Anda di halaman 1dari 5

Kajian Kes Sejarah

KESULTANAN MELAKA: PUSAT PERDAGANGAN

Pengenalan

Perdagangan telah menjadi nadi yang mewujudkan


kemakmuran ekonomi kepada kerajaan Melaka. Dengan
kedudukan Melaka yang menguasai seluruh kawasan laluan
perdagangan di Selat Melaka, selain menjadi kuasa politik, ia
telah menjadi kuasa ekonomi terbesar di Nusantara. Para
pedagang dari seluruh dunia, termasuk Arab, Parsi, India,
China dan Alam Melayu telah mengunjungi Melaka, dan
menjadikannya sebagai pusat pertukaran barang-barang
dagangan. Kewujudan pelabuhan enterport ini telah
membolehkan Melaka mengatasi Samudera-Pasai dari segi
penguasaan ke atas Selat Melaka, dan mengatasi Majapahit
dari segi pengaruh politik, khususnya pada abad ke-15M.
Dengan kekuatan politik itu pula, Melaka dapat menguasai
Selat Melaka sepenuhnya apabila Jambi menjadi wilayah
taklukannya, sedangkan penguasaan ke atas kepulauan Riau-
Lingga yang lebih awal menjadikan semua laluan pedagangan
ke barat dari timur dan sebaliknya dikuasai oleh Melaka.

Kekukuhan Melaka dalam penguasaan ke atas laluan-laluan


perdagangan utama ini telah menjadikan Melaka sebagai
perhatian kuasa-kuasa politik dunia. Seperti mana Daulah
Abbasiyah Kaherah dan Daulah Othmaniyah yang membina
hubungan rapat dengan Melaka untuk pengukuhan politik Islam
dan dakwah, Dinasti Ming juga berbuat demikian untuk
kepentingan mereka di Nusantara. Selepas kejatuhan Granada
pada 1492M, negara-negara Kristian Khatolik di Eropah turut
menjadikan Melaka sebagai sasaran mereka dalam rangka
menghancurkan Islam. Gerakan untuk menguasai pusat
perdagangan di Melaka yang dibuat oleh Portugis telah
membawa kepada penjajahan pada 1511M. Sedangkan, di
pihak Islam, kemajuan perdagangan ini dimanfaatkan untuk
mengembangkan dakwah Islam di seluruh Kepulauan Melayu
sehingga rantau ini bertukar menjadi wilayah Islam.

Pelabuhan Melaka: Menghubung Timur dan Barat

Kedudukan strategik Melaka yang menguasai laluan


perdagangan tersibuk di dunia, iaitu Selat Melaka telah
menjadikan Melaka sebuah pusat perdagangan tersibuk dan
terpenting di dunia dewasa itu. Selat Melaka yang sempit,
dalam dan keadaan politik yang aman menjadi nadi ekonomi
dunia, kerana ia terletak di antara dua pusat tamadun manusia
– China di Timur dan India di Barat. Dari India pula, dunia
dihubungkan dengan Arab dan Eropah melalui Mekah dan
Aden. Kerana itu juga, Nusantara turut dikunjungi oleh para
pedagang dari Arab sejak abad keenam Masehi. Kewujudan
perkampungan Arab yang disebut dalam catatan China
sebagai “Ta-shih” di utara Sumatera membuktikan hubungan
ini. Apabila Melaka bangkit sebagai pusat perdagangan, para
pedagang Islam dari Arab, Parsi dan India turut berdagang di
Melaka. Di sini, mereka telah berdagang dengan para
pedagang dari seluruh dunia. Nusantara sendiri terkenal
kerana hasil rempah ratusnya, selain pelbagai hasil tamanan
yang disebut dalam catatan China, India dan Arab.

Tumpuan para pedagang di Melaka antara lain disebabkan


oleh kekayaan bumi Semenanjung Tanah Melayu dengan
emas yang sudah terkenal sejak zaman Ptolemy (150M) lagi.
Diberitakan, kedudukan strategik Melaka di tengah-tengah
laluan perdagangan antarabangsa, dengan selat yang sempit
dan kestabilan politik sepanjang selat itu, sejumlah 83 bangsa
telah berdagang di Melaka. Bahkan, Melaka telah menjadi
pasar raya besar dunia yang memperdagangan barang
dagangan di seluruh dunia. Disebabkan faktor ini, bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi kerajaan Melaka telah menjadi
lingua franca bagi semua pedagang di Melaka pada kala itu.
Islam yang mentadbir pula mendapat perhatian bangsa Melayu
sendiri, selain para pedagang. Negara-negara besar seperti
China, Majapahit, Siam, India dan Arab pula mewujudkan
hubungan diplomatik dengan Melaka demi melindungi kegiatan
perdagangan rakyat mereka di sini.

Kedudukan Melaka Dalam Pemerhatian Barat

Kedudukan Melaka sebagai sebuah pelabuhan dan pusat


perdagangan yang unggul bukan sahaja mendapat perhatian
masyarakat timur, tetapi juga orang-orang Eropah di barat.
Ketika pemikiran mercantilisme sedang berkembang di Eropah,
mereka mula mencari sumber-sumber asli dan berfikir tentang
pasaran. Bangkit bersama fahaman ini ialah nasionalisme dan
imperialisme, yang kemudiannya dicantumkan dalam agenda
3G (gospel, glory and gold) yang ditaja oleh gereja. Seperti
yang diungkap oleh W.G Shallebear tentang kedudukan
Melaka ketika itu, “Maka segala pedagang atas angin dan
bawah angin sekaliannya datang ke Melaka, terlalu ramai
bandar Melaka ketika itu,” maka Melaka menjadi salah satu
sasaran barat dalam melaksanakan agenda mereka. Seorang
penulis Portugis yang mengungkapkan tentang Melaka
berkata, “Melaka ialah sebuah pelabuhan yang terkaya sekali
dengan ramainya pedagang-pedagang yang berjual beli secara
borong dan banyaknya perkhidmatan perkapalan yang datang
dari seluruh dunia.”

Daripada anggapan dan pandangan yang begitu kagum


dengan keagungan Melaka dalam bidang perdagangan, maka
Tome Pires menggambarkan pula kekuatan ekonomi Melaka
terhadap dunia dengan menganggap Melaka adalah emperium
dunia, di mana apa sahaja barang dagangan yang ada di dunia
ini dapat dibeli di Melaka. Walaupun Portugis telah menduduki
Tanjung Harapan, Hormuz dan Goa, mereka melihat bahawa
untuk menguasai dunia, mereka mesti menguasai Melaka,
sama perdagangannya atau politiknya. Seorang pengembara
dan penulis Portugis, Duarte Barbosa dalam mengulas tentang
Melaka berkata, “He who is lord of Malacca has his hand on the
throat of Venice“ (Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat
menguasai perdagangan dunia). Hal inilah akhirnya mendorong
Portugis menyerang Melaka bagi membolehkan mereka
menguasai dunia.

Perdagangan dan Dakwah di Melaka

Salah satu sumbangan terbesar aktiviti perdagangan yang


berkembang pesat di Melaka ialah berkembangnya dakwah
Islamiyah. Sebagai mana peranan Perlak dan Samudera-Pasai
sebelumnya, Melaka turut menjadi tumpuan para pedagang
yang juga pendakwah dari setiap penjuru dunia. Para
pedagang dari Arab, Afrika Utara, Parsi dan India, bahkan
China juga telah menggunakan perdagangan sebagai medium
dakwah. Pertama, melalui aktiviti perdagangan, mereka
menggerakkan serentak kegiatan dakwah, termasuk membawa
pendakwah-pendakwah ke Melaka dan negeri-negeri lain.
Kedua, para pedagang sendiri menjadi pendakwah bil hal, di
mana akhlak mereka semasa berdagang telah menarik orang
Melayu kepada Islam. Dan ketiga, kegiatan ekonomi telah
digunakan untuk membiayai dakwah, sehingga para
pendakwah, ulamak, pelajar agama dan institusi agama
termasuk masjid dan pusat-pusat pengajian Islam dapat
memberi tumpuan kepada kegiatan mereka dengan dibiayai
oleh para pedagang.

Kesan daripada peranan para pedagang ini, telah wujud


perkampungan-perkampungan Islam di Melaka, sehingga ada
orang Islam dari Arab dan India diberikan kedudukan dalam
kerajaan, seperti Makhdum Syed Abdul Aziz dari Hijaz dan Tun
Ali dari India. Orang-orang tempatan kemudian memeluk Islam
dan belajar agama selepas Sultan Melaka memeluk Islam,
kesan daripada kakaguman baginda melihat akhlak para
pedagang Islam. Keadaan ini membentuk proses untuk meng-
Islamkan Melaka. Kemudian, para pedagang di Melaka turut
menyebarkan Islam kepada pedagang luar yang berada di
Melaka, selain menghantar para pendakwah ke pulau-pulau
Nusantara melalui aktiviti perdagangan. Dari Melaka pedagang
dan pendakwah bergerak ke Jawa, Maluku, Sulawesi,
Mindanao, Borneo dan lain-lain. Pergerakan para ulamak di
Nusantara dalam menjejaki pulau-pulau dibantu sepenuhnya
oleh para pedagang yang menumpangkan kapal-kapal dagang
mereka sebagai kenderaaan. Berbeza dengan wilayah daratan
di Asia Barat, hampir keseluruhan gerakan dakwah di
Nusantara berkembang melalui kapal-kapal pedagang. Dalam
konteks inilah, kemajuan dan kemakmuran pedagangan di
Melaka menjadi pemangkin perkembangan dakwah.

Anda mungkin juga menyukai