Kata Arkaik Dalam BM

Anda mungkin juga menyukai

Anda di halaman 1dari 6

KATA ARKAIK - KOSA KATA YANG

DITELAN ZAMAN

S. Nathesan

Kata arkaik yang juga dikenali sebagai kata lama atau usang merupakan perkataan

yang sudah tidak lagi digunakan dalam kalangan pengguna bahasa ataupun jarang

digunakannya dalam percakapan atau tulisan dewasa ini. Kata arkaik merupakan kata

pinjaman Inggeris archaic dalam bahasa Melayu. Apabila dijejaki asal usul kata

tersebut, didapati kata itu berasal daripada bahasa Greek.

Oxford Dictionary mentakrifkan arkaik sebagai very old or old-fashioned, iaitu yang

terlalu lama atau yang ketinggalan zaman. Kamus Dewan Perdana (2020) pula

mentakrifkan kata arkaik sebagai yang berkenaan dengan kata, ungkapan dan

sebagainya, yang tidak lazim digunakan. Kata tersebut tidak mengikut peredaran

semasa atau ketinggalan zaman dan kuno. Kamus Linguistik pula menerangkan kata

arkaik sebagai kata lama.

Glosari Istilah Kesusasteraan (2017) pula menerangkan arkaisme (kepurbaan), iaitu

cara kuno yang berkenaan dengan pemakaian kata, bentuk kata dan ayat dalam

bahasa, sebagai “penggunaan bahasa, rangkai kata, simpulan bahasa atau susunan

kata mengikut cara zaman silam”. Hal ini bermaksud bahawa dalam kosa kata arkaik

termasuk juga rangkai kata, simpulan bahasa sebagai arkaisme, iaitu pemakaian kata

1
atau ungkapan yang sudah tidak lazim digunakan atau sudah kuno. (Kamus Dewan

Perdana, 2020).

Walaupun kosa kata arkaik kurang digunakan oleh penutur bahasa Melayu, namun

kosa kata tersebut masih ada dirakam dalam kebanyakan kamus, termasuk Kamus

Dewan Perdana yang baru sahaja diterbitkan. Sebagai contoh, terdapat kata arkaik

orna dalam bahasa Melayu. Orna yang bermaksud “warna” didapati kurang digunakan

dalam kalangan pengguna bahasa Melayu, kecuali barangkali dalam kajian atau

penyelidikan khususnya tentang etimologi termasuk kosa kata arkaik.

Dinyatakan bahawa terdapat kira-kira 7000 perkataan yang memuatkan maklumat

etimologi bagi kata Melayu dalam kamus tersebut. Perkataan tersebut termasuklah

dalam kosa kata arkaik yang biasanya dilabelkan sebagai kata arkaik (ark). Perhatikan

antara sebilangan kata arkaik yang terdapat dalam Kamus Dewan Perdana (KDP).

Jadual 1 Kosa Kata Arkaik dalam Kamus Dewan Perdana

aghlaf akah anca


bad bagal beloh
cakela dadi datia
dor gita gul
haud hindu injili
istima jelit jitok
jetis kahaf kala
kanjus kena lahang
lazat lemena mahaduta
manat milu nawa
nyarik obros om
pancal pengluru rampang
rana ruban sagar
suak tais tasa

2
togan uba uktah
usam wardi wartawati
zamin zamindar zigurat

Demikianlah disenaraikan lima puluh lima satu perkataan arkaik yang dipetik daripada

KPD. Barangkali jumlah sebenar kata arkaik berpuluh-puluh yang terdapat dalam

kamus tersebut. Barangkali ramai antara pembaca mungkin belum mengenali kata-

kata arkaik tersebut.

Apabila diteliti kata arkaik tersebut, beberapa rumusan dapat dilakukan. Pertama,

kebanyakan kata tersebut merupakan kata pinjaman daripada bahasa-bahasa lain.

Contohnya, kata akah ialah kata pinjaman daripada bahasa Pattani, milu ialah kata

pinjaman bahasa Portugis (bermaksud jagung), nawa kata pinjaman daripada bahasa

Sanskrit (bermaksud kata bilangan sembilan) dan kata haud dipinjam daripada bahasa

Arab (bermaksud kolam), rana (bermaksud peperangan) daripada kata Sanskrit dan

tasa (bermaksud tangsa) daripada bahasa Minangkabau.

Selain itu, didapati ada kata arkaik berubah bentuk untuk menjadi kata baku dalam

bahasa Melayu, antaranya akasa menjadi angkasa, pepura menjadi pura-pura,

pegawam menjadi peguam, pasara menjadi pasar, rohmat menjadi rahmat, urit

menjadi urita dan tukil menjadi nukil. Dengan demikian kata arkaik pernah menjadi

sumber bagi pembentukan perkataan dalam bahasa Melayu.

Perhatikan beberapa kata arkaik dan maksudnya dalam Jadual 2 yang berikut:

Jadual 2 Maksud kata arkaik dan bahasa sumbernya

3
Kata arkaik Maksud Bahasa sumber
kala jerat Hindi
kahaf gua yang besar Arab
gul bunga ros Parsi
lahang nira/tuak Jawa
mahaduta duta besar Sanskrit
permen gula-gula Belanda

Barangkali kata arkaik tersebut sudah ditelan zaman selepas kata asli mula digunakan

oleh masyarakat pada zaman dahulu untuk merujuk atau menggantikan gagasan dan

konsep benda tersebut. Hal sedemikian merupakan amat lazim berlaku dalam bahasa.

Masyarakat pengguna sentiasa mencari perkataan alternatif untuk mengganti atau

mencari kata pilihan bagi perkataan yang sedia ada dalam kosa kata mereka.

Sebenarnya, kata-kata arkib sudah lama dicatatkan dalam terbitan kamus-kamus sejak

abad ke-17 lagi. Dalam kajiannya, Rahim Aman (1997), menyenaraikan beberapa kata

arkaik yang digunakan dalam kamus Inggeris-Melayu, susunan Bowrey (1701). Kamus

tersebut merupakan antara kamus dwibahasa Melayu terawal yang dihasilkan. Contoh

kata arkaik yang digunakan termasuklah kata berinda, dadar, hakkim dan mama.

Kosa kata arkaik atau usang terdapat juga dalam sastera lama (sl), iaitu yang

digunakan dalam teks klasik seperti Hikayat Hang Tuah. Ahmad Ramizu Abdullah

(1998) pernah mengkaji kata-kata arkaik dalam beberapa teks klasik terpilih seperti

Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Inderaputera. Sementara itu, Nathesan

(2008) dalam kajian terhadap beberapa teks klasik ada menyenaraikan sebilangan kata

arkaik yang ditemui dalam teks tersebut. Antaranya termasuk kata samuha (semua),

serual (seluar) upeti (ufti), syahadan (selanjutnya), sebermula (pada mulanya), keti

4
(seratus ribu), rumal (sapu tangan), laksa (sepuluh ribu), wardi (perintah), dan wilis

(biru kehijau-hijauan) .

Dalam pada itu, amatlah wajar kata-kata arkaik diberikan nafas dalam bahasa Melayu

baku dengan memperkenalkannya dalam penulisan dan perbincangan oleh pengguna

bahasa Melayu. Hal seumpama ini pernah dilakukan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim,

mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan (1995) semasa

membentangkan beberapa belanjawan negara. Antara kosa kata lama yang diberikan

nafas baharu, termasuklah kata ghaflah, ikram, syumul, dan mauduk.

Awang Sariyan (1995) menyatakan hal penggunaan istilah-istilah dalam belanjawan

tersebut sebagai amat menyegarkan. Crystal (2007) dalam Words, Words, Words

menyatakan bahawa kosa kata lama akan tiba-tiba muncul dalam bahasa baku,

lazimnya dengan pengertian (sense) baharu. Justeru, kosa kata arkaik boleh

dipertimbangkan sebagai istilah baharu dalam bahasa Melayu. Misalnya, wartawati

(bermaksud wartawan wanita) boleh dijadikan istilah dalam bidang kewartawanan dan

obros (leftenan kolonel) dalam bidang ketenteraan.

Demikianlah pembahasaan secara ringkas tentang sejenis kosa kata yang sudah

ditelan masa dalam bahasa Melayu, dan yang kini jarang-jarang digunakan oleh

pengguna bahasa Melayu. Selain seperti yang disarankan, eloklah kosa kata arkaik

dimanfaatkan dalam penulisan dan juga dalam ciptaan istilah atau kata khusus dalam

bahasa Melayu, memandangkan kata-kata arkaik pernah digunakan dalam bahasa

5
Melayu suatu masa dahulu. Mudah-mudahan khazanah kosa kata arkaik akan dapat

dipulihara dan dipelihara agak tidak ditelan oleh zaman selama-lamanya.

UJI DIRI

Bulatkan perkataan dan rangkai kata yang merupakan kata arkaik daripada senarai perkataan di bawah:

Rujuk kamus untuk melakukan aktiviti bahasa ini.

kiaso aiyo tetuang udara komik


bohsia kereta lereng orna rumah sakit
capcai sahaya camca ayapan
pepura om kapcai zamin

Anda mungkin juga menyukai