Anda di halaman 1dari 2

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian jawab semua soalan.

                                                                                                                         [30 markah]

Masalah pelupusan sampah bukan sahaja dihadapi di negara kita tetapi juga berlaku
di negara-negara maju seperti Jepun. Berdasarkan jumlah sampah yang semakin meningkat
setiap tahun, pelupusan sampah secara konvensional sudah tidak praktikal lagi pada masa
ini. Oleh hal yang demikian, kerajaan mahu rakyat bersedia untuk berkongsi bersama-sama
bagi menanggung kos pelupusan sampah dengan menggunakan sistem yang lebih
berkesan termasuklah penggunaan teknologi moden seperti insenarator bagi memastikan
penjagaan alam sekitar terjamin.

Oleh itu, negara kita akan menggunakan teknologi insenarator ini bagi menggantikan
kaedah pelupusan sampah yang sedia ada pada masa ini. Langkah ini perlu diambil untuk
menangani masalah pelupusan sampah yang kurang efisien pada masa ini. Pelbagai
cadangan telah dikemukakan untuk mengatasi masalah pelupusan sampah. Antara
cadangan itu termasuklah pembinaan loji insenarator seperti yang digunakan oleh negara-
negara maju.

Antara teknologi insenarator moden yang dimajukan adalah dengan menggunakan


gasifikasi dan peleburan abu yang dapat mengurangkan pengeluaran dioksin pada tahap
yang memenuhi piawaian antarabangsa. Asap dan gas yang berbahaya kepada manusia
tidak dilepaskan ke udara tetapi diserap dan dikumpulkan oleh alat tersebut. Oleh itu,
teknologi insenarator tidak akan menjejaskan kesihatan manusia dan tidak mengganggu
keselesaan penduduk yang tinggal  berhampiran dengan pusat pelupusan sampah tersebut.

            Selain dapat menyelesaikan masalah pelupusan sampah, teknologi insenarator juga
mampu menjana tenaga yang dapat memenuhi keperluan untuk menggerakkan loji
berkenaan. Di samping itu, teknologi tersebut berupaya untuk menjual tenaga yang
dihasilkan kepada syarikat utiliti yang membekalkan tenaga kepada masyarakat. Selain
insenarator yang kekal terdapat juga insenarator bergerak yang menggunakan roda dan
berupaya mengendalikan dua tan sisa termasuklah pepejal. Insenarator seumpama itu
dicipta khusus dan berkonsepkan mesra alam serta tidak mencemarkan alam.

            Oleh hal yang demikian, kita berharap pembinaan insenarator tersebut akan menjadi
kenyataan pada masa yang telah dijangkakan. Hakikat yang perlu kita terima ialah kaedah
pelupusan yang digunakan sekarang tidak lagi mampu menampung sampah yang kita
buang setiap hari. Walaupun kos insenarator ini agak tinggi, namun dalam jangka masa
panjang, teknologi ini menguntungkan manusia dan tidak merosakkan alam sekitar yang
sudah sedia tercemar.

(Disesuaikan daripada ‘Penggunaan Insenarator


Tidak Dapat Dielakkan’, Berita Harian, 10 Mac 2007)
1.  Apakah kelebihan teknologi insenarator dalam usaha untuk melupuskan sampah dengan
lebih efisien?  [4]

Skema jawapan cadangan  


- dapat mengurangkan pengeluaran dioksin
- tidak menjejaskan kesihatan manusia
- tidak mengganggu keselesaan penduduk
- mampu menjana tenaga
- mesra alam atau tidak mencemarkan alam
                                                                                      
2. Jelaskan tiga harapan yang dinyatakan oleh penulis dalam petikan di atas.     [6]

Skema jawapan cadangan


-   rakyat bersedia untuk berkongsi kos pelupusan sampah dengan kerajaan – sistem ini
lebih berkesan
-   negara kita dapat gunakan insenarator – cara sekarang kurang efisien
-   pembinaan insenarator  akan jadi kenyataan – cara sekarang tidak dapat menampung
sampah yang dibuang setiap hari.

3.  Pada pendapat anda, apakah peranan anggota masyarakat di negara ini untuk
membantu kerajaan dalam usaha menangani masalah sampah? Panjang jawapan anda
hendaklah tidak lebih daripada 150 patah perkataan.  [20]

Skema jawapan cadangan


- buang sampah di tempat yang disediakan
- berikan pendidikan kepada anak-anak tentang amalan membuang sampah
- jalankan aktiviti kutipan sampah dan membersihkan kawasan
- libatkan diri dalam kempen membersihkan kawasan
- nasihati orang lain dan jadi contoh amalan membuang sampah di tempat yang
sesuai. 

Anda mungkin juga menyukai