Anda di halaman 1dari 4

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN

BERBAKAT

5.0 How (Kaedah & Strategi)

5.1 Kaedah Pecutan

Kaedah pecutan melibatkan kanak-kanak pintar cerdas akedemik akan belajar dengan lebih
banyak dan kehadapan melalui sistem sekolah daripada pelajar lain. Ini bermakna kurikulum
penyesuaian (adapting curriculum) kepada kanak-kanak dinilai daripada penguasaan dan
bukannya menggunakan kurikulum yang seragam yang digunakan oleh semua kanak-kanak
di peringkat yang sama. Ini bermaksud, kanak-kanak yang menguasai tahap mata pelajaran
yang lebih tinggi akan menerima kredit akademik berdasarkan tahap penguasaan mereka
dan bukannya pencapaian dalam kurikulum tahap darjah atau tingkatan di sekolah.

Kaedah ini dapat dicapai dalam beberapa langkah yang berbeza merangkumi mula
bersekolah fasa awal umur dan kelas lompat (grade skipping atau double promotion).
Seterusnya ialah kelas tidak bergred di mana kanak-kanak pelbagai umur dikumpulkan
bersama dan kurikulum yang digunakan adalah berdasarkan penguasaan individu dan bukan
diambil kira berdasarkan umur kanak-kanak. Selain itu, cara menyesuaikan kurikulum di
mana bahan atau topik yang telah dikuasai kanak-kanak dilangkau dan diteruskan dengan
bahan atau topik yang lain. Grade telescoping pula memerlukan kanak-kanak menyelesaikan
sesuatu program dalam masa yang singkat yang sepatutnya memerlukan masa beberapa
tahun.

Pecutan subjek (acceleration subject) pula menawarkan kanak-kanak yang


menguasai sesuatu subjek tertentu. Dalam subjek lain, mereka akan ditempatkan sama
dengan rakan sekelas mereka. Perubahan dalam sukatan pelajaran membolehkan pelajar
pintar cerdas ini menyiapkan program pendidikan biasa dalam masa yang singkat. Namun,
kaedah ini memerlukan pendidikan lanjutan yang baik agar kanak-kanak pintar ini dapat
mengisi masa dengan produktif.

5.2 Kaedah Pengayaan

Kementerian Pendidikan Malaysia (1988) mendefinisikan program pengayaan sebagai aktiviti


asas pembelajaran yang mengandungi unsur untuk meluaskan pengetahuan dan
pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang sedang dipelajari. Kaedah ini juga
merupakan satu kaedah yang baik bagi memenuhi keperluan murid pintar cerdas ini dan
didasarkan mengikut kemampuan dan kekuatan mental seseorang pelajar itu. Ia memberi
peluang murid mendalami dan meluaskan pengetahuan dan pengalaman mereka dalam
sesuatu tajuk yang diberi. Melalui aktiviti ini, pelajar akan mendapat peluang tambahan
untuk mengembangkan lagi minat, sifat ingin tahu dan kebolehan yang ada pada diri
mereka.

Kaedah ini merujuk kepada penyediaan pengalaman belajar yang berbeza oleh guru
dalam kelas. Konsep pengayaan ialah satu proses di mana aktiviti-aktiviti tambahan yang
mempunyai aras kesukaran yang lebih tinggi daripada aras aktiviti-aktiviti pembelajaran
yang dijalankan di dalam bilik darjah. Hal ini bertujuan dalam memperkembangkan
kemahiran-kemahiran yang sedia ada pada kanak-kanak, meluaskan pengetahuan dan
pengalaman mereka, memberi ruang untuk mengembangkan lagi daya kreatif, minat, sifat
ingin tahu, sikap berdikari dan bakat kepimpinan murid-murid dalam pelbagai bidang serta
memperkembangkan potensi murid kepada tahap yang paling maksimum.

Terdapat beberapa jenis aktiviti yang boleh dilakukan dalam kaedah pengayaan.
Aktiviti Jenis I mendedahkan pelajar kepada dunia luar dan pelajaran yang tidak diajar di
dalam kelas formal. Pengalaman dan penemuan yang diperolehi dapat membantu pelajar
mengenalpasti minat dan bidang untuk diteroka dan diselidik seterusnya. Aktiviti Jenis II
bertujuan untuk memberikan pelajar kemahiran-kemahiran asas bagi mengembangkan
minat mereka. Antara kemahiran yang diberikan ialah Kursus Kemahiran Berfikir yang
memberikan pendedahan dan latihan kepada pelajar untuk berfikir secara meluas, kreatif,
analisis, inovatif, kritis dan bentuk pemikiran yang lain lagi. Aktiviti Jenis III pula merupakan
gerak kerja pelajar sama ada menjalankan penyelidikan, mereka cipta atau aktiviti-aktiviti
yang mencabar kepada mereka. Guru haruslah sentiasa mengawal perjalanan kumpulan
masing-masing.

Aktiviti pengayaan dijalankan dengan keperluan kognitif kanak-kanak sama ada


bercorak belajar kendiri berdasarkan modul dan pembelajaran arah kendiri atau berbentuk
lembaran kerja atau projek. Aktivitinya pula dijalankan secara tidak formal dan tidak
dimasukkan dalam jadual waktu tetap sekolah Bimbingan guru adalah pada tahap minima
kerana aktiviti pengayaan bercorak belajar kendiri. Hasil aktiviti dibincangkan dengan guru
atau rakan sebaya, kemudian guru akan memberi ganjaran supaya murid-murid merasai
yang semua usaha mereka dihargai. Kaedah pengayaan mengisi masa kanak-kanak yang
belajar lebih cepat dengan menawarkan bahan atau kegiatan yang tidak membolehkan
kemajuan cepat melalui kurikulum yang ditetapkan. Kaedah pengayaan mungkin termasuk
kanak-kanak diperkenalkan ke bidang lain atau aktiviti lain seperti seni, muzik, menulis
jurnal, kelab atau kunjungan lapangan atau diberikan tanggungjawab seperti pembantu
guru di dalam kelas.

Sebagai contoh pengayaan program matematik untuk kanak-kanak berumur lapan


tahun. Kanak-kanak tersebut tidak diperkenalkan dengan kurikulum untuk umur yang lebih
tinggi tetapi kanak-kanak tersebut diberikan soalan yang lebih kompleks yang memerlukan
kemahiran kanak-kanak tersebut. Selain itu, aktiviti pengayaan dapat dijalankan dengan
melibatkan aktiviti yang tidak disediakan dalam bilik darjah seperti permainan catur, sudoku
dan sebagainya. Kaedah ini mengambil kira bahawa kanak-kanak yang pintar cerdas adalah
cepat dalam menyiapkan latihan, kerja atau aktiviti yang diberikan kepada mereka. Konsep
ini dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran
yang dijalankan di dalam atau di luar bilik darjah. Aktiviti ini mengandungi unsur-unsur
untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman serta mengukuhkan kemahiran yang
sedang dipelajari oleh kanak-kanak. Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang
kepada mereka untuk mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, bakat
kepimpinan serta dapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri, kumpulan dan
juga masyarakat.

5.3 Kaedah Pengelompokan


Pengkelompokan merujuk kepada penempatan kanak-kanak yang mempunyai kebolehan
yang hampir sama dalam suatu kelas yang khusus. Sebuah tinjauan kajian utama daripada
kumpulan praktis oleh Karen Rogers pada tahun 1991 mendapati bahawa, pengelompokan
sepenuh masa (tracking) arahan rutin tidak memberi sebarang perbezaan dalam
kemampuan pencapaian akademik bagi pelajar biasa, tetapi pengelompokan ini memberi
perbezaan besar dalam pencapaian akademik pelajar yang berbakat. Rogers juga mendapati
bahawa kemampuan pengelompokan untuk pengayaan dan bentuk lain dari kemampuan
pengelompokan, seperti pengelompokan di dalam kelas juga memberi manfaat kepada
pelajar berbakat.

Pengelompokan untuk pecutan menghasilkan manfaat yang besar jika ianya


dijalankan dalam kelas tidak bergred, pemadatan kurikulum (curriculum compacting), grade
telescoping (menghabiskan sekolah menengah lebih awal), pecutan subjek atau mata
pelajaran dan kemasukkan ke peringkat lebih tinggi (kolej atau universiti) pada usia lebih
muda. Kaedah pecutan tidak memberi kesan langsung terhadap harga diri (self-esteem)
mereka. Kaedah pecutan bukan hanya mampu untuk mendapatkan keputusan akademik
yang menakjubkan, tetapi juga mampu untuk menyelesaikan masalah lain. Hal ini kerana
kanak-kanak yang dikumpulkan bersama akan lebih dekat antara rakan-rakan sekelas
mereka yang mempunyai kemampuan, minat dan tahap yang sama.

Kajian telah membuktikan keberkesanan kaedah pengelompokan yang membolehkan


kanak-kanak yang mempunyai tahap yang sama dan dikumpulkan bersama untuk
mendapatkan pembelajaran yang lebih mencabar. Kaedah pengelompokan merangkumi
pengelompokan sepenuh masa, pengelompkan kluster, pengelompkan dalam kelas,
pengelompkan silang kelas (cross-class/grade grouping) dan pull-out grouping. Kajian
menunjukkan pencapaian akademik yang signifikan dicapai oleh kanak-kanak pintar cerdas
yang menjalankan kaedah pengelompokan dalam kumpulan yang mempunyai minat dan
kemampuan yang sama. Selain itu, pengelompokan juga mempunyai kesan positif terhadap
motivasi dan sikap terhadap pembelajaran, serta membantu kanak-kanak berbakat untuk
mengembangkan persepsi diri yang lebih realistik. Kajian mendapati bahawa jika strategi ini
digunakan secara fleksibel, ianya dapat memberi cabaran dalam pembelajaran kanak-kanak
dan memberi banyak kesan positif kepada mereka.

5.4 Kaedah Koperatif

Jenis pembelajaran koperatif ada enam jenis iaitu yang pertama kaedah jigsaw. Setiap ahli
kumpulan menyumbangkan sekeping jigsaw dengan berkongsi maklumat yang mereka
perolehi. Idea dari aktiviti jigsaw ialah seorang akan menjadi ketua dalam bab tertentu dan
seterusnya membantu ahli kumpulan memahaminya. Jenis yang kedua pula ialah belajar
bersama iaitu semua ahli kumpulan berusaha keras untuk menyelesaikan tugasan yang
diberi. Seterusnya ialah Team Games Tournament yang dicipta oleh Robert Slavin. Ia
berkonsepkan putaran biasa seperti dalam pengajaran, guru menyampaikan pelajaran yang
berkaitan dan pelajar cuba untuk menyelesaikan lembaran kerja untuk menguasai konsep.
Selepas itu pelajar akan bersaing dalam satu pertandingan yang diwakili oleh pelajar yang
berkebolehan akademik yang hampir sama.

Jenis pembelajaran koperatif yang keempat ialah Student Team Achievement


Division atau dikenali juga sebagai STAD. Ia diilhamkan oleh Hopkins. Menerusi kaedah
ini,guru mengikut satu pusingan mengajar, kumpulan pembelajaran dan juga penilaian
secara individu. Seterusnya ialah Team Accelerated Instruction Mathematics iaitu
pendekatan secara menyeluruh dalam bidang matematik. Menerusi jenis pembelajaran ini,
murid ditentukan berdasarkan kumpulan heterogenius iaitu mereka yang mempunyai latar
belakang yang berbeza. Selain itu, penyiasatan secara berkelompok antara kaedah koperatif
yang membolehkan pelajar merancang satu kursus pembelajaran.

Pembelajaran koperatif boleh disesuaikan dengan sebarang kumpulan umur dan


sebarang matapelajaran. Ianya merupakan satu pendekatan yang baik dan perlu digunakan
di dalam pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang sihat
dan bersemangat di kalangan pelajar-pelajar di samping mempertingkatkan lagi mutu
prestasi pelajar dalam peperiksaan. Ia sesuai digunakan apabila populasi mempunyai sifat
yang hampir seragam. Pembelajaran koperatif memerlukan interaksi dua hala yang baik.
Pelajar ditempatkan di dalam kumpulan yang kecil, iaitu seramai empat ke enam orang
sahaja dan dikendalikan oleh guru yang telah dilatih dalam bidang pintar cerdas.

Jika terdapat lebih dari enam orang pelajar yang cerdas, kumpulan boleh dibesarkan
atau dua kumpulan dibentuk. Bagi pemilihan pelajar yang ingin ditempatkan dalam
kumpulan koperatif, kriteria yang paling penting ialah pelajar itu harus menunjukkan
pencapaian yang melebihi tahap umurnya. Di dalam amalan pembelajaran koperatif, guru
yang cekap dan berwibawa dapat mencorakkan pengajarannya dengan baik. Secara tidak
langsung dapat meningkatkan keyakinan pelajar, menjadikan pembelajaran menarik dan
disukai pelajar, menghidupkan semangat dan sentiasa memberi rangsangan kepada pelajar-
pelajarnya untuk berusaha dan bercita-cita tinggi. Terdapat pelbagai cadangan untuk
membantu kanak-kanak pintar cerdas ini. Misalnya dalam pengajaran matematik, pelajar
pintar akan lebih berminat untuk mengetahui sejarah atau asal usul sesuatu konsep
matematik itu terjadi. Golongan pelajar pintar cerdas sukar untuk mencari jawapan
bagaimana wujudnya sesuatu konsep matematik itu walaupun mereka dapat menguasai
tajuk itu dengan mudahnya. Di sini, guru harus melakukan perubahan dalam teknik
pengajaran agar pembelajaran mudah diterima oleh pelajar pintar cerdas.

Anda mungkin juga menyukai