunselor juga perlulah mempunyai
keyakinan diri untuk mengendalikan sesi kaunseling individu ataupun kelompok. Sifat-sifat
terpuji seperti ini haruslah dipupuk sekiranya saya menceburi dalam bidang kaunseling
sekaligus saya boleh mempraktikkannya dalam kehidupan seharian dan bukannya ketika saya
menjadi kaunselor dalam sesi kaunseling sahaja. Jelaslah bahawa, faktor saya menceburi
bidang ini adalah kerana saya ingin membantu diri saya sendiri untuk membentuk sahsiah diri,
mempunyai disipilin dan keyakinan diri.

2
3. Berdasarkan kepercayaan, pengalaman sesi individu anda, dan lain-lain maklumat,
apakah tiga (3) perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh seorang kaunselor
semasa memberikan perkhidmatan sesi kaunseling? Bincangkan.

Pada pandangan saya, saya berpendapat bahawa kaunselor perlu membina hubungan
yang baik semasa memberi perkhidmatan sesi kaunseling tidak kira secara individu mahupun
kelompok. Berdasarkan pengalaman saya yang pernah menjadi kaunselor untuk sesi
kaunseling individu dan kelompok, kemahiran membina hubungan sangat penting yang harus
dilakukan oleh kaunselor. Kemahiran membina hubungan merupakan langkah yang paling awal
dalam sesi kaunseling. Tujuannya adalah untuk membina hubungan yang mesra, saling
mempercayai dan rasa selamat antara kaunselor dan klien supaya klien sedia berbincang.
Tahap ini termasuklah memberi perangsang kepada klien agar sentiasa tenang dengan
memberikan tanggapan pertama yang positif. Kaunselor mesti membina suasana sekeliling dan
tingkah laku yang meyakinkan dan menunjukkan kemesraan.

Selain itu, semasa memberi perkhidmatan kaunseling kaunselor perlu menggalakan


klien untuk bercakap. Kaunselor perlu menggunakan soalan-soalan jenis terbuka. Semasa klien
bercakap, kaunselor perlu mendengar dengan penuh teliti dan penuh empati. Sementara itu,
semasa klien bercakap, kaunselor harus mendengar dan memberi perhatian, memberi respon
yang minima seperti mengganggukkan kepala dan sebagainya untuk menggalakkan terus
bercakap. Berdasarkan pengalaman saya menjadi seorang kaunselor pelatih, klien yang kurang
bercakap dalam sesi kaunseling akan mengganggu kelangsungan sesi tersebut. Hal ini
demikian kerana, kaunselor tidak dapat meneroka isu yang dihadapi oleh klien sekiranya klien
memilih untuk menjadi pasif dalam sesi kaunseling.

Akhir sekali, kaunselor mestilah mendengar dengan teliti apa yang dikatakan oleh klien
semasa memberi perkhidmatan sesi kaunseling. Kemahiran mendengar merupakan satu
kemahiran yang paling asas dan penting dalam sesi kaunseling. Dalam hal ini, kaunselor perlu
lebih banyak meluangkan masanya mendengar daripada menyampuk percakapan klien. Untuk
benar-benar memahami apa yang telah diperkatakan oleh klien, kaunselor perlu memberikan
tumpuan dan pemerhatian yang sepenuhnya untuk mendengar semua percakapan klien
tersebut. Selain dari tutur kata, gerak geri klien semasa bercakap juga patut dilihat dan didengar
sama. Dikatakan bahawa segala tingkah laku klien itu turut memainkan peranan yang penting
dalam menyampaikan makna sesuatu pengucapannya itu.

3
4. Berdasarkan kepercayaan, pengalaman sesi kaunseling individu, dan lain-lain
maklumat, apakah tiga (3) perkara paling penting yang tidak sepatutnya dilakukan oleh
seorang kaunselor semasa memberikan perkhidmatan sesi kaunseling? (perlu berikan
contoh-contoh yang sesuai dan bukan hanya menjawab berdasarkan jawapan di soalan
no 3 dengan memberikan jawapan sebaliknya).

Pada pendapat saya, kaunselor tidak boleh menunjukkan empati secara berlebihan
semasa memberi perkhidmatan sesi kaunseling. Empati adalah proses untuk memahami emosi
dan perasaan seseorang. Dengan adanya kemahiran berempati ini, kaunselor dikatakan
berkeupayaan untuk memahami emosi dan dapat merasai apa jua yang dirasai oleh klien
tersebut. Dengan ini, klien akan merasakan bahawa kaunselor itu memang seorang pendengar
yang baik, memahami keadaannya serta mengambil berat tentang dirinya kerana kaunselor
berupaya untuk memahami situasi sebenar yang dialaminya. Tetapi, empati secara berlebihan
seperti kaunselor turut menangis apabila klien menangis dalam sesi kaunseling merupakan satu
amalan yang tidak patut dilakukan oleh mana-mana kaunselor. Kaunselor tidak boleh terbawa-
bawa dengan emosi yang ditunjukkan oleh klien.

Selain itu, kaunselor tidak boleh memaksa klien untuk mengikut apa yang dikatakan oleh
kaunselor. Kita menyedari hakikat bahawa, dalam sesi kaunseling kaunselor tidak boleh
memberi jalan penyelesaian kepada klien. Kaunselor hanya boleh memberi cadangan tentang
penyelesaian masalah untuk membantu klien tersebut berfikir secara rasional dan mencapai
celik akal. Seterusnya, klien berhak memilih sama ada klien mahu mengikut cadangan itu
ataupun tidak dan kaunselor tidak boleh memaksa klien untuk menerima cadangan itu. Sebagai
contoh, klien datang dengan isu rumahtangga dan kaunselor memaksa klien untuk
meninggalkan pasangannya walhal klien tidak mahu melakukan perkara itu kerana memikirkan
tentang anak-anak yang membesar tanpa kasih sayang ibu atau ayah. Amalan seperti ini
semasa memberi perkhidmatan sesi kaunseling sangat tidak patut dilakukan oleh mana-mana
kaunselor.

Akhir sekali, kaunselor tidak boleh menilai klien itu semasa awal proses sesi kaunseling.
Berdasarkan pengalaman saya menjadi kaunselor pelatih, penilaian ke atas klien pada awal
sesi sangat susah untuk dielak. Hal ini demikian kerana, kaunselor juga merupakan manusia
biasa yang akan membuat penilaian ke atas orang lain. Namun begitu, kaunselor harus belajar
untuk membuang sifat ini kerana kaunselor mestilah menanam sifat penerimaan tanpa syarat.
Penilaian ke atas diri klien semasa awal proses sesi kaunseling sedikit sebanyak akan memberi

4
kesan kepada perjalanan sesi kaunseling tersebut. Oleh itu, kaunselor tidak patut menilai diri
klien dan harus menerima klien itu dengan rela dan tanpa syarat.

5. Nyata dan terangkan dua (2) atau lebih ciri keperibadian anda yang anda percaya boleh
berfungsi sebagai kekuatan peribadi anda untuk menjadi seorang profesional helper (cth.
kaunselor, pegawai perunding, pegawai pemasaran, pegawai sumber manusia, dll
profesion menolong).

Ciri keperibadian pertama yang ada pada saya yang saya percaya berfungsi sebagai
kekuatan saya untuk menjadi profesional helper iaitu kaunselor adalah sifat mesra yang ada
pada diri saya. Sifat mesra saya di sini maksudnya adalah saya mudah bergaul dengan orang
sekeliling walapupun saya tidak kenal orang itu. Saya tidak berasa kekok untuk memulakan
satu perbualan dengan masyarakat sekeliling. Sifat mesra seorang kaunselor akan dapat
dirasakan oleh klien apabila klien menunjukkan tanda-tanda seperti tidak malu untuk bersuara,
selesa dan rasa diterima oleh kaunselor. Sifat mesra yang ditunjukkan oleh kaunselor
memudahkan klien untuk meluahkan masalah yang dihadapi oleh klien.

Seterusnya, ciri keperibadian yang ada pada saya yang saya percaya berfungsi sebagai
kekuatan saya untuk menjadi profesional helper iaitu kaunselor adalah sifat empati yang ada
pada diri saya. Kaunselor mestilah mempunyai sifat empati dalam setiap masalah yang
dihadapi oleh klien tetapi bukannya sifat simpati. Sifat empati menunjukkan kebolehan
kaunselor untuk memasuki ruang rujuk atau dunia klien dan turut membenarkan kaunselor
mengalami proses mental dan emosi yang dialami oleh klien. Dengan adanya sifat empati ini
dalam diri kaunselor, klien akan merasakan bahawa mereka tidak keseorangan dalam
menghadapi isu kerana kaunselor memahami apa yang sedang klien lalui ketika itu.

Akhir sekali, ciri keperibadian yang ada pada saya dan merupakan kekuatan saya untuk
menjadi kaunselor adalah sikap saya yang suka menolong orang lain. Peranan utama seorang
kaunselor adalah membantu orang lain yang dalam masalah dan ianya memudahkan saya
dalam menjalankan tanggungjawab saya kerana sikap ini sudah ada dalam diri saya. Saya
gembira apabila melihat orang yang saya tolong itu tersenyum. Kaunselor perlu membantu klien
yang datang dengan berbagai isu untuk mencapai matlamat yang klien inginkan setelah
tamatnya sesi kaunseling. Oleh itu, sikap suka membantu yang ada pada saya ini dapat
menjadi kekuatan kepada saya dalam menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang
kaunselor.

5
6. Bincangkan dua (2) atau lebih ciri keperibadian anda yang anda percaya boleh
menjadi penghalang anda untuk menjadi seorang profesional helper. Bincangkan
bagaimana cara anda untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

Ciri keperibadian pertama yang ada pada saya dan saya percaya boleh menjadi
penghalang kepada saya untuk menjadi seorang profesional helper iaitu kaunselor adalah
sikap suka menilai seseorang pada pertemuan kali pertama. Saya suka melakukan penilaian ke
atas orang lain apabila saya berjumpa dengannya buat kali pertama. Penilaian ini termasuklah
dari segi individu itu berpakaian, bercakap dan tingkah lakunya. Kita menyedari hakikat
bahawa, kaunselor tidak boleh melakukan penilaian ke atas klien ketika awal sesi kaunseling.
Hal ini demikian kerana, penilaian yang dibuat itu akan memberi kesan kepada penerimaan
yang rela daripada kaunselor. Oleh itu, saya sentiasa belajar memupuk sifat penerimaan tanpa
syarat dalam diri saya dan jika melakukan penilaian ke atas individu lain saya akan menilai
perkara-perkara yang positif sahaja.

Di samping itu, ciri keperibadian saya yang ada pada saya dan boleh menjadi
penghalang kepada saya untuk menjadi seorang kaunselor adalah sikap saya yang terlalu
banyak berfikir. Saya sukar berfikir dengan mendalam untuk sesuatu perkara yang berlaku dan
saya boleh menjadi tertekan. Sikap saya ini menjadi penghalang untuk saya menjadi seorang
kaunselor kerana seorang kaunselor tidak boleh memikirkan tentang isu yang dibincangkan
bersama-sama klien semasa di luar sesi kaunseling. Hal ini demikian kerana, klien mempunyai
isu yang berbeza dan sekiranya saya terlalu berfikir boleh mempengaruhi kualiti perkhidmatan
saya. Oleh sebab itu, saya sentiasa belajar membuang sikap terlalu berfikir ini dengan
bertenang dan cuba untuk berfikir secara rasional dan saya mula belajar untuk tidak
mencampur-adukkan urusan peribadi dalam urusan kerja ataupun tugasan

Akhir sekali, ciri keperibadian yang ada pada saya dan boleh menjadi peghalang kepada
saya untuk menjadi seorang kaunselor adalah saya tidak mahir dalam mengkonfrantasi orang
lain. Tujuan kaunselor mengadakan kemahiran konfrantasi adalah untuk memberikan klien satu
pandangan lain dalam usaha meneliti diri dan membantu mengurangkan blind spot dalam
membantu klien melihat dirinya dengan lebih tepat. Kemahiran ini hanya dilaksanakan setelah
terbentuk hubungan yang baik antara klien dengan kaunselor. Semasa kemahiran konfrontasi
dijalankan, kaunselor harus menggunakan nada yang lembut yang mengandungi unsur-unsur
ambil berat agar mesej yang disampaikan tidak tersalah tafsir oleh klien. Namun begitu, saya

6
belajar mengaplikasikan kemahiran ini kepada ahli keluarga saya apabila tengah berbicang
sesuatu isu.

7. Bincangkan dengan teliti siapakah populasi/golongan/kumpulan yang ingin anda


bantu dimasa akan datang dan terangkan kenapa anda memilih populasi tersebut untuk
dibantu?

Sebagai seorang kaunselor, kita tidak boleh memilih siapa atau golongan mana yang
kita mahu memberi perkhidmatan kaunseling. Hal ini demikian kerana, kaunselor perlulah
mengamalkan sikap penerimaan tanpa syarat. Maksudnya di sini adalah, kaunselor perlu
menerima siapa pun klien yang datang tidak kira bangsa, umur, ataupun jantina klien itu.
Perkara itu termasuklah kaunselor tidak boleh memilih klien mengikut isu apa yang ingin
dibincangkan dalam sesi kaunseling. Namun begitu, jika saya diberi peluang untuk memilih
golongan atau kumpulan mana yang saya ingin bantu pada masa akan datang saya akan
memilih golongan remaja yang mempunyai isu dalam keruntuhan akhlak.

Punca-punca mengapa kebanyakan remaja memilih jalan yang salah adalah kerana
pengaruh rakan sebaya, kurangnya perhatian daripada ibu bapa dan juga pengaruh media
massa. Sifat semulajadi remaja yang sentiasa ingin mencuba benda baru juga menjadi punca
mengapa mereka seringkali terlibat dengan isu keruntuhan moral. Tambahan pula, kesibukan
ibu bapa menyebabkan mereka lebih kerap bersama rakan-rakan mereka. Rakan-rakan ini
boleh membawa mereka ke jalan yang baik ataupun sebaliknya. Sebagai kaunselor, saya ingin
membantu remaja yang mempunyai isu moral ini supaya mereka dapat berfikir tentang masa
depan. Kebanyakan remaja tidak mampu untuk berfikir secara rasional dan mereka akan
membuat keputusan yang salah dalam hidup mereka. Dengan menggunakan teknik-teknik yang
sesuai, saya akan membantu remaja seperti ini untuk berfikir dan bertindak dengan cara yang
positif agar mereka mempunyai masa depan yang cerah.

Faktor utama mengapa saya memilih golongan ini adalah kerana remaja merupakan
pemangkin kemajuan sesebuah negara. Masa depan sesebuah negara itu berada di tangan
mereka. Merekalah yang akan menggantikan generasi terdahulu untuk menerajui dan
membangunkan negara. Bak kata pepatah, “di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Jika
elok remaja, maka eloklah masa depan sesebuah negara itu, tetapi jika rosak remaja, maka
rosaklah masa depan sesebuah negara itu. Oleh itu, golongan remaja yang cemerlang sangat
diperlukan untuk membentuk sesebuah negara yang berjaya. Malangnya, keruntuhan akhlak
dan moral remaja semakin menjadi-jadi pada zaman ini. Antara sedar dan tidak, gejala-gejala

7
yang songsang seperti isu kehamilan anak luar nikah, remaja terlibat dengan dadah dan remaja
lari dari rumah semakin kritikal dari hari ke hari dan tumbuh “seperti cendawan selepas hujan”
menandakan gejala ini semakin teruk.

8. Menurut pandangan anda, populasi/golongan/kumpulan manakah yang agak sukar


untuk dibantu dan menerima bantuan? Bagaimana cara yang anda boleh fikirkan untuk
menangani perkara ini?

Pada pandangan saya, golongan ataupun kumpulan yang agak sukar untuk dibantu dan
menerima bantuan adalah golongan LGBT ataupun lebih dikenali LGBTQ pada zaman ini.
LGBTQ adalah akronim untuk golongan lesbian, gay, bisexsual, transgender dan queer.
Golongan ini sudah berkembang di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Perancis dan
Sepanyol. Di Malaysia, golongan ini semakin berkembang dan mula diketahui masyarakat
umum. Walaupun Malaysia adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam,
namun golongan ini semakin berani untuk menuntut hak-hak bagi komuniti LGBTQ. Mereka
mengatakan bahawa mereka sering didiskriminasi dalam kalangan masyarakat terutama dalam
bidang pekerjaan. Sesetengah masyarakat di Malaysia menerima golongan ini dan ada juga
masyarakat yang tidak menerima golongan ini kerana telah melanggar norma masyarakat dan
tidak mematuhi tuntutan dalam agama Islam.

Faktor utama mengapa saya mengatakan bahawa golongan ini sukar untuk dibantu
adalah kerana salah satu tunjang perjuangan golongan LGBTQ di Malaysia adalah LGBTQ
tidak perlu dipulihkan. Golongan LGBTQ percaya bahawa tindakan sedemikian adalah tidak adil
kerana tidak ada pihak yang berhak untuk membetulkan atau ‘meluruskan’ seseorang, apatah
lagi orientasi seksual individu tersebut secara paksa. Mereka percaya bahawa sesi kaunseling
atau terapi yang diadakan bagi tujuan mengubah atau membuang keinginan seksual seseorang
terhadap individu sejantina adalah satu bentuk pelanggaran hak kemanusiaan. Pada
pandangan mereka, semua individu berhak memilih dengan siapa saja yang mereka mahukan
tanpa ada gangguan atau campur tangan pihak berkuasa, masyarakat sekeliling, pemerintah
malahan ahli keluarga mereka sendiri.

Sebagai seorang kaunselor, cara yang boleh saya lakukan untuk menangani isu ini
adalah dengan memupuk sikap penerimaan tanpa syarat terhadap golongan ini. Perkara ini
termasuklah saya tidak perlu untuk meletakkan label mereka daripada golongan mana. Saya
harus menerima mereka sebagai manusia normal kerana golongan ini tidak suka apabila
masyarakat mengatakan bahawa mereka mempunyai kecelaruan dalam orientasi seksual.

8
Dalam proses ini, saya tidak perlu untuk menyebut bahawa saya ingin memberi rawatan kepada
mereka. Dengan cara yang tidak formal, saya perlu memahami tingkah laku dan kehendak
mereka. Akhir sekali, secara perlahan-lahan saya akan mengajar mereka untuk berfikir secara
rasional dan mengikut norma masyarakat yang betul serta mengamalkan ajaran yang dituntut
dalam Islam.

9. Dalam memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan (contohnya sewaktu


krisis atau bencana) apakah perkara/budaya/etika yang perlu di titikberatkan oleh orang
yang ingin memberikan bantuan bukan profesional helper ataupun sukarelawan?

Perkara utama yang perlu dititikberatkan oleh sukarelawan ataupun bukan profesional
helper ketika memberi bantuan adalah mempersiapkan diri secara holistik. Ketika pergi ke
tempat yang dilanda musibah untuk memberikan bantuan, para sukarelawan dinasihatkan untuk
mempersiapkan diri masing-masing secara fizikal serta rohani dan mental iaitu secara holistik
untuk menghadapi pelbagai kemungkinan. Secara fizikalnya, sukarelawan haruslah sihat dan
tidak mempunyai penyakit berjangkit. Ini adalah kerana ia bukan sahaja akan memberi kesan
atau membebankan diri sendiri malah mungkin akan memberikan jangkitan kepada
sukarelawan yang lain. Serta, mangsa banjir juga cenderung untuk mendapat penyakit
berjangkit itu.

Seterusnya, perkara yang perlu dititikberatkan oleh sukarelawan ataupun bukan


profesional helper ketika memberi bantuan adalah memupuk sifat menjaga sensitiviti sekeliling
dan belajar menjadi pendengar ataupun kaunselor. Apabila tiba di tempat bencana, kita sering
melihat mangsa yang ditimpa bencana mengalami ketidakstabilan emosi dan fizikal. Ini akan
menjadi lebih teruk jika bencana tersebut adalah bencana kali pertama yang pernah mereka
alami. Perkara ini akan mengakibatkan mangsa menjadi trauma, sedih dengan kehilangan harta
benda dan sebagainya. Oleh itu, para sukarelawan yang menyertai misi-misi bantuan perlulah
sensitif dengan keadaan ini dan bertindak sebagai kaunselor. Sukarelawan perlu elak bertanya
pelbagai soalan kerana mereka berada dalam keadaan tertekan. Sebaliknya, sukarelawan perlu
melatih diri untuk mendengar luahan mangsa bencana dan perlu ada perasaan rendah diri
terhadap mangsa bencana agar mangsa merasakan masih ada yang mengambil berat atau
menghargai mereka. 

Akhir sekali, perkara yang perlu dititikberatkan oleh sukarelawan ataupun bukan
profesional helper ketika memberi bantuan adalah menghormati privasi dan kerahsiaan orang
lain atau mangsa. Sukarelawan perlu merahsiakan maklumat dan info peribadi mangsa.

9
Maklumat tentang mangsa perlu dijaga dan dipelihara dan tidak diberikan kepada orang lain
termasuklah sukarelawan-sukarelawan lain. Pada zaman ini, sukarelawan gemar berswafoto di
kawasan bencana malahan ada yang berswafoto bersama-sama dengan mangsa dan
meletakkan gambar itu di media sosial. Walaupun perkara itu mendapat persetujuan daripada
mangsa, namun itu adalah satu budaya yang tidak patut diamalkan oleh sukarelawan demi
menjaga privasi mangsa bencana.

10. Menjaga diri atau self-care adalah sangat penting bagi profesional helper. Bagaimana
cara atau perancangan yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko bur nout
dalam memberikan bantuan kepada orang lain, terutamanya sewaktu krisis atau
bencana?

Perkara yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko burn
out dalam memberikan bantuan kepada orang lain adalah dengan menjaga waktu tidur saya
dengan betul. Bagi orang dewasa, waktu tidur yang mencukupi adalah lebih kurang tujuh jam.
Sebagai seorang kaunselor, penjagaan waktu tidur amat penting bagi memastikan diri sentiasa
sihat dan cerdas. Hal ini demikian kerana, seseorang itu akan cepat berasa letih dan lesu jika
tidak tidur dengan cukup. Kesihatan tubuh badan seseorang jika boleh terganggu apabila tidak
mempunyai masa tidur yang mencukupi. Oleh sebab itu, saya perlu menjaga waktu tidur saya
untuk memastikan saya boleh memberi bantuan kepada orang lain dalam keadaan sihat dan
cergas. Jika saya mengalami burn out pasti saya tidak boleh memberi fokus semasa dalam sesi
kaunseling sekaligus merosakkan kualiti perkhidmatan saya.

Selain itu, perkara yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan atau mengurangkan
risiko burn out dalam memberikan bantuan kepada orang lain adalah dengan menjaga stamina
badan saya dan makan makanan yang sihat. Hal ini demikian kerana, stamina adalah sangat
penting bagi seseorang terutama kaunselor untuk bergerak dengan pantas bagi memberi
bantuan kepada orang lain lebih-lebih lagi ketika bencana. Saya juga perlu makan makanan
yang sihat dan seimbang sahaja untuk mengelak daripada obesiti. Kaunselor yang mempunyai
obesiti pasti sukar untuk bergerak dan akan cepat berasa letih. Apabila dalam situasi bencana,
kaunselor perlu bergerak dengan pantas untuk memberi bantuan kepada orang lain. Jika saya
tidak menjaga stamina dan pemakanan saya pasti saya akan burn out semasa memberi
pekhidmatan kaunseling.

Akhir sekali, perkara yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan atau mengurangkan
risiko burn out dalam memberikan bantuan kepada orang lain adalah saya akan membuat

10
jadual harian yang sistematik. Jadual harian ini termasuklah waktu saya bekerja dan waktu
untuk saya berehat. Apabila saya membuat jadual ini, saya akan melakukan segala aktiviti
mengikut apa yang telah ditetapkan dalam jadual. Oleh sebab itu, saya akan menyelesaikan
atau menyiapkan satu-satu kerja saya mangikut turutan tanpa rasa letih dan penat. Saya tahu
apa yang perlu saya lakukan untuk hari itu. Sebagai contoh, saya harus menjalankan tiga sesi
kaunseling pada hari itu dan pada sebelah petang pula saya harus berehat seketika. Jadual
harian yang sistematik ini akan mengurangkan risiko saya untuk burn out semasa memberi
perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat sekeliling.

11

Anda mungkin juga menyukai