Anda di halaman 1dari 2

LATIHAN RUMUSAN 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian tuliskan rumusan tentang ciri-ciri
membuat teguran yang baik dan faedah-faedah membuat teguran. Panjang
rumusan tidak melebihi 120 patah perkataan

Salah satu budaya yang dimiliki oleh bangsa maju di dunia ialah budaya
menegur. Budaya menegur bererti budaya yang menggalakkan anggota budaya itu
menegur antara satu sama lain dengan tujuan untuk memperbaik keadaan. Budaya
menegur dapat dikaitkan dengan kehidupan berkomuniti yang membentuk perpaduan
sosial dalam sistem (budaya) perhubungan sosial Melayu.

Apabila seseorang menegur, teguran tersebut mestilah bertujuan untuk


menasihati orang. Teguran yang diberi semestinya tidak boleh menimbulkan
perselisihan. Sekiranya teguran yang diberi itu mengakibatkan pergaduhan, maka sia-
sialah tujuan teguran tersebut. Orang yang ditegur akan mengatakan bahawa orang
yang menegurnya senghaja mencari fasal dengannya. Lazimnya tomahan ini berlaku
sekiranya orang yang ditegur tidak dapat menerima teguran tersebut. Tidak berguna
kalau orang yang menegur lebih banyak menimbulkan masalah daripada
menyelesaikannya. Oleh sebab itu orang yang menegur itu mestilah mempunyai
kelayakan ilmu dan moral yang dapat diteladani oleh pihak yang ditegur.

Tidak berlaku proses tegur-menegur sekiranya pihak yang menegur bersikap


bahawa hanya pendapatnya sahaja yang betul. Oleh itu teguran yang baik mestilah ada
ciri-ciri interaksi antara kedua-dua pihak. Melalui proses ini, pihak yang menegur pun
dapat belajar daripada pihak yang ditegur. Amalan mengumpat tidak seharusnnya
wujud dalam budaya menegur. Kalau sesebuah masyarakat anggotanya lebih suka
mengumpat dan mengutuk, hal ini merupakan tanda-tanda bahawa amalan menegur
tidak digalakkan dalam masyarakat tersebut. Lazimnya keadaan ini akan menyaksikan
pandangan kritis tetapi membina tidak digalakkan. Masyarakat ini akan menganggap
pandangan begitu boleh menjejaskan keputusan yang sudah dibuat oleh pihak yang
berkuasa.

Kecemerlangan bangsa Melayu dalam apa-apa juga bidang bergantung pada


banyak faktor. Antaranya ialah faktor amalan menegur dalam budaya Melayu. Amalan
ini sebenarnya sudah lama wujud dalam budaya Melayu. Amalan menegur dalam
masyarakat Melayu semestinya dilakukan secara halus dan bertatatertib. Dengan kata
lain teguran dalam kalangan masyarakat Melayu adalah dalam bentuk kiasan dan
sindiran, sehingga kesannya dapat meresap ke dalam jiwa orang yang menjadi sasaran.
Seterusnya ketika membuat teguran sikap ‘baling batu sembunyi tangan’ seharusnya
dihindarkan. Teguran mestilah dibuat secara bersemuka antara yang menegur dan yang
ditegur. Cara ini membolehkan penerima teguran dapat menerimanya dengan hati
terbuka.

Perbuatan menegur secara kasar dan biadab perlu dielakkan. Ini bukan
bermakna orang yang menegur tidak berani atau lemah. Namun teguran secara
berhemah akan membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Namun agak
menyedihkan apabila akhir-akhir ini orang Melayu mengetahui terdapat banyak
masalah yang boleh merosakkan masa depan bangsa mereka, tetapi mereka tidak boleh
berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah itu. Ini disebabkan oleh budaya
menegur tidak lagi menjadi panduan bersama untuk memajukan bangsa mereka.

(Dipetik dan diubahsuai daripada rencana, “Budaya Menegur”,


oleh Hassan Ahmad, Dewan Masyarakat, April, 2005).
Soalan 2 (a) Petikan Umum

Berdasarkan petikan di atas , jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat


anda sendiri.

i. Berikan maksud rangkai kata lazimnya tomahan ini dalam petikan di atas.
[2 markah]

ii. Apakah yang akan berlaku skiranya amalan mengumpat dibenarkan dalam
sesebuah masyarakat?
[3 markah]

iii. Pada pendapat anda, apakah kesan-kesan yang akan berlaku sekiranya teguran
dibuat secara tidak berhemah?
[4 markah]

Anda mungkin juga menyukai