Anda di halaman 1dari 5

Refleksi Pengajaran Mikro: Set Induksi

Oleh : Qamarul Iman bin Kamal Arrifin (123675)

PERANCANGAN

Sebelum memulakan pengajaran di dalam kelas, saya dikehendaki melakukan sesi set induksi
kepada para pelajar. Set Induksi ialah bahagian permulaan dalam sesuatu pengajaran dan
pembelajaran dengan tujuan membina aliran fikiran serta menimbulkan minat murid –murid
supaya memusatkan perhatian kepada isi pelajaran yang hendak disampaikan.

Perancangan awal saya sebelum memulakan sesi set induksi adalah untuk melakukan pengurusan
kelas terlebih dahulu dengan mengutip sampah di sekeliling mereka dan juga meluruskan barisan
meja kelas. Hal ini bagi memastikan pelajar dapat belajar dalam keadaan yang selesa dan
kondusif.

Selepas keadaan kelas terkawal dan stabil, saya akan memberikan sebuah buku yang
mengandungi sajak-sajak pilihan yang memperihalkan tentang alam sekitar kepada salah seorang
pelajar yang dipilih. Pelajar yang dipilih akan memilih sebuah sajak untuk saya deklamasikan
dan tujuannya adalah untuk melibatkan pelajar dalam aktiviti bersama guru. Saya akan cuba
mendeklamasikan sajak yang dipilih berdasarkan intonasi dan gaya yang diberikan oleh pelajar-
pelajar lain yang terdapat di dalam kelas. Kelainan yang cuba saya tonjolkan untuk menarik
minat pelajar adalah dengan mendeklamasikan sajak yang dipilih sambil diiringi alunan muzik.
Perkara ini dilakukan supaya saya lebih dapat menghayati sajak yang dideklamasikan dan
dengan harapan dapat menarik minat pelajar terhadap topik pengajaran pada hari tersebut.

Apabila pelajar mula menunjukkan minat dan tertarik dengan cara penyampaian saya, saya akan
memilih beberapa orang pelajar untuk membuat satu perkaitan mudah antara kandungan sajak
yang dideklamasikan oleh saya dengan tajuk pengajaran pada hari tersebut. Selepas pelajar
menjawab dengan betul akan perkaitan keduanya iaitu sajak yang bercirikan alam sekitar dengan
tajuk karangan yang hendak diajar iaitu Kesan-kesan Pencemaran Alam sekitar, maka saya akan
terus masuk kepada isi pengajaran pada hari tersebut.
PERLAKSANAAN

Pada 3 Mac 2016 yang lalu, saya telah melakukan satu sesi set induksi sebelum
memulakan isi pengajaran pada hari tersebut. Perancangan awal untuk melakukan pengurusan
kelas sejurus selepas memasuki kelas kelihatan berkesan. Selepas ketua kelas memberi salam
dan membaca doa, saya telah berjaya melibatkan pelajar untuk menguruskan kelas seperti
mengutip dan membuang sampah yang berada di sekeliling mereka sambil menyusun meja untuk
meluruskannya. Sesi set induksi saya berjalan seperti yang dirancang selepas keadaan kelas
menjadi selesa dan kondusif.

Perancangan awal saya kelihatan berjalan seperti yang dirangka kerana saya telah memilih dan
memberikan buku yang mengandungi kompilasi sajak-sajak alam sekitar kepada salah seorang
pelajar. Pelajar itu telah memilih satu sajak untuk saya deklamasikan tetapi pelajar itu memilih
sajak yang saya tidak jangkakan. Walaupun perancangan awal tidak menjadi namun saya tetap
meneruskan sesi set induksi itu dengan menapis dan memendekkan sajak yang dipilih oleh
pelajar tersebut. Hal ini adalah untuk menjimatkan masa dan tidak menjadikan kelas berada
dalam keadaan sunyi dan muram. Saya kemudiannya memilih beberapa orang pelajar untuk
mencadangkan beberapa intonasi dan gaya suara yang berbeza untuk saya mendeklamasikan
sajak. Pelajar-pelajar yang dipilih telah mencadangkan intonasi dan gaya suara gembira, sedih
dan marah. Ketiga-tiga intonasi dan gaya ini menepati perancangan awal saya dan saya telah
mendeklamasikan sajak tersebut dengan intonasi yang dicadangkan sambil diiringi alunan
muzik,

Seterusnya, saya mula menjalankan langkah yang telah direncanakan iaitu memilih beberapa
orang pelajar untuk membuat perkaitan antara sajak yang saya deklamasikan dengan tajuk
pengajaran pada hari tersebut. Seorang pelajar telah mencuba untuk menjawab perkaitan tersebut
dan beliau berjaya memberikan perkaitan walaupun tidak terlalu tepat. Menyedari hal
terbabit, seorang lagi pelajar telah membuat perkaitan dan berjaya menjawabnya dengan tepat.
Sejurus pelajar terbabit membuat perkaitan, maka saya telah memulakan sesi pengajaran pada
hari tersebut.
REFLEKSI/MAKLUM BALAS

Sesi refleksi atau maklum balas daripada rakan-rakan telah diadakan sejurus selepas
menonton rakaman video sesi set induksi yang telah saya lakukan. Beberapa komentar yang
diberikan dilihat memberi satu maklum balas yang membina kerana saya sendiri mengakui
terdapat banyak kesilapan dan kelemahan dalam sesi set induksi tersebut. Walau bagaimanapun,
terdapat juga maklum balas yang positif yang diberikan kepada saya.

Antara maklum balas yang diterima adalah, semasa saya mendeklamasikan sajak dengan
menggunakan intonasi suara dan gaya yang diberikan, rakan-rakan tidak dapat membezakan
antara intonasi gembira dengan intonasi sedih. Hal ini kerana, saya tidak mengekspresikan secara
jelas intonasi ketika itu. Contohnya, ketika saya mendeklamasikan sajak dengan menggunakan
intonasi gembira, mimik muka saya tetap nampak serius dan tegang dan perkara itu tidak
sepatutnya berlaku. Oleh kerana itulah, rakan-rakan tidak dapat membezakan intonasi dan gaya
yang saya lakukan ketika bersajak. Faktor gemuruh turut mempengaruhi perkara ini sehingga
menjejaskan fokus saya. Di samping itu, maklum balas yang diterima adalah saya tidak membuat
pandangan mata bersama audiens dan perkara ini terjadi kerana saya melihat ke arah teks sajak
sehingga mengabaikan pandangan mata bersama audiens. Ianya kerana saya tidak menghafal
sajak itu di samping terpaksa menapis sajak yang panjang.

Tambahan pula, semasa sesi set induksi dijalankan, terdapat masa dan ketika saya menggunakan
loghat daerah iaitu loghat utara dalam set induksi. Perkara ini tidak disengajakan dan tidak
berlaku sepanjang sesi set induksi. Walaupun begitu, perkara terbabit tetap menjadi peringatan
kepada saya. Selain itu, maklum balas tentang intonasi suara ketika berkomunikasi dengan
pelajar turut ditegur. Hal ini kerana saya tidak melontarkan suara dengan jelas dan tidak
mempunyai intonasi yang berbeza dan ianya terlihat seperti tidak bernada.

Walaupun begitu, maklum balas positif turut diterima. Ada di antara rakan-rakan memuji cara set
induksi ini dijalankan kerana berbeza dari sebelumnya. Selain itu, muzik yang mengiringi sesi
sajak saya turut mendapat perhatian dan dikatakan masuk dengan tajuk pengajaran pada hari
tersebut. Perasaan gementar dapat dikawal dan tidak terlihat sepenuhnya ketika sesi rakaman
sedang berlangsung.
Secara kesimpulanya, dapat saya simpulkan bahawa sesi pengajaran mikro ini boleh dikatakan
agak berjaya memenuhi kehendak situasi yang perlu saya jalankan iaitu situasi semasa
menjalankan set induksi namun masih lagi terdapat beberapa kekurangan yang boleh saya
perbaiki dari masa ke masa untuk membentuk kredibiliti saya sebagai seorang guru yang baik
dan untuk memastikan sesi pengajaran saya kelak akan menjadi lebih baik dan menarik untuk
dijalankan.
PENGENALAN

Kemahiran set induksi merupakan satu kemahiran yang amat penting bagi seseorang
yang bergelar guru atau bakal guru. Set induksi ialah bahagian permulaan sesuatu proses
pengajaran yang bertujuan untuk membina aliran fikiran serta menimbulkan minat murid. Ia juga
dapat dikatakan sebagai apa jua aktiviti untuk menarik minat pelajar.

Objektif dilakukan set induksi di awal proses pengajaran adalah untuk menarik perhatian murid
terhadap aktiviti pengajaran yang akan dilaksanakan. Perkara ini penting bagi memastikan setiap
murid mengambil bahagian dan memberikan tumpuan kepada guru. Di samping itu, set induksi
juga dilaksanakan bertujuan untuk membina aliran fikiran murid supaya mereka bersedia
mempelajari sesuatu yang berkaitan dengan topik pengajaran. Jika seseorang guru itu terus
menjalankan aktiviti pengajaran tanpa set induksi, murid akan berada dalam keadaan tidak
bersedia dan tertanya-tanya akan topik yang bakal diajar pada hari tersebut.

Di samping itu, kemahiran set induksi mempunyai beberapa komponen yang perlu dipenuhi
untuk memastikan set induksi itu berkesan. Pertama, set induksi yang dilakukan perlulah
menarik perhatian. Sebagai contoh, seorang guru boleh menggunakan Alat Bantu Mengajar
(ABM) untuk membuat set induksi di samping melontarkan nada suara yang sesuai. Perkara
seperti ini dilihat mampu untuk menarik minat murid. Seterusnya, set induksi perlu mewujudkan
motivasi di dalam diri murid dengan menimbulkan rasa ingin tahu terhadap pengajaran yang
bakal dilakukan. Penggunaan teknik bercerita, aktiviti yang berkesan serta sesi soal jawab dilihat
mampu untuk memotivasikan murid supaya bersedia dengan pengajaran pada hari tersebut.
Tambahan lagi, komponen set induksi yang perlu ada adalah membuat perkaitan antara aktiviti di
dalam set induksi dengan topik pengajaran yang akan dilakukan. Selain itu, set induksi perlulah
berstruktur dan bersesuaian dengan suasana murid di dalam kelas.

Secara ringkasnya, set induksi merupakan salah satu elemen penting yang perlu dilakukan oleh
guru sebelum memulakan pengajaran. Keberkesanan set induksi yang dijalankan akan
membuatkan para murid bersedia bagi menerima ilmu pada hari itu.

Anda mungkin juga menyukai