Anda di halaman 1dari 5

Santai, padat, pelbagai dan tidak membosan.

Ini gambaran yang paling


sesuai untuk diberikan kepada buku ini. Tidak seperti mana-mana buku berbentuk
motivasi yang lain, buku ini mengambil pendekatan bercerita, sesi dialog dan soalan-
soalan kuiz bagi mengelakkan pembaca berasa bosan untuk menghabiskan bacaan
keseluruhan isi kandungan buku.

Mengandungi keseluruhan 28 pecahan tajuk kecil, fokus motivasi yang


diutarakan dalam buku ini tidak hanya mencakupi bidang pekerjaan seperti mana
yang tertulis di hadapan tajuk buku. Malah sememangnya amat mengejutkan, skop
motivasi buku bersiaz kecil yang berketebalan 191 muka surat ini meliputi
perbincangan masalah-masalah asas dan delima golongan remaja, wanita,
pasangan suami isteri dan panduan membimbing anak-anak lembam. Tidak
keterlaluan jika dikatakan bahawa buku ini sesuai untuk hampir semua peringkat
usia. Namun begitu seperti mana tajuknya PERIBADI ANDA KERJAYA ANDA,
sudah tentu kebanyakan tajuk kecilnya berkisar dengan motivasi berkaitan sikap,
perilaku dan disiplin dalam kerjaya yang mana kesemua aspek ini akan memainkan
peranan penting dalam membentuk kejayaan dalam kerjaya seseorang individu itu.

Pendekatan bercerita dalam kandungan buku ini membuatkan pembaca akan


tertarik dan seterusnya tidak berasa bosan. Sepanjang menghabiskan masa
membelek setiap helaian dalam naskah kecil yang padat ini, langsung tidak terasa
seperti sedang membaca satu bahan ilmiah yang lazimnya membosankan. Malah
perasaan ketika meluangkan masa terhadap buku ini, terasa seolah-olah membaca
buku-buku majalah seperti MASTIKA dan VARIASI. Contohnya seperti salah satu

1
bab dalam buku ini yang bertajuk ‘Prejudis : Yang Negatif Boleh Rosakkan Peribadi’.
Penulis tidak terus membincangkan topic berkaitan apa itu prejudis. Sebaliknya di
awal teks perbincangan penulis memulakan dengan kisah seorang hakim
menjatuhkan hukuman ke atas seseorang yang berstatus Datuk kerana kesalahan
rasuah. Berita mengenai hukuman itu tersebar luas dan terjadilah dialog di antara
dua orang kampung di kedai kopi. Maka berlakulah perbualan di antara si A dan si B
berkenaan pendapat masing-masing terhadap hukuman yang telah dijatuhkan ke
atas Datuk tersebut. Si A membela perbuatan si pesalah, berbeza pula dengan si B.
Maka berlaku pertikaman lidah di antara dua individu tersebut yang mana masing-
masing berkeras mempertahan pendapat masing-masing. Sehinggalah datang
individu C meleraikan persilisihan pendapat antara kedua-dua sahabat ini. Selepas
tamat kisah dialog tersebut, barulah penulis membawa pembaca memahami apa itu
prejudis dengan menjadikan kisah dan perbualan tadi sebagai contoh yang mudah
difahami.

Selain itu, soal moral dan etika juga turut disentuh dalam buku ini.
Contohnya seperti perbincangan yang dikupas dalam tajuk ‘Mengumpat, Fitnah,
Soksek : Padah Dan Punca Terjadinya’. Penulis menggambarkan bahawa fenomena
ini sebagai satu tabiat, tidak mengira kepada jantina, umur atau status jawatan
seseorang itu, hakikatnya tabiat ini membawa lebih banyak keburukan dan kesan
yang negatif berbanding kesan baik. Apa yang menarik, penulis menyatakan
bahawa mengumpat ini boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat pertama
mengumpukan maklumat. Sewaktu membaca ayat diperengan berkaitan tajuk ini,
terasa ingin tersenyum dan geli hati kerana teringatkan kisah atau salah satu slot
dalam filem MAMI JARUM. Menurut penulis lagi, peringkat kedua pula adalah
menceritakan perihal-perihal atau kejadian dengan hanya menyentuh beberapa
perkara tertentu sahaja yang dihiasi dengan bunga-bunga tokok tambahnya
sementara perkara-perkara lain yang menunjukkan kebenaran tidak diceritakan.
Peringkat ketiga, perihal atau kejadian yang menjadi bahan umpatan yang dibentuk
sudah disebar hingga menyerap ke dalam masyarakat. Penulis menekankan di sini,
penyebaran tersebut samada diatur-arah atau tidak, ia tetap merosakkan.
Kesudahannya, ia mengarah kepada kehancuran dan keretakan dalam masyarakat
atau organisasi.

Mari kita beralih ke bab yang lebih menyeronokkan. Terdapat satu bab yang
pasti digemari oleh pembaca khususnya lelaki. Bab ini bertajuk ‘Antara Punca Sebab
Gadis-Gadis Gagal Ke Jinjang Pelamin’. Pastinya akan ada sesetengah pembaca
wanita yang tidak bersetuju dengan pendapat penulis, tetapi tidak salah sekiranya
apa yang dikongsi oleh penulis itu menjadi satu titik tolak dan garis sempadan
kepada pembaca-pembaca wanita. Dalam bab ini, penulis membahagikan wanita
kepada 12 kategori iaitu Beku Perasaan, Tinggi Perasaan, Mementingkan Diri
Sendiri, Berdolak-Dalik, Penunggu Rumah, Penunda Masa Kahwin, Penyiksa Diri,
Petualang Asmara, Berselera Haiwan, Suka Berahsia, Bersikap Menanti dan
Pembalas Dendam. Walaupun kelihatan bab ini seperti berat sebelah yang mana

2
hanya ia kelihatan seperti menghentam kaum Hawa, namun pembaca perlu
mengambil pendekatan yang positif dalam memahami luahan penulisan si penulis.
Di akhir bab ini, penulis menerangkan bahawa sesetengah wanita melakukan apa
yang mereka kerjakan itu kadangkala adalah di bawah kawalan minda separa sedar.
Mereka jadi begitu kerana dorongan atau pengaruh mungkin dari sejarah hidup atau
latar belakang sikap dan keadaan keluarganya. Oleh yang demikian, sekiranya ada
pembaca lelaki yang didampingi oleh wanita yang mempunyai ciri-ciri seperti yang
disebutkan, penulis ada meninggalkan beberapa nasihat yang berguna agar
hubungan yang dibina berkekalan ke jinjang pelamin dan ke akhir hayat.

Sememangnya banyak buku-buku motivasi di pasaran yang menyediakan


panduan untuk para ibu bapa dalam mendidik anak-anak menjadi insan yang
cemerlang. Namun begitu, berapa banyak buku yang boleh kita jumpa mengupas
tentang bagaimana mendidik anak-anak istimewa, apa yang dimaksudkan istimewa
di sini bukan anak-anak yang cacat dari segi anggota badan, tetapi dari kecacatan
perkembangan minda yang mana anak-anak ini biasanya disebut sebagai kanak-
kanak lembam. Dalam bab ‘Mengenalpasti Dan Membimbing Kanak-Kanak
Lembam’ penulis menyasarkan penulisannya tidak hanya kepada para ibu bapa,
malah juga kepada masyarakat dan guru-guru disekolah. Sudah pasti kesabaran
yang tinggi diperlukan dalam mendidik anak-anak istimewa ini. Namum begitu tidak
ramai masyarakat di luar sana yang sanggup menggalas tugas dan tanggungjawab
seperti ini. Malah ada yang memandang sinis dan hina kepada anak-anak ini.
kupasan penulis dalam tajuk ini membawa pembaca bagaimana mengenal ciri-ciri
anak-anak istimewa ini, bagaimana kaedah yang terbaik dalam membimbing mereka
dan apakah peranan ibu bapa dan masyarakat dalam membentuk perkembangan
anak-anak istimewa ini. Satu ungkapan yang menarik dalam tajuk ini adalah, “kita
berhak untuk berbangga dengan kejayaan yang kita capai, tetapi kebanggaan itu
tidak untuk disorak-sorakkan hingga tidak menyenangkan hati orang lain”. Dalam erti
kata lain, bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan kita capai, tidak perlu kita
berbangga-bangga dengan kejayaan kita hingga kita dianggap riak dan sombong.
Tidak semua orang bertuah seperti kita, dan kita perlu sedar semua yang perolehi
hari ini adalah dengan izin Yang Maha Esa.

Dalam bab ‘Masalah Remaja Dalam Masa Keremajaannya’, menyentuh isu-


isu permasalahan remaja masa kini. Sememang bab ini ditekankan untuk dibaca
oleh dua golongan utama iaitu golongan remaja dan ibu bapa yang mempunyai anak
remaja. Apakah punca yang menjadikan remaja bersikap liar? Penulis
mengutarakan 8 kriteria yang menjadi penyebab dan juga boleh menjadi pengawal
kepada permasalahan remaja masa kini. Sememang ibu bapa boleh dijadikan
penyebab utama kepada permasalah remaja masa kini kerana telah menjadi
kelaziman dunia zaman sekarang di mana kedua-dua ibu dan bapa berkerja.
Tambahan pula dengan kos sara hidup gaya kehidupan yang semakin meningkat
dan maju, keperluan kewangan menjadi fokus utama kebanyakan ibu bapa sehingga
ada anak-anak yang sedang meningkat dewasa tercicir dari segi kasih sayang dan

3
perhatian. Namun sekiranya anak-anak ini telah dididik dengan jati diri agama dan
disiplin yang mantap dari kecil, sudah pasti mereka tidak akan terpesong dari jalan
kehidupan yang lurus. Di sini penulis memberi penekanan yang sama berat terhadap
ibu bapa dan diri remaja itu sendiri. Amat tidak wajar menyalahkan remaja secara
seratus peratus di atas kesalahan yang mereka lakukan. Mereka perlukan
bimbingan, didikan, sokongan dan contoh ikutan yang baik dari golongan dewasa di
sekeliling mereka. Sesungguhnya, masa depan dan rupa sesebuah negara itu boleh
dilihat dari cerminan atau gambaran golongan remaja dan kanak-kanaknya pada
masa kini. Kerana golongan remaja inilah yang akan mewarisi peribadi dan
tingkahlaku kita di masa hadapan. Bak kata pepatah melayu, melentur buluh biar
dari rebungnya. Jangan sampai nasi menjadi bubur.

Sebuah lagi tajuk yang sangat menarik dalam buku ini ialah ‘Seteguh Mana
Daya Kawal Diri Anda?’. Dalam bab ini penulis mengemukakan beberapa soalan
berserta 4 pilihan jawapan. Ianya seperti satu permainan kuiz. Soalan berbentuk
psikologi uji diri ini menguji sejauh mana kawalan diri seseorang itu dalam membuat
keputusan. Antara contoh soalan yang terdapat dalam bab ini adalah seperti berikut.
Soalan : Seseorang yang tidak begitu anda kenal menyakitkan hati anda atau
menyinggung perasaan anda. Apakah kemungkinan besar reaksi anda terhadap
perbuatan individu tersebut? Pilihan jawapan : A. Perasaan anda marah tetapi
mengambil masa yang lama dan anda terus bersabar dan menyimpan perasaan
marah itu. B. Anda marah dan terus ‘meletup’ pada masa itu juga. C. Anda tidak
mengendahkan individu tersebut dan hanya mengangkat bahu menunjukkan isyarat
anda tidak senang dengan tindakan individu tersebut. D. Anda merancang untuk
membalas atau mengenakan kembali individu tersebut di masa akan datang. Setiap
jawapan yang anda tandakan akan dikumpul dan penulis akan mengajak pembaca
sendiri untuk melakukan analisis tehadap diri sendiri melalui kaedah-kaedah
pengumpulan data. Dengan itu pembaca akan dapat menilai sejauh mana kawalan
yang ada dalam diri pembaca. Penulis membahagikan jenis-jenis kawalan diri
kepada 4 kumpulan iaitu tahap bagus, sederhana, biasa, dan lemah. Oleh yang
demikian, dengan itu kita sama-sama dapat muhasabah diri kita dan memperbaiki
kelemahan yang telah kita kenal pasti. Pastinya dalam diri setiap orang wujud jati diri
yang baik, hanya daya kawalan yang berbeza-beza. Ini adalah kerana pengaruh dan
tekanan dari cara kehidupan harian setiap individu tidak sama. Jika kita
mengamalkan nilai-nilai murni dan patuh pada suruhan agama, sudah pasti
kehidupan kita dan masyarakat disekeliling kita akan berubah menjadi lebih baik.

Sememangnya buku ini amat berbaloi untuk dibaca. Selain gaya penulisan
yang pelbagai, buku ini juga diselitkan dengan beberapa gambar, jadual dan ilustrasi
yang menarik. Ini adalah buku yang akan membuatkan anda ingin mengulang baca
beberapa kali. Kerana beberapa topic atau bab di dalamnya sememang tidak
membosankan dan sangat sesuai untuk dikongsi dan diceritakan kepada anak-anak.
Contohnya artikel atau cerita pendek untuk renungan yang bertajuk ‘Si Jibun
Dengan Ayamnya’, mengisahkan seorang yang buta diberi kesempatan untuk

4
melihat walaupun hanya seketika dan dia amat menghargai apa yang dilihatnya.
walhal apa yang dilihatnya itu hanyalah seekor ayam, tetapi dia sangat gembira.
Banyak nilai-nilai murni yang diselitkan dalam cerita-cerita pendek di penghujung
buku ini. Tidak rugi meluangkan masa untuk menghabiskan bacaan 191 halaman
yang dicetak dalam buku kecil ini. Semoga anda juga mendapat kebaikan setelah
membaca buku ini. Saya akhiri ulasan saya dengan meminjam ayat di helaian
terakhir dari buku ini. Ayatnya berbunyi, ‘USAHA DAN HASIL SATU-SATU
KEJAYAAN HANYA MEMBAWA MANFAAT YANG MULIA JIKA DITUNJANGI
DENGAN AKHLAK YANG TERPUJI. Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai