Anda di halaman 1dari 3

Selat Melaka sebagai gelanggang kepelbagaian peradaban

Dari segi ekonomi dan strategik, Selat Malaka merupakan salah satu jalur pelayaran terpenting di dunia,
sama pentingnya dengan Terusan Suez atau Terusan Panama. Selat Melaka membentuk jalur pelayaran
terusan antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik serta menghubungkan tiga dari negara-negara dengan
jumlah penduduk terbesar di dunia: India, Indonesia dan China.

Pelabuhan Melaka: Menghubung Timur dan Barat

Kedudukan strategik Melaka yang menguasai laluan perdagangan tersibuk di dunia, iaitu Selat Melaka
telah menjadikan Melaka sebuah pusat perdagangan tersibuk dan terpenting di dunia dewasa itu. Selat
Melaka yang sempit, dalam dan keadaan politik yang aman menjadi nadi ekonomi dunia, kerana ia
terletak di antara dua pusat tamadun manusia – China di Timur dan India di Barat. Dari India pula, dunia
dihubungkan dengan Arab dan Eropah melalui Makkah dan Aden. Kerana itu juga, Nusantara turut
dikunjungi oleh para pedagang dari Arab sejak abad ke-6 Masehi. Kewujudan perkampungan Arab yang
disebut dalam catatan China sebagai “Ta-shih” di Utara Sumatera membuktikan hubungan ini. Apabila
Melaka bangkit sebagai pusat perdagangan, para pedagang Islam dari Arab, Parsi dan India turut
berdagang di Melaka. Di sini, mereka telah berdagang dengan para pedagang dari seluruh dunia.
Nusantara sendiri terkenal kerana hasil rempah ratusnya, selain pelbagai hasil tanaman yang disebut
dalam catatan China, India dan Arab.
Kedudukan Melaka dalam pemerhatian Barat

Kedudukan Melaka sebagai sebuah pelabuhan dan pusat perdagangan yang unggul bukan sahaja
mendapat perhatian masyarakat Timur, tetapi juga orang-orang Eropah di Barat. Ketika pemikiran
Mercantilisme sedang berkembang di Eropah, mereka mula mencari sumber-sumber asli dan berfikir
mengenai pasaran. Bangkit bersama fahaman ini ialah Nasionalisme dan Imperialisme, yang
kemudiannya dicantumkan dalam agenda 3G (Gospel, Glory and Gold) yang ditaja oleh gereja. Seperti
yang diungkap oleh W.G Shallebear mengenai kedudukan Melaka ketika itu, “Maka segala pedagang
atas angin dan bawah angin sekaliannya datang ke Melaka, terlalu ramai Bandar Melaka ketika itu,”
maka Melaka menjadi salah satu sasaran Barat dalam melaksanakan agenda mereka. Seorang penulis
Portugis yang mengungkapkan mengenai Melaka berkata, “Melaka ialah sebuah pelabuhan yang terkaya
sekali dengan ramainya pedagang-pedagang yang berjual beli secara borong dan banyaknya
perkhidmatan perkapalan yang datang dari seluruh dunia.”

Daripada anggapan dan pandangan yang begitu kagum dengan keagungan Melaka dalam bidang
perdagangan, maka Tome Pires menggambarkan pula kekuatan ekonomi Melaka terhadap dunia dengan
menganggap Melaka adalah emporium dunia, di mana apa sahaja barang dagangan yang ada di dunia ini
dapat dibeli di Melaka. Walaupun Portugis telah menduduki Tanjung Harapan, Hormuz dan Goa, mereka
melihat bahawa untuk menguasai dunia, mereka mesti menguasai Melaka, sama perdagangannya atau
politiknya. Seorang pengembara dan penulis Portugis, Duarte Barbosa dalam mengulas mengenai
Melaka berkata, “He who is lord of Malacca has his hand on the throat of Venice“ (Sesiapa yang
menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia). Hal inilah akhirnya mendorong Portugis
menyerang Melaka bagi membolehkan mereka menguasai dunia.
Perdagangan dan dakwah di Melaka

Salah satu sumbangan terbesar aktiviti perdagangan yang berkembang pesat di Melaka ialah
berkembangnya dakwah Islamiyah. Sebagaimana peranan Perlak dan Samudera-Pasai sebelumnya,
Melaka turut menjadi tumpuan para pedagang yang juga pendakwah dari setiap penjuru dunia. Para
pedagang dari Arab, Afrika Utara, Parsi dan India, bahkan China juga telah menggunakan perdagangan
sebagai medium dakwah. Pertama, melalui aktiviti perdagangan, mereka menggerakkan serentak
kegiatan dakwah, termasuk membawa pendakwah-pendakwah ke Melaka dan negeri-negeri lain. Kedua,
para pedagang sendiri menjadi pendakwah bil hal, di mana akhlak mereka semasa berdagang telah
menarik orang Melayu kepada Islam. Dan ketiga, kegiatan ekonomi telah digunakan untuk membiayai
dakwah, sehingga para pendakwah, ulamak, pelajar agama dan institusi agama termasuk masjid dan
Pusat-pusat Pengajian Islam dapat memberi tumpuan kepada kegiatan mereka dengan dibiayai oleh
para pedagang.

Kesan daripada peranan para pedagang ini, telah wujud perkampungan-perkampungan Islam di Melaka,
sehingga ada orang Islam dari Arab dan India diberikan kedudukan dalam kerajaan, seperti Makhdum
Syed Abdul Aziz dari Hijaz dan Tun Ali dari India. Orang-orang tempatan kemudian memeluk Islam dan
belajar agama selepas Sultan Melaka memeluk Islam, kesan daripada kekaguman baginda melihat
akhlak para pedagang Islam. Keadaan ini membentuk proses untuk meng-Islamkan Melaka. Kemudian,
para pedagang di Melaka turut menyebarkan Islam kepada pedagang luar yang berada di Melaka, selain
menghantar para pendakwah ke Pulau-pulau Nusantara melalui aktiviti perdagangan. Dari Melaka
pedagang dan pendakwah bergerak ke Jawa, Maluku, Sulawesi, Mindanao, Borneo dan lain-lain.
Pergerakan para ulamak di Nusantara dalam menjejaki pulau-pulau dibantu sepenuhnya oleh para
pedagang yang menumpangkan kapal-kapal dagang mereka sebagai kenderaaan. Berbeza dengan
wilayah daratan di Asia Barat, hampir keseluruhan gerakan dakwah di Nusantara berkembang melalui
kapal-kapal pedagang. Dalam konteks inilah, kemajuan dan kemakmuran perdagangan di Melaka
menjadi pemangkin perkembangan dakwah.

Anda mungkin juga menyukai