Anda di halaman 1dari 12

MEMPERKASA GURU SEBENAR GURU

                                       KE SEKOLAH TIDAK JEMU


                                  MENGAJAR TIDAK LESU
 
 
                               "The mediocre teacher tells. the good teacher explains.
                          The superior teacher demonstrate. the great teacher inspires."
                                                   ~ William A. Ward
 

Pendahuluan

Mempersiapkan generasi pelajar hari ini bagi menghadapi dan menangani cabaran-
cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge worker" dalam era revolusi
informasi abad ke-21 terletak di tangan dan dibahu seluruh kaum guru dan pendidik di
pelbagai peringkat lebih-lebih lagi peringkat persekolahan rendah, amat memerlukan
kesedaran yang tinggi bagi memperkembangkan dan mempertingkatkan setiap aspek
profesionalisme keguruan ke suatu tahap yang tidak mungkin lagi dipertikai dan
diperlekehkan oleh masyarakat dan negara,.

Usaha terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia dengan memperkenalkan Standard


Tinggi Kualiti Pendidikan mulai tahun 2001 adalah manifestasi dan bukti kepada
komitmen bagi menggerakkan semua pihak untuk mencapai kecemerlangan pendidikan
negara sebagai pusat kecemerlangan ilmu, sekali gus memartabatkan pendidikan yang
bertaraf dunia.

Oleh kerana sifat sesuatu yang baru itu sering dipandang serong dan diragui, maka begitu
juga persepsi sebahagian golongan pendidikan dan pentadbir pendidikan sehinggakan
wujud semacam 'desakan' bagi mempermudahkan dan pengubahsuaian kepada instrumen
Penarafan Kendiri Sekolah Berasaskan Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini, adalah
suatu sikap yang kurang wajar dalam konteks kita hendak memartabatkan pendidikan dan
profesion keguruan.

Bagaimana Fenomena Pendidikan dan Pengurusan Sekolah masa kini?

Menurut Penyataan Dasar Standard Tinggi Kualiti Pendidikan Jemaah Nazir Sekolah
(2001) menyebut bahawa; "Orang ramai semakin kerap mempersoalkan kualiti
pendidikan di sekolah, seolah-olah tidak lagi menaruh keyakinan kepada kewuibawaan
sekolah dalam hal ehwal mendidik, terutama apabila mendapati kelakuan murid lepasan
sekolah tidak seperti yang diharapkan oleh masyarakat dan negara. Kecemerlangan
pada sijil peperiksaan mereka secara realitinya tidak memperlihatkan kematangan
berfikir, kepetahan berkomunikasi, ketokohan sebagai pemimpin, kemurnian tingkah
laku, keupayaan mencipta dan menyumbang kepada pemajuan negara-bangsa dan
global," (hlm.24).
Fenomena lain ialah wujudnya keadaan kepakaran dan profesionalisme guru tidak kemas
kini dan relevan ke arah pembangunan diri insan yang menyeluruh dan seimbang seperti
yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Kajian pihak Nazir
Sekolah juga mendapati kelesuan proses pendidikan ini ada kaitan secara sebab-akibat
dengan amalan pentadbiran organisasi persekolahan yang lebih menguruskan hal-hal
mekanikal seperti pengendalian perjawatan, gaji dan bangunan.

Oleh  itu kesempurnaan yang menonjol di sekolah bukan pada pelakuan manusianya
tetapi pada hal-hal kebendaan, maka terhasillah keluaran sekolah yang berkembang di
tahap persepsi atau tanggapan fenomena luaran sahaja sehingga kurang upaya
menyelesaikan masalah dan membuat keputusan rasional dan membangun.

Fenomena "Low Performing Schools"?

Salah satu kayu ukur bagi menentukan sesebuah sekolah itu baik, maju, meningkat dan
membangun hingga ke tahap cemerlang (atau sebaliknya) adalah menerusi pencapaian
peperiksaan. Berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolh Rendah (UPSR) tahun
1999, sejumlah 1,919 buah sekolah rendah telah dikenalpasti sebagai "sekolah prestasi
rendah" yakni sekolah-sekolah yang pencapaian peratus kelulusannya di bawah 30%

Dalam hubungan penarafan sekolah di bawah Standard Tinggi Kualiti Pendidikan ini
pula pihak Jemaah Nazir Sekolah telah mendapati bahawa penilaian keseluruhan
sekolah-sekolah setakat ini berada pada tahap tiga iaitu lemah dalam indeks komposit
tahap sekolah dengan skor antara 30 hingga 49 peratus.

Kemudian kita didedahkan pula dengn dapatan hasil kajian sepasukan penyelidik
Universiti Malaya terhadap "keberkesnan 3M" di antara sekolah-sekolah kebangsaan
dengan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina khasnya, yang juga sekali lagi
menampakkan "kelemahan dan ketidakberkesanan" yang ketara sekali berlaku di
sekolah-sekolah kebangsaan kita.

Lama sebelum ini pun YAB Perdana Menteri Dato' Seri Doktor Mahathir Mohamad
pernah "menyelar" sikap "tidak serius" yang terdapat di kalangan segelintir Guru Besar
di sekolah-sekolah kebangsaan dan senario negatif dan "kurang menarik" yang wujud
dan berlaku di sekolah-sekolah ini. Apakah tidak ada kaitannya apabila  kita
memperkatakan prestasi dan kualiti pendidikan ini dengan masalah dan dilema yang
dihadapi seperti isu-isu kegagalan memenuhi kuota 55% kemasukan pelajar-pelajar
Melayu ke IPTA kerana pencapaian yang rendah di dalam peperiksaan SPM dan STPM?

Rumusan kajian-kajian ini menyatakan bahawa pelajar-pelajar Melayu tertinggal dalam


pelajaran seawal di bangku sekolah rendah lagi. Untuk mengatasinya kita perlu berpatah
balik jauh ke belakang. Usaha membentuk pelajar-pelajar Melayu yang berdaya saing
perlu bermula di peringkat sekolah kebangsaan (Isahak Haron, 2001). Nah begitu lantang
sekali seruan ini dan sudah sewajarnya disambut bukan sahaja dengan semangat ingin
menebus maruah malah memartabatkan pendidikan berkualiti di kalangan anak-anak
Melayu. Maka inilah yang hendak dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan
menerusi Standard Tinggi Kualiti Pendidikan.

Ke Arah Pembaharuan Tema dan Sistem Pendidikan

Seperti yang diketahui abad ke-21 adalah era maklumat maka amatlah perlu kita dapat
"melihat jauh ke depan" dalam konteks Wawasan 2020 dan perubahan-perubahan yang
dibawa oleh era cyberspace, dalam usaha mewujudkan generasi pelajar yang berminda
saintifik, kreatif, inovatif, mencintai ilmu, progresif, berbudaya fikir, di samping
berakhlak dan beradab (Wan Liz Ozman Wan Omar, 2000).

Pembaharuan perlukan perubahan. Perubahan yang sangat utama dan penting ialah
perubahan paradigma, sikap dan perlakuan agar setiap orang mampu berfungsi dan
bersaing secara cekap dan berketrampilan. Satu daripadanya ialah konsep 'belajar
sepanjang hayat' perlu menjadi amal budaya setiap pelajar menguasai 'belajar cara
belajar' (UNESCO, 1995) dari segi:

 Belajar untuk mengetahui (Learning to Know)


 Belajar untk membuat (Learning to Do)

 Belajar untuk menjadi insan sempurna (Learning to Be)

 Belajar untuk hidup bersama (Learning to Live Together) 

Noor Azman Ibrahim (1998) menyenaraikan enam tema penting sistem pendidikan abad
ke -21 dengan pembelajaran cara baru di mana pembelajaran tidak lagi merupakan satu
proses yang dikendalikan oleh institusi pendidikan (Tapscott, 1996) Enam tema tersebut
adalah:

 Tema 1 : Pekerjaan dan pembelajaran makin menjadi perkara yang sama.


 Tema 2 : Pembelajaran makin menjadi cabaran seumur hidup.

 Tema 3 : Pembelajaran beranjak dari sekolah dan universiti formal.

 Tema 4:  Beberapa institusi pendidikan bekerja keras ke arah kesesuaian dengan
               perubahan.
 Tema 5 : Kesedaran organisasi diperlukan untuk mewujudkan organisasi
pembelajaran               (learning organization).

 Tema 6 : Media baru boleh mengubah pendidikan dengan mewujudkan


infostruktur               bekerja belajar.
      
                                       Kewibawaan yang Dipersoalkan
 
Apakah ertinya apabila Tapscott (1996) menyatakan bahawa pembelajaran tidak lagi
dikendalikan oleh institusi pendidikan awam (sahaja)? Di Amerika Syarikat murid-muird
yang belajar di rumah (home schooling) semakin meningkat  dari tahun ke tahun;
merupakan fenomena baru sejak  beberapa dekad lalu sebagai manifestasi kepada
'ketidakpercayaan' ibu bapa dan orang awam  terhadap mutu dan prestasi pendidikan
yang dilaksanakan oleh sekolah-sekolah awam.
 
Patricia M. Lings (1999) melaporkan sesi persekolahan tahun 1990-1991 terdapat
250,000 hingga 350,000 orang; sesi tahun 1995-1996 pula seramai  700,000 hingga
750,0000 orang kanak-kanak yang mengikuti homeschooling ini, dan manakala bagi sesei
1997-1998 telah mencecah seramai 1,000,000 orang kanak-kanak menyertai kaedah dan
pendekatan belajar di rumah ini.
 
Salah satu daripada rtiga sebab mengapa berkembangnya konsep belajar di rumah
(homeschooling) ini menurut Erica Clery (1998), ialah wujudnya kebimbangan
berlakunya 'kerosakan' mental, fizikal dan spiritual ke atas kanak-kanak yang belajar di
sekolah-sekolah di bawah tadbiran dan seliaan kerajaan. Tidakkah 'bunga-bunga' kepada
senario yang sama akan berlaku suatu hari nanti di negara kita sendiri, apatah lagi setelah
mencapai status negara maju seperti yang diwawaskan? Tidakkah juga 'gejala-gejala
kerosakan' ini sudah pun wujud dan berlaku dan saban tahun ianya semakin parah dan
berdarah sehingga sistem pendidikan kita didakwa 'sudah ketinggalan zaman' oleh
kesatuan perguruan kebangsaan Malaysia?
 
Dengan yang demikian kita selaku guru-guru perlulah menyedari, memahami, dan
menghayati betapa konsep penambahbaikan yang berterusan itu perlu dilaksanakan tanpa
garis penamat sebagaimana gagasan yang dibawa menerusi Standard Tinggi Kualiti
Pendidikan.
 
Memperkasa  Diri
 
Guru adalah nadi kepada sekolah. Profesionalismenya adalah kunci kepada peningkatan
kualiti (Jemaah Nazir, 2001). Kualiti yang dimaksudkan bukan sahaja kepada kualiti
proses malah yang lebih utama ialah kualiti outputnya (hasil). Perkara ini tidak mungkin
dicapai jika individu, kumpulan, kelompok dan organisasi tidak cekap dan tidak
berkesan. Maka itulah sumber manusianya perlu dibangunkan secara bersepadu menerusi
latihan-latihan tertentu bagi memastikan setiap individu itu dapat mengembangkan
potensi dan bakatnya. Pengalaman-pengalaman yang diterima menerusi program
pembangunan profesional ini sama ada ianya bersifat latihan-latihan khusus atau pun
pengalaman sebenar di tempat kerja sudah barang tentu membolehkan atau
mengupayakan guru-guru    bertindak atau berpelakuan secara berkesan untuk
meningkatkan kualiti pendidikan sekolahnya.

Menjadi guru yang perkasa bukanlah bererti perkasa dari segi fizikal dan tenaga sahaja
tetapi yang lebih penting ialah keperkasaan dari aspek profesionalismenya, prinsipnya,
keutuhan keperibadiannya, kecekapan dan ketrampilannya, mental dan
keintelektualannya, kestabilan emosi dan spiritualnya serta kebijaksanaan dan
kepemimpinannya. Oleh itu menjadi seorang guru yang perkasa amat dipengaruhi oleh
tahap tinggi atau rendahnya ciri-ciri dan prestasi profesionalismenya; teguh, tegas dan
utuh atau rapuh, lemah dan tidak tegas pegangan hidup dan prinsipnya; luas, tinggi dasn
mendalam atau sebaliknya dari segi intelektualnya yang digambarkan menerusi
kesedaran-diri dan faham-kendiri yang mendasari kebijaksanaan dan hemah dalam
kepimpinan. Seorang guru yang perkasa juga seorang guru yang cekap dan berkesan.

Eilane (2000) ytelah mengenalpasti beberapa ciri seseorang guru yang amat berkesan
(highly effective) yang dikategorikan kepada tiga aspek iaitu:

 Ciri peribadi yang menjelaskan perwatakan.


 Ciri mengajar yang memberikan hasil.

 Ciri intelek yang menunjukkan ilmu, sedar-diri dan faham-kendiri.

1. Ciri Peribadi: seorang yang 'bermatlamat' (mission-driven) dan juga seorang


yang 'asyik' dalam pekerjaannya. Kedua , ianya bersikap positif dan 'real' yakni
yakin dalam apa pun yang dilakukan di samping sabar menerima 'kenyataan' biar
pun pahit untuk ditelan. Ketiganya ia merupakan seorang 'guru-pemimpin'; di
samping mengajar ia juga membimbing dan menunjuk ajar bukan sahaja anak
didik malah rakan sejawat dan siapa sahaja.

2. Ciri Mengajar: seorang yang memiliki dan sentiasa menerapkan aspek


'dengannya' ("with-it-ness") dalam apa jua yang dibuat atau apa jua yang murid-
muridnya mesti buat. Ia juga mempunyai stail yang tersendiri, sesuai dengan
semua keadaan dan persekitaran, nilai dan budaya, peraturan dan undang-undang.
Ianya juga memiliki kepakaran memotivasi serta kebekesanan dalam pengajaran
dan pembelajaran.

3. Ciri Intelektual: seorang yang suka 'membaca buku', dan mempunyai 'mental
life' yang segar, berkembang dan bersifat 'berpenyugnguhan kendiri' (self-
actualization) dengan minda yang sihat dan terbuka, melihat alam dan kehidupan
di dalam ruang lingkup yang luas dan menyeluruh (banyak) di samping melihat,
menganalisis, mensintisis dan menilai satu di dalam yang banyak.

Memperkasa dengan Penilaian dan Berpusatkan Prinsip

Guru sering menilai anak didiknya tetapi pernahkah kita menilai diri sendiri? Sedarkah
kita sebagai guru yang kerjanya 'mengajar sepanjang hayat' (sebelum bersara wajib) kita
telah tidak cukup melakukan satu perkara sepenting ini? Kalau begitu bagaimana kita
tahu dan boleh meningkatkan tahap profesionalisme kita?

L. Dee Fink (1999), dalam satu artikelnya "Evaluating Your Own Teaching" menyebut:

          " Assuming that no one is perfect and therefore everyone has room for
                  improvement, evaluation is the means by which ewe try to identify which
                  aspects of our teaching are good and which need to be changed. The
                  question then arises as two who should take responsibility for doing this
                  evaluation. My believe is that evaluation is an inherent part of good teaching.
                  Therefore it is the teacher himself or herself who should take primary
                  responsibility for doing the evaluation."
 
"To improve is to change. And to be perfect is to change often", demikian ujar Winston
Churchill. Jadi titik tolak bagi melakukan perubahan, dan kemudian mencapai kemahiran
dan kesempurnaan memakan masa dan dayausaha. Bagi mencapai perubahan yang
berjaya dan berkesan perlukan seseorang itu bukan sahaja menambah pengetahuan dan
kemahiran baru malah sering pula memerlukan kita belajar semula sesuatu konsep,
kaedah dan teknik yang mungkin kini sudah usang. Tidak ada orang yang tidak boleh
melakukan aspek belajar semula ini kecuali seseorang itu sudah merasa dirinya sudah
lengkap segala-galanya seperti kata Epictetus (55-135 M); "It is impossible for anyone to
begin to learn what he believes he already knows." Pengalaman berserta beraneka
kemahiran yang dititipkan oleh guru menerusi proses pengajaran dan pembelajaran
umpamanya bermaksud melalukan perubahan sikap, seterusnya mengubah pemikiran dan
paradigma sehingga  terciptalah tangkah-laku yang dihasratkan itu tercapai. Menurut Dee
Fink lagi penilaian bagi menghasilkan perubahan ke arah peningkatan  profesionalisme
individu seseorang guru itu amat besar faedahnya berdasarkan tiga sebab.

1. Pertama, tanpa mengambil kira bagaimana baik atau buruk kita sebagai guru-guru, kita
semua mempunyai potensi, menjadi lebih baik lama-kelamaan. Sementara sebahagian
guru-guru bertambah baik dan hampir menemui potensi mereka, sayang sebahagian yang
lainnya mengalami peningkatan yang kecil sahaja sewaktu peringkat awal kerjaya dan
kemudiannya seolah-olah 'mendatar' kualitinya malah kadang-kadang 'merosot'. Kenapa?
Natijahnya terdapat perbezaan pokok di antara mereka yang berjaya dengan mereka yang
gagal meningkat, adalah disebabkan golongan pertama itu mengumpul maklumat
mengenai pengajaran mereka dan mengambil daya usaha bagi penambahbaikan
sesetengah aspek daripadanya - setiap kali mereka mengajar.

2. Sebab kedua mengapa perlunya membuat penilaian adalah bagi mendokumentasikan


kualiti seseorang bagi rujukan pihak lain, yang perlu mengetahui track record seseorang
sepanjang kerjayanya. Satu cara sahaja guru-guru boleh membekalkan maklumat
seumpama ini iaitu dengan cara  mengumpulnya, dan inilah penilaian. Dengan kaedah ini
juga dapat membantu seseorang guru itu memahami keberkesanan pengajarannya dengan
lebih baik lagi.

3. Sebab ketiga pula merupakan satu keperluan yang bersifat peribadi dan keinginan
manusia untuk menilai. Hal ini adalah bagi kepuasan mental dan psikologikal diri sendiri.
Melakukan sesuatu kerja dengan baik adalah satu perkara; manakala satu perkara lagi
dengan memiliki maklumat yang padu, kita tahu kita telah melakukan kerja dengan baik.
Pengetahuan dan kepastian ini hanya mungkin jika kita membuat penilaian yang rapi dan
telus.

                                    Antara "Powerful" atau "Powerless"


Selepas kita melakukan penilaian baharulah kita tahu status atau kedudukan tahap dan
taraf ketrampilan kita selaku guru yang bagaimana; cergas dan cerdas; pantas dan
tangkas; cekal dan tabah; mengurus masa atau membuang masa? Kemudian baru kita
boleh "memilih" ada untuk menjadi guru yang "powerful" atau "powerless". Tentulah
bagi menjadi seorang guru yang perkasa kita mestilah seorang yang "powerful" bukan
sebaliknya. Jadi pilihan di tangan kita.

Perasaan dan perlakuan "tidak berdaya" ("powerless") boleh berlaku daripada sekecil-
kecil insiden atau peristiwa sehingga kepada masalah atau perkara yang besar. Jika kita
gagal mengatsasi atau membiarkan keadaan "tidak berdaya" ini kita akan menjadi lebih
tidak berdaya saing, lemah jiwa dan raga, lemah mental dan spiritual akhirnya kita
melihat dunia dan kehidupan tidak memberi erti apa-apa, selanjutanya kita kecewa dan
sengsara serta merintih nasib dan takdir. Apa yang kita buat apabila kita memilih
menjadi seorang yang "powerless" ialah; tak kisah, tunggu, lengah atau lewatkan, tidak
ambil tindakan atau "buat de' "sahaja, hampa, jadi tidak peduli, abaikan dan jadi seorang
yang acuh tak acuh.

Kemudian apa pula yang kita dapat bila kita merasa "powerless"; status quo, hubungan
yang Kalah/Menang (Lose/Win), tidak dijangka/hasil yang tidak diketahui,
ketidakpastian, hasrat dan angan-angan (fantasi), dan merosot keupayaan seterusnya
prestasi jadi rendah.

                                           Jadilah Seorang Yang Powerful

Jelas menjadi seorang yang "powerless" tidak menjanjikan sebarang kebaikan dan faedah
sama ada dari segi peribadi, kumpulan, kelompok atau pun organisasi dan kerjaya yang
kita ceburi. Tentulah kita memilih untuk menjadi "powerful" dan berjaya dalam semua
bidang dan aspek kehidupan berkeluarga, sosial dan kerjaya dan dapat menyumbang
kepada kesejahteraan bangsa dan negara menerusi tugas mendidik yang kita hayati ini.

Dalam menajdi "powerful" kita perlu kenal tiga "kuasa" yang masing-masing ada baik
dan buruknya iatu i) kuasa paksaan, ii) kuasa utiliti dan iii) kuasa berpusatkan
prinsip (principle-centered).

Fokus kita ialah kepada kuasa berpusatkan prinsip (principle-centered power) bagi
mencapai hasrat menjadi guru yang perkasa; guru sebenar guru -- ke sekolah tidak
jemu mengajar tidak lesu! Kuasa berpusatkan prinsip adaah berasaskan apa yang anda
boleh buat dengan orang-orang lain. Kuasa berpusatkan prinsip juga ertinya berasaskan
'hormat': individu yang dihormati akan dipercayai, disegani dan menjadi inspirasi kepada
orang-orang lain, dan oleh itu kepemimpinannya diterima sepenuh hati. Oleh itu guuu-
guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan menjurus kepada kawalan-kendiri,
tingkah-laku beretika dan kehidupan yang proaktif (Blaine Lee, 1997).

Salah satu prinsip penting dalam mengurus diri dan organisasi ialah prinsip samarata atau
adil (kepada orang lain dan kepada diri). Oleh itu satu keperluan yang mesti ada ialah
keberanian menghadapinya, serta kemampuan dan keupayaan membuat teguran dan
ulasan bagi membetulkan mana-mana individu yang tersasar dari landasan dan terkeluar
dari tujuan dan matlamat organisasi. Di sini prinsip 'Bukan Kepada Siapa Betul Tetapi
Kepada Apa Yang Betul' hendaklah menjadi pegangan. Intipati kepada prinsip ini ialah
apa yang betul atau apa yang tidak betul bukan berdasarkan seseorang itu ketua (boss)
atau penngikut (subordinate), tetapi kepada apakah persoalannya, apakah kesan atau
implikasinya, atau apakah tafsiran dari segi falsah, peraturan, dan objektivitinya, di mana
matlamat akhirnya semua orang akan buat perkara yang betul dan tidak dipertikaikan
lagi.

                           Kesan dan Hasil Kuasa Berpusatkan Prinsip

Guru-guru yang perkasa berpusatkan prinsip ini akan memberi pengaruh kepada
berlakunya transformasi budaya belajar dan mengajar yang hebat. Transformasi ialah
perubahan, yakni perubahan yang disebabkan wujudnya perhubungan di mana 'hormat'
menjadi asasnya. Manusia tidak setia kepada logo -- mereka setia kepad orang lain
(pemimpin berprinsip). Blaine Lee (1997) dalam bukunya The Power Principle:
Influence With Honour menyenaraikan empat kesan yang terhasil daripada kuasa
berpusatkan prinsip ini sebagaimana berikut:
1. Kuasa berkekalan : Apabila kesan dan pengaruh orang perkasa ini tetap bersama atau
di alam diri walaupun orang itu sudah tiada di dunia ini. Ertinya pengaruh orang yang
perkasa ini meninggalkan kesan yang bukan sedikit malah berterusan sehingga pengaruh
ini di 'turunkan' pula keapada generasi seterusnya. Tidak seperti kesan daripada kuasa
paksaan yang cuma berkesan selagi orang takut. Juga  tidak seperti kesan kuasa utiliti, ia
datang dan ia pergi dan sangat bersifat sementara. Tetapi kuasa berpusatkan prinsip
mewujudkan perhubungan yang berkekalan -- ia tidak terhenti bila pengurusan baru
mengambil alih, tidak juga menjadi ketinggalan zaman bila muncul sesuatu yang baru.
2. Tingkah-laku Proaktif : Kuasa berpusatkan prinsip menggalakkan tingkah-laku
proaktif yang membina dan membawa perhubungan yang bukan bersifat situasional
tetapi transformasional yang bererti kita membuat  pilihan kepada  mana yang lebih
penting dan mana yang lebih bernilai dan berharga. Tingkah-laku proaktif melahirkan
tingkah-laku yang dihormati: tak perlu penyeliaan, tak perlu mandur. Guru-guru yang
bertingkah-laku proaktif dalam konteks ini sebenarnya memiliki standard dalaman yang
lebih tiggi daripada apa yang diletakkan  kepadanya. Ia tidak memikirkan untuk buat
perkara lain, kerana bertentangan dengan jiwanya. Jika tingkah-lakunya merosot ke
bawah paras yang ditentukan (standard), guru yang proaktif ini mampu 'membetulkan
dirinya'. Falsafahnya "Saya boleh buat lebih baik. Saya boleh jadi lebih baik."
3. Kawalan-kendiri : Ini bukan lagi kuasa yang datang dari luar. Kuasa berpusatkan
prinsip fokusnya ke dalam diri. Ianya bergantung kepada keupayaan dalaman masing-
masing bagi lebih tabah, lebih giat, lebih bersungguh-sungguh bila mengesampingkan
apa yang mereka mahu berbanding apa yang lebih besar dan mustahak. Ini akhirnya
membuatkan seseorang itu sanggup berkorban; iaitu melupakan apa yang kita hendak
sekarang kerana hendakkan perkara-perkara yang lebih mendesak.
4. Membina Kesaling-bergantungan : Dalam kehidupan manusia tidak boleh hidup dan
bekerja seorang diri, tidak kira sekaya mana atau selemah atau semiskin mana sekalipun,
apatah lagi di dalam organisasi dan institusi zaman sekarang. Menerusi kuasa paksaan
kita memupuk dan menggalakkan pelbagai jenis kebergantungan, manakala dalam kuasa
utiliti ianya memupuk dan menggalakkan kebebasan -- kebebasan untuk memilih seperti
kita boleh memilih untuk bersatu atau kita memilih untuk berpisah. Oleh itu kesaling-
bergantungan adalah kesan daripada kuasa berpusatkan prinsip: yang boleh menjawab
soalan, "Apa yang boleh dan apa yang akan jadi bila kita bersatu?" Kesaling-
bergantungan juga melahirkan sinergi daripada seluruh individu agar matlamat dan
objektif institusi dan organisasi tercapai dengan cemerlang dan gemilang.
 
Aspek-aspek yang kita buat daripada budaya berpusatkan prinsip ini adalah: meyakinkan;
jadi sabar; jadi penyantun; mengajar; menerima; baik hati; menyayangi; belajar;
berdisiplin; jadi istiqamah dan hidup dengan keutuhan.
 
Ini pula kesan atau hasil yang kita dapat dengan budaya berpusatkan prinsip: rakan dan
perkongsian, transformasi yang bertimbal balik, sinergi, risiko yang diambil kira,
pertambahan keupayaan, kawalan dalaman yang positif, kawalan-kendiri, tingkah-laku
beretika, hubungan yang saling bergantung, proaktiviti, kepercayaan, penyelesaian secara
Menang/Menang (Win/Win), persetujuan rakan-kongsi dn kepuasan mendalam hubungan
jangka-panjang.
 
    Siapa Guru Sebenar Guru: Ke Sekolah Tidak Jemu Mengajar Tidak Lesu?
 
Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru-guru bukan
sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan
menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat
revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan
produktiviti  pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka
(Wan Liz Ozman, 2000). Jadi menyediakan diri menjadi guru yang perkasa perlukan
latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang
dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi
memperlengkapkan diri sahajalah seseorang itu guru itu mampu menyesuaikan dirinya
dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah
dalam proses peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi
Kualiti Pendidikan hari ini.]
 
Guru sebenar guru ialah seorang guru yang memiliki  sifat dan ciri-ciri unggul sebagai
penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar
dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan
teladan kepada setiap anak didiknya. Guru ynag perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan
dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat
iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria,
amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-
muridnya.
 
Prinsip utamanya seorang guru yang perkasa mesti faham bahwa tugas 'mengajar dan
mendidik serta meneladan' adalah pekerjaan yang sangat mulia. Guru sebenar guru
mestilah dapat menganggap pergi ke sekolah sebagai pergi ke medan jihad (menentang,
membasmi dan mencegah kejahilan, kebodohan, kebebalan, kelemahan, kealpaan,
kemunduran dan kehinaan akibat tidak berilmu pengetahuan) dan kerja mengajar  pula
(tanpa sebarang muslihat dan tipu helah) sebagai suatu ibadah. Oleh itu seseorang guru
itu akan memainkan peranan mengikut keadaan dan situasi secara penuh tanggungjawab,
jujur dan ikhlas; yang di dalam Islam guru sebenar guru ini dikelaskan sebagai:
 Al-mu'allim       : menyampaikan ilmu yang benar
 Al-murabbi       : menjayakan proses tarbiah
 Al-mu'addib      : mengajarkan adab dan budi pekerti
 Al-mursyid        : membentuk kepimpinan insan
 Al-mudarris       : menitipkan pelajaran dan kemahiran
Seorang guru yang perkasa tidak akan cepat  menyalahkan keadaan dan tempat sebelum
ia menyalahkan dirinya terlebih dahulu, dan di samping itu pula berusaha meningkatkan
ketrampilan dan kewibawaan diri ke tahap yang paling tinggi.
 
                                                             Penutup
    

Tugas murni lagi mulia kita sebagai guru seharusnya jangan dicemari dengan gejala-
gejala buruk yang merosakkan sehingga kelemahan, kemunduran dan kegagalan
pendidikan yang kita pikul hari ini dari segi menyediakan pengalaman-pengalaman
berguna bagi kegunaan masa hadapan anak-anak didik kita nanti, akan menyebabkan
adanya individu yang ingin maju tetapi hanya berlegar sekitar mediocrity, dan tidak pun
berupaya menggunakan peranan mereka untuk citarasanya apatah lagi memenuhi citarasa
bangsa dan negaranya. Kegagalan ini juga nanti menghasilkan individu yang
menjalankan sekerja separuh hati, atau sekadar makan gaji (Jemaah Nazir, 2000).

Oleh itu selaku guru-guru kita sewajarnya menyedari hal ini dan oleh kerana itu juga
amat penting diingat bahawa apa jua yang kita buat dan apa jua yang kita tidak buat akan
mencerminkan siapa diri kita sebenarnya. Dalam banyak senario kita boleh lihat dan nilai
sendiri bagaimana guru yahg dikatakan seorang guru yang tidak jemu apabila sentiasa
menampilkan sikap dan perlakuan positif seperti datangnya awal baliknya lewat; atau
seorang guru yang tidak jemu mengajar biarpun berhadapan dengan segelintir murid yang
lemah., lambat dan dengan berbagai karenah; guru yang tidak lesu tetapi tetap bertenaga
dari pagi sampai ke tengah hari (atau petang); ia tidak membezakan murid atau kelas
yang cerdas dengan murid atau kelas yang kurang cerdas.

Jangan sekali-kali ada perasaan apatah lagi tersimpan niat di hati, akibat dari sikap dan
perbuatan kita, kita sangka yang rosak dan buruk hanyalah organisasi atau sekolah kita
sahaja; malah kerosakan yang lebih besar ialah rosaknya nama baik, cemarnya maruah,
buruknya perangai diri sendiri akibat mengikutkan hati dan nafsu ammarah kita
sehingga kita tidak mampu lagi mengenal atau membezakan mana kaca mana intan, mana
emas sepuluh mana emas sepuh.

Kita harus berani dan secara gentleman mengakui bahawa apa jua kelemahan dan
kebejatan profesionalisme yang wujud dan berlaku di sekolah kita  masing-masing
(apatah lagi jika kita peneraju atau primadonanya) sehingga senario dan fenomena yang
terpancar di kava TV atau di dada-dada akhbar masalah-masalah sosial yan berkaitan
dengan sistem pendidikan negara mendesak agar usaha pihak institusi pendidikan perlu
diletakkan pada landasan yang lebih efisien lagi. Dan kita tidak mungkin menjadi efisien
jika kita bukan seorang guru yang perkasa; jika kita seorang guru yang "powerless"; jika
kita seorang guru yang tidak ada prinsip; jika kita seorang yang buta mata hati; jika kita
seorang guru yang tahu tapi tidak mahu; atau jika kita seorang guru yang ada ilmu tapi
tidak beramal dengan ilmunya. Setiap dari kita pasti mampu dan berjaya  menjadi
seorang guru yang perkasa: ke sekolah tidak jemu mengajar tidak lesu jika kita
menghayati sabda Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya;

"Barangsiapa yang amalannya hari ini lebih baik dari semalam;


dia adalah orang yang beruntung.
Barangsiapa yang amalannya hari ini sama dengan yang semalam,
dia adalah orang yang  rugi.
Dan barangsiapa yang amalannya hari ini lebih buruk dari hari semalam,
dia tergolong orang yang dilaknat Allah S.W.T." ‫ٱ‬
 
 
Rujukan
 
Lee, Blaine (1997). The Power Principle: Influence With Honor. Simon & Schuster, New
York, USA.
 
Elaine, McEwan (1998-2001). Ten Traits of Highly Effective Teachers, McEwan-Adwin
Groups. http://www.elainemcewan.com/ten_traits_teachers.htm  30.09.2001
 
Clery, E.(1998). Home Schooling : The Meaning That The Homeschooled Child Assigns
to This Experience. Issues in Educational Research, 8(1), 1-13.
http://cleomurdoch.edu.au/gen/iir/iier8/clery.html
 
Fink, L.Dee (1999). Evaluating Your Own Teaching. Terbit dalam Improving College
Teaching oleh Peter Seldin (ed.). University of Oklahoma Instructional Development
Program, July 20, 1999.
 
Leblanc, Richard (1998). Good Teaching: The To Ten Requirements. Terbit dalam The
Teaching Professor.
 
Noor Azmi Ibrahim (1998). Kurikulum Abad Ke-21: Pengembangan dan Penekanan,
Jurnal Kurikulum Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Kuala
Lumpur.
 
M.Lings, Patricia (1999). Homeschoolers: Estimating Number and Growth. National
Institute on Student Achievement, Curriculum, and Assessment, Office of Educational
Research and Improvement, U.S. Department of Education. Web Edition, 1999.
http://www.nfie.org/2000/htm
 
Wan Liz Ozman Wan Omar (2000). Mengurus Agenda Abad 21 : Cabaran Dan
Persiapan Dalam Era Globalisasi, Golden Books Centre Sdn. Bhd. Kuala Lumpur. 

Anda mungkin juga menyukai