Anda di halaman 1dari 2

ISU JENAYAH RAGUT : PUNCA DAN LANGKAH-LANGKAH

MENGATASI
Sejak dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit
kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas. Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai
terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu
jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia. Kematian dua wanita, Chin Wai Fun,
38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya di
Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See Cheng, 37, pada 14 Jun 2004
menyedarkan masyarakat bahawa jenayah ragut bukan lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi
perhatian serius khususnya oleh kaum wanita.

Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal selama ini mereka langsung
tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh mengancam nyawa. Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran
kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama kala berada di khalayak.
Banyak pihak apabila memperkatakan tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana
leka dan tidak peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi. Menurut mereka peragut terpanggil
melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan mangsa yang membawa beg tangan dengan penuh
gaya tanpa memikirkan keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa berada di
tempat awam.

Menurut Profesor Mahmood Nazar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia,
Universiti Utara Malaysia (UUM), kejadian maut yang berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal
kepada wanita supaya mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang kejadian seumpama itu.
Jenayah ragut kini sama kejamnya dengan jenayah genre lain seperti rogol dan pembunuhan kejam yang
dilakukan kepada wanita. Sudah sampai masanya wanita memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan
mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di luar rumah terutama di tempat awam. Wanita perlu peka
dan menanamkan dalam jiwa mereka bahawa kes ragut kini adalah serius dan kemungkinan akan berlaku
kepada diri mereka pada bila-bila masa. Selama ini wanita terkenal dengan sikap mengambil mudah dan
berperasaan tidak apa.

Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya.
Contohnya apabila hendak ke tempat meletak kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan sesuatu
apabila diserang. Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling serta mengawasi
orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha mendapatkan maklumat tentang cara-cara
mengendong beg yang betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak perlu.
Sebagai contohnya, apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg tangan yang dipegang atau dikendong
berada pada sebelah kiri. Ini bagi menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk
merentap beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu.

Wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak kira masa dan tempat. Bagi mereka
yang pernah mengalaminya, hendaklah berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang. Sehubungan itu,
wanita harus mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan peragut sekiranya
mengalaminya Dalam hubungan ini, wanita terbabit perlu bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada
hendak melepaskan beg yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak
diingini berlaku terhadap mereka. Wanita seharusnya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang
banyak di dalam beg tangan kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas.
Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak pakai juga biarlah patut padan kecuali jika berada di tempat
yang terjamin selamat.
Sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk mengingatkan kaum wanita akan
bahaya ragut terhadap mereka. Ini boleh dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di
surau dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh tampil bercerita tentang
pengalaman mereka untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan sejenis. Seperkara lagi, masyarakat juga
harus lebih prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan apabila berada di
dalam situasi seperti itu. Sekiranya ternampak seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan
anda berada, segeralah bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya menjadi pemerhati.
Selanjutnya, undang-undang untuk pesalah kes ragut ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka
yang mungkin akan melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum
melakukannya.

Peragut adalah mereka yang yang suka mencuri. Mereka hanya inginkan barang daripada mangsa dan tidak
ambil kisah yang perbuatan mereka itu boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa. Seperkara yang perlu
diingati oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan melawan untuk keselamatan diri.
Apabila diragut, elak diri daripada bergelut dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi
resam peragut akan berusaha mendapatkan apa yang mereka ingini. Jika terus melawan, kemungkinan
mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing kerana kekuatan peragut telah berlipat ganda akibat kelajuan
motor yang dipandu. Dalam apa juga keadaan, langkah terbaik adalah sentiasa berhati-hati. Berpeganglah
kepada pepatah, berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.

Anda mungkin juga menyukai