Anda di halaman 1dari 16

Sang Monyet yang Degil ( TAHAP 2)

Pada suatu hari Sang Kancil sedang berjalan-jalan di kebun buah-buahan dan sayur-sayurannya
bersama rakannya Sang Kura-kura. Sedang asyik mereka menikmati buah-buahan di situ, tiba-
tiba datang Sang Monyet yang kelihatan amat kelaparan sekali.

"Tolong, tolong, aku amat lapar sekali. Sudah beberapa hari aku tak makan", kata Sang Monyet
dengan sedih.

"Bolehkah kiranya kamu berdua berikan sedikit buah-buahan untuk aku makan", pinta Sang
Monyet tadi.

Sang Kancil dan Sang Kura-kura berasa amat sedih dan kasihan melihat keadaan Sang Monyet
seperti itu.

"Baiklah Monyet, ambil lah apa saja yang kau mahu", kata Sang Kancil.

"Terima kasih Kancil, terima kasih Kura-kura", seloroh Sang Monyet gembira.

Melihatkan pepohon buah-buahan yang merimbun di hadapannya, mulalah Sang Monyet berasa
tamak. Tiba-tiba dia ternampak akan pokok cili yang ranum dengan cili-cili yang merah
menyala.

"Aku mahu itu, aku mahu itu!", teriak Sang Monyet.

"Jangan Monyet, nanti kau yang menanggung pedihnya", tegah Sang Kura-kura.

"Betul tu Monyet, pilihlah buah yang lain", sokong Sang Kancil.

"Ah, aku tak peduli. Aku mahu buah itu juga", kata Sang Monyet tegas.

Dengan tidak mempedulikan amaran Sang Kancil dan Sang Kura-kura, Sang Monyet terus
meluru ke arah pokok cili. Dia memetik cili-cili yang merah menyala itu dan terus memakannya
dengan gelojoh.

Tiba-tiba Sang Monyet menjerit,

"Pedas!!!, pedas!!!, air, air, mana air. Pedas!!!",

Dengan muka yang merah kerana menahan Sang Monyet berlari mencari air bagi menghilangkan
pedas di lidahnya itu, sambil Sang Kancil dan Sang Kura-kura menggeleng-gelengkan kepala
mereka.
Pemotong Kayu Yang Jujur( TAHAP 2)

Pada suatu pagi, seorang tua pergi ke hutan untuk menebang pokok untuk dibuat kayu api. Tidak
seperti kebiasaannya, kali ini si isteri tidak dapat menemani si suami kerana sakit.

Maka ke hutan lah si tua berseorangan pada awal pagi untuk mencari kayu api. Seharian si tua
menebang pokok dengan kapak besi nya yang telah uzur. Sehinggalah kepenatan, tidak jua dia
berhenti.

Tiba-tiba genggamannya semakin lemah lalu terlepas kapak kesayangan dari tangannya lalu
termasuk ke dalam sungai yang dalam. Menangis sayu si tua kerana kehilangan kapak yang
menjadi punca rezeki. Hendak terjun mencari takut disambar arus, meratap ia mengenangkan
nasib.

Maka bersimpatilah pari-pari di langit melihat kegundahan si tua tersebut lalu turunlah ia
bertanya, "Wahai orang tua. Kenapa bersedih hati?"

Dengan nada perasaan takut dan terkejut, orang tua tersebut menceritakan apa yang berlaku.

"Baiklah, akan ku bantu mencari kapak engkau yang tenggelam." Lalu dengan serta merta
terjunlah si pari-pari ke dalam sungai. Selang beberapa minit timbul lah kembali si pari-pari
sambil membawa kapak emas lalu dihulur kepada si tua. Dengan sedih, jawab si tua, "Bukan. Ini
bukan kepunyaan hamba. Tidak mampu hamba memiliki kapak emas ini."

Lalu terjunlah sekali lagi si pari-pari ke dalam sungai dan timbul kembali bersama kapak perak.
Tidak jua mengaku si tua kerana itu bukan kapak miliknya. Sekali lagi si pari-pari terjun lalu
membawa pula kapak gangsa. Tidak juga si tua itu menerimanya sehinggalah si pari-pari
membawakan kapak besi yang uzur.

Maka apabila terpandang akan kapak itu, girang lah hatinya kerana itulah kapak miliknya. Lalu
si pari-pari menyerahkan kapak tersebut kepada si tua. Sebagai balasan kejujurannya kapak
emas, perak dan gangsa turut dihadiahkan.

Pulanglah si tua dengan hati yang gembira. Sesampainya ke rumah lalu diceritakan kepada
isterinya apa yang berlaku. Si isteri turut bergembira dengan kejujuran suaminya.

Keesokan harinya isteri si tua itu pun sihat.


BAYAN LEPAS( TAHAP 2)

Pada suatu masa, seorang petani dan isterinya mengerjakan sebidang sawah untuk
bertanam padi. Malangnya apabila padinya masak, semuanya habis dimakan oleh burung. Tidak
ada sedikit pun yang tinggal. Begitulah juga pada musim-musim berikutnya.

Oleh hal yang demikian , kedua-dua suami isteri ini meminta kerja di rumah orang kaya.
Bekerjalah mereka di rumah itu untuk mendapatkan sara hidup. Malangnya orang kaya itu sangat
kedekut. Kerja kedua-dua suami isteri ini tidak berpadanan dengan upah yang diberikan.

Orang kaya itu memelihara beratus-ratus ekor burung bayan. Burung-burung itu diletakkannya di
dalam sebuah sangkar yang besar. Setiap hari isteri petani itu akan memberi makan burung-
burung bayan itu. Isteri petani itu sangat kasihan melihat burung-burung itu tidak gembira.

"Tentu burung ini mahu terbang bebas," kata isteri petani itu.

 Pada satu petang, pintu sangkar itu dibukanya. Berterbangan lah burung-burung itu keluar.

"Burung bayan lepas! Burung bayan lepas!" Isteri petani mendengar suara berteriak di luar.

Namun, tiada apa yang boleh dibuat lagi. Semua burung itu terlepas ke luar sangkar. Mereka
terbang bebas dengan gembira.

Petani suami isteri itu diberhentikan kerja kerana kesalahan itu. Kedua-dua mereka kembali
menanam padi. Sejak hari itu, padi yang mereka tanam sebiji pun tidak diusik oleh burung.

Lama selepas itu, seorang miskin datang ke rumah mereka.

"Berilah aku padi kerana sawah aku habis dimakan burung pada setiap musim," kata si miskin.

Petani suami isteri itu memberi dua tiga guni padi kepada si miskin. Tiba-tiba si miskin
mengenali kedua-dua petani itu.

"Kamu kah yang bekerja dengan aku dahulu ?" katanya. Tahulah kedua-dua suami isteri itu
bahawa si miskin itu ialah orang kaya yang memelihara burung bayan yang mereka lepaskan
dahulu.
Rusa yang Bongkak( TAHAP 2)
Di sebuah hutan, ada seekor rusa yang bongkak. Rusa itu selalu pergi ke tepi kolam untuk melihat
bayangnya. Rusa itu berasa bangga melihat tanduknya yang cantik.

”Oh, cantiknya tandukku!” kata rusa itu kepada dirinya. Namun demikian, rusa itu tidak suka pada
kakinya yang kurus. ”Hai, lihatlah betapa kurusnya kakiku. Aku mahu kakiku cantik juga. Aku
mahu kelihatan cantik dari kepala hingga hujung kaki,” rungutnya.

Pada suatu hari, ketika sedang melihat-lihat bayangnya di tepi kolam, rusa terdengar seekor
anjing menyalak. Rusa itu sedar yang anjing pemburu sedang menuju ke tempat itu. Rusa itu berasa
takut lalu berlari sekuat hati.

Sedang rusa itu berlari ke dalam hutan, tiba-tiba tanduknya tersangkut pada dahan-dahan
sebatang pokok yang rendah. Rusa itu meronta-ronta untuk melepaskan tanduknya daripada dahan-
dahan itu. Rusa itu bertambah cemas apabila kedengaran salakan anjing semakin dekat. Akhirnya,
kakinya yang kurus tetapi kuat itu dapat menolongnya melepaskan diri. Namun, tanduknya patahnya
sedikit.

Anjing pemburu semakin hampir. Rusa itu dapat melarikan diri kerana ia boleh berlari laju. Rusa
itu kini menyedari kegunaan kakinya yang telah membantu menyelamatkan dirinya daripada bahaya.

Sejak hari itu, rusa itu tidak lagi memandang kakinya sebagai sesuatu yang buruk atau tidak
berguna. Rusa itu juga tidak bongkak seperti dahulu kerana tanduknya tidak lagi kelihatan begitu cantik.
Sedarlah rusa itu bahawa kecantikan tidak semestinya membawa kebaikan.
ARNAB YANG PEMALAS ( TAHUN 3)

Di sebuah hutan tinggal sepasang sahabat. Mereka ialah seekor arnab dan seekor tupai. Setiap
hari mereka menghabiskan masa bersama-sama. Pada suatu hari, tupai berkata kepada arnab,
“Mari kita buat sarang. Sekarang dah tiba musim hujan. Apabila hujan, kita ada tempat
berteduh.” “Ya, betul kata awak. Tapi biarlah saya berehat dulu,” jawab arnab. Pada petang itu,
hujan turun dengan lebatnya. Tupai dan arnab berteduh di bawah pokok. Mereka basah dan
kesejukan.”Jika kita ada sarang, tentu kita tak akan basah begini,”kata tupai. “Ya, betul kata
awak,” jawab arnab. “Pagi esok kita akan buat sarang,” kata arnab lagi.

 Keesokan pagi, cuaca sungguh baik. Tupai mengajak arnab membuat sarang. “Lebih baik kita
pergi cari kayu untuk membuat sarang,” kata tupai. “Tapi bukan sekarang,” jawab arnab. “Kita
masih ada banyak masa lagi. Marilah kita pergi cari makanan. Saya sungguh lapar!” Tupai
menggeleng-geleng melihat sikap sahabatnya itu. Pada petang itu, hujan turun lagi. Tupai dan
arnab basah kuyup kerana tiada tempat berteduh. “Alangkah baiknya jika kita ada sarang,” kata
tupai. “Esok kita mesti buat sarang. Saya tak mahu terus basah seperti ini sewaktu hujan.” Arnab
yang pemalas itu tidak menghiraukan rungutan sahabatnya. “Kita tunggu esok sahajalah,” kata
arnab.
KERBAU BALAR(TAHUN 3)

Dalam sekumpulan kerbau, ada sepasang kerbau balar. Warna kulitnya merah, tidak
hitam seperti kerbau-kerbau yang lain. Oleh kerana kulit yang berbeza warnanya
itu, kerbau balar selalu dihalau oleh kerbau lain. Kedua-duanya tidak dibenarkan
makan bersama dan tidur sekandang.

 "Rupa kamu tidak sama dengan kami," kata kerbau yang lain itu.
 Kedua-dua kerbau balar itu sangat sedih kerana mereka selalu disisihkan.
 Pada suatu musim ,kerbau hitam dan kerbau balar itu mendengar tuan mereka akan
menangkap mereka. Semuanya akan dihantar dan akan dipakaikan gelang merah.

 Pada suatu hari, kedua-dua kerbau merah itu tersesat ke tempat orang
menyembelih kerbau. Kerbau balar melihat beberapa kepala dan kaki kerbau
bergelimpangan di kawasan itu. Lalu selepas itu tahulah mereka apa yang sebenarnya
terjadi.

 Ketika kerbau-kerbau lain di tangkap , kedua-dua ekor kerbau balar itu melarikan
diri ke hutan. Kerbau-kerbau yang lain semuanya di sembelih.

Selamatlah kedua-dua kerbau balar itu. Lalu kedua-duanya menjadi kerbau liar yang
susah untuk ditangkap lagi.
KAWAN YANG TIDAK JUJUR(TAHUN 3)

Terdapat seekor rubah bernama Joe. Ia mempunyai sahabat bernama Ronnie.


Ronnie ialah seekor keldai. Joe sangat licik. Ronnie pula seekor keldai yang kurang
cerdik. Oleh itu, Joe sering mengambil kesempatan terhadap kawannya itu. Ia kerap
menggunakan Ronnie bagi mendapatkan makanan. Roni hanya menurut segala kata-
kata dan arahan Joe.

Pada suatu petang, Joe dan Ronnie berjalan- jalan di dalam hutan. Tiba-tiba mereka
terserempak dengan seekor singa. Kedua-duanya tidak dapat melarikan diri. Joe
yang licik mendapat idea untuk melepaskan diri dari singa itu. Ia berpura-pura
berani di hadapan kawannya itu. “Kamu tunggu di sini. Biar aku pergi berunding
dengan singa itu,”kata Joe. Joe berjalan ke arah singa.

“Hai, Encik Singa! Tolong jangan makan saya! Saya akan bawakan keldai itu ke
sebuah gua. Tuan boleh menikmati dagingnya yang lazat itu di sana,” kata Joe
dengan lemah lembut.

“Baiklah, aku akan lepas kan kau! Tapi, kau mesti bertindak cepat!” jawab singa
dengan garang.

Joe kembali menemui Ronnie. “Singa itu tak mahu makan kita sekarang! Lebih baik
kita pergi segera dari sini dan menyorok di dalam gua

Ketika rubah dan keldai itu masuk ke dalam gua, singa terus menerkam rubah.
Kemudian, ia membaham keldai. Kedua-dua sahabat itu menjadi makanan singa.
ANAK IKAN YANG SUKA MENIPU(TAHUN 3)

Di sebuah lautan, terdapat seekor anak ikan yang nakal. Ia bernama Tony. Tony
tidak disenangi rakan-rakannya kerana ia suka menipu dan mempermain-mainkan
mereka.

Ketika ikan-ikan lain sedang bermain, Tony akan menjerit, “Jerung! Jerung!
Bersembunyi cepat!” Ikan-ikan itu ketakutan lalu lari dan bersembunyi di celah-
celah batu. Tony akan mentertawakan rakannya itu.

Ikan-ikan kecil amat takut dengan jerung. Jerung yang garang itu akan memakan
mereka tanpa belas kasihan. Sebab itulah mereka akan lari ketakutan apabila Tony
menjerit, “Jerung! Jerung!” Namun Tony sungguh nakal. Ia berasa seronok dapat
mempermain-mainkan rakan-rakannya. Ikan-ikan kecil itu mempercayai Tony,
walaupun mereka selalu tertipu dengan helah Tony.

Pada suatu hari, Tony menghampiri rakan-rakannya itu. Ia ingin mempermainkan


mereka seperti biasa. Tiba-tiba muncul seekor jerung menghampiri mereka. Namun
Tony tidak menyedari kehadiran jerung itu.

“Jerung! Jerung!” Bersembunyi cepat!” jerit ikan-ikan itu. Ikan-ikan itu lari lalu
bersembunyi di celah-celah batu. Tony tidak menghiraukan jeritan rakan-rakannya.
Ia menyangka mereka cuba mempermain-mainkannya.

“Baiklah, kamu semua menang! Di sini mana ada jerung! Tak usahlah kamu semua
mempermain-mainkan aku!” jerit Tony. Jerung itu berenang menghampiri Tony. Tony
tidak sempat melarikan diri. Ia dimakan oleh jerung itu.
Selamat pagi dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah
Arnab Dengan Buaya.
Di dalam sebuah hutan terdapat sekawan arnab. Salah seekor
daripada arnab-arnab itu sungguh cantik. Bulunya lebat, lembut dan
putih melepak. Giginya pula tersusun rapi dan putih berseri. Sahabat
handai dan binatang-binatang lain di dalam hutan itu selalu memuji
kecantikan gigi arnab ini.
Akibat pujian dan perhatian ini, semakin hari arnab itu menjadi
semakin sombong. Ia mula berlagak seolah-olah ialah yang tercantik di
dunia ini. Lama-kelamaan, haiwan-haiwan lain mula menjauhkan diri
daripadanya. Oleh kerana tiada sesiapa lagi yang suka berbual
dengannya, arnab itu selalu berjalan sendirian.
Pada suatu hari, arnab itu berjalan di tepi sungai. Ia ternampak
seekor buaya sedang berjemur di tebing. Arnab berasa takut dan tidak
berani mendekati buaya itu.
“Hai Arnab, cantik sungguh gigi ! Kalau gigi aku juga begitu cantik,
sudah pasti aku boleh menjadi raja di laut.” Kata buaya itu kepada
arnab. Arnab berasa sungguh gembira kerana sudah lama dia tidak
mendengar pujian begitu.
“Bagaimana engkau menjaga kecantikan gigi kau tu?” Tanya buaya itu
lagi. Arnab berasa bangga dengan pujian itu. Sambil tersenyum, arnab
berkata, “Engkau mesti banyak makan sayur-sayuran dan jangan makan
daging.”
Kemudian, buaya pun mengangakan mulutnya. “Bolehkah engkau
tolong periksa gigiku. Gigiku sudah banyak yang rosak,” kata buaya lagi.
Tanpa berfikir panjang, arnab pun menghampiri buaya lalu memeriksa
gigi buaya satu demi satu. Tanpa berlengah-lengah lagi, buaya terus
menutup mulutnya dan menelan arnab itu. Maka tamatlah riwayat arnab
yang mempunyai gigi yang cantik tetapi pendek akal itu. Demikianlah
kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian, terima kasih.
      Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,
para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta
rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari
ini ialah Penebang Kayu Dengan Anaknya.
Di dalam sebuah kampung, tinggal seorang penebang kayu yang
miskin . Penebang kayu itu mempunyai seorang bapa yang telah tua lagi
uzur dan seorang anak. Pada suatu hari, penebang kayu itu bercadang
untuk menghantar bapanya ke dalam hutan dan membiarkannya tinggal
di situ.
“Bagaimana nanti kalau jiran –tetangga kita menanya tentang
ayah?” tanya isteri penebang kayu.
“Kamu beritahulah mereka yang dia tinggal di tokong untuk
menghabiskan sisa-sisa hidupnya,” kata penebang kayu itu. Penebang
kayu dan isterinya tidak sedar bahawa percakapan mereka telah
didengari oleh anak mereka.
Keesokan harinya, penebang kayu pergi ke pecan untuk membeli
sebuah bakul yang besar. Sebaik sahaja waktu senja, penebang kayu itu
pun memasukkan bapanya ke dalam bakul tersebut.
“Apa yang kamu cuba lakukan?” tanya bapanya.
“Ayah, kami tidak terdaya menjaga ayah kerana kami miskin dan
sentiasa sibuk.Kami ingin membawa ayah ke tempat yang selamat. Di
sana, ayah akan dijaga dengan baik,” kata penebang kayu itu sambil
memikul bakul tersebut. Orang tua itu berasa sedih dan mengerti
maksud anaknya. Penebang kayu itu pun memikul ayahnya berjalan
kearah hutan.
Sebelum bayang penebang kayu itu hilang daripada pandangan,
anak penebang kayu itu menjerit, “ Ayah, jangan lupa bawa balik bakul
itu semula!”
“Mengapa?” tanya penebang kayu itu kehairanan.
“Ayah,” kata anak penebang kayu itu dengan lembut, “Apabila ayah
tua kelak, saya akan gunakan bakul itu untuk memikul ayah pula.”
Kaki penebang kayu itu menggigil dan tidak boleh bergerak. Dia
tunduk sambil berfikir. Selepas beberapa ketika, dia pun berkata
kepada anaknya. “Marilah kita pulang ke rumah.”
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.
Sekian, terima kasih.

         
          Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,
para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta
rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari
ini ialah Puteri Sulung Dan Puteri Bongsu.
Pada suatu ketika dahulu, Raja Ambun mempunyai puteri kembar
yang amat cantik. Puteri Bongsu yang begitu cantik dikatakan berdarah
putih dan amat disayangi oleh raja.
Kecantikan Puteri Bongsu yang berdarah putih telah sampai
kepengetahuan Raja Tinggi. Raja Tinggi pun menghantar rombongan
untuk meminang Puteri Bongsu. Raja Ambun menjadi serba salah. Kalau
pinangan itu ditolak, tentu akan berlaku peperangan. Tetapi, kalau
pinangan itu diterima, baginda akan dukacita sepanjang hayat kerana
baginda amat kasih kepada Puteri Bongsu.
Akhirnya, Raja Ambon telah menukarkan Puteri Bongsu dengan
Puteri Sulung. “Rancangan ini tentu berjaya,” kata seorang pembesar.
“Raja Tinggi tidak pernah melihat Puteri Bongsu. Kita suruhlah Puteri
Sulung mengaku yang dia bernama Puteri Bongsu,” Akhirnya pinangan
Raja Tinggi itu pun di terima.
Raja Tinggi pun berkahwin lah dengan Puteri Sulung yang
disangkanya Puteri Bongsu itu. Pada suatu hari, jari Puteri Sulung telah
terluka akibat terkena pisau. Luka itu berdarah dan darahnya berwarna
merah. Raja Tinggi berasa terkejut kerana darah itu tidak berwarna
putih.
“Dinda mesti berkata benar, siapakah dinda sebenarnya?” tanya
Raja Tinggi sambil menghunus kerisnya. Puteri Sulung menggeletar. “
Adinda ialah kakak kepada Puteri Bongsu,”
Raja Tinggi amat murka. “Rupa-rupanya beta telah ditipu! Kita
akan serang negeri Ambun,” kata Raja Tinggi dengan garangnya.
Akhirnya, Raja Tinggi pun menghantar tentera untuk menundukkan
negeri Ambun.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini.
Sekian, terima kasih.

Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah
Ampai-ampai Dan Puteri Laut.
Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Raja Laut yang sangat
setia kepada rajanya. Namanya Ampai-ampai. Ampai-ampai telah
ditugaskan oleh raja untuk menjaga puteri baginda yang sangat cantik.
Pada suatu hari, puteri itu pergi bermain-main di tepi pantai
bersama beberapa orang dayang. Pada ketika itu sebuah kapal besar
yang dimiliki oleh seorang putera raja yang kacak telah berlabuh di tepi
pantai itu. Putera raja terpesona melihat kecantikan puteri Raja Laut.
Puteri Raja Laut pun demikian juga apabila terlihat putera raja yang
gagah perkasa dan kacak itu.
Putera raja telah memujuk puteri Raja Laut supaya menaiki
kapalnya yang sedang berlabuh itu. Setelah memberi isyarat kepada
dayang-dayangnya, puteri itu pun naik ke kapal putera raja. Putera raja
mengerahkan kelasi-kelasinya supaya menaikkan layar dan segera
belayar meninggalkan pantai itu.
Pada waktu itu, Ampai-ampai baru tersedar. Dia berlari menuju ke
pantai tetapi kapal itu sudah pun meninggalkan pantai. Ampai-ampai pun
pulang ke istana lalu menceritakan kejadian itu kepada Raja Laut.
Raja Laut sangat murka. Baginda mengambil sebatang kayu
lalu memukul tubuh Ampai-ampai sehingga remuk dan hancur tulangnya.
Setelah itu Raja Laut menbuangkan Ampai-ampai ke tepi laut.
“Engkau jangan naik ke darat sebelum puteri beta pulang kepada
beta,” titah baginda.
Ampai-ampai dilanda ombak ke sana sini dan akhirnya tersangkut
pada ranting-ranting kayu di tepi pantai. Itulah sebabnya Ampai-ampai
tidak bertulang hingga sekarang ini dan sepanjang masa tersidai pada
ranting-ranting kayu di gigi air. Kononnya, dia akan menunggu di tempat
begitu sehingga Puteri Raja Laut itu lalu di situ dan pulang kepada
ayahandanya. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada
kali ini. Sekian, terima kasih.

 Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis, para
hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta rakan-
rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah
Perempuan Muda Yang Berani.
Pada suatu masa dahulu, negeri Tiku diperintah oleh Raja Tua.
Baginda telah menyuruh rakyatnya membuat sebuah perahu yang besar.
Setelah perahu itu siap, baginda pun telah mengadakan upacara untuk
melancarkan perahu itu ke laut. Rakyat negeri itu telah dikerahkan
untuk menolak perahu ke laut tetapi anehnya perahu itu sedikit pun
tidak bergerak dari tempatnya. Raja Tua sangat hairan lalu memanggil
anak angkatnya Balun yang tahu akan bermacam-macam ilmu.
Balun pun mengambil dupa dan mengasap kemenyan. Setelah jampi
dibaca dan seluruh perahu diasapnya, Balun pun berkata “ Perahu ini
tidak akan dapat diturunkan jika tidak digalang dengan tubuh manusia.
Tetapi yang menjadi galangan itu mestilah anak atau saudara tuanku.
Orang lain tidak boleh!”
Mendengar kata-kata Balun itu, semua orang menjadi gempar.
Tidak ada seorang pun anak kerabat raja yang hendak mengorbankan
nyawanya untuk pelancaran perahu tersebut.
Dalam keadaan hiruk pikuk itu, seorang perempuan muda yang
sedang mengandung tampil ke hadapan perahu. Dia ialah anak saudara
kepada Raja Tua. Perempuan muda itu berbaring di atas tilam dan bantal
yang dibentangkan di haluan perahu. Semua rakyat dan kerabat diraja
menangis melihatkan perempuan muda yang begitu berani mengorbankan
nyawanya demi kepentingan Raja Tua.
Apabila semua sudah sedia, Balun pun mengambil tujuh
batang lidi dan rapat ke perahu itu. Setelah membaca jampi, perahu itu
pun ditolak ke laut. Sekali lagi telah berlaku keanehan. Dengan mudah,
perahu itu dapat ditolak ke dalam air.
Semua orang yang berkumpul bersorak kegembiraan. Raja Tua
berlari-lari mendapatkan anak saudaranya dan mendapati anak
saudaranya itu tidak mendapat apa-apa kecederaan. Oleh kerana
keberaniannya, Raja Tua telah menurunkan semua harta pusaka kepada
anak saudara perempuannya itu.
Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali ini. Sekian,
terima kasih.

       Terima kasih dan salam sejahtera kepada tuan pengerusi majlis,
para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru yang dikasihi serta
rakan-rakan sekalian. Tajuk cerita yang akan saya sampaikan pada hari
ini ialah Harimau Yang Tamak.
Pada suatu hari, Maharaja Singa telah mengisytiharkan kepada
penghuni rimba bahawa mereka boleh menyembahkan satu kehendak
mereka kepada baginda. Binatang-binatang dalam hutan itu pun
mengadap Maharaja Singa. Masing-masing membawa permintaan. Tiap-
tiap permintaan itu dikabulkan oleh baginda.
Setelah mendengar cerita kemurahan hati Raja Singa itu,
timbullah rasa tamak di hati harimau. “Aku mesti minta supaya rezeki
aku lebih murah daripada sekarang. Aku tidak mahu makan tiga kali
sehari. Sebaliknya aku mahu makan tujuh kali sehari. Kalau aku dapat
makan tujuh kali sehari, tentulah aku akan lebih kuat daripada Singa.”
Setelah berfikir demikian, Sang Harimau pun pergi mengadap
Maharaja Singa.
“Hah! Engkau datang juga, Harimau?” tegur Singa. “Apakah
kehendak engkau?” Harimau terkejut mendengar suara Singa yang
bengis itu. Hatinya berdebar-debar.
“Patik… Patik mahu makan tujuh… tujuh …” kata Harimau tergagap-
gagap.
“Tujuh apa?” sergah Maharaja Singa lebih keras.
“Tujuh hari sekali!” jelas Harimauu terketar-ketar.
“Baik. Dengan ini, aku sebagai Maharaja di hutan ini akan
kabulkan permintaan engkau. Mulai hari ini, engkau akan dapat rezeki
tujuh haru sekali,” kata Singa.
Sang Harimau tersedar yang dia telah tersalah cakap. Dia hendak
mengatakan tujuh kali sehari tetapi dia telah tersebutkan tujuh hari
sekali. “ Tuanku…Patik…Patik…”
“Sudah!” potong Maharaja Singa. “Tiap-tiap binatang hanya boleh
mengemukakan satu permohonan sahaja. Permohonan engkau tadi telah
pun beta kabulkan.
Sejak hari itu, Harimau hanya dapat makan tujuh hari sekali.
Itulah sebabnya perut Harimau selalu kempis dan badannya tidak
bermaya. Demikianlah kawan-kawan berakhirnya cerita saya pada kali
ini. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai