Anda di halaman 1dari 4

Filosopi Bubur Asyura

Profesor Madya Dr. Mohd Anuar Ramli, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya. Emel: mohdanuar@um.edu.my

Kedatangan Islam dalam masyarakat telah mewarnai lanskap budaya setempat dengan
pelbagai tradisi dan amalan yang berdasarkan ajaran agama. Biasanya dalam masyarakat,
banyak tradisi telah diamalkan bagi meraikan peristiwa penting dalam Islam. Di samping
ajaran dasar yang dibawa oleh Islam yang mereka telah amalkan, mereka turut mewarnai
budaya dengan elemen-elemen setempat lain bagi memeriahkan tarikh penting dalam
Islam. Seperti tradisi Ma’al hijrah dan Asyura, maulid Nabi, Israk mikraj dan seumpamanya.
Kebanyakan tradisi yang baik masih lagi dikekalkan kerana tidak bertentangan dengan
Syariat Islam, sebaliknya tradisi yang bersifat fasid telah dihapuskan seperti mandi Safar,
tenung nasib dan ramalan.
Tradisi Islam yang berkembang dalam masyarakat melibatkan amalan-amalan tertentu di
samping penyediaan makanan khusus yang dinamakan sebagai makanan perayaan atau
festival. Istimewanya makanan ini hanya terdapat pada masa sambutan perayaan tertentu
sahaja, malah ia mengandungi banyak pesanan sosial yang ingin disampaikan di samping
pengamalannya tidak berkait dengan kepercayaan yang menyeleweng.
Umpamanya, dengan kehadiran tahun baharu Islam, masyarakat setempat telah
menyambutnya dengan berbagai-bagai tradisi. Salah satunya yang popular adalah
penyediaan bubur Asyura sebagai kudapan sempena meraikan puasa pada 10 Muharram.
Bubur Asyura hanya disediakan pada awal tahun, iaitu dalam bulan Muharram sahaja.
Terdapat banyak kisah yang dikaitkan dengan tradisi bubur Asyura. Yang paling masyhur
adalah dikaitkan dengan kisah pada zaman Nabi Nuh AS yang mana baginda memerintah
baki bekalan bahan makanan yang tersisa dikumpulkan dan dimasak untuk dimakan
beramai-ramai pasca banjir besar. Tidak kurang juga dengan kisah yang dihubungkan
dengan peristiwa yang melibatkan Nabi Muhammad SAW yang menyediakan makanan
ketika perang Badar.
Pada asasnya, tiap-tiap makanan yang dihasilkan dalam masyarakat secara tradisional
adalah berkait rapat dengan budaya, selera setempat di samping kebolehcapaian terhadap
sumber makanan daripada alam sekeliling yang menjadi tempat tinggal manusia. Bahkan,
setiap makanan yang dihasilkan akan ditentukan bahan kandungannya yang halal lagi
tayyib, sesuai paduan bahan-bahannya yang mencetuskan aroma, rasa dan selera yang
diinginkan, tekstur yang dibentuk, warna yang dipilih serta proses dan tempoh
penyediaannya yang tepat agar dapat disimpan lama tanpa bahan pengawet sintetik.
Bagi masyarakat Nusantara yang menjadikan padi sebagai tanaman utama dan nasi sebagai
makanan asasi, jadi makanan tradisi yang disediakan tidak dapat lari daripada penggunaan
bahan yang berasaskan beras. Dalam resepi penyediaan bubur Asyura, beras atau tepung
beras menjadi bahan utama di samping pelbagai hasil bumi lain seperti kekacang, buah-
buahan dan ubi-ubian, santan dan manisan atau gula. Ada sesetengah versi yang
meletakkan daging dan pelbagai bahan lain.
Jika dilihat dalam bahan yang digunakan dalam penyediaan bubur Asyura, terdapat
pelbagai simbolisme dan pesanan sosial terutamanya bagi mereka yang berfikir. Bahan
berasaskan beras selain dari dapat menjadi pengalas perut dalam tempoh lama turut
mempunyai makna sosial yang penting dalam kesantunan Melayu. Ada pepatah Melayu
menyatakan: jadilah seperti resmi padi, semakin berisi semakin tunduk. Dengan kata lain, ia
membawa pesanan sosial agar perlu ada sikap merendah diri, dan tidak sombong dan
takabbur sebagai anggota masyarakat.
Begitu juga dengan hasil pertanian seperti ubi dan kekacang, yang tertanam dan membesar
secara tersembunyi, secara simbolisme menunjukkan dalam bermasyarakat tidak perlu
untuk riak serta menunjuk-nunjuk tetapi ada hasilnya dalam diam. Dalam pepatah Melayu
ada menyebut: Diam-diam ubi berisi. Setentang dengan itu, simbolisme bagi kekacang
adalah agar tidak lupa diri sepertimana dalam pepatah Melayu: bagaikan kacang lupakan
kulit.
Di samping itu, dalam bahan bubur Asyura ada santan untuk menimbulkan rasa lemak
dalam bubur yang disediakan. Dalam pepatah Melayu ada mengungkapkan: Tua-tua kelapa,
makin tua banyak santannya. Ia membawa makna orang pandai semakin tua semakin banyak
ilmu dan pengalamannya dan simbolisme santan membawa pesan bahawa pentingnya
menghormati orang tua dalam masyarakat
Gula atau manisan turut dimasukkan dalam bubur Asyura untuk memberikan rasa manis.
Simbolisme manis biasanya dinisbahkan kepada senyuman yang manis, mulut yang manis
dan berwajah manis. Ia membawa pesanan bahawa perlu bermanis muka bagi menguatkan
hubungan silaturrahim sesama anggota masyarakat agar dapat hidup dalam suasana yang
harmoni.
Selain itu, dalam penyediaan bubur Asyura juga terdapat pelbagai versi warna sama ada
yang berwarna putih, hijau, merah, coklat atau hitam. Setiapnya mempunyai simbolisme
yang mengandungi pesanan sosial.
Begitu juga dengan pemilihan tekstur bubur Asyura kerana ada yang disediakan dalam
bentuk yang cair, pekat ataupun kental. Semuanya ada tafsiran yang tersendiri selari
dengan kearifan tempatan, pesanan sosial dan kesantunan budaya setempat.
Apa yang jelas, bubur Asyura bukan sekadar makanan yang disediakan untuk dimakan
begitu sahaja, tetapi ia membawa berbagai pesanan sosial yang perlu diperhatikan oleh
masyarakat Melayu. Penyediaan bubur Asyura bukanlah seperti penyediaan sesetengah
jenis bubur lain yang dihasilkan kerana kesusahan akibat catuan makanan atau kerana
kesukaran untuk mengunyah akibat kesakitan serta bukan untuk memanaskan badan
akibat cuaca sejuk. Akan tetapi penyediaan bubur Asyura adalah lambang kesyukuran dan
perpaduan dalam menyambut awal tahun baharu Islam. Ini kerana ia dihasilkan dengan
campuran pelbagai hasil pertanian seperti beras, kekacang, ubi dan buah-buahan yang
berkhasiat. Semua bahan dicampur dan dikacau sebati untuk menghasilkan bubur Asyura.
Ironinya dalam masyarakat Islam kini, berlaku pelbagai perpecahan akibat sikap keras
kepala, perbezaan ideologi politik dan kepentingan diri. Namun jika kita mengambil
inspirasi dari tradisi bubur Asyura, setiap anggota masyarakat boleh mengorbankan
kepentingan diri masing-masing bagi membentuk perpaduan umat Islam bersama (melting
pot).
Sejajar dengan itu, tradisi bubur Asyura juga membawa pesanan tentang silaturrahim dan
ukhuwwah yang perlu dipupuk sejak awal tahun lagi. Penyediaannya dari berbagai-bagai
jenis bahan dan adunan pelbagai rasa seperti manis, masin, dan lemak, semuanya digaul
sebati dan dikacau dalam tempoh yang lama secara gotong rotong. Proses penyediaannya
mampu mengikat tali silaturrahim di antara jiran tetangga dan masyarakat sekitar.
Sekaligus menjadi satu momentum kepada aktiviti kemasyarakatan dan pengukuhan
hubungan persaudaraan.
Dalam masa yang sama, penyediaan bubur Asyura turut mengandungi makna ibadah sosial.
Ini kerana penyediaan bubur Asyura bukan hanya terhad untuk dinikmati oleh individu
atau keluarga kecil sahaja. Biasanya ia disediakan dalam jumlah yang besar dan diagihkan
sebagai sedekah kepada jiran tetangga dan masyarakat sekitar. Ia dinikmati beramai-
ramai. Malah ia juga adalah secebis contoh amalan sedekah makanan yang boleh dilakukan
oleh umat Islam terutamanya ketika zaman pandemik yang mana terdapat orang yang
terputus bekalan makanan.
Menurut fatwa Dar al-Ifta’ Mesir, disunatkan untuk melebihkan perbelanjaan dan
bersedekah pada hari Asyura menurut ulama muta’akkhirin bagi empat mazhab fiqh, tetapi
dengan syarat tidak menjadikan bebanan (takalluf). Mereka menggunakan dalil
berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: Sesiapa yang
memperluaskan perbelanjaannya kepada ahli keluarga pada hari Asyura, maka Allah akan
memperluaskan rezkinya sepanjang tahun (Riwayat al-Bayhaqi). Manakala pandangan
sebahagian ulama Hanafi dan Hanbali, tidak disyariatkan perluasan tersebut kerana tiada
dalil yang sabit dan mereka mengkategorikannya sebagai dhaif. Jadi ulama yang
mensabitkan hadis tersebut berpegang dengan sunat melebihkan perbelanjaan kepada
kaum keluarga dan bersedekah kepada fakir miskin dan sebaliknya mereka yang menolak
kesahihan hadis tersebut tidak berpegang dengan hukum sunat untuk melebihkan
perbelanjaan pada hari Asyura.
Apa yang disepakati oleh para ulama adalah tentang hadis sunat berpuasa pada hari Asyura
dan ganjarannya dihapuskan dosa selama setahun. Rasulullah SAW bersabda: Berpuasa
pada hari ‘Asyura, sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat
menghapus dosa-dosa setahun sebelumnya (Riwayat Muslim). Berdasarkan hadis tersebut,
berpuasa pada hari Asyura adalah besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Hasil daripada
amalan berpuasa inilah diharapkan dapat menimbulkan kesedaran sosial orang yang
berpuasa terhadap kesengsaraan jiran-jiran, anak yatim dan fakir miskin yang bertahan
lapar dan menggerakkan amalan bersedekah.
Jelasnya, penyediaan bubur Asyura bukanlah satu Sunnah Nabi SAW, tetapi ia merupakan
tradisi masyarakat setempat yang diamalkan bagi memeriahkan sambutan hari Asyura. Ia
juga merupakan salah satu usaha para ulama dan pendakwah silam untuk mewujudkan
kesedaran beragama kepada masyarakat hampir setiap bulan Islam. Jika tidak, hanya ada
tiga sambutan yang utama iaitu bulan Ramadhan dengan puasa wajib, awal Syawal dengan
sambutan aidil fitri dan pada 10-13 Zulhijjah untuk sambutan Aidil Adha dan korban.
Usaha untuk menghidupkan bulan-bulan Islam atau sosialisasi tradisi agama ini penting
agar masyarakat sentiasa terasa dekat dengan ajaran Islam dan diperkuatkan oleh tradisi
setempat dengan penyediaan makanan perayaan yang diinspirasikan dari pelbagai latar
belakang kisah anbiya’.
Justeru, penyediaan bubur Asyura ini bukanlah tradisi yang dilarang dan ia boleh dilakukan
tanpa disandarkan kepada sebarang kepercayaan yang khusus, sebaliknya ia dilakukan
untuk menghidupkan jiwa sedekah dan menguatkan tali silaturrahim dalam masyarakat.
Namun disebabkan pandemik, kita banyak merindui tradisi yang berakar umbi kuat selama
ini. Tradisi penyediaan bubur Asyura masih boleh dilakukan di dapur-dapur persendirian
dan tidak secara beramai-ramai seperti zaman sebelum pandemik, kerana kita masih lagi
tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
Tegasnya, walaupun bubur Asyura hanyalah kudapan ringan ketika sambutan hari Asyura
tetapi ia mengandungi filosopi dan pelbagai pesanan sosial dari aspek kandungan
ramuannya ataupun proses penyediaannya bagi mereka yang berfikir.

Anda mungkin juga menyukai