Anda di halaman 1dari 5

Pengayaan Definisi dan konsep Pengayaan merujuk kepada aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pengajaran yang dijalankan

oleh guru sama ada semasa waktu persekolahan atau di luar waktu persekolahan. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) mendefinisikan pengayaan sebagai perihal (usaha, proses dsb) mengayakan, misalnya mengayakan atau meluaskan kosa kata. Manakala menurut Mook Soon Sang (1990), beliau menjelaskan bahawa aktiviti pengayaan disediakan untuk semua murid dalam kelas, sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah, sama ada dalam kumpulan cerdas, sederhana atau lambat. Menurut beliau lagi, melalui aktiviti pengayaan, murid murid akan dapat memperluas pengalaman dan pengetahuan sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam sesuatu bidang pelajaran tertentu. Proses pembelajaran yang menarik dan mencabar dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan sifat ingin tahu, berdikari, daya cipta dan bakat kepimpinan. Pengayaan merupakan salah satu komponen dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan oleh guru. Pemulihan dan pengayaan dijadikan penekanan dan tumpuan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) menunjukkan kepentingan langkah tersebut terhadap pembelajaran pelajaran. Rasional penekanan terhadap aktiviti pengayaan adalah disebabkan keadaan pelajar yang berbeza dari segi keupayaan, bakat, kebolehan dan minat. Perbezaan ini menyebabkan tahap kefahaman terhadap pengajaran guru adalah berbeza bagi setiap pelajar. Guru yang kurang menjalankan aktiviti pengayaan akan terus beralih pada topik seterusnya tanpa menilai tahap kefahaman pelajar. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar tersebut tidak disediakan dengan kefahaman dan persediaan yang mencukupi untuk beralih kepada topik yang seterusnya. Bermula tahun 2011, KBSR digantikan kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang dijalankan secara berperingkat. Dalam KSSR, terdapat komponen pentaksiran yang merupakan proses penilaian untuk menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran dan pembelajaran. Melalui pentaksiran yang berterusan, guru dapat mengenal pasti tindakan susulan yang perlu diambil sama ada memberi latihan pemulihan atau aktiviti pengayaan. Pelajar yang diberi aktiviti pengayaan merupakan pelajar yang dikenal pasti telah menguasai kemahiran yang diajar berdasarkan pentaksiran yang dijalankan dan aktiviti yang dijalankan perlu aktiviti yang mencabar minda serta memerlukan bimbingan guru yang paling minima.

Menurut Model Hilda Taba (1966), aspek penilaian pencapaian objektif dijalankan bertujuan untuk mengetahui sama ada tindakan pemulihan atau pengayaan diperlukan berdasarkan tahap penguasaan dan kemajuan murid. Penilaian dapat dijalankan secara formatif dan sumatif. Penilaian secara formatif merupakan ujian yang dibentuk dan ditadbir secara formal atau tidak formal bagi mengesan kemajuan atau penguasaan murid terhadap sesuatu pembelajaran di mana penilaian tersebut melibatkan sepanjang pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Apabila penilaian telah dilakukan, guru akan menentukan sama ada hendak membuat pengayaan atau pengukuhan berdasarkan kepada keperluan pelajar. Bagi pelajar yang tidak dapat menguasai topik tersebut, langkah pemulihan akan dijalankan dan bagi pelajar yang dapat menguasai topik yang diajar aktiviti pengayaan akan dijalankan untuk menjana minda pelajar. Bagi penilaian sumatif pula, ujian yang dijalankan adalah secara formal bagi mengesan pencapaian pelajar dalam tempoh tertentu persekolahan dan penilaian dijalankan selepas beberapa topik pembelajaran atau pada tempoh yang telah ditetapkan. Selepas penilaian dijalankan, guru akan menempatkan murid mengikut kumpulan pencapaian yang sesuai dan memberikan pengiktirafan seperti hadiah, skor dan sebagainya.

Objektif Aktiviti pengayaan mempunyai objektif objektif yang perlu dicapai untuk memastikan kesan yang maksimum terhadap perkembangan pelajar. Objektif yang pertama ialah menggunakan kemahiran kemahiran yang diperoleh oleh pelajar semasa sesi pembelajaran untuk memperluaskan pengalaman dan pengetahuan mereka. Pelajar sepatutnya diberi peluang untuk mengaplikasikan teori teori yang telah dipelajari untuk membolehkan mereka meningkatkan kefahaman terhadap topik tersebut. Sebagai contoh, apabila sekolah

menjalankan minggu bahasa, terdapat pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti kuiz bahasa, pertandingan sajak dan pantun dan sudut bahasa. Melalui penganjuran aktiviti aktiviti ini, pelajar mempunyai peluang untuk memperkembangkan pengetahuan yang diperoleh semasa proses pengajaran dan pembelajaran di samping berkongsi pengalaman bersama rakan rakan lain. Pengalaman yang diperoleh pelajar adalah sesuatu yang berharga di mana ia dapat mematangkan pemikiran pelajar dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran pada masa depan.

Objektif kedua ialah menjalankan aktiviti aktiviti pembelajaran yang mencabar dan dapat menarik minat supaya pencapaian mereka dapat dipertingkatkan. Pelajar sering kali berasa bosan dengan rutin yang berulang. Teknik pengajaran yang hanya menggunakan nota dan latihan tanpa aktiviti yang mencabar menyebabkan pelajar hilang minat terhadap subjek tersebut. Penggunaan aktiviti yang menarik dan mencabar seperti teka silang kata, lakonan dan sebagainya dapat meningkatkan minat mereka terhadap subjek yang diajar. Apabila guru menjadikan penggunaan aktiviti yang mencabar sebagai amalan dalam pengajaran, ia tidak hanya meningkatkan minat pelajar untuk belajar, tetapi turut meningkatkan motivasi guru untuk mengajar. Objektif seterusnya, guru menggunakan masa lapang pelajar untuk

memperkembangkan minat dan bakat mereka. Proses pembelajaran merupakan proses yang berterusan yang dialami oleh pelajar. Justeru, pembelajaran tidak hanya terhad semasa dalam kelas, tetapi boleh berlaku di luar waktu sekolah. Guru yang memberikan aktiviti pengayaan untuk dilakukan oleh pelajar semasa masa lapang mereka dapat membantu mereka mengisi masa lapang daripada digunakan dengan perkara - perkara yang tidak berfaedah. Aktiviti

seperti teka teki, mencari keratan surat khabar dan majalah dan kajian kes membolehkan pelajar menjalankan aktiviti tersebut di luar waktu persekolahan. Hal ini dapat memberi pengetahuan tambahan kepada pelajar di mana pengetahuan tersebut tidak dapat diperoleh dalam buku buku teks. Melalui aktiviti pengayaan juga, guru dapat menyemai sifat berdikari dalam aktiviti pembelajaran. Pelajar telah dibiasakan oleh sistem pengajaran yang berbentuk sehala iaitu bergantung sepenuhnya kepada guru untuk menimba ilmu. Keadaan ini akan menyebabkan pelajar terlalu bergantung pada guru dan malas untuk mencari maklumat tambahan berkenaan topik yang kurang difahami. Namun, untuk pelajar mempunyai motivasi untuk mencari sendiri maklumat tersebut, guru perlu kreatif dalam melaksanakan aktiviti dalam kelas. Aktiviti seperti perbincangan kumpulan dan pengumpulan contoh contoh daripada sumber media seperti internet, surat khabar, dan majalah dapat menyemai sifat berdikari mereka dalam mencari maklumat. Apabila pelajar mempunyai sifat berdikari, mereka akan mengurangkan

pergantungan kepada guru. Sifat berdikari ini turut bermanfaat kepada pelajar apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tertier iaitu institut pengajian tinggi. Aktiviti pengayaan yang mencabar dapat memperkembangkan bakat - bakat daya cipta di kalangan pelajar. Daya cipta pelajar perlu dipupuk di peringkat bangku sekolah lagi. Hal ini

dapat kita lihat pelaksanaan kepada bidang teknik dan vokasional ke seluruh sekolah harian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Bidang teknik dan vokasional ini terdiri daripada subjek kemahiran hidup bersepadu, prinsip akaun, ekonomi asas, literasi komputer, ekonomi rumah tangga, perdagangan, sains pertanian, dan menservis peralatan elektrik dan domestik. Melalui subjek subjek ini, pelajar diberi peluang untuk memperkembangkan bakat daya cipta mereka. Aktiviti aktiviti seperti lukisan, ukiran dan binaan tidak hanya memperkembangkan bakat bakat pelajar, tetapi turut meningkatkan keupayaan mereka untuk menilai hasil kerja yang telah dilakukan. Keupayaan ini membolehkan mereka berfikir secara kritis dan kreatif serta tidak hanya bergantung pada nota dan teori semata mata. Objektif yang terakhir ialah memupuk bakat kepimpinan supaya dapat diperkembangkan ke peringkat yang lebih tinggi melalui pembentukan kumpulan yang terdiri daripada pelbagai kebolehan. Sifat kepimpinan adalah penting di kalangan pelajar. Sifat ini dapat menjadikan pelajar seorang yang aktif tidak hanya di kelas, malah di peringkat sekolah. Guru dapat memupuk bakat kepimpinan pelajar melalui aktiviti aktiviti seperti perbincangan dalam kumpulan, pembentangan kumpulan, lawatan sambil belajar, dan aktiviti semasa minggu bahasa. Pada kebiasaan, setiap ahli kumpulan terdiri daripada pelajar yang mempunyai pelbagai latar belakang dan kebolehan. Melalui kepelbagaian ini, pelajar dapat belajar untuk menyesuaikan diri, memimpin rakan sebaya mereka dan menjadikan mereka berfikir dengan lebih matang. Kepimpinan turut meningkatkan keyakinan diri mereka dan membiasakan mereka untuk memegang tanggungjawab sebelum melangkah ke alam dewasa.

Bibilografi

Mook Soon Sang. (1990). Pemulihan, Pengayaan dan Isu Pendidikan . Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman. Choong Lean Keow. (2008). Falsafah dan Pendidikan di Malaysia . Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman. Hilda Taba. (1966). Teaching Strategies and Cognitive Functioning in Elementary School Children. Washington D.C: U.S Department of Health, Education, and Welfare. KSSR Kurangkan Tekanan Peperiksaan, Bina Modal Insan Berkesan. (2011, January 30). Berita Harian. Diperoleh pada 20 April 2013 daripada

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KSSRkurangkantekananpeperiksaan_binamodalinsanberk esan/Article/index_html

Anda mungkin juga menyukai