Anda di halaman 1dari 10

PROSIDING PERKEM IV, JILID 2 (2009) 151-160

ISSN: 2231-962X

“PERTANIAN ADALAH PERNIAGAAN” : ANALISIS PENGURUSAN


KEWANGAN PKS PERTANIAN DAN ASAS TANI
(“AGRICULTURE IS BUSINESS”: AN ANALYSIS ON THE FINANCIAL MANAGEMENT
OF AGRICULTURAL AND AGRO-BASED SMES)

SHAMSHUBARIDAH RAMLEE & MADELINE BERMA

ABSTRAK
Slogan “pertanian adalah perniagaan” merupakan slogan yang sering diwar-warkan oleh
kerajaan untuk meningkatkan pembangunan sektor pertanian. Salah satu aspek penting
kejayaan perniagaan pertanian dan asas tani, adalah aspek pembiayaan dan pengurusan
kewangan. Kertas ini bertujuan meniliti kedua-dua aspek ini dengan menganalisis data
daripada survei terhadap 237 orang pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS)
pertanian dan asas tani di Malaysia pada tahun 2008. Antara perkara yang dibincangkan
dalam kertas ini, termasuk isu-isu pengurusan kewangan, kekaburan (opaqueness) dan profil
risiko, serta faktor kejayaan (atau kegagalan) PKS.
Katak kunci: PKS asas tani; pemasaran; prestasi.

ABSTRACT
The slogan ‘agriculture is business’ is a motto that is oftened promoted in an effort by the
government to increase the development in the agricultural sector. Two of the important
aspects of the success of the agricultural and agro-based businesses, are the aspect of
financing and financial management. This paper intends to examine both of these aspects by
analysing the data obtained through a survey conducted on 237 of Malaysian agricultural
and agro-based SME entrepreneurs in 2008. Among the topics discuss in this paper are the
financial management issues, opaqueness and risk profile; as well as the success (or failure)
factors of the SMEs.

Keywords: agro-based SME, marketing, performance

1. Pengenalan
Di Malaysia, Kerajaan sedang giat membangunkan sektor pertanian dan asas tani kerana
sektor ini berpotensi luas sebagai kuasa penggerak perubahan dalam ekonomi dan
persekitaran perniagaan. Kini tumpuan lebih diberikan terhadap pembangunan keusahawan
dalam sektor ini. Bangun-jatuhnya sektor ini dikaitkan dengan kemampuan petani dan
usahawan-tani (agric-preneurs) membangunkan sektor ini.
Apakah hubungan antara keusahawan dan pertanian? Jawapan kepada persoalan ini
mempunyai makna yang mendalam terhadap pemodenan pertanian, bila pengusaha mencari
laluan untuk meningkatkan pendapatan. Keadaan harga tidak menentu menyebabkan kaum
tani atau pengeluar pertanian terpaksa mencari peluang pendapatan baru. Turun naik harga
komoditi sejak belakangan ini memaksa usahawan-tani untuk menjadi pengeluar pertanian
moden dan berdaya saing.

Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM IV)


Memacu Pembangunan Ekonomi Dalam Ketidaktentuan Persekitaran Global
Kuantan, Pahang, 2-4 Jun 2009
152 Shamshubaridah Ramlee & Madeline Berma

Kertas ini didasari oleh kerangka teoritis yang menjelaskan keusahawan pertanian.
Kerangka ini mengandungi penjelasan mengenai keusahawanan, kemahiran dan kepentingan
keusahawan pertanian. Persoalan yang dikupas dalam kerangka teori ini adalah ciri-ciri
keusahawan dan kemahiran keusahawan yang perlu dimiliki.
Sebagai permulaan, kertas ini menghuraikan perbincangan mengenai wacana ilmiah mengenai
pemikiran mengenai peranan sektor pertanian dalam pembangunan negara dan kedudukan
keusahawan pertanian.
Kepentingan keusahawan di sektor pertanian boleh dikaitkan dengan peralihan
paradigma mengenai peranan sektor pertanian dalam pembangunan negara. Secara tradisinya,
sektor pertanian dianggap sebagai sektor tradisional, pasif, tidak produktif dan berfungsi
sebagai penggenap kepada sektor industri. Sektor pertanian hanya penting sebagai pembekal
input bahan mentah, makanan dan lebihan buruh untuk pembangunan industri. Dalam
keadaan yang sedemikian, isirumah yang terlibat dalam sektor pertanian adalah keluarga tani
yang terlibat dalam pengeluaran pertanian. Pengeluaran pertanian adalah semata-mata untuk
kegunaan sendiri semata-mata; bukan untuk diniagakan. Dalam keadaan sedemikan mereka
kurang mengutamakan aspek produktiviti, pemasaran dan teknologi. Mereka bergantung
kepada pegawai kerajaan atau agen-agen pengembangan (extension agents) untuk memasar,
input dan teknologi.
Kini, keadaan banyak berubah dimana sektor pertanian dan asas tani dianggap sebagai
sektor penting untuk pembangunan ekonomi. Sektor ini bukan lagi sektor yang dihuni oleh
petani tradisional, tetapi golongan profesional, usahawan dan ahli korporat yang mempunyai
kemahiran perniagaan. Peralihan kepentingan sektor pertanian juga menyaksikan kepentingan
keusahawan dalam sektor pertanian. Sektor pertanian yang dulunya dicirikan oleh petani
miskin, kini menyaksikan kemunculan usahawan-tani yang sentiasa bersaing untuk berjaya
daripada segi perniagaan. Pertanian kini merupakan sektor yang boleh menghasilkan
keuntungan yang tinggi jika ia diuruskan secara profesional, daripada aspek kewangan,
pemasaran, pembangunan sumber manusia, teknologi, logistik dan rantaian nilai.
Seterusnya, kertas ini menghuraikan prinsip keusahawan. Kertas ini mengakui bahawa
adalah sukar untuk memberi definisi tepat mengenai keusahawan. Perbincangan mengenai
keusahawan boleh dilakukan dari pelbagai sudut pandangan. Satu sudut pandangan memfokus
kepada ciri-ciri individu sebagai elemen penting. Satu daripada ciri usahawan ialah
keupayaan untuk mengambil risiko dan mengurus sumber menjadi satu perniagaan yang
berjaya dalam jangkamasa panjang. (Verhaar and Hoeve, 1999; Nandram and Samson, 2000;
de Buck, et.al, 2000; Schrapnel and Davie, 2001). Penentu lain keusahawan adalah modal
manusia (umur, pendidikan, pengalaman), modal kewangan (modal persendirian, sumber
pendapatan), strategi memenuhi permintaan perniagaan (hubungan usahawan dengan
pembekal dan pembeli), serta modal sosial serta jaringan dengan usahawan lain (Bosma et al.,
2000). Satu lagi aspek penting mengenai keusahawan ialah pengunaan instrastruktur ilmu
(Wolfe, 2007) untuk membantu usahawan bertindakbalas terhadap perkembangan terkini
dalam dunia perniagaan. Faktor inovasi kini banyak diberi penekanan dalam perbincangan
mengenai ciri keusahawan. Elfring (2000) mendefinisikan keusahawan inovatif sebagai
keupayaan individu untuk melakukan sesuatu dengan cara berbebeza daripada orang lain.
Kini, aspek inovasi amat diberi penekanan untuk memastikan kejayaan keusahawan.
Sudut pandangan lain pula mengutamakan keusahawan sebagai satu langkah untuk
mencapai sesuatu, keinginan untuk mengawal, dan kesedian untuk menanggung risiko dan
kemampuan untuk menghadapi keadaan ketakpastian Elfring (2000). Pandangan ini juga
memfokus kepada aspek matlamat keusahawan. Keusahawanan dikaitkan dengan kualiti dan
aktiviti usahawan, iaitu untuk megenal peluang dan berjaya memanfaatkan peluang yang ada.
Analisis Pengurusan Kewangan PKS Pertanian dan Asas Tani 153

Menurut pandangan ini, kejayaan menjadi axis mundi dan salah satu matlamat dan wawasan
usahawan. Bagi Zimmer dan Norman (1996:52) keusahawanan terhasil daripada sikap
disiplin dan sistematik dalam proses mengaplikasikan daya cipta atau kreativiti dan inovasi
terhadap keperluan dan peluang dalam pasaran. Ia bukan sahaja mengaplikasikan strategi
terhadap ide dan pengetahu baru, tetapi juga produk atau perkhidmatan yang dapat memenuhi
keperluan pengguna.
Boleh dirumuskan bahawa keushawan dalam sektor pertanian dikaitkan dengan
kemahiran dan usaha mencari cara serta langkah untuk mencipta dan membangunkan
perniagaan ladang yang menguntungkan. Dalam konteks ini, keusahawanan perlu dibezakan
dengan kemahiran. Kemahiran, adalah kompentensi yang diperlukan untuk melakukan tugas
dan aktiviti berkaitan dengan perniagaan ladang. Ia boleh dibangunkan melalui pembelajaran
dan pengalaman. Kemahiran keusahawanan boleh dibangunkan melalui pengalaman dan
pembelajaran.
Daripada sudut ilmiah, kemahiran keushawan boleh dibahagikan kepada lima kategori
asas, iaitu profesional, pengurusan, peluang, strategik dan jaringan (lihat Jadual 1),Setelah
membincangkan definisi keusahawanan dan kemahiran yang diperlukan, seterusnya kertas ini
mengariskan kerangkas konsepsual secara grafik hubungan kesemua variabel ini untuk
menjelaskan keterkaitan mereka. Rajah 1 menunjukkan kerangka konsep untuk kejayaan
perniagaan pertanian dan asas tani.

Jadual 1: Kemahiran Keusahawanan


Kategori Kemahiran
Profesional  Kemahiran pengeluaran (tananam, ternakan)
 Kemahiran teknikal

 Pengurusan Kewangan
 Pentadbiran
Pengurusan  Pengurusan pengguna
 Perancangan
 Mengenalpasti peluang perniagaan
 Orientasi pengguna dan pasaran
Peluang  Kesedaran mengenai ancaman
 Inovasi
 Pengurusan risiko
 Menerima dan mengguna maklumbalas
 Pemantauan dan Penilaian
Strategik  Konsepsual
 Perancangan strategik
 Membuat keputusan strategik
 Mencapai matlamat
 Bekerjasama dengan petani dan agensi pertanian lain
Jaringan  Membina dan mengeratkan jaringan
 Kepimpinan
154 Shamshubaridah Ramlee & Madeline Berma

 Kemahiran kerja berpasukan

Sumber: Wolf, Peter de (2007)

Merujuk kepada kerangka konsep dalam Rajah 1, didapati bahawa ciri dan faktor
kejayaan usahawan-tani dicorak oleh faktor-faktor persekitaran dan individu. Faktor
persekitaran terdiri daripada dua, iaitu antarbangsa dan domestik. Faktor antarbangsa seperti
globalisasi, arah aliran perdagangan, pasaran, teknologi, sumber manusia mempengaruhi
faktor domestik serta faktor individu. Faktor domestik merangkumi tren ekonomi semasa
dalam negara, dasar kerajaan seperti Dasar Pertanian I, II, III serta dasar lain berkaitan,
persekitaran perniagaan (kos menjalankan perniagaan, infrasturktur), aspek-aspek kewangan,
pemasaran, teknologi, sumber manusia, termasuk program pembangunan perniagaan
mencorak. Faktor individu, seperti umur, gender, saiz keluarga, pengalaman, sikap boleh
mempengaruhi secara langsung ciri dan faktor kejayaan usahawan-tani. Ia juga
mempengaruhi faktor kemahiran usahawan’ kemahiran profesional, pengurusan, peluang,
strategik dan jaringan. Gabungan kesemua faktor-faktor ini, merupakan faktor mencorak
prestasi usahawan di sektor pertanian.

Rajah 1: Kerangka konsepsual Ciri dan Faktor Kejayaan Usahawan-Tani

Bahagian seterusnya membincangkan hasil kajian terhadap 237 pemilik perusahaan


kecil dan sederhana dalam sektor pertanian dan asas tani. Perbincangan ini memfokus kepada
Analisis Pengurusan Kewangan PKS Pertanian dan Asas Tani 155

aspek pengurusan kewangan, iaitu salah satu kemahiran pengurusan yang perlu ada dalam
seorang usahawan.

2. Analisis Pengurusan Kewangan Dikalangan PKS


Bahagian membincangkan aspek-aspek pengurusan kewangan dikalangan PKS. Sebagai
permulaan, kertas ini menghuraikan latarbelakang responden , diikuti dengan analisis
pengurusan kewangan dikalangan responden.
Survei telah dilakukan ke atas 237 responden PKS pertanian yang menjalankan kegiatan
pertanian sayur-sayuran (77), penanaman bunga (38), penternakan ikan (42), lembu dan
kambing (60) dan industri desa (20) dari seluruh Malaysia. Antara faktor yang dinilai untuk
menjadikan sektor pertanian ini mempunyai nilai komersil, aspek pengurusan kewangan
dikalangan pengusaha dikenalpasti. Kemampuan responden dalam pengurusan kewangan
dinilai daripada kemampuan mereka menyimpan rekod kewangan dan pengurusan keluar
masuk tunai perniagaan. Ini termasuk kemampuan responden untuk mengurus hutang yang
diterima daripada institusi kewangan atau pembekal.
Aspek penting dalam menilai kemampuan pengusaha sektor ini membawa syarikat ke
tahap yang menguntungkan juga dianalisis daripada kemampuan pengusaha menyediakan
perancangan kewangan. Kesemua aspek tersebut dianalisis untuk memastikan sejauhmana
kenyataan tentang kekaburan ciri risiko PKS ini benar dan menjadi penghalang kepada
pertumbuhan dan keuntungan firma ( Berger & Udell, 2004). Kertas ini mendapati 68
peratus daripada responden yang mempunyai prestasi yang baik adalah terdiri daripada PKS
yang mempunyai keupayaan mengurus aspek kewangan syarikat.
Sebagai langkah untuk membesarkan operasi syarikat, PKS sering bermula dengan
sumber dalaman yang diperoleh daripada simpanan sendiri, pinjaman sanak saudara ataupun
sumbangan daripada rakan-rakan kongsi. Setelah sumber dalaman berkurangan, PKS
perlukan pembiayaan luaran untuk meluaskan operasi mereka. Untuk mendapatkan
pembiayaan luar khususnya daripada bank, banyak syarat-syarat pinjaman yang perlu
dipenuhi. Syarat-syarat ini sering membebankan PKS; namun ia merupakan satu cara yang
diambil oleh bank kerana PKS sering dianggap bersifat opaque’ atau kabur dari aspek
kemampuan mengurus kewangan syarikat.
Antara aspek yang sering dilihat oleh bank atau mana-mana pembiaya luar untuk
menimbang permohonan pinjaman bermula daripada kemampuan PKS untuk menyediakan
rekod-rekod kewangan. Dengan adanya rekod-rekod kewangan ini pembiaya bukan hanya
setakat mampu membuat pertimbangan permohonan; tetapi juga mampu mengurangkan risiko
pembiayaan. Pengurusan mudah tunai yang cekap akan memberikan gambaran tentang
kemampuan PKS mengurus pembayaran pinjaman, bayaran kredit atas bekalan inventori dan
keupayaan PKS untuk membesarkan perniagaan.

3. Analisis Kajian Kemampuan Pengurusan Kewangan Dengan Prestasi


Dalam kajian ini, 230 responden telah dianalisis keupayaan pengurusan kewangan mereka
mengikut 4 tajuk utama iaitu; kewujudan simpanan rekod, pengurusan alir tunai, prestasi
pinjaman dan kemampuan merancang keperluan kewangan akan datang. Kemampuan
pengurusan kewangan PKS dalam kajian ini turut dianalisis mengikut 2 kumpulan besar yang
dianggap berjaya dan sederhana kejayaan mereka. Prestasi syarikat akan diteliti juga menurut
2 kumpulan besar tadi. Daripada penelitian aspek pengurusan kewangan ini, perbincangan
dibuat tentang faktor-faktor kejayaan PKS.
156 Shamshubaridah Ramlee & Madeline Berma

3.1. Penyimpanan rekod kewangan


Bila ditanya sama ada mereka menyimpan sebarang rekod kewangan, 85 peratus daripada
230 responden yang disoal-selidik didapati menyimpan rekod-rekod kewangan. Antara
penyata kewangan terpenting yang disimpan adalah penyata alir tunai masuk dan keluar. Ini
dilihat apabila 88 peratus daripada mereka yang menyimpan rekod, memiliki penyata alir
tunai. Rekod pengeluaran dan penerimaan wang dianggap sebagai satu penyata terpenting
untuk disimpan dan digunakan untuk memantau keluar-masuk tunai syarikat oleh PKS. Apa
yang menarik di kalangan PKS ini adalah, mereka tahu membezakan antara jualan tunai dan
hutang. Ini penting kerana jualan yang meningkat setiap hari atau bulan tidak bermakna jika
ianya tidak dibayar secara tunai kepada PKS.
Analisis prestasi syarikat juga menunjukkan bahawa 90 peratus daripada syarikat yang
mempunyai rekod kewangan adalah PKS yang mempunyai prestasi yang baik sementara 81
peratus daripada PKS yang berprestasi memuaskan turut menyimpan rekod kewangan yang
teratur. Dari kalangan PKS yang mempunyai prestasi yang baik, 68 peratus adalah syarikat
milik sendiri, 20 peratus adalah syarikat sendirian berhad sementara 12 peratus adalah
syarikat perkongsian. Jelas dapat dirumuskan di sini bahawa untuk mendapat prestasi yang
baik dan memuaskan, PKS perlu menyimpan rekod kerana ia berkait rapat dengan
kemampuan PKS mengurus alir tunai syarikat. Penyata alir tunai turut menjadi antara rekod
kewangan terpenting yang disimpan oleh PKS. Rata-rata PKS yang mempunyai prestasi yang
baik dan memuaskan adalah PKS yang menyimpan penyata alir tunai tersebut.
Penemuan ini agak bercanggah dengan kebanyakan kajian yang menyatakan bahawa
PKS di negara membangun adalah tidak telus tahap penyimpan rekod mereka yang mana
akan menyulitkan pihak pembiaya untuk menimbangkan kemampuan bayaran balik pinjaman
jika diberikan.

3.2. Pengurusan Alir Tunai Masuk dan Keluar


Hampir 90 peratus daripada PKS yang menjadi responden bersetuju bahawa mereka
mengawal tunai yang diterima dan keluar setiap bulan. Namun hanya 38 peratus sahaja yang
berjaya menghasilkan lebihan tunai yang positif yang membawa maksud bahawa responden
lebih banyak membuat pembayaran tunai berbanding jumlah kutipan jualan yang diterima.
Hanya 15 peratus daripada mereka mempunyai lebihan tunai yang positif berbanding 47
peratus yang tidak pasti sama ada mereka mempunyai lebihan tunai setiap bulan. PKS yang
berprestasi baik adalah terdiri daripada syarikat yang mampu mengawal keluar masuk tunai
bulanan dengan baik.
Didapati 67 peratus daripada PKS tidak menghadapi masalah untuk mengutip jualan
yang telah dibuat. Kemampuan PKS untuk mengurus alir tunai dilihat daripada kemampuan
mereka untuk membayar gaji pekerja setiap bulan. 82 peratus daripada responden tiada
menghadapi masalah untuk membayar gaji pekerja, 61 peratus mampu membayar kos
overhed seperti api, air dan elektrik sementara 59 peratus tidak menghadapi masalah dalam
pembayaran bahan mentah kepada pembekal. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa
pembayaran gaji pekerja merupakan alir tunai utama bagi PKS. Ini sesuai dengan peranan
PKS sebagai pembuka peluang pekerjaan di mana kadar upah merupakan perkara utama yang
perlu dijaga untuk memastikan pekerja terus setia berkhidmat.
PKS yang berprestasi baik tidak mempunyai masalah untuk membayar gaji pekerja,
belanja overhed, bahan mentah pembekal. Namun mengutip tunai daripada jualan yang telah
Analisis Pengurusan Kewangan PKS Pertanian dan Asas Tani 157

dibuat agak mencabar bagi PKS walaupun prestasi mereka adalah baik dan memuaskan.
Mereka tidak mempunyai polisi kutipan yang teratur kerana kebanyakan urus niaga adalah
berdasarkan kepercayaan yang lahir daripada jalinan hubungan perniagaan yang telah dibina.

3.3. Kelakuan Pembayaran Hutang Bank


Prestasi pembayaran hutang di kalangan PKS tidak menggalakkan kerana 55 peratus sahaja
yang mampu menjelaskan hutang dengan bank, sementara 40 peratus tidak berkecuali yakni
tidak pasti sama ada mereka mampu membuat pembayaran pinjaman dan 5 peratus memang
tidak mampu untuk membuat pembayaran. Kajian menunjukkan 52peratus daripada PKS
yang mampu membuat bayaran pinjaman berjaya untuk menjelaskan faedah dan juga pokok.
PKS yang mampu menjelaskan pinjaman mereka adalah merupakan syarikat yang berprestasi
baik dan memuaskan. Sering PKS ini mempunyai aset dan penjamin yang boleh dijadikan
cagaran dan jaminan kepada bank untuk pinjaman yang diterima.
Kemampuan sederhana dikalangan PKS untuk membayar pinjaman sama ada faedah
mahupun pokok adalah sebahagiannya disebabkan sikap pihak pembiaya yang terlalu berhati-
hati dalam memberikan pinjaman. Jumlah pinjaman yang tidak mencukupi dan lewat
dikeluarkan adalah akibat daripada syarat pinjaman yang ketat. Dengan jumlah kutipan
daripada jualan yang sederhana PKS dan jumlah perbelanjaan yang terlalu tinggi menjadikan
bank ragu-ragu untuk meluluskan pinjaman yang besar untuk operasi PKS. Sikap pembiaya
yang tidak mahu menanggung risiko bayar balik yang tinggi mengakibatkan mereka
mengenakan syarat pinjaman yang ketat yang tidak memihak kepada PKS. Syarat jumlah aset
yang mencukupi dan penjamin yang layak menjamin pinjaman sering menyulitkan
pengeluaran wang kepada PKS. Ini akhirnya akan mengganggu kelicinan operasi syarikat.

3.4. Kepentingan Perancangan Kewangan


Kajian terhadap data sekunder mendapati bahawa kebanyakan pengusaha-pengusaha PKS
terutamanya pengusaha Bumiputera masih menghadapi masalah kekurangan aliran tunai.
Persoalannya ialah: Bagaimanakah masalah ini boleh dielakkan? Salah satu cara ialah dengan
melakukan perrancangan kewangan adalah jawapannya. Perancangan kewangan adalah satu
proses di mana seseorang merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan
kewangan melalui pembangunan dan pelaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh.
Untuk berjaya, PKS perlu mempunyai ilmu perancang kewangan, serta ilmu-ilmu perbankan,
pengurusan aliran tunai, pelaburan, pengurusan kredit, hartanah, pemindahan risiko
(insurans), cukai dan peninggalan estet.
Satu masalah berkaitan pembiayaan ialah ajaran mengenai pinjaman. PKS sejak dulu
diajar untuk tidak meminjam, apatah lagi cara membayarnya. Rata-rata PKS kurang diajar
membayar hutang. Ramai daripada PKS menghadapi masalah kerana mereka kurang faham
cara wang pinjaman boleh mendatangkan pulangan dengan sendirinya menerusi pelaburan di
dalam produk jaminan modal dan kemudahan overdraf. Dividen atau pulangan pelaburan itu
pula secara automatik boleh membayar balik pinjaman mereka. Masalah kewangan yang
sering melanda PKS, juga timbul disebabkan oleh amalan bank. Kajian Shamshubaridah dan
Madeline (2008) menunjukkan bahawa masalah pembiayaan bukan yang dihadapi oleh PKS
bukan sahaja berpunca daripada kekurangan dana, tetapi juga akses kepada dana. Kajian juga
menunjukkan bahawa institusi kewangan kurang berupaya untuk membantu pengusaha-
pengusaha kecil dan sederhana kerana mereka lebih mementingkan rekod pencapaian,
semakan kredit dan cagaran ke atas pinjaman sebelum pinjaman diluluskan. Masalah ini
berkait rapat dengan masalah “kekaburan” PKS yang menyukarkan bank menghulur bantuan
kewangan kepada mereka. Bermakna, pegawai-pegawai bank dan pengusaha PKS perlu
158 Shamshubaridah Ramlee & Madeline Berma

mempertingkatkan latihan dan pengetahuan mereka mengenai ilmu perancangan kewangan


untuk mempermudahkan pinjaman diluluskan.
Berkaitan dengan perancangan kewangan, hasil survei menunjukkan bahawa PKS yang
berjaya sering memberi penekanan kepada pertumbuhan syarikat di masa depan. Syarikat
sering memandang berat tentang prestasi enam bulan ke belakang; analisis dibuat secara teliti
kerana mereka yakin bahawa sebarang pembiaya luar akan menilai permohonan pinjaman
setelah melihat prestasi lepas mereka. Namun kajian ini menunjukkan bahawa 53 peratus
daripada PKS percaya akan betapa pentingnya rekod prestasi lepas ini. Daripada jumlah
tersebut hanya 56 peratus adalah merupakan syarikat berprestasi baik sedangkan 41 peratus
tidak pasti sama ada penyimpanan rekod tersebut penting atau tidak.
Didapati 90 peratus daripada PKS merasakan perlu meningkatkan modal untuk
membesarkan perniagaan dan 75 peratus bersetuju untuk mendapatkan sumber luaran untuk
tujuan yang sama. Syarikat PKS yang ingin membesar tidak lagi mampu untuk menyediakan
sumber dalaman daripada simpanan sendiri, hutang pembekal atau pinjaman daripada sanak
saudara. Dengan aset yang ada mereka perlu mendapatkan sumber modal luaran yang
disediakan oleh institusi-institusi yang telah dibentuk khusus untuk membantu PKS pertanian
khususnya. Hampir 92 peratus PKS yang bersetuju tentang pentingnya sumber luaran untuk
membesar, adalah merupakan PKS yang berprestasi baik.

4. Penutup
Kertas ini telah membincang aspek-aspek pembiayaan dalam sektor pertanian dan asas tani.
Kajian ini juga memperlihatkan betapa pentingnya aspek pembiayaan dikalangan PKS dalam
sektor pertanian. Jatuh-bangunnya PKS dalam sektor peratanian banyak bergantung kepada
kemampuan pengusahanya untuk mengakses pembiayaan serta mengurus kewangannya
secara profesional. Aspek penting untuk menjayakan sektor pertanian adalah menaikkan taraf
profil PKS untuk beralih daripada satu sektor yang bersifat ‘opaque’ kepada sektor yang lebih
telus. PKS perlu dilatih agar percaya akan kepentingan adanya maklumat seperti perancangan
kewangan dan pelan perniagaan adalah langkah awal untuk menjadikan sektor ini lebih
berjaya. Setelah PKS berjaya menyediakan maklumat, pemantauan pendapatan dan
perbelanjaan lebih mudah dilakukan. Ini adalah guna untuk menyediakan mereka untuk
mendapatkan pembiayaan dari luar syarikat.
Kerjasama pihak pembiaya adalah antara faktor penting untuk menjayakan sektor PKS.
PKS khususnya dari sektor pertanian tidak lagi boleh dianggap satu sektor yang berisiko
tinggi. Peringkat pembiayaan pelbagai perlu diwujudkan melalui kerjasama pihak kerajaan
dan swasta. Peranan kerajaan adalah untuk memberikan PKS geran dalam bentuk ‘soft loan’
dan khidmat nasihat dalam bentuk latihan. PKS perlu dilatih untuk menyediakan satu pelan
jangka panjang syarikat di masa akan datang, menyediakan rancangan kewangan dan
pemasaran. Kemahiran PKS untuk memasarkan keluaran juga perlu diberikan sebagai satu
aktiviti khidmat nasihat agensi kerajaan.
Peranan pembiaya swasta seperti bank pula adalah untuk memudahkan keperluan
kewangan syarikat. Ini boleh dilakukan melalui syarat-syarat permohonan dan pengeluaran
pinjaman tidak terlalu ketat. Syarat yang ketat seperti menyediakan aset berlebihan untuk
dicagarkan akan menjejas kelancaran operasi syarikat. Bank mesti melihat PKS sebagai satu
sektor yang berdaya maju yang boleh diberikan pinjaman dengan syarat-syarat yang lebih
selesa untuk PKS. PKS yang dianggap berjaya dan baik prestasi adalah mereka yang
memahami betapa pentingnya untuk mempunyai rekod kewangan. Ini kerana tanpa sistem
rekod kewangan yang teratur, PKS yang berjaya ini tidak akan dapat mengesan keluar masuk
Analisis Pengurusan Kewangan PKS Pertanian dan Asas Tani 159

tunai. Bagi pembiaya luar rekod kewangan mereka digunakan untuk membuat penilaian
terhadap keperluan pinjaman PKS dan membentuk syarat pinjaman dan pengeluaran wang.
Sebagai rumusan perlu ditegaskan bahawa Kejayaan PKS bukan sahaja terletak kepada
pengurusan kewangan yang baik. Pengurusan kewangan yang baik perlu juga dilengkapi
dengan nilai insaniah dan amalan terbaik seperti berikut: amanah, iaitu sifat yang perlu ada
pada semua peniaga yang menyakinkan orang lain dalam urusan perniagaan. Disamping itu,
pengusaha juga perlu mempunyai nilai integriti yang tinggi. Mereka mempunyai sejarah
rekod baik dalam berurusan dan mampu menunjukkan tiada menyelewengan dari perjanjian
yang telah dipersetujui. PKS juga perlu memastikan kedudukan kewangannya baik.. Mereka
perlu membuktikan kemampuan peniaga untuk mencapai prestasi yang baik dan berpotensi
untuk mengekalkannya. Kejayaan juga dicorak oleh wujudnya rancangan perniagaan,
pengetahuan dan kemahiran mengenai perniagaan, ICT. Mewujud dan mengekalkan jaringan
perniagaan yang baik adalah juga antara faktor penting menjayakan perniagaan. Disamping
itu, pengusaha juga perlu memiliki kemahiran mengurus risiko dan berdaya kreatif serta
inovatif. Gabungan kesemua faktor ini meningkatkan keupayaan PKS sektor pertanian dan
asas tani untuk menghadapi cabaran dan ancaman, serta memanfaatkan peluang dan kekuatan
yang ada dalam sektor pertanian di Malaysia agar pertanian dapat menjadi satu perniagaan
yang menguntungkan.

Rujukan
Allen N. Berger & Gregory F. Udell. A More Complete Conceptual Framework for SME Finance . Presentation
at the World Bank Conference on Small and Medium Enterprises. World Bank, October 14-15, 2004
Bosma, N., M. van Praag and G. de Wit. 2000. Determinants of successful entrepreneurship. Research report
0002/E. EIM, Zoetermeer, 35 pp
Norman, M. S and T.W. Zimmer. 1996. Entrepreneurship and New Venture Formation. Prentice Hall Publication.
London
Morris, M.H and P.S Lewis. 1995. ‘Determinant of Entrepreneurship Activity: Implication for Marketing’
European Journal of Marketing; xxix:. 31-34
Brockhaus, R.H. and P.S. Horwitz. 1986. The psychology of the entrepreneur. In: D.L.Sexton and R.W. Smilor
(eds.), The art and science of entrepreneurship. Ballinger publishing company, Cambridge, pp. 25-48.
Buck, A.J. de, I. van Rijn, N.G. Röling, and G.A.A. Wossink. 2000. Farmers’ reasons for changing or not changing
to more sustainable practices: an exploratory study of arable farming in the Netherlands. In: A. de Buck, The
role of production risks in the conversion to more sustainable arable farming (thesis), Wageningen
University, Wageningen.
Duijzer, D. 1999. The country side of The Hague (in Dutch), LTO-Nederland, Den Haag.
Elfring, T. 2000. Innovative entrepreneurship – Management briefing - (in Dutch). Academic Services,
Schoonhoven, 64 pp.
Nandram, S.S. and K.J. Samson. 2000. Succesful entrepreneurship: more a matter of character than of knowledge.
Nyenrode Center for Entrepreneurship, Breukelen, The Netherlands, 242 pp.
Ploeg, J.D. van der. 1999. The virtual farmer (in Dutch). Van Gorcum, Assen.
Ploeg, J.D. van der. M. Ettema and J. Roex, 1994. The crisis – national agriculturaldebate – (in Dutch). Misset,
Doetichem, 45 pp.14
Schilden, M. van der and C.H.A. Verhaar. 2000. A concept of modern entrepreneurship in Dutch horticulture. In:
J.P. Ogier (ed.), Proc. of the XIVth. Int. Symp. On horticultural economics. ISHS, Leiden, pp. 439-447.
Schrapnel, Marilyn and Jim Davies. 2001. The influence of personality in determining farmer responsiveness to
risk. In: Journal of Agricultural Education and Extension, vol. 7, no. 3, pp. 167 – 178.
Verhaar, C.H.A. and A. Hoeve. 1999. Mega-enterprises in Dutch agriculture (in Dutch). Stoas Research
Wageningen, 149.
160 Shamshubaridah Ramlee & Madeline Berma

Wolf, Peter de. 2007. General Introduction. in Wolf, Peter de and Schoorlemmer, Herman (eds.) Exploring the
Significance of Entrepreneurship in Agriculture. Report submitted to the Research Institute of Organic
Agriculture FiBL. European Union.

Anda mungkin juga menyukai