Anda di halaman 1dari 4

PANDEMIK COVID 19 : KESAN KEPADA MANUSIA DAN ALAM

Bismillahirrahmanirrahim,

Ke pekan kuala membeli bingka,

Sayang pesanan terlupa sudah,

Majlis bermula tirai dibuka,

Dengan alunan madah yang indah.

Terima kasih tuan pengerusi majlis segak orangnya, barisan kehakiman yang teguh
pendiriannya, tuan penjaga masa yang cakna akan detik waktunya, seterusnya barisan para
guru yang dikasihi dan sidang hadirin warga dewan sekalian

Assalamualaikum salam sejahtera salam Malaysia baru berteraskan kemesraan,

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sebelum ledakan hujah meghujani seluruh dewan,sebelum kapal memulakan pelayaran,


sebelum saya membuat renangan, elok kiranya jika saya membuat pendefinisian maudu’ pidato
saya yang berbunyi PANDEMIK COVID 19 KESAN KEPADA MANUSIA DAN ALAM.

Sidang penonton yg penuh santun,

Kini kapal kita akan terus menuju ke tengah lautan, maka izinkan saya untuk mengunci setiap
pergerakan anda, pinjamkan saya mata dan telinga, dan biarkan hujah saya menjadi sebuah
irama yang terindah

Sidang dewan yang saya muliakan

Pandemik COVID-19, juga dikenali sebagai pandemik koronavirus atau wabak koronavirus ialah
pandemik penyakit koronavirus 2019 yang sedang berlaku secara global berpunca daripada
koronavirus sindrom pernafasan akut teruk 2 (SARS-CoV-2). Wabak ini pada mulanya dikesan
pada pertengahan bulan Disember 2019 di bandar raya Wuhan, Hubei, China, dan telah diiktiraf
sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.
Sebagaimana yang diketahui, pandemik ini memberikan impak dan kesan yang besar terhadap
manusia dan alam.

Hadirin sekalian,

Antara kesan Penularan wabak COVID-19 secara global telah menjangkiti lebih 4.7 juta manusia
dan mengakibatkan kehilangan berjuta nyawa di seluruh dunia dan 3000 lebih nyawa di
Malaysia sehingga kini. Selain itu, penyebaran jangkitan koronavirus juga telah mengubah corak
kehidupan manusia serta merencatkan pertumbuhan ekonomi dengan begitu drastik.

Selain itu, Pandemik COVID-19 juga mendatangkan kesan langsung kepada ekosistem
perniagaan domestik seperti industri makanan dan minuman, industri pembinaan dan
pembuatan, industri pelancongan, serta industri pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Ini
sekaligus mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan. Sebanyak 20.5 juta orang hilang
pekerjaan di Amerika Syarikat pada April lalu yang merupakan paling teruk pernah berlaku
sekali gus menyebabkan tahap pengangguran meningkat kepada 14.7 peratus. Di Malaysia pula,
jumlah pengangguran pada Mac lalu mencatatkan peningkatan 17.1 peratus kepada 610,500
orang berbanding 521,300 orang pada bulan sama tahun lepas.

Sidang hadirin yang dimuliakan,

Sekarang, kita lihat pula pada kesan terhadap pendidikan. Pandemik COVID-19 telah
mempengaruhi sistem pendidikan di seluruh dunia yang menyebabkan hampir keseluruhan
penutupan sekolah, perkhidmatan pendidikan penjagaan awal kanak-kanak, universiti dan
kolej. Menurut laporan penutupan sekolah akibat COVID-19 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains
dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Bank Dunia, membabitkan lebih 150 negara
antara Mei hingga Oktober lalu. Menurut laporan itu, berbanding krisis terdahulu COVID-19
meninggalkan kesan teruk terhadap pendidikan kanak-kanak, terutama di negara miskin.
"Sesuatu gangguan pada persekolahan kanak-kanak, walaupun singkat meninggalkan impak
negatif berpanjangan terhadap pendidikan mereka. "Satu kajian menganggarkan, kesan
kehilangan pendidikan global akibat penutupan sekolah selama empat bulan adalah bersamaan
AS$10 trilion (RM41 trilion) dari segi kehilangan pendapatan. "Penutupan sekolah
berpanjangan turut menyebabkan pelajar dan negara bakal kehilangan jumlah besar sepanjang
hidup mereka. Ini menggambarkan betapa teruk kesan penutupan sekolah, malah menjelaskan
beberapa langkah diputuskan kerajaan dalam membentuk dasar untuk menebus semula hari
persekolahan yang hilang," jelas laporan itu. Laporan itu menyatakan, 108 negara kehilangan
purata 50 hari pengajaran secara langsung kepada pelajar akibat penutupan sekolah, atau kira-
kira satu perempat daripada tempoh persekolahan dalam setahun. Pada akhir September lalu,
hampir separuh populasi pelajar global masih berdepan penutupan sekolah yang berlanjutan
lebih enam minggu berturut-turut, manakala awal April, lebih 90 peratus pelajar seluruh dunia
terkesan. Selain hilang peluang belajar, penutupan sekolah akibat COVID-19 menjejaskan
taksiran pembelajaran. Lebih separuh negara terbabit dalam laporan itu terpaksa
menangguhkan peperiksaan penting antara empat hingga 12 minggu dan ada yang terus
membatalkan peperiksaan. Susulan penularan pandemik itu yang menjejaskan kira-kira 1.5
bilion pelajar dan keluarga di seluruh dunia, kerajaan pelbagai negara memilih kaedah
pembelajaran jarak jauh untuk mengatasi cabaran itu dengan memperkukuh sokongan pada
guru serta menilai semula dasar pentaksiran dan peperiksaan. Oleh itu, kerajaan melaksanakan
program pembelajaran dalam talian. Pembelajaran dalam talian merupakan pembelajaran
yang berdasarkan pada teknologi media digital yang bahan pelajarannya dihantar secara
elektronik atau dalam bentuk fail kepada pelajar dari jarak jauh menggunakan rangkaian
internet dengan media komputer. Menurut kerajaan pembelajaran dalam talian dinilai
merupakan cara yang paling berkesan dan cekap untuk melakukan pembelajaran ditengah
pandemik saat ini.

Hadirin yang dimuliakan sekalian,

Bukan itu sahaja, Masalah pandemik COVID-19 mempengaruhi alam sekitar dan iklim.
Pengurangan aktiviti moden manusia, seperti pergerakan kenderaan bermotor, menyebabkan
tahap pencemaran udara dan air di pelbagai daerah mengalami penurunan. Di China, kuarantin
wilayah dan beberapa faktor lain telah mengakibatkan penurunan pelepasan karbon sebanyak
25 peratus dan pelepasan nitrogen oksida sebanyak 50 peratus. Ahli sains menganggarkan
bahawa penurunan pelepasan tersebut telah menyelamatkan 77.000 kehidupan di Bumi dalam
kurun waktu dua bulan. Meskipun demikian, pandemik juga berpengaruh pada aktiviti haram
seperti penebangan hutan hujan Amazon dan pemburuan liar di Afrika, menyukarkan usaha
diplomasi dasar alam sekitar, dan menyebabkan kemelesetan ekonomi yang boleh menjejaskan
perkembangan tenga mesra alam. Secara amnya, kekurangan penggunaan kenderaan dan
aktiviti industri yang mengeluarkan asap menyebabkan kita mendapat udara yang bersih. Hal ini
diakui oleh Kementerian Alam Sekitar apabila Jabatan Alam Sekitar mengeluarkan laporan
mengenai peningkatan kualiti udara sebanyak 14 peratus dengan kualiti udara kategori ‘baik’
berdasarkan Indeks Pencemaran Udara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
dikenakan di seluruh Malaysia. Menurut NASA, pencemaran nitrogen dioksida yang dilepaskan
oleh kenderaan, loji janakuasa dan industri telah menurun sebanyak 30 peratus di Timur Laut
Amerika Syarikat. Menurut saintis dari Royal Netherlands Meteorological Institute, tahap
pencemaran udara di Madrid, Milan dan Rom turut menurun sekitar 45 peratus sementara
Paris menyaksikan penurunan yang dramatik iaitu sebanyak 54 peratus, bertepatan dengan
tindakan kuarantin yang ketat yang telah dilaksanakan di seluruh Eropah. Para saintis dari China
turut mengesan penurunan pencemaran udara yang ketara sejak kemunculan COVID-19 apabila
negara itu menghentikan aktiviti ekonomi di sebahagian negara mereka. Selain daripada itu,
penyelidik dari New York turut menyatakan karbon monoksida yang sumber utamanya dari
pelepasan asap kereta menunjukkan penurunan sebanyak 50 peratus berbanding tahun lalu.
COVID-19 dilihat memberi impak positif kepada alam sekitar dan peluang kelestarian secara
semulajadi.

Hadirin sekalian,

Kesimpulannya, virus COVID-19 ini berpotensi dan berbahaya kepada manusia. Bukan itu
sahaja, virus ini juga menjejaskan ekonomi negara dan menjejaskan masyarakat. Namun begitu,
pandemik COVID-19 ini dilihat jelas dapat memberi kesan positif kepada keadaan sungai dan
udara sekali gus menurunkan pencemaran air dan udara berikutan berkurangnya aktiviti
manusia yang menyebabkan pencemaran.

Sebelum kapal berlabuh, saya suka ingin mengingatkan para hadirin hari ini untuk sentiasa
mengikut arahan kerajaan dan duduk di rumah. Bak kata pepatah, Jauh perjalanan, luas jangkitan.
Wabak ini bukan perkara remeh untuk diendahkan dan kita hendaklah sentiasa berwaspada.
Oleh itu, marilah kita bersama sama bersatu padu untuk menangani wabak ini.

Bunga seroja di atas para,

Jatuh ditimpa buah berangan,

Andai kata tersilap bicara,

Kemaafan jua kami pohonkan.

Sekian, terima kasih

Anda mungkin juga menyukai