Anda di halaman 1dari 3

PERKUKUH PRINSIP KESOPANAN, KESUSILAAN

Teks titah Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ketika merasmikan Majlis
Wacana Ilmu anjuran bersama Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan Institut
Kefahaman Islam Malaysia di Institut Tadbiran Islam Perak, Ipoh pada Hari Khamis 11
Jun 2009.

BETA bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dari-Nya juga, Beta dapat berangkat ke
Majlis Wacana Ilmu yang dianjurkan sempena ulang tahun hari keputeraan Beta ke-81.

Ilmu amat penting dalam kehidupan insan. Ilmu itu terus bercambah dan berkembang, terus
diterokai dan dirintis, terus dipelajari dan dikuasai sepanjang hidup. Kaedah penyampaian
dan kaedah penyebaran ilmu terus berubah selaras dengan dinamik berkomunikasi,
bermula secara lisan beralih melalui perantaraan tulisan dan kini mengoptimumkan
sepenuhnya saluran teknologi moden komunikasi elektronik. Perkembangan teknologi
komunikasi itu juga adalah hasil daripada kejayaan penyelidikan yang hari ini memberi
manfaat memenuhi peranan penyebaran dan penyampaian ilmu secara lebih berkesan.

Hari ini dunia kaya dengan sumber ilmu dan mendapat manfaat daripada saluran
komunikasi yang semakin pantas, mudah dan canggih. Hari ini keupayaan menguasai
teknologi komunikasi menjadi satu keperluan wajib dalam proses menimba ilmu.

Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, insan yang gagal dan tertinggal daripada
keupayaan menguasai teknologi komunikasi boleh dianggap tidak literate atau buta huruf.

Teknologi komunikasi dan teknologi penyelidikan telah memesatkan proses penemuan dan
proses penyebaran ilmu.

Pelbagai disiplin baru dan pelbagai cabang ilmu kini ditemui. Kini ilmu juga turut memiliki
nilai komersial lalu mendorong kepada kelahiran industri pendidikan yang memiliki kapasiti
dan potensi mencetuskan sumber kekayaan baru.

Susulan daripada itu, institusi ilmu kini memiliki sifat baru, beralih daripada peranan asal
bertujuan semata-mata untuk mengembangkan ilmu, kepada tujuan komersial kerana turut
dipengaruhi oleh elemen-elemen keuntungan dan pemasaran.

Dalam sistem ekonomi bebas atau laissez-faire, apabila urusan diserahkan sepenuhnya
kepada kelok permintaan dan bekalan, akan tercetuslah keadaan tidak saksama kepada
golongan yang berpendapatan rendah. Oleh itu, dasar yang dapat mengimbangkan
berlakunya kesaksamaan perlu dilaksanakan secara berkesan supaya rakyat yang miskin
dan berpendapatan rendah tidak akan tertinggal dan tersisih malah turut berpeluang
mendapat ilmu dan mendapat tempat dalam pusat-pusat pengajian tinggi.

Berlandaskan semangat tersebut, atas kesedaran bahawa orang Melayu dan Bumiputera di
Sabah dan Sarawak masih jauh tertinggal secara perbandingan dengan kaum-kaum lain di
negara ini, Fasal 153-(2), Perlembagaan Negara memperuntukkan kuasa tertentu kepada
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kepentingan orang Melayu
dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak daripada segi biasiswa dan tempat pengajian.

Perkara 27B-(2) Perlembagaan Negeri Perak, memperuntukkan tanggungjawab yang sama


kepada Sultan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan.

1
Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah
persetujuan yang telah dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima,
dan dalam semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili
kepentingan pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan
juga Raja-Raja Melayu. Oleh itu apa juga gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan
perkara ini, bukan sahaja telah melanggar peruntukan asas di dalam Perlembagaan Negara
dan Perlembagaan Negeri malah turut mempertikaikan kedaulatan Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong begitu juga kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Para pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan tanggungjawab


kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara
merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis; iaitu
asas-asas yang telah dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka.

Penyimpangan daripada semangat asal yang telah dicapai, tentunya akan mencetuskan
kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.

Pada masa yang sama, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalah
gunakan di peringkat pelaksanaan hingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.

Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi
tanggungjawab Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap
negeri, memastikan bahawa kepentingan-kepentingan kaum-kaum lain yang sah dari segi
undang-undang (legitimate interests) turut dilindungi.

Amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku. Setiap
warga negara yang sah adalah rakyat Baginda yang harus diberikan keadilan yang setimpal.

Manusia biasanya dapat berfikiran rasional jika asas pertimbangan senantiasa didasarkan
kepada ilmu lalu sesuatu peristiwa ditafsirkan secara objektif berdasarkan fakta.

Manusia yang mengasaskan tafsiran berdasarkan ilmu dapat memisahkan diri


daripada pengaruh sentimen dan pengaruh emosi lalu dapat membezakan tentang
apa yang dianggap fakta dengan apa yang diharapkan berlaku.

Ilmu menjadi bernilai jika ilmu yang telah dipelajari itu dapat diamalkan dalam kehidupan
harian. Ujian sebenar terhadap penguasaan ilmu adalah di peringkat aplikasi. Manusia yang
berjaya menghayati ilmu akan memperlihatkan penguasaannya terhadap ilmu di peringkat
aplikasi.

Insan berilmu akan memperlihatkan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan. Kesopanan dan
Kesusilaan adalah prinsip kelima dalam Rukun Negara.

Lima puluh tahun yang lalu, ketika negara masih kurang bilangan cerdik pandai dan kurang
bilangan profesional, kesopanan dan kesusilaan merupakan sebahagian daripada budaya
masyarakat di negara ini, merupakan komponen yang ditekankan dalam proses pendidikan
dan penyampaian ilmu, merupakan elemen penting untuk mewujudkan kestabilan.

Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi negara senantiasa dihormati. Hari ini
negara telah memiliki bilangan cerdik pandai dan bilangan profesional yang jauh lebih ramai.
Namun telah mula memperlihatkan kelunturan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan.

Hari ini institusi ilmu tumbuh bercambah, tetapi aspek kesopanan dan kesusilaan
bagaikan tidak diutamakan lagi. Institusi keluarga, institusi masyarakat dan institusi
2
negara bukan sahaja tidak dihormati malah dipersendakan dan dicabar secara
terbuka.

Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu
dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian; atau kemungkinan sedang
berlakunya satu keadaan tidak seimbang, di antara pendekatan menyampai dan
menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing
hingga teralpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan.

Kesopanan dan kesusilaan berperanan penting dalam membina sahsiah seseorang insan.
Kesopanan dan kesusilaan itu adalah sebahagian daripada budaya masyarakat kita yang
harus disemai di kalangan warga ketika negara menuju untuk mencapai status negara maju.

Tamadun dan budaya agung sesuatu bangsa dibangunkan atas prinsip kesopanan dan
kesusilaan. Nilai-nilai tersebut jangan sama sekali disisihkan. Nilai-nilai tersebut penting
dalam membina jati diri dan daya tahan warga terutama ketika warga menghadapi pengaruh
dari budaya asing dalam era globalisasi ini.

Ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan
merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat. Semoga komponen
kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian penting dan dianyam dengan bijak oleh
setiap insan dan setiap institusi yang terlibat dengan aktiviti keilmuan.

Utusan Malaysia, Jumaat 12 Jun 2009

Anda mungkin juga menyukai