Anda di halaman 1dari 8

Amali 4: Sistem Penafasan ikan, serangga, dan mamalia.

Tujuan : 1. Untuk melatih guru pelatih untuk membedah ikan, serangga, dan
mamalia kecil.
2. Untuk melatih guru pelatih menggunakan alatan pembedahan.
3. Untuk meningkatkan kemahiran guru pelatih dalam mempamer,
melukis, dan melabel organ-organ respirasi.
4. Untuk membolehkan guru pelatih untuk meneliti struktur-struktur
utama organ yang terlibat dalam pernafasan (peparu, trakea,
diafragma, tulang rusuk, dan otot interkosta).
5. Untuk meningkatkan kefahaman guru pelatih mengenai proses
pertukaran gas dalam haiwan.

Radas dan bahan:


Tikus putih, lipas, ikan yang bertulang, alatan pembedahan, papan pembedahan,
mikroskop pembedahan, kanta tangan, pembaris plastik lutsinar, benang

Prosedur:

a) Pembedahan untuk Sistem Pernafasan Ikan


1. Bentuk-bentuk badan ikan diperhatikan seperti panjangnya, lehernya, siripnya
dan ekornya yang fleksibel.
2. Apakah kebaikan memiliki bentuk badan serupa ini?
3. Badan ikan diliputi dengan sisik. Apakah kegunaan sisiknya?
4. Ikan yang bertulang mempunyai operkulum yang boleh bergerak bebas
melindungi insang di kedua-dua belah badannya. Operkulum ikan pada salah
satu belah dibedah untuk melihat insangnya. Berapakah pasang insang yang
dapat anda cari?
5. Insang ikan dikelilingi dengan lengkung insang. Setiap insang yang sempurna
mempunyai satu lengkung insang yang bertulang disokong oleh dua baris
filament insang yang halus. Filamen insang diperiksa, dilukis dan dilabel
dengan teliti di bawah mikroskop pembedahan. Apakah jenis saluran darah
yang boleh didapati pada insang ikan?
6. Pertukaran gas berlaku di filament insang. Huraikan ciri-ciri filament insang
sehingga menyebabkan proses pertukaran gas boleh berlaku secara efisien
di situ. Jelaskan fungsi-fungsi filament insang.

Keputusan:

Rujuk kepada bahagian lukisan dan labelnya di belakang.

Perbincangan:

Selepas kami membuat pemerhatian terhadap ikan, kami mendapati bahawa


bentuk badan ikan yang larus dapat membantu untuk mengurangkan rintangan air
semasa berenang.

Di samping itu, ikan mempunyai sisik yang menghala ke belakang. Badannya


juga disalut dengan lendir supaya pergerakan melalui air menjadi lebih lancar.

Terdapat empat pasang insang yang dilindungi oleh operkulum. Filamen


insang mempunyai membran yang nipis dan dibekalkan dengan banyak kapilari
darah di dalamnya. Oksigen yang terlarut di dalam air meresap ke dalam kapilari
darah di dalam filamen insang. Karbon dioksida pula disingkirkan darinya ke dalam
air.
b) Pembedahan untuk Sistem Pernafasan Lipas

Anatomi luaran

1. Lipas dibunuh dengan menggunakan kloroform di dalam jar.


2. Lipas kemudian diambil dan bahagian segmen badannya dikenal pasti.
3. Bahagian kepala, dada, dan abdomennya dilukis dan dilabel. Jumlah bilangan
segmen yang menghasilkan bahagian kepala, dada, dan abdomen badannya
dikira.
4. Rangka luar lipas terdiri daripada lapisan kitin yang keras dan berlilin. Maka
kaki lipas bersambung ke bahagian mana?
5. Bahagian sayapnya dibuka. Apakah perbezaan dan juga fungsi antara kedua-
dua pasang sayapnya?
6. Spirakel pada setiap belah segmen diteliti. Bilangan spirakel yang terdapat
pada dada dan abdomennya dikira. Adakah terdapat spirakel pada bahagian
dadanya?

Anatomi Dalaman

1. Kaki dan sayap lipas dipotong.


2. Belakang posterior lipas dibelah dengan berhati-hati sehingga ke bahagian
anterior.
3. Bahagian dalamnya dibuka dan dilihat dengan menggunakan mikroskop
pembedahan. Udara akan mengalir menerusi spirakel, trakea, dan akhirnya
mengalir ke tiub kecil yang dikenali sebagai trakeol.
4. Tisu lipas dikeluarkan dan dilekatkan pada slaid. Titiskan setitik air dan
tutupkan dengan penutup kaca dengan lembut.
5. Tisu lipas diperiksa di bawah mikroskop. Struktur respirasi lipas (trakea dan
trekeol) dilukis dan dilabel.

Keputusan:

Rujuk kepada bahagian lukisan dan labelnya di belakang.


Perbincangan:

Lipas terdiri daripada 3 segmen iaitu kepala, dada, dan abdomennya. Kaki
lipas bersambung ke bahagian dadanya.

Terdapat dua pasang sayap diperhatikan pada badan lipas. Setiap pasang
sayap mempunyai fungsi dan kegunaan yang berbeza. Untuk pasangan sayap
pertama yang berada di luar, ia dikenali sebagai tegmina. Pasangan sayap depan ini
lebih liat, kaku dan kuat. Ia berfungsi sebagai pelindung pasangan sayap yang
kedua dan melindungi tubuhnya daripada kekeringan. Sayap depan lipas telah
mengalami modifikasi sebagai hemelitron. Manakala pasangan sayap yang kedua di
dalam adalah seperti selaput (membran). Sayap dalamnya nipis dan berlipat
bertujuan untuk terbang.

Tiada spirakel terdapat pada dada lipas manakala terdapat lapan spirakel
pada abdomennya selepas kami mengira.
c) Pembedahan untuk Sistem Pernafasan Mamalia
1. Tikus dipinkan pada papan pembedahan dengan bahagian permukaan
perutnya menghadap ke atas.
2. Bahagian kulit di tengah perut dihiris ke atas sehingga ke bahagian bawah
rahangnya dan ke bawah sehingga ke bahagian anusnya.
3. Kulit ditarik dan dipegang dengan menggunakan forsep, dan tisu penghubung
di antara kulit dipotong.
4. Bahagian dinding di perut dan di sisi dipotong untuk menunjukkan rongga
toraks.
5. Kelenjar timus dikeluarkan.
6. Otot-otot dan tisu-tisu di bahagian leher dipotong untuk menunjukkan
bahagian trakea dan larinks.
7. Bahagian di atas larinks dan tisu penghubung yang berhubungkan ke trakes
juga dipotong.
8. Bahagian jantung, peparu, trakea, kerongkong dan larinks semua sekali
dikeluarkan.
9. Bahagian kerongkong dan jantung dipisahkan dengan berhati-hati. Bahagian
larinks, trakea dan peparu dipinkan pada papan pembedahan.
10. Lukisan berlabel berdasarkan struktur-struktur respirasi yang dikeluarkan
dibuat dengan besar.

Keputusan:

Rujuk kepada bahagian lukisan dan labelnya di belakang.

Perbincangan:

Secara keseluruhnya, sistem pernafasan tikus mempunyai persamaan


dengan sistem pernafasan manusia. Organ pernafasan tikus terdiri daripada peparu
kiri dan peparu kanan yang terletak di dalam rongga toraks. Peparu dilindungi oleh
tulang rusuk yang membentuk sangkar rusuk.
Soalan-soalan:

1. (a) Berapakah pasang tulang rusuk yang dimiliki oleh tikus?


Tikus mempunyai sepuluh pasang tulang rusuk.

(b) Bagaimanakah rongga toraks berfungsi semasa proses pertukaran gas


dalam haiwan ini?
Membolehkan untuk perubahan saiz rongga semasa dalam proses
pertukaran gas dalam haiwan mamalia.
Semasa menarik nafas, otot diafragma mengecut dan turun ke bawah
menjadi leper. Pada masa yang sama otot interkosta luar mengecut
manakala otot interkosta dalam mengendur. Ini menyebabkan tulang
rusuk ditarik ke atas dan ke arah depan. Begitu juga bagi tulang dada.
Kedua-dua pergerakan menambahkan isipadu rongga toraks dan
mengurangkan tekanan udara di dalamnya. Akibatnya udara dari luar
disedut ke dalam peparu dan mengisi alveolus.
Apabila udara dilepas keluar, otot diafragma mengendur dan naik ke atas,
menjadi bentuk kubah semula. Otot interkosta luar mengendur manakala
otot interkosta dalam mengecut. Akibatnya tulang rusuk dan tulang dada
turun ke bawah dan ke dalam. Isipadu rongga toraks menjadi kurang
menyebabkan tekanan udara meningkat. Dengan itu udara dari peparu
didesak keluar.

2. (a) Huraikan penampilan luaran dan ciri-ciri diafragma.


Diafragma ialah lapisan otot yang memisahkan yang memisahkan toraks
daripada abdomen. Apabila keadaan rehat (mengendur), diafragma
berbentuk kubah, iaitu melengkung ke atas, Apabila diafragma mengecut,
ia mendatar.

(b) Apakah kepentingan antara ciri-ciri diafragma berhubung dengan


fungsinya semasa proses pertukaran gas?
Apabila diafragma ditarik ke bawah, peparu akan mengembang. Ini kerana
tekanan udara dalam dinding toraks berkurang. Udara dari luar dipaksa
masuk ke dalam peparu.
Apabila diafragma ditolak ke atas, peparu terkempis. Ini kerana tekanan
udara dalam dinding toraks bertambah. Udara dalam peparu dipaksa
keluar.

3. Huraikan penampilan luaran peparu kiri dan peparu kanan. Perahkan peparu
dan perhatikan tekstualnya. Letakkannya dalam air panas. Peparu akan
mengapung kerana udara di dalam peparu mengembang.
Paparu kanan biasanya memiliki berat kira-kiranya 625 gram dan peparu kiri
pula mempunyai berat kira-kiranya 567 gram. Beratnya bergantung kepada
jumlah darah dan cecair yang terkandung dalamnya. Setiap paru-paru
berbentuk kon.

4. Ukurkan kepanjangan trakea (dari bahagian larinks hingga ke ia bercabang ke


bronkus).
Ukuran kepanjangan trakea adalah 2 cm.

Kesimpulan:
Setiap kumpulan organisma mempunyai sistem pernafasan yang berbeza. Mereka
mempunyai struktur-struktur organ yang berbeza dengan melibatkan dalam
pernafasan.
Bibiografi

BAB III ANATOMI DALAM DAN FUNGSI. (t.t). Dimuat turun Februari 18, 2011,
daripada http://web.ipb.ac.id/~phidayat/entomologi/bab-
03%20ANATOMI%20DALAM%20DAN%20FUNGSI%20edited%20fin.htm

Chan, K. T., Goon, S. K., Sim, B. L. (1995). Buku Sumber Sains Tahun 4. Kuala
Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Fogiel, D. M. (2001). The Biology Problem Solver. New Jersey: Research &
Education Association.

Lum, H. K. (2000). Biology The Living Science. Singapore: Pearson Education Asia
Pte Ltd.

Mah, C. W., Tina, L. S. K. (2001). Bantuan Studi Lengkap SPM Biologi Tingkatan 4/5.
Selangor Darul Ehsan: Sasbadi Sdn. Bhd.

Noor, H. M., Quek, Y. H., Choo, Y. T., Manoharan, P., Abdullah, W., Kee, B. S.
(2003). Fokus Ungu Masteri SPM Biologi. Selangor Darul Ehsan: Penerbitan
Pelangi Sdn. Bhd.

Professor Richard, D. (2003). Oxford Illustrated Science Encylopedia. New York:


Oxford University Press.

Sistem Respirasi. (2008, Oktober 15). Dimuat turun Februari 18, 2011, daripada
http://sweetir1s.multiply.com/journal/item/10/Sistem_Respirasi_

Sistem Respirasi Pada Hewan. (2000, Februari 19). Dimuat turun Februari 18, 2011,
from http://kambing.ui.ac.id/bebas/v12/sponsor/Sponsor-
Pendamping/Praweda/Biologi/0074%20Bio%202-8a.htm

Yee, L. H. (2002). Referens Komprehensif Menuju Kejayaan Masteri Sains UPSR.


Selangor Darul Ehsan: Pearson Education Malaysia Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai