Anda di halaman 1dari 4

CARA TERBAIK MENGURUSKAN TEKANAN DI TEMPAT KERJA DAN SARANAN PIHAK YANG

BERTANGGUNGJAWAB DALAM MENINGKATKAN TAHAP KUALITI PENGURUSAN TEKANAN


DI PASUKAN.

SINOPSIS
Menurut Hatta Sidi & Mohamad Hatta Shahrom (2002) telah menjelaskan
bahawa tekanan pada umumnya ditakrifkan sebagai tindak balas minda dan fizikal yang
terhasil daripada permintaan ataupun cabaran mengikut keadaan dan tempat. Oleh itu,
maka tidak hairanlah bahawa konsep stres melibatkan perasaan yang berbentuk subjektif
iaitu pada awalnya mampu diterima dengan baik tetapi lama-kelamaan ianya mampu
menjadi penyakit dan mecetuskan perubahan dalam interaksi dengan alam sekitar.
Namun dalam konteks ini, penumpuan diberikan kepada tekanan di tempat kerja yang
mana kebiasaannya adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan dan merupakan masalah
utama di tempat kerja. Tekanan merupakan satu fakfor utama yang mendorong kepada
masalah besar yang bakal berlaku kepada seseorang individu tidak kira dimana sahaja
pekerjaan yang dilakukannya sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta. Kadang
kala kita bertanya kenapa kita cepat tertekan? Cara mengatasi masalah tekanan amat
penting untuk diketahui oleh semua peringkat individu yang bekerja supaya mereka
dapat mengelakkan perkara yang mudah menjadi sukar. Berikut diberikan punca-punca
berlakuya tekanan serta cara ataupun kaedah bagi seseorang individu itu menangani
masalah itu berlaku.

Majoriti setiap individu yang pernah berkhidmat atau sedang berkhidmat pasti pernah mengalami atau merasai
tekanan atau ketegangan berkaitan dengan pekerjaan yang dilakukan. Apa jua jenis pekerjaan pasti akan ada
tekanan, antara punca-punca tekanan adalah daripada individu, jenis pekerjaan, tempoh bekerja yang panjang
atau faktor persekitaran. Konflik di antara rakan sekerja atau ketua juga menjadi salah satu faktor yang
menyebabkan tekanan di tempat kerja. Fenomena buli di tempat kerja turut menjadi punca utama yang
menyebabkan berlakunya masalah tekanan di tempat kerja. Adakalanya, pekerja bukan saja dibuli oleh ketua
malah dibuli juga oleh rakan sejawat yang lebih lama berkhidmat di sesuatu tempat kerja. Selain daripada
dibuli, ada pekerja yang didera dalam bentuk emosi seperti disindir, atau diherdik serta mengalami gangguan
seksual. Oleh itu, pihak berwajib harus mengenal pasti apakah punca penyebab tekanan itu terjadi dalam
masyarakat kita.

Antara cara terbaik dalam menguruskan tekanan di tempat kerja adalah jika masalah tersebut adalah
daripada individu, cuba bersemuka dan mencari jalan penyelesaian. Banyak masalah berpunca dari maklumat
orang ketiga sehingga menimbulkan salah faham serta sukar untuk menyelesaikan akibat daripada maklumat
yang salah. Sebagai majikan ataupun ketua, masalah yang berlaku dalam sesuatu pekerjaan itu mesti berpunca
daripada individu tersebut ataupun persekitaran kawasan pekerjaan samada dari segi luar mahupun dalaman.
Umum mengetahui bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan
mental. Lantas, demi memastikan kita  memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, kita perlulah
sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima
pujian, kita tidak akan  berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya kita akan memikirkan sama ada pujian
terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada kita ataupun kerana ada udang di sebalik
batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun kita menerimanya sebagai
satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan, kita akan menerimanya
dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan kita
bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran
berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu kita akan
melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar kita tidak menerima kritikan yang
sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya kita tidak dapat menerima kritikan  tersebut, fikiran akan menjadi
tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya kita akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya,
kita sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif. Pihak atasan pula seharusnya mengenal pasti
punca terjadinya masalah isu tekanan yang berlaku dalam kalangan pekerja atau pasukan serta mengadakan
mengadakan kelas dan sesi ceramah bagi memberi kesedaran kepada pihak tertentu agar mereka tahu
bagaimana untuk menangani isu tekanan ini. Oleh yang demikian, perkara ini akan dapat membantu mereka
menyelesaikan masalah yang berpunca daripada isu tekanan tersebut.

Selain itu, seseorang itu harus diberikan satu tempoh bercuti atau bertenang daripada meneruskan kerja
mereka di tempat kerja. Hal ini kerana, seseorang yang sedang mengalami tekanan sedang berada di fasa yang
sangat memerlukan bantuan dan sokongan. Meminta bantuan dari individu yang boleh mereka percaya seperti
kawan dan keluarga boleh membantu memperbaiki cara kita menangani tekanan. Walaubagaimanapun, jika
kita tetap mengalami masalah dengan kerja, kita boleh mendapatkan bantuan dan nasihat pakar seperti
kaunselor, pakar psikologi, pakar psikiatri dan lain-lain untuk membantu mengatasi masalah ini dan mengubah
tingkah laku yang tidak sihat. Tidak semua orang mempunyai tahap tekanan yang sama kerana tahap
kemampuan orang dari segi ketahanan mental ini adalah berbeza. Secara umumnya, tekanan yang berlebihan
boleh menggangu produktiviti dan potensi kerja kita, dan ia turut mendatangkan kesan negatif terhadap
kesihatan fizikal dan emosi mental kita. Keupayaan kita menangani masalah tekanan boleh membawa
perbezaan terhadap kejayaan dan kegagalan dalam menjalankan suatu tugasan yang diberi. Kita tidak dapat
mengawal segalanya, namun itu tidak bermakna kita tidak bagus dan masalah itu tidak boleh diselesaikan.
Oleh hal demikian, pihak atasan harus memberikan ruang kepada mereka ini untuk suatu tempoh bagi mereka
untuk mencari ketenangan dari segi fizikal mahupun mental. Tambahan lagi, tekanan di tempat kerja ini akan
menjejaskan aktiviti harian mereka serta produksi kerja yang dilakukan oleh mereka. Tekanan di tempat kerja
boleh menyebabkan tekanan yang mereka alami itu dibawa ke rumah dan menyebabkan berlakunya masalah
lain bersama keluarga. Pihak atasan seharusnya memberi pertimbangan yang sewajarnya untuk perkara yang
berkaitan dengan masalah keluarga dan penyakit seperti contoh jika mereka terpaksa mengambil cuti kerana
anak sakit atau hadir untuk temujanji ke hospital. Sekiranya masalah keluarga dan penyakit dapat diuruskan
dengan baik, maka prestasi kerja juga adalah lebih baik . Oleh itu, perkara ini harus diteliti dengan lebih baik
agar dapat menjamin kesejahteraan seseorang individu.

Seterusnya, semua peringkat individu haruslah belajar bagaimana cara untuk mengawal emosi secara
kendiri. Hal ini kerana, individu itu sendiri harus tahu bagaimana untuk mengawal tekanan setiap perkara yang
berlaku di dalam kehidupannya. Amalan gaya hidup sihat juga menjadi salah satu cara atau kaedah terbaik
untuk mengurangkan risiko tekanan pengamalan gaya hidup sihat juga dapat meningkatkan ketahanan diri
seperti beriadah, makan makanan seimbang dan tidur secukupnya. Rancang hobi dan aktiviti sekurang-
kurangnya satu aktiviti seminggu untuk hobi seperti membaca, berbasikal, mendaki atau berkelah, perkara ini
adalah lebih bagus sekiranya dilakukan bersama rakan-rakan atau berkumpulan serta disarankan untuk
melakukan senaman minimum tiga kali seminggu dengan 30 sehingga 45 minit setiap sesi dan elakkan
mengambil terlampau banyak kafein, alcohol atau merokok. Selain itu juga, cara terbaik menguruskan tekanan
juga adalah dengan cara mengetahui teknik untuk berehat. Pelbagai teknik untuk kita berehat dan bertenang
seperti bermeditasi, menenangkan minda dan latihan pernafasan mendalam dapat membantu menyingkirkan
sebarang masalah dan ketegangan yang berlaku. Kita juga dapat meningkatkan kemahiran untuk fokus dan
memberikan perhatian kepada sesuatu pekerjaan tanpa gangguan dan jika terdapat ketegangan sewaktu bekerja
kita seharusnya meluahkan masalah kita kepada orang yang lebih atas seperti luahkan kepada penyelia atau
ketua. Ia bukanlah bertujuan untuk mengadu, tetapi untuk berkongsi pelan dan cara menguruskan tekanan
serta masalah dan untuk mendapatkan pendapat juga idea yang berkesan supaya kita dapat melakukan
pekerjaan dengan lebih baik. Amalkan work-life balance atau keseimbangan antara kerja dengan kehidupan.
Tetapkan matlamat hidup dan kepentingan kita serta pisahkan kerja dari rumah. Tinggalkan apa yang
berkaitan dengan kerja di tempat kerja supaya tidak memudaratkan prestasi kerja individu tersebut. Rancang
kerja dan masa dengan baik serta senaraikan tugasan mengikut kepentingan, sekiranya kerja tersebut tidak
berapa penting dan masa yang diberikan untuk menyiapkan kerja tersebut agak panjang maka kurangkanlah
masa kita pada kerja tersebut dan luangkan masa pada kita kepada keluarga agar dapat mengurangkan tekanan
kita sewaktu bekerja nanti. Jika dilihat pada sudut pandang yang berlainan, tekanan dapat dielakkan dengan
mendekatkan diri kepada Tuhan. Hal ini demikian kerana, ketenangan hati dan segala urusan duniawi adalah
kurniaan dan ujian yang diberikan oleh Tuhan. Maka, kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri sama ada
perkara atau kehidupan yang kita jalani seiring dengan ajaran dan kehendaknya. Setiap agama
mengetengahkan konsep kebaikan dan nilai-nilai murni supaya kita tidak terjerumus dalam lembah duniawi
yang tidak kekal dan bersifat sementara. Sebagai seorang muslim, ibadah serta solat merupakan tiang agama
dan mampu membantu menenangkan hati dan minda jika dilakukan dengan khusyuk. Tambahan pula, segala
perbuatan dalam solat telah ditafsirkan sebagai bentuk senaman ringan kepada kita setelah mengharungi
pekerjaan sepanjang hari. Lantaran itu, pendekatan diri kepada Sang Pencipta bukan sahaja memberikan kita
ketenangan malah menunjukkan jalan yang benar dan diperlukan oleh manusia yang lemah seperti kita semua
untuk meningkatkan kerohanian. Izharnya, kekuatan rohani akan mezahirkan ketahanan jasmani terhadap apa
sahaja masalah yang timbul.

Antara saranan pihak yang bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap kualiti pengurusan tekanan di
pasukan adalah pihak bertanggungjawab boleh mengadakan Hari Pengurusan Tekanan di mana terdapat pihak
yang akan mengambil tahu berkenaan tahap mental dan tekanan yang dialami oleh setiap anggota. Perkara ini
amat penting kerana tahap kesihatan mental itu akan melibatkan tahap kesihatan individu tersebut. Sekiranya
seseorang anggota itu mengalami tekanan yang tinggi, berkemungkinan ia akan menjejaskan kesihatan
individu tersebut. Sesungguhnya mencegah lebih baik dari merawat. Terdapat beberapa pusat perubatan yang
mempunyai ujian untuk mengukur tahap tekanan seseorang individu seperti ujian DASS atau DASS-21. Ujian
ini merupakan satu ujian kendiri yang mengukur tahap depresi, kebimbangan (anxiety) dan stress. Pada tahap
akhir ujian ini, kita akan dapat mengetahui skala (normal, sederhana, teruk dan sangat teruk) untuk ketiga-tiga
kondisi ini. Di Malaysia kini, ujian ini diterjemah dan dibangunkan oleh seorang ahli akademik tanah air iaitu
Profesor Dr. Ramli Musa. Kajian menunjukkan bahawa satu-satunya perbezaan antara kemurungan,
kebimbangan dan stres yang dialami oleh individu yang sihat berbanding mereka dengan gangguan mental
adalah pada tahap keseriusannya. Jika kita mendapat markah yang tinggi didalam Ujian DASS, besar
kemungkinan kita sedang mengalami gangguan perasaan yang serius. Walau bagaimanapun, Ujian DASS
adalah satu bentuk ujian saringan dan bukanlah satu diagnosis. Untuk mendapatkan keputusan sebenar, kita
perlulah berjumpa dengan pakar sama ada doktor atau ahli psikologi. Oleh itu, pihak atasan harus peka dengan
tahap pengurusan tekanan anggota di tempat kerja itu sendiri serta cuba untuk mengenal pasti dan mengubah
jika ada polisi yang tidak fleksibel yang mengakibatkan tekanan di tempat kerja itu berlaku.

Di samping itu, pihak bertanggungjawab boleh mengadakan aktiviti bulanan seperti sukan yang
membolehkan anggota melepaskan tekanan yang dialami dalam kehidupan seharian mereka. Aktiviti bulanan
ini bukan sahaja dapat melepaskan tekanan yang dialami malah dapat membuatkan anggota berasa bebas
daripada sesuatu masalah kerana mereka dapat merehatkan diri daripada tekanan kerja melalui aktiviti sukan.
Aktiviti sukan merupakan suatu aktiviti yang dapat menyihatkan tubuh serta mental. Kehidupan yang terlalu
sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan
psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang
terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap kita lakukan ialah berbasikal, joging,
bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bersukan dan
sebagainya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan
membersihkan diri, kita akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila kita dapat
melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, kita akan  tidur dengan sangat lena. Hilang
sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi
lapang. Ada waktunya kita melakukan riadah bersama-sama keluarga kita. Peluang keemasan itu kita gunakan
sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun
masalah pekerjaan yang sering memberikan tekanan kepada kita. Lantaran itu, kita menganggap kegiatan
riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah
satu cara untuk mengurangkan tekanan. Oleh hal demikian, dengan aktiviti bersukan inilah sesuatu pasukan
dapat mewujudkan suasana yang lebih baik serta menerapkan semangat berpasukan dan saling bantu
membantu dalam membuat sesuatu kerja serta dapat meningkatkan persefahaman di antara satu sama lain.
Oleh itu, perkara ini juga menjadi satu saranan yang boleh digiatkan di dalam pasukan yang ada.

Oleh hal demikian, cara menguruskan tekanan di tempat kerja haruslah diketahui oleh ramai pihak
kerana ia adalah merupakan salah satu cara bagi setiap individu dalam menguruskan tekanan yang mereka
alami di tempat kerja mereka. Tekanan dalam diri adalah suatu perkara yang amat penting bagi setiap individu
untuk tahu cara menyelesaikan isu tersendiri. Oleh itu, saranan daripada pihak tanggungjawab juga
memainkan peranan penting dalam setiap organisasi agar dapat meningkatkan tahap kualiti pengurusan
tekanan di pasukan. Diharapkan perkara yang telah dibincangkan dapat digunapakai oleh setiap masyarakat di
luar sana bagi menguruskan isu tekanan ini.

Kesimpulannya isu mengenai masalah tekanan ditempat kerja telah menular sejak dahulu lagi dan masalah ini
perlu ditangani di peringkat awal. Tekanan yang berpanjangan boleh menyebabkan berlakunya kemurungan,
kegelisahan, mencetuskan penyakit serta menyebabkan penyakit fizikal sedia ada menjadi bertambah teruk.
Untuk itu adalah penting agar pekerja dan majikan bersama-sama berusaha untuk mengurangkan tekanan serta
menjadikan persekitaran kerja kondusif dan harmoni. Terdapat pelbagai usaha yang harus kita lakukan untuk
menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, kita terpaksa
menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan
masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama
pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran kita menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik
ketabahan kita menghadapi tekanan itu, kita masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih
rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa kita akan menjadi sumber rujukan kita di samping rakan-rakan
pekerja yang rapat hubungannya dengan kita. Kita juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar
kita menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat
membantu kita menghadapi semua tekanan dengan tenang.

(2035 Patah Perkataan)

Rujukan :

1. https://skincode.my/articles/bagaimana-menangani-tekanan-di-tempat-kerja
2. https://hellodoktor.com/kesihatan-mental/pengurusan-stress/bagaimana-menangani-tekanan-di-tempat-
kerja/
3. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tekanan-di-tempat-kerja-bagaimana-untuk-bertahan-
199233
4. https://www.ukm.my/rosh/wp-content/uploads/2015/12/Slot-6-Pengurusan-Tekanan-di-Tempat-
Kerja.pdf
5. Tips Pengurusan Tekanan Di Tempat Kerja Oleh Fizah Lee (9 Nov 2020)
6. https://vixtech.com.my/cara-mengurus-stress-dan-tekanan/
7. https://www.ipendidikan.my/cara-mengatasi-stress-tekanan.html
8. http://naqeeuddin18.blogspot.com/2017/08/karangan-tentang-cara-cara-untuk.html

Anda mungkin juga menyukai