Anda di halaman 1dari 2

KUALA LUMPUR: Isu penggunaan 'vape' dalam kalangan pelajar sekolah

nampaknya semakin membimbangkan apabila murid sekolah rendah juga kini dilapor
telah mula berjinak-jinak menggunakan peranti rokok elektronik itu secara terbuka.

Foto seorang pelajar perempuan yang masih dalam pakaian sekolah sedang menghisap
vape di sebuah perhentian bas yang tular di media sosial baru-baru ini serta pelbagai
pendedahan mengenai penularan gejala itu, termasuk dakwaan vape diedar secara
percuma kepada golongan pelajar oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab mencetus
kegusaran masyarakat.

Mengulas isu itu, Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM), Datuk
Sabuddin Sani mengakui walaupun gejala itu masih pada skala terkawal, namun
tindakan proaktif perlu diambil segera oleh semua pihak terutama ibu bapa untuk
menangani isu berkenaan.

"Anak-anak keliru dengan apa yang diajar dan apa yang mereka lihat kerana di
sekolah cikgu mengajar bahawa rokok itu membahayakan kesihatan, tetapi di rumah,
ayah sendiri yang menghisap rokok secara tidak langsung ibu bapa menunjukkan
contoh yang tidak baik.

"Kelonggaran dari sistem keluarga itu antara puncanya, jadi ibu bapa haruslah
menjadi suri teladan dan bukan hanya menyalahkan anak-anak apabila mereka mula
terjebak dengan perkara negatif sebegini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini,
pada Ahad.

Seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Azman turut berkongsi kegusarannya
apabila pernah ditanya oleh anaknya untuk memiliki peranti berkenaan.

"Budak-budak ingatkan vape itu ialah gajet permainan terbaharu, malah saya terkejut
apabila baru-baru ini anak lelaki saya yang berusia 13 tahun turut meminta izin untuk
memilikinya... menurut beliau, ada rakan-rakannya mula mengumpul duit selama tiga
bulan untuk membeli vape yang berharga RM80.

"Jadi tugas ibu bapa adalah untuk sentiasa menegur perbuatan mereka dan pastikan
anak-anak mereka tidak bergaul dengan orang yang salah," kata Azman.
Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia
(NUTP), Aminuddin Awang berkata pihak pengurusan sekolah perlu terus
menjadikan Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 17
Tahun 2015 sebagai garis panduan untuk menangani masalah-masalah disiplin berat
seperti penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah.

"Mengikut surat siaran itu, menghisap vape dikategorikan sebagai salah satu
kesalahan disiplin berat dan hukuman bagi kali pertama, pelajar yang terlibat akan
diberi kaunseling dahulu, bagi kesalahan kali kedua, mereka boleh digantung sekolah
tidak melebihi 14 hari.

"KPM sendiri telah mengambil langkah dari awal lagi dan saya percaya sekiranya
semua pihak bekerjasama maka kita dapat mengatasi isu ini dari terus merebak dan
menjadi wabak di masa akan datang," katanya.

Selain KPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diketuai Timbalan


Menterinya, Dr Lee Boon Chye turut mengambil inisiatif dengan menubuhkan satu
Jawatankuasa Khas pada 27 Jun lalu bagi mengawal penggunaan rokok elektronik dan
vape, yang juga memberi fokus kepada usaha menangani penjualan alat tersebut
kepada pelajar sekolah.

Dr Lee berkata jawatankuasa itu akan menjalankan tugasnya secepat mungkin dan
merangka rang undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan rokok elektronik
dan vape yang dijangka dibentangkan akhir tahun ini atau tahun hadapan.

-- BERNAMA

Anda mungkin juga menyukai