Anda di halaman 1dari 48

Allah Sayangkan Kita: Allah Mahu kita

ke Syurga

Oleh Siti Awan


Dedikasi 3

Salam Perkenalan 4

Pengenalan - Semasa Kecil 6


Kasih Sayang Mei dan Phoa 7
Mei Yang Penyayang 8
Phoa: Ayah Tanpa Suara 9
Yai Khampeng - Nenek Penyayang Yang Sangat Garang 11
Detik matinya Mei 12
Menjadi Sebatang Kara 14

Tercampak Ke Dunia Luar 15


Daftar Sekolah Kerana Terpaksa 16
Yai Hat Buat Dengki 17
Menyeludup Bekalan 18
Diselamatkan oleh Seorang Gila 20
Mendapat Keluarga Baru 22
Bersama Keluarga Muslm 24
Berpindah Ke Langkawi,malaysia 25
Hidayah Mengetuk Hati 25
Bahagia dan Ujian di Bumi Langkawi 26

Terlalai dengan Cinta Monyet 26


Diselamatkan Dari Cubaan Membunuh Diri 27
Diselamatkan Dari Cubaan Kedua Membunuh Diri 28
Hidayah Mengetuk Lagi 29
Tinggal Bersama Keluarga Tokwan 32
Kembali ke Yala 32
Perkahwinan di Yala 33
Hidayah Mengetuk Lagi 36
Memulakan Kehidupan Berdikari 39
Kembali ke yai hat 40

Pesanan Kepada Sahabat 41

Tamat di sini 43

1
2
Dedikasi

Buku ini sebagai kenangan terhadap Mei dan Phoa yang


sudah tiada di dunia ini.
Buku ini didedikasikan untuk suami, anak-anak;
tidak lupa juga, sahabat-sahabat yang banyak
mengingatkan saya mengenai kekuasaan dan kebesaran
Allah.

ALLAH sayangkan kita


ALLAH mahu kita ke syurga
Kita diuji pelbagai peristiwa suka, duka, bercinta, berkasih.
Namun cinta abadi adalah milik Allah.

Semoga Allah mengizinkan kita berjumpa di syurga kelak,


dengan RahmatNya

3
Salam Perkenalan
Assalamualaikum sahabat.

Nama saya Siti Awan Abdullah. Saya telah memeluk Islam pada umur 18 tahun lebih, iaitu 27
tahun yang lalu. (Sekarang saya berumur 45 tahun, dalam tahun 2019)

Tujuan saya menulis buku ini adalah untuk memberi semangat kepada sahabat yang diuji
dengan pelbagai ujian kehidupan, dan mungkin pernah timbul persoalan; “Adakah Allah tidak
sayang kepada saya?”

Pada satu masa dahulu, saya sering mempunyai fikiran dan perasaan sedemikian, terutama
selepas saya baru-baru memeluk Islam. Terkejut saya menghadapi cabaran yang datang
sebaik saja saya memeluk Islam.

Sebenarnya, hidup saya sebelum memeluk Islam jauh lebih derita. Namun, pada masa
tersebut, tidak ada dalam minda saya konsep mengenai ketuhanan. Maka segala nikmat dan
derita yang saya alami tidak dikaitkan dengan Tuhan. Selepas memeluk Islam dan mengenali
Allah, saya masih belum mengenali sifat dan cara kerja Allah sepenuhnya. Ini membuatkan
saya kerap merasa kecewa setiap kali rebah menghadapi ujian. Pada masa tersebut, saya
memikirkan bahawa Allah tidak sayang kepada saya, setiap kali saya merasakan sebarang
kesusahan.

Semasa saya berdoa pada masa tersebut, saya sering melafazkan kata-kata; “Ya Allah,
seandai engkau wujud, berikan aku ini, ini dan ini”; seolah-olah mencabar Allah untuk
membuktikan kewujudan diri; seolah-olah saya menggertak untuk merajuk andai Allah tidak
membantu saya dengan segera.

Setelah banyak melalui bimbingan agama dari guru dan sahabat, alhamdulillah, saya
dianugerahkan kefahaman yang lebih tepat mengenai Allah dan mampu melihat kebaikan dari
setiap peristiwa yang dipilih oleh Allah untuk diri saya.

Apabila mengenang kembali pemikiran zaman awal kefahaman saya, saya akan merasa insaf
dan bertaubat kepada Allah, semoga Allah akan mengampunkan kesalahan fikiran dan
kefahaman saya yang lalu dan sentiasa memberi petunjuk kepada saya seumur hayat.

Saya berharapkan perkongsian ini akan mencetus hati sahabat untuk lebih dekat kepada Allah
dengan meyakini bahawa dalam semua pilihan situasi hidup yang Allah berikan kepada kita,

4
hakikatnya, Allah melakukannya dengan penuh kasih sayang, dan sentiasa Allah lakukan
dengan tujuan untuk mendorong kita layak ke syurga kelak.

5
Pengenalan - Semasa Kecil
Nama saya Laddawan anak perempuan Watchanasawat. Semasa kecil, saya dipanggil Da atau
Ladda. Saya dilahirkan pada tahun 1975 di sebuah kampung bernamaTapuitok, jauh di
pedalaman Thailand. Saya dilahirkan di klinik desa disebabkan ibu mengandung songsang dan
tidak boleh dilahirkan di rumah seperti orang lain. Pada masa ini, kebanyakan masyarakat
masih mengamalkan bersalin menggunakan bidan untuk menyambut bayi di rumah masing-
masing. Andai hanya ada kompilasi bersalin seperti anak kembar, songsang dan beberapa
kompilasi yang kritikal bagi seorang ibu, maka mereka akan dihantar bersalin di klinik desa.

Suasana perkampungan ketika saya kecil adalah nyaman dan selesa. Masyarakat di kampung
saya baik dan sentiasa bekerja keras. Bagi yang mempunyai tanah yang luas, mereka akan
bertani dan ada juga yang mengusahakan sawah padi. Bagi yang tidak mempunyai tanah yang
luas, seperti keluarga saya, ayah saya akan berusaha mencari nafkah dengan membuat kerja-
kerja lain seperti menangkap ikan dan menjadi tukang cuci di pejabat jabatan kerajaan.

Rumah saya ketika itu adalah sebuah rumah yang dibina dengan kayu jati, beratap rumbia,
sederhana dan selesa. Rumah ini mempunyai satu bilik sahaja, yang bertujuan untuk
menyimpan barang makanan asas seperti beras, makanan yang bermusim dan tahan lama
seperti labu. Selain itu, bilik ini juga dibuat tempat simpanan untuk barang-barang keperluan
lain seperti tilam, bantal dan selimut tebal yang mana pada musim sejuk baru akan digunakan.
Kami semua tidur di ruang luar beramai-ramai. Sebelum tidur, Mei akan membawa keluar lemek
dan bantal, dan di sebelah pagi, beliau akan menyimpankan kembali dalam bilik

Musim sejuk biasanya berlaku pada awal bulan Disember sehingga akhir bulan Mac. Pada
waktu itu, malam tersangatlah sejuk dan sehingga embun boleh membeku. Selalunya musim
sejuk kemuncak dalam bulan Januari dan Februari. Ketika itu siang juga sejuk, dan suasana
dingin seakan-akan mendung hari hujan. Para pekerja akan keluar bekerja dengan memakai
baju yang tebal untuk menangani cuaca yang sejuk.

Pada malam hari, api akan dinyalakan dalam besen yang dibuat dari aluminium atau besi.
Besen ini dimasukkan tanah liat dan dihidupkan api di atasnya, dan kami akan mengelilingi
besen tersebut untuk mendapatkan haba panas itu. Sambil memanaskan badan, kami juga
akan memasak makanan di atasnya seperti ubi atau jagung bakar.

Rumah kami terletak berdekatan dengan sungai, beberapa langkah sahaja dari halaman, terus
sampai ke sungai. Sungai tersebut besar dan mempunyai jambatan untuk ke seberang sungai.
Air sungai jernih sehingga kita boleh nampak dengan jelas ikan atau udang dalamnya. Ia sangat
cantik.

6
Sekolah di sana cuti pada Sabtu dan Ahad. Pada hari cuti, saya dan kawan-kawan sekampung
akan terjun ke sungai kerana pada waktu tersebut, air hanya separas lutut. Ini adalah kerana
‘khern’, iaitu pintu kunci air akan ditutup. Saya suka menjala udang galah dalam sungai dengan
menangguk menggunakan jaring buatan sendiri. Saya mengambil dawai dan membulatkan
dawai tersebut dan dijahit kain perca disekelilingnya sehingga menjadi seumpama penapis teh,
digunakan untuk menangguk udang galah. Selalunya saya direzekikan mendapat udang
sehingga penuh besen. Selesai menangguk di sungai, saya akan membawa balik ke rumah dan
menggoreng sendiri dengan tepung yang dibancuh bersama sedikit garam. Itulah makanan
kegemaran saya yang seronok kerana boleh diusahakan sendiri.

Kasih Sayang Mei dan Phoa


Saat-saat indah yang segar dalam ingatan saya ketika saya bersama ibubapa saya yang
dipanggil Mei dan Phoa. Boleh saya katakan itulah detik pengalaman yang paling bahagia
dalam hidup saya. Saya tinggal bersama Mei, Phoa, dan juga seorang nenek yang dipanggil
Yai.

Saya dimanjakan dan dibelai dengan penuh kasih sayang oleh Phoa dan Mei. Detik-detik
persekolahan saya lalui dengan bahagia. Hari demi hari bersama Mei dan Phoa pada waktu
kecil saya membuatkan saya mengingati jasa mereka yang mendidik saya sehingga saya
mengenal dunia ini. Walaupun tidak lama bersama mereka, hari-hari bersama itu mendidik saya
menjadi seorang yang penyayang dan berdikari sehingga sekarang.

Setiap pagi Phoa akan menghantar saya ke sekolah dengan satu-satunya kenderaan yang
Phoa ada, kenderaan itulah yang berkhidmat untuk kami bertiga, iaitu basikal Phoa. Phoa akan
hantar saya ke sekolah dengan basikal itu walaupun sekolah saya tidaklah jauh dari rumah.

Setiap pukul 11.30 pagi; ketika waktu rehat, Phoa akan datang sekolah saya untuk melihat
keadaan saya. Jika Phoa mendapat wang hasil jualan ikan pada hari itu, Phoa akan memberi
wang 5 baht (anggaran duit malaysia 50 sen) kepada saya sebagai belanja pada hari itu.
Dapatlah saya membeli makanan di kantin sekolah, seperti aitim (aiskrim), makanan ringan,
nasi, atau mee goreng. Pada masa itu, mee goreng hanya berharga 5 baht.

Itulah saat-saat indah yang saya ingat ketika saya bersama Mei dan Phoa.

Mei Yang Penyayang


Seingat saya, Mei seorang pendiam tidak banyak cakap. Kulitnya cantik, berwarna putih kuning
langsat, memiliki mata yang bulat dan berbulu mata lebat, dan anak matanya berwarna coklat.

7
Mei memiliki rambut panjang berwarna hitam dan berkilat. Bibirnya nipis, dan selalu tersenyum
kepada saya. Mei seorang yang sangat penyayang.

Mei tidak suka duduk berdiam diri. Dalam ingatan saya, ada sahaja pekerjaan yang akan Mei
buat di sekitar rumah. Saya masih ingat kuih-muih yang Mei sediakan, semuanya sedap belaka!
Bila ada saja masa terluang, Mei akan berehat sambil membaca buku, atau mengait benang.
Sikap membaca Mei buat saya juga suka membaca sehingga sekarang.

Mei sangat menyayangi saya dan sentiasa memanjakan saya. Setiap petang selepas saya
pulang dari sekolah, saya akan meletakkan kepala saya di atas riba Mei dan Mei akan
menggosok-gosok kepala saya dengan penuh kasih sayang.

Setiap hujung minggu, Mei akan bawa saya ke sungai untuk mencuci rambut saya yang
panjang, dan juga untuk menggosok daki di seluruh tubuh saya, di leher dan juga di kaki.
Selepas selesai mandi dan siap berpakaian, saya akan meletakkan kepala saya di atas ribanya.
Kemudian Mei membersihkan sekeliling cuping telinga dan mengorek dalam telinga saya.
Selepas selesai membersih telinga, barulah Mei akan mendandan rambut saya dengan
mengunakan bunga-bunga segar dari halaman rumah.

Apabila pulang dari sekolah, Mei sudah pun menunggu kepulangan saya di depan pintu rumah.
Saya akan disapa dengan soalan Mei yang penuh kasih sayang apabila saya sudah berada
berhadapan dengan Mei.

“Bagaimana hari ini Ladda, penat ke nak?” Sambil Mei menggosok-gosok kepala saya. Saya
akan membalas dengan menguntum senyuman kepadanya dan mengeleng-geleng kepala.
Selepas itu Mei akan sediakan kuih kesukaan saya, saya makan dengan selera sekali ditemani
Mei.

Kuih buatan Mei ini sentiasa segar dalam ingatan saya. Mei buatkan kuih itu dari tepung pulut
yang dicampur dengan air dan garam lalu Mei uli tepung tersebut. Selepas itu, Mei akan jadikan
tepung yang sudah diuli tadi menjadi bebola kecil, kemudian dileperkan supaya senang untuk
diletak inti dalam tepung tersebut. Intinya Mei buatkan dari kacang berwarna kuning yang ada
rasa masin-masin. Selepas itu, Mei tutupkan inti dengan menguli kuih tersebut, dan akhirnya
Mei gorengkan dalam minyak panas sehingga masak dan ditoskan kuih tersebut. Selepas itu
Mei letakkan kuali lain dan menggoreng air gula sehingga kering dan masukkan kuih tadi
dikacau sehingga sebati dengan air gula tersebut. Setelah selesai, terus saya makan dengan
bahagianya

Ketika umur saya dalam enam atau tujuh tahun, Mei selalu mengajarkan saya masak dan
mengait benang. Mei mengajarkan saya juga cara hendak menyiang ikan, memotong sayur,
dan cara hendak membuat gengsom (asam pedas) ikan. Dalam masa yang lain, Mei mengajar
membuat geng krati' (gulai santan) samada daging atau ayam, dan kadang-kadang juga gulai

8
ikan. Mei akan memberitahu bahan-bahan untuk ditumbuk, dan Mei akan membiarkan saya
menumbuk sehingga lumat, kemudian saya akan memasukkannya ke dalam periuk di bawah
pantauan Mei. Walau bagaimanapun, seingat saya, gulai saya tidak menjadi sesedap seperti
masakan Mei. sehingga kini, saya masih rindukan masakan Mei.

Begitu juga ketika Mei mengajar saya mengait benang. Mei memang pandai mengait benang
sehingga menjadi cadar yang besar dan sarung bantal. Saya masih ingat satu baju gaun
kegemaran saya yang Mei telah kait sendiri. Pada masa itu, saya sendiri hanya mampu mengait
benang menjadi tali yang panjang, tidaklah sehingga menjadi bunga atau corak-corak yang
cantik seperti Mei.
Saya hanya melakukannya sebagai permainan yang menyeronokkan sahaja.

Phoa: Ayah Tanpa Suara


Masa saya umur enam hingga tujuh tahun, Phoa sering membawa saya pergi ke sungai untuk
menahan pukat menangkap ikan untuk dijual di pasar. Suatu hari Phoa berjaya menangkap
seekor kura-kura besar, dan berhajat untuk menjualnya di pasar keesokan paginya.

Apabila saya memandang kura-kura tersebut, lahir perasaan belas kasihan terhadap kura-kura
besar tersebut.

“Bagaimana jika aku yang tertangkap seperti kura-kura itu?” Fikir saya pada masa tersebut.
Maka saya merasakan perlu melakukan sesuatu untuk menyelamatkan kura-kura itu.

Pada malam itu juga, saya nekad untuk melepaskan kura-kura itu. Saya mengheret tubuhnya
yang besar itu ke sungai dengan sekuat tenaga. Akhirnya sampai juga kami di sungai, dengan
sedikit tenaga yang berbaki, saya berjaya menolaknya ke dalam sungai. Termengah-mengah
saya kembali ke rumah, dan pada malam itu saya tidur dengan keletihan.

Keesokan harinya, Phoa marah-marah apabila kura-kura besarnya tidak ada dalam sangkar.
Saya memberitahu Phoa bahawa saya telah kembalikannya ke rumahnya. Akibatnya Phoa
bertambah marah dan bertindak merotan saya. Itulah satu-satunya peristiwa saya pernah
dipukul oleh Phoa.

Pada masa tersebut, saya belum lagi pandai berfikir mengenai kesusahan mencari nafkah.
Phoa dan Mei bertanggungjawab ke atas kami bertiga dan juga Yai. Tugas saya pada masa
tersebut hanyalah bermain dan menjaga agar tidak dimarahi oleh Mei, Phoa dan Yai. Belum
ada pada masa tersebut konsep mengenai entiti tuhan sebagai pencipta, pemilik dan penjaga
kita, atau keperluan untuk patuh kepada peraturan tuhan.

9
Phoa ditakdirkan bisu dan pekak sejak lahir, dia tidak boleh menuturkan kata seperti ayah lain.
Namun dia tetap menunjukkan kasih sayangnya dengan usikan yang unik. Phoa seorang yang
suka bergurau dan mengusik. Kadang-kadang Phoa sembunyikan ulam yang amat pahit dalam
nasi saya. Apabila saya makan nasi dan tergigit ulam pahit tersebut, Phoa akan ketawa melihat
reaksi saya. Seingat saya, ketawa Phoa tanpa suara, hanya sekadar getaran tubuh. Walaupun
saya merajuk dengan usikan Phoa, itulah kemesraan unik yang menimbulkan kasih sayang
antara anak dan ayah.

Untuk saya berbicara dengan Phoa, saya mengunakan bahasa isyarat tangan. Pada waktu itu,
saya tidak pasti bagaimana saya dapat menggunakan bahasa isyarat dengan Phoa. Mungkin
saya belajar secara tidak langsung dari penggunaan bahasa isyarat Mei dengan Phoa.

Pernah Mei ceritakan kepada saya satu peristiwa yang berlaku semasa saya berumur setahun
lebih. Peristiwa inilah yang menjadi bahan usikan Phoa terhadap saya.

Cerita Mei, semasa saya berumur setahun lebih, di suatu petang menghampiri senja, Mei telah
meninggalkan saya dengan Phoa di waktu itu, menziarahi orang sakit. Tiba-tiba saya telah
hilang dari pandangan Phoa.

Phoa menjadi risau dan mencari saya merata-rata, malahan Phoa tidak dapat memanggil saya
atau mendengar suara saya, pastilah Phoa bertambah risau. Akhirnya Phoa telah menjumpai
saya di bawah tangga rumah sedang menangis sehingga ternampak dua batang gigi. Cerita itu
menjadi usikan Phoa kepada saya kerana Phoa menjumpai saya di dalam gelap hanya kerana
dua batang gigi depan saya yang berwarna putih.

Terdapat satu peristiwa yang membuatkan saya amat menyayangi Phoa memandangkan
betapa besarnya pengorbanan Phoa terhadap saya. Pada satu masa itu, saya demam yang
sangat teruk sehingga saya tidak mampu berjalan dan tiada tenaga untuk membonceng
dibelakang basikal Phoa. Pada masa itu, keadaan memang sangat susah sehinggakan Phoa
tidak boleh dapatkan kenderaan untuk pergi ke hospital yang jauh hampir tiga kilometer. Oleh
kerana saya sangat lemah dan tidak mampu duduk di belakang basikal, Phoa terpaksa
membawa saya ke hospital dengan menanggung saya atas bahunya dan berjalan kaki pergi ke
hospital yang jauhnya hampir tiga kilometer.

Sampai saja di hospital, doktor segera membuat pemeriksaan atas saya dan mendapati
bahawa saya telah dijangkiti demam Malaria. Kerana itu, saya telah ditahan wad untuk
beberapa hari sehingga saya sembuh. Dalam tempoh yang saya di wad, Mei dan Phoa
berulang-alik dari rumah ke hospital untuk menjaga saya. Begitulah usaha seorang Phoa,
seorang bapa OKU yang gigih menjaga kebajikan saya.

10
Yai Khampeng - Nenek Penyayang Yang Sangat Garang

Emak kepada Mei saya bernama Khampeng. Saya memanggilnya Yai atau Yai Khampeng. Yai
saya ini seorang yang baik hati, tetapi amatlah garang. Walaupun beliau garang, saya selalu
tidur dengan Yai, dan saya suka mengurut dan memicitnya.

Yai selalu mengupah saya mencabut uban dengan upah lima bhat. Pada masa tersebut, lima
bhat boleh digunakan untuk membeli sebatang aiskrim yang dipanggil aitim. Di Malaysia aitim
ini lebih dikenali sebagai aiskrim Malaysia. Setiap kali selepas mendapat upah tersebut, saya
akan terus bergegas ke rumah orang yang mempunyai peti ais dan membeli aitim.

Walau bagaimanapun, terdapat satu peristiwa, di mana kerja baik saya tidak mendapat upah,
malah dimarahi pula dengan dahsyat oleh Yai.

Pada masa tersebut, saya sedang mencabut uban semasa Yai sedang tidur mamai. Setiap kali
saya mahu berhenti, Yai akan terbangun. Beliau memegang tangan saya, dan mengatakan
kerja itu belum habis lagi sebab dia masih merasa gatal-gatal di kepalanya. Maka, saya pun
dengan taatnya, meneruskan kerja mencabut uban, mencalitkan kapur di jari, kemudian
mencabut uban yang ada satu persatu.

Apabila Yai bangun, beliau mendapati setompok bahagian kepalanya telah botak. Saya
dimarahi oleh Yai dan terus cabut lari. Yai mengejar saya sehingga turun tangga ke tanah.
Saya menyelamatkan diri. Walaupun ianya bukan salah saya, Yai yang garang tetap
menganggap saya yang bersalah dan perlu dimarahi.

Yai mempunyai mulut yang tajam dan tangan yang cepat. Pernah satu masa, Yai menyuruh
saya mengangkut air dari sungai ke tempayan. Saya terleka bermain dan terlupa untuk
melakukannya. Semasa naik ke rumah, Yai terus memegang dan mencengkam kuat, satu
tangan lagi melibas punggung dengan rotan buluh. Saya terpaksa menyelamatkan diri dengan
cara menarik londeh kain batik Yai. Apabila Yai terpaksa memegang kain tersebut, dapatlah
saya melepaskan diri dengan menurun tangga ke tanah dan naik ke atas pokok tidak turun
sehingga ke malam.

Selepas larut malam, Mei memujuk saya untuk turun dari pokok; “ Yai sudah tidur, marilah turun
makan!” Saya menangis semalaman. Namun, tidaklah saya serik dan takut kepada Yai kerana
saya yakin dia menyayangi saya dan kebiasaannya, keesokannya dia akan kembali seperti
biasa. Seperti waktu yang lain, peristiwa tersebut tidaklah pula memberi keinsafan kepada saya
untuk lebih rajin lagi.

Walaupun saya menyayangi Yai, terdapat satu sikap yang saya tidak suka pada dirinya pada
masa tersebut, iaitu beliau akan marah kepada saya apabila tidak mahu makan apa-apa

11
makanan yang dihidangkan. Pada masa tersebut, saya sudah digerakkan oleh Allah untuk tidak
mahu dan tidak boleh memakan daging khinzir atau mana-mana daging yang pelik. Antara
daging yang pelik yang biasa dimakan orang di sana adalah seperti ular, biawak, katak, dan
ketam bendang. Walaupun telah diperkenalkan kepada hidangan tersebut, saya tidak sanggup
untuk memakannya, dan jika dipaksa juga, saya akan terus termuntah. Ini akan menimbulkan
kemarahan Yai, yang menyatakan bahawa saya terlalu manja dan mengada-ngada.

Setiap kali timbul konflik sebegini, Yai akan mengatakan bahawa saya bukan anak sebenar
kepada Mei, tetapi bayi yang telah tertukar di klinik Desa. Kata-kata ini amat menyedihkan saya,
dan setiap kali saya mendengar tuduhan yang sama, ia seperti menghiris-hiris hati saya.

Perkara lain yang selalu dimarahi oleh Yai Khampeng apabila saya mengikut Mei ke pasar
untuk menjual kuih. Dia sebenarnya marah atas dasar kasih sayang kerana perjalanan ke pasar
perlu melalui sungai yang deras arusnya dan merbahaya. Dia risaukan saya tidak mampu
menyelamat diri andai sampan terbalik. Kerisauan ini hanyalah kerana dia terlalu sayangkan
saya. Padahal pada waktu tersebut, sungai adalah tempat terjun, main dan berenang saya dan
kawan-kawan.

Detik matinya Mei


Ketika umur saya tujuh tahun, Mei mengadu sakit-sakit dalam perutnya di tempat peranakan.
Phoa membawa Mei ke hospital dengan bantuan majikan Phoa. Saya tidak dibawa ikut serta ke
hospital. Saya hanya mampu memandang sehingga kereta menjauh dan hilang dari
penglihatan.

Di hospital, Mei ditahan wad. Dua hari selepas itu, doktor membuat pembedahan dengan
membuang rahim dan ovari Mei dengan harapan ia akan dapat menyelamatkan nyawa Mei.
Selepas beberapa hari pembedahan, Mei dibenarkan pulang ke rumah.

Saya sangat gembira dengan kepulangan Mei, kerana sangkaan saya Mei akan sihat seperti
sedia kala seperti sebelum ini, menyambut saya pulang dari sekolah, menyediakan kuih
kegemaran saya. Namun, sangkaan saya salah. Sejak Mei pulang dari hospital, keadaan Mei
menjadi lebih teruk dari sebelum ini. Mei kini tidak lalu makan, beliau hanya mampu minum air
sahaja. Akhirnya Mei semakin kurus dan tidak mampu lagi untuk bangun uruskan diri.

Selepas Mei sakit, kulit Mei yang licin dan cerah telah bertukar menjadi gelap. Badan Mei yang
sudah sedia kurus, bertambah kurus lagi sehingga nampak rangkanya dengan jelas. Saya
sentiasa menemani Mei ditempat pembaringannya, dan menggosok-gosok tangannya apabila
Mei mengadu sakit.

12
Tiga hari sebelum sampai ke hari lahir saya yang ke sembilan, Mei menghembuskan nafas
terakhir di sisi saya. Saya menangis sekuat-kuatnya. Saya tidak menghiraukan sesiapa lagi
pada masa itu. Hati saya merasakan kehilangan yang amat sangat, sedih dan kecewa. Apa
yang saya boleh lakukan pada masa itu, hanya dengan meraung-raung untuk menghilangkan
sedih dihati.

Mayat Mei diangkat oleh beberapa orang, mereka memandikannya, dan memakaikan baju
kesukaan Mei. Baju itu merupakan baju buatan Mei sendiri, bewarna putih, dan berlengan
pendek.

Selepas cukup tiga hari mayat Mei di rumah, mayat Mei diangkat dan dibawa ke tanah kuburan
Budha untuk upacara pembakaran mayat. Saya mahu ikut serta walaupun dilarang oleh Phoa.
Phoa bimbang sekiranya saya ikut serta, saya tidak mampu mengawal perasaan sedih ketika
mayat Mei dibakar nanti. Tapi saya telah berdegil dan mahu ikut juga, akhirnya Phoa mengalah
dan membenarkan saya bersama.

Sampai saja di tempat bakar, saya melihat ada longgokan kayu api yang tinggi. Kemudian
mereka yang mengangkat long, iaitu keranda Mei, dan meletakkan di atas kayu api tersebut.
Selepas itu mereka menyiram petrol dan mereka menyalakan api. Api menyambar petrol
tersebut serta merta seluruh long tersebut diratah oleh api dengan marak sekali. Haba panas
membahang di kawasan sekitarnya.

Melihat long terbakar dan api marak sedang menjilat seluruh long Mei, saya menjerit dan
meronta-ronta agar mereka tidak membakar Mei saya. Melihat kejadian itu, Phoa memeluk erat
badan saya kerana bimbang saya akan berlari ke arah long Mei yang sedang dijilat api.

Saat itu saya merasakan Mei terseksa dan sakit kerana tubuhnya dibakar. Kengerian ini
menyebabkan saya merasa takut dengan kematian kerana khuatir akan dibakar sebegitu nanti.
Saya tidak mahu dibakar sebegitu. Melihat sahaja api menjulang telah terasa sakitnya, inikan
pula andai berada dalam api tersebut. Alhamdulillah, setelah saya memeluk Islam
kemudiannya, ketakutan untuk mati ini telah hilang, kerana saya yakin Allah akan
menyelamatkan saya dari dibakar api. Bila sudah sampai masa Allah menjemput saya kembali,
insyaallah saya tidak lagi takut dengan kematian seperti dahulu.

Menjadi Sebatang Kara

Semua keindahan dunia kecil saya berubah sebaik saja Mei meninggal.
Semenjak kematian Mei, kehidupan kami berdua tidak terurus. Ketika Mei sihat, Mei lah yang
menguruskan saya dan Phoa. Semenjak Mei sakit, saya belajar berdikari. Tapi, saya tidak
dapat menjaga Phoa seperti Mei menguruskan Phoa. Semakin hari Phoa tidak menjaga makan

13
dan minumnya. Phoa tenggelam dalam kesedihan kehilangan Mei. Mungkin saya kecil lagi, jadi
kesedihan yang dialami Phoa tidaklah sama seperti kesedihan saya. Namun, saya juga sudah
berubah, tidak seceria dahulu. Saya menjadi lebih pendiam dan mengurungkan diri dalam
rumah.

Sebelum ini, banyak masa saya bermain bersama kawan-kawan. Selepas meninggalnya Phoa,
saya terpaksa menggantikan Mei menjaga makan minum Phoa dan saya. Yai Khampeng telah
pun meninggal dunia setahun sebelum perginya Mei. semasa pemergian Yai, saya yang masih
kecil tidak merasakan kesan kehilangan. Namun setelah Mei meninggal dunia, kehilangan Yai
baru dirasakan.

Kawan-kawan memahami keadaan saya yang tidak boleh lagi keluar bermain bersama mereka.
Beberapa kawan yang setia sekali-sekala datang bersembang bersama saya di rumah,
menemai sementara saya melakukan kerja rumah. Mungkin mereka juga bersimpati kepada
saya, tetapi tidak dapat menolong. Lama-kelamaan, mereka pun leka bermain dan tidak lagi
bersama saya.

Belum sempat menyesuaikan diri dengan kehilangan Mei dan tugas yang bertambah, saya
dikejutkan sekali lagi. Dua bulan kemudian Phoa pula pergi meninggalkan saya.

Orang dari kampung sebelah telah menjumpai mayat Phoa hanyut di sungai, tersekat di
hadapan rumahnya. Phoa telah terjatuh ke dalam sungai semasa menaiki basikal
menyeberangi jambatan baru yang belum siap.

Sekali lagi, saya meraung bagai orang yang hilang akal. Rasanya memang saya telah hilang
akal seketika. Bagaimanakah saya akan teruskan hidup ini. Siapakah yang akan menjaga
saya? Bagaimana saya akan meneruskan hidup tanpa jagaan Mei dan Phoa? Bagaimana saya
akan tidur seorang diri di rumah?

Saya menjerit dengan suara yang kuat tanpa mempedulikan jiran-jiran yang melihat. Mungkin
mereka memandang kasihan dengan apa yang berlaku dalam hidup saya.

Meneruskan kehidupan di rumah seorang diri pada umur sembilan tahun, keadaan saya
menjadi tidak tentu arah. Saya semakin pilu, kini seorang anak yatim piatu, tiada Mei dan Phoa
lagi tempat untuk bermanja. Tiada siapa lagi tempat untuk menumpang kasih. Tiada siapa
yang akan menjaga makan minum atau menyara hidup saya.

Namun, pada masa tersebut, Allah telah menghantar seorang yang tua yang sangat baik, yang
sentiasa menjenguk saya di rumah dan menghantar makanan untuk saya. Beliau lah yang
memberi kata rangsangan untuk saya teruskan hidup. Beliaulah yang bertanyakan khabar dan
memberikan bantuan sejak dari meninggalnya Mei lagi. Beliau memberikan sabun basuh kain,

14
beras dan kadang-kadang juga memberi lauk yang telah siap masak. Namun, saya selalunya
masak sendiri, dan saya masih seorang kanak-kanak yang tinggal keseorangan.

Alhamdulillah, saya masih mampu meneruskan persekolahan. Saya mula berdikari dengan
mengambil upah mengangkut air dari sungai dan mengisi tempayan di rumah orang. Dengan
upah tersebut, dapatlah saya membeli makanan pada waktu rehat di sekolah, serta bahan
mentah untuk dimasak.

Tercampak Ke Dunia Luar


Selepas empat bulan saya tinggal berseorangan, tiba-tiba datang seorang nenek tua ke rumah
saya. Siapakah dia? Belum pernah sebelum ini,saya bersua dengan nenek tersebut atau
mengenalinya. Dia menyuruh saya memanggilnya Yai. Rupanya dia adalah Yai Hat, adik
kepada mendiang nenek saya,Yai Khampeng. Yai Hat tinggal di Chiang Mai, iaitu jarak
perjalanan sehari naik bas pada masa tersebut. Setelah mendapt berita kematian Mei dan
Phoa, Yai Hat telah berusaha mengambil perjalanan tersebut untuk membawa saya tinggal
bersamanya.

Pada permulaan, saya berasa lega kerana tidak lagi sebatang kara dan akan dijaga oleh
seorang saudara. Dengan patuh, saya pun mengikut Yai Hat kembali ke rumahnya di Chiang
Mai. Namun ternyata sebaliknya yang berlaku. Hidup saya menjadi jauh lebih perit bermula
dengan berpindah tinggal bersama Yai Hat.

Selepas saya bertolak ke Chiang Mai bersama Yai Hat, hidup saya bertambah-tambah derita,
lebih derita dari tinggal berseorangan dan mencari nafkah sendiri. Sekurang-kurangnya
semasa saya berseorangan, saya masih boleh bersekolah dan saya punya seorang jiran yang
baik hati sentiasa menjenguk dengan kata kata positif.

Tinggal bersama Yai Hat, saya tidak lagi bersekolah dan tidak lagi mendapat sebarang kata
kata baik dan menyokong. Sebaliknya saya menjadi pembantu tidak berbayar kepada Yai Hat.

Dalam rumah tersebut, Yai Hat menjaga tiga cucu perempuan dan seorang cucu lelaki. Yai Hat
mempunyai dua orang anak perempuan, ibu kepada cucu-cucunya. Namun anak-anak tidak
tinggal bersama, dan Yai Hat bertanggungjawab sepenuhnya ke atas cucu-cucunya.

Sepanjang kehidupan di sana, saya mesti patuh segala arahan Yai Hat. Saya tidak dibenarkan
makan kecuali selepas Yai Hat dan empat cucunya selesai makan. Itu pun andai ada baki
selepas mereka makan. Seandainya makanan habis dimakan mereka, terpaksalah saya
menahan lapar sehingga waktu makan seterusnya pula.

15
Saya juga perlu menyelesaikan sebahagian besar dari tugasan rumah seperti mencari kayu api,
mengangkut air dari sungai ke tempayan rumah yang berjarak lebih kurang satu kilometer dari
sungai, yang memerlukan saya berulang alik sebanyak lima kali setiap hari. Sebenarnya, rumah
Yai Hat mempunyai paip air. Mereka menggunakan air paip untuk kegunaan seharian mereka.
Namun, saya tetap ditugaskan mengisi air tempayan setiap hari untuk kegunaan mandi saya
dan membasuh kain sendiri. Yai Hat juga menggunakan air yang diangkut untuk menyiram
pokok bunga. Kata Yai Hat, ia sebagai langkah penjimatan untuk bil airnya.

Daftar Sekolah Kerana Terpaksa

Selepas saya berpindah ke Chiang Mai, saya tidak bersekolah. Yai Hat tidak membenarkan
saya ke sekolah sehinggalah ketua kampung datang berjumpa Yai Hat dan mengarahkan
supaya Yai Hat mendaftarkan saya sekolah di Chiang Mai.

Rupanya ada undang-undang yang menjaga kepentingan kanak-kanak di Chiang Mai. Jika Yai
Hat tidak mendaftarkan saya ke sekolah, dia akan didakwa kerana tidak menyekolah budak
yang berumur 12 ke bawah. Oleh kerana Yai Hat tidak mahu terkena atas dakwaan tersebut,
dia terpaksa akur dengan arahan ketua kampung.

Selepas mendaftar ke sekolah, saya merasakan sedikit kegembiraan dan kelegaan kerana
berpeluan mempunyai kawan-kawan dan guru yang baik. Saya juga mempunyai sedikit masa
terluang setiap hari, dapat berjauhan dengan Yai Hat dan arahannya yang menyakitkan.

Semua perbelanjaan ke sekolah ditanggung oleh saya sendiri dengan dibantu oleh sumbangan
guru-guru untuk pembelian buku dan alat tulis. Pada masa tersebut, sekolah menyediakan
makanan percuma untuk pelajar miskin. Maka pada masa yang saya tidak mendapat makan
malam, saya tidak lagi berasa risau kerana saya tahu keesokannya akan ada makanan pada
waktu sekolah. Tidak lagilah sedahsyat seperti sebelum ini di mana saya terpaksa berlapar
seharian jika tiada makanan berbaki.

Saya masih ingat seorang makcik kantin yang sentiasa menggamit saya untuk memberikan
makanan sebaik saja saya tiba di sekolah, tanpa menunggu waktu rehat. Kemungkinan, beliau
sudah maklum cerita mengenai Yai Hat, atau dapat meneka bahawa saya tidak mendapat
makanan yang sepatutnya di rumah.

16
Yai Hat Buat Dengki
Sebaik tamat saja persekolahan wajib darjah 6, saya terus dihantar Yai Hat untuk bekerja
sebagai pengasuh kepada anak pegawai jabatan pendaftaran di Chiang Mai. Saya mendapat
gaji sebanyak 60 bhat sebulan. Wang ini akan dikutip sepenuhnya oleh Yai Hat setiap bulan
atas alasan dia sakit dan memerlukan belanja untuk rawatan. Dia juga sering memberi alasan
kepada saya; “Apa yang kau nak beli, kau sudah dapat makan minum di sini”.

Walaupun tidak dapat merasa gaji dari hasil kerja sendiri, saya tetap berasa gembira pada
masa tersebut kerana dengan pekerjaan itu, saya telah berpindah tinggal di rumah majikan
saya, jauh dari Yai Hat yang sentiasa mendera tubuh dan hati. Saya bekerja sebagai di sana
selama dua tahun lebih sebelum Yai Hat muncul semula dengan perancangan baru.

Pada hari tersebut, Yai Hat bersuara lembut, tidak garang seperti biasa. “Aku mahu kau kerja di
kedai makan yang gajinya lebih lumayan dari kerja kamu sebagai pengasuh ini”. Saya
kehairanan dan tidak sedap hati dengan kelembutan bahasa Yai Hat yang sangat janggal.
Walau bagaimana pun, saya tidak pandai memprotes kerana lebih merasakan kata-kata itu
sebagai arahan, bukan tawaran.

“Dimanakah tempat kerja tu?”.

“Di Hat Yai”.

Saya tercengang memandangkan jarak dari Chiang Mai ke Hat Yai bukannya dekat. Ianya
beribu kilometer- perjalanannya menaiki keretapi yang akan memakan masa dua hari.

“Tempat itu jauh Yai, bagaimana saya akan ke sana? Lagipun saya tak pernah ke sana.”

Kalau ikutkan hati saya, saya tidak suka berpindah lagi, kerana tidak tahu apa yang akan
terjadi, atau siapa yang akan menjaga saya selepas itu.

“Kau jangan risau, kau akan dapat gaji yang lebih lumayan, nanti kau boleh balik ke sini lagi.
Jangan risau, kau akan pergi bersama Phi Tim. Kau akan seronok naik kereta api!”

Saya termakan pujuk Yai Hat akhirnya bersetuju ke Hat Yai ditemani oleh Phi Tim, seorang
wanita dewasa yang lain. Pada masa tersebut, saya tidak terbayang lagi cabaran dan
keperitan yang bakal dihadapi di sana.

17
Menyeludup Bekalan
Malam itu, saya memotong sedikit kain dari baju saya dan menampal di bahagian dalam seluar
panjang, dan saya sembunyikan 60 bhat wang gaji terakhir saya. Inilah satu-satunya wang gaji
yang pernah saya pegang sepanjang tempoh dua tahun bekerja. Itu pun, ianya boleh dilakukan
dengan sedikit pembohongan. Saya diilhamkan untuk berbohong kepada Yai Hat menyatakan
saya tidak diberikan gaji terakhir akibat berhenti kerja tergesa-gesa separuh bulan.
Sebenarnya, walaupun majikan saya disuakan dengan notis berhenti segera, mereka telah
berbaik hati membayarkan saya gaji, dan menghadiahkan pula jumlah yang cukup sepenuh
bulan. Saya jahit kemas tampalan tersebut, dan wang tersebut mengiringi saya tanpa
pengetahuan sesiapa.

Sepanjang mengalami beberapa kesulitan pelbagai kemudiannya, memegang wang tersebut


telah memberi rasa kekuatan dan harapan kepada saya. Itu sajalah satu-satunya ikhtiar
persediaan diri saya. Pada masa itu saya belum mengenali Allah dan belum ada kekuatan
bertawakkal kepada Allah. Berharap kepada wang tersebut telah memberi sedikit kekuatan diri
yang amat diperlukan.

Bersama saya juga disimpan sebagai kekuatan pesanan mendiang Mei - sentiasa kemas dalam
ingatan; “Jangan cepat percaya apa yang kamu nampak, jangan cepat percaya apa yang kamu
dengar.” Pesanan Mei menjadikan saya lebih bersedia untuk cabaran hidup itu.

Menaiki keretapi ke bandar Hat Yai bersama Phi Tim, hati saya tidak tenang. Sepatutnya,
seorang kanak-kanak berumur 14 tahun akan merasa teruja dan seronok menaiki keretapi
untuk kali pertamanya. Namun saya tidak berasa gembira, malah asyik memikirkan kerja yang
sebenarnya yang saya akan lalui kelak. Saya tidak berani bertanyakan kepada Phi Tim kerana
takut dimarahi oleh seorang dewasa. Tinggal bersama Yai Hat, sudah lama saya terlatih untuk
diam dan patuh sahaja sebagai langkah yang paling selamat.

Phi Tim adalah seorang wanita berumur 40 tahun, berpakaian skirt pendek dan bergincu merah,
tidak seperti wanita di kampung yang biasanya memakai kain batik dan baju kurung pendek.
Ibunya berjiran dengan Yai Hat, dan pernah sekali dua saya melihat dia pulang bercuti ke
kampung. Orang kampung memandang tinggi kepada Phi Tim kerana dia cantik dan
berpakaian moden, sentiasa bergaya dengan hiasan emas, mempunyai pekerjaan di tempat
yang jauh, dan nampak sebagai wanita yang sentiasa berduit. Phi Tim juga berjalan dan
beraksi mempamerkan keyakinan diri yang luar biasa, tidak seperti orang lain.

Setiba di Hat Yai, kami dijemput oleh dua orang lelaki bermuka garang, janggut dan misai yang
sangat menggerunkan. Namun Phi Tim berbual biasa dan bersahaja dengan mereka,
kemungkinan kerana telah lama kenal atau pernah bekerjasama. Saya diam sahaja di sebelah,
sedikit gentar. Saya tidak mampu untuk fokus mendengar atau mengikuti butir bicara mereka.

18
Dua lelaki tersebut kemudiannya membawa kami ke sebuah pekan kecil, tidak jauh dari bandar
Hat Yai. Sehingga sekarang, saya tidak tahu nama pekan kecil tersebut. Tidak lama kemudian,
mereka memberhenti jeep di hadapan sebuah rumah kedai kecil yang diperbuat dari papan.

Rumah kedai tersebut mempunyai pintu dan tingkap berjeriji besi seperti lokap. Selepas
memasuki pintu tersebut bersama Phi Tim, saya tidak lagi bebas keluar sehinggalah Allah
menyelamatkan saya.

Di sebalik pintu tersebut, terdapat lebih kurang seratus kanak-kanak dan remaja perempuan
yang dikurung. Walaupun saya dan mereka dalam lingkungan umur remaja, perkembangan
kami pada masa tersebut masih di tahap kanak-kanak. Kebanyakan dari mereka sedang
berbual-bual dan ketawa tanpa menunjukkan sebarang kerisauan. Ada yang sedang main batu
selambut untuk memenuhi masa. Saya sendiri, walau pun masih di tahap perkembangan
kanak-kanak, telah pernah membaca berita mengenai komplot perdagangan manusia, dan saya
yakin bahawa saya telah menjadi mangsa komplot jahat.

Rupanya Yai Hat telah berbohong kepada saya. Pada detik itu, saya baru sedar bahawa Yai
Hat telah menganiayakan diri saya. Yai Hat telah menjualkan saya kepada kumpulan ini.

Phi Tim pula rupanya adalah sekutu mereka, agen yang membawa saya kepada mereka.
Walau pun kami berdua tinggal bersama di sana, status kami amat berbeza. Bagi Phi Tim,
tempat tersebut adalah sebagai penginapan sementara dalam melakukan pekerjaannya di situ.
Sepanjang saya dalam kurungan, Phi Tim bebas keluar masuk dari rumah kedai tersebut, tidak
seperti kami tahanan kanak-kanak dan remaja. Dia bersama kami berehat dan makan di siang
hari, dan keluar di sebelah petang dan hanya pulang selepas larut malam. Apabila saya
memberanikan diri menanyakan kepadanya, apakah urusan yang dia lakukannya, Phi Tim
hanya menjawab; ”Nanti kau akan tahu dan kau juga akan melakukan pekerjaan yang sama.”

Setelah beberapa minggu di sana, saya tidak lagi melihat Phi Tim. Mungkin dia sudah pulang
bercuti ke kampung Chieng Mai, meninggalkan saya yang masih terkurung dalam jeriji besi ini.
Mungkin dia pulang membawa bayaran kepada Yai Hat. Yang pasti, saya betul-betul sebatang
kara, dan telah hilang kebebasan diri.

Setiap hari, menurut giliran, kami akan dibawa menaiki van untuk hadir ke kelas Bahasa
Inggeris. Saya pelik kenapa saya harus mempelajari bahasa baru, dan apa kaitannya dengan
urusan kami yang telah dijual. Apa pula kaitannya belajar Bahasa inggeris dengan tuga
memasak atau membasuh pinggan di kedai makan? Walau pun saya telah sedar bahawa saya
telah ditipu dan dijual oleh Yai Hat, pada masa itu, saya masih mempercayai bahawa pekerjaan
saya kelak adalah sebagai pembantu di kedai makan. Hanya setelah beberapa lama dalam
kurungan, baru saya sedari kenapa kami diajar Bahasa Inggeris.

19
Kembali ke rumah kedai pada satu malam, saya terdengar perbualan ketua kepada pekerja-
pekerja yang mengawal di luar. Dia memberi arahan kepada anak buahnya dengan suara yang
kuat; “Hoi, jangan duduk-duduk senang hati. Kita kena hantar mereka ke Jepun paling lewat
minggu hadapan. Sudah ada orang menunggu di sana”.

Tersirap darah saya apabila mendengar kata-kata tersebut. Berdegup jantung kencang
memproses maklumat baru. Lama selepas itu, saya mendapat kefahaman bahawa kumpulan
tersebut adalah salah satu dari kumpulan Yakuza di Thailand yang mempunyai rakan kongsi di
Jepun. Saya dan kanak-kanak perempuan yang lain telah dibeli dari waris masing-masing untuk
dijual pula kepada kumpulan Yakuza atau kelab di Jepun. Pada masa tersebut, saya masih
tidak memahami situasi sepenuhnya. Namun, saya faham bahawa situasi kami sangatlah
dalam bahaya dan keadaan semakin genting.

Sebelum ini, saya masih berharap untuk menyelinap lari jika ada peluang. Apabila mengetahui
bahawa kami akan dijual ke luar negara, saya menjadi semakin panik dan merasakan perlu
bertindak. Saya memberontak dan tidak mahu ikut beratur ke kelas. Yang mampu saya lakukan
pada masa tersebut adalah menjerit dan menangis. Kesannya, mereka mengasingkan saya
dengan mengurung saya di bilik gelap di bawah tanah. Bilik tersebut gelap, pekat, dan busuk.
Sepanjang dalam kurungan tersebut, saya tidak diberi makan minum. Bila perlu membuang air,
terpaksa dilakukan begitu saja. Pada setiap petang, mereka masuk ke dalam bilik tersebut,
mengikat kaki dan tangan dengan dawai letrik. Mereka akan menanyakan; “Kau akan ikut cakap
kami?” Apabila mengatakan tidak, mereka akan mengenakan arus letrik sekali di tapak kaki
sehingga saya pitam, dan kemudian meninggalkan semula dalam kegelapan.

Arus letrik itu mungkin dikira tidak cukup untuk mematikan saya kerana mereka memerlukan
saya sebagai aset, tetapi ia cukup kuat sehingga saya pitam setiap kali. Setelah tiga hari di bilik
gelap bawah tanah, saya diberi ilham untuk membuat keputusan yang mengutamakan
menyelamatkan diri dari bilik gelap ini dahulu sebelum saya menjadi gila. Maka saya pun
mengangguk kepala tanda setuju.

Selepas bersetuju, saya terus di bawa semula ke atas, untuk mandi dan diberi makan. Saya
menghadiri kelas tersebut selama hampir dua minggu. Sewaktu di luar kelas, saya lebih suka
mengasingkan diri dari kanak-kanak yang lain, melutut di tepi tingkap berjeriji, mengenang
nasib yang malang. Harapan saya untuk melepaskan diri semakin menurun setiap hari.

Diselamatkan oleh Seorang Gila


Rumah kedai tersebut mengadap jalan pekan kecil yang tidak berturap. Dari arah tingkap saya
boleh melihat ke luar jalan. Di kawasan luar, ada seorang perempuan gila yang bebas melilau
sehingga dekat dengan tingkap. Rambutnya kusut menggerbang, bajunya kotor dan koyak

20
sana-sini. Saya melihat kukunya agak panjang dan hitam. Dia tersengih kepada saya,
menampakkan gigi berwarna sangat kuning - entah tidak pernah memberus gigi. Penjaga
berwajah bengis di luar tidak mempedulikan perempuan gila itu. Mereka membiarkan sahaja
dia belegar-legar di sekitar kawasan. Dia akan menyanyi, ketawa, dan kadang-kadang
menangis seperti anak kecil.

Yang menghairankan saya adalah perempuan gila itu seolah-olah sangat suka kepada saya,
padahal saya sangat meluat kepadanya. Sudahlah bajunya berbau busuk, giginya kuning tebal
dan menjijikkan. Yang paling menyakitkan hati, saya terkurung dan dalam kecemasan,
sementara dia boleh bersuka- suka dan menyanyi pulak. Terfikir di hati saya; “Jika saya gila
seperti kamu saya akan selamat dari tempat neraka ini.”

“Hei budak, kenapa kau menangis?” Pandai pula dia menunjukkan simpati. Namun kemudian
dia ketawa mengilai pula.

Saya katakan kepadanya; “Engkau boleh lah seronok menyanyi-nyanyi. Engkau bebas di luar
sana. Aku dikurung di sini”.

Perempuan gila tersebut menanyakan kembali; “Kenapa kena kurung? Jom lah keluar main”
Saya memikirkan sama ada dia boleh faham kalau saya menceritakan kegentingan keadaan
saya. Namun saya ceritakan juga kepadanya untuk melepaskan perasaan. Selepas mendengar
cerita, dia sambung menyanyi sambil matanya, meliar pandang ke sana sini.

Dia mendekat dengan sangat dekat dan berbisik bertanya lagi, seolah-olah faham; “Mereka nak
jual kau bila?”

Agak menghairankan juga, saya sempat juga terfikir, mulutnya tidak pula berbau busuk
walaupun sangat dekat dan berwarna kuning. Padahal saya fikirkan patut bajunya sahaja sudah
berbau busuk. Saya pun memberitahu apa yang saya tahu, dan dia berpesan; “Jangan takut.
Aku akan datang tolong engkau malam ini”. Katanya sambil mengosok tangan saya yang
berada di jeriji besi itu.

Saya memarahinya; “Merepeklah apa kau cakap”

Dia pun ketawa kuat dan menyanyi-nyanyi kuat sambil berlalu pergi.

Saya merasa sedikit ringan di hati. Walau pun ia hanya kata-kata dari seorang perempuan gila,
saya memegang secebis harapan. Seseorang telah berjanji dengan yakin bahawa dia akan
menolong saya. Walau pun saya tidak boleh membayangkan bagaimana seorang gila boleh
menolong saya, ia tetap memberi saya sedikit harapan.

21
Lewat malam, saya terkejut dari tidur dengan suasana kelam kabut dan bising. Bunyi tembak
menembak terdengar begitu dekat, seolah berlaku dalam rumah kecil tersebut. Garisan-garisan
cahaya lampu suluh bersilang.

“Apakah yang sedang berlaku?” Terpanggil untuk bangun menyiasat, terasa takut pulak
menyelebungi; belum pernah lagi berlaku peristiwa sebegini dalam hidup saya. Maka saya tetap
berbaring memejam mata, merengkuk untuk mengecilkan diri sendiri.

Agak lama selepas itu, suasana sunyi sebentar. Kemudian, premis kedai tersebut menjadi
cerah dengan lampu yang dinyalakan. Saya dan rakan-rakan lain segera bangun. Saya melihat
polis di merata tempat, di dalam premis dan di luar. Semua penjahat yang menjaga kami telah
digari dan dibawa polis menaiki trak. Bersama saya, hampir 100 orang budak perempuan di
bawah umur diangkut bergilir untuk ke balai untuk siasatan lanjut. Ada yang riuh gembira
kerana akhirnya bebas diselamatkan. Yang lebih matang dan telah faham situasi, duduk diam
dan patuh pada arahan. Terdapat juga kanak-kanak yang lebih kecil atau kurang kesedaran
yang masih bersembang seronok dan bermain. Kemungkinan besar mereka masih tidak sedar
pun yang mereka telah diselamatkan, kerana mereka tidak sedar pun sebelum ini bahawa
mereka dalam bahaya.

Mendapat Keluarga Baru

Malam itu kami semua berada di lokap. Pagi esoknya, seorang demi seorang dari kami dibawa
mengadap pegawai polis untuk dilakukan siasatan dan diambil keterangan. Bila selesai giliran
saya menjawab soal siasat, pegawai polis itu memaklumkan mereka akan menghantar saya
pulang ke Chiang Mai, tempat Yai Hat.

“Tuan, saya tidak mahu dihantar, tolonglah jangan hantar saya ke sana. Saya tidak diculik
orang, tetapi telah dijual oleh nenek. Kalau saya kembali ke sana, pasti nenek akan menjual
saya lagi”. Saya meluahkan rasa hati dan cuba untuk meyakinkan pegawai itu.

“Habis tu, awak nak ke mana?” tanya pegawai tersebut. Agaknya beliau pelik dengan
permintaan saya kerana kanak-kanak lain gembira sahaja untuk pulang ke rumah masing-
masing. Mungkin mereka dan pihak polis merasakan ibu bapa mereka telah tertipu dan tidak
akan mengulang kesilapan yang sama. Mungkin mereka tidak sedar pun apa yang telah berlaku
kepada diri mereka. Kebanyakan dari mereka kanak-kanak yang jauh lebih muda dari saya, dan
mungkin juga mereka belum mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai perkara yang telah
berlaku.

22
Saya diam kerana tidak ada jawapan yang boleh diberikan. Kampung asal saya terlalu jauh -
saya tidak fikir pihak polis akan mahu menyusahkan diri menghantar saya ke sana. Lagipun,
saya tidak pasti sama ada rumah yang ditinggal masih lagi ada atau tapak tersebut sudah
diduduki orang lain. Pada usia tersebut, saya tidak nampak pun apa pilihan lagi yang ada untuk
saya.

Tidak lama kemudian, pintu bilik siasatan di ketuk dari luar.


“Masuk!” arah pegawai itu memberi izin. Seorang pegawai polis wanita berpakaian kemas dan
cantik masuk sambil tersenyum mesra kepada saya, seolah-olah sudah lama kenal.

“Tuan, izinkan saya bawa budak ini balik kampung saya. Saya akan menjaganya.” Saya agak
terkejut dan sangat berbahagia dengan permintaan pegawai tersebut. Tak perlu lagilah saya
kembali menghadapi Yai Hat. Alangkah baiknya hati beliau, sudi menjaga saya si yatim piatu
ini.

Urusan mengambil anak angkat sangat mudah di sana pada masa itu. Ketua polis meluluskan
permintaan itu, dan saya terus dibawa pulang ke rumah pegawai polis wanita tersebut.

Nama beliau adalah Kak Farah, dan beliau serta semua ahli keluarga beliau beragama Islam.
Sepanjang saya bersama keluarga baru saya ini, mereka melayani saya dengan sangat baik,
dan saya merasakan mereka betul-betul sebagai keluarga.

“Pernah jumpa atau lihat kak Farah tak sebelum ini?” tanya Kak Farah. Saya menggelengkan
kepala. Saya tidak mengenali sesiapa pun sejak tiba di pekan tersebut.

Kak Farah ketawa.

“Betul awak tak cam akak ni? tanya Kak Farah lagi.

Bertambah keliru saya.

“Akaklah orang gila tu, yang kamu suka kutuk-kutuk tu!” Kak Farah melakonkan sedikit
gayanya sebagai perempuan gila, dan barulah saya melihat seimbas lalu iras wajah
perempuan gila yang telah berjanji akan menyelamatkan saya. Rupanya bukan janji kosong,
walau dari perempuan gila.

“Kan akak dah janji nak tolong adik keluar dari situ?” kata Kak Farah

Kami ketawa berpanjangan. Saya ketawa gembira dan bersyukur, walau pada masa tersbut
belum mengenali Allah untuk beryukur kepada Allah. Kak Farah mungkin ketawa bangga
dengan skil penyamaran dan lakonan beliau. Sehingga hari ini, saya masih kagum apabila
terkenang kepada penyamaran tersebut; seorang pegawai polis yang muda jelita, melakonkan

23
watak perempuan tua yang gila, demi melakukan penyiasatan di kawasan premis kedai Yakuza
tadi.

Keesokan harinya, Kak Farah membawa saya pulang ke kampungnya di Yala, menemui
kakaknya yang bernama Makcik Tijah.

Makcik Tijah memakai tudung, menutup aurat dengan sempurna. Pada masa tersebut, saya
terkejut melihat kepalanya yang berbungkus dengan kain. Seumur hidup saya, itulah kali
pertamanya saya melihat seseorang memakai tudung kepala.

Kehairanan saya yang kedua adalah melihat wanita tersebut menangis tatkala melihat saya.
“Fatimah anak mak! Engkau sudah kembali!”. Dengan terketar-ketar dia menarik saya ke
dalam pelukan dan mencium saya.

“Betullah Farah, budak ini rupanya betul-betul sama seperti Fatimah.” Saya keliru dan tidak
faham kedudukan yang sebenar. Rupanya Makcik TIjah telah kehilangan seorang anak
perempuan sebelum ini. Betapa kasihnya Allah, mencampakkan kasih sayang dalam hati
seorang ibu angkat hanya dengan meletakkan rupa paras yang seiras. Saya telah mendapat
rezeki kasih sayang seorang ibu angkat, manakala beliau dapat mengubat hati kehilangan
seorang anak.

Bersama Keluarga Muslim


Bermulalah episod kehidupan saya di Yala bersama Makcik Tijah yang saya panggil dengan
gelaran mak. Kak Farah kembali ke Hat Yai, meneruskan kerjanya sebagai pegawai polis, dan
saya tinggal di Yala sebagai anak angkat kepada keluarga Makcik Tijah dan suaminya, Pakcik
Mat yang saya panggil pak. Makcik Tijah sangat menyayangi saya dan mendidik saya dengan
penuh kasih sayang. Di sini, saya seolah-olah mendapat gantian kasih sayang Mei dan Phoa.

Mereka menjaga saya dengan baik. Selama saya bersama mereka, saya tidak pernah diherdik
atau dipukul. Mereka berdua adalah orang orang Islam yang sentiasa menjaga solat. Pakcik
Mat seorang yang tidak banyak cakap dan sentiasa menjaga adabnya dengan saya.

Sepanjang saya bersama Makcik Tijah, beliau banyak mengajar saya menguruskan diri dengan
lebih baik, terutamanya dalam memasak dan tugasan kehidupan lain. Makcik Tijah mengajar
saya memasak dan membasuh bahan masakan atau membasuh pinggan mangkuk mengikut
cara Muslim, iaitu berselawat untuk menyucikan secara batin apa-apa yang kita basuhkan.

24
Makcik Tijah juga mengajarkan saya adab-adab orang Islam walaupun saya belum memeluk
Islam. Saya juga memakai tudung seperti orang lain.

Walau bagaimanapun, mereka tidak pernah memaksa saya untuk bertukar kepada agama
Islam. Makcik Tijah selalu menasihati saya supaya berhati-hati dalam memilih agama. Makcik
Tijah cuma kerap memberitahu saya bahawa beliau sentiasa mendoakan supaya Allah
memberikan hidayah kepada saya.

“Hidayah itu milik Allah, ikut Allah lah dia nak pilih siapa untuk agamaNya.” Kata-kata Makcik
Tijah sentiasa saya ingati sehingga sekarang. Dan beliau katakan lagi bahawa beliau hanya
mampu berdoa dan terus berdoa, dan beliau tidak akan kecewa berdoa selagi saya belum
memilih agama Islam.

Berpindah Ke Langkawi, Malaysia

Saya bersama dengan Makcik Tijah di Yala sehingga saya berumur 17 tahun. Pada masa
tersebut, Makcik Tijah memberitahu saya bahawa beliau akan berpindah ke Langkawi,
Malaysia, dan membuka kedai makan di sana. Beliau menawarkan kepada saya untuk
mengikut ke sana. Makcik Tijah menyiapkan segala dokumen dan pasport untuk memasuki
Malaysia. Bermulalah kehidupan saya di Malaysia sehinggalah hari ini. Jika ditolak beberapa
waktu yang pendek di mana saya kembali Ke Thailand, hampir keseluruhan hidup saya selepas
itu berada di bumi Malaysia.

Hidayah Mula Mengetuk di Hati

Sebelum kami ke Malaysia, hampir setiap malam saya bermimpi dengan mimpi-mimpi yang
saya kira sebagai pelik. Dalam mimpi saya, saya melihat satu tempat yang tidak saya kenali,
namun tempat yang sama dimimpikan hampir setiap malam. Terdapat pintu besi besar yang
berpalang, yang berada di tengah jalan. Oleh kerana ia bukan mimpi yang menakutkan, saya
abaikan sahaja pada waktu tersebut.

Setelah sampai masanya, saya, Makcik Tijah, dan seorang pekerjanya yang lain, menaiki
kereta kepunyaan Makcik Tijah, yang akan dibawa terus ke Langkawi. Semasa kami sampai di
tempat imigresen, kami perlu keluar dari kereta untuk menguruskan pemeriksaan pasport
sebelum memasuki Malaysia. Sebelum sampai ke Danok, iaitu pekan sempadan bahagian
Thailand yang berkembar dengan Bukit Kayu Hitam, saya melihat pintu besi berpalang yang
dilihat dalam mimpi saya yang berulang. Rupanya apa yang saya mimpi selama itu adalah pintu
pagar antara sempadan Thailand dan Malaysia. Sehinga sekarang, saya masih hairan

25
bagaimana saya boleh membayangkan pagar tersebut dalam mimpi secara berulang, padahal
saya belum pernah sampai ke tempat itu, dan tidak pernah melihat gambar atau diberi
bayangan mengenainya. Walau bagai manapun, saya tidak memberi perhatian lebih kepada
perkara tersebut pada waktu itu kerana saya tidak menganggap ia sebagai istimewa atau
signifikan. Peristiwa kebetulan rupa pintu tersebut dengan gambaran dalam mimpi yang
berulang hanya difikirkan secara bersambil dan santai sahaja. Kami meneruskan perjalanan
menuju ke jeti Kuala Perlis dan menaiki feri bersama kereta.

Bahagia dan Ujian di Bumi Langkawi


Apabila turun sahaja dari feri memijak tanah Langkawi, Allah mencampakkan dalam hati saya
saya satu perasaan yang kuat. Saya merasa campuran perasaan gembira, sedih, sayu dan
rindu yang terubat - hampir jatuh air mata kegembiraan. Ianya seperti perasaan pulang ke
kampung halaman sendiri atau selamat sampai ke rumah sendiri, padahal saya baru pertama
kali menjejakkan kaki ke Langkawi, dan saya belum mengenali seseorang pun di sana.
Begitulah perasaan yang diberikan oleh Allah kepada saya mengenai Langkawi.

Terdapat satu peristiwa pelik yang berlaku semasa melalui pemeriksaan imigresen di Langkawi.
Pada waktu tersebut, kaki saya menjadi kaku - tidak dapat berjalan. Selepas ikhtiar mengurut
dan menyapu minyak untuk memulihkan kaki, Makcik Tijah mendapat ilham untuk mengangkat
tangan berdoa. Seingat saya, kata-kata beliau adalah lebih kurang begini: “ Ya Allah kalaulah
dalam ketentuanMu ada kebaikan budak ini berada di Langkawi, Engkau sembuhkanlah dia,
dan aku berjanji akan memimpin dirinya untuk masuk Islam.”

Selepas doa tersebut, saya merasakan kaki saya perlahan-lahan kembali pulih dan kami dapt
meneruskan perjalanan ke tempat kediaman baru kami.

Di Langkawi, Makcik Tijah masih memberi ruang untuk saya mengambil keputusan memeluk
agama Islam. Saya pula tidak merasakan tertarik untuk menganut agama Islam. Walau un
biasa dengan cerita mengenai Allah, dosa pahala dan akhirat, saya tidak merasakannya
sebagai realiti atau kebenaran. Pada waktu itu, semua itu hanyalah sekadar apa yang
dipercayai oleh MakcikTijah. Pada masa sekarang, saya faham mengenai apa yang berlaku
pada waktu tersebut. Walau pun hidayah telah mula menyapa, saya belum mendapat taufik
atau gerak hati untuk mempercayai sepenuhnya dan mengambil tindakan.

Mimpi bertemakan agama tetap datang dan berulang. Mimpi tersebut selalunya berlaku antara
pukul 3 pagi sehingga sebelum subuh. Dalam mimpi tersebut, saya didatangi seorang lelaki tua
yang memakai serba putih. Orang tua itu akan memberikan saya sehelai kain putih dan
secawan air kosong sebagai minuman. Pernah satu masa, mimpi tersebut berulang-ulang
hampir setiap malam sehingga 2 minggu. Namun saya belum lagi memahami maksud mimpi
tersebut pada waktau itu.

26
Ketika di Langkawi, saya belajar dengan lebih banyak lagi ilmu mengenai Islam. Saya diajar
dengan lebih rapi lagi tatacara menyediakan makanan untuk orang Islam, pemakanan dijaga
dan bersih dari segala kotoran zahir dan batin. Seperti di Yala, saya juga disuruh sentiasa
memakai pakaian wanita Muslim. Cumanya saya tidak mengangkat syahadah atau mendirikan
solat.

Terlalai dengan Cinta Monyet


Hampir dua tahun berlalu, dan saya masih di Langkawi dan bekerja dengan Makcik Tijah.
Kehidupan saya gembira dan bahagia dengan keadaan saya yang sudah menjadi seorang
dewasa, mempunyai keluarga angkat yang penyayang, bekerja dengan kerja yang baik dan
mempunyai kemahiran yang bernilai. Saya juga memunyai pendapatan yang stabil dan
simpanan wang.

Suatu hari Makcik Tijah memaklumkan bahawa beliau perlu pulang ke Yala kerana Pakcik Mat,
suaminya sakit tenat. Beliau mungkin terpaksa meninggalkan saya dalam masa yang lama
memandangkan Pakcik Mat memerlukan beliau berkhidmat di sisi saat-saat yang genting.
Makcik Tijah mengamanahkan bisnes kedai makannya kepada saya, menjaga pengurusan
operasi, kewangan dan pekerja-pekerja.

Saya yang sudah lama bekerja dengan Makcik Tijah dan sudah memahami selok belok
perniagaan itu dan mampu menjaga amanah itu dengan baik sehinggalah berlaku peristiwa
yang dahsyat.

Situasi hitam ini bermula apabila saya mengenali seorang jejaka yang saya fikirkan sebagai
sangat baik. Lelaki ini cakapnya sopan santun, dan dia cuba menggoda saya dengan
kelakiannya yang sopan itu menyebabkan saya mula berkawan dengannya dan jatuh cinta.

Setelah hampir setahun saya bercinta dengannya, dia meminta pertolongan saya untuk
meminjamkan duit yang banyak atas alasan ibunya sakit teruk dan dia memerlukan duit yang
banyak untuk membuat pembedahan dengan kadar segera.

Saya yang masih mentah dan bodoh telah mempercayainya dan memberikan semua simpanan
saya, hasil usaha keras saya bekerja selama atiga tahun. Wang yang ada berjumlah RM 7500,
dan dia berjanji akan menggantikan kembali duit yang dipinjamnya secepat mungkin.

27
Selepas mendapatkan wang simpanan tersebut, dia tidak muncul lagi. Nombor telefonnya
selepas itu juga tidak aktif lagi. Sehari demi sehari, mulalah saya sedar bahawa saya telah
dipergunakan dan ditipu olehnya dengan lakonan kesopanan dan lemah lembut. Sesal tidak
berguna lagi, nasi sudah menjadi bubur.

Saya mula tidak tentu arah. Kecewa itu memakan diri saya sedikit demi sedikit, muram
bertambah muram dari hari ke hari. Kewarasan saya semakin hilang, dan bisikan syaitan mula
menghasut-hasut. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membunuh diri. Pada masa itu
saya belum mengenali Allah dan hati saya kosong dan rapuh.

Diselamatkan Dari Cubaan Membunuh Diri

Bisikan untuk bunuh diri semakin kerap hadir. Putus asa untuk hidup akibat dikecewakan dalam
cinta dan ditipu kehilangan harta menyebabkan saya nekad untuk membunuh diri. Akhirnya
saya membeli seutas tali dengan tujuan untuk gantung diri di bilik sewa..

Malam itu, saya mengikat tali di alang kayu bilik itu, dan hujungnya saya gelungkan untuk
digunakn di leher saya. Saya berdiri di atas kerusi untuk mengikat tali itu dan merancang untuk
melompat dari kerusi atau menyepak kerusi jatuh. Selepas siap segala persediaan, saya
menelan pil mabuk bernama Active 5. Pil mabuk tersebut saya beli dari kawan. Dia
mengiklankan pil tersebut untuk fungsi khayal dan seronok. Disebabkan rasa takut menghadapi
sakit mati, saya menggunakan pil khayal tersebut sebagai alat untuk memberanikan diri. Saya
menaiki kerusi itu dan memasukkan kepala saya ke dalam gelung tali dan cuba melompat
sambil menyepak kerusi.

Malangnya, atau lebih tepat lagi, bertuahnya, dengan rahmat dan kasih sayang Allah, ikatan
gelung tali tersebut telah terungkai dan tali putus, menyebabkan usaha membunuh diri gagal.
Yang peliknya, saya ingat pada masa sebelum tali itu putus, telinga saya sayup-sayup
mendengar bisikan perkataan “Allahuakbar Allahuakbar”. Saya memang mengenali ucapan
tersebut kerana selalu mendengar laungan azan. Namun, pada masa tersebut, ianya adalah
bisikan kata yang bergema dari dalam telinga, bukannya laungan dari masjid atau surau.

Pada masa ini, saya sudah faham kenapa tali itu boleh putus sedangkan tali itu saya baru beli
dan ianya tebal dan sepatutnya kukuh. Tali itu putus kerana rahmat dari Allah yang mahu saya
meneruskan kehidupan untuk belajar mengenaliNya dan taat kepada perintahNya. Boleh juga,
jika mahu mengatakan bahawa saya tidak pandai mengikat gelung sehingga ianya terungkai.
Boleh juga mengatakan bahawa tali itu stok lama dan mungkin sudah reput sebahagian. Saya
tidak kisah semua itu. Yang penting bagi saya adalah, dengan kehendak Allah, kehidupan saya
tidak terhenti di situ. Bersyukurnya saya pada waktu ini terhadap Rahmat Allah yang memberi
peluang saya belajar mengenali Allah dan taat kepadaNya.

28
Diselamatkan Dari Cubaan Kedua Membunuh Diri

Namun, pada masa tersebut, saya belum mengenali erti bersyukur. Nekad untuk mati sudah
menguasai diri. Perasaan itu berkobar-kobar di jiwa, biarlah saya berjaya menamatkan lara
yang ada di hati saya.

Saya terfikir untuk meneruskan usaha di laut pula. Nekad itu saya berjalan ke tepi pantai.
Dengan fikiran dan pandangan kosong, saya mengharungi ombak, berjalan masuk ke dalam
laut yang sedang pasang. Pakaian saya sudah basah lencun, dan saya tidak peduli. Dalam hati
hanyalah hasutan syaitan untuk saya berusaha berjaya dalam misi bunuh diri.

Walaupun saya pandai berenang, pengaruh pil khayal telah melemahkan saya. Apabila
beransur ke tengah, air sudah memasuki mulut dan hidung. Ketika air laut sudah sampai ke
bahagian kepala, tiada tindakan refleks yang saya mampu lakukan, dan saya hanyut ke alam
tidak sedar. Dalam kegelapan malam, minda dan hati, saya terasa seperti tubuh saya ditarik
dan diseret.

Dalam suasana gelap dan kelam itu, saya hanya terasa satu lembaga menarik saya dengan
kuat. Muka saya ditampar bebarapa kali. Apabila kaki saya mencecah ke tanah, saya diheret
kuat untuk mengikuti langkahnya. Rupanya saya sudah kembali sampai ke laut cetek dan
diseret menapak kembali ke pantai.

Dia berkata “Jom balik rumah”. Saya berdiam diri dan mengikuti sahaja langkahnya kerana
perasaan masih kosong dan tidak dapat berfikiran waras.

Sampai ke kawasan bercahayakan lampu, barulah jelas rupa lembaga itu. Dia adalah seorang
lelaki tua berjubah putih dan mempunyai janggut putih. Cuma, tidak seperti dalam mimpi,
jubahnya basah lencun kerana urusan menyelematkan saya tadi.

Apabila kami sampai ke rumahnya, seorang wanita tua menunggu di pintu rumah. Dia
menyambut saya dengan baik dan memberikan saya kain batik dan baju. Baju saya sudah
membasahi lantai ruang tamu rumah mereka ini. Kedua mereka tidak bercakap banyak dengan
saya, sekadar menyuruh ke bilik air untuk mandi, menukar baju, dan masuk tidur.

Keesokan harinya, ketika sarapan bersama, lelaki tua itu mula berbicara dengan saya. Dia
bertanyakan asal usul diri saya.

29
“Saya orang Thailand dan bekerja di kedai makan di Pantai Cenang, Tokwan”.

Saya memanggilnya Tokwan kerana saya menganggarkan umurnya pada masa itu sudah
hampir 80 tahun.

“Mana boleh bunuh diri, nanti masuk neraka. Allah tak bagi kita bunuh diri!”

“Saya agama Buddha, Tokwan”.

“Walaupun kamu bukan beragama Islam, membunuh diri itu tetap satu dosa besar”.

Saya berdiam diri, tidak tahu apa respon yang sesuai.

“Tak apalah, kamu rehatlah di sini sampai kamu rasa tenang”.

Walaupun saya tidak mengenali mereka sebelum ini, saya merasa yakin diri dan terus tinggal
bersama mereka selama empat hari.

Hidayah Mengetuk Lagi


Semasa saya di rumah Tokwan, sekali lagi hadir mimpi-mimpi pelik seperti dulu. Antaranya
adalah mimpi hadirnya seorang orang tua memberikan kain berwarna putih dan secawan air.
Tiga malam berturut-turut, saya menghadapi mimpi yang sama.

Setiap kali saya terkejut bangun dari mimpi tersebut, saya mendengar suara Tokwan membaca
alunan indah, umpama lagu-lagu yang menenangkan. Pada masa itu saya tidak mengetahui
bahawa alunan indah yang Tokwan baca itu adalah Al-Quran. Saya pernah mendengar alunan
yang hampir serupa dari ahli keluarga Mek dan Pak dahulu, tetapi saya tidak pernah
mempedulikannya atau terkesan dengannya. Namun alunan lagu dari Tokwan di tengah malam
sungguh menenangkan fikiran.

Pada hari keempat, saya berbicara dengan Tokwan mengenai mimpi tersebut. Mendengar
cerita saya, Tokwan diam sebentar dan kemudian mula bercerita. Kata Tokwan; pada malam
peristiwa yang saya ingin membunuh diri itu, beliau mendapat ilham yang telah mendorong
beliau untuk pergi mengambil angin di tepi pantai. Di sana, beliau telah terlihat saya dari jauh
berjalan ke arah laut, dan seterusnya mara ke tengah sehingga tenggelam.

Kata Tokwan lagi, semua ini diatur oleh Allah yang Maha Esa. Allah menjaga sesiapa yang
Allah pilih. Menurut Tokwan, Allah telah memilih saya kerana Allah sayangkan saya.

30
Kemudian, Tokwan memberi ayat tawaran kepada saya; “Mahukah kamu masuk Islam?”

Soalan Tokwan membuatkan saya diam berfikir. Namun ianya sebentar sahaja, dan saya terus
mengangguk tanda setuju. Mungkin doa Mek dan Pak selama ini telah terjawab. Mungkin
rentetan peristiwa telah membawa kepada terbukanya hati saya. Yang pasti, mudah saja bagi
saya untuk membuat keputusan pada pagi itu.

Tokwan mengajarkan saya untuk mengucap dua kalimah syahadah beserta maksud kalimah
tersebut, saya mengangkat syahadah disaksikan oleh isteri beliau, Maktok.

“Asyhadu an la ilaha illallah, wa asyhaduanna Muhammadur Rasulullah, aku bersaksi tiada


Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad pesuruh
Allah”

Pengalaman mengangkat syahadah sangatlah istimewa dan sentiasa dikenang dalam diri,
Sebaik sahaja selesai mengucapkan kalimah syahadah, saya merasa remang seluruh badan
serta sejuk diubun-ubun seolah-olah tercurah air membasuh turun segala perasaan resah dan
rimas selama ini. Dalam masa yang sama, saya merasakan seperti satu beban yang berat
dilepaskan keluar ke atas dari hati dan tubuh saya. Rupanya sebelum ini, hati saya merasa
ketat dan rimas,dan tubuh saya menanggung beban yang berat, serta anggota badan terasa
terikat ketat. Baru kini saya dapat merasakan hati yang ringan dan bahagia serta tubuh yang
lega tanpa tekanan beban.

Pernah saya bertanya kepada seorang kenalan di sana, seorang wanita tua yang saya
bersembang santai, kenapa saya merasakan sedemikian semasa detik memeluk Islam. Beliau
memberikan satu penerangan mudah.

Katanya; “Mungkin itu perasaan selepas Syaitan lari keluar?”

Penerangan itu agak lucu, dan saya kurang yakin menerimanya. Namun mungkin juga ada
sedikit kebenaran pada penerangan tersebut.

Alhamdulillah, bermula dari detik itu, saya seorang Islam. Keesokan harinya, Tokwan dan
Maktok membawa saya ke pejabat Agama Islam Langkawi. Saya mengangkat syahadah sekali
lagi secara rasmi di hadapan pegawai yang bertugas. Selesai urusan di sana, barulah saya
kembali memikirkan urusan bisnes kedai makan Mek yang diamanahkan kepada saya.

“Apalah yang terjadi kepada operasi kedai Mek?”

Selama beberapa hari yang berlalu, saya telah terlupakan mengenai kedai yang diamanahkan
Mek kepada saya. Entah apalah terjadi pada kedai tersebut atau pekerja-pekerjanya?! Ketika
itu baru timbul penyesalan yang amat atas kecuaian saya. Mereka pasti tidak dapat bekerja dan

31
tidak mendapt gaji?! Kedai tersebut pasti tidak boleh dibuka kerana satu satunya set kunci dan
simpanan wang dipegang oleh saya.

Saya meminta izin dari Tokwan untuk ke tapak kedai. Apabila sampai di sana, saya menjupai
beberapa orang pekerja dalam keadaan kerisauan dan gelabah.

Rupanya, pekerja-pekerja Mek telah menelefon Mek di Thailand apabila mereka tidak dapat
menghubungi saya. Saya tidak dapt dihubungi kerana saya telah merosakkan telefon saya
tempoh hari. Rentetan peristiwa yang berlaku adalah telefon saya telah saya lontarkan ke
dalam laut sebelum peristiwa percubaan menggantung diri. Saya telah menelefon lelaki
tersebut selama beberapa hari dan tidak mendapat jawapan darinya. Setelah sedar bahawa
saya telah kehilangan cinta dan wang yang banyak, saya telah lontarkan telefon ke dalam laut
dan bergegas ke kedai mencari tali gantung. Maka, selama saya menghilangkan diri, urusan
kedai telah terus tergendala. Kasihan mereka dan kasihan Mek! Pada masa itu baru timbul
penyesalan atas sikap saya yang amt tidak bertangungjwab.

“Serahkan saja kunci kepada pekerja lain dan ikutlah Tokwan pulang ke rumah untuk belajar
solat dan hukum Islam”, kata Tokwan ketika menghantar saya ke kedai.

Saya memohon tempoh dari Tokwan untuk terus menjaga kedai sehingga Mek pulang dari
Yala, memandangkan Mek akan sampai ke sini dua tiga hari lagi. Pekerja lain memberitahu
saya Mek sedang dalam urusan untuk pulang ke sini apabila pekerja kedai menghubungi beliau
mengenai kehilangan saya.

Tokwan membekalkan saya dengan sebutir telefon untuk kemudahan berhubung, bersama
beberapa kelengkapan asas sebagai seorang muslimah.

Setibanya Mek ke Langkawi, saya merasa malu pada diri sendiri kerana Mek tidak marah
sedikit pun kepada saya atas kekacauan yang timbul. Malah beliau sangat gembira mendengar
berita saya memeluk Islam kerana doanya sekian lama sudah terjawab. Kerisauannya
mengenai keselamatan saya terubat sehingga beliau tidak sempat bertanya langsung
mengenai butiran kejadian saya hilang dari kedai selama 4 hari tersebut. Oleh kerana saya pun
tidak mahu lagi memikirkan kisah peristiwa saya kecewa dan ikhtiar, saya tidak
mengkhabarkan kepada beliau rentetan peristiwa saya bercinta, ditipu, dan berusaha
membunuh diri. Tambahan pula, saya tidak mahu menambahkan kerisauan beliau sedangkan
beliau perlu segera kembali ke Yala menjaga suami. Segalanya saya simpan sendiri sahaja
dalam lipatan sejarah hidup dan tidak dibincangkan lagi dengan sesiapa kecuali dalam
penceritaan ini.

Setelah reda dengan cerita saya, Mek menceritakan pula mengenai Pak. Rupanya beliau dalam
eddah ketika datang ke Langkawi, Pak telah meninggal dunia dalam sebulan yang lalu. Mek
menunggu untuk habis tempoh eddah atau berkabung, baru datang ke Langkawi untuk

32
memberitahu saya. Namun kekecohan mengenai keselamatan diri saya menyebabkan beliau
terpaksa keluar bermusafir dalam tempoh tersebut. Pada masa tersebut, saya belum faham lagi
bahawa bermusafir dalam tempoh berkabung adalah salah. Namun saya dapat merasakan
sekali lagi betapa saya telah menyusahkan Mek, dan betapa sayangnya Mek kepada saya.
Bertambah lagi rasa bersalah, sangat sangat bersalah. Saya berazam untuk menjadi anak yang
lebih baik dan bertanggungjawab selepas itu, menjaga kedai dengan lebih baik.

Namun Mek mengkhabarkan yang beliau tidak lagi berminat untuk meneruskan dengan bisnes
di Langkawi. Semasa menjaga Pak sakit, beliau telah membuat keputusan untuk ke Langkawi
dengan urusan menjual bisnes kedai makan tersebut. Beliau merancang untuk meneruskan
baki kehidupan di Yala, sesuai dengan peringkat hidup mereka. Terlanjur sudah di Langkawi,
Mek beliau bercadang untuk menguruskan penjualan serta penutupan operasi dalam tempoh
seminggu.

Dalam tempoh seminggu itu, beliau sempat mengajarkan saya tatacara solat dan memberi
keterangan lanjut mengenai rukun Islam. Mek mengajak saya untuk ikut beliau pulang ke Yala,
tetapi saya tidak mengikut beliau pulang ke Yala. Sememangnya saya merasa Mek seperti
emak sendiri. Namun bagi saya, bumi Langkawi lebih terasa seperti kampung sendiri
berbanding Yala. Tambahan pula, Tokwan dan keluarganya juga telah sudi mengambil saya
sebagai anak angkat.

Mengenang kembali kisah ini, saya bersyukur Allah telah menjaga saya dengan menyediakan
keluarga angkat di masa-masa yang amat saya perlukan. Walaupun Allah menarik Mei dan
Phoa dari saya pada usia yang muda, Allah tetap memelihara kebajikan saya. Walau pun
semasa sebatang kara pada umur sembilan tahun, Allah tetap memberikan saya rezeki makan
dan keperluan asas, melalui jiran yang baik hati serta kemampuan saya bekerja mencari wang.
Semasa dalam tahanan penjahat, Allah telah menghantarkan Kak Farah untuk menyelamatkan
saya dan kanak-kanak lain. Kemudian pula, Allah telah memberikan Mek dan Pak pula
sekeluarga untuk menyayangi dan membesarkan saya. Di Langkawi sesudah memeluk Islam,
Allah berikan pula keluarga Tokwan yang sangat sangatlah menyayangi. Bagaimana untuk
saya tidak yakin bahawa Allah tetap menjaga saya pada masa kini, dan pada masa-masa yang
akan datang?

Tinggal Bersama Keluarga Tokwan

Saya tinggal bersama Tokwan dan Maktok selama tiga tahun. Pada masa itu, saya bekerja
menolong mereka menjaga rumah sewa mereka di Pantai Cenang. Saya tidak mengambil gaji,
tetapi disara dan diberi wang yang mencukupi seperti ahli keluarga yang lain.

33
Tokwan mempunyai lima orang anak dewasa yang masing-masing sudah menetap jauh. Sekali
sekala apabila mereka pulang bercuti, mereka menjadikan saya adik bongsu yang sangat
dimanjakan. Semasa mereka bercuti, saya dibawa berjalan- jalan dan makan-makan di sana
sini. Pernah sehingga Maktok melarang; “sudah-sudah la tu, hampa bawa adik hampa ke sana
ke sini, buat dia macam anak patung pula!” Sejujurnya, saya tidak kisah, malah seronok sahaja
mendapat rezeki menjadi adik bongsu yang dimanjakan. Bukanlah berjalan-jalan itu, yang saya
sukai. Kuala Lumpur bagi saya hanya seperti Bandar Bangkok. Ianya membosankan dengan
rumah-rumahnya yang berpetak-petak dan suasana yang bingit. Hati saya lebih menyukai
suasana kampung daripada ketika berjalan-jalan di Kuala Lumpur melawat tempat yang
dibawa mereka seperti KLCC dan Zoo Negara. Namun, dibawa ke sini sana, dibelanjakan
membeli belah di Pasaraya Jusco, Tesco, dihargai hanya kerana saya seorang insan, ianya
amat membahagiakan.

Sepanjang saya bekerja bersama Tokwan dan Maktok, saya memerhatikan akhlak Maktok yang
begitu baik. Semasa Maktok mengutip sewa, beliau akan sangat bertolak ansur andainya
bersemuka dengan penyewa yang terdesak dan kesempitan wang. Tambahan pula, mereka
orang senang yang tidak begitu memerlukan wang sewa tersebut. Tokwan adalah bekas guru
dan bergaji dan berpencen. Pwerusahaan rumah sewa dan chalet di pantai lebih seperti hobi
sahaja kepada mereka.

Tokwan banyak beribadah. Saya selalu memerhatikan, jam 3.00 pagi, Tokwan sudah berada
ditikar solatnya. Maktok pula selalu membawa saya ke masjid, dan ke pengajian. Walau
bagaimanapun, saya kurang memahami butir-butir ceramah pada masa tersebut. Kemungkinan
ianya kerana pada masa itu, saya belum lagi menguasai pengetahuan asas agama. Saya tidak
seperti orang sekarang yang saya kagumi. Saya lihat ramai orang muda sekarang, mereka
mampu mempelajari terlebih dahulu asas asas agama sebelum mengangkat syahadah.

Kembali ke Yala

Selepas tiga tahun bersama keluarga ini, Tokwan meninggal dunia. Anak-anak mereka terus
pulang dan membuat urusan untuk membawa maktok tinggal bersama mereka. Mereka
mengajak saya untuk turut bersama berpindah ke Kuala Lumpur. Namun saya merasakan tidak
sesuai berpindah ke sana. Yokwan pun sudah menninggal dunia. Sudah tiba masanya saya
meneruskan kehidupan saya menumpang lagi keluarga mereka. Saya memberitahu mereka
rancangan saya untuk pulang ke Thailand.

34
Pada masa dahulu, orang tidak terlalu kerap berkomunikasi melalui telefon. Bil telefon sangat
mahal, terutama bagi panggilan yang merentas luar negara. Apabila Mek kembali ke Yala, Saya
tidak berusaha menelefon beliau tanya khabar. Tidak ada sesiapa yang mengingatkan saya
untuk melakukan sedemikian dan saya sendiri pun tidak terfikir untuk menghabiskan kredit
menelefon ke luar negara. Maka Mek cuma tinggal dalam kenangan sahaja, sebagai ingatan
peribadi yang tidak dituturkan atau dibincangkan dengan sesiapa di sana. Apabila Tokwan
meninggal dunia, saya baru menyedari bahawa saya tidak menyimpan nombor telefon Mek.

Walau bagaimana pun, saya bulatkan hati untuk kembali ke Yala mencari Mek. Saya tahu
bagaimana untuk pulang ke sana. Maka saya akan pulang sahaja ke rumah Mek. Beliau biu
yang selama ini menyayangi saya dan menerima saya seadanya. Dalam bayangan saya, beliau
akan sedikit terkejut melihat saya, tetapi akan gembira menyambut saya kerana beliau memang
sepatutnya pun hidup berteman di usia begini.

Keluarga Maktok menghantar saya ke jeti Langkawi untuk saya kembali ke Thailand melalui
pengkalan Satun. Walaupun mereka menawarkan pintu terbuka, mereka tidak memaksa saya
untuk mengikuti mereka memandangkan saya telah dewasa dan berhak untuk menentukan
pilihan kehidupan saya.

Sesampainya di Yala, tempat kehidupan saya semasa remaja, saya terus ke rumah Mek.
Terkejut dan mati akal saya apabila melihat rumah tempat saya dibesarkan oleh Mek sudah
disewakan. Beberapa orang jiran masih mengenali saya dan memaklumkan bahawa Kak Farah
telah membawa Mek berhijrah ke Bangkok bersamanya. Kak Farah sudah naik pangkat dan
ditukarkan ke sana. Kemungkinan Mek berasa sunyi tinggal bersendirian dan merasakan lebih
baik tinggal bersama adiknya.

Buntu sebentar, saya menapak menuju ke masjid untuk berehat seketika sambil memikirkan
perjalanan kehidupan saya seterusnya. Saya tidaklah saya berasa terlalu kecewa atau putus
asa, kerana saya sudah pandai berdikari pada peringkat hidup itu. Cuma berita itu
mengejutkan, dan saya belum boleh memikirkan perancangan dalam masa yang terdekat.
Ketika saya sampai masjid, telah masuk sudah asar, dan saya berehat di situ sehingga
maghrib. Namun saya masih belum mendapat ilham ke mana hendak melangkah. Tercetus
persoalan dalam hati kepada Allah; “Ya Allah, ke mana harus saya pergi?”

Seorang jemaah wanita di masjid itu menegur saya. Kemungkinan beliau hairan melihat saya,
bersama beg besar, dari asar hingga ke maghrib. Saya memberitahu beliau mengenai tujuan
saya ke sini dan mengenai pindahnya Mek untuk tinggal bersama Kak Farah. Alhamdulillah,
wanita itu mengenali Mek dan juga baru ingat mengenai saya yang pernah tinggal di situ
beberapa tahun dahulu. Beliau juga sangat gembira mendengar berita bahawa saya sudah
memeluk Islam.

35
Beliau mengajak saya bertanyakan kepada imam cadangan perancangan yang sesuai untuk
saya. Selesai solat isyak, kami berjumpa dengan imam masjid dan beliau memberi cadangan
agar tinggal di pondok pembelajaran dewasa yang berdekatan dengan masjid tersebut. Pondok
yang dicadangkan itu adalah bagi mereka yang mahu mendalami agama di peringkat tinggi.
Setelah pihak pondok meneliti tahap pembelajaran saya masih rendah, mereka meletakkan
saya dibawah seorang ustazah dalam pembelajaran yang khas.

Ustazah mengajarkan saya tatacara solat sempurna. Saya sempat belajar sehingga asas fardu
ain, iaitu bagaimana mengambil wudhu, urusan taharah dan sebagainya. Tidak lama kemudian,
imam tersebut telah menjodohkan saya dengan seorang pemuda di kampung tersebut.

Perkahwinan di Yala
Rata-rata masyarakat melihat pemuda ini seorang yang baik dan hormat. Umurnya ketika itu
dalam tiga puluhan. Beliau hadir penuh solat lima waktunya berjemaah di masjid itu. Beliau
bekerja sebagai sebagai mekanik motosikal di luar kampung. Imam telah mengaturkan
perkahwinan kami memandangkan akhlaknya yang baik dan Imam percaya dia boleh
membimbing saya dalam mendalami agama Islam. Oleh kerana dia hanya bekerja sebagai
mekanik motosikal, Imam telah menasihati saya agar tidak meminta lebih-lebih dari suami, dan
bersedia menerima kehidupan yang sederhana. Mahar saya adalah sepasang telekung dan
sebuah Quran. Majlis kahwin semua ditanggung oleh pihak masjid.

Setelah kami berkahwin, saya menyangkakan kehidupan saya dan masa depan saya lebih
terjamin kerana saya sudah ada seseorang yang boleh mengambil berat mengenai saya. Saya
mengharapkan perkahwinan saya ini, ceritanya indah-indah belaka seperti indahnya cerita Mei
dan Phoa. Malangnya perkahwinan saya tidak begitu.

Ada satu pepatah thailand yang berbunyi “Runa mai ru cai” yang bermaksud begini, “manusia
kita hanya dapat mengenali muka, tapi hati manusia susah untuk diteka apa yang
bersembunyi”.

Selepas berkahwin dengan pemuda itu, rupanya ceritanya sangat sadis, saya hanya dijadikan
hamba melayan nafsunya. Tiada kasih sayang dan hormat menghormati yang sepatutnya hadir
dalam setiap rumah tangga yang mahukan keharmonian.

Dengan saya, dia selalu baran, tidak seperti urusannya dengan orang luar, kelihatan baik dan
berakhlak mulia. Saya dilayan begitu teruk, segala barang peribadi saya seperti passport dan
kad pengenalan diri disimpan olehnya. Jika masakan tidak kena seleranya, pasti disepaknya
makanan tersebut.

36
Setiap kali dia mahu bersama saya, perkara pertama yang dia akan buat adalah memukul saya
sampai lebam. Saya akan diikat sebelum dipukul dengan tali pinggangnya, bahkan mulut saya
juga disumbat kain agar tidak menjerit atau jeritan saya tidak kedengaran satu kampung.
Dugaan peritnya dipukul dan disiksa ini hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.

Pengajian saya di pondok sudah tidak diteruskan memandangkan dia berjanji untuk mengajar
saya. Janji hanya tinggal janji, segala pengajaran tidak pernah berlaku, bahkan bersamanya
pergantungan saya kepada tuhan semakin pudar kerana segala hajat saya tidak tertunai. Sikap
jahatnya membuatkan saya tidak mengamalkan Islam secara sepatutnya. Kerana dia juga, saya
berputus asa dalam berdoa kerana apa yang saya doa belum dimakbulkan. Akhirnya perkara
paling penting, iaitu solat, ketaatan sebagai hamba Allah juga saya tinggalkan.

Saya pernah mengadu kepada isteri pak Imam, tetapi isterinya agak berat mempercayai kerana
akhlaknya diluar berlainan dengan apa yang saya singkapkan, walaupun dengan bukti-bukti
lebam dibadan saya. Saya juga pernah menceritakan kepada jiran-jiran akibat tidak tahan
dengan penyiksaan itu. Walaubagaimanapun mereka mengatakan itu mungkin perkara biasa
suami isteri.

Penyiksaan demi penyiksaan saya terima dengan sabar. Saya tahan segala siksa kerana saya
memikirkan ketaatan kepada sang suami walaupun siapakah dia, segarang atau sebaran
manapun sifat dan tabiatnya. Tambahan juga dia mengugut saya agar tidak memberitahu
perilaku kebinatangannya terhadap saya kepada sesiapa. Mengikut hari mahu larikan diri dari
dunia kejamnya itu, tapi memandangkan tiada sesiapa yang boleh saya menumpang teduh,
saya pasrah dengan keadaan ini.

Selama 5 bulan bertahan, akhirnya saya nekad mengadu kepada pak imam. Kepada pak Imam
saya khabarkan perkara yang sebenarnya, pak Imam juga hampir tidak percaya tetapi pak
Imam berjanji akan membantu saya selesaikan masalah ini.

Malam hari ketiga selepas pengaduan saya kepada pak Imam, saya diselamatkan dari
siksaannya yang menyakitkan hati dan jiwa saya. Seperti biasa jika dia mahu bersama saya,
dia mengikat dan memukul saya. Saya menjerit dan menangis walaupun suara tidak berbunyi
kuat akibat disumbat kain dimulut saya. Sehinggalah pak Imam dan orang kampung datang
menyerbu ke rumahnya. Hendak tidak hendak dia terpaksa menyerah diri. Rupanya selepas
pengaduan saya tempoh hari, pak Imam telah memasang pengintip dirumah kami sehinggalah
dia menunjukkan dirinya yang tiada hati perut tersebut.

Saya dibawa ke hospital selepas itu, doktor mengesahkan saya mengalami pendarahan dalam
rahim yang teruk akibat pembantaian selama 5 bulan ini. Akibatnya kes ini menjadi kes polis.
Dia ditangkap. Dia terpaksa melepaskan saya kerana saya tidak mahu bersamanya lagi
walaupun dia berjanji akan berubah.

37
Pak Imam ada berjumpa dengan saya dan memaklumkan dia meminta maaf atas perilaku luar
kemanusiaan kepada saya. Tetapi saya tetap tegas dengan keputusan saya untuk keluar dari
kehidupan bersamanya. Serik saya mahu bersamanya lagi.

Akhirnya kengerian saya dengan kisah perkahwinan ini berakhir selepas dia menceraikan saya.
Sebelum saya berangkat ke luar dari yala, pak imam pernah menceritakan mengenai penyebab
perilakunya diuar tabii itu. Menurut pak imam, sebelum/zaman dulu ini dia selalu menonton
video lucah sebegitu. Jadi ketika mahu bersama saya, pengaruh kesan video itu telah
mengganggu fikirannya dan bertindak melakukan kepada saya seperti apa yang telah
ditontonnya sekian lama.

Peristiwa ini membuatkan saya tidak berani menjodohkan sesiapa dengan sahabat-sahabat
saya walaupun ramai sahabat saya meminta saya mencarikan calon untuk mereka. Pepatah
“Runa mai ru cai” ini sangat memberi kesan kepada saya. Pada hakikatnya tiada sesiapa pon
boleh mengenali kita kecuali pasangan kita kerana pasangan inilah yang hidup bersama kita.

Hidayah Mengetuk Lagi


( nadiyah reka tulis)

Selepas selesai kehidupan di Yala, saya bergerak ke Malaysia. Tetapi saya kekurangan wang
sebelum masuk ke sempandan bukit kayu Hitam-Danok. Fikiran saya pada masa itu mahu cari
pekerjaan untuk memberi saya perlindungan/penginapan dari panas teduh dan keperluan asas
saya, saya tidak memikirkan berapa gaji yang diberikan, apa yang penting, dapatkan pekerjaan
untuk keperluan sekarang, selepas selesai keperluan asas, barulah saya boleh berfikir
seterusnya.

Akhirnya saya mendapat pekerjaan sebagai tukang kemas bilik (house keeping) di sebuah hotel
kawasan Danok dengan gaji RM 450 beserta penginapan di asrama yang disediakan untuk
pekerja.

Kawasan Danok adalah kawasan ibu kejahatan, segala maksiat ada disana. Pelacuran, arak,
judi, dadah dan pelbagai lagi. Suasana ini tidak menambah iman saya. Bahkan semakin lama di
sini, saya tidak bersemangat untuk hidup. Kebanyakan pekerja hotel mengamalkan hidup
bebas, mahu ke pub, mabuk atau sebagainya tiada siapa yang kisah. Tetapi Allah masih
menjaga saya, saya tidak berminat hidup cara mereka. Saya hanya bekerja sebagai tukang
kemas bilik sahaja, tidak lebih dari itu.

Sepanjang 2 tahun disana walaupun saya merasa tidak bersemangat untuk hidup, saya
mengabaikan perasan itu dengan membuat pekerjaan saya. Rasa tidak tenteram semakin
menghimpitkan hati saya, tidak dapat digambarkan perasaan itu. Ketika saya naik ke tingkat 6,

38
di tempat hotel yang saya bekerja, dari cermin tingkap jelas dipandangan saya nun jauh ke
sempadan Malaysia.

Di situ saya dapat tengok jauh sampai ke sempadan. Ketika itu saya mendengar suara Azan,
sayu dan sayup-sayup. Ketika itu, hati saya bagai tersentap, sebak menguasai seluruh badan.
Perasaan kehilangan dan kerinduan bersatu, akhirnya saya menangis semahunya, saya
menangis dengan kekesalan, rasa bersalah menerpa-nerpa.

“Ya Allah sudah sekian lama saya tidak sujud kepada mu”. Rasa kekesalan sejak saya
meninggalkan kewajipan saya pada Dia. Akhirnya saya nekad membuat sesuatu untuk hidup
saya. Hijrah. Itulah keputusan yang saya perlu buat untuk kehidupan saya. Pekerjaan di hotel
berbaki 10 hari, maka saya membuat perundingan dengan kawan saya untuk meminjam
duitnya dan dia mengambil gaji saya di akhir bulan nanti. Kawan saya setuju dan kami
berjumpa supervisor untuk memaklumkan. Petang itu setelah semua urusan saya selesai, saya
segera mengambil bas ke Malaysia.

Akhirnya saya buat keputusan untuk pergi ke Malaysia demi mencari kehidupan yang lebih
diredhai Allah, walau saya tahu saya tidak ada sesiapa di Malaysia. Walaupun saya tiada
petunjuk arah ke mana, saya tahu arah tuju saya, iaitu untuk mencari cahaya kehidupan saya.
Saya menuju ke Langkawi kerana di situlah satu-satunya tempat di Malaysia yang saya kenali
dan disitulah saya mengangkat syahadah.

Ketika saya sampai di langkawi waktu sudah hampir petang. Kebetulan pejabat agama masih
lagi buka dan tidak ramai pengunjung. Saya terus ke sana kerana itulah tempat yang boleh
menolong saya. Saya mengingati ustaz Ismail yang menguruskan syahadah saya ketika itu,
dan saya berhajat untuk menemuinya untuk dapatkan nasihat darinya. Urusan saya sungguh
mudah, saya dapat berjumpa dengan beliau.

Ketika saya jumpa dengan ustaz Ismail, dia sungguh baik dan masih mengenali saya. Selepas
menceritakan keinginan saya untuk mendalami agama, ustaz memberi saranan.

“ustaz, saya ingin belajar agama, dimanakah tempat yang boleh saya belajar dan tinggal di
situ? Kerana saya tiada sesiapa di sini (malaysia)” Tanya saya sambil memberi sebab.

“ada, jika kamu berminat saya akan telifonkan tempat itu untuk kamu.”

“Mahu ustaz”.

Ustaz Ismail menelefon seseorang, selepas itu beliau memberitahu tempat itu di sungai Petani
kepada saya, Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA). Ustaz
menggalakkan saya ke sana esok pagi sahaja memandangkan perjalanan ke PUSBA bukan

39
mudah kerana memerlukan menyeberang laut. Dan ustaz meminta saya bertemu dengannya
sebelum bertolak ke sana.

Oleh kerana hari sudah petang, ustaz menyuruh salah seorang pegawai wanita untuk
membawa saya meyewa sebuah bilik untuk berehat malam ini sebelum bertolak ke sungai
petani. Dalam hati saya tertanya-tanya tempat itu. Malam itu saya dapat berehat dengan
ketenangan kerana bebanan hati saya sudah dilepaskan. Saya terasa ringan dan bersemangat
untuk memulakan hidup baru.

Keesokannya, pagi-pagi lagi saya sudah bertemu ustaz seperti yang dijanjikan. Di pejabatnya,
ustaz memberikan sepucuk surat untuk diserahkan kepada pihak PUSBA untuk mendaftar
masuk ke sana. Yang membuatkan saya terharu, ustaz sertakan duit untuk tambang dan
belanja saya ke sana.

Selesai saya membeli tiket feri dan menunggu feri di jeti, langit sudah mendung dan hujan mula
turun, semakin lama-semakin lebat dan angin sangat kuat menyebabkan feri terpaksa
ditundakan. Saya terasa berdebar dan saya berbicara sendirian.

“Ya Allah cubaan apakah yang Engkau sedang mengujiku saat ini?” saya cuba berdoa dan
meneguhkan keyakinan yang sedang subur ini; setelah mendapat nasihat daripada Ustaz
Ismail.

Hampir dua jam barulah perjalanan feri boleh diteruskan apabila cuaca beransur tenang.
Perjalanan feri mengambil masa agak lama, sehingga saya sampai ke jeti seberang matahari
sudah tegak di atas kepala, perut sudah keroncong. Akhirnya saya membeli semangkuk laksa
rezeki pada tengahari itu. Selesai makan, saya bertanyakan kakak yang menjual laksa itu,
dimana boleh saya dapatkan teksi ke sungai petani, kakak itu menunjukkan kepada saya.
Rupanya berhadapan gerai itu berderet teksi sedang menunggu pelanggannya.

Saya bertanyakan pak cik pemandu teksi untuk ke sungai petani, kosnya dan kesediannya
untuk menghantar saya ke sana. Pak cik tersebut setuju dengan bayaran RM44 dari jeti kuala
kedah ke sungai petani. Maka saya menaiki teksi tersebut. Dalam perjalanan, pak cik ini
bertanyakan asal usul saya dan saya mahu ke mana. Saya berkongsi kisah perjalanan Islam
saya dan saya mahu belajar agama di PUSBA atas saranan ustaz Ismail.

Sampai di sungai petani hari sudah lewat petang, pakcik itu memberhentikan teksinya
berdekatan sebuah masjid, yang dekat dengan PUSBA. Pakcik tersebut menyuruh saya
bertanya mengenai PUSBA dengan beberapa orang di luar masjid betulkah tempat itu. Pakcik
itu risau jika meningggalkan saya ditempat yang tidak diketahui statusnya. Selepas mendapat
maklumat yang tepat, saya mendapatkan pakcik tersebut dan memaklumkan kebenarannya
dan membayar tambang teksi tersebut, tetapi pak cik tersebut tidak mahu menerima tambang

40
tersebut bahkan menyedekahkannya sambil menyuruh saya belajar sungguh-sungguh agama
Islam. Saya sungguh berterima kasih atas kebaikan pak cik tersebut.

“Subhanallah, tempat ini sama seperti mimpi saya” hati saya terdetik sebaik sahaja kaki saya
melangkah masuk ke ruangan PUSBA, saya berdebar kerana tempat ini sudah beberapa kali
hadir dalam mimpi saya. Rupanya ini aturan Allah untuk saya belajar dan mendalami agama di
sini.

Saya berjumpa ustazah yang bertugas dan serahkan surah ustaz Ismail kepadanya.
Mengetahui saya datang sendirian, beliau mengomel marah ustaz kerana membiarkan saya
datang sendirian dari Langkawi. Saya memaklumkan bahawa saya tidak mahu menyusahkan
pihak ustaz. Selepas selesai saya dibawa ke asrama tempat yang saya akan tinggal selama 6
bulan ini.

Belajar di pusat bimbingan PUSBA adalah belajar asas fardu ain. Semasa saya belajar di sini,
ada hampir 100 orang pelajar mualaf yang lain, ada yang bekeluarga dan ada yang masih
bujang. Pelbagai etnik dan bangsa di sini, ada yang asal Iban dari Sabah, Cina, India dan Thai.

Kelas pembelajaran di sana penuh dari pagi hingga ke petang, setiap waktu solat diwajibkan
berjemaah di surau. Di asrama ada disediakan makanan, bahkan kami juga diberi elaun setiap
bulan untuk perbelanjaan bulanan. Setiap hari minggu kami dibenarkan keluar jika ingin ke
pasar atau ke kedai. Manakala bagi yang bekerluarga dibenarkan cuti 2 hari tersebut untuk
bersama keluarga.

Alhamdulillah saya belajar banyak perkara di sini walaupun pada tahap asas. Sebenarnya
pembelajaran ini sangat membantu kerana sebelum ini, walaupun saya mengikuti mak tok ke
kuliah atau ceramah di masjid, saya tidak memahami apa yang diterangkan oleh ustaz tersebut.
Kemungkinan saya tiada kefahaman yang jelas mengenai Islam.

Pernah saya diberi tugasan oleh ustaz yang mengajar di PUSBA untuk menterjemahkan
rumusan menutup aurat kepada bahasa Thailand di mana ada beberapa sahabat saya dari
thailand yang belum memahami tatacara menutup aurat dengan benar. Hasil terjemah saya
dicetak kembali (potostat) dan diedarkan kepada mereka.

Memulakan Kehidupan Berdikari


Selama belajar di PUSBA, saya mempunyai seorang kakak angkat. Kakak ini saya kenali ketika
beliau dan rakan-rakannya dari universiti membuat program bersama kami di HOSBA. Antara
aktiviti tersebut, setiap pelajar mendapat kakak angkat untuk dirujuk sebarang pembelajaran
atau cabaran yang dihadapi.

41
Alhamdulillah kakak angkat ini sangat baik dan sentiasa membantu saya sehingga sekarang.
Hari terakhir di PUSBA, kakak angkat inilah yang datang menjemput saya dan membawa saya
ke jitra.

Pada permualaannya saya tinggal dengannya, selama beberapa hari mencari kerja, akhirnya
saya bermulalah kerja pertama saya di jitra dengan menjadi pencuci di sekolah di kawasan jitra,
Dengan pekerjaan itu saya berjaya menyewa sebuah rumah deretan kayu buatan kampung
yang berharga RM80 sebulan. Pihak majikan telah menghadiahkan sebuah basikal untuk saya
saya berulang alik ke sekolah (tanpa pengetahuan pekerja lain).

Setelah bekerja di situ selama 6 bulan, saya mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik di
polimas sebagai pencuci politeknik. Di sana, kewangan saya lebih baik. Sepanjang bekerja,
saya masih lagi belajar mengenai islam melalui kakak angkat saya. Setiap ujian yang dihadapi,
segera saya mendapatkan nasihat dari beliau.

Kembali Berjumpa Yai Hat

Setelah ujian demi ujian berlaku dalam hidup saya, saya bertekad mahu menjumpai Yai Hat
untuk melepaskan segala dendam dan sakit hati yang terpendam. Saya masih tidak dapat
menerima hakikat ini tuhan yang telah rencanakan dalam kehidupan saya. Saya mengambil cuti
beberapa hari dan bertolak ke Thailand dari jitra.

Perjalanan yang mengambil masa 1 hari perjalanan ke bangkok sebelum tukar bas ke Chiang
Mai. Tujuan saya balik hanya mahu bertentang mata dengan Yai Hat, mahu melepaskan segala
perasaan yang membuku di dada. Saya menginap di hotel sebelum bertolak ke Chiang Mai
keesokkan harinya.

Sesampai di rumah Yai Hat, rumah penuh kenangan yang menyakitkan hati, saya berjumpa Yai
Hat di muka pintu. Berhadapannya menyebabkan perasaan saya bercampur-baur, ada marah,
benci, dendam dalam pada masa yang sama kasihan dan sedih melihat keadaanya.

“Yai kenal saya?” tanya saya apabila berhadapan dengannya. Dari redup ketuaannya
memerhati saya lama. Entah apa yang difikirannya. Entah dia masih ingat atau tidak, pada
ketika itu umurnya sudah 100 lebih, badannya agak membongkok ke depan, badannya kurus
dan dia sudah tidak dapat berjalan.

42
Dia macam kenal tetapi dengan perwatakan saya yang berlainan, saya menutup aurat
sempurna menyebabkan dia agak lambat mengecam saya, sehinggalah saya membuka spek
mata, barulah terluah nama saya.

Melihat dia sudah mengenali saya, lantas saya memarahinya dengan apa yang dia lakukan
kepada saya, hati saya diamuk marah dan benci, segala yang membuku saya luahkan beserta
tangisan kesedihan tanpa mempedulikan keadaannya. Dia hanya menangis mendengar luahan
kemarahan saya.

“Aku tunggu kau balik, aku tahu kau pasti balik, mungkin sebab itu aku belum mati-mati lagi.”
kata Yai hat dengan linangan air mata di matanya yang sudah berkedut tua itu.

Selepas berjumpa dengannya dan puas meluahkan isi hati saya terus pulang ke Kedah dengan
menaiki bas. Sebelum pulang saya sempat mengambil nombor telefon jiran Yai Hat untuk
mengetahui perkembangan Yai Hat. sebulan selepas itu saya mendapat makluman dari
jirannya mengatakan Yai Hat telah meninggal dunia.

Pada masa ini saya belum pandai berdakwah, dan menyesal juga tidak berdakwah kepadanya.
Walaupun saya memarahinya, saya juga sebenarnya perlu insaf dan bersyukur bahawa
tindakannya yang kejam itulah antara pilihan Allah, dan ia pilihan yang membawa saya kepada
Islam.

Bebel: terdapat banyak lagi peristiwa yang diselamat dari keadaan getir. Namun tidak dapat
diceritakan di sini kerana melibatkan pihak pihak yang sensitif.

Pesanan Kepada Sahabat

Walaupun sudah jauh dalam perjalanan mengenali Allah; serta aturanNya dalam kehidupan;
saya mengakui bahawa saya belum sempurna. Malah, saya faham bahawa Allah tidak
menjadikan mana-mana insan sebagai sempurna.

43
Namun, saya bersyukur kerana Allah telah menganugerahkan kefahaman kepada saya cukup
untuk merasa redha dengan apa saja cabaran hidup yang dipilih oleh Allah kepada saya.
Pada masa ini, saya merasa seperti bersedia menerima apa saja pilihan Allah, dan saya akan
bersemangat menghadapi cabaran tersebut.

Pertama sekali, saya mendapat kekuatan dengan keyakinan bahawa cabaran tersebut adalah
pilihan Allah. Sebarang kesusahan yang kita alami, mungkin teguran dari Allah, untuk kita
berusaha memperbaiki diri lagi dan lebih patuh kepada syariat.

Ada juga masa, kesusahan yang Allah pilihkan bagi kita adalah sebagai latihan untuk
menguatkan diri. Misalnya, segala kesempitan hidup semasa kanak-kanak dahulu telah
membuatkan saya tidak gentar dengan sedikit cabaran semasa dewasa ini.

Allah sengaja memberi cabaran hidup tambahan kepada kita kerana Allah mahu kita berdoa
dan mengadu kepadaNya. Sedikit dari keresahan tersebut akan membawa kita lebih dekat
kepadaNya. Yang penting, saya yakin bahawa Allah melakukan semua ini untuk melayakkan
kita ke syurgaNya kelak.

Kedua, saya yakin bahawa bagi setiap cabaran, Allah sudah bekalkan sumber kekuatan
dalaman, bantuan luaran, serta jalan penyelesaiannya. Kita hanya perlu bertawakkal, berdoa
dan berusaha. Insyallah, akan ada jalan keluar dari apa saja masalah.

Saya ingin sekiranya sahabat memegang kefahaman hidup sebegini:

Allah sayangkan kita. Allah mahu kita ke syurga.

44
Tamat di sini

45
46
Glossari

Mei - gelaran untuk ibu


Phoa - gelaran untuk ayah
Yai - gelaran untuk nenek atau tok
Phi - gelaran yang diberi kepada kakak atau orang yang lebih tua.

47

Anda mungkin juga menyukai