Anda di halaman 1dari 8

TRANSKRIP VIDEO RUJUKAN KURSUS FALSAFAH DAN ISU SEMASA

KULIAH 4: PSIKOLOGI DAN SOSIOLOGI


TEMUBUAL NURFA FAILASUF (PENGACARA) DAN
PROF. HAZIM SHAH (PENSYARAH UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)

NURFA FAILASUF: Hari ini kita pergi ke Kuliah Keempat iaitu Konsep Insan dalam Perspektif Falsafah.
Bila kita lihat balik falsafah Greek silam dan falsafah Timur, mereka ini menekankan konsep
keagamaan dan konsep ini telah ditelusuri untuk mencapai kebahagiaan ataupun kita panggil
kesejahteraan hidup. Jadi Prof., Nurfa nak tanyalah, bagaimana falsafah Greek silam dan juga falsafah
Timur ini menekankan konsep keagamaan lalu ia diinterpretasi kepada ‘kebahagiaan diri’. Bagaimana
untuk mencapai kebahagiaan? Boleh tak Prof. terangkan.

PROF. HAZIM SHAH:

Ya, memang benar bahawa dalam sejarah falsafah khususnya Falsafah Greek silam dan juga Falsafah
Ketimuran ataupun oriental philosophy, sudah ada orientasi ke arah menggunakan pemikiran falsafah
untuk mencari jalan dan langkah bagaimana manusia dapat mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan
dalam kehidupan ini. Jadi falsafah disitu bukan hanya berperanan untuk memikirkan tentang masalah-
masalah metafizikal, epistemologi dan sebagainya yang mana kecenderungan ini terdapat dalam
falsafah moden masa kini, tetapi aspek-aspek kehidupan juga memainkan peranan penting dalam
bidang falsafah. Dengan itu, falsafah bukanlah sesuatu yang terpisah daripada kehidupan itu sendiri
kerana ia adalah relevan terhadap usaha manusia untuk mencari kebahagiaan . Selain itu, jika kita
lihat daripada sudut Falsafah Greek, falsafah dianggap sebagai kecintaan terhadap hikmah. Hikmah ini
atau wisdom berkait rapat dengan cara kehidupan manusia kerana kalau kita mempunyai hikmah
sudah tentu ini akan membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih bermakna.

Bagaimanakah peranan falsafah atau bagaimanakah falsafah itu boleh memainkan peranan dalam
usaha manusia untuk mencari kebahagiaan atau kesejahteraan itu. Ada berbagai cara dimana kaitan
itu kita dapat lihat. Pertama, dalam konsep insan itu sendiri seperti yang dilihat dalam sejarah falsafah.
Apakah yang dimaksudkan dengan insan dan apakah sifat insan itu sendiri? Kefahaman tentang sifat
insan itu sudah tentu dapat membantu kita ke arah mencari kesempurnaan dalam kehidupan dan juga
mencari apakah sifat-sifat insan yang mulia dan insan-insan yang sempurna dan sejahtera. Dengan
adanya pengetahuan seperti ini, akan membantu atau membimbing kita kearah menghadapi atau
menjalani hidup yang lebih bermakna kerana berpandukan kepada konsep insan seperti yang telah
difikirkan oleh ahli-ahli falsafah. Seperti yang dikatakan oleh Socrates misalnya, satu petikan dari
Socrates, the unexamined life is not worth living. Bermaksud bahawa kehidupan ini jika tidak direnungi
dan jika kita tidak mencari apakah makna yang sebenar akan kehidupan itu dan kita tidak menyoal
akan tabiat-tabiat yang biasa kita punyai dan tidak ada usaha untuk membetulkan keadaan yang silap
dalam apa yang kita amalkan, maka sudah tentulah kita tidak akan dapat mencapai kebahagiaan. Jadi
tumpuan kepada aspek kemanusiaan dalam falsafah adalah satu cara dimana kebahagiaan itu boleh
dicapai.

Tidak lupa juga seperti yang saya katakan tadi konsep kesejahteraan itu bukan sahaja terdapat dalam
Falsafah Barat seperti dalam Falsafah Greek, tetapi juga dalam Falsafah Timur ataupun oriental
philosophy seperti yang terdapat dalam Falsafah Islam, Falsafah India dan juga Falsafah Cina. Malahan,
ada pengkaji-pengkaji yang menganggap bahawa Falsafah India dan Falsafah Cina, ciri yang utamanya
ialah untuk mencari kebahagiaan menggunakan pemikiran falsafah sebagai satu cara atau wahana
utuk mencapai kebahagiaan. Ini dimungkinkan oleh adanya hakikat bahawa dalam tamadun Asia dan

1
tamadun Islam, falsafah itu tidak dipisahkan dari keagamaan. Jadi misalnya kalau kita membincangkan
tentang Chinese Philosophy atau Indian Philosophy. Kita tidak boleh memisahkannya dari Chinese
Religious Philosophy ataupun Indian Philosophy dan kita tahu bahawa dalam pemikiran kegamaan
yang menjadi perkara pokoknya ialah hubungan manusia dengan tuhan dan hubungan manusia
dengan alam. Kefahaman tentang perkara tersebut demi untuk mencapai satu kesejahteraan dalam
kehidupan manusia dengan adanya hubungan yang betul antara manusia dan tuhan dan ataupun
penciptanya dan juga hubungan yang betul antara manusia dan alam dan juga hubungan antara
manusia sesama manusia.

Jadi ini semua dapat dijelaskan melalui pemikiran falsafah dimana pemikiran falsafah itu bersifat lebih
conceptual, systematic dan analytical. Ini dapat diaplikasikan kepada idea-idea tentang kemanusiaan
ketuhanan dan alam sekitar seperti yang terdapat dalam fahaman keagamaan dan dirumus kembali
dalam bentuk falsafah supaya dibentangkan secara jelas secara konseptualnya bagi membimbing
manusia untuk menjalani kehidupan dengan lebih teratur bermakna dan bermanfaat kepada semua
pihak. Kalau kita lihat juga ini adalah suatu jalan yang baik dalam orientasi falsafah kerana ia
menjadikan falsafah itu relevan terhadap kehidupan manusia dan bukannya suatu bidang yang
bersifat intelektual atau akademik sahaja yang tidak mempunyai nilai bagi menimbulkan suatu
keadaan yang lebih baik bagi kehidupan manusia kearah mencapai kesejahteraan dan kebahagiaan.

NURFA FAILASUF: Terima kasih Prof., kerana dapat memberikan jawapan yang menarik. Baik Prof.
Nurfa nak tanyalah bagaimana konsep insan ini daripada perspektif tamadun Barat, tamadun Asia juga
tamadun Islam? Boleh tak Prof. tolong jelaskan?

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Jadi soalannya ialah mengenai apakah konsep insan dan kemanusiaan
didalam tamadun-tamadun seperti tamadun Barat, tamadun Islam dan tamadun Asia. Memang betul
bahawa pemikiran tentang insan dan kemanusiaan itu terdapat dalam pelbagai aliran falsafah yang
dikaitkan dengan tamadun-tamadun yang tertentu.

Jadi saya mulakan dengan konsep insan dalam tamadun Barat. Apakah konsep insan dalam tamadun
Barat? Baik, saya merujuk kepada pemikiran ahli Falsafah Greek yang masyhur iaitu Aristotle. Dimana
beliau menganggap bahawa manusia itu mempunyai ciri atau sifat utamanya iaitu pemikirannya yang
rasional ataupun akal fikiran yang rasional. Jadi, disebut disitu bahawa mengikut Aristotle dalam
Bahasa Inggeris, man is a rational animal. Manusia adalah insan ataupun kejadian yang berfikir.
Manusia adalah kehidupan yang berfikir. Man is a rational being; a man is a rational animal. Jadi,
pemikiran rasional menjadi ciri utama kemanusiaan ataupun seseorang insan itu. Ini membezakannya
dari haiwan atau umpamanya ataupun daripada alam jasad yang tidak bernyawa. Kebolehan berfikir
secara rasional ini dikatakan suatu keistimewaan yang dipunyai oleh manusia yang tidak dipunyai oleh
kewujudan-kewujudan yang lain. Ini dikritik oleh sesetengah pihak dalam kalangan ahli Falsafah Barat
itu sendiri, dimana mereka melihat ini sebagai suatu penumpuan yang agak berat sebelah terhadap
sifat intelektual manusia iaitu apa yang dikatakan Logosentrisme. Logosentrisme itu bermaksud
berpusatkan kepada akal fikiran yang bersifat rasional dan intelektual semata-mata. Apakah yang
boleh kita kontrakan dengan konsepsi man is a rational being. Ini kita boleh kontrakan dengan konsep
yang ditimbulkan oleh seorang lagi ahli falsafah Barat Friedrich Nietzsche, seorang ahli falsafah
Jerman. Bagi Nietzsche beliau mengatakan bahawa, yang menarik tentang konsep insan atau
kemanusiaan ini bukannya seperti yang dinyatakan oleh Aristotle yang bersifat logosentrik. Tetapi
yang menariknya adalah cerita-cerita ataupun sastera yang terdapat dalam sastera Greek silam atau

2
Greek kuno dimana aspek-aspek kemanusiaan yang berteraskan bukan kepada akal fikiran yang
rasional tetapi berteraskan kepada emosi manusia yang mungkin tidak bersifat rasional. Jadi,
Nietzsche mengatakan bahawa “Greek literature is interesting because it presents a different side of
man. It gives us a picture of the dark side of humanity”. Jadi disitu kita lihat bahawa konsep manusia
sebagai insan yang berfikir itu dicabar oleh Nietzsche dan juga oleh ahli-ahli falsafah golongan Counter-
Enlightenment yang mencabar konsep man as a rational being and man as having to adopt a scientific
approach to life yang dianjurkan oleh golongan Counter-Enlightenment. Pada abad ke-18 dan ke 19
golongan Counter-Enlightenment menekankan aspek-aspek emosi dan intuitif dalam kehidupan dan
dalam sifat insan itu sendiri. Jadi kita lihat disini bahawa apa yang ingin saya sampaikan ialah konsep
insan dalam falsafah Barat itu bukan sesuatu yang bersifat sealiran ataupun monolitik tetapi didalam
falsafah Barat juga terdapat kepelbagaian mengenai konsep insan dan ini tidak termasuk lagi didalam
kalau dilihat dari sudut falsafah Barat, Zaman Pertengahan dimana konsep manusia itu banyak
dipengaruhi oleh fahaman agama khususnya agama Kristian dan disitu konsep manusia itu sebagai
makhluk tuhan dan sebagai ciptaan tuhan yang seharusnya patuh kepada hukum-hukum tuhan itu
ditekankan di dalam perspektif keagamaan dalam menghuraikan akan konsep dan sifat
kemanusiaannya itu. Jadi kita lihat terdapat pelbagai aliran mengenai konsep insan itu didalam
falsafah barat itu. Ini tidak termasuk lagi kalau kita lihat dari sudut falsafah moden umpamanya
fahaman Existentialisme yang dibawa oleh ahli-ahli fasafah seperti Jean Paul Sarte dan sebagainya
yang menganggap bahawa manusia itu dilahirkan tanpa apa-apa panduan dalam hidup, tanpa apa-
apa sifat kerohanian yang bersifat semula jadi ataupun sudah sedia ada secara essential tetapi
dianggap bahawa manusia itu dilahirkan ke muka bumi ini dalam keadaan yang tidak mempunyai apa-
apa sandaran ataupun dalam bahasa mudahnya manusia yang bogel iaitu tidak ada apa-apa panduan
dalam hidup. Tugas manusia apabila berada didunia ini ialah untuk mencari makna dalam
kehidupannya sendiri. Jadi ini adalah satu fahaman yang boleh dikatakan bersifat existentialist dan
juga post-modernist. Jadi disitu apa yang saya huraikan disini ialah hanya kalau kita lihat hanya
tumpukan hanya pada satu tamadun sahaja iaitu tamadun Barat, sudah terlihat akan kepelbagaian itu.
Jadi konsep manusia atau insan bukanlah semudah yang mungkin kita fikirkan dimana kita anggap
mungkin didalam tamadun Barat ada fahaman A, kemudian tamadun Timur ada fahaman B. Tetapi
sebaliknya yang ingin saya nyatakan disini ialah dalam sesuatu tamadun itu juga terdapat kepelbagaian
dalam konsep insan mereka dalam erti kata lain mereka mempunyai perbezaan pendapat dalam
konsep insan itu sendiri.

Baik yang kedua, konsep insan dalam tamadun Islam. Apakah konsep Islam ataupun fahaman Islam
mengenai konsep insan? Oleh kerana Islam adalah suatu agama, maka falsafah yang berteraskan
kepada fahaman Islam itu mestilah berlandaskan kepada ajaran agama Islam itu sendiri dan
kepercayaan dalam agama Islam. Disini kita lihat bahawa agama Islam mementingkan konsep
ketuhanan dalam memahami tentang kehidupan ini. Insan itu atau manusia itu tidak boleh dipisahkan
dengan hubungannya dengan Tuhan. Jadi, untuk memahami konsep insan dan kemanusiaan kita mesti
memahami konsep ketuhanan terlebih dahulu dan memahami apakah hubungan manusia dan Tuhan.

Konsep insan didalam agama Islam menekankan bahawa kita tidak boleh meleraikan hubungan
diantara manusia dengan Tuhan dan manusia dengan alam dan jadikan konsep insan itu sebagai
sesuatu yang berdiri sendiri itu harus difahami. Jadi kalau lihat dari sudut itu, kita akan faham bahawa
dalam Islam manusia itu adalah hamba kepada tuhan; man is a servant of God dan konsep hamba itu
bermaksud ataupun membawakan konotasi bahawa ianya tidak bebas kerana hubungan diantara
hamba dan Tuhannya adalah suatu hubungan yang boleh kita katakan sebagai berat sebelah dalam
erti kata bahawa manusia harus patuh kepada tuannya iaitu Tuhan. Jadi sebagai hamba dia tidak boleh
melanggar peraturan yang telah ditentukan oleh tuannya. Sebagai hamba dia mesti mengikut apakah

3
yang telah ditentukan ataupun apakah hukum-hukum yang telah ditentukan oleh Tuhan. Ini adalah
konsep manusia sebagai hamba Tuhan; man is a servant of God.

Satu lagi konsep yang terdapat dalam fahaman Islam ialah manusia ialah khalifah Tuhan di muka bumi
ini. Jadi sebagai khalifah dia cuma berfungsi dan berperanan sebagai wakil Tuhan dimana Tuhan itu
adalah tuannya dan dia cuma menjalankan amanah dimuka bumi ini dengan memikul tanggungjawab
sebagai pemegang amanah tidak lebih dari itu. Bermaksud bahawa dia tidak boleh bertindak ke atas
alam tabi’i ini dengan sesuka hatinya ataupun sewenang-wenangnya kerana sebagai pemegang-
pemegang amanah dia harus akur akan apakah yang dikehendaki oleh Tuhan untuk manusia itu
lakukan dimuka bumi ini. Jadi terdapat kekangan-kekangan yang jelas dalam peranan manusia itu
sebagai khalifah di muka bumi ini. Contohnya tentang bagaimana manusia itu harus bertindak
terhadap alam sekitar. Jadi di sini sebagai wakil Tuhan dimuka bumi, dia haruslah menjaga alam sekitar
itu kerana alam sekitar itu cuma sesuatu yang dipinjamkan ataupun yang diamanahkan kepada
manusia bagi kegunaan dan kepentingan manusia tetapi manusia tidak mempunyai hak yang mutlak
terhadap alam itu kerana dia cuma sebagai ejen Tuhan sebagai pemegang amanah. Jika Tuhan
menanggap alam itu haruslah dihormati ataupun diperlakukan dengan secara yang baik dan tidak
melampaui batas. Maka manusia tidak harus melanggar peraturan itu iaitu dia tidak boleh melampaui
batas tetapi apa yang terdapat sekarang ini adalah manusia telah melampaui batas dengan bertindak
ke atas alam itu dengan secara agresif sekali untuk memenuhi keperluan dan juga nafsunya terhadap
kehidupan yang kononnya lebih selesa dan sebagainya kearah menggunakan sumber-sumber alam
dengan secara tidak bertanggungjawab kadangkala hingga menimbulkan masalah-masalah seperti
masalah alam sekitar dan sebagainya. Jadi itu timbul kerana manusia tidak memainkan peranannya
sebagai insan dalam konsep Islam yang mana ianya cuma sebagai khalifah ataupun pemegang
amanah.

Baik seterusnya konsep insan didalam tamadun Asia. Disini saya ambil secara ringkas dua tamadun
iaitu tamadun India dan tamadun Cina. Bagi tamadun India, kita lihat bagaimana manusia itu dilihat
dari perspektif keagamaan iaitu agama Hindu. Dalam agama Hindu, manusia itu dianggap sebagai
suatu kejadian yang mempunyai roh ataupun disebut sebagai Atman dalam fahaman Hindu dimana
idealnya ialah untuk Atman (individual soul) itu bergabung dengan Brahman mungkin boleh dianggap
sebagai alam ketuhanan ataupun the divine. Juga terdapat konsep kefahaman kelahiran semula
didalam fahaman Hinduisme dimana bentuk dan sifat dimana manusia itu dilahirkan semula
bergantung kepada apa yang dilakukannya di muka bumi ini dalam kehidupannya sekarang ini. Jadi
jika dia melakukan kebaikan dalam hidupnya pada masa kehidupan yang ada sekarang ini, maka dia
akan mendapat balasan yang baik dan akan dilahirkan semula dalam bentuk yang lebih baik. Sekiranya
ia melakukan kejahatan, maka dia kan dilahirkan dalam bentuk yang lebih rendah martabatnya
daripada manusia seperti haiwan dan sebagainya. Jadi ini konsep insan yang mempunyai unsur
metafizika dan juga etika. Metafizikal dalam erti kata ia menganjurkan konsep kelahiran semula atau
rebirth dan etika dalam erti kata bahawa ia menganjurkan tentang apakah tindakan yang akan
dilakukan oleh manusia untuk mencapai darjat yang lebih tinggi iaitu untuk mencari kesejahteraan
didalam hidupnya.

Satu lagi fahaman yang boleh kita kaitkan dengan tamadun India ataupun, dalam kes ini merentasi
batas India dan Cina iaitu fahaman Budhisme. Menariknya tentang fahaman Budhisme ini ialah ianya
satu-satunya agama yang tidak mempunyai kosep ketuhanan dan juga konsep insannya agak berbeza
sedikit kerana ia menganggap bahawa konsep self atau diri itu ataupun ‘aku’ itu tidak wujud ataupun
diri manusia itu sebagai sesuatu yang kekal yang berasingan mempunyai identiti yang berasingan dan
‘kekal’ itu ditolak dalam fahaman Buddhisme. Buddhisme juga mempunyai konsep bahawa kehidupan
ini adalah kesengsaraan dan penderitaan. Jadi mungkin dianggap dalam sesetengah pihak sebagai satu

4
pandangan yang agak pesimistik tetapi bagi fahaman Buddhisme ini adalah realiti kehidupan iaitu
manusia itu akan sentiasa menghadapi penderitaan dan kesengsaraan dan ini adalah keadaan semula
jadi kehidupan manusia tetapi ini tidak bermakna bahawa manusia tidak boleh berbuat apa-apa untuk
memperbaiki keadaan ini manusia juga boleh melakukan sesuatu untuk membebaskan ataupun
melepaskan dirinya daripada ikatan penderitaan dan kesengsaraan. Bagaimana caranya? Iaitu dengan
menghadapi ataupun memahami apakah realiti sebenar kehidupan ini yang berlaku ataupun
bertindak mengikut realiti itu. Apa yang dimaksudkan dengan konsep ini iaitu bagi seseorang penganut
agama Buddha, mereka menganggap tidak ada suatu agama kekal dalam dunia ini, everything is in a
state of impermanence or a state of flux. Semuanya akan berubah dari satu keadaan kepada keadaan
yang lain, tidak ada yang kekal. Jadi, apabila manusia bergantung ataupun mempunyai kecintaan yang
berlebihan terhadap sesuatu itu, sedangkan sesuatu itu tidak kekal, maka sudah tentulah apabila
keadaannya berubah ataupun sesuatu yang mana dia mengharapkan kasih-sayang ataupun
mengharapkan kebaikan darinya itu berubah, maka ia akan mengalami suatu keadaan kesengsaraan
ataupun penderitaan. Jadi bagi fahaman Buddhis untuk mengelak dari kesengsaraan, seseorang itu
tidak harus mempunyai pergantungan atau attachment terhadap dunia ini, terhadap kebendaan atau
material, manusia, pangkat, kekayaan dan sebagainya kerana semua ini tidak kekal. Kebergantungan
kepada sesuatu yang tidak kekal akan membawa kepada kesengsaraan.

Ada juga prinsip-prinsip etika lain seperti yang terdapat dalam eight fold path dan sebagainya untuk
membebaskan manusia dari kesengsaraan. Pembebasan disini yang dimaksudkan ialah pembebasan
dalam setiap kelahiran semula. Selagi manusia itu tidak mencapai kesempuranan dia tidak akan
mencapai nirvana iaitu paling tinggi yang tidak akan ada lagi kesengsaraan. Selagi manusia itu tidak
mencapai nirvana, ia akan dilahirkan semula dan akan mengalami semula kitaran kesengsaraan. Jadi,
tujuan kehidupan ialah untuk mencapai kepada taraf atau peringkat nirvana itu.

Baik kita beralih kepada fahaman falsafah Cina mengenai insan dan dalam hal ini ada dua aliran utama
dalam falsafah Cina iaitu aliran Konfusianisme (Confucianism) yang pertama dan kedua aliran
Taoisme. Dalam fahaman Konfusianisme ianya bukanlah sesuatu yang bersifat keagamaan kerana
Confucius sendiri menganggap bahawa idea-ideanya adalah hasil dari pemikirannya yang rasional dan
bukannya bersifat wahyu dan kebanyakan idea-idea ini adalah berkaitan dengan prinsip-prinsip etika
yang harus diikuti untuk mencapai kebahagiaan dalam kehidupan manusia jadi disini umpamanya
antara prinsip-prinsip tersebut ialah penghormatan ataupun rasa hormat yang harus diberikan oleh
anak-anak kepada ibubapa mereka. Anak-anak tidak harus melawan ibubapa ataupun menyakiti
ibubapa tetapi sebaliknya membahagiakan ibubapa dan berkhidmat untuk ibubapa. Jadi ini satu idea
didalam fahaman Konfusianisme dan juga tentang bagaimana untuk mentadbir masyarakat dengan
secara adil saksama dan membawa kepada kebahagiaan masyarakat manusia. Ini juga tumpuan
Konfusianisme.

Satu lagi fahaman yang dikaitkan dengan falsafah cina ialah fahaman Taoisme. Apakah fahaman
ataupun peranan Taoisme terhadap konsep insan ataupun apakah yang dilihat sebagai manusia
ataupun ciri-ciri manusia itu mengikut fahaman Taoisme. Dalam hal ini kita harus faham bahawa
manusia itu haruslah dilihat dalam konteks hubungannya dengan apa yang disebut sebagai tao dalam
fahaman Taoisme dimana tao ini adalah sesuatu tidak boleh dilihat ataupun disamakan dengan apa-
apa kewujudan yang ada dan tidak boleh dberikan satu gambaran yang jelas; the concept Tao is
something that is indefinable and ineffable. Tetapi tao memainkan peranan yang penting dalam
kehidupan manusia dan manusia haruslah mempunyai hubungan yang betul dengan tao ini. Dan
keduanya ialah manusia itu haruslah dilihat dalam konteks hubungannya dengan alam sekitar ataupun
kadangkala disebut sebagai mother nature. Jadi konsepsi alam sekitar itu adalah sesuatu yang
dikaitkan dengan sifat feminin iaitu mother nature dan manusia dianjurkan supaya bertindak bukan

5
secara bertentangan dengan alam bukannya melakukan sesuatu yang boleh merosakkan alam
ataupun bergerak mengikut aliran yang tidak sehaluan dengan pergerakan alam. Sebaliknya manusia
dianjurkan supaya mencetuskan satu hubungan yang harmoni dengan alam dan memelihara alam ini
untuk kesejahteraan dirinya sendiri. Jadi konsep kehidupan yang mana kehidupan manusia itu
haruslah berharmoni dengan alam; living in harmony with nature adalah sesuatu yang ditekankan
kerana alam itu adalah sebahagian daripada manusia itu sendiri. Jika ia menghormati alam dan
memelihara alam maka dia juga akan mencapai kebahagiaan didalam kehidupannya.

Satu lagi konsep yang terdapat dalam fahaman Taoisme ialah konsep wu wei ini diterjemahkan oleh
sesetengah pihak sebagai tidak bertindak atau non-action ataupun juga boleh difahami juga dengan
tindakan yang selari dengan fitrah alamiah. Jadi ini satu situasi yang saya rasa lebih munasabah kerana
kalau kita fahami sebagai non-action ataupun seolah-olah tidak melakukan apa-apa tindakan ini
seolah-olah mengambarkan bahawa fahaman Taoisme itu adalah satu fahaman yang fatalistik
ataupun hanya menyerahkan diri kepada keadaan tanpa mengambil apa-apa tindakan persendirian.
Tetapi itu saya rasa bukannya fahaman yang sebenar dalam konsep wu wei. Jadi kalau konsep wu wei
saya rasa lebih tepat diterjemahkan sebagai bertindak mengikut aliran ataupun mengikut fitrah
alamiah iaitu act in accordance with the natural flow. Untuk itu manusia haruslah tidak meletakkan
kepentingan dirinya ataupun egoismenya dalam melakukan satu tindakan itu. Jadi hubungan manusia
dengan alam dan kefahaman tentang sifat manusia dan hubungannya dengan alam itu adalah penting
dalam fahaman Taoisme.

NURFA FAILASUF: Prof, boleh tak Nurfa bacakan satu e-mel dari Cik Sarah dari Klang. E-melnya
berbunyi begini. Bagaimanakah konsep insan ini dilihat dari perspektif Falsafah Pendidikan
Kebangsaan iaitu konsep J.E.R.I. Boleh tak Prof. terangkan apa itu konsep J.E.R.I?

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Jadi disini kita lihat bahawa konsep insan dari sudut falsafah itu dikaitkan
dengan pelbagai tamadun. Dan ianya ialah satu konsep yang lebih luas daripada konsep yang terdapat
didalam pemikiran Rene Descartes di abad ke-17 yang hanya menghadkan skop insan atau konsep
insan kepada sesuatu yang dibahagikan kepada dua bentuk iaitu jasad dan roh ataupun jasad dan
nyawa dimana tidak ada gabungan ataupun hubungan yang jelas diantara keduanya. Disini kita cuba
lihat pula dari sudut kebangsaan ataupun sudut lokal berhubung dengan konsep insan itu. Apakah
terdapat fahaman falsafah mengenai konsep insan yang boleh kita kaitkan dengan keadaan
tempatan? Dalam hal ini saya ingin menarik perhatian kepada konsep insan seperti yang telah
dijelaskan didalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu konsep insan sejahtera dan konsep ini seperti
yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan biasanya dirujuk melalui akronimnya iaitu
J.E.R.I. ataupun terdiri daridada huruf-huruf J, E, R dan I.

Apakah yang dimaksudkan dengan J.E.R.I. ini? Kita lihat satu persatu apakah yang dimaksudkan
melalui huruf-huruf yang ada iaitu huruf yang pertama J merujuk kepada Jasmani iaitu aspek fizikal
manusia itu mempunyai tubuh badan yang perlu dipelihara untuk mencapai kesejahteraan kehidupan
kerana tak mungkin aspek minda dan pemikiran dan kerohanian dan sebagainya dapat direalisasikan;
dapat digunakan potensinya dengan secara optimum jika tubuh badan manusia itu tidak berada dalam
keadaan yang baik. Walaupun kita akui bahawa manusia mempunyai aspek-aspek bukan fizikal seperti
aspek mental, kerohanian, emosi dan sebagainya namun, semua aspek ini bergantung dengan
keadaan tubuh badan manusia jadi manusia haruslah memberi perhatian kepada aspek jasmaninya.
Dia harus menjaga kesihatannya, kebersihan tubuh badannya dan sebagainya. Baik yang kedua aspek
Emosi seperti yang terdapat dalam huruf E. Kita lihat bahawa ini mencerminkan konsep insan yang
memberi perhatian juga mengambil berat juga tentang aspek emosi manusia jadi kita lihat bahawa

6
manusia itu bukan hanya identiti yang berfikir sperti yang dikatakan oleh Aristotle; man is a rational
animal tetapi man is a being with emotion and feeling seperti yang dijelaskan oleh falsafah Counter-
Enlightenment. Aspek emosi manusia ini juga harus diberi perhatian kerana jika terganggu emosinya
sudah tentulah manusia itu tidak akan dapat mencapai kehidupan yang sejahtera kerana dia akan
sentiasa dihinggapi kemurungan dan sebagainya kerana emosinya tidak stabil. Yang ketiga iaitu huruf
R yang ditandakan oleh huruf R iaitu aspek Rohani ataupun kerohanian. Disini kita lihat bahawa aspek
kerohanian ini diberi penekanan dalam fahaman dan amalan keagamaan. Masing-masing agama
mempunyai amalan-amalan yang tersendiri demi membina satu keadaan kerohanian yang lebih baik
ataupun lebih kukuh memantapkan kerohanian manusia itu adalah sesuatu yang dianjurkan oleh
semua agama dan falsafah J.E.R.I. juga yang seperti terdapat didalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan
mementingkan aspek ini kerana suatu keadaan kerohanian yang sihat akan memberikan
kesejahteraan kepada seseorang insan itu. Akhir sekali, aspek intelek seperti yang dilambangkan oleh
huruf I dalam J.E.R.I. itu. Disini kita lihat bahawa sifat intelek ini ataupun pemikiran yang rasional ini
memanglah satu sifat yang ada pada manusia itu dan lebih-lebih lagi dalam sistem pendidikan ia
mementingkan aspek inteletual ini iaitu membina akal fikiran yang lebih kreatif yang lebih kritis dan
lebih tajam demi untuk mencapai ilmu yang lebih luas dan mendalam jadi aspek intelek manusia itu
juga diakui sebagai satu ciri penting dalam sifat ataupun dalam kehidupan manusia itu dan harus diberi
perhatian dalam sistem Pendidikan. Pada hari ini sudah semestinya ini diberi penekanan kerana
kepentingannya bagi pembelajaran dan proses pengajaran ilmu di sekolah-sekolah dan universiti-
universiti. Jadi itulah yang dimaksudkan dengan J.E.R.I. itu dan apakah aspek falsafah yang terkandung
dalamnya seperti yang telah saya jelaskan tadi.

NURFA FAILASUF: Prof., Nurfa nak tanyalah bagaimana konsep insan sejahtera ini dapat memainkan
peranan untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam kehidupan kita. Boleh tak Prof. terangkan.

PROF. HAZIM SHAH: Baik. Jadi disini kita lihat bahawa kita sudah mempunyai satu falsafah yang
dikaitkan dengan kehidupan yang sejahtera bagaimana manusia itu boleh difahami sifatnya dan
bagaimana dengan kefahaman tentang sifat manusia itu yang secara holistik dan seimbang kita dapat
insyAllah mencapai kehidupan yang lebih baik dan sejahtera. Tetapi bagaimana pula tentang
persoalan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh manusia dalam kehidupannya sehari-hari dalam dunia
kontemporari ini dalam keadaan kehidupan moden pada hari ini sama ada di peringkat local, peringkat
kebangsaan ataupun peringkat yang lebih global? Disini kita lihat bahawa manusia itu adalah sama
ataupun maksudnya seorang insan itu mempunyai sifat-sifat yang lebih kurang sama dan di mana pun
konteksnya sama ada di rumah ataupun di sekolah, di peringkat daerah ataupun di peringkat nasional,
ataupun di peringkat antarabangsa. Sebagai manusia ia adalah entity yang sama cuma alam sekitarnya
ataupun alam sekelilingnya konteks luarannya berbeza tetapi jika ia mempunyai kefahaman dan sifat-
sifat kemanusiaan seperti yang terdapat dalam apa yang disebutkan sebagai JERI tadi iaitu suatu insan
yang mempunyai sifat-sifat yang holistik dan seimbang, maka dia sepatutnya mampu menghadapi
keadaan yang mencabar di luar sana sama ada di peringkat nasional ataupun international ataupun
individu. Ini kerana jika dia memberi pertimbangan yang saksama kepada aspek pemikiran rasional
atau intelektualnya kepada emosi dan keadaan kerohaniannya dan kepada tubuh badannya, menjaga
kesihatannya, maka dia akan berada dalam kedudukan yang baik untuk menangani apa jua cabaran
yang dihadapi. Ini kerana cabaran-cabaran yang dihadapi itu tidak boleh tidak akan terbit dari salah
satu aspek tersebut iaitu sama ada cabaran itu bersifat fizikal iaitu jasmani atupun ia cabaran kepada
pemikiran seseorang itu iaitu daya intelektualnya dicabar melalui umpamanya keadaan dimana ia
berkerja dan harus menyelesaikan masalah-masalah dengan menggunakan pemikiran yang rasional

7
dan kreatif. Jadi jika dia sudah menyediakan dirinya dari aspek intelektual dia akan dapat menghadapi
keadaan itu. Jika cabaran yang dihadapinya berbentuk emosi maksudnya dia menghadapi tekanan luar
sama ada di pejabatnya ataupun di tempat kerjanya ataupun di dalam hubungan perniagaannya dan
sebagainya, ini semua merupakan cabaran keatas emosinya. Jika emosinya dapat dikendalikan dengan
baik maka sudah tentulah sama ada dia berada di sekolah ataupun bekerja di syarikat ataupun bekerja
dengan kerajaan, dia akan dapat mengawal keadaan dan mewujudkan satu keadaan yang stabil bukan
saja pada dirinya tetapi pada organisasi di mana dia bekerja.

Baik aspek yang seterusnya iaitu kerohanian. Jika manusia itu atau seorang insan adalah mantap dari
segi kerohanian maka dia akan mempunyai kekuatan dalaman yang begitu berguna sekali untuk
menghadapi tekanan-tekanan psikologi dan tekanan-tekanan luaran yang bersifat emosi dan
sebagainya kerana rohaninya sudah mantap. Jadi dia tidak lagi terumbang-ambing ataupun jiwanya
lemah yang memungkinkan dia tumbang apabila menghadapi tekanan-tekanan dari luar bersifat
psikologi, bersifat intelektual dan sebagainya. Jadi itulah pandangan saya tentang bagaimana
penghayatan falsafah insan yang disebut dibawah akronim J.E.R.I. itu dapat membolehkan seseorang
itu menghadapi cabaran-cabaran dalam kehidupannya dalam pelbagai konteks dan peringkat.

Anda mungkin juga menyukai