Anda di halaman 1dari 9

1.

0 Pengenalan

Pluralistik ialah wujudnya kepelbagaian bangsa dan agama di suatu tempat pada
satu masa secara dirancang oleh pihak tertentu yang berkepentingan. Pluralisme ialah
ideologi yang menyamaratakan kepercayaan dan pegangan yang berbeza dalam
masyarakat, (Norisuwanah Jaffar, 2010). Pluralisme telah wujud sejak abad ke-5 Masihi
dimana alam Melayu menjadi tumpuan para pedagang Arab, Cina, India, Parsi serta Eropah.
Pada abad ke-16 Kerajaan Melayu Melaka menjadi tumpuan para pedagang disebabkan
lokasinya yang terletak di antara laluan perdagangan. Para pedagang kemudiannya memilih
untuk menetap dan menyebarkan budaya dan agama kepada masyarakat tempatan.
Kedatangan pedagang India misalnya telah membawa pengaruh agama Hindu-Buddha
yang menjadi agama anutan masyarakat tempatan sebelum kedatangan pengaruh agama
Islam. Para pedagang juga telah berkahwin dengan penduduk tempatan sekaligus
mewujudkan etnik baharu dalam masyarakat hasil perkahwinan campur tersebut seperti
Baba Nyonya, Mamak dan Serani.

Pluralisme di Tanah Melayu terus berkembang apabila penjajah British telah


menggalakkan kemasukkan imigran dari India dan China secara beramai-ramai pada abad
ke-19 bagi memenuhi keperluan tenaga buruh dalam sector pertanian dan perlombongan.
British telah mengamalkan dasar pecah dan perintah dalam aspek ekonomi, politik dan
sosial masyarakat. Menurut Ruslan Zainuddin (2003), keadaan ini jelas apabila berlaku
pembahagian buruh dalam sistem ekonomi berdasarkan pemisahan kaum dalam
masyarakat dengan setiap kaum mempunyai fungsi-fungsi ekonomi tersendiri. Peristiwa-
peristiwa ini telah mewujudkan masyarakat majmuk di Malaysia sebagai sebuah negara
bangsa dan setiap kaum yang memainkan peranan dalam memajukan negara dalam bidang
ekonomi, politik, agama dan sosial.

2.0 Hubungan Masyarakat Pluralistik Zaman Globalisasi

2.1 Aspek Ekonomi

Setiap kaum memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi negara


melalui perdagangan, pertanian, perindustrian, pelancongan dan lain-lain. Setiap kaum
berusaha untuk mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar daripada pertumbuhan
ekonomi dan peluang ekonomi yang wujud. Namun begitu, terdapat jurang yang besar dari
segi penguasaan ekonomi dan ketidak seimbangan pendapatan antara kaum sejak zaman
penjajahan British. Justeru itu, kerajaan telah memperkenalkan beberapa dasar selepas
kemerdekaan bagi memberikan peluang ekonomi yang sama rata terhadap semua kaum
seperti Dasar Ekonomi Baru bagi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat
untuk menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan kegiatan ekonomi dan tempat tinggal.
Pada tahun 2015, Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020 (RPM ke-11) telah
diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib yang menekankan konsep inklusiviti dalam
memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati oleh semua kaum. Matlamat
RPM ke-11 adalah memperkasa ekonomi bumiputera, mewujudkan 1.5 juta peluang
pekerjaan tambahan serta meningkatkan produktiviti buruh dan gaji. Kesamaratan peluang
ekonomi dan jurang pendapatan minimum antara kaum akan menjamin keharmonian negara
dan mengelakkan berlakunya sikap tidak puas hati antara kaum.

2.2 Aspek Politik

Hubungan masyarakat pluralistik di Malaysia telah mempengaruhi landskap politik


negara. Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen di bawah pentadbiran Raja
Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua
Negara. Sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, proses politik dan
penubuhan parti politik seterusnya adalah berasaskan etnik. Pada pilihan raya pertama,
Parti Perikatan iaitu gabungan antara Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO),
Kongres India Malaysia (MIC) dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) telah bertanding bagi
mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah British. Parti Perikatan kemudiannya ditukar
kepada Barisan Nasional (BN) dan telah mentadbir negara selama 61 tahun sebelum
diambil alih oleh Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. Setiap kaum
di Malaysia diwakili oleh parti politik masing-masing untuk menyuara, menjaga dan
memperjuangkan kepentingan kaum, Mahyuddin Khalid & Mohd Ashraf Zaki (2017). Justeru
itu, kerjasama antara parti politik telah membawa kepada kestabilan politik dan keharmonian
negara dengan memastikan setiap kaum mendapat hak yang sewajarnya. Kestabilan politik
seterusnya akan menggalakkan kemasukkan pelabur dalam dan luar negara sekaligus
meningkatkan ekonomi Malaysia.

2.3 Aspek Kepelbagaian Agama

Malaysia mengamalkan hak kebebasan beragama. Setiap rakyat berhak menganut


agama mereka tanpa sebarang paksaan. Agama rasmi di Malaysia adalah agama Islam
kecuali Sabah dan Sarawak. Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963
menyatakan bahawa Islam merupakan Agama Persekutuan. Sungguhpun begitu agama-
agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian
Persekutuan. Setiap kaum di Malaysia menganut agama yang berbeza mengikut anutan
nenek moyang mereka. Misalnya kebanyakkan kaum India beragama Hindu dan
kebanyakkan kaum Melayu beragama Islam. Setiap agama mengajarkan nilai moral kepada
penganutnya demi menjalani kehidupan yang lebih baik. Menurut Fitri, Nur, Siti &
Muhammad (2016), agama menerapkan nilai moral seperti toleransi, tolong-menolong,
menghormati antara satu sama lain, beramah mesra dan tidak mementingkan diri sendiri
yang menjadi panduan dalam mengatur kehidupan untuk merealisasikan keharmonian
pelbagai etnik. Agama juga menjadi panduan untuk mengelak berlakunya gejala tidak sihat
seperti penyalahgunaan dadah, pelacuran dan ketagihan arak. Kepercayaan kepada Tuhan
merupakan Rukun Negara yang pertama. Kesimpulannya, kehidupan beragama amat dititik
berat di Malaysia bagi menjamin kesejahteraan rakyat berbilang kaum.

3.0 Kepentingan dan Cabaran Hubungan Etnik

3.1 Kepentingan Hubungan Etnik

Menurut Mohamad Rofahmi Zainal Abiddin (TT), negara bangsa menjurus kepada
sebuah negara yang berdaulat dengan rakyatnya hidup bersatu padu tanpa dipisahkan oleh
sentimen perkauman, keturunan, agama, bahasa, budaya, wilayah dan sebagainya yang
boleh membawa kepada perpecahan. Antara kepentingan hubungan etnik dalam membina
negara bangsa ialah mewujudkan perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat. Perpaduan
kaum penting bagi menentukan kestabilan politik, ekonomi dan sosial. Rakyat yang bersatu
padu dapat hidup dalam keadaan harmoni walaupun berbeza pandangan politik, agama dan
etnik serta saling menghormati dan menerima perbezaan dengan hati yang lapang.

Selain itu, kepelbagaian etnik telah menyumbang kepada kepelbagaian budaya, adat
resam dan makanan. Setiap etnik mempunyai budaya, adat resam dan makanan yang
tersendiri yang akan di alkuturasi oleh etnik lain. Alkuturasi ialah satu proses penerimaan
unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari suatu kebudayaan yang
berbeza tanpa menyebabkan kehilangan identiti asal sesuatu etnik. Misalnya, adat
bersanding yang diamalkan oleh masyarakat India turut diamalkan oleh masyarakat Melayu
serta nasi lemak menjadi makanan kegemaran rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

Hubungan etnik juga penting untuk mengekalkan keharmonian negara. Hubungan


yang baik antara setiap etnik dapat mengelakkan berlakunya perselisihan faham yang
melibatkan pertumpahan darah seperti Tragedi 13 Mei 1969. Negara yang stabil dan
harmoni akan menarik kedatangan pelabur luar dan dalam negara sekaligus meningkatkan
ekonomi negara. Pelaksanaan dasar-dasar kerajaan untuk memajukan negara juga akan
lebih mudah terlaksana dalam suasana harmoni.

Hubungan
Etnik dalam
Membina
Negara Bangsa

Kepentingan Cabaran

Kepelbagaian
Mengekalkan
Mengukuhkan budaya, adat Jurang ekonomi Politik
keharmonian
perpaduan resam & antara kaum perkauman
negara
makanan

Rajah 1: Peta pokok Hubungan Etnik dalam Membina Negara Bangsa


3.2 Cabaran Hubungan Etnik

Cabaran dalam hubungan etnik yang dapat membina negara bangsa dari aspek
ekonomi ialah jurang ekonomi antara kaum dan dominasi kaum dalam sesuatu bidang
ekonomi. Jurang ekonomi antara kaum telah lama wujud sejak pemerintahan British yang
mengamalkan dasar pecah dan perintah. Menurut pakar ekonomi Barjoyai Bardai (2019)
dalam Ahmad Suhael Adnan et. al (2019), taraf ekonomi Bumiputera tidak sejajar dengan
pembangunan negara walaupun pelbagai dasar telah diperkenalkan. Ini sebab kaum Melayu
yang dahulunya petani kini menjadi kumpulan pekerja dan kurang melibatkan diri dalam
perniagaan. Dominasi ekonomi berlaku apabila sesuatu bidang ekonomi dikuasai oleh
sesuatu kaum yang terus mengekalkan hak dan kuasa dominasi menyebabkan kaum lain
sukar atau tidak berpeluang untuk menceburi bidang tersebut. Misalnya bidang perniagaan
dikuasai oleh kaum Cina sejak dahulu lagi sehingga kini.

Seterusnya cabaran yang wujud dari aspek politik ialah permainan politik kotor yang
menyentuh sentimen antara kaum. Tindakan sesetengah ahli politik yang sering meracuni
pemikiran rakyat dengan mengapi-apikan sentimen perkauman demi kepentingan diri
menyebabkan berlaku perpecahan antara kaum. Isu-isu sensitif yang termaktub dalam
Perlembagaan Negara sering disentuh oleh ahli politik seperti kedudukan YDPA, kedudukan
agama Islam, kedudukan Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu akan
menimbulkan kemarahan rakyat dan menyebabkan suasana kacau bilau. Perasaan tidak
puas hati antara kaum juga akan wujud apabila sesebuah parti politik menyuarakan
kepentingan kaum tertentu tanpa mengambil kira kepentingan kaum lain.

Bagi mengatasi cabaran ini, kerajaan hendaklah melaksanakan dasar ekonomi yang
mengagih secara adil dan saksama kepada rakyat dengan mengurangkan jurang ekonomi
antara kaum tetapi juga mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Kaum yang
ketinggalan dari segi ekonomi seperti Melayu hendaklah berusaha menceburkan diri dalam
bidang perniagaan melalui pelbagai medium yang wujud seperti perniagaan atas talian yang
berpotensi menembusi pasaran global. Ahli politik juga seharusnya menghormati
perlembagaan negara dan menjalankan amanah yang diberikan dengan ikhlas serta
menggalakkan keharmonian etnik di Malaysia. Rakyat juga hendaklah bijak menilai setiap
maklumat yang diterima, tidak mudah terpengaruh dengan hasutan perkauman dan tidak
melakukan tindakan terburu-buru yang menggugat keamanan negara seperti rusuhan kaum.
Justeru itu, dengan menangani cabaran yang wujud keharmonian negara dapat dipelihara.
4.0 Kepentingan dan Cabaran Integrasi Nasional bagi Menghadapi Cabaran
Globalisasi

Integrasi nasional merupakan usaha merapatkan hubungan masyarakat pelbagai


kaum ke arah meningkatkan semangat muhibbah dan rasa kekitaan demi keharmonian dan
kesejahteraan negara, (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, 2016). Antara
kepentingan integrasi nasional bagi menghadapi cabaran globalisasi ialah mengekalkan
keamanan negara dengan mengelak berlakunya perang saudara seperti yang berlaku di
beberapa buah negara Arab akibat perbezaan kepercayaan agama. Selain itu, integrasi
nasional akan memberikan peluang kepada setiap golongan etnik menceburi bidang
ekonomi tanpa halangan sekaligus meningkatkan ekonomi negara. Semua etnik juga dapat
berkongsi dan menghormati kepelbagaian budaya bagi menjamin kesejahteraan hidup
bersama.

Seterusnya, cabaran yang dihadapi oleh integrasi nasional dalam era globalisasi
dapat dilihat dalam beberapa aspek seperti sosio-budaya, agama dan ekonomi. Cabaran
sosio-budaya wujud apabila masyarakat tempatan meniru budaya barat dalam kehidupan
seharian yang telah menghakis nilai-nilai ketimuran dalam diri mereka seperti gejala seks
sebelum nikah, pakaian yang menjolok mata dan berkunjung ke kelab malam. Cabaran yang
dihadapi oleh agama ialah tersebarnya kepercayaan atheistism iaitu tidak percaya akan
kewujudan Tuhan dalam kalangan masyarakat khususnya yang mendapat pendidikan di luar
negara Akhir sekali, ekonomi negara didominasi oleh negara barat melalui penjenamaan
global barangan dan perkhidmatan seperti makanan, fesyen dan perindustrian.
Penjenamaan global tidak dapat dinafikan telah memberikan peluang pekerjaan kepada
rakyat sekaligus meningkatkan pendapatan negara namun begitu penjenamaan global ini
juga mengakibatkan kebergantungan ekonomi yang tinggi terhadap perlaburan asing dan
meningkatkan aliran keluar wang Malaysia sehingga menyebabkan kejatuhan nilai ringgit.

5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, kepelbagaian etnik telah mempengaruhi landskap politik, ekonomi


dan agama. Kepelbagaian etnik menjadikan Malaysia unik di mana rakyat berbeza budaya,
agama dan bangsa dapat hidup bersama dalam keadaan aman damai yang terbentuk
melalui sikap saling menghormati dan bertoleransi. Justeru itu, semua pihak perlu
berganding bahu bagi mengekalkan hubungan baik antara etnik agar rakyat dapat fokus
dalam memajukan negara tanpa terganggu dengan isu perkauman yang seharusnya tidak
lagi wujud apatah lagi dijadikan sebagai senjata pihak-pihak tertentu yang boleh menggugat
kestabilan negara.
Rujukan

Ahmad Suhael Adnan., Mohd Yusri Muzamir, Poliana Ronnie Sidom., Muhd Amirul Faiz
Ahmad., Recqueal Raimi., & Khalid Latip. (5 Oktober, 2019). Rapat Jurang Ekonomi.
Berita Harian. Diperoleh dari https://www.bharian.com.my/ berita/ nasional/ 2019/ 10/
614280/rapat-jurang-ekonomi

Fitri Dayana Fatkhur Rodzi., Nur Rasyidah Abdullah., Siti Nabila Mohd Yusoff., &
Muhammad Faizzudin Mohamad Zan. (2016). Keharmonian Dalam Kepelbagaian
Agama. Fakulti Sains Kesihatan: UITM

Jabatan Peguam Negara. (1963). Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963. Putrajaya:


Jabatan Peguam Negara

Jabatan Perdana Menteri. (2015). Rancangan Malaysia Kesebelas 2016-2020. Putrajaya:


Jabatan Perdana Menteri

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. (2016). Perpaduan dan Integrasi
Nasional. Putrajaya: Jabatan Penerangan Malaysia

Mahyuddin Khalid., & Mohd Ashraf Zaki. (2017). CTU555 Sejarah Malaysia- Hubungan
Etnik ke Arah Mayarakat Berintegrasi. Diperoleh dari
https://www.slideshare/emkay84/ctu555-sejarah-malaysia-hubungan-etnik-ke-arah-
masyarakat-berintegrasi

Mohamad Rofahmi Zainal Abiddin. (TT). Konsep Negara Bangsa di Malaysia. Diperoleh dari
https://www.academia.edu/9933345/Konsep_negara_bangsa_di_malaysia

Norisuwanah Jaffar. (2010). Pluraliti dan Masyarakat Pluralistik di Malaysia (Terkini).


Diperoleh dari https://www.net/norisuwanah/plurality-dan-masyarakat-pluralistik- di-
malaysia-terkini

Ruslan Zainuddin. (2003). Nota Lengkap Sejarah Malaysia STPM. Selangor: Fajar Bakti

Anda mungkin juga menyukai