Anda di halaman 1dari 4

TAZKIRAH SUBUH

- Alhamdulillah sudah ramai mula bertanya tentang agama

- bertanya pada soal agama adalah suatu yang sangat penting

Ilmu pengetahuan adalah sesuatu perkara yang sangat dititikberatkan oleh agama Islam,
sehinggakan nabī kita pernah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī dan Muslim,
ḥadīth ini diletakkan oleh al-Bukhārī di bawah bab “Ilmu pengetahuan sebelum bercakap dan
beramal”, baginda bersabda:

“Sesiapa yang menempuh satu jalan daripada jalan-jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan
memudahkan jalan ke syurga baginya.” (Ḥadīth riwayat al-Bukhārī dan Muslim)

Justeru, syurga adalah suatu berita gembira buat mereka yang benar-benar cinta kepada ilmu
pengetahuan dan bersedia berkorban jiwa dan raga, harta dan masa, siang dan malam bagi
memastikan diri memperoleh kebaikkan yang banyak daripada ilmu pengetahuan yang
dipelajari, seperti mana Allah subhānahu wataalā pernah berfirman di dalam surah al-Baqarah
ayat 269:

ِ ‫ُوﰐ َﺧْﻴـﺮا َﻛﺜِﲑا وﻣﺎ ﻳ ﱠﺬ ﱠﻛﺮ إِﱠﻻ أُوﻟُﻮ ْاﻷَﻟْﺒ‬ ِ ‫اﳊِ ْﻜﻤﺔَ ﻣﻦ ﻳ َﺸﺎء وﻣﻦ ﻳـ ْﺆ‬
‫ﺎب‬َ ِ َ ُ ْ َ َ ُ َ ْ َ َ ْ ‫ﻳـُ ْﺆِﰐ‬
ُ َ َ َ ً ً َ ‫ت ا ْﳊ ْﻜ َﻤﺔَ ﻓَـ َﻘ ْﺪ أ‬
“Allah memberikan kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sesiapa yang diberikan
kebijaksanaan itu maka sesungguhNya dia telah diberikan kebaikkan yang banyak. Tiadalah yang
mengambil pengajaran ini melainkan orang-orang yang berakal sempurna.”

Bertanya adalah kunci utama kepada ilmu pengetahuan. Amalan bertanya bukan lagi suatu
pilihan buat kita sebagai seorang muslim, bahkan ia adalah sesuatu yang wajib terutamanya
dalam situasi kita dalam keadaan yang jahil atau tidak mengetahui. Petikan ḥadīth yang
diriwayatkan oleh Abū Dāwūd mampu menjadi pengajaran kepada kita iaitu sahabat nabī Ibn
Abbās radiya Allah anhumā pernah berkata :

Pernah suatu ketika dahulu pernah seorang lelaki (sahabat) tercedera pada zaman Rasūlullah sallā
Allah alayh wassalam. (sebelumnya) dia telah bermimpi sehingga dia berada dalam keadaan
berhadas besar. Maka diperintahkan untuk dimandikannya, sehingga hal itu menyebabkan
kepada kematiannya. Berita ini telah sampai kepada Rasūlullah sallā Allah alayh wassalam,
baginda bersabda: “mereka telah membunuhnya, semoga Allah membunuh mereka pula,
bukankah penawar kepada kebodohan itu ialah dengan bertanya.

Mengelakkan diri dari bertanya apabila tidak mengetahui menyebabkan timbul keburukkan yang
lebih besar, tambahan pula tindakan yang dipilih atau amalan yang dibuat tidak berlandaskan ilmu
pengetahuan sebagai dasar utama. Allah subhānah wa taālā berfirman di dalam surah al-Naḥl,
ayat 43:

‫ﺎﺳﺄَﻟُﻮا أ َْﻫ َﻞ اﻟ ِّﺬ ْﻛ ِﺮ إِ ْن ُﻛْﻨـﺘُ ْﻢ َﻻ ﺗَـ ْﻌﻠَ ُﻤﻮ َن‬


ْ َ‫ﻓ‬
Bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan sekiranya kamu tidak mengetahui.

Bertanya adalah suatu amalan terpuji di sisi Islam, wanita pada zaman Rasūlullah sallā Allah
alayh wassalam terutamanya dalam kalangan wanita Anṣār (penghuni asal kota Madinah)
mendapat pujian khusus dari Umm al-Mu’minin Ā’ishah radiyaAllah anhā apabila mereka
berani mengajukan soalan berkenaan tatacara mandi wajib kepada baginda nabi sallā Allah
alayhi wassalam meskipun sifat wanita pada asalnya adalah sangat pemalu. Ā’ishah radiyaAllah
anha berkata selepas melihat peristiwa tersebut seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhārī:

Sebaik-baik wanita adalah wanita Anṣār, malu tidak menghalang mereka sama sekali untuk
mendalami ilmu agama.

Justeru, malu tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kita daripada mendapatkan ilmu
dengan bertanya lebih-lebih lagi dalam kalangan kita lelaki-lelaki muslim. Hal ini ditegaskan lagi
oleh seorang ilmuwan berkaliber atau ulāmā’ yang faqīh dalam bidang tafsir, fiqh dan juga
merupakan salah seorang perawi ḥadīth iaitu Mujāhid Ibn Jabr, beliau berkata seperti yang
diriwayatkan oleh al-Bukhārī:

Tidak dipelajari sesuatupun daripada ilmu orang yang malu dan bongkak.

Sekiranya kita malu juga bertanya, maka usahakanlah dan jangan malu untuk meminta kenalan
atau sahabat membantu kita untuk bertanya kepada orang yang lebih mengetahui iaitu
sekurang-kurangnya terdapat usaha untuk menghilangkan sebarang keraguan dan kejahilan.
Hal ini terjadi kepada Alī Ibn Abī Tālib radiya Allah anh seperti yang diriwayatkan di dalam al-
Bukhārī di bawah bab “sesiapa yang malu bertanya, maka diarahkan kepada orang lain
mengajukan soalan”, Alī radiya Allah anh berkata:

Aku adalah seorang lelaki yang mudah terkeluar air mazi, lalu aku meminta Miqdād Ibn al-Aswad
untuk bertanya hal itu kepada Nabī dan baginda pertanyaan itu.

Justeru tiada alasan lagi untuk kita membiarkan diri dalam keadaan kejahilan dan keraguan,
melainkan terus menerus menghampirkan diri dan meningkatkan minat mempelajari ilmu
dengan bertanya. Kebosanan dan kemalasan ilmu dapat diatasi dengan amalan bertanya dan
menguasai perasaan malu dalam bertanya. Direkodkan oleh Ibn Abd al-Bār di dalam kitabya
Jāmi’ Bayan al-Ilm Wa Fadhluh, Abdullah Ibn Mas’ud radiyaAllah anhumā iaitu seorang sahabat
nabī berkata:
Bertambahnya ilmu kepada orang yang benar-benar dahagakan ilmu pengetahuan. Dia mendapat
ilmu dengan sebab dia bertanya. Dia menjadi tahu apa yang dia tidak tahu dan amalan yang
dilakukan berdasarkan ilmunya.

Adapun begitu, bertanya mempunyai adab-adabnya di dalam ajaran Islam. Perlulah kita
mematuhi adab-adab tersebut ketika mengajukan pertanyaan. Antara perkara utama yang perlu
dititikberatkan oleh orang yang bertanya ialah dengan memilih waktu yang sesuai untuk bertanya
agar soalan yang diajukan tidak menyebabkan orang yang ditanya atau guru yang ditanya merasa
tergangu dan terbeban dengan soalan yang ditanyakan. Adab-adab ini dapat dipelajari seperti
yang diperkatakan oleh Ibn Abbās sahabat nabī di dalam kitāb al-Jāmi’ al-Adāb al-Rāwī karangan
al-Khatib al-Baghdādī, beliau berkata:

Sekiranya aku ingin berjumpa dengan salah seorang daripada sahabat nabī, sekiranya aku
mendapati dia tidur aku tidak akan mengejutkannya, sekiranya aku mendapati dia muram aku
tidak menanyakan kepadanya soalan, dan ketika aku mendapati dia sedang sibuk aku juga tidak
menanyakan kepadanya soalan.

Begitu juga menjadi adab bagi orang yang bertanya untuk meringkaskan atau memudahkan
soalan yang ditanyakan. Orang yang bertanya perlu mengelakkan daripada mengajukan soalan
yang meleret panjang atau soalan yang menggunakan bahasa yang sukar difahami. Bahkan perlu
kita ketahui, meskipun kita sebagai muslim wajib untuk bertanya tetapi bagi orang yang ditanya
atau guru yang ditanya, mereka mempunyai hak untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan
atas alasan-alasan tertentu. Alī Ibn Abī Ṭalib radiya Allah anh sahabat nabi berkata, hal ini
direkodkan di dalam kitāb Jami’ Bayan al-Ilm Wa al-Fadhl:

Menjadi suatu hak bagi seseorang ilmuwan untuk tidak diajukan dengan terlalu banyak
pertanyaan-pertanyaan, dia juga tidak diberatkan dengan keperluan untuk menjawab
pertanyaan-pertanyaan itu. Perkara ini juga menjadi suatu amalan yang dilakukan oleh ilmuwan-
ilmuwan besar Islam selepas kewafatan para sahabat, hal ini dapat dilihat daripada respon Imām
al-Mālik ketika beliau ditanyakan dengan pertanyaan-pertanyaan, seperti yang direkodkan di
dalam kitāb Siyar A’lam al-Nubalā’ karangan al-Dhahabī:

Aku mendengar bahawa Mālik ditanyakan dengan 48 persoalan, beliau menjawab kepada 32
soalan yang diajukan itu dengan hanya perkataan: “Aku tidak tahu”.

Justeru, kita perlulah mengambil pertimbangan sewajarnya ketika bertanyakan soalan agar soalan
yang diajukan kita itu tidak dalam bentuk desakan atau paksaan. Rasūlullah sallā Allah alayhi
wassalam bersabda seperti yang direkodkan oleh al-Bukhārī di bawah bab “tidak meminta kepada
manusia dalam keadaan mendesak”, baginda bersabda:

Sesungguhnya Allah akan membenci tiga perkara dalam kalangan kamu iaitu menyampaikan
setiap apa yang didengarinya (tanpa usul periksa), mengsia-siakan harta, dan banyak bertanya.
Para ilmuwan mentafsirkan ‘banyak bertanya’ di sini ialah dengan banyaknya bertanya hal-hal
yang tidak bermanfaat, hal-hal yang tidak dihajatkan, terlalu bertanyakan tentang perincian hal-
hal ghaib yang tidak mampu dicapai oleh akal fikiran, bertanya tentang perincian ayat-ayat
mutashābihāt, bertanya sesuatu hukum yang didiamkan di dalam al-Qurān (khususnya pada
ketika zaman wahyu masih diturunkan), atau bertanya tentang hal-hal mu’jizat nabi bagi tujuan
mempersendakan atau mencabar nabi (khususnya pada zaman masih hidupnya Nabī).

Marilah kita mengambil beberapa kesimpulan daripada tazkirah kita pada pagi ini

1. Bertanya atau meminta orang lain bertanyakan soalan sekiranya kita tidak mengetahui.
2. Orang yang ditanyakan soalan tidak seharusnya menjawab segala soalan yang diajukan
kepadanya sekiranya terdapat soalan yang tidak dia ketahui.
3. Menjaga adab atau etika ketika mengajukan soalan-soalan kepada guru dengan melihat
masa yang sesuai untuk bertanya.
4. Tidak bertanyakan soalan yang tidak membawa sebarang manfaat di dunia dan di
akhirat atau soalan yang tidak membawa kepada penambahan pahala.
5. Tidak bertanyakan soalan untuk tujuan melaga-lagakan sesama guru atau dengan tujuan
merendahkan atau menghina orang-orang beriman yang lain.

Anda mungkin juga menyukai