Anda di halaman 1dari 5

Apakah kesan elemen-elemen yang mencabar penghayatan dan amalan nilai murni?

Pertama adalah daripada aspek elemen mementingkan kebendaan.


Mementingkan kebendaan adalah antara elemen-elemen yang mencabar penghayatan
dan amalan nilai-nilai murni.  Dalam arus perdana yang semakin membangun pada hari
ini, negara kita semakin bergerak untuk mencapai ke arah negara maju dan
berpendapatan tinggi. Oleh itu, ibu bapa akan semakin mementingkan kebendaan
kerana memikirkan taraf hidup yang semakin tinggi. Sikap yang menjurus ke arah
materialistik ini memberi kesan yang kurang baik terhadap anak-anak mereka.

Sebagai contoh, seorang guru pendidikan jasmani lelaki yang telah berkeluarga
bertugas di sekolah pada sebelah paginya. Kemudian, pada sebelah petang, guru
tersebut menjadi jurulatih berbayar sebuah pasukan bola sepak yang bertaraf kelab.
Pada sebelah malamnya pula, dia menjadi jurulatih badminton di sebuah pusat latihan
badminton yang dimiliki oleh swasta. Guru tersebut melakukan semua itu semata-mata
untuk mendapatkan duit atas pelbagai sebab. Antara sebab yang mungkin menjadi
pendorong kepada guru tersebut menjalani rutin harian sedemikian rupa ialah untuk
mendapatkan wang yang lebih, untuk mendapatkan kehidupan yang selesa atau untuk
menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat. Dengan rutin sedemikian
rupa, di manakah masa guru tersebut untuk anak-anaknya? Apabila balik pada lewat
malam, guru tersebut telah keletihan dan perlu berehat kerana perlu mengajar pada
keesokan harinya. Besar kemungkinan, anak-anaknya pada waktu tersebut telah tidur.
Bilakah masa yang dimilki oleh guru tersebut untuk bersosial bersama anak-anaknya ?  

Guru tersebut sebagai bapa tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa


yang memberi didikan agama dan akhlak yang baik kepada anak-anaknya kerana sibuk
mengejar kebendaan semata-mata. Anak-anaknya menjadi mangsa kerakusan guru
tersebut mengejar kebendaan. kesannya kepada anak-anak adalah amat besar kerana
tanpa didikan agama yang cukup sewaktu kecil, mereka akan semakin sukar untuk
dibentuk apabila sudah mencapai usia remaja. Inilah yang menyumbang kepada
masalah-masalah sosial semasa. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada
rebungnya. Apabila sudah sampai ke tahap akhlak moral yang kronik, siapakah yang
harus dipersalahkan ?

Sikap terlalu mengejar kebendaan ini juga memberi kesan kepada institusi
kejiranan. Apabila terlalu sibuk sehingga perlu pulang pada lewat malam, bilakah masa
yang ada untuk berkenalan dan bersosial bersama dengan jiran di sebelah rumah dan
rukun tetangga yang lain? Pembangunan pesat bandar-bandar di Malaysia telah
melebarkan kawasan penempatan. Kemungkinan 15 tahun yang akan datang penduduk
di bandar akan meningkat lebih banyak kesan daripada dasar kerajaan yang hendak
menjadikan Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020. Perubahan ini sedang
berlaku sedikit demi sedikit dari utara hingga ke selatan. Kawasan bandar ini telah
mengubah corak tradisional masyarakat kampung kepada metropolitan yang memberi
kesan terhadap pengaruh politik, pembangunan fizial dan pengenalan sosial. Contoh
yang mudah ialah struktur rumah di bandar sangat berbeza dengan kampung iaitu
pembinaan rumah sangat rapat dan tidak ada ruangan yang mencukupi untuk interaksi
sosial di kalangan keluarga di luar rumah. Masyarakat juga memainkan peranan yang
penting dalam membentuk akhlak remaja secara amnya. “Keperluan material yang
ditumbuhkan setiap hari secara beransur-ansur semakin membesar menyebabkan
manusia menjadi penyembah konsumsi”                                   

  Kedua adalah daripada aspek sikap yang tidak bertanggungjawab. Sebab-sebab


kerosakan suatu bangsa apabila berlakunya dekadensi atau kerosakan moral yang
berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab membudaya pada bangsa itu. Aspek
tidak bertanggungjawab ini boleh dipecahkan kepada 2 iaitu, tanggungjawab terhadap
diri dan orang lain dan tanggungjawab terhadap harta benda.

Sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap orang lain seringkali dikaitkan


dengan sikap mementingkan diri sendiri. Sebagai contoh, seorang guru mengabaikan
sesi pengajarannya semata-mata kerana mahu minum di kedai yang terletak di luar
sekolah. Guru ini telah meninggalkan tanggungjawabnya mendidik anak bangsa dengan
ilmu pengetahuan yang amat dinanti-nantikan oleh murid-muridnya. Daripada aspek
guru pelatih pula, guru pelatih tidak menyiapkan kerja yang diberikan oleh pensyarah
dan asyik berdolak-dalik apabila ditanya bila mahu menghantar tugasan. Ini
menunjukkan bahawa guru pelatih tersebut tidak bertanggungjawab terhadap diri sendiri
kerana hanya mahu berseronok dan lupa bahawa sebagai guru pelatih, tanggungjawab
yang utama ialah belajar dan menyiapkan tugasan.

Sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap harta benda pula berkait rapat
dengan merosakkan harta benda awam dan harta benda di sekolah. Gejala-gejala
seperti menconteng kerusi dan meja, membuang sampah merata-rata, merosakkan
telefon awam dan merosakkan apa sahaja yang berada di depan mata mereka sudah
menjadi lumrah dalam masalah-masalah moral remaja sekolah.

Kesan sikap tidak bertanggungjawab ini terhadap penghayatan nilai murni dan
amalan nilai moral adalah daripada segi individu itu sendiri. Individu yang tidak
bertanggungjawab akan terus terjerumus ke dalam kancah masalah sosial jika tidak
dibentuk dengan betul. Sikap tidak bertanggungjawab ini akan menghancurkan diri
individu itu sendiri tanpa ada sebarang tolak ansur. Orang yang boleh mengubah situasi
ini adalah individu itu sendiri namun sejauh mana keinginan individu itu untuk berubah ?
jelaslah sudah bahawa sikap bertanggungjawab hanya akan membawa keburukan
kepada individu.

Ketiga adalah kesan daripada aspek media massa. Media massa merupakan
medium kepada akses ke dunia luar. Media massa melalui media cetak dan media
elektronik memainkan peranan penting dalam menghubungkan individu ke dunia global.
Pembentukan akhlak masyarakat menghadapi cabaran dari pengaruh media-massa
yang memberi kesan negatif kepada akhlak masyarakat, khususnya golongan remaja.
Dengan bermotifkan keuntungan, sesetengah media massa seolah-olah tidak
menghiraukan langsung bahawa program-program, tulisan, rancangan-rancangan yang
disajikan dan bahan-bahan yang dipaparkan kepada golongan massa membawa
wujudnya sikap hedonisme, budaya permissive atau kebebasan yang bercanggah
dengan agama dan budaya masyarakat.

Iklan-iklan yang disiarkan langsung tidak menggambarkan budaya masyarakat


ketimuran tetapi lebih mempromosikan nilai hidup Barat yang serba bebas. Filem-filem
yang ditayangkan ada kalanya lebih mempromosi budaya Barat dari mengangkat
martabat akal, keilmuan dan kemanusiaan. Pengaruh media massa amat hebat
sehingga banyak perlakuan golongan remaja dicorakkan oleh media massa. Budaya
hip-hop, rock, punk dan lain-lain antara contoh budaya popular yang dipromosikan
melalui media massa. Akibatnya golongan remaja hari semakin terhakis jati diri mereka,
mengalami krisis identiti dan menjadi golongan peniru yang produktif.

Untuk membentuk masyarakat yang berakhlak, media massa haruslah


berperanan bersama dengan pihak-pihak lain bagi membentuk memupuk dan
mempromosikan nilai-nilai akhlak yang mulia. Pengamal media haruslah bersedia
mengkritik dan mendedahkan setiap perlakuan yang menyimpang dari nilai-nilai
keagamaan dan budaya masyarakat. Setiap paparan dan rancangan yang disiarkan
haruslah mengambil kira kesannya kepada masyarakat sama ada jangka panjang atau
pendek dan tidak hanya memikirkan keuntungan atau populariti. Mereka boleh
mencontohi rancangan yang popular di Barat tetapi dalam masa yang sama ia harus
bertunjangkan kepada nilai keagamaan dan budaya masyarakat negara ini serta diadun
dengan kreativiti tinggi bagi menarik perhatian massa. Pihak yang berwajib hendaklah
lebih tegas mengawal kemasukan dan penyebaran unsur-unsur lucah sama ada dalam
bentuk CD, VCD dan lain-lain ke dalam pasaran terbuka atau gelap.

Keempat adalah kesan daripada aspek pembangunan negara dari sudut sosio-
ekonomi. Tidak dinafikan pembangunan adalah sesuatu yang amat penting bagi
mewujudkan masyarakat dan negara yang maju. Malaysia selepas mencapai
kemerdekaan telah menumpukan perhatian untuk membangunkan ekonominya bagi
mewujudkan pembangunan sosial, keseimbangan antara kaum dan meningkatkan
pendapatan rakyat. Kesan dari pembangunan yang pesat telah menyebabkan
berlakunya proses urbanisasi, industrilisasi dan penghijrahan masyarakat dari luar
bandar ke bandar.

Kesan positif dari pembangunan ini memang tidak dinafikan, tetapi kesan
negatifnya tetap ada, antaranya berlaku peningkatan gejala sosial di dalam masyarakat.
Krisis moral ini berlaku apabila sesetengah pihak hanya melihat pembangunan itu dari
perspektif kebendaan semata-mata atau bertujuan untuk memaksimakan keuntungan.
Mereka yang didorong dengan motif mencari keuntungan tidak langsung peka kepada
soal pembentukan akhlak masyarakat.. Apa tidaknya, peniaga yang dahagakan
keuntungan yang berlipat kali ganda telah mengadaikan prinsip moral menjual VCD
lucah dan membuka kelab-kelab hiburan yang menghidangkan arak secara berleluasa,
wanita GRO dan tempat pengedaran pil ekstasi. Akibatnya, ia menjadi pusat keruntuhan
akhlak. Ia telah meruntuhkan usaha-usaha pihak lain termasuk kerajaan untuk membina
masyarakat yang berakhlak mulia.
  Kelima adalah kesan daripada keruntuhan institusi kekeluargaan. Institusi
kekeluargaan yang roboh adalah antara elemen yang memberi cabaran utama
penghayatan dan amalan nilai-nilai murni. Institusi kekeluargaan yang telah runtuh akan
mendatangkan masalah yang besar kepada amalan nilai-nilai murni remaja kerana tidak
ada orang yang akan memberitahu dan mengajar mereka apa yang baik dan apa yang
buruk.

Umum mengetahui peranan pembentukan akhlak masyarakat tidak hanya


terletak kepada institusi formal semata-mata tanpa diiringi dan dibantu oleh institusi
keluarga. Institusi keluarga yang diterajui oleh bapa dan ibu wajib memainkan peranan
yang utama dalam membentuk akhlak anak-anaknya, kerana masyarakat sebenarnya
adalah jelmaan dari set-set keluarga. Keruntuhan akhlak masyarakat Barat umpamanya
berpunca dari runtuhnya institusi keluarga mereka yang telah gagal melahirkan manusia
yang beradab. Hakikat ini dinyatakan oleh Ferdinand Lundberg apabila beliau membuat
kesimpulan bahawa institusi keluarga sekarang mendekati titik kemusnahan yang
menyeluruh.

Kalau di Barat institusi keluarga mereka sudah tidak dapat diharapkan lagi untuk
melahirkan manusia yang berakhlak, bagaimana pula realiti institusi keluarga di negara
ini?. Satu kesimpulan yang umum dapat dibuat ialah institusi keluarga di negara ini
sedang bergerak mengikut trend di Barat. Keadaan ini disebabkan pelbagai faktor,
antaranya kesan dari pembangunan kebendaan dan pengaruh globalisasi yang
melahirkan manusia yang tidak mengambil berat soal-soal agama dan bersifat
kebendaan. Akibatnya, terdapat ibu bapa yang tidak menghiraukan sangat soal
pendidikan agama dan akhlak kepada anak-anak mereka. Mereka beranggapan faktor
utama kebahagiaan itu terletak kepada kemewahan hidup.

Justeru itu, mereka lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan
mempunyai sedikit masa dengan anak-anak. Anak-anak yang terabai ini kemudiannya
mencari keseronokan di luar rumah, lebih mendampingi rakan sebaya mereka lantas
dipengaruhi oleh persekitarannya yang dominan dan akhirnya terjebak dalam krisis
moral. Kadar penceraian yang semakin meningkat, bertambahnya kes-kes penderaan
terhadap isteri, kes khalwat yang meningkat, anak lari dari rumah, penyalahgunaan
dadah yang saban tahun terus meningkat. Kesemua gejala tersebut adalah di antara
indikator-indikator berlakunya keruntuhan dalam institusi keluarga di negara ini. Rumah
tangga sudah tidak lagi menjadi tempat aman bagi keluarga untuk menikmati
kebahagiaan dan kedamaian hidup. Rumah tangga tidak lagi menjadi ‘syurga’ tetapi
‘neraka’ yang akhirnya melahirkan gejala sosial yang telah disebutkan.

Keharmonian rumah tangga terletak di atas tanggungjawab kaum lelaki, tetapi


malangnya kaum lelaki yang sepatutnya berperanan sebagai ketua rumah tangga
sedang mengalami krisis kredibiliti, ramai yang dirosakkan oleh najis dadah, suka
berfoya-foya, kaki pukul dan dilanda dengan krisis moral yang lain. Apakah lelaki begini
mampu mengetuai sebuah rumah tangga yang berperanan sebagai bapa dan suami
bagi mendidik anak dan isterinya menjadi seorang yang berakhlak? Bagi melahirkan
generasi yang berakhlak, peranan institusi keluarga amat penting ke arah mencapai
matlamat tersebut. Institusi keluarga perlu diperkasa semula melalui pelbagai strategi
sama ada dilakukan oleh pihak kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan agama dan sosial.

Pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga perlu diberi latihan secukupnya
bagi mendedahkan mereka kepada tanggungjawab suami isteri serta ilmu dalam
mengurus rumah tangga. Di Malaysia banyak pusat latihan telah ditubuhkan, tetapi tidak
ada satu pun pusat latihan yang khusus ditubuhkan untuk memberi latihan bagi
memperkasa pengurusan rumah tangga sama ada untuk mereka yang hendak
mendirikan rumah tangga atau sudah berumahtangga. Latihan ini amat penting
dilakukan bagi menyediakan suasana rumah tangga yang mampu membentuk
keperibadian manusia unggul. 

Golongan wanita juga perlu membuat muhasabah peranan mereka yang utama
pada hari ini sama ada untuk berpartisipasi secara aktif dalam kegiatan luar rumah
dengan mengabaikan tanggungjawab asasi mereka sebagai ibu dan isteri atau
mengutamakan kedua-duanya atau menumpukan sepenuh perhatian terhadap
rumahtangga bagi mendidik anak-anak menjadi manusia yang berguna. Apa pun
zamannya, golongan wanita tidak boleh melupakan hakikat bahawa mereka adalah
mahaguru pertama kepada anak-anaknya. Tanggungjawab mereka yang asasi adalah
membentuk generasi yang berakhlak dan berilmu pengetahuan.

            Dalam keghairahan mengejar kemajuan, kita jangan alpa tentang peri
pentingnya peranan dan pemupukan nilai akhlak dalam masyarakat. Akhlak adalah
pengukur kepada kemajuan, kerana ia berperanan penting melahirkan manusia yang
mengamalkan nilai-nilai hidup yang baik serta berperanan mencetus kemajuan.
Pembentukan nilai akhlak harus menjadi agenda nasional dan perlu kesepaduan usaha
dari semua pihak. Untuk membina masyarakat yang berakhlak kita perlu suasana yang
konstruktif kepada nilai itu berkembang dan berusaha untuk menyekat suasana yang
boleh mengikis nilai-nilai akhlak

Anda mungkin juga menyukai