Anda di halaman 1dari 2

ISU DAN CABARAN

ISU DAN CABARAN UTAMA DALAM  MEREALISASIKAN TRANSFORMASI 


KURIKULUM PERSEKOLAHAN

Transformasi dalam bidang kurikulum persekolahan sering menjadi polemik dan


diberi perhatian khusus oleh pentadbir pendidikan. Dalam menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan melalui Kementerian
Pendidikan sentiasa merangka, merancang dan melakukan penambahbaikan sistem
pendidikan di Malaysia. Antara langkah yang diambil termasuklah memperkenalkan
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP,2006-2010) dan yang terkini Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Transformasi pendidikan ini
bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara ini dengan segala kemahiran
baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan cabaran abad ke
21 (Muhyidin 2013, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025).
            Namun begitu, proses transformasi ini bukanlah mudah kerana ianya
melibatkan ramai pihak khususnya warga pendidik di sekolah yang menjadi agen
transformasi bagi setiap perubahan yang dirancang oleh pihak pentadbir pendidikan.
Justeru, terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dalam merealisasikan
transformasi tersebut. Cabaran yang paling utama dihadapi ialah dari aspek
kesediaan guru dari segi sikap dan pemikiran mereka untuk menerima dan
melaksanakan transformasi dengan penuh dedikasi dan kesungguhan. Sudah
pastinya terdapat segelintir guru mempunyai pemikiran dan sikap negatif terhadap
transformasi ini. Hal ini sedikit sebanyak menyukarkan dasar baru ini dijalankan
kerana komitmen daripada guru-guru amat penting bagi memastikan usaha-usaha
ini dapat dijalankan dengan sepenuhnya. Lebih membimbangkan apabila terdapat
juga percanggahan pendapat dan perdebatan daripada sesetengah guru
terutamanya mereka yang telah lama berkhidmat menolak dasar ini dengan pelbagai
alasan.
            Oleh yang demikian, dalam menghadapi cabaran tersebut seringkali
wujudnya pelbagai isu berkaitan dengan proses transformasi yang ingin dilakukan.
Isu yang timbul ini adakalanya melibatkan aspek kekangan masa, ruang, sikap guru
dan sebagainya. Namun saya telah melihat isu bebanan tugas guru sebagai satu isu
utama yang menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan guru di sekolah apabila
mereka dibebankan atau diberikan pelbagai arahan yang perlu dilaksanakan di
sekolah terutamanya dalam proses transformasi kurikulum pada hari ini. Bebanan
tugas guru ibarat isu yang tiada kesudahannya. Walaupun ada segelintir pihak yang
menyatakan bahawa gaji yang diperoleh oleh guru adalah lumayan, kita perlu
melihat dan menilai kerja yang dilaksanakan itu adalah berbaloi atau tidak.
Sistem pendidikan Malaysia yang berpusat menyebabkan kebanyakan dasar
dan perancangan digubal pada peringkat kementerian dan diturunkan ke sekolah.
Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kebanyakan pentadbir atau guru tidak
mempunyai pilihan melainkan terpaksa akur dengan dasar pendidikan yang
ditetapkan. Walaupun pada hakikatnya keupayaan setiap sekolah adalah berbeza
namun sistem yang digunakan ini menyebabkan semua sekolah di Malaysia perlu
akur dan mengikuti satu sistem, prosedur dan pendekatan yang seragam dan tidak
mengambil kira kemampuan, keupayaan khusus dan potensi untuk sekolah tersebut
untuk melaksanakan dasar dan program pendidikan sendiri.
Sebagai contohnya, Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilaksanakan pada tahun 2003  telah menjadi satu
dasar yang wajib dilaksanakan di sekolah. Guru tiada pilihan melainkan datang
menghadiri kursus yang dikelolakan selama tiga minggu atau terpaksa mengajar
subjek lain. Akhirnya guru yang mempunyai kemahiran bertahun-tahun mengajar
mata pelajaran tersebut tidak dapat melaksanakan pengajaran tersebut kerana
bermasalah dengan penguasaan bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, baharu saja guru yang terlibat dalam program berkenaan
berusaha meningkatkan pengetahuan mereka berkenaan program  tersebut,
akhirnya ia dimansuhkan dan digantikan dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu
Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI. Menurut
akhbar Utusan Malaysia bertajuk Perubahan MBMMBI atau kekal PPSMI oleh Tan
Sri Alimuddin (2011) menyatakan bahawa antara sebab pemansuhan PPSMI adalah
kerana penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut semakin
merosot jika dibandingkan semasa penggunaannya dalam bahasa Malaysia. Maka,
sekali lagi guru-guru yang terlibat terpaksa pula bermula dari awal. Apa yang jelas,
banyak masa guru diambil untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam
pelaksanaan sesuatu program berbanding masa untuk melaksanakannya.
Sebagaimana yang telah diketahui, kurikulum persekolahan mengalami
perubahan bermula tahun 2011 apabila KBSR telah digantikan dengan KSSR.
Kewujudan KSSR di sekolah ada baik dan buruknya. Usaha transformasi ini dinggap
baik kerana melalui KSSR pihak KPM berhasrat untuk melahirkan insan yang
seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi,
sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri, 
kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai. Namun begitu, Menurut Shafizan
Omar (2013) dalam artikel akhbar yang dikeluarkannya menyatakan bahawa
sebahagian kumpulan guru berdepan tekanan dalam melaksanakan KSSR berikutan
beban kerja yang bertambah, termasuk proses memfailkan laporan KSSR yang
menurut mereka, boleh mengurangkan masa untuk mereka bersama murid.
Dalam masa yang sama, guru juga bertanggungjawab terhadap Sistem
Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) yang disediakan oleh KPM yang berfungsi
sebagai pusat pengumpul, penyimpan dan menganalisis data peperiksaaan dalaman
setiap sekolah di seluruh Malaysia. Guru mata pelajaran dan guru kelas perlu
mengisi markah dan data-data murid dalam peperiksaan melalui internet. Saya
memetik keluhan daripada  oleh Siti Roshayu, seorang guru mengenai sistem ini.
Beliau mengatakan bahawa, “sistem SAPS yang kononnya diselenggara oleh pakar
IT kementerian ini ibarat meletakkan batu seberat 10 TAN di kepala kami sebagai
warga pendidik”. Hal ini menunjukkan bahawa walaupun transformasi ini pada
dasarnya berpotensi dalam membentuk satu sistem dalam talian yang akan
memberi pelbagai impak positif kepada seluruh masyarakat. Namun dalam masa
yang sama kelemahan yang terdapat dalam penyelenggaraan sistem ini
menyebabkan guru menghadapi beban tugas yang amat berat di luar keupayaan
mereka.

Anda mungkin juga menyukai