Anda di halaman 1dari 2

BUDAYA SEKOLAH : MEWUJUDKAN IKLIM SEKOLAH YANG POSITIF

IKLIM & PERSEKITARAN SEKOLAH

Sudah menjadi fitrah setiap manusia yang cinta akan sesuatu yang cantik, bersih dan ceria. Begitulah juga
dengan pelajar-pelajar sekolah yang memerlukan persekitaran sekolah yang baik bagi merangsang pembentukan
jiwa yang tenang dan aman dalam menimba ilmu pengetahuan. Jadi tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan
sekolah amat menekankan aspek iklim dan persekitaran sekolah yang baik. Mana mungkin pelajar dapat belajar
dengan tenteram sekiranya persekitaran sekolahnya kucar kacir, kotor, berbau dan bising. Di tambah pula dengan
hubungan antara pelajar dengan guru yang sentiasa tegang, guru yang tidak mesra, sikap pelajar yang nakal dan
suka bergaduh. Hal ini boleh menyumbang ke arah pemerosotan prestasi pelajar, masalah ponteng dan disiplin
pelajar yang sukar untuk dibendung kesan daripada iklim dan persekitaran sekolah yang negatif. Pusat
Perkembangan Kurikulum (1981) mendefinisikan ‘iklim sekolah sebagai suasana sekolah yang baik di mana
keadaan persekitarannya dirasakan selesa, tenteram, mesra, riang dengan pembelajaran yang lancar’. Sebuah
sekolah boleh mengalami iklim positif dan negatif (Smith, 1995). Pada kebiasaanya, sebuah sekolah yang
iklimnya dianggap positif mempunyai ciri-ciri fizikal sekolah yang bersih dan menarik, hubungan sosial yang
baik antara semua warga sekolah serta suasana kerja yang produktif. Manakala iklim negatif atau tertutup
lazimnya mempunyai keadaan sekolah yang kucar-kacir, kurang selamat, tidak tenteram dan teratur, malah
sering menghadapi konflik dan masalah disiplin (Mok Soon Sang, 2003).

            Usaha untuk mewujudkan suatu iklim yang sihat amat penting dalam membina sekolah yang berkesan.
Salah satu aspek penting dalam iklim persekolahan adalah faktor keceriaan. Menurut Kamus Dewan, ceria dapat
diertikan sebagai sesuatu yang cantik, bersih, suci dan murni dalam sesuatu ruang atau kawasan tertentu.
Manakala menceriakan bermaksud menjadikan sesuatu ruang atau kawasan tertentu kelihatan ceria, bersih, dan
cantik dengan mengindahkannya, memurnikan, menyucikan serta mendidik dan memelihara. Oleh hal yang
demikian, semua warga sekolah patut berganding bahu dalam mewujudkan iklim sekolah yang positif dengan
mengindahkan kawasan sekolah seperti menanam pokok-pokok bunga, memelihara kebersihan, melukis mural
yang sesuai serta menghiasi bilik darjah dengan pelbagai bahan pengajaran yang menarik (Abdullah Sani bin
Yahya, 2007). Sekiranya keceriaan sekolah tidak dijaga, hal ini akan mewujudkan suasana sekolah yang ‘mati’
dan membosankan apabila kita menjejakkan kaki ke kawasan sekolah tersebut. Dengan keadaan sekolah yang
tidak teratur, rumput-rumput tumbuh meliar dan panjang, kereta dan basikal yang tidak tersusun, bilik darjah,
tandas dan makmal yang kotor, cermin-cermin tingkap yang penuh dengan debu, longkang yang tersumbat dan
berbau busuk serta kawasan sekolah yang penuh dengan sampah sarap. Iklim sekolah yang sebegini akan
mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah seterusnya menggambarkan bagaimana sikap dan
budaya negatif warga sekolah tersebut.

            Pada amnya, iklim dan persekitaran sekolah akan membawa pengaruh yang penting terhadap
pembentukan tingkah laku, imej mental, aspirasi dan interaksi sosial bagi anggota-anggota di dalamnya
(Abdullah Sani bin Yahya, 2007).  Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa sekolah yang berpencapaiaan
tinggi mempunyai tahap keceriaan yang lebih baik berbanding sekolah yang persekitarannya kurang ceria (Mohd
Redzauddin bin Ismail, 2008). Oleh hal yang demikian, suasana dan iklim sekolah adalah amat penting dalam
membantu pelajar untuk belajar dengan tenteram dan selesa. Selain itu, apabila kawasan persekitaran sekolah
yang cantik dan ceria, pelajar tidak akan jemu untuk hadir ke sekolah lagi kerana merasa bahagia berada di
kawasan sekolah. Hal ini bukan sahaja dapat mengelakkan masalah ponteng sekolah dalam kalangan pelajar
malah masalah disiplin pelajar dapat dikurangkan kerana emosi pelajar tidak terganggu. Dalam masa yang sama,
sesebuah sekolah yang cantik dan menarik pasti akan mendapat pujian daripada pelbagai pihak terutamanya ibu
bapa pelajar yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Mereka akan bertambah yakin dengan pihak
pentadbiran sekolah yang mampu mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi membantu proses
pembelajaran anak-anak mereka.

            Sememangnya sudah menjadi impian untuk setiap warga sekolah untuk menjadikan sekolah masing-
masing yang terbaik di antara yang terbaik. Tetapi tidak dinafikan terdapat halangan-halangan tertentu dalam
merealisasikan hasrat tersebut. Salah satu halangan tehadap melaksanakan sesuatu projek keceriaan biasanya
timbul daripada masalah kewangan. Dalam hal ini, semua pihak patut bekerjasama termasuklah, pengetua, guru-
guru, staf-staf sekolah, para pelajar dan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pihak sekolah perlu
berusaha mencari penaja, pelajar pula boleh menjalankan kutipan derma melalui program-program tertentu,
guru-guru pula membantu para pelajar menjalankan program-program amal. Selain itu, gotong-royong secara
berkala, pertandingan keceriaan kelas, membersihkan kawasan sekolah 5 minit sebelum kelas bermula, mampu
memastikan kebersihan dan keceriaan kelas di tahap yang baik. Kadang kala halangan untuk mewujudkan
budaya cinta akan kebersihan dan keceriaan sekolah adalah berpunca daripada segelintir guru dan para pelajar
yang enggan memberikan kerjasama. Oleh itu, sikap dan gaya kepimpinan pihak pengurusan sekolah yang
berwibawa seharusnya mampu menangani halangan ini dengan sebaiknya. Sekiranya iklim dan persekitaran
sekolah dalam keadaan yang bersih dan ceria, sudah pasti motivasi dan prestasi pelajar dapat ditingkatkan ke
tahap yang optimum seterusnya mewujudkan budaya sekolah yang positif

Anda mungkin juga menyukai